Showing posts with label Cinta. Show all posts
Showing posts with label Cinta. Show all posts

Saturday, 28 July 2012

Rumahtangga : Kenali Musibah Terbesar

Kita menangis kepenatan. Penat rupanya alam rumahtangga ni - ke sana ke mari menjaga kebajikan suami dan anak. Bekerja di luar penat. Bekerja di rumah juga penat.


Kita menangis berjauhan. Setelah halal dalam pernikahan, berjauhan pula. Kerana tuntutan kerja. Atau belajar.

Kita menangis tidak cukup wang. Terpaksa berhutang. Tidak mampu bergembira macam pasangan lain. Makan minum malah bercatu. Terpaksa duduk rumah saja tidak cukup duit untuk petrol.

Kita menangis kerana ujian mertua dan ipar duai yang menarik banyak privasi rumahtangga. Kita menangis tersepit antara keluarga sendiri dan keluarga pasangan.

Kita menangis kerana pasangan atau anak-anak diuji sakit kronik yang menuntut seribu satu pengorbanan.

Antara banyak-banyak ujian ini, jangan lupa berhati-hati dengan ujian keimanan.

Musibah terbesar sebuah perkahwinan adalah apabila pasangan semakin jauh dari hubungan dengan tuhan. Solat diabaikan. Akhlak dengan Allah tidak dititikberatkan.

Musibah terbesar sebuah perkahwinan adalah apabila islam hanya pada nama dan kad pengenalan. Bukan pada rutin dan tujuan hidup seharian. Sedangkan islam is a way of life.

Musibah terbesar sebuah perkahwinanan adalah apabila amalan-amalan syirik dan khurafat menjadi pilihan. Percaya pada tangkal untuk memujuk anak menangis, atau ramuan bomoh menundukkan suami.

Musibah terbesar sebuah perkahwinan adalah apabila pasangan tahu akan kewajipan menuruti Sunnah dan Quran, tapi terus selesa dalam kejahilan dan kelalaian. Solat dilalaikan, pergaulan tanpa batasan, tiada peruntukan masa dan kewangan untuk mencari ilmu agama, aurat didedahkan besar-besaran, tidak amanah dalam pekerjaan.

Musibah terbesar sebuah perkahwinan ialah apabila suami isteri fokus membeli rumah besar dan kereta besar namun rumah itu seperti kuburan kerana jauh dari tilawah dan tadabbur Al Quran.

 

Bila rumahtangga diberi ujian kesenangan, adakah rasa bersyukur? Adakah kesenangan menambah ketaatan?

Bila seorang isteri dan ibu kurang ilmu kurang iman, nescaya akan mencipta musibah yang besar untuk generasi mendatang. Menyiapkan pakaian dan makan minum anak-anak, mengambil menghantar anak ke alam persekolahan. Apakah pemberian kita untuk menyiapkan jiwa anak itu melalui kehidupan dengan bertuhan? Anak-anak amat bijak mengukur kehebatan dirinya dengan peperiksaan, adakah mereka tahu mengukur nilai diri menurut Al Quran?

Musibah besar jika anak-anak kita tidak tahu hubungannya dengan tuhan, tidak tahu apakah ertinya hakikat kehidupan. Solat ditinggalkan, ibu bapa dibiarkan.

Ada suami dan anak-anak yang baik, adakah makin kenal dan cinta pada Allah? Atau sekadar kenal kemahuan suami dan anak-anak? Atau sekadar mengingati tanggungjawab kepada suami dan anak tanpa mengetahui tanggungjawab sebagai hamba Allah.

Sesungguhnya islam bukan sekadar adat kebiasaan. AL-Quran bukan sekadar menjadi pelengkap dulang hantaran. Bukan sekadar tersimpan tinggi di almari perhiasan.

Ayuh selamatkan diri dari musibah. Jalinkan hubungan dengan tuhan yang semakin ditinggalkan. Bina keutuhan diri dan famili dengan Al-Quran dan As Sunnah. Kenalkan diri kepada petunjuk Allah dan Rasul yang membawa kebahagiaan.

* Peringatan buat hati yang tidak hangat dengan iman... Hati sayakah itu.... :-(

KHA, 12 JUL 2012 13:35 | NURUL ADNI ADNAN | AINA AMIDIN

- Artikel iluvislam.com

 

Biodata Penulis

Nurul Adni Adnan dilahirkan 22 September 1984. Puteri sulung ayahbonda tercinta, Adnan Abdul Manap dan Normah Sabar. Anak ketiga dari sembilan beradik. Berasal dari Kuala Pilah, Negeri Sembilan. Kini menetap di Meru, Klang. Telah berumahtangga dan diamanahkan seorang cahaya mata. Beliau berkongsi karya di http://sisi-kehidupan.blogspot.com

 

Sunday, 1 July 2012

Tinggalkan Yang Haram Allah s.w.t bagi Yang Halal!

Di Damsyiq (Dimascus) terdapat sebuah masjid besar yang diberi nama Masjid at-Taubah. Ia merupakan sebuah masjid yang diberkati, indah dan mendamaikan. Di atas tapak masjid itu asalnya sebuah gedung tempat berlaku segala macam maksiat. Pada kurun ke 7 Hijriah, seorang raja yang memerintah ketika itu membeli gedung tersebut, meruntuhkan dan membina di atas tapaknya sebuah masjid.

Lebih kurang 70 tahun lalu, di masjid itu terdapat seorang syaikh atau mahaguru yang alim mendidik umat Islam di kampong itu. Namanya Syaikh Saleem as-Suyuti. Dia sangat dihurmati oleh penduduk setempat. Mereka menjadikannya tempat rujukan dalam semua urusan sama ada urusan dunia atau akhirat.

Di masjid itu juga terdapat seorang murid yang sangat miskin tetapi terkenal dengan kemuliaan akhlak dan budi pekerti yang luhur. Dia tinggal di sebuah bilik yang terdapat di dalam masjid.

Suatu ketika, dia diserang kelaparan yang tidak mampu ditahan kerana sudah dua hari tidak menjamah makanan dan tidak ada wang langsung untuk membeli makanan. Masuk hari ke tiga, dia rasa seolah-olah dia akan mati kebuluran. Lalu dia berfikir apa yang patut dilakukan.

Pada pendapatnya, keadaannya telah sampai ke tahap darurat yang mengharuskannya makan bangkai atau mencuri sekadar yang diperlukan. Maka dia memilih untuk mencuri.

Masjid itu terletak di sebuah kampong di mana kedudukan rumahnya rapat-rapat dan bumbungnya bersambung antara satu sama lain. Seseorang boleh berjalan meniti dari bumbung ke bumbung bermula dari awal kampong hingga ke hujungnya.

Si miskin tadi memanjat bumbung masjid dan meniti bumbung-bumbung rumah untuk mencari makanan. Apabila dia terpandang wanita di dalam rumah, dia akan segera menjaga mata dan menjauhkan diri dari rumah itu. Akhirnya dia ternampak sebuah rumah yang kosong dan terhidu bau makanan yang menyelerakan.

Perasaan lapar yang menguasai dirinya menjadikan bau makanan itu bagaikan magnet yang menarik-nariknya dengan kuat agar mengambilnya. Lalu dia melompat dari bumbung memasuki rumah tersebut. Dia terus ke dapur dan membuka periuk.

Didapati di dalam periuk itu beberapa biji terung yang telah dimasak, lalu dia mengambil sebiji. Kerana kelaparan yang teramat sangat, dia tidak menghiraukan kepanasan terung yang baru dimasak, lantas terus menggigitnya. Ketika hampir-hampir menelan terung itu tiba-tiba akalnya yang dipenuhi ilmu agama yang dituntutnya selama ini di masjid menyergahnya!

Hatinya berbisik: Aku berlindung dengan Allah! Aku seorang penuntut yang tinggal di dalam masjid, kemudian aku menceroboh masuk ke dalam rumah orang dan mencuri makanan yang ada di dalamnya?

Dia rasa terlalu besar dosa yang telah dilakukan. Dia amat menyesal dan beristighfar. Terung yang telah digigit itu dikembalikan di tempatnya. Dia segera keluar dari rumah itu dan terus kembali ke masjid. Ketika itu Syaikh sedang mengajar, lalu dia duduk di dalam halaqah bersama murid-murid lain. Namun kelaparan yang mencengkam dirinya menjadikan dia tidak dapat memberi tumpuan pada pengajaran Syaikh dan tidak faham apa yang didengarnya.

Setelah sesi pengajian tamat, semua murid-murid beredar dari halaqah. Tiba-tiba muncul seorang wanita dalam keadaan berselubung menutup seluruh tubuh seperti kelaziman wanita-wanita di kampong itu. Wanita itu berkata sesuatu kepada Syaikh, tetapi murid itu tidak mendengar apa yang dikatakannya.

Syaikh memandang sekeliling. Dia tidak Nampak ada orang lain di dalam masjid selain murid yang miskin itu.
Syaikh memamnggilnya dan bertanya, adakah kamu telah berkahwin? Dia menjawab, tidak!

Syaikh bertanya, adakah kamu ingin berkahwin? Dia diam.

Syaikh bertanya sekali lagi, adakah kamu ingin berkahwin?

Dia menjawab dengan jujur bahawa dia tidak mempunyai wang untuk membeli sesuap makanan untuk dirinya, maka untuk apa dia hendak berkahwin?

Syaikh berkata kepadanya bahawa wanita ini kematian suami. Dia orang asing di sini. Dia juga telah tidak ada sesiapa lagi di dunia ini kecuali seorang bapa saudara yang telah tua dan miskin yang tinggal bersama dengannya. Syaikh menunjukkan ke arah seorang lelaki tua yang duduk di sebuah sudut halaqah. Syaikh berkata lagi bahawa wanita ini telah mewarisi rumah dan harta peninggalan suaminya.

Dia mahu berkahwin mengikut sunnah Allah dan Rasul supaya dia tidak bersendiriann kerana dibimbangi akan menjadi tumpuan orang-orang jahat serta pergaulan yang haram. Jadi, adakah kamu mahu menikahinya?

Murid itu terus menjawab, ya!

Syaikh berpaling ke arah wanita itu dan bertanya, mahukah kamu menerimanya?

Wanita itu menjawab, ya!

Maka Syaikh memanggil bapa saudaranya dan dua orang saksi. Syaikh menikahkan mereka berdua dan membayar maskahwin bagi pihak muridnya.

Setelah selesai aqad, Syaikh berkata kepada muridnya, pimpinlah tangannya. Wanita itu memegang tangan suaminya dan membawanya pulang ke rumah. Setelah memasuki rumah, dia membuka kelubung yang menutupi mukanya, barulah murid itu dapat melihat wajah isterinya yang muda dan jelita.

Dia juga amat terkejut kerana rumah itu adalah rumah yang dia masuki sebentar tadi dan telah mencuri makanan daripada dapurnya.Isteri bertanya kepada suaminya, adakah kamu telah makan?

Dia menjawab, ya!

Dia membuka periuk dan melihat terung yang telah digigit. Dia berkata dengan hairan, siapa yang masuk ke dalam rumah dan menggigit terung?

Murid itupun menangis sambil menceritakan apa yang telah berlaku.

Isterinya berkata, inilah hasil amanah. Kamu menjauhkan diri dari terung yang haram, maka Allah berikan kamu rumah serta tuannya sekali dengan halal.

Diceritakan oleh Syaikh Ali at-Tantawi di dalam Muzakkiratnya dan dia berkata bahawa kisah ini benar-benar berlaku dan beliau kenal semua individu yang terlibat di dalam kisah tersebut.

Thursday, 17 May 2012

Dimana Jejaka Romantik?

”Ya Allah! Romantiknya suami dia! Dah beranak 5 tapi masih berjalan memimpin tangan isteri dia.  Tambah lagi minggu lepas saya ada nampak mereka ‘dating’ kat tepi pantai berdua-duaan. So sweet, kalau lah dapat suami macam tu..”


ROMANTIK MEMANG TERUJA

Apabila hari kekasih ataupun besday si dia makin tiba, bermain persoalan di minda, hadiah buat si dia? Dimana hendak bertemu dengannya? Suasana romantik yang menghangatkan cinta? Nak pakai baju apa?Haruman?

Si gadis rasa terharu, makin bertambah kasih kepada si jejaka. Baju couple, gelang ikatan, tali handset, cincin sepasang, menunjukkan diri mereka sehati sejiwa.

“Tiada wanita sehebatmu di dunia, mampu menggetarkan jiwa tatkala terpandang wajah, kekal cinta berkasih di hari membahagiakan. Dirimulah wanita idaman setiap lelaki, setiap detik bersama memancarkan sinar bahagia, terima kasih wahai cinta. Sungguh, aku mendambakan cintamu. Ikhlas dari hatiku, suamimu.”



Sweetnya, namun romantik itu hanya sia-sia, tanpa tujuan yang nyata. Hanya mengisi hati yang kosong dan sepi. TIdak pernah puas menagih kasih dan rindu. Cinta oh cinta!

Sifat romantik sememangnya menjadi kegilaan dan mengkhayalkan sesiapa. Membuatkan hati seseorang cair dan mudah terpikat. Kadang-kadang senyuman atau jelingan matanya sudah cukup menjadi igauan mimpi. Bak kata orang-orang tua tidur tak lena, makan tak kenyang, mandi tak basah tapi paling menakutkan sembahyang tak khusyuk!

Panahan mata si dia adalah panahan dari syaitan yang terus menerus menggoda anak Nabi Adam untuk turut sama berpimpinan tangan, menemani dia di Neraka jahannam (naudzubillah).

ANUGERAH KEHIDUPAN
Tataplah hidup ini dengan penuh cinta dan harapan…
Hidup adalah anugerah Allah kepada makhlukNya. Justeru, terimalah hadiah dari yang Maha Esa, ambillah dengan senang dan bangga. Hadiah Allah ini lebih bernilai daripada hadiah si dia, membuktikan betapa romantiknya, hangatnya cinta Allah sepanjang masa.

Allah tidak memberi hadiahnya pada masa tertentu, malah sepanjang masa.

Cinta Allah tidak pernah berhenti, mengajuk, sakit hati atau sekejap cuma.
Dia sentiasa dekat dengan hambaNya walaupun hambaNya tidak mahu menyembah dan mengesakan Allah


Hamba sedemikian tetap merasai kehadiran Allah dengan nikmat yang berada di sekeliling. Kerana sifat Allah ar-Rahman ar-Rahim. Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

Sifat Maha Pemurah Allah, maknanya Dia memberi rezeki dan nyawa kepada semua hambaNya sama ada yang beriman atau tidak, Melayu atau Cina, jahat atau baik, gila atau tidak. Manakala Sifat Maha Pengasih Allah hanyalah dikhususkan untuk hamba yang beriman.

Lihatlah betapa baiknya Allah. Betapa romantiknya Allah!

MENIKMATI KEHANGATAN ROMANTIKNYA ALLAH
Sambutlah waktu pagi yang cerah dengan senyum yang indah. Sambutlah malam yang tenang dan sunyi. Sambutlah siang yang bercahaya dan bersinar. Minumlah air yang jernih sambil memuji dan bersyukur. Hisaplah harum bunga dengan bertasbih. Dan renungkanlah alam raya sambil mengambil pengajaran yang berharga darinya.

Nikmatilah anugerah apa sahaja yang ada di bumi, di kelopak mawar, di panasnya matahari dan lain-lain. Jadikan anugerah itu sebagai penyokong untuk taat, bersyukur dan memuji Allah.


Namun, di sebalik itu Allah berpesan berhati-hatilah, janganlah sampai kita diliputi oleh kedukaan, kebingungan dan keadaan yang tidak menentu kerana nikmat-nikmat ini, sehingga kita menjadi orang yang keras kepala dan bongkak.

Ketahuilah bahawa Allah tidak menciptakan nikmat-nikmat ini kecuali dijadikan sebagai cara untuk menyembahNya, merasai kehadiranNya, bercinta denganNya.

SEMOGA ADA SINAR KEBAHAGIAAN!

“Ya Allah..
kurniakanlah kebaikan bagiku dalam beragama, yang merupakan kunci kehormatan bagiku.
Kurniakanlah kebaikan bagiku di dunia yang merupakan tempat aku menjalani hidup. Kurniakanlah kebaikan akhirat bagiku yang merupakan tempat aku kembali.

Jadikan kehidupanku senantiasa lebih baik. Jadikan kematian sebagai kebebasan aku dari segala keburukan..

Ya Allah..
Jadikan umur terbaikku di penghujungnya,
Jadikan amal terbaikku di penutupnya
dan jadikan hari-hari terbaik ku saat bertemu dengan Mu..
Amin..”

Sumber

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Powerade Coupons