Sunday, 27 September 2015

BENARKAH HARAM MAKAN DAGING KORBAN YANG DISIMPAN LEBIH DARIPADA 3 HARI?




















Soalan : 





Saya mendapat maklumat bahawa ada larangan yang mengatakan bahawa daging korban yang telah disimpan lebih dari 3 hari tidak boleh dimakan lagi (haram dimakan) tetapi mesti dibahagikan. Benarkah?





Jawapan : 





Memang terdapat hadith yang sahih di mana Nabi Muhammad saw melarang menyimpan daging korban lebih daripada 3 hari. Namun hukum itu sudah mansukh, kerana wujud hadith sahih lain yang menyatakan Nabi Muhammad saw membenarkan daging korban disimpan lebih daripada 3 hari. Inilah pandangan jumhur ulama'.





Kata Ibn Qudamah dalam kitab al-Mughni :  Ali (dan Ibn Umar) ra hanya sempat mendengar hadith yang melarang, tetapi tidak sampai kepada mereka hadith yang membenarkan selepas daripada itu. 





Perkara yang sama telah disebut dalam kitab Aun al-Ma'bud, kitab syarah Sunan Abi Daud.





Kata Imam Nawawi dalam kitab al-Majmu' : Boleh meyimpan daging korban. Pernah 


dilarang menyimpan lebih daripada 3 hari, namun kemudiannya Nabi Muhammad saw membenarkannya, dan ia disebut dalam hadith-hadith sahih yang masyhur...





Menjawab pertanyaan di atas, tidak haram makan daging korban yang disimpan lebih daripada 3 hari. 





والله أعلم






















Bacaan lanjut :





1. http://library.islamweb.net/newlibrary/display_book.php?flag=1&bk_no=55&ID=4827





2. http://fatwa.islamweb.net/fatwa/index.php?page=showfatwa&Option=FatwaId&Id=58920


فيجوز ادخار لحم الأضحية من غير تحديد زمن معين، قال الإمام النووي في المجموع: يجوز أن يدخر من لحم الأضحية، وكان ادخارها فوق ثلاثة أيام منهيا عنه ثم أذن رسول الله صلى الله عليه وسلم فيه، وذلك ثابت في الأحاديث الصحيحة المشهورة....إلى أن قال: والصواب المعروف أنه لايحرم الادخار اليوم بحال، وإذا أراد الادخار فالمستحب أن يكون من نصيب الأكل لا من نصيب الصدقة والهدية. انتهى.


3. http://www.saaid.net/Doat/ageel/18.htm






المسألة الرابعة والسبعون: الادخار من لحم الأضحية:





ثبت في الأحاديث الصحيحة، أن النبي صلى الله عليه وسلم نهى عن ادخار لحوم الأضاحي، في إحدى السنوات، ثم أذن في الادخار بعد ذلك، أي أن النهي عن الادخار منسوخ، وبهذا قال جماهير أهل العلم..





4. http://www.al-eman.com/الكتب/المغني%20**/فصل:%20ادخار%20لحوم%20الأضاحي%20فوق%20ثلاث/i299&d211472&c&p1






ويجوز ادخار لحوم الأضاحي فوق ثلاث, في قول عامة أهل العلم ولم يجزه على ولا ابن عمر رضي الله عنه لأن النبي -صلى الله عليه وسلم- نهى عن ادخار لحوم الأضاحي فوق ثلاث ولنا أن النبي -صلى الله عليه وسلم- قال: (كنت نهيتكم عن ادخار لحوم الأضاحي فوق ثلاث فامسكوا ما بدا لكم) رواه مسلم وروت عائشة رضي الله عنها أن النبي -صلى الله عليه وسلم- قال: (إنما نهيتكم للدافة التي دفت, فكلوا وتزودوا وتصدقوا, وادخروا) وقال أحمد: فيه أسانيد صحاح فأما على وابن عمر فلم يبلغهما ترخيص رسول الله -صلى الله عليه وسلم- وقد كانوا سمعوا النهي فرووا على ما سمعوا. 



5. http://fatwa.islamweb.net/fatwa/index.php?page=showfatwa&Option=FatwaId&Id=44487





6. Enam اقوال tentang hadith larangan menyimpan daging korban, boleh dibaca dalam kitab Fath al-Mun'im Syarh Sahih Muslim :


http://hadithportal.com/index.php?show=hadith&h_id=3759&uid=52000&sharh=10000&book=31











Monday, 14 September 2015

LARANGAN MEMOTONG KUKU SEBELUM MELAKUKAN IBADAT KORBAN, PUASA SUNAT PADA BULAN ZULHIJJAH, DAN IBADAT KORBAN BAGI AHLI KELUARGA YANG SUDAH MENINGGAL DUNIA

Soalan Pertama :



Benarkah larangan bercukur dan memotong kuku sebelum melakukan ibadat korban pada bulan Zulhijjah?





Jawapan Ringkas :






- Hadith yang menyebut tentang larangan memotong kuku dan bercukur/potong rambut bagi orang yang hendak melakukan ibadat korban adalah SAHIH. Larangan ini bermula apabila masuknya 1 Zulhijjah, dan berakhir selepas selesai ibadat korban.

إِذَا رَأَيْتُمْ هِلَالَ ذِي الْحِجَّةِ ،
 وَأَرَادَ أَحَدُكُمْ أَنْ يُضَحِّيَ ،
 فَلْيُمْسِكْ عَنْ شَعْرِهِ وَأَظْفَارِهِ.
 رواه مسلم



Maksudnya : “Apabila kamu melihat anak bulan Zulhijjah (apabila masuk bulan Zulhijjah), dan kamu mahu melakukan ibadah korban, maka tahanlah diri daripada memotong rambut dan kuku.”
(Direkodkan oleh Imam Muslim)
 


- Para ulama'  berselisih pendapat, apakah hukum larangan itu :





1. Makruh (Mazhab Syafi'i dan salah satu riwayat dari Imam Malik)


2. Haram (Mazhab Ahmad)


3. Tidak makruh dan tidak haram. (Mazhab Abu Hanifah dan salah satu riwayat dari Imam Malik)





- Sebaiknya kita ikut zahir hadith, jangan potong bagi orang yang hendak melakukan ibadat korban. Itulah pandangan yang rajih (paling tepat) kerana hadith yang sahih jelas melarang. Pasti ada hikmah di sebalik larangan Nabi Muhammad s.a.w. walaupun kita tidak mengetahui sebabnya. 





Walau bagaimanapun makruh ataupun haram ini tidak termasuk ahli keluarga yang diniatkan korban itu. Hanya ketua keluarga sahaja tidak boleh memotongnya. 





- Itupun jika terdesak, kata Syeikh Ibn Uthaimeen, seperti cedera, kuku tersopek dan sebagainya, tidaklah haram memotongnya.





- Begitu juga, menurut Syeikh Ibn Uthaimeen, bagi orang yang baru timbul niat hendak berkorban pada 5 Zulhijah misalnya, tiada masalah jika kuku dipotong sebelum itu, cuma jangan potong bermula 5 Zulhijjah itu.





- Menurut Syeikh Ibn Uthaimeen, jika potong sekalipun, ia tidak menjejaskan ibadat korban, tidaklah bermakna  korban tidak diterima. Cuma sesiapa yg potong tanpa ada keuzuran, dia menyanggahi perintah nabi saw. 




والله أعلم








Soalan Kedua :



Benarkah sunat berpuasa pada 1-9 Zulhijjah?






Jawapan Ringkas : 





- 10 hari awal Zulhijjah tersebut memang ada kelebihan, berdasarkan ayat al-Quran dan hadith nabi saw.





Berdasarkan hadith sahih riwayat Ibn 'Abbas (Sahih Bukhari-Kitab al-'Iidain), maka dianjurkan meningkatkan amalan pada 1-9, memandangkan 10 Zulhijjah adalah hari raya korban.





- Anjuran membanyakkan amalan itu termasuklah berpuasa sunat dan qiyamullail. Namun ia bukanlah puasa sunat yang dianjurkan secara khusus seperti puasa sunat Isnin-Khamis, ataupun puasa sunat hari Asyura'. 





- Para ulama' juga mengatakan tidaklah sama qiyam pada malam-malam 10 awal Zulhijjah dgn 10 terakhir Ramadan/malam Lailatul Qadr. Kerana Lailatul Qadr itu lebih besar kedudukannya. 





- Namun besarnya kelebihan 10 awal Zulhijjah ini, sehingga Syeikhul Islam Ibn Taymiyyah mengatakan 10 awal zulhijjah fadilatnya pada waktu siang, manakala 10 mlm terakhir Ramadan fadilatnya pada waktu mlm, kerana terdapat Lailatul Qadar.





- Jika ingin berpuasa 1-9 Zulhijjah, maka niat puasa sunat umum bagi selain daripada hari Isnin, Khamis dan hari Arafah (9 Zulhijjah).





Maksudnya, hari-hari puasa sunat khusus itu kita niat sebagai puasa sunat hari Isnin, Khamis dan sunat Hari Arafah. 





Yang selebihnya jika ingin berpuasa, maka niat berpuasa sunat umum sahaja. 





Sebelah malamnya pula, eloklah kita melakukan qiyamullail.





والله أعلم









Soalan Ketiga :



Bolehkah saya buatkan ibadat korban untuk ahli keluarga saya yang sudah meninggal dunia?





Jawapan Ringkas :







Ada dua perkara yg berbeza dalam hal ini.





1. Buatkan korban bagi pihak si mati. (Seperti buatkan ibadat haji bagi pihak si mati).





2. Kita yang hidup buat ibadat korban, tetapi niatkan pahala itu untuk ahli keluarga yang masih hidup dan yang sudah meninggal dunia.





Bagi bentuk yang pertama, kalau dibuat juga oleh warisnya yg masih hidup, Mazhab Syafii kata tak sah, kecuali jika si mati pernah berwasiat menyuruh demikian. Mazhab Maliki pula kata makruh.





Bentuk kedua lebih menepati sunnah, iaitu tidak perlu dikhususkan korban untuk simati. Juga lebih selamat dari segi menjaga keihklasan niat.


.


Buat korban satu, niat untuk ahli keluarga sekali, termasuklah yang masih hidup dan yang sudah meninggal dunia. Seperti yang disebut dalam hadith, nabi saw berkorban dengan lafaz :





" بِاسْمِ اللَّهِ اللَّهُمَّ تَقَبَّلْ مِنْ مُحَمَّدٍ وَآلِ مُحَمَّدٍ وَمِنْ أُمَّةِ مُحَمَّدٍ " 





"Bismillah. Ya Allah, terimalah ibadah korban ini daripada Muhammad, dari keluarga. Muhammad dan dari ummat Muhammad."


Sahih Muslim, Kitab Korban.





Maksudnya, atas satu nama kita yg kita daftar/ maklumkan kepada pihak pengurusan korban, kita boleh niatkan sekali utk ahli keluarga termasuk si mati. Tidak perlu buat atas dua nama, dan tidak perlu buat bahagian khas untuk ahli keluarga/si mati itu. (Sebab kalau kita buat begitu, ia termasuk dlm bentuk pertama). Mereka (pihak pengurusan) tak tahu pun tak apa, sebab yg penting ialah niat kita kepada Allah. Kita niat : Bismillah. Ya Allah, terimalah ibadat korban ini dari (nama kita) dan dari (nama ahli keluarga kita) - jika kita nak khususkan kpd ahli keluarga yang sudah meninggal dunia itu.





Maksud amalan seperti ini ialah seorang sahaja yang memiliki bahagian korban, tetapi pahalanya dikongsi dengan/diperolehi juga oleh ahli keluarga yang layak (ataupun sesiapa yang dikehendakinya), walau berapa pun jumlah bilangan mereka, yang masih hidup dan yang sudah meninggal. Ia bukan bermaksud satu bahagian korban itu dimiliki oleh 2, 3, atau 10 nama ahli keluarga (misalnya). 





Kalau nak lebihkan pahala dan kita pula memang berkemampuan, bolehlah ambil lebih bahagian, tapi tetap atas satu nama kita ataupun nama ahli keluarga yang masih hidup.





Sebabnya hukum sunat muakkad berkorban itu dikenakan ke atas orang yang masih hidup, bukan yang sudah meninggal dunia. 





والله أعلم







Bacaan ringkas dan rujukan lanjut :





-Sahih Fiqh Sunnah Jilid 2


-http://www.saaid.net/mktarat/hajj/58.htm


-http://www.islamweb.net/ahajj/index.php?page=ShowFatwa&Option=FatwaId&lang=A&Id=58590


-http://www.islamweb.net/ahajj/index.php?page=ShowFatwa&lang=A&Id=143055&Option=FatwaId


-http://www.islamweb.net/ahajj/index.php?page=ShowFatwa&lang=A&Id=224812&Option=FatwaId











Thursday, 27 August 2015

NIAT PUASA SUNAT SELEPAS SUBUH DAN SYARATNYA






Soalan : 







Seseorang yang melazimi puasa sunat Isnin dan khamis terlupa bahawa hari tersebut ialah hari khamis.  Dia beranggapan hari itu hari Rabu. Kelaziman minum pagi sebelum subuh tetapi dia mungkin minum sedikit air selepas solat subuh. Hanya pada ketika beliau dlm perjalanan membeli sarapan (7.30 pagi) dan melihat kakitangan kerajaan berbaju batik, baru terdetik hari khamis kah hari ini?





Bolehkah dia meneruskan untuk berniat puasa sunat pada hari itu?





Jawapan :





بسم الله الرحمن الرحيم





Perbezaan di antara puasa sunat dengan puasa wajib ialah puasa sunat dibolehkan niat pada siangnya jika tiba-tiba seseorang itu hendak berpuasa, ataupun terlupa niat pada malamnya, dengan syarat dia BELUM makan dan minum pada hari itu, iaitu bermula selepas terbit fajar sadiq ataupun selepas masuk waktu Subuh.






Jika puan sudah minum selepas solat Subuh, tidak boleh lagi niat berpuasa sunat pada hari itu. Puan tidak dikira sebagai 'terlupa' minum ataupun terminum semasa berpuasa pada pagi itu kerana puan tidak niat pun pada sebelah malamnya.





Ia berbeza jika puan memang belum makan pada hari itu, kemudian contohnya jam 8.00 pagi puan teringat hari itu Khamis, lalu niat puasa. Kemudian jam 12 makan kerana dijemput kawan, lupa sedang berpuasa. Lupa dalam keadaan berpuasa begini yang dimaafkan dan boleh meneruskan puasa bila teringat.





Sebaik-baiknya, jika belum makan dan minum pada hari itu dan ingin berpuasa sunat, selewat-lewatnya masa niat ialah sebelum zawal, iaitu sebelum masuk waktu Zuhur. 






Tambahan :



Bagi puasa-puasa sunat muqayyad, tidak sama pahala dan kelebihan orang yang niat sebelah malam dengan sebelah siang.



Orang yang niat sebelah malam akan mendapat kelebihan yang dijanjikan oleh Nabi Muhammad saw bagi puasa-puasa sunat muqayyad tersebut.



Manakala orang yang niat sebelah siang, pahalanya hanya bermula semasa dia berniat.



Contohnya :



Puasa Hari 'Asyura' diharapkan dapat menghapuskan dosa-dosa setahun sebelum itu. Bagi mendapatkan ganjaran puasa Hari Asyura', kita perlu niat puasa sebelah malamnya.



Jika kita terlupa malamnya, lalu hanya niat sebelah siang, puasa sunat masih boleh diteruskan. Kita masih mendapat pahala puasa sunat secara umum, ada ulama' mengatakan bahawa  ganjarannya tidak sama jika kita niat awal-awal sebelah malam ataupun sebelum fajar.



Puasa Hari Isnin dan Khamis adalah puasa sunat muqayyad, sama seperti puasa Hari Asyura'. Teruskan niat berpuasa sunat, meskipun kita hanya sempat niat pada siangnya. Pahala di sisi Allah,  sedikit ataupun banyak, tetap berharga bagi kita seorang hamba.




والله أعلم





Bacaan lanjut :


1. Sahih Fiqh Sunnah



Di bawah judul : 


إذا أكل أو شرب بعد طلوع الفجر في صيام التطوع هل يصح صومه؟






Sunday, 23 August 2015

PERLUKAH BELAJAR SECARA BERSANAD?



بسم الله الرحمن الرحيم





MUQADDIMAH





Sepanjang peristiwa banjir ini, banyak pengajaran yang boleh kita ambil, sementelah banyak berita dan maklumat palsu yang diterima, kemudian terus disebarkan.










Dari Kelantan diisytihar darurat, orang hilang belum ditemui dikatakan sudah diuruskan jenazahnya, sehinggalah tersebar nombor ahli penyelamat, yang rupa-rupanya mereka adalah mangsa banjir. Begitu pantas sampai ke pengetahuan orang ramai. Sekali butang 'send' ditekan, ia umpama arus banjir yang deras, tak dapat ditahan-tahan lagi.









Asalnya perlu berhati-hati ; menyaring mana yang betul, mana yang palsu. Namun hal ini dilupakan, kerana masing-masing merasakan dia sedang membantu dengan menyebarkan.





Walhal, kepalsuan maklumat yang tersebar itu, sebenarnya semakin menambahkan beban. Paling kurang, orang berpusu kepada maklumat palsu, dan meninggalkan maklumat yang benar.





Tidak kurang ada yang menyebarkan dalam keadaan tidak pasti, dengan harapan orang yang menerima nanti dapat menyemaknya sendiri.





# Begitulah juga situasi dan sebab timbulnya hadith palsu. Ada yang suka-suka, ada yang berkepentingan, ada juga yang tidak tahu menahu, tetapi ingin berbuat kebajikan tanpa dipandu ilmu.





Yang penting, kita tahu, ada orang yang memulakannya. Jika ada orang sanggup menipu atas nama nabi saw, tentulah ada orang yang sanggup buat perkara yang sama atas nama orang lain.





Namun, menipu atas nama nabi saw tidak sama dengan menipu orang lain. Menipu atas nama nabi saw boleh merosakkan agama, maka perbuatan itu bererti menempah awal-awal tempat duduk dalam neraka.





Demi mempertahankan agama, amanah terhadap maklumat dan ilmu, maka ulama' dahulu menapis dengan segala daya upaya setiap satu hadith yang diterima. Bermusafir ribuan batu, adakalanya, hanya kerana ingin mendapatkan satu hadith sahaja, daripada orang yang betul-betul mendengarnya, yang juga menerimanya daripada orang yang betul-betul amanah.





HIKMAH SANAD





# Itulah hikmahnya hadith-hadith nabi saw sampai kepada kita dengan sistem sanad.





Maksudnya, ada rantaian lengkap perawi ataupun pelapornya, hingga sampai kepada Nabi saw. Tujuannya ialah memastikan hadith-hadith nabi saw disampaikan oleh orang yang amanah dan cukup syarat, bagi memastikan hadith benar2 berlaku, ataupun nabi saw benar2 menyebut hadith itu. 





Ulama' mencatat dengan lengkap maklumat peribadi yang berkaitan bagi setiap perawi dalam sanad itu, malah membukukannya. 





Keperibadian seseorang perawi mempengaruhi rantaian sanad. Hadith, jika diambil daripada orang yang tidak dikenali, ataupun yang ada kecacatan peribadi, ia sudah dikira sebagai hadith yang daif. Sanad menjadi lemah apabila perawinya tidak cukup syarat, ataupun tidak dikenali (Sekadar menyebut secara ringkas sebagai contoh)





Namun, sanad juga boleh dicipta oleh orang yang tidak bertanggungjawab. Seperti situasi banjir tadi ; reka sesuatu berita, kemudian sandarkan kepada sumber yang berautoriti. 





Bermakna, belum tentu sanad sahih, hadith pun sahih. Ada penilaian lain pula bagi menentukan dan menyaringnya.





Adakalanya juga seseorang perawi ataupun pelapor itu jujur, tetapi dia mungkin keliru. Mungkin juga laporannya agak janggal, berbanding laporan perawi-perawi yang lebih baik daripadanya. 





Semua itu diambil kira oleh para ulama' hadith dalam menentukan kedudukan sesuatu hadith. Mereka sangat teliti dalam disiplinnya, dan kerja itu rumit, memerlukan taqwa dan kepakaran yang tinggi.





Itulah antara warna-warni disiplin ilmu hadith, yang telah Allah tentukan bagi menjaga sumber syariat Islam kedua itu. 





Adapun al-Quran, ia tidak lagi memerlukan sistem sanad agar terpelihara, kerana Allah swt telah menjaminnya menerusi ayat :





 ( إِنَّا نَحْنُ نَزَّلْنَا الذِّكْرَ وَإِنَّا لَهُ لَحَافِظُونَ ) 





Maksudnya : "Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan al-Quran, dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya."


Surah al-Hijr, ayat 9.






Isnin 10.06 pagi


29/12/14





Bersambung ...






APABILA HADITH SUDAH DIKUMPUL DAN DIBUKUKAN





Katakan begini :





Apabila sesuatu berita ataupun kenyataan sudah terpampang pada 'official website', ataupun website rasmi sesebuah agensi/pertubuhan, maka ia tidak dipertikaikan lagi. Itulah rujukan utama dan terpenting. Tidak perlu lagi kita persoalkan, siapakah yang menyebarkannya.





Kalau ada kritikan ataupun pembetulan sekalipun, ia berada di sekitar maklumat dalam website itu sahaja. Jelas dan telus.





Setelah hadith-hadith nabi saw (beserta dengan sanadnya) dibukukan secara sistematik oleh para ulama', maka ia umpama website rasmi (sekadar memudahkan pemahaman) yang menjadi rujukan. Boleh dikaji, dipelajari, dan boleh mengajarkannya, oleh guru yang cukup syarat-syaratnya, dengan disiplinnya.





Sanad, dari sudut hikmahnya, telah terhenti pada kitab-kitab hadith primer seperti Sahih Bukhari, Sahih Muslim, Sunan Abi Daud, Jami' al-Tirmidhi dan lain-lain. Kita boleh belajar daripada kitab-kitab itu tanpa cara bersanad, walaupun rantaian sanad, bermula dari Rasulullah saw sampai kepada ulama' yang menyusunnya, memang ada didalamnya. Guru boleh mengajar, apabila dia berilmu dan tahu disiplinnya, tanpa perlu cara bersanad. 













Seringkali juga orang yang belajar tidak bersanad lebih memahami dan menghayati maksud sesuatu hadith, berbanding orang yang menerima hadith secara bersanad.





Ilmu tentang sanad dan maklumat tentang para perawinya, semuanya telah termaktub dalam senarai kitab-kitab yang ada dalam disiplin ilmu hadith. Demikian caranya hadith terpelihara daripada sebarang penipuan insan terdahulu, mahupun tokok tambah insan sekarang.





 TRADISI PENGAJIAN HADITH SECARA KHUSUS






Ada guru yang menerima ataupun belajar hadith (dan bacaan al-Quran) secara bersanad. Ia sekadar meneruskan tradisi pengajian hadith, dan nilai sanad itu tidak seperti zaman hadith sebelum dibukukan. 





Mungkin juga boleh diumpamakan sijil tambahan, ada keistimewaan tersendiri, bagi mereka yang mendalami bidang ilmu hadith. 





Namun, ia bukan boleh didapati ataupun diberikan sewenang-wenangnya. Bagi orang awam, tiada erti dia memilki sanad, seperti menggenggam segulung sijil, tetapi tidak tahu selok belok sesuatu disiplin ilmu. 





Tiada erti mendapat sanad, tetapi contohnya tidak memahami Bahasa Arab yang menjadi ilmu alat yang penting untuk mendalami agama, tidak tahu kitab tafsir al-Quran dan syarah hadith yang mu'tabar, ataupun tidak tahu hadith-hadith ada yang palsu dan ada yang sahih.






Malah untuk mendapat sijil asas sekalipun, seseorang itu mesti bertanya kepada mereka yang ahli dalam bidangnya. Jika tidak, dia boleh menjadi mangsa penipuan yang ada di mana-mana.





 SALAH FAHAM TERHADAP SANAD DAN BERKAT





Ada juga sanad diberi dengan cara yang aneh dan meragukan. Seperti guru tertentu mendakwa boleh beri sanad, lalu orang awam pun meminta sanad daripadanya, tanpa belajar apa-apa, dengan alasan untuk mengambil berkat. Orang yang mendakwa guru itu pula didapati menyebarkan hadith-hadith palsu yang disandarkan atas nama nabi saw. 





Jika demikian, bagaimana mungkin ia boleh mendatangkan keberkatan ilmu, ataupun membentuk jatidiri, dan apa ertinya dakwaan bersambung sanad kepada Rasulullah saw?





Orang awam tidak mampu menilai apabila seseorang mendakwa dia memiliki sanad yang sampai kepada nabi saw.





Persoalannya, sejauh mana pengajian bersanad boleh dikawal kualitinya daripada perkara seumpama ini. Sedangkan tujuan asal sanad adalah bagi menjaga kualiti. 





Ada juga pengajian bersanad dibuat untuk mempelajari kitab-kitab yang tiada kaitan dengan kitab-kitab hadith primer tadi. Didapati bahawa kitab yang mengandungi banyak hadith-hadith palsu juga diajar kepada orang awam secara bersanad.  





Apa yang berlaku bertentangan dengan dakwaan bahawa pengajian bersanad yang dibuat itu, ada yang khusus untuk peringkat tinggi dan ada yang khusus untuk peringkat awam. Ini kerana realitinya ramai orang awam menyangka, apa yang ada dalam kitab yang mereka pelajari itu mesti diterima sepenuhnya, walaupun dalam kitab itu ada hadith palsu, suatu pendustaan yang dibuat atas nama seorang utusan Allah.





Dalam hal ini, orang awam menjadi mangsa apabila mereka tidak faham erti dan tujuan sanad. Ada juga yang ingin meraih kelebihan tanpa melalui susah payah dan pahit maung usaha dalam menuntut ilmu. Tanpa perlu mendalami asas dan disiplin yang sepatutnya. 





BERKAT ITU JIKA SESUAI KITABNYA, JUJUR GURUNYA, IKHLAS MURIDNYA





Ada hadith nabi saw yang menyebut tentang ghibtah, iaitu irihati yang dibolehkan. Antara lain ia mengajar kita secara tersirat, agar berusaha gigih untuk mendapat kelebihan berilmu dalam Islam, dan mengikhlaskan niat kerana Allah. 





Niat yang baik akan melorongkan jalan yang baik dan menghasilkan natijah yang baik. Jika hasilnya tidak diraih di dunia, Allah kurniakan di akhirat. Niat yang buruk akan menatijahkan yang buruk, jika tak nampak di dunia oleh manusia, hasilnya akan nampak di akhirat, apabila amalan yang disangka banyak dan baik menjadi debu berterbangan yang tiada nilai di sisiNya.





Tiada siapapun yang boleh melepaskan diri daripada ketetapan ini.





Maka, para ulama' kita selalu mengingatkan tentang kepentingan niat, lebih-lebih lagi niat dalam menuntut ilmu, yang merupakan gerbang pintu masuk agama seseorang. Mereka, selain membawakan ayat2 al-Quran dan hadith2 nabi saw, juga sering membawakan doa Umar al-Khattab ra sebagai panduan amalan dari sahabat nabi, iaitu :





اللهم اجعل عملي كله صالحاً،


ولوجهك خالصاً،


ولا تجعل فيه لأحد شيئاً





Maksudnya :


Ya Allah, jadikanlah amalanku ini semuanya menjadi amal soleh, ikhlas semata2 kerana-Mu, dan jangan jadikan pada amalan itu (kulakukan) kerana orang lain sedikitpun.






Bagi orang awam, malah semua orang sebenarnya, yang menjadi matlamat bukan sanad. Yang menjadi matlamat ialah :


Kesahihan sesuatu ilmu yang diperolehi, agar amalan yang dilaksanakan diterima oleh Allah swt. 





Itulah keberkatan, walaupun guru tidak mempunyai, ataupun tidak memberikan sanad. 





Kerana tujuan sanad sebenarnya ialah memelihara ketulinan ajaran agama. Tiada guna sanad jika sanad itu palsu, ataupun ajaran yang dibawa bukan ajaran asal Nabi Muhammad saw.






Guru yang 'alim dan jujur akan memandu para pelajar mengikut kebenaran, bukan menjadi pengikutnya. 





Sanad yang diberi kepada awam boleh menimbulkan salah faham yang besar terhadap disiplin ilmu dan ilmu itu sendiri. 





Oleh yang demikian, sekalipun guru itu betul-betul memang ada autoriti untuk mengajar secara bersanad, namun, seperti sijil akademik, ia hanya layak dan bererti kepada pelajar yang memenuhi syarat sahaja, yang telah menguasai ilmu alat yang wajib seperti nahu sarafnya, asas ilmu hadith dan tafsir, dan banyak lagi. 





Guru yang cermat, didapati tidak akan memberikan sanad dengan sewenangnya. Walaupun ramai orang awam dan juga terpelajar belajar dengannya.





KESIMPULAN





Justeru, pada pandangan kita, bagi memelihara disiplin ilmu agar tidak disalahfahami serta tidak disalahgunakan oleh orang yang tidak amanah, kita dapati fatwa berikut, yang dikeluarkan oleh


 اللجنة الدائمة للبحوث العلمية والإفتاء


dibuat atas dasar dan alasan yang kukuh. Kita terjemahkan seperti berikut :





*****************************


Soalan :





Apakah masih ada ulama' yang bersambung sanad pengajian mereka sampai kepada Rasulullah saw dan kepada kitab2 ulama' Islam? Tunjukkan kami nama dan alamat mereka, agar kami boleh belajar hadith serta ilmu daripada mereka.





Jawapan :





"Ada sebahagian ulama' yang mempunyai sanad pengajian yang menyambung mereka kepada kitab-kitab sunnah. Namun ia tiada nilai kerana panjangnya sanad itu, serta ramai perawinya tidak diketahui (sejauh mana) sifat adil dan dabit mereka itu..."





اللجنة الدائمة للبحوث العلمية والإفتاء





****************************





Fatwa tersebut membawa orang ramai kepada perkara yang lebih utama, iaitu kesahihan ilmu yang dipelajari dan diperolehi, supaya amalan diterima oleh Allah swt.





اللهُمَّ عَلِّمْنَا ما يَنْفَعُنا، وَانْفَعْنَا بِمَا عَلَّمْتَنَا، وَزِدْنَا عِلْمًا.





"Ya Allah, ajarkan kepada kami apa yang bermanfaat bagi kami,


berilah manfaat dengan apa yang telah Engkau ajarkan kepada kami, dan tambahkanlah ilmu kepada kami."





والله أعلم






Rabu 8.04 pagi


31/12/14





Kemaskini terakhir pada Isnin 24/8/15 


9 Zulkaedah 1426 H

Friday, 21 August 2015

DRAF NOTA MENGAJI SURAH AL-INSAN









KANDUNGAN RINGKAS SURAH




⏰Ayat 1-3


Surah ini dimulakan dengan bicara tentang permulaan kejadian insan, dibekalkan dengan pendengaran dan penglihatan, dan ditunjukkan jalan : kemudiannya insan pun terbahagi kepada dua golongan, yang bersyukur dan yang kufur. Seterusnya diberitakan tentang balasan untuk orang yang bersyukur dan orang yang kufur.










⏰ Ayat 4-6


Bagi yang kufur, diceritakan ringkas balasannya : rantai kaki, belenggu tangan rantainya bersambung ke tengkuk, dan dibakar dengan api neraka.





Sedangkan bagi yang bersyukur,  (kontras dengan yang kufur), mereka dapat minum dalam gelas, minuman yang bercampur dengan kafur, tersedia dalam mata air yang dapat disalirkan ke kediaman mereka mengikut keperluan mereka sendiri.





⏰Ayat 7-11


Kemudian dipuji amalan golongan yang bersyukur itu, amalan yang menjadi sebab mereka mendapat balasan istimewa. Ini kerana mereka :


1. Memenuhi janji kepada Allah untuk taat


2. Takut kepada azab Allah hari kiamat



3.
Memberi makan orang lapar kerana Allah





Balasan Allah kepada golongan ini pada hari kiamat itu ialah diberi :


1. Perlindungan daripada kesengsaraan pada hari itu


2. Wajah berseri-seri


3. Jiwa gembira





⏰Ayat 12-22


Diikuti dengan menyebut balasan seterusnya daripada Allah swt, kerana mereka bersabar untuk taat kepadaNya semasa di dunia.


-Syurga


-Pakaian /Persalinan sutera


-Baring di atas sofa sofistikated


-Tidak ada hawa panas, tidak pula terlalu sejuk


-Dinaungi pula teduhan pohon-pohon syurga


-Dapat dipetik buah-buahnya yang rendah bergayutan


-Diedarkan kepada mereka bekas perak dan gelas kristal


-Kristal daripada perak (yang berkilau spt perak dan transparent spt kristal), sehingga pelayan yang menuang dapat mengagak keperluan untuk diisi dengan secukupnya


-Mereka dihidangkan dalam syurga itu, minuman yg bercampur halia, dari mata air syurga salsabila


-Dilayan oleh pelayan muda sentiasa, bak mutiara bertaburan


-Syurga yang penuh nikmat dan kerajaan penuh kebesaran


-Mereka memakai sutera halus hijau dan sutera tebal, gelang perak dan minum minuman bersih.





Dan dikatakan kepada mereka :.Diberikan semua ini kepada kamu sebagai balasan atas usaha kamu yg patut dihargai.





⏰Ayat 23-26


Kemudian diterangkan sumber dari mana turunnya al-Quran, iaitu daripada Allah Tuhan sekelian alam kepada Nabi Muhammad saw. (Dari al-Quran inilah kita dapat tahu asal usul kejadian kita, balasan orang kufur dan balasan orang yang syukur tadi...) 





Kerana tugas menyampaikan ajaran wahyu itu berat dan akan mendapat tentangan, maka disuruh Nabi Muhammad saw : 


1- sabar dan jangan ikut kehendak orang yang berdosa dan kufur/ingkar.


2- selalu sebut dan nama Tuhan pagi dan petang (💡zikir ikut sunnah nabi)


3- solat malam (sujud dan sucikan Allah)





⏰Ayat 27-28


Seterusnya disebut pula sifat orang yang menentang, iaitu cinta dunia yang segera dan tidak hiraukan hari akhirat yang berat. Sedangkan Allah (yang menurunkan al-Quran inilah) yang mencipta mereka dan menguatkan sendi2 mereka. Dan Allah berkuasa gantikan mereka dengan yang lain.





⏰Ayat 29-31


Surah ini diakhiri dengan menegaskan bahawa al-Quran adalah peringatan bagi seluruh manusia, maka sepatutnya manusia mengambil jalan yang dapat membawa kepada (keredaan) Tuhannya. (Kaitkan dengan ayat 3)





Dan semuanya itu sebenarnya kembali kepada kehendak Allah swt yang Maha Mengetahui dan Maha Bijaksana.





Tamat ringkasan Surah al-Insan





BEBERAPA PENGAJARAN DARIPADA SURAH AL-INSAN





1. Al-Quran adalah sumber paling berautoriti untuk mengetahui tentang apa sekalipun, sebab ia diturunkan oleh Allah yang mencipta kita dan seluruh alamraya ini.





2. Al-Quran mengandungi perkara-perkara penting untuk diketahui oleh manusia.





3. Al-Quran sepatutnya menjadi panduan hidup agar perjalanan kita sebagai manusia akhirnya tamat pada garisan keredaan Allah swt dan mendapat balasan syurgaNya.





4. Surah ini menjadi bukti bahawa tidak benar dakwaan yang mengatakan 'beramal tidak boleh mengharapkan syurga.'


Sebahagian besar ayat dalam surah ini berkisar tentang nikmat2 yang ada di dalam syurga. Ini kalamullah, diberitahu kepada kita manusia oleh Allah swt supaya kita mengharapkannya!





5. Ayat 9 membuktikan bahawa ikhlas adalah puncak amalan jiwa orang beriman, melakukan sesuatu amalan (khususnya pemberian sedekah) tanpa mengharapkan sebarang ganjaran daripada makhluk, hatta ucapan terima kasih sekalipun.





Adab orang yang menerima, ucaplah terima kasih dan جزاك الله خيرا sebagai tanda penghargaan yang tidak terhingga. Itu diajarkan oleh nabi kita, Muhammad saw dalam hadith2 baginda yang thabit. Mengucapkannya adalah salah satu daripada amal soleh. 





Adab jiwa orang yang memberi pula, ingatlah ayat 9 Surah al-Insan ini. Adakalanya insan yang dihulurkan bantuan tidak berikan sebarang ucapan penghargaan, dan adakalanya diucapkan. Sama ada diucap ataupun tidak, orang yang memberi tetap sama perasaannya, tidak jengkel, tidak terkilan, tidak terasa apapun, kerana apa yang diberi itu diterima sebagai amalan soleh di sisi Allah sekiranya ikhlas dan menepati syariat Nabi Muhammad saw, tidak berkait langsung dengan ucapan penghargaan dari makhluk.





(Demikianlah juga halnya seorang pendakwah, ataupun guru. Dalam Mawsu'ah Fiqh al-Qulub Syeikh Muhammad Ibrahim al-Tuwaijri memberikan analogi yang indah, dengan kata-kata yang tersusun indah juga, kata beliau :





وحاجات القلوب في الدنيا إلى التوحيد والإيمان أعظم من حاجة الأبدان من الطعام والشراب، بل لا نسبة بينهما





Menghulurkan makanan kepada orang yang lapar kerana Allah, mendapat penghargaan sedemikian tingginya yang kita baca dalam surah al-Insan ini. Makanan itu keperluan zahir insan, supaya dia dapat hidup dengan sempurna di dunia. Bagaimana pula tingginya penghargaan Allah kepada mereka yang menghulurkan 'tauhid dan iman' bagi mereka yang memerlukan, di mana tauhid dan iman itulah yang akan menjadi keperluan jiwa insan, dan menjadi penentu nasib dalam kehidupan kekal tiada penghujung.





Dalam keadaan mutakhir ini masyarakat sukakan pendakwah 'pop', menjadi kewajipan kita mencari dan menjadi da'ie yang mampu mencegah kemungkaran berdasarkan disiplin ilmu dan kaedah yang benar. Mungkin adakalanya menyebarkan kebaikan dan mencegah kemungkaran tanpa nama dan kesan tinggalan itu yang lebih mujarab. Pendakwah perlu memilih antara dua, hendak popular ataupun hendak pahala. 





Kerja-kerja menyampaikan kebenaran pun, boleh jadi penuh dengan agenda dan maksud untuk mencapai kepentingan diri. 





Meskipun ayat 9 Surah al-Insan menyebut khusus tentang ikhlas memberi makan, pendakwah patut selalu muhasabah diri sendiri, berdakwah sehari semalam, adakah kita tulus mencari وجه الله , adakah sama sahaja keadaan kita jika mendapat ataupun tidak mendapat جزاء ataupun شكور  daripada manusia?





6. Ayat terakhir dalam surah ini menginsafkan kita supaya menanam sifat kehambaan dalam jiwa, mengharapkan limpah kurnia Allah, rahmat belas kasihan Allah dan ketentuan yang baik daripada Allah, supaya memasukkan kita ke dalam golongan yang bersyukur seperti yang disebutkan dalam ayat ini. Kerana golongan ini telah diterima amalan batin dan amalan zahir mereka, sehingga usaha mereka dihargai dan diberi balasan syurga dan segala nikmat yang ada di dalamnya.





Kerana jiwa mereka ikhlas kerana Allah dan zahir amalan mereka mengikut panduan syariat yang diajar oleh Nabi Muhammad saw.





Jika ayat ke-9 mengingatkan kita tentang besarnya peranan ikhlas, ayat ke-30 pula mengingatkan kita supaya jangan 'ujub. 





Inilah antara hikmah besar doa-doa yang diajarkan oleh Nabi Muhammad saw yang mengandungi permohonan supaya Allah membantu kita agar taat kepada-Nya, ditunjukkan dan ditetapkan pada jalan yang lurus malah memohon perlindungan-Nya daripada keburukan perbuatan kita sendiri, sama ada yang kita sedari ataupun tidak kita sedari.





َاللهم أَعِنّي على ذِكْرِكَ وشُكْرِكَ وَحُسْنِ عِبادَتِك





اللهم إني أسألك الهدى والتُقٰى والعَفافَ والغِنٰى





اللهم إني أعوذ بك من شر ما عملت ومن شر ما لم أعمل





اللهم اهدني وسددني










Bersambung, in syaa Allah.




Sunday, 9 August 2015

BERAKIT-RAKIT KE HULU, BERENANG-RENANG KE TEPIAN















"Mematuhi perintah Allah dan perintah Rasulullah saw zahirnya tampak susah, namun kesusahan itu umpama setitis air, sedangkan kesenangan yang ada di belakangnya umpama sebuah lautan...











Sedangkan mengikut syahwat dan meninggalkan perintah Allah dan RasulNya pula zahirnya tampak senang, namun kesenangan itu umpama setitis air, sedangkan kepayahan yang tersembunyi di sebaliknya umpama sebuah lautan.






Cahaya ilmu, cahaya hidayah, tidak akan didapati melainkan dengan cara MUJAHADAH, sedangkan maklumat, insan akan memperolehinya dengan apa cara sekalipun."



"...Ilmu tanpa usaha akan menerbitkan jadal, ilmu dengan usaha mewarisi amal dan keharuan di dalam jiwa."










Mawsu'ah Fiqh al-Qulub, halaman 7-8.



Hadir pada saat-saat umat Islam berada di persimpangan, antara kegersangan makna tauhid dan iman, erti ibadat dan kehambaan, dengan kecelaruan ajaran tasawwuf yang menyimpang dari landasan. 




Semoga Allah merahmati penulis kitab yang berharga ini : Al-Syeikh Muhammad bin Ibrahim al-Tuwaijri.





Friday, 7 August 2015

BERPUASA SUNAT 6 SYAWAL PADA HARI JUMAAT SAHAJA, BOLEHKAH?










Dimakruhkan puasa hari Jumaat sahaja sekiranya kita berpuasa sunat.







Hikmah larangan ialah kerana Jumaat adalah 'hari raya' mingguan bagi umat Islam. Oleh kerana itu, dilarang menjadikan Jumaat sebagai hari berpuasa secara khusus.





Melakukan puasa sunat 6 hari dibulan Syawal, kerana ia puasa sunat, maka ia termasuk dalam larangan ini. Oleh itu, jika hendak berpuasa sunat Syawal pada hari Jumaat, puasalah juga sehari sebelumnya ataupun sehari selepasnya.




Dikecualikan (tidak menjadi makruh) jika hari Jumaat itu jatuh kepada hari memang disunatkan


puasa seperti hari 'Asyura' (10 Muharram) ataupun hari Arafah (9 Zulhijjah), ataupun jika seseorang itu memang selalu puasa sunat selang sehari.





Jika puan berpuasa ganti dengan harapan mendapat juga pahala 6 hari di bulan Syawal itu, maka tidak mengapa puasa hari Jumaat sahaja, sebab puasa itu adalah puasa ganti yang wajib, bukan puasa sunat. 





  والله أعلم





8/8/15


23 Syawal



Rujukan ringkas :

1. Sahih Fiqh al-Sunnah

2. Al-Mufassal fi Ahkam al-Mar'ah wa al-Bait al-Muslim

3. http://fatwa.islamweb.net/fatwa/index.php?page=showfatwa&Option=FatwaId&Id=6579

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Powerade Coupons