Thursday, 29 July 2010

HENDAK KE MANA LAGI






Aduh.









Apa
sahaja yang kita lalui, senang ataupun susah, kaya ataupun miskin, gembira
ataupun sedih, kita tetap akan mati. Kita tidak dapat berusaha supaya tidak
mati sampai bila-bila, dan tidak boleh berdoa supaya tidak mati sampai
bila-bila. Kita juga tidak dapat berusaha supaya tidak hidup semula di akhirat
nanti.





Apabila
kita membaca al-Quran, kita dapati banyak ayat mengingatkan kita tentang mati.
Dalam surah al-Rahman ayat 26 dan 27, Allah menegaskan, semua perkara yang ada
di bumi ini akan binasa. Dan kekallah Allah, Tuhan
yang memiliki segala keagungan dan kemuliaan.





Dalam
surah al-Nisa' ayat 78 pula Allah mengatakan, walau di manapun kita berada,
mati pasti akan tetap menjumpai kita, sekalipun kita bersembunyi dalam benteng
yang tinggi dan kuat.





Walau
apapun usaha dilakukan, tidak ada seorangpun manusia dapat lari daripada mati.
Kita tidak dapat bersembunyi di dalam lubang dan tidak dapat lari ke gunung
tinggi. Kita tidak dapat berlindung dalam bangunan yang dibuat dengan dengan
bahan apa sekalipun. Sains boleh mencipta bahan yang kalis api, kalis air,
kalis bunyi, kalis cahaya dan kalis peluru, tetapi tidak akan ada satu bahan
pun yang kalis mati.






Orang
yang menyedari akan hakikat yang perlu mereka lalui tidak akan berdiam diri,
ataupun bergoyang kaki. Sebabnya, mereka tidak dapat memastikan, adakah masa yang berbaki buat mereka masih
panjang ataupun sudah suntuk. 






Saya
baru sedar, patutlah orang-orang yang soleh sentiasa bergerak maju ke
hadapan, tidak
menoleh lama kepada pujian mahupun kritikan. Mereka menunjukkan teladan
yang baik kepada kita. Perbaikilah mana yang silap, tambahlah bekalan, pasang kemaskan semula 'skru' niat,
kemudian mari kita teruskan perjalanan sebagai seorang hamba, seorang
manusia, seorang khalifah.





Yang
penting, kita berdoa agar Tuhan menunjukkan kita jalan yang lurus, dan menetapkan
kita pada jalan itu. 




اللهم اهدني وسددني

Sunday, 25 July 2010

WAHAI TUHANKU
































أعوذ بالله من الشيطان الرجيم


بسم الله الرحمن الرحيم




وَأَيُّوبَ إِذۡ نَادَىٰ رَبَّهُ ۥۤ أَنِّى مَسَّنِىَ ٱلضُّرُّ وَأَنتَ أَرۡحَمُ ٱلرَّٲحِمِينَ (٨٣) فَٱسۡتَجَبۡنَا
لَهُ ۥ فَكَشَفۡنَا مَا بِهِۦ مِن ضُرٍّ۬‌ۖ وَءَاتَيۡنَـٰهُ أَهۡلَهُ ۥ
وَمِثۡلَهُم مَّعَهُمۡ رَحۡمَةً۬ مِّنۡ عِندِنَا وَذِڪۡرَىٰ
لِلۡعَـٰبِدِينَ (٨٤)
وَإِسۡمَـٰعِيلَ وَإِدۡرِيسَ وَذَا ٱلۡكِفۡلِ‌ۖ ڪُلٌّ۬ مِّنَ ٱلصَّـٰبِرِينَ (٨٥) وَأَدۡخَلۡنَـٰهُمۡ فِى رَحۡمَتِنَآ‌ۖ إِنَّهُم مِّنَ ٱلصَّـٰلِحِينَ (٨٦) وَذَا
ٱلنُّونِ إِذ ذَّهَبَ مُغَـٰضِبً۬ا فَظَنَّ أَن لَّن نَّقۡدِرَ عَلَيۡهِ
فَنَادَىٰ فِى ٱلظُّلُمَـٰتِ أَن لَّآ إِلَـٰهَ إِلَّآ أَنتَ
سُبۡحَـٰنَكَ إِنِّى ڪُنتُ مِنَ ٱلظَّـٰلِمِينَ (٨٧)
فَٱسۡتَجَبۡنَا لَهُ ۥ وَنَجَّيۡنَـٰهُ مِنَ ٱلۡغَمِّ‌ۚ وَكَذَٲلِكَ نُـۨجِى ٱلۡمُؤۡمِنِينَ (٨٨) وَزَڪَرِيَّآ إِذۡ نَادَىٰ رَبَّهُ ۥ رَبِّ لَا تَذَرۡنِى فَرۡدً۬ا وَأَنتَ خَيۡرُ ٱلۡوَٲرِثِينَ (٨٩) فَٱسۡتَجَبۡنَا
لَهُ ۥ وَوَهَبۡنَا لَهُ ۥ يَحۡيَىٰ وَأَصۡلَحۡنَا لَهُ ۥ زَوۡجَهُ ۥۤ‌ۚ
إِنَّهُمۡ ڪَانُواْ يُسَـٰرِعُونَ فِى ٱلۡخَيۡرَٲتِ وَيَدۡعُونَنَا
رَغَبً۬ا وَرَهَبً۬ا‌ۖ وَڪَانُواْ لَنَا خَـٰشِعِينَ (
٩٠)٠ 




Dan
(sebutkanlah peristiwa) Nabi Ayub, ketika dia berdoa merayu kepada
Tuhannya dengan berkata: Sesungguhnya aku ditimpa penyakit, sedang
Engkaulah sahaja yang lebih mengasihani daripada segala (yang lain) yang
mengasihani. (83)




Maka Kami
perkenankan doa permohonannya, lalu Kami hapuskan penyakit yang
menimpanya, serta Kami kurniakan kepadanya: Keluarganya, dengan seganda
lagi ramainya, sebagai satu rahmat dari Kami dan sebagai satu peringatan
bagi orang-orang yang taat kepada Kami (supaya bersabar dan mendapat
balasan baik). (84)




Dan (demikianlah pula) Nabi-nabi Ismail dan Idris serta Zulkifli; semuanya adalah dari orang-orang yang sabar. (85)




Dan
Kami masukkan mereka dalam (kumpulan yang dilimpahi) rahmat Kami:
Sesungguhnya mereka adalah dari orang-orang yang soleh. (86)




Dan
(sebutkanlah peristiwa) Zunnun, ketika dia pergi (meninggalkan kaumnya)
dalam keadaan marah, yang menyebabkan dia menyangka bahawa Kami tidak
akan mengenakannya kesusahan atau cubaan; (setelah berlaku kepadanya apa
yang berlaku) maka dia pun menyeru dalam keadaan yang gelap-gelita
dengan berkata: Sesungguhnya tiada Tuhan (yang dapat menolong) melainkan
Engkau (ya Allah)! Maha Suci Engkau (daripada melakukan aniaya,
tolongkanlah daku)! Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang yang
menganiaya diri sendiri. (87)




Maka
Kami kabulkan permohonan doanya dan Kami selamatkan dia dari kesusahan
yang menyelubunginya dan sebagaimana Kami menyelamatkannya, Kami akan
selamatkan orang-orang yang beriman (ketika mereka merayu kepada Kami).
(88)




Dan (sebutkanlah peristiwa)
Nabi Zakaria, ketika dia merayu kepada Tuhannya dengan berkata: Wahai
Tuhanku! Janganlah Engkau biarkan daku seorang diri (dengan tidak
meninggalkan zuriat) dan Engkaulah jua sebaik-baik yang mewarisi. (89)




Maka
Kami perkenankan doanya dan Kami kurniakan kepadanya (anaknya) Yahya,
dan Kami perelokkan keadaan isterinya yang mandul, (untuk melahirkan
anak) baginya. (Kami limpahkan berbagai ihsan kepada Rasul-rasul itu
ialah kerana) sesungguhnya mereka sentiasa berlumba-lumba dalam
mengerjakan kebaikan dan sentiasa berdoa kepada kami dengan penuh
harapan serta gerun takut dan mereka pula sentiasa khusyuk (dan taat)
kepada Kami. (90)





Surah al-Anbiya' ayat 83-90.







رب إني لما أنزلت إليّ من خير فقير

Tuesday, 22 June 2010

HARGA SEBELAH MATA






Seketika, semalam, nikmat dapat melihat dengan sempurna ditarik
sebentar.









Penat yang memanjang, bermusafir
dan bercuti, mendengar amanat, menziarahi guru dan berkhidmat untuk
ibubapa dan keluarga, kemudian bermusafir lagi merentasi desa orang Asli, ke Perlok. Semalam adalah noktah kecil untuk 2 minggu berturut-turut. Petangnya, saya masuk ke dapur menyiapkan kari udang dan ayam goreng, setelah hampir 3 minggu dapur tidak berasap dengan juadah berat. Malamnya, sebaik sahaja Miqdad tidur,
saya duduk melepaskan lelah.



Sedar-sedar, lebih kurang 10 minit kemudian. Rupa-rupanya saya terlelap. Tidur yang
tidak sempurna, tanpa doa dan tanpa persediaan. Sebelah mata saya terasa
terbenam jauh ke dalam. Berpinar-pinar.



Saya berjalan ke dapur
dengan resah. Langkah bagaikan
terhuyung hayang, kerana penglihatan saya tidak seimbang. Apa yang
menekan mata selama 10 minit tadi? Barangkali jari tangan saya sendiri.



Ya Allah. Baru saya tahu nilainya sebelah mata. Yang ditarik sekejap
itu bukan penglihatan seluruhnya, tetapi sedikit keseimbangan dan
fokus.



Dalam masa satu jam kemudian, saya gelisah, tidak dapat melelapkan mata. Cuba menenangkan
hati, menerima ketentuan, dan berdoa agar situasi itu tidak terus
berlarutan. 





Saya memandang Miqdad, perasaan saya berbaur, dan kepala
terasa pening. Biasanya saya seronok melihat jari jemari kecilnya. Tetapi kali ini sebelah mata saya tidak mampu melakukannya. 





Saya memandang laptop yang masih terbuka. Biasanya
jikalau tidak mengantuk ataupun tidak dapat lena, saya mendengar kuliah
ataupun membaca. Namun dalam keadaan penglihatan yang tidak seimbang, tidak dapat
fokus dengan baik, bagaimana mungkin saya dapat membaca dengan selesa seperti selalu?



Dan
semalam juga saya sedar, rupanya ada satu nikmat lagi yang sebelum ini
saya nikmati, tetapi tidak saya sedari, ia adalah nikmat kurniaan
Tuhan yang tidak ternilai.



Membaca.



Disebabkan oleh penglihatan kita baik, dapat fokus, tidak pening, kita dapat
membaca dengan sempurna. Baik buku, laman web, email, surat dan segalanya. Baik untuk
mendapat ilmu, menyampaikan ilmu, menenangkan fikiran, berkomunikasi dan sebagainya. Dunia
yang sempit menjadi luas. Jarak yang jauh menjadi dekat. Meskipun kita
hanya duduk setempat, kita bagaikan berjalan ke serata dunia, merentas
'makan' dan zaman, 'berjumpa' dan 'berbincang' dengan ramai tokoh. Sepasang mata menghamparkan banyak lorong buat kita, agar kita sampai kepada nikmat-nikmat yang lain.





Saya terlelap dalam doa dan muhasabah diri silih berganti.












Pagi ini, alhamdulillah, Tuhan yang mengembalikan semula nyawa saya selepas
saya tidur, telah memulihkan pandangan saya.



Kerana pandangan
telah pulih, pagi ini saya dapat menatap wajah anak-anak dengan stabil. Dapat
melihat ruang dan menganggar jarak dengan baik. Dan paling tidak diduga, dapat pula membaca
email suami,  yang mengirimkan lirik 'For The Rest Of My Life.'





Usah bimbang sangat jikalau mata kita sepet ataupun bulat, suram ataupun bercahaya, bulu mata pendek ataupun panjang, kening nipis ataupun lebat, muncul 'eyebag' ataupun garis-garis halus. Hidup ini sebuah  perjuangan, dan perjuangan menuntut kita berpenat lelah dan bersengkang mata. Jikalau kita tidak pernah berjaga malam sekalipun, mata kita adalah sebahagian daripada diri kita, akan mengalami perubahan, selari dengan bertambahnya usia kita.





Bidadari  bermata jeli seumur hidup hanya ada di dalam syurga, itupun hanya untuk orang-orang yang bertaqwa. Calon wanita syurga orangnya bagaimana, bukankah Asiah dan Sumayyah itu wanita cekal pejuang agama?





Berpadalah dengan bentuk mata kurniaan Tuhan, rawatlah sekadarnya mengikut panduan syariat dan kemampuan, bukan nafsu dan ikut-ikutan. Barangkali wang untuk membeli produk kecantikan mata lebih baik kita sedekah-sedekahkan, dan beli tafsir al-Quran.





Yang penting mata kita sihat, supaya dapat kita gunakan untuk membaca dan melihat perkara-perkara yang bermanfaat, lagi halal.





Sementara Tuhan masih pinjamkan nikmat mata itu kepada kita.






اللهم عافني في بدني


اللهم عافني في سمعي


اللهم عافني في بصري




Wednesday, 2 June 2010

Mata siapa yang tidak pernah menangis

Pada setiap Jumaat, selepas selesai menunaikan solat Jumaat, seorang Imam
dan anaknya yang berumur 7 tahun akan berjalan menyusuri jalan di kota itu
dan menyebarkan risalah bertajuk "Jalan-jalan Syurga" dan beberapa karya
Islamik yang lain.

Pada satu Jumaat yang indah, pada ketika Imam dan anaknya itu hendak keluar
seperti biasa meghulurkan risalah-risalah Islam itu, hari itu menjadi amat
dingin dan hujan mulai turun.

Anak kecil itu mula membetulkan jubahnya yang masih kering dan panas dan
seraya berkata "Ayah! Saya dah bersedia"

Ayahnya terkejut dan berkata "Bersedia untuk apa?". "Ayah bukankah ini
masanya kita akan keluar menyampaikan risalah Allah"

"Anakku! Bukankah sejuk keadaan di luar tu dan hujan juga agak lebat"

"Ayah bukankah masih ada manusia yang akan masuk neraka walaupun ketika
hujan turun"

Ayahnya menambah "Ayah tidak bersedia hendak keluar dalam keadaan cuaca
sebegini"

Dengan merintih anaknya merayu "Benarkan saya pergi ayah?"

Ayahnya berasa agak ragu-ragu namun menyerahkan risalah-risalah itu kepada
anaknya "Pergilah nak dan berhati-hatilah. Allah bersama-sama kamu!"

"Terima kasih Ayah" Dengan wajah bersinar-sinar anaknya itu pergi meredah
hujan dan susuk tubuh kecil itu hilang dalam kelebatan hujan itu.

Anak kecil itu pun menyerahkan risalah-risalah tersebut kepada sesiapa pun
yang dijumpainya. Begitu juga dia akan mengetuk setiap rumah dan memberikan
risalah itu kepada penghuninya.

Setelah dua jam, hanya tinggal satu saja risalah "Jalan-jalan Syurga" ada
pada tangannya. DIa berasakan tanggungjawabnya tidak akan selesai jika masih
ada risalah di tangannya. Dia berpusing-pusing ke sana dan ke mari mencari
siapa yang akan diserahkan risalah terakhirnya itu namun gagal.

Akhirnya dia ternampak satu rumah yang agak terperosok di jalan itu dan mula
mengatur langkah menghampiri rumah itu. Apabila sampai sahaja anak itu di
rumah itu, lantas ditekannya loceng rumah itu sekali. Ditunggunya sebentar
dan ditekan sekali lagi namun tiada jawapan. Diketuk pula pintu itu namun
sekali lagi tiada jawapan. Ada sesuatu yang memegangnya daripada pergi,
mungkin rumah inilah harapannya agar risalah ini diserahkan. Dia mengambil
keputusan menekan loceng sekali lagi. Akhirnya pintu rumah itu dibuka.

Berdiri di depan pintu adalah seorang perempuan dalam lingkungan 50an.
Mukanya suram dan sedih. "Nak, apa yang makcik boleh bantu?"

Wajahnya bersinar-sinar seolah-olah malaikat yang turun dari langit.
"Makcik, maaf saya mengganggu, saya hanya ingin menyatakan yang ALLAH amat
sayangkan makcik dan sentiasa memelihara makcik. Saya datang ini hanya
hendak menyerahkan risalah akhir ini dan makcik adalah orang yang paling
bertuah". Dia senyum dan tunduk hormat sebelum melangkah pergi.

"Terima kasih nak dan Tuhan akan melindungi kamu" dalam nada yang lembut

Minggu berikutnya sebelum waktu solat Jumaat bermula, seperti biasa Imam
memberikan ceramahnya. Sebelum selesai dia bertanya " Ada sesiapa nak
menyatakan sesuatu"

Tiba-tiba sekujur tubuh bangun dengan perlahan dan berdiri. Dia adalah
perempuan separuh umur itu. "Saya rasa tiada sesiapa dalam perhimpunan ini
yang kenal saya. Saya tak pernah hadir ke majlis ini walaupun sekali. Untuk
pengetahuan anda, sebelum Jumaat minggu lepas saya bukan seorang Muslim.
Suami saya meninggal beberapa tahun lepas dan meninggalkan saya keseorangan
dalam dunia ini" Air mata mulai bergenang di kelopak matanya.

"Pada Jumaat minggu lepas saya mengambil keputusan untuk membunuh diri. Jadi
saya ambil kerusi dan tali. Saya letakkan kerusi di atas tangga menghadap
anak tangga menuruni. Saya ikat hujung tali di galang atas dan hujung satu
lagi diketatkan di leher. Apabila tiba saat saya untuk terjun, tiba-tiba
loceng rumah saya berbunyi. Saya tunggu sebentar, pada anggapan saya, siapa
pun yang menekan itu akan pergi jika tidak dijawab. Kemudian ia berbunyi
lagi. Kemudian saya mendengar ketukan dan loceng ditekan sekali lagi".

"Saya bertanya sekali lagi. Belum pernah pun ada orang yang tekan loceng ini
setelah sekian lama. Lantas saya melonggarkan tali di leher dan terus pergi
ke pintu"

"Seumur hidup saya belum pernah saya melihat anak yang comel itu.
Senyumannya benar-benar ikhlas dan suaranya seperti malaikat". "Makcik, maaf
saya mengganggu, saya hanya ingin menyatakan yang ALLAH amat sayangkan
makcik dan sentiasa memelihara makcik" itulah kata-kata yang paling indah
yang saya dengar".

"Saya melihatnya pergi kembali menyusuri hujan. Saya kemudian menutup pintu
dan terus baca risalah itu setiap muka surat . Akhirnya kerusi dan tali yang
hampir-hampir menyentap nyawa saya diletakkan semula ditempat asal mereka.
Aku tak perlukan itu lagi".

"Lihatlah, sekarang saya sudah menjadi seorang yang bahagia, yang menjadi
hamba kepada Tuhan yang satu ALLAH. Di belakang risalah terdapat alamat ini
dan itulah sebabnya saya di sini hari ini. Jika tidak disebabkan malaikat
kecil yang datang pada hari itu tentunya roh saya ini akan berada
selama-lamanya di dalam neraka"

Tiada satu pun anak mata di masjid itu yang masih kering. Ramai pula yang
berteriak dan bertakbir ALLAHUAKBAR!

Imam lantas turun dengan pantas dari mimbar lantas terus memeluk anaknya
yang berada di kaki mimbar dan menangis sesungguh-sungguh hatinya.

Jumaat ini dikira Jumaat yang paling indah dalam hidupnya. Tiada anugerah
yang amat besar dari apa yang dia ada pada hari ini. Iaitu anugerah yang
sekarang berada di dalam pelukannya. Seorang anak yang seumpama malaikat.

Biarkanlah air mata itu menitis. Air mata itu anugerah ALLAH kepada
makhlukNya yang penyayang

Panjangkanlah risalah ini. Ingat ALLAH sentiasa menyayangi dan memelihara
kamu!

TAKBIR!! ALLAHUAKBAR!

---------------------------------------
ehsan dari email.

Tuesday, 18 May 2010

TALIAN AMAL








Menulis boleh jadi menyeronokkan. Mungkin lebih sukar daripada bercakap, sebab menulis bukan dengan lidah, namun bagi orang yang kurang bercakap tetapi pandai menulis, adakalanya menulis itu dirasakan jauh lebih mudah.





 





Apa sahaja yang kita hasilkan daripada usaha kita, hasil daripada pilihan kita sendiri, termasuklah tulisan, dikira sebagai amalan yang akan dipertanggungjawabkan dan dinilai. Jikalau dinilai di dunia sahaja, tidak perlulah kita bersusah hati dan bersusah payah sebelum menulis. Cabarannya ialah, tulisan kita akan dinilai pada hari terakhir, hari yang tidak ada lagi hari lain selepasnya - hari akhirat.





Bagi seorang pelajar ataupun murid, tulisan guru amat berharga. Dibaca, dinilai, diamalkan dan dijadikan panduan, sama seperti pengajarannya dalam kelas ataupun kuliah. Walaupun guru mungkin tidak dapat diketemui kerana faktor jarak dan masa, ataupun sudah meninggalkan alam fana ini, membaca karya guru dirasakan bagai sedang berhadapan dengannya, bagaikan dia sedang menyampaikan ilmunya kepada kita.



Dalam Tafsir Pedoman Muttaqin, juzu' 29 Surah al-Qalam, tafsiran ayat pertama, Dr. Abdul Hayei Abdul Sukor menyebut mengenai pena dan tulisan. Saya salinkan di sini, mudah-mudahan kita berusaha bagi mendapatkan naskhah Tafsir Pedoman Muttaqin ini, yang pada pandangan saya amat penting kita memilikinya, walaupun di kalangan pembaca yang tahu dan boleh membaca kitab-kitab tafsir utama dalam bahasa Arab.








Pena Boleh Membina Dan Meruntuh





Pena bagaikan pisau yang boleh diguna untuk menyelamat dan juga memusnah. Pena juga begitu bahkan adakalanya lebih tajam daripada pisau yang diguna untuk menyembelih. Pena atau kebolehan menulis dan menyampaikan maklumat adalah anugerah Allah yang sangat tinggi nilainya selama ia menulis dan menyampaikan maklumat dengan baik, tidak melampaui batas-batas kebenaran dan juga dengan penuh keikhlasan. Apabila penulis tidak mampu lagi mengawal tulisannya,maka kebolehan menulis yang merupakan nikmat itu tiba-tiba bertukar menjadi bala, anugerah yang menjadi alat membina bertukar menjadi alat memfitnah dan meruntuh yang sangat dikutuk Allah dan manusia. 





Penulis yang bertanggungjawab dengan dunia dan akhiratnya hendaklah mengawal penanya melampaui sempadan, supaya tulisannya sentiasa membina dan berkekalan faedahnya biarpun dia sudah pergi meninggalkan dunia ini. Benar apa yang diungkap oleh seorang penyair, 




وما من كاتب إلا سيفنى  *  ويبقى الدهر ما كتبت يداه  


فلا تكتب بكفك غير شيء  *  يسرك يوم القيامة أن تراه





Maksud :


Penulis tiada yang kekal, semuanya pergi. Hasil penanya jua yang abadi. Hati-hatilah anda dengan tulisan, dialah teman anda di akhirat nanti.





Penulis perlu mengambil perhatian kepada beberapa perkara, antaranya, :





1. Bertanggungjawab dengan apa yang ditulis. Sehubungan ini Allah berfirman :




وَلَا
تَقۡفُ مَا لَيۡسَ لَكَ بِهِۦ عِلۡمٌ‌ۚ إِنَّ ٱلسَّمۡعَ وَٱلۡبَصَرَ
وَٱلۡفُؤَادَ كُلُّ أُوْلَـٰٓٮِٕكَ كَانَ عَنۡهُ مَسۡـُٔولاً۬ -٣٦





Maksud :


Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tiada pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya itu akan bertanggungjawab tentangnya. (Surah al-Isra' ayat 36)





Ayat ini menunjukkan manusia hendaklah bertanggungjawab dengan kegiatannya yang berkaitan dengan maklumat dan sumber maklumat kerana semuanya akan ditanya dan dihukum.


 


2. Setiap penulis harus sedar bahawa kerjayanya sebagai penulis sama ada di akhbar, majalah atau buku bahkan di mana-mana jua bukanlah pemutus kata dalam sesuatu isu yang ditulis atau dibincang. Ini kerana tulisan dalam semua bidang, sama juga dengan ucapan, di samping kebenaran yang dicari pasti ada kesilapan yang terjadi. Mampukah sebiji kepala yang berisi maklumat menyampaikan semua yang diketahuinya, tanpa kemungkinan benar atau salah, baik atau buruk, terutama tentang isu yang membabitkan hak-hak manusia yang perlu dilaporkan dengan adil dan tidak berat sebelah. 





Tidak penting bagi seorang penulis terus berkarya dan terus berkarya, tetapi yang lebih penting ialah menimbang apa yang harus ditulis dan bilakah dia harus berkarya. Ini kerana setiap patah perkataan yang ditulis akan dihisab di sisi Allah dan dibalas dengan sama ada dosa atau pahala. 







مَّا
يَلۡفِظُ مِن قَوۡلٍ إِلَّا لَدَيۡهِ رَقِيبٌ عَتِيدٌ۬ -١٨





Maksud :


Tiada sepatah perkataan yang diucapkan melain ada di sisinya malaikat yang mengawas dan yang selalu hadir. (Surah Qaf ayat 18)





Firman-Nya lagi, 





وَإِنَّ
عَلَيۡكُمۡ لَحَـٰفِظِينَ (١٠)
كِرَامً۬ا كَـٰتِبِينَ (١١) ١١


Maksud :


Dan sesungguhnya bagi kamu ada malaikat yang mengawas kamu, yang mulia di sisi Allah dan yang mencatat kegiatan kamu. (Surah al-Infitar ayat 10-11)





3. Ilmu hendaklah diperoleh daripada sumbernya yang sahih, sama ada al-Quran, hadith atau guru yang boleh dipercayai serta jujur dan beramanah atau melalui pembacaan yang matang. Nabi s.a.w. bersabda :





إنما العلم بالتعلم





Maksud :


Sesungguhnya ilmu itu didapati dengan belajar.





Ilmu tidak diperoleh tanpa guru dan pembimbing yang jujur, ilmu hendaklah diambil daripada sumbernya yang sahih dan betul.





Sekian petikan daripada Tafsir Pedoman Muttaqin.





Suka saya ulangi 5 perkara penting :





1. Bertanggungjawab dengan apa yang ditulis. Perlu ada ilmu tentang perkara yang ditulis.


2. Tulisan seorang penulis bukan pemutus kata dalam sesuatu isu ataupun bidang.


3. Ilmu hendaklah diambil daripada sumber yang sahih.


4. Pertimbangkan sebaik-baiknya apa yang perlu ditulis.


5. Pilih masa menulis yang betul dan sesuai.





Dan suka juga saya ulangi penutup tafsiran ayat pertama, iaitu :





Ilmu tidak diperoleh tanpa guru dan pembimbing yang jujur, ilmu hendaklah diambil daripada sumbernya yang sahih dan betul.


Monday, 10 May 2010

SEBAB KITA PERLU BERSYUKUR




Adakah kita ada sebab, mengapa kita perlu bersyukur kepada Allah?

Lihat di luar rumah kita. Pepohonan, angin yang bertiup, bunga mengembang, awan biru redup. Kita menatap dan menikmatinya.

Lihat di dalam rumah kita. Ibubapa yang menjaga dan menyayangi kita. Adik-beradik yang memeriahkan suasana. Air minuman dan makanan terhidang di atas meja. Adakah kita cipta dan berusaha sendiri untuk mendapatkan segalanya?

Lihat ke dalam diri kita. Mata yang berkelip-kelip membaca tulisan ini. Dan akal yang memahaminya. Jantung yang berdegup hingga ke saat ini. Siapakah sebenarnya yang mengawasi segala sistem aturan dalam diri kita sendiri? Suis manakah yang kita tekan pada setiap pagi?

Kita hidup dalam nikmat, tetapi sering lupa kepada Dia yang memberikan nikmat itu.

Sembahyang 5 waktu itu rupa-rupanya juga suatu nikmat, sebab dengan nikmat itu, kita dengan sendirinya secara bersistem dapat bersujud, bersyukur dan beribadah kepadaNya.


Friday, 23 April 2010

SENYUMLAH



Sekadar sample.

Senyum itu penawar ketegangan, bukan?

Dan juga sedekah.

Senyumlah selalu :)

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Powerade Coupons