Saturday, 14 April 2012

Buta Setelah Melihat, Ujian Untuk Mencapai Syurga Allah


Daripada Anas RA katanya,

“Aku dengar Rasulullah SAW bersabda bahawa Allah telah berfirman, “Apabila aku menguji seorang hamba-Ku dengan mengambil dua benda yang amat dikasihinya sedangkan dia menerima dengan sabar dan ikhlas, nescaya aku akan memberi ganjaran syurga di akhirat kelak.“ Yang Rasulullah maksudkan dengan dua benda yang amat dikasihi itu ialah dua matanya.

Huraian Hadith:
Allah menguji manusia bukan kerana kekurangan ilmu-Nya, tetapi untuk melahirkan atau menunjukkan kepada hamba berkenaan dan orang lain tentang kesabaran yang dimiliki yang melayakkan mendapat ganjaran daripada Allah kerana ganjaran yang dijanjikan mengikut kadar kepayahan yang dihadapinya.
Menjadi buta selepas melihat adalah dugaan Allah, sekiranya orang yang menjadi buta itu bersabar Allah akan kurniakan syurga sebagai gantinya.

Allah SWT akan memberi balasan syurga terhadap orang yang sabar menerima ujiannya.
Mata ialah sebesar-besar kurniaan Allah yang mempunyai peranan utama di dalam kehidupan seseorang. Oleh itu mata hendaklah digunakan untuk perkara manfaat dan diredai Allah
Riwayat: Bukhari
Kategori: Akhlak

Sumber

SUAMI HEBAT, SUAMI PENYABAR

RASULULLAH MENCONTOHKAN SIFAT SABAR TERHADAP KARENAH ISTERI

Di dalam buku Purnama Madinah karya Ibn Saad, Bandung , Mizan 1997, muka surat 173, ada tercatat sebuah hadis yang berbunyi, Umar pernah berkata, “Ya Rasul, mahukah engkau mendengar aduan saya? Kami kaum Quraisy biasa menguasai isteri kami.
Kemudian kami pindah ke sebuah masyarakat (Madinah) di mana lelaki tunduk diam pada isteri mereka. Kemudian kaum perempuan kami meniru perilaku perempuan Ansar ini.
Suatu hari saya menegur isteri saya dan dia menjawab balas. Saya tidak menyukai perilaku seperti itu. Dan dia berkata, ‘Apakah kanda tidak menyukai dinda menjawab? Demi Allah, para isteri Rasullullah menjawab balas baginda. Sebahagian mereka mendiamkan baginda sepanjang hari sampai malam.’ Saya (Umar) lalu berkata, ‘Dia rugi. Apakah dia merasa aman dari kemurkaan Allah kerana kemarahan Rasulnya sehingga dia mendapat hukuman?’” Nabi tersenyum dan tidak menjawab aduan daripada Sayidina Umar itu. (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Rasulullah SAW tidak mengiyakan ataupun menidakkan perkataan Umar. Isteri juga mempunyai suara dan pendapat yang harus didengari suami. (Cuma perbincangannya haruslah dengan hikmah). Al-Hafizh Ibnu Hajar berkata, “Dari hadis tersebut dapat diambil pelajaran bahawa terlalu keras terhadap isteri bukanlah sikap yang terpuji. Sebab, Rasulullah SAW sendiri meniru sikap orang  Ansar dalam memperlakukan wanita mereka dan meninggalkan sikap kaum baginda  sendiri.”

·UMAR MENCONTOHI KESABARAN RASULULLAH TERHADAP LETERAN ISTERI

Seorang lelaki datang ke rumah Umar bagi mengadu perihal isterinya yang suka berleter. Tatkala sampai, dia mendengar Umar sedang dileteri isterinya. Umar tidak menjawab sepatah pun. Lelaki itu beredar sambil berkata,
“Kalau beginilah keadaan Umar, seorang Amirul Mukminin yang selalu keras dan tegas, maka bagaimana pula dengan aku?”
Selepas itu Umar keluar dari rumahnya lalu terlihat lelaki tadi beredar. Umar memanggilnya dan bertanya tujuan kedatangannya. Lelaki itu berkata,
“Wahai Amirulmukminin,tujuan kedatanganku adalah untuk mengadu berkenaan perangai buruk isteriku yang suka berleter. Tadi aku baru sahaja mendengar isterimu juga begitu. Lalu aku berkata kepada diriku, kalau begini keadaan Amirulmukminin dengan isterinya, maka bagaimana dengan aku?”
Umarpun berkata kepadanya,
“Wahai saudaraku! Sesungguhnya aku bersabar mendengar leterannya kerana dia mempunyai hak ke atasku. Sesungguhnya dia memasak makanan untukku, mengadun roti untukku, membasuh pakaianku dan menyusui anakku, padahal semua itu tidak diwajibkan ke atasnya. Dia juga menenangkan hatiku daripada melakukan perbuatan yang haram (zina). Sebab itulah aku bersabar dengan kerenahnya.
Lelaki itu menjawab,
“Wahai Amirulmukminin, demikian jugalah isteriku.”
Umar berkata,
“Maka bersabarlah wahai saudaraku. Sesungguhnya kerenahnya tidak lama. Hanya seketika sahaja.”
Rasulullah SAW sendiri telah mengingatkan,
“Janganlah seseorang yang beriman (lelaki) membenci seorang (isterinya yang) beriman (perempuan), kerana walaupun ada satu perangainya yang lelaki itu tidak suka, tetapi (tentu) ada lain perangainya yang dia suka.”(Riwayat Muslim dan Ahmad).

Bagaimana Mencintai Secara High Class...



Cinta high class bukan ekslusif milik sesiapa. Cinta high class berhak dimiliki oleh kita semua.

Jangan tunggu esok. Hari ini juga kita mesti mencintai secara high class.

Jangan lupa, bantu si dia agar mampu mencintai secara high class juga.

Err, apa itu cinta high class?

Cintamu mendaulatkan Allah nombor satu,Cintamu padaku kerana Allahmu yang satu,Cintamu bermujahadah menahan nafsu.

"Ya Allah, aku memohon cinta-Mu dan cinta orang yang mencintai-Mu, dan amalan yang menyampaikan aku kepada cinta-Mu. Ya Allah, jadikanlah cinta-Mu lebih aku cintai dari diriku, keluargaku dan daripada air yang sejuk (ketika panas terik)." (HR al-Tarmizi).

Saya terfikir, wanita dan lelaki saling tertarik. Itu biasa. Malah ketertarikan yang kuat ini turut dirasai oleh binatang jantan dan betina. Begitulah cara Allah menjamin berterusannya kehidupan di dunia.

Wanita dan lelaki saling jatuh cinta. Itu juga biasa. Islam menolak sistem yang cuba menghapuskan terus fitrah ini seperti merahibkan diri. Islam menawarkan solusi iaitu pernikahan untuk menyalurkan fitrah menjadi barakah.

Wanita dan lelaki sanggup berkorban segala-galanya demi cinta. Itu luar biasa. Tapi boleh membawa binasa. Tanpa asas agama, maruah diri sanggup dikorbankan sekali. Islam menutup pintu-pintu yang membawa kekejian untuk melindungi lelaki dan wanita daripada punca-punca keghairahan dan pencetus fitnah.

Wanita dan lelaki bercinta selepas nikah, saling melengkapi agama pasangannya. Ini jauh luar biasa. Dan ini barulah high class. Jika belum menikah, cinta menjadi high class apabila teruna dan dara saling tinggi mujahadah. Bantu si dia memahami dengan mengurangkan perjumpaan dan komunikasi. Ianya atas dasar urusan dan keperluan sahaja dengan menjaga syarat dan batasan.

Jika di luar batas urusan, mintalah fatwa dari hati. Kebaikan itu apa yang tenang dalam hati. Dosa itu apa yang was-was dan syak dalam hati. Nikmatilah indahnya saat menahan, bila halal, penuh keterujaan.

Saya cuba memahami, mawar dan kumbang berbeza untuk saling melengkapi. Mereka saling jatuh cinta kerana perbezaan itu. Lelaki sukakan sifat kewanitaan seorang wanita. Wanita sukakan sifat kelelakian seorang lelaki.

Lelaki dan wanita bagaikan botol dan penutupnya. Bagaikan elektron dan proton. Bagaikan baju dan seluar. Bagaikan sepasang selipar. Saling memerlukan.

Bukti saling memerlukan ini akan menjadi luar biasa dan high class jika diluapkan kepada insan istimewa bernama suami atau isteri, bukan untuk teman wanita atau teman lelaki. Kenapa ianya high class?

Itu tanda patuhi Allah.Itu tanda jauhi fitnah.Itu tanda sebuah mujahadah.

Jodohku, aku tidak tahu dirimu siapa dan entah di mana. Aku cuma tahu engkau ada, di dunia atau di syurga. Akan kusimpan perasaan ajaib ini. Akan kuluapkan untukmu setelah akad menghalalkan kita.' (Monolog Qani'ah Syumaila dalam novel Cinta High Class).

Oleh : Fatimah Syarha Mohd Noordin. Beliau merupakan penulis novel tauhid. Terbaru beliau menghasilkan novel Sebarkan CintaMu
(http://sebarkanbahagia.blogspot.com/)

Wednesday, 11 April 2012

SETELAH JATUH CINTA, BANGUNKAN CINTAMU...

Satu demi satu kunjungan persolan rumahtangga menjengah ke kotak emel saya. Rata-ratanya adalah dari kaum wanita, baik yang bekerja mahupun yang bergelar surirumahtangga. Dari luahan rasa, gelodak jiwa hinggalah kepada cetusan emosi yang meluap api benci kepada suami , semuanya dicoret sebegitu panjang bernada harapan agar saya mampu melorongkan mereka kepada jalan-jalan penyelesaian.

Namun, menginsafi bahawa saya bukanlah seorang yang benar-benar berkelayakan dalam memberikan nasihat dan pandangan, ditambah pula hambatan masa yang sukar berkompromi untuk saya berlama-lama di hadapan komputer bagi menjawab kemusykilan yang diutarakan, justeru menulis secara umum sebegini diharapkan mampu memberi sedikit jawapan bagi merungkai kekusutan perasaan seorang isteri yang sedang gerhana dari cahaya cinta.

Sebenarnya, sudah agak lama saya mahu menambah penulisan saya pada sesuatu yang memfokus kepada ikhtiar isteri dalam melakar bahagia rumahtangga tetapi masa dan idea belum kunjung tiba. Sehinggalah saat ini, kala suami berpergian memenuhi tanggungjawabnya kepada ummah, kerinduan yang hadir membangkitkan keinsafan, kesedaran dan muhasabah diri seorang isteri. Lalu, jemari ini mulai ligat menyusun kata bertemankan wajah-wajah bersih yang sedang lena dibuai mimpi.

JATUH CINTA
Saya yakin, ramai pasangan membuka kunci kehidupan berumahtangga dengan rasa cinta antara mereka. Jatuh cinta! Ya, bermula dengan jatuh cinta pandang pertama atas sebab yang pelbagai sehingga ikhtiar dilaksana bagi memulakan salam perkenalan antara keduanya. Demikian juga, rata-rata pengirim emel tersebut menyatakan mereka berkahwin atas dasar suka sama suka. Sebahagiannya sudah mengenali antara satu sama sebelum disatukan sebagai suami isteri.

Setelah dua jiwa yang saling menyintai diikat dengan lafaz mulia ‘aku terima nikahnya’ mereka mula membina kehidupan bersama. Berbekal perasaan cinta yang masih membara, serasa tidak begitu menyukarkan untuk mereka melakar musim bunga perkahwinan yang dipenuhi warna warni keindahan. Kalaupun sesekali hujan gerimis datang tanpa diundang, keadaan itu tidak merencatkan kegembiraan mereka menikmati kuntuman mewangi yang sedang mekar dalam hati. Masalah yang timbul, pasti tidak memakan masa lama untuk dileraikan.

Semuanya tampak selari, sehati sejiwa.

Begitulah kebiasaannya, permulaan yang bagai sempurna, tiada cacat dan cela.
Walaupun begitu mukadimahnya, kini, di antara mereka ada yang merasa kasih suami sudah beralih arah setelah segala pengorbanan dilakukan sejak melangkah ke alam perkahwinan. Ada juga yang meluah sikap suami yang kurang memberi belaian tanda cinta dan sayang. Tidak kurang juga yang menyatakan sudah tidak tahu bagaimana lagi usaha yang patut dilakukan bagi meraih cinta suami sedangkan kecantikan dirinya begitu dijaga dan diperhati namun layanan acuh tak acuh daripada suami menjadikan dirinya merasa kurang dikasihi.

Bagaimana ini terjadi?

Justeru, dalam keadaan rumahtangga dihenyak kegelisahan dan ketidakharmonian seperti di atas, beberapa perkara di bawah ini mungkin baik untuk dijadikan muhasabah dan renungan terutama kepada para isteri bagi membangun cinta sejati, buat merealisasi bahagia hakiki. Kemungkinan, sebaik melangkah ke tahun kedua, ketiga dan seterusnya setelah tanggungjawab bertambah dengan kehadiran cahayamata, keperluan kewangan yang semakin meruntun kerja keras dan lebih masa, maka ketika inilah saat-saat indah itu akan sirna sedikit demi sedikit andai tiada inisiatif untuk memBANGUNkan cinta setelah sekian lama terduduk leka saat diri JATUH cinta.

BARAKAH
Satu persoalan yang selalu terlupakan oleh pasangan yang melangkah ke alam perkahwinan ialah tentang keberkatan rumahtangga. Seharusnya, suami sebagai nakhoda bahtera kehidupan, dan isteri selaku pembantu yang menggerakkan pelayaran, bertanya kepada diri :
“Ke manakah rumahtangga ini akan kami bawa?”
“Komitmen bagaimana yang mampu dilaksana bagi menjayakan matlamat bahagia bersama?”
“Adakah hanya di dunia? Tidak! Kebahagiaan itu pasti mahu diteruskan hingga ke syurga milik-NYA.”

Firman ALLAH SWT :
وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ الْقُرَى آمَنُواْ وَاتَّقَواْ لَفَتَحْنَا عَلَيْهِم بَرَكَاتٍ مِّنَ السَّمَاءِ وَالأَرْضِ وَلَـكِن كَذَّبُواْ فَأَخَذْنَاهُم بِمَا كَانُواْ يَكْسِبُونَ
Maksudnya : “Jikalau sekiranya penduduk desa / negeri itu beriman dan bertaqwa, pastilah Kami anugerahkan kepada (kehidupan) mereka barakah dari langit dan bumi, tetapi mereka mendustakan (ayat-ayat Kami) itu, maka Kami siksa mereka disebabkan perbuatannya.” ( Surah AI-A'raf ayat 96 )
Jelas, dari ayat ini, ALLAH SWT menyatakan bahawa keimana dan ketaqwaan adalah sumber barakah. Ia dijana apabila nilai-nilai yang diambil dari al-Quran seterusnya dipraktiskan dalam kehidupan seharian. Dalam hal ini, bukan kemewahan dan kesenangan hidup menjadi piawaian barakah. Bukan juga rumahtangga sifar masalah menjadi tanda aras keberkatan, tetapi keterikatan hati penghuninya kepada ayat-ayat ALLAH SWT.

Justeru, sebagai isteri yang lebih banyak mencorak suasana rumahtangga mari kita renungkan sekadar mana usaha yang telah dan masih dijana demi meraih barakah dalam perkahwinan. Sudah berapa banyak kebaikan dan ketaatan yang kita gerakkan kerana itu adalah langkah-langkah bagi meraih keberkatan. Solat dan ibadah-ibadah lain yang terjaga dan dilaksana sebaiknya, perhiasan rumahtangga yang tidak melangkaui keharusan yang digariskan syari’at yang mulia, program televisyen dan filem yang menjadi tontonan sekeluarga, dan seumpamanya.

Semestinya, rumahtangga yang paling beruntung menurut kacamata agama adalah rumahtangga yang paling banyak produktiviti ketaatannya kepada Yang Maha Esa. Sesungguhnya, hati yang akrab kepada Penciptanya, pasti mudah dilorongkan kepada jalan keluar atas setiap masalah yang tiba. Bahkan, mungkin ia menjelma dari peristiwa dan jalan yang tidak pernah dijangka!

DOA DAN MUNAJAT
Saya pernah membaca satu kisah tentang doa yang cukup menyentak tangkai nurani. Ia mengingatkan saya bahawa dalam kebanyakan masa yang telah dan sedang berlalu, saya dan ramai individu di luar sana sebagai manusia yang punya banyak kelemahan kita sering tidak menyedari bahawa ada peristiwa yang berlaku dalam kehidupan ini merupakan pengabulan dan jawapan ALLAH atas permintaan kita dalam munajat dan doa kepada-NYA, cuma ia terjadi dalam keadaan yang tidak kita sangka-sangka.

Kisahnya begini…..
“Ada seorang ‘abid ( ahli ibadah ) yang selalu meminta dalam doanya agar dikurniai dua potong roti setiap hari tanpa perlu bekerja, sehingga dia dapat menumpukan sepenuh masanya untuk beribadah dan menambah 'amal. Dalam bayangannya, jika tidak bersusah payah bekerja mengejar dunia, ibadahnya akan lebih terjaga.
Lalu, ALLAH SWT mengabulkan doanya dengan cara yang tidak terduga; ia ditimpa fitnah yang dahsyat yang menyebabkan dirinya terhumban ke penjara. Sepanjang berada di penjara, ALLAH mentakdirkan setiap hari dia memperoleh dua potong roti; pagi dan petang, tanpa bekerja. Dengan ini masanya banyak terluang dan sangat lapang untuk beribadah.
Namun, apa yang dilakukan oleh si 'abid tadi? Dia sibuk meratapi nasibnya yang terasa nestapa di penjara.
"Mengapa ini terjadi?" soalnya sendiri.
Tanpa dia menyedari inilah jalan ijabah ( jawapan dan pengabulan ) dari ALLAH SWT atas doanya yang terisi, berikan aku dua potong roti sehari!”
Lalu, mari kita ingat-ingati semula. Adakah selama ini kita pernah memohon : “Ya ALLAH, kurniakan kami rezeki yang melimpah ruah, perhiasan yang mewah, rumah yang besar..”lalu dengannya ALLAH SWT mengabulkan doa itu dengan cara suami memperolehi keuntungan besar dalam perniagaannya atau kenaikan pangkat yang tinggi pada pekerjaannya sehingga dia kini menjadi semakin sibuk dengan aktiviti di luar melebihi perhatian yang sewajarnya diberikan kepada anak dan isteri di rumah. Kita meminta mewah, lalu ALLAH memberikannya tetapi ia diiringi ujian yang mampu merobek kebahagiaan sebuah rumahtangga!
Justeru, selaku wanita yang dianugerahi kelembutan jiwa, mari kita meneliti dan memuhasabah diri terhadap adab kita dalam meminta kepada-NYA, adakah ia bernada perintah, atau berirama harapan nan indah atau ianya adalah manifestasi kerendahan hati seorang hamba yang menginsafi dirinya yang lemah, fakir, menghiba, mengakui salah dan banyaknya noda diiringi perakuan dan pengagungan keesaan-NYA yang tiada tara. Sebagaimana doa Nabi ALLAH Yunus a.s :

وَذَا النُّونِ إِذ ذَّهَبَ مُغَاضِبًا فَظَنَّ أَن لَّن نَّقْدِرَ عَلَيْهِ فَنَادَى فِي الظُّلُمَاتِ أَن لَّا إِلَهَ إِلَّا أَنتَ سُبْحَانَكَ إِنِّي كُنتُ مِنَ الظَّالِمِين

Maksudnya : "Dan (ingatlah kisah) Zun Nun (Yunus), ketika ia pergi dalam keadaan marah, lalu ia menyangka bahwa KAMI tidak akan mempersempitnya (menyulitkannya), maka ia menyeru dalam keadaan yang sangat gelap: ""Bahwa tidak ada TUHAN (yang berhak disembah) selain ENGKAU. Maha Suci ENGKAU sesungguhnya aku adalah termasuk orang-orang yang zalim." ( Surah Al Anbiya' ayat 87 )
Indah, mesra dan penuh kerendahan jiwa seorang hamba.
Oleh itu, bagi merawat luka yang sedang pedih menimpa perhubungan rumahtangga, juga sebagai usaha memohon keberkatan yang mungkin terlupa, ALLAH SWT mendidik agar kita memanjatkan doa ini :
وَقُل رَّبِّ أَنزِلْنِي مُنزَلاً مُّبَارَكاً وَأَنتَ خَيْرُ الْمُنزِلِينَ
Maksudnya : “Dan berdoalah: “Ya Tuhanku, tempatkanlah aku pada rumah yang dianugerahi barakah, dan Engkau adalah sebaik-baik yang memberi tempat.” ( Surah Al Mukminun ayat 29 )
Juga doa yang bernada memujuk dan membelai sebagaimana firman ar Rahman :
Maksudnya : "Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami isteri-isteri kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati (kami), dan jadikanlah kami imam bagi orang-orang yang bertakwa." ( Surah al Furqan ayat 74 )

MOTIVASI SI BIDADARI
Perkara seterusnya yang baik untuk dimuhasabah bagi mengembur kembali kebahagian suami isteri ialah mengenai kecantikan.

Saya selalu membaca dan mendengar kata-kata daripada beberapa individu muslimah hari ini tentang siapakah ikon, role model dan contoh ikutan mereka dalam usaha menjadi seorang muslimah yang cantik, baik dan berketrampilan menarik. Saya akur terhadap suasana yang mendominasi sudut pandang kebanyakan muslimah hari ini, namun demi melihat satu demi satu imej dan ikon muslimah dijelmakan menerusi tarikan fizikal yang menawan sukma, bagai ada benih kerinduan yang memutik dalam hati.

Kerinduan yang tumbuh seiring rasa bimbang dan gusar bila menyaksikan para muslimah bagai dididik untuk lebih menghargai diri hanya dari sudut fizikal semata. Demikian suasana yang banyak ditemukan lewat iklan dan peragaan busana muslimah baik di kaca televisyen mahupun suratkhabar dan majalah.

Soal hati dan ketundukan jiwa yang menyerlah pesona malu para sahabiyat era nabi dan Rasul terdahulu bagai telah ditenggelamkan oleh keghairahan ramai muslimah hari ini menonjolkan kecantikan diri. Keadaan ini sedikit sebanyak mencipta cemburu para isteri yang turut terheret sama dalam menyimpulkan solusi :
“Aku juga mesti tampil cantik persis model hari ini agar dengan perawakan fizikal yang mempesona itu, cinta suami pasti dapat aku menangi dengan mudah! “

Sangka mereka, yang cantik hidupnya selalu bertuah. Lalu mereka sibuk menghias rupa sehingga kecantikan itu terlupa untuk dilindungi sewaktu keluarnya mereka dari ruang rumahtangga suami.
Sedangkan hakikat sebenar bukan selalunya begitu.

Inilah kerinduan yang semakin kuat laungannya dari dalam jiwa. Kerinduan untuk melihat muslimat hari ini menyebarkan pesonanya dari tarikan intelektual, kecerdasan emosi dan rohani, kerinduan untuk melihat kesedaran dalam diri wanita bahawa pencinta sejati dari kalangan lelaki bertakwa hanya mendambakan pesona sebegini dari bidadarinya di dunia ini. Pesona yang dimotivasikan oleh ayat-ayat cinta-NYA tentang bidadari syurga idaman setiap jejaka. Peribadi suci sang bidadari yang ditata khusus hanya untuk tatapan suami yang dinanti. Firman ALLAH SWT :
Maksudnya : “Di dalam surga itu ada bidadari-bidadari yang sopan menundukkan pandangannya, tidak pernah disentuh oleh manusia sebelum mereka (penghuni-penghuni surga yang menjadi suami mereka) dan tidak pula oleh jin.” ( Surah ar Rahman aayat 56 )
Justeru, kembalilah para isteri memuhasabah diri. Pada saya kecantikan fizikal dalam mewarnai bahagia rumahtangga adalah satu keperluan, tetapi keindahan jiwa yang memancar darinya peribadi mulia adalah satu kemestian. Sewajarnya, perkara kedua mendapat perhatian yang berganda berbanding perkara pertama kerana cinta dari tarikan fizikal akan sirna seiring masa, tetapi cinta dari tarikan akhlak dan peribadi pasti kekal dalam lipatan kenangan.

SETELAH JATUH CINTA, BANGUNKAN CINTAMU...
Buat akhirnya, saya mengakui kebenaran bicara seorang penulis dari seberang yang pernah saya baca. Lewat tulisannya beliau menukilkan :

“Ada dua pilihan ketika bertemu cinta. ‘Jatuh ‘ cinta dan ‘bangun’ cinta. Untuk dirimu, aku memilih cinta yang kedua, supaya cinta kita menjadi istana, tinggi menggapai syurga!”
Untuk itu, marilah para isteri…kita jadikan bidadari syurga sebagai ikon dan role model yang membangkitkan motivasi untuk memperbaiki diri, manfaatkan kerendahkan diri sebagai hamba sewaktu bermunajat kepada ILAHI dan usahakan keberkatan dalam setiap aktiviti rumahtangga agar kemelut rasa yang melanda, akan menemui jalan keluarnya, dan kebahagiaan hakiki menjadi milik kita.

Setelah jatuh cinta, kita bangunkan cinta berpaksi reda-NYA.
Dan buat suami yang dikasihi…bersamamu isterimu ini pernah jatuh cinta, dan dengan izin serta rahmat-NYA, kita akan terus bangunkan cinta ini sehingga lestari ke syurga yang abadi, InsyaALLAH….ameen.
Mencari dan terus mencari cinta ILAHI.
Jumpa lagi, InsyaALLAH.
Sumber

Tuesday, 10 April 2012

Rebutlah Pangkat Isteri Solehah

Allah SWT Maha Pemurah dan Penyayang ke atas hamba-hambanya. Bagi kaum wanita ada 4 tiket untuk mereka masuk ke syurga, iaitu apabila mereka berjaya menjaga sembahyang fardhu, puasanya di bulan Ramadhan, ketaaatan kepada suami dan kehormatannya. Melalui empat perkara ini juga menyebabkan seseorang wanita itu boleh mencapai taraf solehah dan bertaqwa.
Begitu Penyayangnya Allah kepada insan yang bergelar wanita. Tetapi cuba kita renungkan kembali sejauh manakah kita telah berjaya meraih keempat-empat perkara ini dengan sebaik-baiknya. Sembahyang fardhu kebanyakannya tidak khusyuk.



Semasa bersembahyang sahaja aurat ditutup tetapi selepas itu kita kembali dengan pakaian yang mendedahkan aurat. Puasa kita sekadar menahan lapar dan dahaga tetapi mulut masih mengumpat. Ketaatan kepada suami dibuat sambil lewa malah suami kadangkala dijadikan seperti lembu yang diikat hidungnya dengan tali (disuruh membuat itu dan ini). Ada yang menjadi pelacur dan menjual maruahnya untuk mendapatkan wang.

Sepatutnya kita kena banyak menangisi diri yang gagal menunaikan amanah Allah itu. Rasulullah selepas di Isyrak Mikrajkan, baginda tidak henti-henti menangis kerana terlalu amat sedih dan sentiasa berdoa kepada Allah swt supaya kaum wanita dan umat-umat yang disayanginya diselamatkan dari azab api neraka. Bayangkanlah, baginda saksikan bahawa di dalam neraka itu 75% adalah terdiri dari kaum Hawa.

Badan-badan kita akan disambar oleh api neraka dan terbakar rentung dan akan diperbaharui lagi daging-daging tubuh lalu dibakar lagi hingga mengikut sebanyak mana dosa yang telah kita lakukan itu. Beruntunglah bagi mereka-mereka yang beramal soleh. Wanita-wanita yang solehah akan disambut oleh ‘wildan-wildan’nya (suami) diiringi dan serta diperelokkan kedudukannya di dalam syurga.

Bila diceritakan mengenai peribadi wanita bertaqwa dan solehah pastilah mereka-mereka ini mendapat pendidikan agama yang secukupnya. Bila ilmu telah dipelajari lantas terus diamalkannya. Maka jadilah mereka insan-insan yang terdidik untuk mentaati segala perintah Allah dan menjauhkan segala larangannya. Orang-orang yang banyak menangis kerana takutkan neraka Allah. Orang-orang yang sanggup berkorban apa saja demi kepentingan hari akhirat. Orang-orang yang sanggup hidup susah dengan berbagai ujian dan rintangan; tidak putus asa serta selalu ingat mati demi rindunya mereka untuk melihat wajah Allah swt dan Rasulullah.

Rebutlah pangkat wanita solehah yang bertaqwa kerana ianya tidak dapat dijual beli dengan dunia ini. Malahan tarafnya jauh lebih tinggi jika dibandingkan dengan apa jua pangkat nilaian di dunia ini. Semua kemegahan-kemegahan dunia ini tidak kekal lama dan biasanya kalau seseorang itu telah pencen ia akan kesepian dan dilupakan.

Seorang isteri yang solehah, dia akan melayani suaminya begitu baik sekali sebab itu merupakan tuntutan yang telah diwajibkan ke atasnya untuk dilaksanakan setelah diikat dengan ikatan ijab dan kabul. Inilah perbezaannya taraf seorang isteri dengan seorang pelacur di mana dia juga memberikan layanan yang baik kepada pelanggannya.

Tetapi layanannya itu atas dasar untuk mendapatkan wang. Manakala seorang isteri yang solehah setiap perkara yang dilakukan semata-mata untuk mentaati Allah, demi untuk mendapat keredhaan-Nya.
Bila suami berhajat, hendaklah segera mendapatkannya dan tinggalkan kerja-kerja yang sedang dilakukan. Hiasilah diri dengan pakaian yang menarik, bersolek dan memakai bau-bauan. Jangan bimbangkan anak-anak yang menangis ketika itu kerana para malaikat sentiasa menjaga mereka sehingga kita selesai menunaikan amanah Allah terhadap suami kita dan mereka mendoakan semoga kita dikurniakan zuriat yang soleh dan solehah. Generasi yang bakal mengamankan dunia!

Ramai juga kaum wanita hari ini berjaya melayani suaminya dengan baik tapi bila saja suami sebut hendak kahwin seorang lagi dia mula tarik muka empat belas, hempas itu, hempas ini malah boleh jadi perang besar. inilah yang dinamakan cinta nafsu. Dia mahu dia seorang sahaja menguasai kasih sayang suami. Padanya bermadu itu suatu yang hina dan tidak mengapa kalau si suami memiliki perempuan simpanan walau sebanyak manapun.

Seorang isteri yang bertaqwa, dia tidak peduli samada hidupnya terpaksa bermadu dua, tiga atau empat sekalipun sebab itu bukan urusannya malah sebuah ketentuan dari Tuhan untuk menguji sejauh mana keikhlasannya melayani suami. Dia tidak akan ambil kisah sekiranya suaminya mengecilkan hatinya malah di hati kecilnya akan sering berkata, “Ini tugas aku dengan Allah, aku mesti laksanakan”. Akhirnya tidak timbul perkelahian bila bermadu bila setiap isteri telah faham dengan kedudukannya.

Hanya isteri solehah saja yang gembira bila dimadukan sebab suaminya telah menyelamatkan seorang lagi hamba Allah bila dikahwinkan. Bila seseorang itu telah berkahwin, InsyaAllah sembahyangnya akan lebih khusyuk kerana sebagagian dari agamanya telah diselamatkan. Di samping itu berkahwin juga boleh melembutkan hati dan menenangkan fikiran.

Untuk mencapai makam isteri yang solehah dan bertaqwa bukanlah semudah yang diucapkan. Kita mesti berusaha untuk mengikis sebanyak mungkin mazmumah yang terdapat dalam diri dan selalu berharap kepada Allah supaya dimasukkan sifat-sifat mahmudah dan dibantu ketika sedang bermujahadah di dalam menghadapi berbagai ujian.

Pecahkan hati dengan banyak menangis, bukan menangis kerana sayangkan harta dunia, takut dimadu dan sebagainya tetapi menangislah kerana takutkan azab Allah yang sangat pedih dan selalulah berindu-rindu untuk melihat wajah Allah. Sesiapa yang merindui Allah, Allah juga akan merinduinya dan Rasullah akan memberi syafaat kepada sesiapa yang merinduinya dan mereka akan bersama-samanya di dalam syurga kelak.

Banyakkan berselawat kepada baginda. Hanya baginda saja yang diberi keistimewaan untuk mengenali umat-umatnya sedangkan nabi-nabi lain gagal berbuat demikian. Berkat umat-umatnya yang bersungguh-sungguh menjaga tujuh anggota lahirnya (mata, telinga, perut, kemaluan, mulut, kaki dan tangan) dari berbuat maksiat dan mengamalkan sungguh-sungguh lima hukum (wajib, sunat, makruh, halal dan haram) yang telah Allah tetapkan. Hanya mereka-mereka ini sajalah yang akan bercahaya-cahaya di Padang Mahsyar kelak dan dipimpin oleh Rasulullah untuk menuju ke syurga.

Sumber: http://jalanakhirat.wordpress.com/

Monday, 9 April 2012

Saksi di hari pengadilan.



Dari Ibnu Umar R.A. Rasulullah SAW bersabda;
Semua anggota akan menjadi saksi diatas segala perbuatan di Padang Mahsyar.
~Riwayat Bukhairi dan Muslim~

Firman Allah S.W.T :
"Dihari itu (Kiamat) akan bersaksilah keatas kamu oleh segala lidah mu, tangan mu dan kakimu dengan segala sesuatu yang telah kamu perbuat (di Dunia dahulu)." -
~Surah An Nur : 24~

Sabda Rasulullah S.A.W. : 

"Orang yang cerdik ialah orang yang selalu memperhitungkan dirinya dan ia suka beramal untuk bekalan sesudah mati,sedangkan orang yang Ahmaq (bodoh) ialah orang yang selalu mengikut hawanafsunya dan hanya banyak berangan-angan kepada Allah S.W.T. (berangan untuk mendapatkan kebaikan diakhirat dan pengampunan tetapi ia tidak mahu beramal atau bertaubat).
~ Riwayat At Tirmizi ~

Oleh itu peliharalah dirimu dan seluruh anggota tubuhmu kearah kebaikan agar terhindar dari melakukan kemaksiatan dan kemungkaran.....Jazakumullahu khairan


Sumber

Cinta itu suci..

Selagi belum akad, selagi itu ada jarak..
Cinta itu Suci, janganlah di kotori..

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Powerade Coupons