Tuesday, 20 March 2012

Panduan Isteri Solehah

Dari Aisyah ra. yang menceritakan; Aku bertanya Rasulullah;
"Siapakah yang paling besar haknya ke atas seorang perempuan ?".
Jawab Nabi; "Suaminya".
Aku bertanya lagi;
"Siapakah yang paling besar haknya ke atas seorang lelaki?".
Jawab Nabi; "Ibunya". (HR al-Hakim)

Pada suatu hari seorang wanita bernama Zainab yang bergelar Khatibatin-nisa’ telah menemui Rasulullah SAW lalu berkata: "Aku telah diutus oleh kaum wanita kepada engkau. Jihad yang diwajibkan oleh Allah ke atas kaum lelaki itu, jika mereka luka parah, mereka mendapat pahala. Dan jika mereka gugur pula, mereka hidup disisi Tuhan mereka dengan mendapat rezeki. Manakala kami kaum wanita, sering membantu mereka. Maka apakah pula balasan kami untuk semua itu ?"

Bersabda Rasulullah saw.
"Sampaikanlah kepada sesiapa yang engkau temui daripada kaum wanita, bahawasanya TAAT KEPADA SUAMI SERTA MENGAKUI HAKNYA adalah menyamai pahala orang yang berjihad pada jalan Allah, TETAPI SANGAT SEDIKIT DARIPADA GOLONGAN KAMU YANG DAPAT MELAKUKANNYA." (HR Al-Bazzar dan Ath-Thabrani)

Nabi saw. bersabda,
“Apabila seorang wanita redha atas kehamilannya dari suaminya yang sah, sesungguhnya dia mendapat ganjaran pahala seperti ibadah puasa dan mengerjakan ibadah-ibadah lainnya di jalan Allah dan jika dia merasa berat, letih atau lesu, tidaklah dapat dibayangkan oleh penghuni langit dan bumi, betapa kesenangannya disediakan oleh Allah di hari akhirat nanti. Apabila anaknya lahir, maka dari setiap teguk air susu yang dihisap oleh anak, si ibu mendapat kebajikan pahala. Apabila si ibu berjaga malam (kurang tidur kerana anak) maka si ibu mendapat ganjaran pahala seperti memerdekakan 70 orang hamba sahaya kerana Allah.” (HR Ibn Hibban)

Seorang wanita datang bertanya kepada Rasulullah saw. dan bertanya, “ Sesungguhnya sepupuku meminangku, maka sebelum aku berumah tangga , ajarkanlah kepadaku, apakah hak suami terhadap isterinya?

Rasulullah saw. menjawab:
“ Sesungguhnya hak suami terhadap isterinya sangatlah besar, sehingga apabila mengalir darah hidung atau nanah suaminya, lalu dijilat isterinya, masih belum terbayar hak suaminya itu. Dan jika sekiranya manusia dibolehkan sujud kepada manusia, nescaya aku perintahkan si isteri untuk sujud kepada suaminya.” (HR. Al-Hakim)

Nabi saw. bersabda,
"Jika seorang suami memanggil isterinya datang ke katilnya (iaitu untuk hubungan kelamin) dan dia menolak, dan menyebabkan suaminya tidur dalam kemarahan, malaikat-malaikat akan mengutuknya hingga waktu pagi. (HR Bukhari)

Nabi saw. bersabda,
”Jika seorang suami itu memanggil isterinya kerana berhajat kepadanya, maka pergilah kepadanya walaupun ketika itu dia sedang membakar roti.” (HR Ahmad, al-Nasa-ie dan al-Tirmizi)

Nabi saw. bersabda,
”Seorang isteri itu belum menunaikan hak Allah selagi dia tidak menunaikan hak suaminya, jika suami berhajat kepadanya sedangkan dia berada di belakang tunggangan, maka janganlah dia menolak.” (HR Ath-Thabrani)

Firman Allah swt. "... perempuan yang solehah mestilah taat dan memelihara kehormatan dirinya ketika ketiadaan suaminya dengan perlindungan Allah…” (an-Nisaa’: 34)

Nabi saw. bersabda,
“Dan sebaik-baik wanita(isteri) ialah mereka yang boleh mengembirakan engkau apabila kamu melihatnya, dan yang mentaati kamu apabila kamu menyuruhnya, dan dia memelihara maruah dirinya dan harta engkau ketika ketiadaanmu". (HR Nasa'i, Baihaqi, Ahmad dan al-Hakim )

Nabi saw. bersabda,
“Aku melihat ke dalam Syurga maka aku melihat kebanyakan penghuninya adalah fuqara’ (orang-orang fakir) dan aku melihat ke dalam Neraka maka aku menyaksikan kebanyakan penghuninya adalah wanita.” (HR Bukhari dan Muslim)

Nabi saw. bersabda,
“Allah tidak akan melihat kepada wanita yang tidak mensyukuri apa yang ada pada suaminya dan tidak merasa cukup dengannya.” (HR Nasa’i)

Nabi saw. bersabda,
“Wanita yang meminta cerai pada suaminya tanpa sebab (yang syar’ie) maka haram baginya mencium wangi Syurga.” (HR Abu Daud dan At-Tirmizi )

Nabi saw. bersabda menjelaskan tentang wanita penghuni Neraka,
“ … dan wanita-wanita yang berpakaian tetapi hakikatnya mereka telanjang, melenggak-lenggokkan kepala mereka kerana sombong dan berpaling dari ketaatan kepada Allah dan suaminya, kepala mereka seakan-akan seperti bunggul unta. Mereka tidak masuk Syurga dan tidak mendapatkan wanginya Syurga pada hal wanginya boleh dihidu dari jarak perjalanan sekian dan sekian.” (HR Muslim dan Ahmad)

Di dalam kisah solat gerhana matahari, Rasulullah saw. dan para sahabat melakukan solat gerhana dengan solat yang panjang , Rasulullah saw. melihat Syurga dan Neraka. Ketika beginda melihat Neraka beginda bersabda kepada para sahabatnya:
“ … dan aku melihat Neraka maka tidak pernah aku melihat pemandangan seperti ini sama sekali, aku melihat kebanyakan penghuninya adalah kaum wanita.

Para sahabat pun bertanya : “Mengapa (demikian) wahai Rasulullah?”
Baginda saw. menjawab :
“Kerana kekufuran mereka.”
Kemudian ditanya lagi : “Apakah mereka kufur kepada Allah?”
Baginda menjawab : “Mereka kufur terhadap suami-suami mereka, kufur terhadap kebaikan-kebaikannya. Kalau kamu berbuat baik kepada salah seorang di antara mereka selama waktu yang panjang kemudian dia melihat sesuatu pada dirimu (yang tidak dia sukai) nescaya dia akan berkata : ‘Aku tidak pernah melihat sedikit pun kebaikan pada dirimu.’ ” (HR Bukhari)

Ketika beginda selesai berkhutbah hari raya yang berisikan perintah untuk bertakwa kepada Allah s.w.t. dan anjuran untuk mentaatiNya. Baginda pun bangkit mendatangi kaum wanita, baginda menasihati mereka dan mengingatkan mereka tentang akhirat kemudian baginda bersabda:
“Bersedekahlah kamu semua. Kerana kebanyakan kamu adalah kayu api Neraka Jahanam!”

Maka berdirilah seorang wanita yang duduk di antara wanita-wanita lainnya yang berubah kehitaman kedua pipinya, dia pun bertanya : “Mengapa demikian, wahai Rasulullah?”
Baginda menjawab :
“Kerana kamu banyak mengeluh dan kamu tidak taat terhadap suami.” (HR Bukhari)

Nabi saw. bersabda,
"Apabila seorang isteri menjaga solat lima waktu, berpuasa di bulan Ramadan, menjaga kehormatannya dan taat kepada suaminya, maka ketika berada di akhirat dikatakan kepadanya: Masuklah kamu ke dalam syurga dari pintu mana saja yang kamu suka". (HR Ahmad)

Nabi saw. bersabda,
“Mana-mana perempuan yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya redha padanya, maka dia akan masuk syurga”. (HR At-Tirmidzi)

Sumber 

Monday, 19 March 2012

Manisnya Bergelar Wanita


Pada suatu hari, Rasulullah s.a.w berjalan-jalan bersama puteri baginda, Saidatina Fatimah r.a. Setibanya mereka berdua di bawah sebatang pohon tamar, Fatimah terpijak pohon semalu, kakinya berdarah lalu mengadu kesakitan. Fatimah mengatakan kepada bapanya apalah gunanya pohon semalu itu berada di situ dengan nada yang sedikit marah.

Rasulullah dengan tenang berkata kepada puteri kesayangannya bahawasanya pohon semalu itu amat berkait rapat dengan wanita. Fatimah terkejut. Rasulullah menyambung kata-katanya lagi. Para wanita hendaklah mengambil pengajaran daripada pohon semalu ini dari empat aspek.

Pertama, pohon semalu akan kuncup apabila disentuh. Ini boleh diibaratkan bahawa wanita perlu mempunyai perasaan malu (pada tempatnya).

Kedua, semalu mempunyai duri yang tajam untuk mempertahankan dirinya.
Oleh itu, wanita perlu tahu mempertahankan diri dan maruah sebagai seorang wanita Muslim.

Ketiga, semalu juga mempunyai akar tunjang yang sangat kuat dan mencengkam bumi. Ini bermakna wanita solehah hendaklah mempunyai keterikatan yang sangat kuat dengan ALLAH Rabbul Alamin.

Dan akhir sekali, semalu akan kuncup dengan sendirinya apabila senja menjelang. Oleh itu, para wanita sekalian, kembalilah ke rumahmu apabila waktu semakin senja. Ambillah pengajaran dari semalu walau pun ia hanya tumbuhan yang kecil.

Tidakkah anda melihat betapa Islam telah meletakkan wanita pada kedudukan semanis-manisnya? Jika semua saranan Rasulullah ini dituruti ia cukup manis, semua yang bertentangan menjadikannya pahit bagai hempedu.

Kemanisan wanita akan hilang apabila apa yang dilakukannya bertentangan dengan kejadiannya yang asal. Seorang wanita menjadi kupu-kupu. Dia tidak pulang ke rumah sebaliknya bersidai di tempat yang tidak senonoh hingga larut malam. Apakah itu manis? Sudah tentu tidak, sebab tempat seorang wanita ialah di rumah tatkala malam telah melabuhkan tirainya. Sekiranya dia perlu berada di luar, dia berada di tempat yang selamat lagi munasabah. Misalnya berada di majlis ilmu, berada di tempat kerja dalam sif-sif tertentu, berada di tempat himpunan keluarga. Tetapi seandainya dia berada di tempat selain itu dia sudah tidak tergolong sebagai wanita manis.

Hati orang normal akan mengatakan hal ini benar, tetapi hati orang yang ‘sakit’ akan mengatakan ini salah.



Kehidupan rama-rama. Rama-rama selalu menyangka kehidupannya payah. Dia dilahirkan dalam bentuk pulpa. Terpaksa tinggal lama dalam kepompong. Kemudian apabila keluar dari kepompong dia terpaksa menjalani hidup sebagai ulat. Tatkala begini dia terdedah pada bahaya disambar burung. Manusia pun geli melihat ulat. Tetapi tatkala dia sudah menjadi rama-rama dia akan menghiurkan penglihatan sesiapa saja. Tatkala dia mengembangkan sayapnya semua akan terpukau kagum.

Alangkah manisnya kitaran hidup rama-rama sebab dia dilahirkan untuk mewarnai alam. Alam menjadi ceria dengan kehadiran rama-rama. Hampir semua orang akan terpukau melihat rama-rama. Manusia seganas mana pun akan berasa lunak melihat rama-rama.

Demikianlah wanita, dia warna alam yang cukup berharga dan dihargai. Tanpanya, dunia tidak akan semeriah ini. Setiap insan lahir dari manusia bernama wanita. Alangkah manisnya menjadi wanita sebab dia unsur terpenting dalam kewujudan alam ini sedemikian rupa.

Salam Selepas Solat ~ Kuliah Ust Azhar Idrus

Assalamualaikum...sedikit perkongsian note kuliah maghrib UAI di Masjid Batu Buruk (08/03/2012)
-Kitab Hidayatul Salikin..Bab Salam Selepas Solat..

1. Salam adalah selepas baca tahiyat akhir..sekurang2 sebutan salam adalah "Assalamualaikum" ..dan sebutan "Warahmatullah" itu hanyalah sunat..dan jika hanya menyebut "Assalam" iaitu akhir sebutan dgn huruf "mim" sudah sah solat t'sebut.


2. Kadar sebanyak mana b'paling muka masa salam sekadar org belakang nampak pipi kita,jika beralih dada batallah solat..


3. Diluar solat hanya sunat memberi salam,tetapi dlm solat wajib m'beri salam..tanpa salam solat tdk sah..


4. Wajib jawab salam jika b'lafaz..jika salam dlm tv atau radio hanya fardhu kifayah menjawabnya..tulisan salam juga tidak wajib dijawab..


5. Jika salam dari kanak2 yg sudah mumayiz yakni sudah berakal wajib kita m'jawabnya.


6. Jgn b'balah dgn ucapan "salam" dan "assalam" kerana keduanya boleh digunakan,cuma yg afdhal adalah "assalam"..sunnah Nabi S.A.W adalah menyebut "assalam"..


7. Ada pelbagai kafiat salam lps solat dlm mazhab Shafe'i antaranya sebut salam dahulu baru b'paling wajah dan b'paling wajah dahulu baru sebut salam..semuanya dibolehkan..


8. Malaikat semuanya b'agama islam,Iblis tiada yg b'agama islam dan Jin sama mcm manusia iaitu ada yg b'iman dan tidak b'iman..bezanya tiada Nabi dan Rasul dari kalangan Jin..


9. Orang yg tidak hadir ke surau masjid adalah seperti LEMBU KAMBING hanya b'cita-cita mencari makan dan minum..hatinya hanya fikirkan makan dan minum,tidak peduli dgn ilmu agama..


10. Beruk jika diperintahkan b'solat maka pasti semua beruk-beruk akan b'solat,tp kerana tiada takliq syarak,maka tiadalah perintah utk haiwan utk b'solat..haiwan x masuk Neraka kalau x solat.


11. Imam al Ghazali berkata "tiang solat itu adalah khusyuk dan hadir hati.." cubalah utk khusyuk dlm solat semampu yg boleh..


12. Orang yg lawan agama maka Allah Ta'ala akan tutup pintu hatinya dan Allah Ta'ala sediakan api Neraka yg menyala nyala utk mereka..Neraka Allah amat luas..


13. Erti khusyuk byk tafsiran dr Ulama,antaranya tumpukan bacaan dlm solat dan ingat makna zikir dalam rukuk dan sujud..


14. Hadir hati b'maksud hati kita ada pada tempat solat..ertinye kehadiran rohani dan jasmani ketika lakukan solat.


15. Solat kita akan dinilai Allah,solat yg buruk akan dilemparkan ke muke kita di Akhirat kelak..


16. Bacaan zikir dlm rukuk dan sujud jika tidak tahu makna tidak akan mendapat pahala melainkan hanya bacaan surah yg tetap mendapat pahala jika tak tahu maknanya..


17. Belilah dan carilah buku2 makna bacaan dlm solat,murah je..hok tu pun mu sayang nk kluar duit..kereta 3 empat butir boleh beli..berat 66 kita ni..


18. Kata Hassan al-Basri..Hassan al-Basri ni adalah Tabi'in iaitu seorang yg sempat dgn Para Sahabat,berguru dgn Para Sahabat dan menjadi Ulama besar..katanya "tiap-tiap solat yg tidak hadir hati maka ianya mendekatkan diri pada Neraka.." oleh itu b'juanglah kita utk mendapatkan khusyuk dlm solat semampu yg mungkin..


19. Carilah duit dan harta sebanyak mana pun,tp jgn jual agama,sampai masa sembahyang kita sembahyanglah,jgn kejar dunia semata-mata..

---------------------------------------------------------------
Soalan-Soalan..

1. Umur saya dah 25 tahun tp belum lakukan aqiqah dan skrg ada anak seorg..blh x saya nk aqiqahkan utk diri saya skrg dan blh ke kalau aqiqahkan utk anak saya t'lebih dahulu?

-berlaku perselisihan pendapat ulama dlm bab ni dlm mazhab Syafe'i org yg sudah akil baligh sunat aqiqahkan utk dirinya sendiri..boleh saje nk buat aqiqah utk anak walaupun kita belum buat aqiqah..


2. Boleh tak makan kambing yg kita nazarkan?

-tidak boleh makan melainkan kita dh b'niat nk mkn jugak..


3. Betul ke jika kita ambik air yg dijilat kucing dan bg minum utk org yg mngandung boleh memudahkan utk b'salin?boleh ke?

-boleh tp jgn iktiqad,sebaiknya ambiklah air itu dan diselawatkan serta disapu pada perut isteri..Allah lah yg memudahkan segala urusan,bkn air atau ubat..


4. Orang bela hantu raya boleh tak jd imam?

-boleh jd imam jike dia jd imam surau hantu raye!!Orang yg syirik pd Allah tidak layak jd imam,hanya yg fasik dibolehkan..


5. Bangun dr tidur dan sakit tengkuk..dalam kitab kata ianya adalah ikatan syaitan,betul ke?

-dlm kitab ada menyatakannya,berwudhuk akan meleraikan ikatan t'sebut.


6. Saya ada anjurkan p'tandingan teka biji betik,hadiah saya keluarkan dari duit saya sendiri..dan kenakan yuran rm2 bg yg nk sertainya,adakah dikira judi?

-ya..itu adalah judi kerana peserta dikenakan yuran..


7. Dimanakah berasalnya Dajal,adakah ianya juga dikurung seperti ya'juj dan ma'juj?

-Dajal tidak dikurung seperti ya'juj dan ma'juj..ianya dikatakn diterbitkan disesuatu tempat..x payoh susah2lah fikir dia terbit ikut mana..


8. Adakah nk bayar fidyah kena niat jugak?

-ya,kne niat..


9. Saya ade kenal seorang gadis..biarlah saye namakan A saje..saye niat nk jdkan A isteri saya..tibe2 saye t'jumpa gbr si A bergambar mesra dgn seorang lelaki..ape perlu saya buat?mcm mane nk dakwah si A ni?

-husnuzon..barangkali gbr itu saudaranya..kalau betul pun jgn lah nk aibkanya smasa nk dakwah..tegur secara b'hemah..dan tanyalah si A tu..sunat kita nyatakan hasrat jika ingin peristerikan gadis t'sebut..jgn segan2la,terus terang je..


10. Mase mana nk niat ktika b'tayamum?

-mase tepuk tangan ke atas debu dan ratakan debu di lengan dan muka..


11. Apakah maksud t'surat dan t'sirat dlm kalimah Allahuakbar?

-yg t'surat dlm kalimah Allahuakbar adalah Allah Maha Besar,dan yg t'sirat tiada yg lain yg lebih besar kekuasaan dan segalanye melainkan Allah jua..menda lain kecik belaka melainkan Allah..


12. Apa tujuan mayat dikafankan,dan berapa helai kain utk mayat wanita..?

-tujuannya adalah kafan itu hak milik mayat dan milik Allah..hak mayat adalah utk menutup auratnya..bg mayat wanita sunat 5 lapis kain utk menutupnya..


13. Hukum letak lilin pada kek harijadi?

-tak salah letak lilin melainkan letak lilin dan niat mengagungkan agama lain..skadar nk hiburkan hati kanak-kanak x mngapa..sebaiknye buatlah perkara yg dipuji syarak..solat hajat dan doa ketika harijadi.


Sumber :

Sunday, 18 March 2012

HATI YANG PALING INDAH

Sehingga saat ini, saya masih termenung panjang tatkala mengulang baca sebuah sajak yang baru saya siarkan dua hari yang lalu.

CINTA 100%.

Andai ada yang bertanya, berapa peratuskah cintamu untuk ayah ibumu?
Pasti jawapanku, 100%.
Andai ada yang bertanya, berapa pula peratus cintamu pada suamimu?
Pasti jawapanku, 100%.
Andai ada yang bertanya, berapa peratuskah cintamu untuk anak-anakmu?
Pasti jawapanku 100%.
Andai ada yang bertanya, berapa pula peratus cintamu untuk saudara seakidahmu?
Pasti jawapanku, 100%.

Andai mereka bertanya, lalu berapa pula peratus cintamu untuk dirimu sendiri?
Pasti jawapanku, 100%.
Andai mereka keliru lantas tertanya-tanya, masakan begitu?
Bukankah setelah dibahagi, cinta itu pasti berkurang peratusannya?
Pasti jawapanku, beserta senyum malu-malu,
Ada satu di dunia ini, walau dibahagi seberapa banyakpun, ia tetapkan sama..
Tidak berkurang walau sedikitpun,
Itulah CINTA…

Anugerah paling berharga dari Yang Maha Esa.


KETIDAKADILAN
Saya akui, dalam melewati pertengahan usia tiga puluhan ini, dari sehari ke sehari kian kerap saya mengimbas pengalaman masa lalu, mengutip pengajaran dari kehidupan, terutama kenangan-kenangan yang pahit dan mencabar. Yang banyak merobek hati dan menitiskan airmata kepedihan.

Walau siapa pun saya, saya tetap seorang manusia biasa yang adakalanya tewas dengan emosi sendiri. Dan saya yakin, tiada seorang pun yang terkecuali dari mengalami situasi ini.

Telah banyak kita membaca, mendengar dan menyaksikan, bagaimana sebahagian orang mencurahkan kasih sayang yang tidak berbelah bagi kepada anak-anak; makan minumnya dijaga rapi, pakaian, permainan, hiburan dan segala yang diinginkan oleh si anak dari kecil hingga menginjak dewasa diberi tanpa banyak soal.

Namun, bila melihat sikap si anak yang bagai melupakan budi orang tua, mereka kecewa. Limpahan kasih mereka kepada si anak dibalas dengan curahan kata-katanya yang menyakitkan, memberontak, tidak mendengar nasihat dan seumpamanya.

Berapa ramai pula para isteri yang meluah masalah, telah melakukan yang terbaik untuk suami tercinta. Memasak makanan kesukaannya, menatahias kediaman mereka agar bersih dan selesa, membasuh dan menyediakan pakaiannya, mengasuh dan mendidik anak-anak sewaktu ketiadaan suami di rumah, berusaha menenangkannya saat suami berhadapan masalah, merawat kesakitannya dan lain-lain khidmat bakti seorang isteri buat suami yang dikasihi.

Namun, bila satu-satu ketika, isteri juga memerlukan perhatian serupa, suami bagaikan tidak perasan, lebih bersikap acuh tak acuh dalam mempamerkan penghargaan. Lalu, isteri makan hati dan merajuk kerana merasa dirinya tidak dihargai dan disayangi.

Demikian seterusnya, suami menjeruk rasa terhadap isteri, rakan sesama rakan, jiran antara jiran, pendakwah terhadap mad’unya, kakitangan bawahan terhadap majikan/pihak atasan mereka dan lain-lain lagi.

Di satu pihak mereka merasa hanya banyak memberi, tetapi tidak terlalu kerap menerima.

Terbit justifikasi, adilkah keadaan sebegini?
KISAH SEKEPING HATI
Suatu ketika, seorang pemuda yang tampan berdiri di tengah-tengah kota dan mendakwa bahawa dia memiliki sekeping hati yang paling cantik. Lalu diangkat hatinya setinggi yang boleh agar kilauan dari hati yang indah itu dapat dilihat oleh orang lain di sekitarnya.

Tersebar bicara kekaguman orang ramai. Sememangnya hati pemuda itu, tiada cacat celanya. Tidak carik walau sedikitpun. Permukaannya licin sempurna. Warnanya juga segar dan menyerlah pesona seorang anak muda.

Pemuda tampan itu mulai merasa bangga dengan pujian yang diterima. Sorakannya semakin kuat mewar-warkan betapa indah sekeping hati yang dimilikinya.

Tiba-tiba, di tengah-tengah keriuhan itu, muncul seorang tua. Langkahnya perlahan menuju ke arah pemuda tampan. Lagaknya, seolah dia mahu membicarakan sesuatu.

“Wahai anak muda, mengapa kulihat hatimu hampir tidak seindah hatiku?” Orang tua tersebut bertanya dalam nada suara yang agak lemah tetapi penuh keyakinan. Orang ramai dan si pemuda mulai berkeliling mengerumuni orang tua.

Mereka mendengar degup yang kuat tercetus dari hatinya, tetapi hati itu dipenuhi luka. Di satu sisi, kelihatan permukaannya bertampal-tampal. Ada potongan hati yang diambil dan potongan yang lain dimasukkan ke dalamnya, tetapi ia kelihatan tidak berpadanan. Pada satu sudut yang lain, terdapat pula beberapa tanda patah. Bahkan, di beberapa tempat, terdapat lubang yang dalam, di mana seluruh bahagian permukaannya telah hilang.

Melihat itu, orang ramai saling berpandangan.
TERTANYA-TANYA
"Bagaimana orang tua ini boleh mengatakan bahawa hatinya lebih indah?" fikir mereka.
Sementara itu, pemuda tampan tertawa.

"Tentu engkau bergurau, wahai orang tua," katanya.

"Kalau dibandingkan hatimu dengan hatiku, apa yang aku ada ini adalah sangat sempurna, sedangkan kepunyaanmu begitu berantakan dengan bekas-bekas luka dan air mata," lanjutnya lagi.

"Ya, memang benar" tukas si tua penuh kesabaran.

"Kepunyaanmu adalah sempurna, namun aku tidak sesekali akan menukarnya dengan hatimu. Andai saja kau lihat wahai anak muda, setiap bekas luka di hatiku ini mewakili setiap seorang yang telah aku berikan cintaku buat mereka. Aku merobek sepotong hatiku dan memberikannya kepada mereka, dan setiap kali itu juga mereka memberiku sepotong dari hati mereka untuk mengisi tempat kosong di hatiku ini, tetapi kerana potongan-potongan itu tidak tepat, lalu menyebabkan ketidaksempurnaannya, bahkan ia kelihatan kasar dan tidak rata.

Namun, aku tetap menghargainya, kerana pemberian mereka mengingatkanku pada cinta yang terbina bersama antara kami. " Panjang lebar bicara orang tua. Si pemuda tampan terpaku mendengar patah katanya.

"Kadang-kadang aku telah memberikan potongan hatiku, tetapi orang yang kuberikan potongan hatiku itu, tidak memberikan kembali sepotong hatinya kepadaku. Inilah yang mengakibatkan wujudnya lubang-lubang ini. Kau tahu wahai anak muda, sesungguhnya memberikan cinta adalah bermakna memberikan peluang dan kesempatan. Walaupun bekas robekan itu menyakitkan, ia akan tetap terbuka lantas mengingatkanku tentang cinta yang masih aku miliki untuk mereka. Dan aku berharap suatu ketika nanti mereka akan kembali dan mengisi lompong-lompong kosong yang sekian lama kutunggu-tunggu agar ia diisi.

Nah, sekarang fahamkah engkau tentang kecantikan sejati? " Si tua mengakhiri kata-katanya.

Pemuda tampan itu terus terdiam. Dia menundukkan kepala dengan air mata mengalir di pipinya. Dia menghampiri orang tua, mengambil hatinya yang sempurna, muda dan cantik itu dan merobek keluar satu potongan darinya. Dia menawarkan potongan tersebut kepada orang tua dengan tangan gementar.

Si tua itu menerima pemberian tersebut lalu meletakkannya pada hatinya dan kemudian mengambil pula sepotong dari bekas luka lama di hatinya dan menempatkannya untuk menutup luka di hati pemuda itu.

Sungguhpun ia sesuai, tetapi ia tidak sempurna, kerana ada beberapa tanda patahan.
Orang muda itu menatap hatinya yang tidak lagi sempurna tetapi kini lebih indah dari sebelumnya, lantaran cinta dari hati orang tua itu kini mengalir kepada hatinya. Mereka bergandingan dan berjalan bersama meninggalkan orang ramai terus terpaku dengan peristiwa menginsafkan itu.
HATI YANG PALING INDAH
Saya menangis. Seakan terpancar kefahaman di dalam diri ini bagaimana anjuran ‘mencintai’ yang dimaksudkan oleh junjungan mulia, Muhammad SAW menerusi sabdanya yang bermaksud :

“Dari Abu Hamzah, Anas bin Malik radiallahuanhu, pembantu Rasulullah SAW, dari Rasulullah SAW, baginda bersabda: Tidak beriman salah seorang diantara kamu hingga dia mencintai saudaranya sebagaimana dia mencintai dirinya sendiri.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Ia bermaksud, memberi sepenuh hati. 100%. Yang terbaik!

Sebagaimana kita menginginkan yang terbaik buat diri sendiri, begitulah juga sewajarnya yang kita lakukan/berikan kepada orang di sekitar.

Tetapi, dengan satu ingatan. Jangan pula mengharap balasan yang sama, 100% , terhadap apa yang telah diberikan itu, kerana bila pemberian mengharap balasan, maka dibimbangi tiada lagi keikhlasan padanya.

Justeru itu, tidak hairan mengapa Rasulullah SAW diiktiraf oleh ALLAH SWT sebagai semulia-mulia insan. Setelah sekian banyak hinaan, cacian dan penderitaan yang dialami, baginda tetap tampil menyebar salam beserta senyuman.

Tujahan batu-batu, diganti dengan kalungan doa, lemparan najis, diganti dengan untaian budi.

Firman ALLAH SWT :

وَإِنَّكَ لَعَلى خُلُقٍ عَظِيمٍ

Maksudnya : “Dan sesungguhnya engkau ( wahai Muhammad ) benar-benar berbudi pekerti yang agung.” ( Surah al Qalam ayat 4 )

Justeru itu, mari bersama kita usahakan, walau kasih tidak dihargai, kita tetap memberi. Walau khidmat tidak dipeduli, kita terus mencurah bakti.

Ingatlah, andai satu ketika kita tidak mengenal erti kehancuran, kita tidak akan pernah tahu apa yang membuatkan kita utuh dan teguh untuk hari-hari seterusnya.

Yakinlah :

ALLAH mahu mendidik kita, DIA ingin mengingatkan kita bahawa tiada cinta yang sempurna selain cinta-NYA, yang hanya dapat dirasakan oleh pemilik hati-hati yang mendekatkan diri kepada Yang Maha Esa.

Hati yang sering dilukai lalu sembuh setelah dirawat dengan zikir kepada ilahi, adalah hati yang indah, bercahaya dengan kasih dan sayang dari Yang Maha Esa. Walaupun luka masih ada, namun sifat sabar, reda dan bersedia memaafkan menjadi ‘antiseptik’ yang menahan luka itu dari dijangkiti kuman dendam yang membawa derita berpanjangan.

Akhirnya, bersyukurlah andai memiliki hati yang sering dilukai, kerana dengannya kita belajar menjadi seorang yang lebih mengerti, memahami dan menghargai.


Terus memuhasabah diri ini……

Mencari dan terus mencari cinta ILAHI.

Jumpa lagi, InsyaALLAH.
Sumber

Subhanallah! Air Sungai Membeku

Subhanallah! Air Sungai Membeku | Pemandangan yang anda lihat ini ialah pemandangan di kaki Pergunungan Wasingtoon Valley. Fenomena ini terjadi kerana pergunungan tersebut terkepung ais dan membuatkan air sungai ini membeku. Jom tengok gambar air sungai pelik membeku di bawah ini. Subhanallah!

Sumber : Melayukini.net - Semasa musim panas kawasan sekitarnya popular kepada orang ramai untuk melakukan aktiviti camping dan mandi manda. Fenomena sungai pelik yang sungguh menakjubkan yang kita sendiri tak pernah tau dan tak pernah melihat kejadian seperti ini sebelum ini…. Subhanallah, semua ini adalah tanda kekuasaan Allah SWT.

Monday, 12 March 2012

Didik Hati Agar Sentiasa Redha

Firman Allah yang bermaksud:
“Allah Maha Berkuasa atas segala sesuatu, Dialah yang mentakdirkan adanya kematian dan kehidupan untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu; siapakah di antara kamu yang lebih baik amalannya.” – (Surah al-Mulk, ayat 1-2) .



Menyingkap maksud firman Allah itu, manusia sentiasa akan diuji dengan kebaikan dan kesulitan. Segala perkara atau peristiwa berlaku dengan izin dan kehendak Allah.
Bagi Allah segala-galanya adalah kebaikan untuk hamba-Nya. Penerimaan manusia boleh jadi berbeza sama ada perkara itu baik atau buruk kecuali orang mukmin yang memiliki keimanan sebenar. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Allah sungguh kagum kepada orang mukmin, apabila menerima nikmat ia bersyukur dan apabila ditimpa musibah ia bersabar.” – (Maksud al-Hadis)
Setiap detik kehidupan kita perlu meyakini bahawa kita berada dalam ujian Allah sehingga roh bercerai daripada badan. Firman Allah yang bermaksud:
“Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan saja mengatakan kami sudah beriman sedangkan mereka tidak diuji terlebih dulu. Dan sesungguhnya kami sudah menguji orang sebelum kamu maka sesungguhnya Allah Maha Mengetahui orang yang benar dan orang yang dusta.” (Surah al-Ankabut, ayat 2-3)
Manusia diberi kemampuan mengamati atau menilai sesuatu perkara dan peristiwa secara zahir melalui deria penglihatan. Manusia juga dapat mengguna akal untuk mentafsir perkara atau peristiwa yang dilihat.
Manusia yang lebih tinggi martabatnya ialah apabila dapat melihat melalui mata hati. Ini adalah penglihatan atau gambaran cahaya iman. Allah berfirman yang bermaksud: “Maka ambillah pelajaran wahai orang yang memiliki mata hati.” (Surah al-Haysr, ayat 2)
Sering kali kita terdengar rungutan apabila hari hujan kerana hujan yang turun menyusahkan untuk ke pejabat atau ke mana saja sedangkan bagi tukang kebun atau petani, hujan adalah rahmat Allah yang akan menyuburkan pokok serta tanaman mereka. Begitulah kepelbagaian ragam dan persepsi dalam kehidupan.
Segala penentuan Allah diterima dengan persepsi berbeza antara satu sama lain. Perbezaan sudut pandang ini bergantung kepada beberapa perkara seperti ilmu, keimanan, amalan dan ketakwaan seseorang. Orang beriman sentiasa reda dan menerima segala ketentuan dengan hati tenang kerana mereka berfikir secara positif, mencari hikmah di sebalik setiap peristiwa.
Setiap insan sentiasa mengharapkan kedamaian dan ketenangan hidup, bahkan manusia menginginkan kesenangan itu berpanjangan. Realiti kehidupan tidak selalu begitu kerana langit tidak selalunya cerah.
Panduan berikut boleh dijadikan pedoman untuk mendidik diri menerima sesuatu peristiwa baik atau buruk dengan penuh keredaan. Dengannya kita akan berasa tenang dalam menerima sesuatu dengan rela hati :
Bersyukur kepada Allah dan Membilang Nikmat-Nya
Kita beriman bahawa Allah tetap memberi nikmat di dunia kepada semua hamba-Nya. Apabila kita mendapat nikmat-Nya kita bersyukur dan mengiktiraf nikmat itu supaya tidak lupa jasa Allah.
Firman Allah yang bermaksud:
“Allah sudah menyempurnakan nikmat-Nya kepada kalian baik yang zahir mahupun yang batin.” - (Surah Luqman, ayat 20)
Allah berfirman yang bermaksud:
“Dan jika kalian menghitung nikmat Allah nescaya kalian tidak akan dapat menghitungnya.” – (Surah Ibrahim, ayat 34)
Nabi Sulaiman yang dikurniakan kerajaan dan kekayaan berkata:
“Ini termasuk dalam kurnia Tuhanmu untuk menguji aku adakah aku bersyukur atau kufur nikmat.” – (Surah an-Namlu, ayat 20) .
Syukur bukan setakat mengucapkannya tetapi kita perlu zahirkan kelakuan orang yang bersyukur dalam bentuk perbuatan. Contohnya, apabila seseorang itu mendapat keuntungan daripada perniagaan diusahakannya, dia akan dibelanjakan ke jalan halal dengan ikhlas.
Musibah Menghapuskan Dosa
Kita menerima musibah dengan positif untuk menyedarkan kita supaya menilai kembali tingkah laku. Sebagai manusia, kita tidak sunyi daripada melakukan dosa. Musibah dapat melenyapkan dosa yang dilakukan. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Tidaklah seseorang mukmin itu ditimpa kecemasan, kegelisahan, rasa sakit dan keletihan hingga tertusuk duri melainkan dengan semua itu Allah akan menghapuskan dosanya.” – (Maksud al-Hadis)
Bersabar Tanda Kemenangan
Allah mendidik kita supaya menerima sesuatu dengan reda dan sabar kerana Allah bersama dengan orang yang sabar. Orang yang bersabar akan mendapat kemenangan di dunia dan syurga di akhirat. Firman Allah yang bermaksud:
“Dan supaya kamu jangan terlalu berduka cita terhadap apa yang hilang daripada kamu dan janganlah kamu terlalu gembira apabila mendapat sesuatu nikmat.” – (Surah al-Hadid, ayat 23)
Berdoa dan Memohon Pertolongan Hanya Kepada Allah
Doa adalah senjata orang mukmin. Berdoalah dengan bersungguh-sungguh, yakin dan kenalilah Allah ketika senang nescaya Allah akan mengenali kita ketika susah. Berdoa dengan khusyuk dan jadikan berdoa para nabi sebagai panduan. Bayangkan bagaimana pasrah dan khusyuk nabi berdoa dalam keadaan genting.
Kita juga tahu Allah memakbulkan doa mereka. Nabi Ibrahim berdoa memohon pertolongan Allah ketika dibakar dalam unggun api yang marak menyala, Nabi Muhammad ketika perang Badar dan Nabi Musa yang cemas ketika di kepung Firaun di Laut Merah dan saat kegelapan Nabi Yunus dalam perut ikan.
Membaca al-Quran
Al-Quran adalah kitab rujukan utama kepada setiap mukmin yang cemerlang. Kitab ini perlu dibaca dan difahami maksudnya setiap hari dengan tujuan melembutkan hati serta mendidik jiwa supaya istiqamah dalam amalan yang baik.
Allah sentiasa mengingatkan supaya mengambil pendekatan sederhana kerana keluh kesah akan menambah lagi musibah. Apabila menerima sesuatu musibah, kita zahirkan rasa syukur dengan membandingkan musibah lebih besar atau membandingkan musibah dihadapi orang lain.
Mengambil pelajaran dan melihat sesuatu hikmah dalam setiap perkara akan melahirkan insan yang celik perasaan serta mampu mengharungi hidup yang penuh pancaroba.

Sumber: http://www.iluvislam.com/

Sunday, 11 March 2012

Di Sebalik Keindahan Pasangan Kita

Kata Ustaz : "Kita ini semuanya sama,tiada beza muda ataupun tua,jangan menyombong atau takbur sesama manusia,sekalipun kita berpangkat atau berilmu-kerana di sisi ALLAH SWT kita semuanya sama - cuma yang membezakan kita hanyalah AMAL dan TAQWA"


DI SEBALIK KEINDAHAN PASANGAN KITA

ADA kalanya seseorang memiliki pasangan hidup berparas menarik tetapi
cakapnya pedas lagi menyinggung.

Ada pasangannya rupawan, bahasanya sedap didengar tetapi sangat boros.

Ada pula pasangannya indah dan jimat tetapi malas beribadah.

Kerencaman dalam mencari jodoh ini pernah diibaratkan dalam satu hadis: 

'Manusia itu seperti unta. Antara 100 ekor unta, sangat sulit kamu menemukan seekor yang sangat baik tunggangannya.' (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Pasangan ideal memang sukar diperolehi dalam zaman penuh dugaan.

Ada gadis yang mengeluh kerana sudah penat mencari calon suami yang berkelayakan, gagah dan lawa, tenang dan lembut serta kuat beribadah.

Ada teruna mengeluh sukar mencari calon isteri yang cantik, senang dipandang, sabar, jimat, suka beribadah dan pandai mengambil hati ibunya.

Nasihat Rasulullah saw berkenaan kekurangan yang ada pada pasangan kita: 'Hendaknya seorang Mukmin tidak meninggalkan seorang Mukminah. Kalau dia membenci suatu perangai pada diri isterinya, dia pasti menyenangi perangai yang lain.'

Pesan Rasulullah sejajar dengan firman Allah: 'Kemudian apabila kamu tidak menyukai mereka, (maka bersabarlah) kerana mungkin kamu tidak menyukai sesuatu, padahal Allah menjadikan padanya kebaikan yang banyak.'
(An-Nisaa:19)

Sebagai pasangan (baik suami mahupun isteri), janganlah kita membiarkan begitu saja beberapa aib atau kekurangan pasangan kita. Alasan bahawa sikap sudah begitu sejak mula - tidak boleh dipakai sama sekali.

Sikap manusia boleh diubah selagi ia sanggup merubahnya.

Suami hendaklah berdakwah kepada isteri dan begitu juga sebaliknya.

'Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu Dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalan-Nya dan Dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk.' (Surah An-Nahl: 125).

Dakwah paling asas adalah dengan pasangan kita sebagaimana Rasulullah s.a.w. menyampaikan kisah baginda menerima wahyu kepada isterinya, Khadijah. Ia diikuti dengan anak-anak dan orang-orang terdekat.

Oleh itu, suami/isteri perlu menggilap cara merubah sikap pasangan dengan cara paling elok menunjukkan contoh dan hujah. Kekasaran atau pukul bantai tidak boleh dibuat untuk memaksa seseorang berubah.

Selain ikhlas dalam menasihati, penting pula ikhlas dalam menerimanasihat. Ketika kita dinasihati, hendaknya kita kendalikan serta lunakkan hati kita untuk ikhlas menerimanya.

p/s :
KEBAHAGIAAN TIDAK AKAN HADIR DENGAN SEKELIP MATA. IANYA HARUS DIPUPUK
DENGAN PERASAAN KASIH SAYANG YANG TIDAK BERBELAH BAGI



By Crew Fathi  

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Powerade Coupons