Showing posts with label dakwah. Show all posts
Showing posts with label dakwah. Show all posts

Monday, 15 May 2023

Guru, Pelajar Dan Sukatan

A. Khadir dalam nusus itu, ada ulama’ yang mengatakan dia adalah insan, dan ada yang mengatakan dia adalah malaikat. Jika malaikat, maka dia menerima perintah Allah dalam melakukan sesuatu kepada makhlukNya.  Apa hairannya jika malaikat menjadi guru kepada Nabi Musa as. Malaikat Jibril umpama guru kepada Nabi Muhammad saw.

Malaikat tentunya tidak sama dengan manusia. Apa yang dilakukannya tidak tertauk kepada syariat kepada manusia. Malaikat maut misalnya, memang tugasnya mencabut nyawa!

Tamat.

B. Setinggi mana pun guru, tetap tidak akan menandingi, mangatasi ataupun melewati apa yang telah dibawa oleh Rasulullah saw.


C. Guru yang jujur tahu akan keterbatasannya.

Pelajar yang jujur juga tahu keterbatasan dirinya dan keterbatasan guru.

Dalam dunia ini ada guru yang tidak jujur dan ada pelajar yang tidak jujur, dan kita tidak mahu masuk ke dalam kedua golongan itu.


D. Syarat mendapat ilmu yang baik tidak berada pada pelajar dan guru sahaja, tetapi juga pada sukatan yang datang daripada wahyu kepada nabi terakhir.

Tiada wahyu lagi selepasnya.

Sukatan itulah yang membimbing guru dan pelajar.


E. Seni menyampaikan kebenaran tentang sesuatu adalah perkara lain pula, mesti sesuai dengan penerima dan sesuai dengan situasi semasa.

Adakalanya melalui cara 1, kebenaran dipandang serong dan menimbulkan gegak gempita. Namun melalui cara B penerima terpaksa mengangguk sahaja tanpa dapat berkata apa-apa.

Melainkan jika ada pemfitnah yang mengadu domba, twist di sana sini, maka kebenaran tenggelam dalam lautan kecelaruan dan ketakutan entah kepada apa.


F. Dalam usaha belajar agama, tidak semua orang berpeluang mendapat sukatan yang bagus. Tidak semua juga berpeluang mendapat guru yang bagus. Seringkali terdedah dengan selawat rekaan, guru yang membawa hadith palsu, ataupun guru yang salah hurai, saah faham dan lain-lain.

Ada juga yang berpeluang mendapat sukatan yang bagus, guru yang bagus, tetapi tidak pula mahu mengikut apa yang dia perolehi. Mahu yang dulu-dulu juga walaupun tidak diketahui asal usulnya.

Poin ini menyedarkan kita tentang kepentingan permohonan hidayah dalam setiap rakaat, permohonan hidayah dalam doa istiftah pembuka solat malam, dan kepentingan hidayah dalam doa pendek ajaran Nabi Muhammad saw dalam hadith yang sahih :

اللهم اهدني وسددني

Thursday, 6 April 2023

IKHLAS MEMAKMURKAN MASJID

🕌 Ikhlas Memakmurkan Masjid


🔴 Masjidul Haram dan Masjid Nabawi hidup dengan meriah dengan cara yang diajarkan oleh Rasulullah saw. Setiap ruang masjid tetap menjadi rebutan umat Islam di seluruh dunia. Sesekali mendapat kurma, roti dan buah-buahan, itu adalah bonus rezeki daripada Allah, bukan menjadi tujuan kehadiran.

Masjid al-Haram dan Masjid Nabawi tidak perlu ikon anak muda, tiada chicken chop, tiada zikir kuat didengari selepas solat, tiada juga selawat antara tarawih seperti di tempat kita. Tiada hadiah al-Fatihah kepada orang yang meninggal dunia. Tiada juga isu parti-parti politik yang terlibat.


Jika anda pernah menjejaki 2 tanah haram, tidakkah anda rindu kepada tanahnya? Pada ruang, atap dan tiang masjidnya? Pada panas dan dinginnya? Tidakkah anda rindu kepada azan dan bacaan imamnya, serta kepada seruan hampir setiap selepas solat fardhu :

الصلاة على الأموات ….. رحمكم الله!


Ada tempat yang Allah berkati, menjadi kiblah dan tumpuan umat Islam. Pengunjung perindu menghabiskan ribuan ringgit setiap tahun, dengan rela hati, walaupun ada yang membuat tuduhan jahat bahawa tempat suci itu sebagai tempat wahabi.


Hanya Allah yang memberikan taufiq kepada insan agar menghidupkan masjid-masjid Alllah. Hanya Dia yang membalas baik keikhlasan jiwa mereka memakmurkannya. 


🔴 Dan Dia berhak pula tidak menerima jika amalan yang dilakukan tidak ikhlas kepadaNya.


Di tempat lain ada masjid dikerumuni kerana ada kubur di bawahnya, sedangkan membina masjid di atas kubur menjadi larangan Nabi Muhammad saw. 


Ada juga masjid dihadiri ramai kerana penceramah jemputan sedap didengari tetapi mendakwa Allah dan nabi itu satu, wahdatul wujud…dakwaan dasyat yang mensyirikkan Allah dalam rumahNya.


Ada pula masjid dihadiri ramai kerana ada upacara zikir bising dalam gelap, dengan lafaz-lafaz yang tidak diajarkan oleh Nabi Muhammad saw. 


Ada masjid menjadi tempat mencaci maki, menyebarkan hadith palsu, sumpah seranah dan menuduh tanpa bukti. 


Qawl al-zur yang menjadi larangan kepada orang berpuasa dalam Ramadhan, hendaklah menjadi peringatan untuk dijauhi sepanjang bulan-bulan akan datang.


🔴 Insan yang bertanggungjawab mengelola masjid perlu menyemarakkan ilmu yang benar, pengajian al-Quran dengan disiplin yang betul, penceramah yang berdisiplin dan amanah dengan ilmu, hidupkan pengajian hadith-hadith yang sahih, jauhi hadith-hadith palsu yang memang bertebaran dalam ceramah dan buku-buku. Apatah lagi menggunakan hadith palsu itu sebagai rujukan dalam akidah, syariat dan etika, ia akan mencelarukan agama yang sedia lengkap diajarkan oleh Nabi Muhammad saw.


🔴 Masjid adalah tempat membina dan menzahirkan akidah sahih, syariat murni, dan akhlak mulia. Akhlak mulia terzahir pada masjid nabi pada zaman baginda saw, hatta kepada tawanan perang yang diikat di tiang masjid ketika itu.


Akhlak dengan Allah dan rasul ialah mengatakan yang benar tentang agama sebagaimana yang diwahyukan kepada kita.


Menepati ajaran wahyu…itulah punca kekuatan umat Ilslam sebenarnya.


❤️ Masjid adalah rumah Allah. Orang tua, dewasa dan anak muda ramai memakmurkannya kerana jiwa mereka tergantung-gantung padanya. 


Yang menggantung itu tentulah bukan dunia, tetapi akhirat.


Di sana ada ketenangan, bukan perbalahan. 

Di sana ada al-Quran dan sabda nabi, bukan pendustaan. 

Di sana ada kebenaran, bukan kepalsuan.

Di sana ada haruman pada saf-sufuf yang rapat dan lurus, lambang kesatuan. 

Di sana ada kekhusyukan dan kehambaan.


Memakmurkan masjid dengan ikhlas adalah amalan ‘mahal’ apatah lagi jika yang melakukannya adalah anak muda.


Salah satu golongan yang mendapat naungan Allah pada hari kiamat, pada masa orang lain berpanas terik membahang ialah orang-orang yang jiwanya tergantung-gantung di masjid, kerana ikhlas ingin beribadah di dalamnya. Satu lagi golongan khusus yang disebut hadith ialah anak muda yang dewasa dalam ketaatan beribadah kepadaNya.


Berdoa dengan doa penting ini dan ajarkan kepada ahli keluarga, lafazkan dengan penuh penghayatan dalam doa terakhir tasyahhud sebelum salam. Semoga dimudahkan beribadah dengan ikhlas, termasuklah memakmurkan masjid, dengan cara yang diajarkan oleh baginda saw :

اللهم أعني على ذكرك وشكرك 

وحسن عبادتك.


Siri 2 Puasa 1444H

15 Ramadhan

PQHDNH

Sunday, 22 January 2023

BERIMAN DENGAN QADAR DALAM ZIKIR SELEPAS SOLAT

 



🔴 Mu’awiyah ra. menulis (surat) kepada al-Mughirah bin Syu’bah ra :

“Tuliskan kepada saya apa yang saudara dengar Nabi Muhammad saw ucapkan selepas solat.”

Lalu al-Mughirah pun mengarahkan saya (Warrad) supaya menulis (kepada Muawiyah) :

“Saya dengar Nabi Muhammad saw ucapkan begini selepas solat :

لَا إلٰهَ إلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ ، 
Tiada Tuhan yang layak disembah melainkan Allah, satu-satuNya, tiada sekutu bagiNya.
لَهُ المُلْكُ وَلَهُ الحَمْدُ وَهُوَ عَلى كُلّ شَيءٍ قَديرٌ .
BagiNya segala kerajaan, dan bagiNya segala pujian, dan Dia Maha Berkuasa atas setiap sesuatu.

اللَّهُمَّ لَا مَانِعَ لِما أَعْطَيْتَ وَلَا مُعْطِيَ لِمَا مَنَعْتَ
Ya Allah! Tiada siapa dapat menahan apa yang Engkau beri, dan tiada siapa yang dapat memberikan apa yang Engkau tahan. 
وَلَا يَنْفَعُ ذَا الجَدِّ مِنْكَ الجَدُّ.
Dan tiada manfaat pemilik kemuliaan dan kekayaan (kerana) daripada Engkaulah kemuliaan dan kekayaan itu. (Yang bermanfaat hanyalah amalan soleh yang dilakukan keraanMu).

Kata Ibn Juraij, ‘Abdah memberitahu bahawa Warrad yang memberitahunya tentang perkara ini, “Saya dihantar kepada Mu’awiyah (dengan membawa surat tersebut). Kemudian saya dengar Muawiyah (semasa dia berkhutbah) memerintahkan orang ramai supaya membaca lafaz zikir selepas solat itu.”


(Sahih Bukhari, Kitab Ketentuan Allah, Bab Tiada Siapa Pun Boleh Menahan Apa Yang Allah Beri, dan Kitab Sifat Solat Nabi saw, Bab Zikir Selepas Solat.) 


📌Keterangan :

1. Urusan surat menyurat ini berlaku semasa Muawiyah menjadi khalifah, manakala al-Mughirah bin Syu’bah menjadi gabenornya di Kufah.


2. Muawiyyah dan al-Mughirah kedua-duanya adalah sahabat Nabi Muhammad saw. Muawiyah adalah adik ipar Nabi Muhammad saw, kerana kakaknya Ummu Habibah binti Abi Sufyan adalah isteri Nabi Muhammad saw. 


3. Para sahabat saling merujuk di antara satu sama lain untuk mendapatkan ilmu tinggalan Nabi Muhammad saw dan juga untuk mengesahkan sesuatu hadith.


4. Warrad adalah jurutulis/kerani bagi al-Mughirah bin Syu’bah.


5. Beginilah sifat sahabat Nabi Muhammad saw yang sangat sayang kepada nabi dan sangat tekun hendak beramal dengan amalan yang diajarkan oleh Nabi Muhammad saw. Mereka tidak mencipta sendiri zikir selepas solat.


6. Sifat kepimpinan dan tawadu’ Muawiyah terserlah dalam bab menuntut ilmu dan mengarahkan rakyatnya agar mengikut sunnah Nabi Muhammad saw. 


7. Nilai iman kepada qadar sangat tinggi dalam doa/zikir selepas solat ini. Menghayati maknanya boleh meningkatkan iman, serta meningkatkan estim diri, khususnya apabila kita sedang dirundung masalah.



8. Doa dan zikir ini mengandungi pengiktirafan dan iman yang lengkap kepada Allah sebagai Rabb, Ilaah dan juga nama dan sifat Allah swt yang terkandung di dalamnya.


9. Kita adalah hamba Allah yang terpaksa menerima semua ketentuanNya. Berdoalah bersungguh-sungguh agar kita sentiasa mendapat petunjuk dalam kehidupan kita, dan agar kita tidak diputuskan menerima ketentuan-ketentuan buruk di dunia dan di akhirat.





Berusahalah sedaya upaya mengikut jalan lurus yang terbentang, dekati sahabat-sahabat dan ahli keluarga yang boleh mengingatkan, semoga kita bersama dengan mereka yang diberi nikmat iaitu para nabi, penerima kebenaran, orang-orang mati syahid dan orang-orang saleh. Gerunnya jika ditentukan berada pada jalan orang yang dimurkai Allah, iaitu golongan yang tahu tetapi tidak mahu. Gerunnya jika ditentukan berada pada jalan orang-orang yang sesat, tidak menjumpai jalan kebenaran…lalu terus berada pada jalan-jalan lain yang bersimpang siur sepanjang kehidupan.
 
Tiada kurniaan paling besar melebihi kurniaan Allah berada pada jalan yang lurus, kerana jalan itulah yang akan membawa kita kepada kebahagian hidup yang kekal.

 

🔴 وأنه هو أضحك وأبكى

1 Rejab 1444 H

Isnin 

23 Januari 2023.






Wednesday, 22 October 2014

NABI 'ISA ITU, HAMBA ALLAH DAN UTUSAN-NYA

Soalan :



Seorang Kristian di negara Barat telah memeluk Islam dalam satu majlis. Beliau mengucapkan dua kalimah syahadah, tetapi selepas itu menambah (diajarkan kepadanya agar menambah sebutan) iaitu 'Dan 'Isa itu hamba-Nya serta pesuruhNya.'



Persoalannya, bolehkah dua kalimah syahadah ditambah begitu?




Jawa
pan :



Alhamdulillah.



Islam berkembang baik, di Timur, mahupun di Barat. Dalam banyak keadaan, umat Islam di sana berdakwah lebih baik daripada kita, dengan persediaan ilmu dan peralatan yang cukup, antara lain kerana mereka memahami tingginya nilai akidah yang benar, masyarakat mereka rencam dan mereka telah terbiasa dengan budaya ilmu.















DUA KALIMAH SYAHADAH, TIDAK BOLEH KURANG, TIDAK BOLEH LEBIH



Syahadah memang ada dua komponen, dua kalimah, sepertimana yang dimaklumi. Orang yang hendak memeluk Islam, mesti meyakini dan mengucapkan dua kalimah syahadah itu. Mesti berikrar bahawa tiada Tuhan yang layak disembah melainkan Allah, dan berikrar bahawa Nabi Muhammad saw itu pesuruh Allah.





Kata Ibn Rajab al-Hanbali, maksud mengucap dua kalimah syahadah itu ialah beriman kepada Allah dan rasulNya. (Jami' al'Ulum wa al-Hikam, syarah hadith ke-3)



Demikian asalnya. Tidak boleh dikurangi menjadi satu kalimah sahaja, dan tidak boleh lebih daripada dua.



Namun, tambahan yang (diajarkan) diucapkan oleh saudara baru itu :



1. Bukan tambahan menjadi 3 kalimah syahadah, tetapi ia lebih kepada sebagai pengukuhan kepada kalimah syahadah yang pertama, iaitu beriman kepada Allah.

2. Bukan ditambah sendiri sewenangnya. Ia dibuat berdasarkan al-Quran dan hadith sahih.

3. Bukan kemestian semua orang yang hendak masuk Islam perlu mengucap seperti itu.



Tambahan 'Dan 'Isa itu hamba-Nya serta pesuruhNya' dibuat berdasarkan al-Quran (Surah al-Nisa' ayat 171) dan hadith sahih.



Firman Allah swt :















Sabda Nabi saw :






( مَنْ شَهِدَ أَنْ لا إِلَهَ إِلا اللَّهُ وَحْدَهُ لا شَرِيكَ لَهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ وَأَنَّ عِيسَى عَبْدُ اللَّهِ وَرَسُولُهُ وَكَلِمَتُهُ أَلْقَاهَا إِلَى مَرْيَمَ وَرُوحٌ مِنْهُ وَالْجَنَّةُ حَقٌّ وَالنَّارُ حَقٌّ أَدْخَلَهُ اللَّهُ الْجَنَّةَ عَلَى مَا كَانَ مِنْ الْعَمَلِ )



Maksudnya :




"Sesiapa yang mengaku/bersyahadah bahawa tiada Tuhan yang layak disembah melainkan Allah, tiada sekutu bagiNya, dan bahawa Muhammad itu hambaNya dan utusanNya, dan bahawa 'Isa itu hamba Allah, utusanNya, dan (yang diciptakan dengan) kalimahNya yang disampaikan kepada Maryam, dan (dengan tiupan) roh daripadaNya, dan bahawa syurga itu benar, neraka itu benar, Allah akan masukkan dia ke dalam syurga, biar bagaimanapun amalannya." (Masuk syurga mengikut darjat amalan masing-masing)


-Sahih Bukhari, Kitab Ahadith al-Anbiya'-



Kata Syeikh Muhammad Saleh al-Munajjid :




"ولما كان هذا الاعتقاد الباطل موجوداً عند النصارى كان من الواجب على من دخل منهم الإسلام أن يتخلى عن اعتقاداته الباطلة التي تناقض الإسلام والتي منها هذا الاعتقاد كما ثبت عَنْ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم انه قال ....."



"Oleh kerana i'tiqad yang salah ini (percaya bahawa 'Isa itu anak Tuhan) wujud di kalangan orang Kristian, maka menjadi kewajipan bagi sesiapa di kalangan mereka yang masuk Islam agar membersihkan kepercayaannya yang salah itu, yang bertentangan dengan Islam. Sebagaimana telah thabit daripada Nabi saw bahawa baginda bersabda..."(seperti hadith di atas).



Kata al-Qurtubi, sebagaimana disebutkan oleh Ibn Hajar dalam Fath al-Bari dalam penerangan/syarah hadith tersebut :



"Dan digunakan (kalimah وَأَنَّ عِيسَى عَبْدُ اللَّهِ وَرَسُولُهُ  ) semasa mengajarkan (syahadah) orang Kristian apabila dia hendak masuk Islam.)"



Maka kita fahami bahawa, mereka menyebutnya dalam syahadah bagi memastikan akidah mereka benar-benar bersih daripada kepercayaan sebelumnya yang telah lama berakar umbi dalam diri, dan tambahan itu tidak bertentangan dengan prinsip dan kaedah dalam ajaran Islam, malah ada asasnya daripada al-Quran dan hadith nabi saw yang sahih.



Tambahan penting :



Adapun golongan syiah, mereka menambah syahadah tanpa dalil daripada al-Quran mahupun hadith. Mereka menambah "Dan aku percaya bhw 'Ali adalah wali Allah.' Syahadah begini batil, tidak sah Islam dengan syahadah begini, antaranya kerana mereka telah menambah komponen syahadah, menjadi 3 kalimah.



والله اعلم




Rujukan tambahan :



1. http://www.dorar.net/enc/adyan/377

2. http://islamqa.info/ar/26301

3. http://islamqa.info/ar/10683

4. http://library.islamweb.net/newlibrary/display_book.php?bk_no=52&ID=&idfrom=6052&idto=6348&bookid=52&startno=112

5. http://www.ahlalhdeeth.com/vb/forum/المنتدى-الشرعي-العام/120769-وأشهد-أن-عيسى-رسول-الله-هل-تجوز-هذه-الزيادة-عند-النطق-بالشهادة-من-نصراني

6. http://islamqa.info/ar/82857

7. http://www.dorar.net/enc/firq/1507


8. Ibn Rajab al-Hanbali, Jami' al-Ulum wa al-Hikam, (Tahqiq oleh Dr. Mahir Yasin al-Fahl).




 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Powerade Coupons