Tuesday, 15 December 2015

TAHLIL ITU UCAPAN KALIMAH لا إله إلا الله






























SOALAN









Mengapa ada ustaz ustazah larang tahlil, ada yang suruh tahlil selepas kematian?



Apa sebenarnya hukum kenduri kematian. Bagaimana pula dengan membuat tahlil dan kenduri arwah untuk nenek moyang yang telah lama meninggal dunia?








JAWAPAN









1. Asal Makna Tahlil









Tahlil itu maksudnya sebutan kalimah  لا إله إلا الله.









Tahlil adalah serangkai dengan tasbih iaitu سبحان الله, tahmid iaitu الحمد لله, dan takbir iaitu lafaz الله أكبر. 









Semua lafaz itu adalah zikir, diganjari pahala yang besar apabila kita menyebutnya, dengan syarat kita memahami dan menghayatinya.









Jika ada orang bukan Islam melagukan kalimah لا اله الا الله tanpa memahami dan tanpa terlintas sedikitpun akan apa maknanya, dia tidaklah dikira memeluk Islam, dengan kata lain, tidaklah dikira sebagai bersyahadah.









Sebab, syahadah mesti lahir dari lubuk jiwa, diasaskan oleh keyakinan yang mendalam.









Zikir pun begitu, tidak sama nilai di sisi Allah zikir sekadar sebut dengan zikir dengan penghayatan dan kefahaman.









2. Tahlil Selepas Kematian









Jika kita mencari 'tahlil selepas kematian' dalam kitab-kitab fiqh yang mu'tabar, kita tidak akan menjumpainya. 





Jika kita mencari dalam kitab-kitab syarah hadith yang mu'tabar, pun kita tidak akan menjumpainya.





Jika kita mencari dalam al-Quran, sudah tentulah, kita tidak akan menemuinya.









Ini kerana 'tahlil selepas kematian' bukan suruhan Allah dan RasulNya, bukan suatu perkara yang disuruh kita melakukannya setiap kali ada kematian. Apa yang disuruh dalam agama ialah menguruskan jenazah bermula dengan menunaikan hutang-hutang si mati secepat mungkin sekiranya ada, memandikan jenazah, mengapankan, menyembahyangkan, dan mengkebumikan. Seterusnya menunaikan 'hutang-hutangnya dengan Allah azza wajalla', sebagaimana Nabi saw membenarkan ahli keluarga mengqada' puasanya dan melakukan ibadat haji sekiranya dia meninggal dunia ketika dalam keadaan mampu tetapi tidak sempat menunaikan.









Adapun membuat majlis tahlil untuk arwah, tidak pernah disuruh oleh nabi saw, maka ia bukanlah suatu perkara yang wajib, sunat ataupun harus kita lakukan, kerana ibadah memerlukan dalil yang jelas untuk dijadikan sandaran.



Dakwaan mengatakan tahlil adalah 'khilaf' adalah tidak berasas, jika kita betul-betul mengkaji dan meneliti secara jujur dan ilmiah.









Masyarakat Melayu biasanya melakukan tahlil arwah ini bersama dengan kenduri. Malah suatu ketika dahulu majlis tersebut dibuat dengan asas kepercayaan yang salah, iaitu makanan yang disediakan dalam majlis tahlil itu boleh menjadi pendinding daripada api neraka bagi si mati. Biasanya para hadirin akan membaca ataupun mengulangi kalimah tahlil seratus kali, lalu dihadiahkan kepada si mati. Mereka sanggup berhabis wang untuk majlis ini, walaupun mereka sangat memerlukan wang untuksara hidup, kerana mereka percaya ia meringankan beban arwah di alam barzakh.









3. Kenduri Arwah Untuk Nenek Moyang









Kenduri arwah dan tahlil arwah biasanya dilakukan serentak. Ada yang tidak dilakukan sejurus selepas kematian, ataupun pada hari-hari tertentu selepas kematian, sebaliknya dibuat ketika ahli keluarga ingin membuat jamuan, ataupun mensyukuri sesuatu.



Kenduri arwah terbahagi kepada dua, ada yang disertai majlis tahlil, dan ada yang tidak disertai dengan majlis tahlil. Namun konsep dan tujuannya tidak jauh berbeza. Pahala kenduri hendak diberikan kepada si mati, begitu juga pahala melafazkan tahlil itu.











4. Kelompok Masyarakat



Didapati masyarakat kita yang secara umumnya cakna terhadap agama terbahagi kepada 2 golongan. 









Pertama golongan yang memang tidak membuat kenduri arwah.






Kedua, golongan yang membuat kenduri arwah.









Bagi golongan pertama, iaitu yang tidak membuat kenduri arwah, mereka terbahagi kepada 2 golongan pula. 









* Pertama, golongan yang memang asalnya daripada keluarga yang tidak membuat kenduri arwah. Oleh yang demikian, mereka tidak membuat kenduri arwah apabila ingin membuat majlis keramaian ataupun kesyukuran, ataupun menjemput rakan taulan menjamah jamuan di rumah mereka. Mereka akan menjemput atas nama majlis kesyukuran, rumah terbuka dan lain-lain. Mereka juga melakukan sedekah secara langsung untuk ibubapa mereka, tanpa membuat sebarang majlis. Contohnya, mereka berikan wang RM300 kepada 3 keluarga miskin.









Biasanya golongan pertama ini adalah golongan yang mamahami kedudukan amalan tahlil selepas kematian, iaitu tidak ada asas ataupun suruhan dalam syariat Islam.









* Kedua, golongan yang asalnya mengamalkan kenduri arwah. Cuma akhirnya mereka tinggalkan selepas mendapat penjelasan, hasil daripada pembelajaran dan kesungguhan mereka ingin memahami agama. 





Golongan kedua ini, meskipun agak mengambil masa kerana biasanya mereka datang daripada keluarga yang memang mengadakan tahlil selepas kematian, dan seringkali membuat majlis makan-makan untuk sanak saudara dan sahabat handai atas nama kenduri arwah, akhirnya memilih pendirian yang jelas setelah mereka memahami kedudukan sebenar. Mereka asalnya membuat kenduri arwah kerana menyangka ia adalah suruhan agama yang penting, tidak boleh jika tidak dilakukan, malah roh akan bersedih jika tahlil ataupun kenduri arwah tidak dibuat. Mereka meninggalkan amalan itu atas dasar kefahaman dan komitmen terhadap agama, dan ingin melakukan perkara yang lebih utama dalam agama.









Apa Yang Lebih Utama?









Islam tidak mensyariatkan tahlil arwah ataupun kenduri arwah untuk berbakti kepada ibubapa yang sudah meninggal dunia. Jika ia benar-benar bermanfaat, pendetailannya akan ada dalam hadith-hadith yang sahih, seperti soal menguruskan jenazah.



Hadith-hadith yang sahih membawa kita kepada fakta-fakta berikut :



1. Amalan sedekah berbentuk harta boleh dilakukan untuk si mati oleh anak-anaknya.



2. Nabi Muhammad saw tidak pernah menganjurkan majlis tahlil untuk mana-mana individu, sebagaimana baginda saw tidak menghadiahkan bacaan zikir kepada si mati.



3. Nabi Muhammad saw mendoakan kebaikan dan memohon keampunan untuk si mati, iaitu doa dan istighfar.









* Kita boleh bersedekah terus tanpa perlu menghebahkan atas nama tahlil arwah.



* Jika hendak berkenduri, kita boleh membuat kenduri atas nama kenduri kesyukuran ataupun nama-nama lain, 



* ataupun disertai dengan sisipan majlis ilmu ataupun tazkirah kepada orang yang masih hidup. 









* Bagi anak-anak, kenangkan kembali pesanan-pesanan berharga yang pernah dititip oleh ibubapa, yang selari dengan syariat. 



Sebagai contoh, jika mereka pernah berpesan agar meninggalkan rokok, tinggalkan rokok adalah lebih utama berbanding mengadakan majlis tahlil arwah. 



Ataupun jika mereka pernah berpesan membantu satu keluarga dari kaum kerabat yang susah, membantu mereka lebih utama berbanding mengadakan kenduri arwah.









* Menaja seorang pelajar mendalami ilmu syariat Islam dengan disiplin yang betul secara senyap-senyap, jauh daripada hebahan, adalah lebih utama dan berpanjangan manfaatnya daripada mengadakan tahlil arwah.









* Berdoalah untuk mereka yang telah meninggal dunia dengan ikhlas dan bersungguh-sungguh jika betul kita sayang kepada mereka. Pilih waktu-waktu doa yang mustajab seperti waktu qiyamullail ataupun setiapkali selepas solat fardhu. 









Tidak perlu hendak tunggu berdoa dalam majlis tahlil arwah yang tidak  disyariatkan.









Persoalan Ustaz Dan Ustazah









Kita yang ditanya dan sedang menjawab pertanyaan, suatu ketika dahulu pernah tersepit dalam dua keadaan. 









Keadaan pertama menghimpit di sebelah kanan, iaitu kewajipan menerangkan KEDUDUKAN SEBENAR bahawa majlis tahlil dan kenduri arwah bukanlah suruhan Islam, tetapi masyarakat menganggapnya sebagai suatu kemestian. 









Keadaan kedua menghimpit di sebelah kiri, iaitu KEHENDAK MASYARAKAT KETIKA ITU yang suka menjemput ustaz dan ustazah supaya mengendalikan majlis tahlil dan kenduri arwah yang mereka adakan. Biasanya kita akan mendapat penghormatan dan sedikit saguhati atas jemputan tersebut.









Apabila tersepit begitu, apakah piawaian yang penting bagi kita membuat pilihan?









Akhirnya kita memilih untuk menyebarkan kefahaman yang pernah kita perolehi, dan abaikan kehendak masyarakat ketika itu. 



Mengabaikan kehendak masyarakat bermakna kita tidak lagi dijemput, tidak lagi diberi sagu hati dan tidak lagi mendapat penghormatan dalam majlis begitu.









Jika kita memilih keadaan kedua, iaitu mengikut kehendak masyarakat, sampai bila masyarakat akan mendapat kefahaman yang jelas, kerana orang yang telah diberi faham oleh Allah swt tidak menyampaikan kepada mereka?






Sesetengah hujah mengatakan nabi saw tidak menyuruh, tetapi nabi saw. juga tidak pernah melarang. Kita menjawab, bukankah Nabi Muhammad saw pernah melarang bid'ah secara umum, iaitu mengadakan ibadat ataupun amalan baru dalam agama? 



Suatu ketika dahulu, ada segelintir masyarakat yang mengamalkan puasa sempena Isra' Mi'raj. 



Jika dicari dalil yang menunjukkan Nabi Muhammad saw menyuruh, memang tidak ada. 



Jika dicari dalil Nabi Muhammad saw melarang, memanglah tidak ada. 



Tetapi para ulama' tiada seorang pun mengatakan wujudnya solat sunat sempena Isra' Mi'raj, kerana tarikh peristiwa itupun tidak jelas dalam rekod sejarah, dan tiada hadith yang menyebut tentang puasa itu melainkan yang wujud ialah hadith palsu!



Adakah kerana tiada larangan, kita boleh wujudkan puasa sunat selain yang diajarkan oleh Nabi Muhammad saw?



Tidak boleh. Ia kembali kepada prinsip :



الأصل في العبادات التوقيف

 الأصل في العادات الإباحة







Di dunia, kita boleh berhujah dengan manusia dengan pelbagai alasan.









Di akhirat, kita akan ditanya adakah kita amanah terhadap ilmu syariatNya yang sangat agung.







والله الموفق


 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Powerade Coupons