Showing posts with label Buku Pilihan. Show all posts
Showing posts with label Buku Pilihan. Show all posts

Saturday, 14 April 2012

Bagaimana Mencintai Secara High Class...



Cinta high class bukan ekslusif milik sesiapa. Cinta high class berhak dimiliki oleh kita semua.

Jangan tunggu esok. Hari ini juga kita mesti mencintai secara high class.

Jangan lupa, bantu si dia agar mampu mencintai secara high class juga.

Err, apa itu cinta high class?

Cintamu mendaulatkan Allah nombor satu,Cintamu padaku kerana Allahmu yang satu,Cintamu bermujahadah menahan nafsu.

"Ya Allah, aku memohon cinta-Mu dan cinta orang yang mencintai-Mu, dan amalan yang menyampaikan aku kepada cinta-Mu. Ya Allah, jadikanlah cinta-Mu lebih aku cintai dari diriku, keluargaku dan daripada air yang sejuk (ketika panas terik)." (HR al-Tarmizi).

Saya terfikir, wanita dan lelaki saling tertarik. Itu biasa. Malah ketertarikan yang kuat ini turut dirasai oleh binatang jantan dan betina. Begitulah cara Allah menjamin berterusannya kehidupan di dunia.

Wanita dan lelaki saling jatuh cinta. Itu juga biasa. Islam menolak sistem yang cuba menghapuskan terus fitrah ini seperti merahibkan diri. Islam menawarkan solusi iaitu pernikahan untuk menyalurkan fitrah menjadi barakah.

Wanita dan lelaki sanggup berkorban segala-galanya demi cinta. Itu luar biasa. Tapi boleh membawa binasa. Tanpa asas agama, maruah diri sanggup dikorbankan sekali. Islam menutup pintu-pintu yang membawa kekejian untuk melindungi lelaki dan wanita daripada punca-punca keghairahan dan pencetus fitnah.

Wanita dan lelaki bercinta selepas nikah, saling melengkapi agama pasangannya. Ini jauh luar biasa. Dan ini barulah high class. Jika belum menikah, cinta menjadi high class apabila teruna dan dara saling tinggi mujahadah. Bantu si dia memahami dengan mengurangkan perjumpaan dan komunikasi. Ianya atas dasar urusan dan keperluan sahaja dengan menjaga syarat dan batasan.

Jika di luar batas urusan, mintalah fatwa dari hati. Kebaikan itu apa yang tenang dalam hati. Dosa itu apa yang was-was dan syak dalam hati. Nikmatilah indahnya saat menahan, bila halal, penuh keterujaan.

Saya cuba memahami, mawar dan kumbang berbeza untuk saling melengkapi. Mereka saling jatuh cinta kerana perbezaan itu. Lelaki sukakan sifat kewanitaan seorang wanita. Wanita sukakan sifat kelelakian seorang lelaki.

Lelaki dan wanita bagaikan botol dan penutupnya. Bagaikan elektron dan proton. Bagaikan baju dan seluar. Bagaikan sepasang selipar. Saling memerlukan.

Bukti saling memerlukan ini akan menjadi luar biasa dan high class jika diluapkan kepada insan istimewa bernama suami atau isteri, bukan untuk teman wanita atau teman lelaki. Kenapa ianya high class?

Itu tanda patuhi Allah.Itu tanda jauhi fitnah.Itu tanda sebuah mujahadah.

Jodohku, aku tidak tahu dirimu siapa dan entah di mana. Aku cuma tahu engkau ada, di dunia atau di syurga. Akan kusimpan perasaan ajaib ini. Akan kuluapkan untukmu setelah akad menghalalkan kita.' (Monolog Qani'ah Syumaila dalam novel Cinta High Class).

Oleh : Fatimah Syarha Mohd Noordin. Beliau merupakan penulis novel tauhid. Terbaru beliau menghasilkan novel Sebarkan CintaMu
(http://sebarkanbahagia.blogspot.com/)

Thursday, 14 October 2010

Kisah Wanita Tudung Labuh

Aku tidak mahu berbicara panjang tentang kewajipan menutup aurat. Apa yang ingin kukongsi di sini adalah tentang beberapa peristiwa dalam hidupku yang membuatkan aku berasa tudung labuh itu benar-benar istimewa. Allah banyak kali menyelamatkan dan memudahkan urusanku dengan asbab tudung labuh.

Dikejar Tebuan TanahDalam satu program motivasi remaja, aku menyertainya sebagai salah seorang fasilitator. Antara aktiviti yang dilakukan ialah jungle trekking. Aku mengetuai barisan remaja puteri yang siap sedia memasuki hutan. Taklimat dan doa dimulakan. Menderap ke tengah belantara, tiba-tiba peserta puteri paling depan terlanggar sarang tebuan tanah. Tebuan tanah berterbangan garang. Sedia menyerang. Peserta itu menjerit kesakitan kerana disengat. Peserta di belakangnya turut menjerit ketakutan. Aku yang turut berada di barisan depan ketika itu melaungkan takbir. Lantas mengarahkan peserta yang lain berundur. Mereka bertempiaran lari.

Sementara aku tetap bertahan di situ. Kututup sebahagian wajahku dengan tudung labuhku. Tangan turut kusembunyikan di bawah tudung labuh. Kulindungi beberapa peserta yang terkepung dengan tudung labuhku agar tidak disengat lagi. Segera kubawa mereka berundur. Ajaibnya, seekor tebuan pun tidak berjaya menyengatku. Subhanallah! Maha Suci Engkau yang menyelamatkan aku dengan secebis kain buruk ini.

Terlindung daripada Mata Mat RempitSuatu hari, aku ingin pulang ke kampusku di UIA setelah bercuti pertengahan semester di kampung halaman. Seperti biasa, aku membeli tiket bas dan berusaha mencari bas yang mempunyai tempat duduk seorang. Request. Ini penting bagi mengelakkan aku terpaksa bermalam di dalam bas dengan bertemankan seorang lelaki asing di sebelah. Akhirnya kumembeli tiket dengan sebuah syarikat bas yang belum pernah kunaiki . Sebelum menaiki bas, aku berpesan kepada pemandu kedua agar menurunkan aku di Greenwood. Semua mata terlena melepaskan kelelahan hidup dengan mengembara ke alam mimpi yang seketika. Kedengaran sayup-sayup suara pemandu bas mengejutkan aku dari tidurku. Lantas aku terjaga separuh sedar. Ketika itu, aku duduk di kerusi seorang paling depan, tidak jauh dari pemandu.

Jam baru menunjukkan pukul 4.30 pagi. Badanku amat penat dan urat kepala terasa merenyuk. Aku bangkit dari kerusiku dalam keadaan mamai menuruni bas. Ketika berada di luar bas, aku masih sangat mengantuk. Terasa secepat kilat bas meninggalkanku. Ya Allah! Aku terkejut kerana hanya aku seorang yang menuruni bas. Lagipun, tempat bas itu memberhentikan aku bukannya tempat perhentian bas di Greenwood seperti kebiasaan. Aku langsung tidak mengenali tempat itu. Tiada peluang untukku bertanya atau membatalkan saja tempat perhentian itu. Nyata aku sudah terlewat. Asap bas pun sudah tidak kelihatan.

Aku berada di sebuah perhentian bas. Jalan raya di hadapannya lurus. Lengang. Sunyi. Kawasan sekitarnya adalah kawasan perumahan yang sedang bergelap. Jalur-jalur cahaya hanya sedikit. Kupandang ke belakang dan mendapati tidak jauh dari situ terdapat sebuah masjid. Namun, ia kelihatan gelap. Sunyi. Kelihatan seekor anjing berwarna hitam, besar dan garang sedang berlegar-legar di luar pagar masjid. Ya Allah, pada-Mu aku bertawakal. Aku segera menelefon kenalan rapatku, Puan Norliza Mohd Nordin untuk mengambilku. Pada masa yang sama, mataku melilau mencari kayu atau besi yang akan kugunakan sebagai senjata seandainya anjing itu mendekatiku.

Di mana? Tanya Puan Norliza. Susah-payah aku cuba menerangkan lokasi yang asing itu. Tambahan pula, aku tidak dapat melihat papan tanda yang menunjukkan nama masjid. Kehadiran anjing itu membuatkan aku tidak berani menghampiri masjid. Sukar Puan Norliza mentafsirkan lokasi aku berada. Tiba-tiba, sekumpulan samseng jalanan dengan pelbagai aksi motosikal yang berbahaya berhenti beramai-ramai di seberang jalan tempatku berada. Bagaikan ada mesyuarat penting di situ. Aku tiada tempat bersembunyi. Apa yang mampu kulakukan adalah tetap berdiri di tempatku dan membaca segala ayat al-Quran yang pernah kuhafal. Tawakalku memanjat langit dunia. Kebetulan, aku berjubah hitam dan bertudung labuh warna hitam. Aku menggunakan kesempatan itu untuk menyembunyikan diriku di balik warna malam. Cebisan kain turut kututup pada wajahku yang berkulit cerah.

Saat yang amat mendebarkan dalam hidupku, kelihatan anjing yang garang sedang berlari ke arahku. Kupujuk hati, anjing itu akan baik padaku kerana ia tidak menyalak. Samseng jalanan pula seakan sedang memandang-mandang ke arah lokasiku. Ketika itu, aku mengucapkan dua kalimah syahadah berkali-kali. Aku siapkan emosi untuk berjihad mempertahankan diri. Biar nyawa jadi taruhan, menyerah tidak sekali! Allah menjadi saksi. Aku bagaikan tidak percaya apabila melihat anjing itu sekadar melintasiku seolah-olah langsung tidak melihatku di balik kegelapan. Walau bagaimanapun, aku masih resah melihat samseng jalanan asyik memandang ke arahku. Aku bertambah risau membayangkan Puan Norliza mungkin tidak dapat mengagak lokasiku itu kerana dia asyik menelefonku. Tiba-tiba samseng jalanan itu beredar. Bunyi ekzos mengaum pergi, pelbagai aksi. Mereka seakan-akan memandang dengan pandangan yang kosong sahaja ke arahku sebentar tadi. Puan Norliza pula sampai, menambahkan syukurku. Hatiku yakin, Allah telah menyelamatkanku di balik tudung labuh berwarna gelap itu. Alhamdulillah!


Ya! Ya! Ya! Kudengari suara-suara hatimu yang sedang berbisik, Ramai saja yang bertudung labuh tapi tak baik. Tudung tak labuh pun masih tutup aurat. Dont judge people by its cover. Kuhormati semua kata-kata ini sepertimana kuhormati dirimu yang masih bertudung. Alhamdulillah. Aku cuma berkongsi secebis pengalaman dalam hidupku yang menyebabkan kurasakan tudung labuh terlalu istimewa. Buat adik-adik remaja yang pernah bertanya, akak harap adik menemui jawapannya.
Menyelamatkan Beg Tanganku daripada RagutSeorang temanku dari Brunei sudah beberapa hari tidak datang ke kelas sarjana. Aku risaukan keadaannya. Apabila dia datang kembali, aku segera bertanya. Dia menunjukkan pipinya yang calar sambil bercerita dengan juraian air mata. Dua orang pemuda yang menunggang laju meragut beg tangannya. Dia ikut terseret. Ketika itu pula dia sedang mengandung dua bulan. Hampir-hampir keguguran. Kedua-dua lututnya terluka. Pipi dan tangannya tercalar. Berdarah.

Aku sedih mendengar ceritanya. Dia memegang hujung tudungku sambil menyimpulkan, Jika akak pakai tudung labuh macam ni, tentu diorang tak nampak beg tangan akak. Kata-kata itu membuatkanku benar-benar berfikir jauh. Aku bersyukur kepada Allah s.w.t. kerana tidak pernah menjadi mangsa ragut. Baru aku sedar, rupa-rupanya antara faktor yang menyelamatkanku adalah kerana beg tanganku sentiasa tersembunyi di bawah tudung labuh. Cuba anda bertanya kawan-kawan anda yang menggalas beg tangan di bawah tudung labuh, pernahkah mereka menjadi mangsa ragut?

Mendekatkan Jodoh dengan Lelaki Soleh
Aku hairan melihat beberapa orang temanku yang mulanya bertudung labuh tapi akhirnya menukar penampilan kerana takut tidak dipinang. Aku hormati penampilannya selagi masih menutup aurat namun jika itu alasannya, dia mungkin tersilap. Aku yang tetap bertudung labuh ini juga akhirnya yang agak cepat menerima pinangan. Suamiku mengakui antara faktor yang meyakinkannya pada agamaku saat memilih bunga untuk disunting adalah kerana nilai tudung labuhku. Wanita bertudung labuh lumrahnya hanya berani dirisik oleh lelaki yang mempunyai persiapan agama. Jika malas hidup beragama, mereka akan berfikir beribu kali untuk memiliki seorang suri yang bertudung labuh. Rasa tidak layak. Rasa perlu membaiki diri terlebih dahulu.

Pernah juga aku dan suami cuba memadankan beberapa orang temanku dengan lelaki-lelaki soleh yang kami kenali. Apabila biodata bertukar tangan, gadis bertudung labuh rupa-rupanya menjadi kriteria penting seorang lelaki soleh. Malang bagi temanku yang sebenarnya baik dan berbudi bahasa, namun kerana penampilannya itu melambatkan jodohnya. Benar, kita tidak boleh menilai seseorang hanya melihat luarannya. Namun, realitinya, kadang kala masa terlalu singkat dan peluang tidak ada untuk kita mengkaji dalaman seseorang sehingga terpaksa menilainya hanya melalui luarannya. Contoh realiti, jika kita ingin membeli nasi lemak di gerai. Kelihatan penjual di gerai yang pertama ialah seorang makcik bertudung labuh. Penjual di gerai kedua pula seorang wanita tidak bertudung dan rambutnya menggerbang lepas. Mana yang kita pilih? Kenapa cepat membuat pilihan sebelum mengkaji dalaman kedua-duanya dahulu? Apa nilaian kita ketika itu? Fikir-fikirkan.
Hormatilah Selagi Masih Menutup Aurat

Sumber:  Majalah Solusi 

Monday, 27 September 2010

Membongkar Misteri Dajjal

Budaya membaca sememangnya sangat bagus di terapkan ke dalam institusi kekeluargaan. Dalam keluarga kami, individu yang paling tepat di katakan sebagai "Ulat Buku", tidak lain selain daripada Abah.

Setiap kali ke kedai buku, akan ada buku yang akan dibeli sekiranya buku itu menarik perhatianya. Berbeza dengan ummi, yang mana ummi agak liat untuk membaca buku, malas untuk tekun memegang buku, membelek satu persatu helaian yang ingin di baca. Dari posisi duduk, sehinggalah ke baring dan akhirnya bukan kita yang baca buku, tetapi buku yang baca kita.. sebab tuannya sudah pun nyenyak tidur.

Memang susah untuk ummi habiskan sesebuah buku, hanya kerana sebab tadi lah. Tidak ada disiplin untuk membaca sesebuah buku itu sehingga habis. Bagi ummi, lebih senang ummi mengadap komputer dan mencari segala bahan bacaan dari internet. Cepat mendapat bahan dan internet ini merupakan 'Guru Segera' pada ummi. Banyak juga bahan - bahan bacaan yang menarik perhatian ummi untuk di baca. Sebab itulah, ummi tidak begitu hairan dengan buku - buku yang dibeli oleh Abah, hanya kerana malas nak membacanya secara tekun.

Namun, semasa abah balik dari sebuah kursus yang di hadirinya di KL baru - baru ini, ada sebuah buku yang agak menarik perhatian ummi. Buku itu bertajuk 'Membongkar Misteri Dajjal' dan di kulit hadapannya, di letakkan gambar mata sebelah di dalam segitiga. Ehh.. macam dalam cerita The Lord Of The Ring pula lah..terdetik dalam hati. Rupa - rupanya memang betul. Setiap filem yang dihasilkan oleh mat saleh ni, semuanya berdasarkan pembacaan mereka tentang dajjal itu sendiri, dan dijadikan rujukan bagi mereka untuk menghasilkan filem yang bagus. Antaranya, TLOTR, King Kong, Merlin, Narnia dan banyak lagi.. 

Selepas mendengar penerangan dari abah yang suka bercerita tu, membuatkan ummi terpaku. Selama ini, filem - filem yang ummi suka sangat tengok tu, adalah salah satu adaptasi dari kisah dajjal. MasyaAllah..

Abah yang pandai bercerita juga suka untuk menghuraikan kepada ummi bagaimana asal kewujudan dajjal itu sendiri, yang mana merupakan perancang sebenar konspirasi besar yang terjadi di dunia sekarang.

Buku yang dihasilkan ini, merupakan sebuah buku agama yang berusaha untuk menarik kita sebagai manusia untuk menyedari hakikat diri kita sebagai hamba Allah di muka bumi dan sekaligus dapat menarik pembaca untuk berfikir.

Tanggapan ummi pada buku yang abah baca kali ini amat berbeza. Amat elok untuk ummi baca dan cuba memahami apa yang ingin di sampaikan.

Ingin ummi kongsikan dengan semua terperinci tentang buku ini, namun semasa ummi melayari internet bagi mencari muka hadapan buku ini untuk di masukkan ke dalam entry ummi kali ini, terjumpa ummi akan satu tulisan yang memberikan kesimpulan tentang buku ini.

Oleh itu, terima kasih ummi kepada Mohd Nur Al Sufi Bin Romele atas garapan yang baik ini. Mohon kongsi dengan semua..

Bagi anda yang suka membaca, tidak rugi untuk mendapatkan buku ini untuk pembacaan anda. InsyaAllah bermanfaat untuk semua. Wallahua'lam.

-----------------------------------------------------------

Oleh : Mohd Nur Al Sufi Bin Romele

Baru-baru ini saya telah membaca sebuah buku yang amat menarik ntuk dikongsikan bersama. Buku tersebut ber genrekan buku agama dan pemikiran. Buku yang menyentuh berkenaan kewujudan Dajjal sebagai perancang konspirasi dunia sekarang. Tajuk buku tersebut adalah MEMBONGKAR MISTERI DAJJAL ditulis oleh Muhammad Nurani Maarif. Buku ini amat menarik untuk dibaca kerana gaya penulisan yang santai dan berfakta diadunkan bersama untuk menceritakan suatu hal yang amat serius.

Buku ini mengandungi 8 bab yang disusun dengan baik mengikut peringkat-peringkat yang saptutnya untuk memudahkan kefahaman pembaca terhadap isu yang ingin diceritakan. Kefahaman pembaca berkenaan isu yang diceritakan semakain bertambah apabila melalui bab demi bab. Berikut adalah senarai bab yang dibincangkan dalam buku ini.

BAB 1: MEMAHAMI HAKIKAT DAJJAL
BAB2: DAJJAL BERLINDUNG DI SEBALIK MISTERI DUNIA
BAB 3: MENJEJAKI PULAU MISTERI ; TAMIM AD-DARI
BAB 4: PENGEMBARAAN LELAKI MISTERI BERNAMA DAJJAL
BAB 5: DAJJAL IN PERSON
BAB 6: SAAT KEMUNCULANNYA
BAB 7: PERSIAPAN MENGHADAPI FITNAH DAJJAL
BAB 8: BENTENG TERAKHIR: SURAH AL-KAHFI DAN TAUHID IHSAN

Semasa saya hendak mendiskusikan buku ini, saya terfikir adakah saya ingin mendiskusikan buku ini bab demi bab ataupun secara keseluruhannya. Lalu saya saya mengambil keputusan untuk meyimpulkan buku ini secar keseluruhan supaya perbincangan yang dilakukan boleh mencapah dan terbuka.

Penulis buku ini cuba mengambil hadith sahih yang diriwayatkan oleh Amir Ibnu Sharahil Shabi Hamdan dan disampaikandari Fatimah binti Qais yang mendengar dari Rasulullah SAW yang menceritakan berkenaan Tamim Ad-Dari berjumpa dengan Dajjal disebuah pulau.

Hadith ini perlu diambil secara zahirnya tanpa perlu ditakwilkan kerana sebahagian yang mentakwilkan Hadith ini telah menyababkan bentuk sebenar Dajjal disalah fahami. Adakah Dajal itu individu ataupun kelompok ataupun hanya pemikiran ? penulis mengambil pendekatan untuk menilai Dajjal sebagai seorang individu atas beberapa nas dan dalil yang kuat. Penulis menegaskan bahawa bentuk sebenar dajal perlu dijelaskan kerana jika kita tidak mengenal bentuk musuh kita bagaimana kita hendak menentangnya seperti seorang budak yang hendak mandi di sungai tidak kenal buaya lalu mendapat cerita buaya seperti cicak sudah pasti budak tersebut berani mandi disungai tersebut tanpa persediaan ,tidak berhati-hati dan akan menjadi mangsa. Penulis juga cuba mengaitkan perihal dajjal dengan ibnu sayyad iaitu seorang sahabat di zaman rasulullah di dakwa adalah Dajjal.

Segala peristiwa dan kejadian misteri seperti batuan granie bulat di costa rica, tengkorak crystal, bongkah batu di Scotland, antikythera mechanism , Stonehenge di pulau easter, pyramid, ziggurat dan banyak lagi binaan dan alatan yang mempunyai perkitan yang rapat dan merupakan symbol ketamdunan yang mana dibelakangnya ada seorang ‘individu’. Individu yang mempunyai kebolehan akal yang tinggi, ilmu yang mendalam, pengaruh yang hebat dan yang memberi kesan yang besar kepada sesebuah ketamadunan. Semua perkara misteri tersebut dikaitkan dengan pembuatan teknologi yang tinggi yang tidak dapat di fikirkan oleh akal logic seperti ianya datang dari angkasa ataupun daripada masa hadapan . individu tersebut mempunyai team atau kumpulan tersendiri yang langsung atau tidak langsung bertindak sebagai kelompok yang membawa agenda individu tersebut dalam masyarakat seperti The Trule Society (antara tokoh yang terlibat Leonardo da Vincci, Francis Bacon dan beberapa yang terkenal), freemason, Illuminati dan seangkatan denganya.

Kehebatan individu tersebut terserlah dengan banyak konspirasi yang terancang dan peristiwa yang berlaku pada dunia sekarang amat berkait rapat dengan individu tersebut. Seolah-olah individu tersebut mengawal setiap kejadian yang berlaku untuk memastikan semua makhluk di alam ini tertakluk pada perancnagannya. Peristiwa seperti perang dingin, perang dunia kedua , peristiwa 11 september, kematian tokoh-tokoh besar dunia dan pelbagai lagi seperti dirancang oleh individu yang direelisasikan oleh golongan tertentu. Lalu penulis mengaitkan individu yang mempunyai perkitan dengan tamadun atlantis, segi tiga Bermuda, dipanggil sebagi merlin(mitos eropah) , dewa kaum madyan adalah individu yang sama dan dia adalah Dajjal.

Oleh itu, penulisan ini dibuat bukanlah hanya untuk dibentangkan fakta dan kesedaran semata-mata tetapi ia juga menyediakan beberapa penyelesaian untuk menangani fitnah Dajjal amat membingungkan ini. Pembentukan tauhid ihsan yang kuat dan kukuh dan ditambah dengan doa dan ayat Al-Kahfi ( hadith) diletakan sebagai penyelesaian yang terbaik kerana ini perupakan saranan dantegasan daripada Rasulullah SAW sendiri dan para sahabat. Saya mengharapkan diskusi buku ini dapat membuka minda kita semua untuk lebih lagi mendalami keilmuan dengan pembacaan yang banyak dan bertalaqi dengan guru yang sebenarnya seupaya kita tidak jatuh kedunia kejahilan yang akan memusnahkan diri kita semua.

*Pengulas buku Membongkar misteri Dajjal merupakan Presiden Persatuan Mahasiswa Pendidikan UTM Skudai. Beliau sebelum ini juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Saudara Kita (JKSK). Sangat aktif dalam berpersatuan sama ada di dalam mahupun di luar kampus. Beliau tidak kedekut berkongsi ilmu melalui blog beliau penunggang dunia.

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Powerade Coupons