Monday, 2 November 2015

HUKUM SAPU ATAS BALUTAN


MUZAKARAH : BOLEHKAH KITA MENGGUNAKAN PENDAPAT MAZHAB SELAIN AL-SYAFI?















SOALAN :









1. Bolehkah kita menggunakan pandangan lain selain daripada Mazhab Syafi'i, padahal kita belajar selama ini Fiqh Mazhab al-Syafi'i.








2. Dalam masalah sapu atas jabirah misalnya, apabila kaki disimen, ketika ingin berwudu' adakah :




a. Perlu berwudu' dan sapu atas balutan apabila sampai ke anggota yang berbalut, diikuti dengan tayammum bagi menggantikan tempat berbalut yang disapu itu





b. Ataupun cukup sekadar berwudu' seperti biasa, kemudian sapu sahaja atas balutan tanpa tayammum? 





Bolehkah kita menggunakan pandangan kedua, sedangkan pandangan kedua bukan pandangan dalam mazhab al-Syafi'i?


  





JAWAPAN :








PERBINCANGAN SATU : FIQH









1. Fiqh Perbandingan Dalam Dunia Ilmu Islam
























Al-Mufassal fi Ahkam al-Mar'ah wa al-Bait al-Muslim adalah salah satu buku ringkas (11 jilid) yang menjadi rujukan penuntut ilmu dari kalangan ahl al-sunnah wal jamaah dari seluruh dunia.









Pengarangnya, Dr Abdul Karim Zaidan, dalam setiap topik yang dibincangkan, beliau akan membawa pandangan para fuqaha' dari mazhab-mazhab fiqh yang mu'tabar, termasuk Ibn Hazm.









Di akhir perbincangan, biasanya pengarang akan kemukakan pandangan yang paling rajih bagi beliau.









Sebelum kitab ini dikarang, sudah ada banyak kitab-kitab fiqh perbandingan yang lain.










Hakikatnya dalam dunia ilmu, sentiasa ada  perbandingan dalam fiqh, dan tarjih pandangan yang lebih tepat berasaskan dalil al-Quran dan al-Sunnah.










Di kalangan para ilmuwan, perbincangan penuh beradab dan berdisiplin, menepati kaedah yang betul, dan semuanya ingin kembali kepada pandangan yang paling tepat berdasarkan wahyu.









Oleh yang demikian, bila kita baca kitab-kitab para ulama' mu'tabar mutaakhir, tidak akan ada seorang ulama' yang berpegang kepada satu mazhab sahaja, malah ia adalah sesuatu yang sangat ganjil dalam disiplin dunia ilmu Islam.









Apatah lagi dalam konteks kenegaraan, memang sangat perlu kepada keluasan fiqh.











2. Bid'ah Bukan Persoalan Khilaf Dalam Fiqh










Selalunya apabila ada persoalan tentang khilaf dalam fiqh, kita terpaksa rangkumkan sekali dengan persoalan bid'ah. Sebelum ini kita agak keberatan untuk menyebut perkataan bid'ah, kerana sesetengah orang sangat sensitif dengan perkataan tersebut. Namun, akhirnya kita bincangkan secara terbuka setelah diminta penjelasan, lebih-lebih lagi setelah :









- Menyedari bahawa perkataan bid'ah itu disebut sendiri oleh Rasulullah saw dalam hadith yang penting, di mana beliau melarang perbuatan bid'ah









- Mendapati ramai yang menganggap perkara bid'ah sebagai perkara cabang yang tidak perlu dibincangkan,









- Mendapati bahawa ada golongan yang berhujjah bahawa semua perkara bid'ah yang mereka lakukan adalah bid'ah hasanah, termasuk bertawassul di kubur,









- Mendapati bahawa ada yang mendakwa perbuatan mereka adalah perkara khilaf di kalangan ulama' sedangkan ia sebenarnya tiada asas pun dalam syariat, bukan khilaf.









Dr Yusuf al-Qaradawi dalam Fiqh al-Jihad mengatakan, ada 4 medan jihad yang perlu dilaksanakan, iaitu dalam mengatasi :









1. Kezaliman




2. Keruntuhan akhlak




3. Kecelaruan pemikiran dan bid'ah 




4. Gerakan murtad









Bolehlah dibayangkan kecelaruan yang timbul apabila perkara bid'ah yang terang diklaim sebagai khilaf. Orang awam menjadi mangsa kerana tidak tahu mana satu perkara khilaf, mana satu bukan, lalu menjadi satu tugas berat dan penting pula untuk menerangkan. 
























Membasmi kecelaruan pemikiran dan bid'ah memang patut diletakkan sebagai suatu jihad kerana ia memerlukan banyak persediaan, ilmu yang mantap, peribadi yang mulia dan cekal, serta usaha yang berterusan. Usaha tersebut tentu mendapat pelbagai jenis tentangan dan hujah, malah memang ada yang tidak setuju lalu menimbulkan fitnah.









3. Peranan Ulama' Mutaakhirin Dalam Menperjelaskan Fiqh Dan Mengembalikan Kepada Sumber Asal











Apabila kita melihat perbincangan ulama' mutaakhirin, kita mendapati mereka membincangkan tentang asas fiqh pada zaman Rasulullah saw, diikuti dengan perkembangan pada zaman para sahabat, mengapa para sahabat berbeza pandangan, (antaranya kerana tahap dan komitmen terhadap ilmu yang berbeza), seterusnya fiqh pada zaman tabi'in, sejarah wujudnya mazhab-mazhab fiqh, dan bila mulanya umat Islam menjadi taassub terhadap mazhab (iaitu selepas tahun 400H). 









Malah pada zaman itu ada yang melarang orang bermazhab Hanafi berkahwin dengan orang bermazhab Syafii, dan ada yang menghukum bahawa sesiapa yang keluar dari mazhab fiqh sama seperti keluar daripada ketaatan terhadap Allah dan rasulNya.







Hal yang berlaku sangat bertentangan dengan kehendak dan harapan ulama' yang mengasaskan mazhab itu sendiri.







Situasi ini ada yang berlajutan, sehingga para ulama' seterusnya mengambil pendekatan membawa pandangan-pandangan dari pelbagai mazhab, dan mentarjihkan pandangan yang lebih tepat berdasarkan al-Quran dan al-Sunnah.








Firman Allah swt dalam ayat 59 Surah al-Nisa' :




















Seruan ayat di atas sejak dahulu sentiasa disemboyankan oleh para ulama' dalam menangani khilaf fiqh, menasihati dalam masalah amalan turun temurun yang didakwa sebagai ibadat, menggalakkan kajian sains dari perspektif Islam, dalam falsafah, dan lain-lain.












Antara kitab Fiqh Perbandingan yang baik untuk dibaca ialah al-Muhalla (Ibn Hazm al-Andalusi 384-456H ), al-Majmu' (Imam Nawawi 631-676H) dan Nail al-Awtar (al-Syawkani 1173-1250H)).









Ibn Hazm adalah seorang mujtahid mutlak, sama seperti Imam Syafi'i, Imam Ahmad, Imam Abu Hanifah, Imam Malik dan Imam Bukhari. Namun Fiqh Imam Bukhari biasanya disedari dan dipelajari secara khusus oleh mereka yang belajar ilmu secara disiplin yang khusus sahaja.










Satu lagi bentuk kitab fiqh ialah Fiqh al-Kitab wa al-Sunnah. Antara tokoh yang turut sedar akan kepincangan daripada taasub mazhab ialah Imam Hasan al-Banna, lalu beliau menyokong ditulis kitab Fiqh al-Sunnah oleh Syeikh Sayyid Sabiq.










Selepas Fiqh al-Sunnah, ada lagi kitab yang baik untuk kita jadikan rujukan, antaranya Sahih Fiqh Sunnah. 









Hujah dan dalil dari kedua belah pihak yang khilaf dinyatakan dengan jelas, maka tidak timbul isu kita guna sesuatu pendapat tanpa mengetahui hujah dan dalil yang digunakan. 









Ia juga dikutip dan dinukikan secara berdisiplin dan beradab, maka tidak timbul langsung soal menghina ataupun merendahkan mana-mana ulama'.














********************









PERBINCANGAN DUA : SAPU ATAS JABIRAH











a. Menyapu air di atas balutan ada hukumnya sendiri. Pesakit yang dibalut anggota wudu'nya boleh terus berwudu', dibenarkan sapu sahaja atas balutan, dan dikira sah wudu' itu.





Tartib yang sepatutnya dilakukan apabila ada anggota cedera ialah : 


1. Basuh jika tidak memudaratkan


2. Sapu dengan air atas anggota yang sakit itu jika tidak memudaratkan


3. Balut anggota yang sakit dan sapu atas balutan tersebut. Inilah hukum yang sedang kita bincangkan. 





Hukum menyapu atas balutan adalah wajib ketika berwudu' (ataupun mandi wajib) sebagai gantian kepada basuhan anggota yang sakit itu, ataupun gantian kepada menyapu air atas anggota yang sakit itu.







b. Ulama' berbeza pendapat sama ada anggota wudu' yang disapu atas balutan itu perlu digantikan dengan tayammum, ataupun tidak perlu tayammum lagi sebaliknya cukup dengan sapu atas balutan sahaja. 









c. Ia sebenarnya berkaitan dengan topik tayammum secara khusus, iaitu 'Adakah perlu digabungkan antara الأصل (wudu' ataupun mandi) dengan البديل (tayammum).'









Golongan ulama' yang mengatakan tidak perlu digabungkan kedua-duanya dalam satu-satu ketika ialah antara lain kerana pada pandangan mereka, hadith yang digunakan dalam mazhab al-Syafii dan Ahmad sebagai dalil adalah hadith yang daif. (Matan yang terlibat adalah daif, manakala sebahagian matan di atasnya adalah hasan).









Maka, mereka mengatakan cukup wudu' dan sapu atas jabirah sahaja, tidak perlu tayammum lagi.










Dr Abdul Karim Zaidan dalam al-Mufassal fi Ahkam al-Mar'ah tidak menyebut langsung tentang perlunya bertayammum apabila menyapu air atas jabirah. 









Pengarang Sahih Fiqh Sunnah juga mentarjihkan pendapat yang mengatakan tidak perlu tayammum lagi apabila berwudu' dan sapu atas jabirah.





Imam al-Nawawi dalam al-Majmu' mengatakan, Imam al-Syafi'i dalam qawl qadim juga berpandangan tidak wajib tayammum lagi apabila menyapu atas jabirah, sebagaimana tidak wajib tayammum bagi orang yang menyapu di atas khuf.








Kesimpulan ringkas :





Adalah tidak menjadi kesalahan apabila kita mengambil pandangan yang lebih rajih pada pandangan ahli ilmu yang berautoriti, berdasarkan hujah dan dalil jelas daripada al-Quran dan al-hadith yang difahami secara berdisiplin dan benar, serta paling dekat dengan amalan para sahabat dan tabi'in.  Sebaiknya dengan kita mengetahui hujah dan dalil yang mereka kemukakan.





Malah berkaitan persoalan yang dikemukakan ini, sebenarnya pandangan kedua masih dalam lingkungan khilaf dalam Mazhab al-Syafi'i juga. 





والله أعلم




Saturday, 17 October 2015

PERBEZAAN ANTARA WADI DENGAN KEPUTIHAN


Soalan : 





Bolehkah membaca dan menghafaz al-Quran dalam keadaan ada mazi ataupun wadi.





Adakah berdosa, ataupun kurang pahala?










Jawapan :





بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ





1. Orang yang keluar mazi dan wadi adalah orang yang berhadath kecil. Mazi dan wadi pula adalah najis.





2. Orang berhadath kecil boleh membaca dan menghafaz al-Quran. Tidak berdosa.





3. Pahala akan lebih sempurna jika dia membaca dalam keadaan bersih pakaiannya, dan juga dalam keadaan berwudu'.





4. Keputihan pula, ada khilaf di kalangan ulama'. 





Ada 3 pandangan ulama' :





1. Keputihan itu najis


2. Keputihan tidak najis, tetapi membatalkan wudu'.


3. Tidak najis dan tidak membatalkan wudu'.





Agak panjang jika nak dibincang satu persatu. Kita lihat apa yg disebut oleh pengarang kitab Sahih Fiqh Sunnah.





Antara dalil bagi ulama' yg mengatakan tidak najis ialah :





"Rembesan faraj ataupun keputihan ialah perkara diketahui umum yg biasa dialami oleh kaum wanita. Tentu sudah ada di kalangan wanita pada zaman nabi saw, seperti yg ada dikalangan wanita zaman kita ini. Tetapi tidak ada dalil bahawa nabi saw pernah menyuruh mereka membasuhnya, ataupun berwudu' kerana keluarnya."





Kemudian beliau menyimpulkan :


"Jika cairan itu keluar ketika gurauan suami isteri, ataupun hampir jima', ia adalah mazi, dan ia adalah najis, serta membatalkan wudu'.





"...Manakala cairn ataupun keputihan itu keluar dalam waktu biasa, bertambah ketika hamil, ketika mengangkat berat, ataupun ketika banyak berjalan, ini suci berdasarkan hukum asal, kerana tiada dalil yg menunjukkannya najis."





Kita dapati beliau tidak membezakan di antara :





- cairan yang keluar dari jalan buang air kecil (wadi) 


dengan 


- keputihan yang keluar melalui pintu rahim.





Soalan tentang keputihan (rutubah al-farj) ini juga pernah ditanya oleh doktor kerana pada beliau, sukar untuk menentukan yang mana keluar dari salah satu dari dua di atas.





5. Maka, kesimpulannya secara ringkas :





- Jika kita ingin mengambil pendapat yang paling berhati-hati, kita perlu berwudu' dan membasuhnya setiap kali ingin solat.





- Jika kita ambil pendapat kedua, kita perlu berwudu', tetapi tidak perlu membasuhnya.





- Jika kita ambil pendapat yang ketiga, khususnya pada masa sukar, misalnya seams tawaf, dalam perjalanan dan sebagainya, maka tidak perlu berwudu, juga tidak perlu membasuhnya setiap kali ingin solat.





Walau bagaimanapun, sebaik-baiknya ketika kita tiada halangan dan berkemudahan, kita membasuhnya setiap kali ingin solat.





Menjawab pertanyaan di atas, keluarnya keputihan langsung tidak menghalang seseorang wanita untuk membaca ataupun menghafaz al-Quran. 





والله أعلم





10.58 mlm


19/12/2014


Group Usrah

Thursday, 15 October 2015

BENARKAH DOA AWAL TAHUN DAN AKHIR TAHUN DIGALAKKAN BERDASARKAN QIYAS?



Assalamualaikum.









Kita cuba semak satu persatu hujah yang diberikan.  Ini ringkasannya :












1. QIYAS 



Qiyas, ada qiyas sahih dan ada qiyas fasid. 



Qiyas fasid adalah qiyas rosak yang tidak boleh digunakan, kerana ia dibuat dengan tidak menepati syarat. Tidak boleh menggunakan qiyas sembarangan. Ada syarat-syarat yang mesti dipatuhi.









Ada golongan yang menggunakan hujah qiyas untuk zikir menari. Mereka berhujah bahwa  al-Quran menyebut boleh berzikir sambil berdiri, duduk dan berbaring, maka dibolehkan zikir menari.





Tiada seorang pun ulama' mu'tabar yang membenarkan zikir  menari. Kerana mereka tidak menggunakan qiyas seperti itu.









Para ulama' memberi amaran terhadap penggunaan qiyas fasid, sebab agama boleh menjadi rosak, berpunca daripada masalah istidlal, sama ada salah guna ayat al-Quran ataupun hadith, ataupun menggunakan qiyas fasid.







Menggunakan qiyas untuk membenarkan :





- amalan membaca doa awal tahun dan akhir tahun yang dilakukan dengan kaifiyyat yang dimaklumi, 


- berpunca daripada kepercayaan bahawa syaitan tidak akan berjaya menggodanya pada tahun tersebut,


- diambil daripada riwayat yang tiada asalnya' 





adalah tidak menepati syarat qiyas yang sahih.












2. DOA 




Doa yang dibaca pada awal tahun dan akhir tahun bukan doa biasa dan umum yang dianjurkan dalam agama. Didapati ramai yang membaca doa itu berasaskan harapan syaitan tidak berjaya menggoda pada tahun itu, berdasarkan satu 'riwayat' palsu.









Ada yang sampai menangis jikalau tidak sempat membacanya.









Ia berpunca daripada masalah percaya kepada janji palsu, yang tidak thabit daripada nabi saw. Dengan kata lain, percaya kepada hadith palsu.









Inilah sebab mengapa para ulama' menegur amalan tersebut.









Tiada siapa pun mengatakan tidak boleh berdoa apabila tiba awal tahun, kerana berdoa diketahui umum boleh dilakukan pada bila-bila masa.










3. KHASIAT AYAT AL-QURAN, DOA DAN ZIKIR









Semua orang beriman yakin akan khasiat ayat al-Quran, yakin akan doa itu ibadah dan yakin zikir perlu dibanyakkan dalam kehidupan harian.









Nabi saw telah mengajar zikir dan doa yang khusus, dan kita dibenarkan berdoa dengan doa yang umum. 







Namun, adalah salah jikalau kita berhujah 'kerana al-Quran, doa dan zikir ada khasiat, maka bolehlah kita buat upacara doa awal tahun dan akhir tahun.'









Sebab :








a. Kita telah menetapkan satu upacara baru dalam agama yang akhirnya akan disangka sebagai amalan sunat yang digalakkan, sepertimana yang telah pun disangka oleh kebanyakan orang awam sebelum ini.






b. Doa itu dibaca bukan kerana umumnya kelebihan doa, tetapi yakin kepada janji yang tidak thabit. Telah dinyatakan di atas.






c. Kata Imam Malik : الاصل سنة والكيفية بدعة














4. TIADA ULAMA' MU'TABAR MENGANJURKAN AMALAN INI









Tiada seorang pun ulama mu'tabar di kalangan ahlu sunnah wal jamaah menganjurkan amalan baca doa awal tahun dan akhir tahun yang dibincangkan ini.









Kitab-kitab yang dinyatakan bukan kitab rujukan muktabar dalam perkara ini.









5. ILHAM PARA AULIYA' TIDAK BOLEH DIJADIKAN SEBAGAI SUMBER SYARIAT









Jika dikatakan doa awal tahun dan akhir tahun adalah ilham para auliya', ia tetap tidak boleh dijadikan hujah, kerana ilham para auliya' bukan hujah untuk mewujudkan suatu amalan ibadat yang khusus, sehingga disangka tidak boleh ditinggalkan.









6. HADITH-HADITH YANG DIKEMUKAKAN BUKAN HUJAH DAN DALIL DALAM SOAL INI









Ketiga-tiga hadith yang disebutkan itu tidak menjadi hujah dalam perkara yang sedang dibincangkan. Sebenarnya ia adalah doa apabila melihat anak bulan pada setiap awal bulan. 


Oleh yang demikian, adalah elok kita amalkan doa ini setiap kali melihat anak bulan pada setiap awal bulan, bagi menggantikan amalan doa awal tahun dan akhir tahun tersebut yang berpunca daripada riwayat palsu.









Ketiga-tiga hadith tersebut juga dinukilkan oleh Ibn al-Qayyim dalam Zaadul Ma'ad di bawah judul :






هديه صلى الله عليه وسلم عند رؤية الهلال









PENUTUP



Kita telah laksanakan amanah menyampaikan sekadar yang kita mampu. Alhamdulillah, setelah ramai para asatizah menjelaskan dengan cara yang baik, rata-rata masyarakat di tempat kita sudah mula meninggalkan amalan ini. 









Kita akhiri jawapan ringkas ini dengan firman Allah swt, ayat 18 Surah al-Zumar, dengan harapan kita berusaha agar termasuk ke dalam golongan yang disebutkan.


























والله أعلم









Jumaat




3 Muharram 1437H






Sunday, 27 September 2015

BENARKAH HARAM MAKAN DAGING KORBAN YANG DISIMPAN LEBIH DARIPADA 3 HARI?




















Soalan : 





Saya mendapat maklumat bahawa ada larangan yang mengatakan bahawa daging korban yang telah disimpan lebih dari 3 hari tidak boleh dimakan lagi (haram dimakan) tetapi mesti dibahagikan. Benarkah?





Jawapan : 





Memang terdapat hadith yang sahih di mana Nabi Muhammad saw melarang menyimpan daging korban lebih daripada 3 hari. Namun hukum itu sudah mansukh, kerana wujud hadith sahih lain yang menyatakan Nabi Muhammad saw membenarkan daging korban disimpan lebih daripada 3 hari. Inilah pandangan jumhur ulama'.





Kata Ibn Qudamah dalam kitab al-Mughni :  Ali (dan Ibn Umar) ra hanya sempat mendengar hadith yang melarang, tetapi tidak sampai kepada mereka hadith yang membenarkan selepas daripada itu. 





Perkara yang sama telah disebut dalam kitab Aun al-Ma'bud, kitab syarah Sunan Abi Daud.





Kata Imam Nawawi dalam kitab al-Majmu' : Boleh meyimpan daging korban. Pernah 


dilarang menyimpan lebih daripada 3 hari, namun kemudiannya Nabi Muhammad saw membenarkannya, dan ia disebut dalam hadith-hadith sahih yang masyhur...





Menjawab pertanyaan di atas, tidak haram makan daging korban yang disimpan lebih daripada 3 hari. 





والله أعلم






















Bacaan lanjut :





1. http://library.islamweb.net/newlibrary/display_book.php?flag=1&bk_no=55&ID=4827





2. http://fatwa.islamweb.net/fatwa/index.php?page=showfatwa&Option=FatwaId&Id=58920


فيجوز ادخار لحم الأضحية من غير تحديد زمن معين، قال الإمام النووي في المجموع: يجوز أن يدخر من لحم الأضحية، وكان ادخارها فوق ثلاثة أيام منهيا عنه ثم أذن رسول الله صلى الله عليه وسلم فيه، وذلك ثابت في الأحاديث الصحيحة المشهورة....إلى أن قال: والصواب المعروف أنه لايحرم الادخار اليوم بحال، وإذا أراد الادخار فالمستحب أن يكون من نصيب الأكل لا من نصيب الصدقة والهدية. انتهى.


3. http://www.saaid.net/Doat/ageel/18.htm






المسألة الرابعة والسبعون: الادخار من لحم الأضحية:





ثبت في الأحاديث الصحيحة، أن النبي صلى الله عليه وسلم نهى عن ادخار لحوم الأضاحي، في إحدى السنوات، ثم أذن في الادخار بعد ذلك، أي أن النهي عن الادخار منسوخ، وبهذا قال جماهير أهل العلم..





4. http://www.al-eman.com/الكتب/المغني%20**/فصل:%20ادخار%20لحوم%20الأضاحي%20فوق%20ثلاث/i299&d211472&c&p1






ويجوز ادخار لحوم الأضاحي فوق ثلاث, في قول عامة أهل العلم ولم يجزه على ولا ابن عمر رضي الله عنه لأن النبي -صلى الله عليه وسلم- نهى عن ادخار لحوم الأضاحي فوق ثلاث ولنا أن النبي -صلى الله عليه وسلم- قال: (كنت نهيتكم عن ادخار لحوم الأضاحي فوق ثلاث فامسكوا ما بدا لكم) رواه مسلم وروت عائشة رضي الله عنها أن النبي -صلى الله عليه وسلم- قال: (إنما نهيتكم للدافة التي دفت, فكلوا وتزودوا وتصدقوا, وادخروا) وقال أحمد: فيه أسانيد صحاح فأما على وابن عمر فلم يبلغهما ترخيص رسول الله -صلى الله عليه وسلم- وقد كانوا سمعوا النهي فرووا على ما سمعوا. 



5. http://fatwa.islamweb.net/fatwa/index.php?page=showfatwa&Option=FatwaId&Id=44487





6. Enam اقوال tentang hadith larangan menyimpan daging korban, boleh dibaca dalam kitab Fath al-Mun'im Syarh Sahih Muslim :


http://hadithportal.com/index.php?show=hadith&h_id=3759&uid=52000&sharh=10000&book=31











Monday, 14 September 2015

LARANGAN MEMOTONG KUKU SEBELUM MELAKUKAN IBADAT KORBAN, PUASA SUNAT PADA BULAN ZULHIJJAH, DAN IBADAT KORBAN BAGI AHLI KELUARGA YANG SUDAH MENINGGAL DUNIA

Soalan Pertama :



Benarkah larangan bercukur dan memotong kuku sebelum melakukan ibadat korban pada bulan Zulhijjah?





Jawapan Ringkas :






- Hadith yang menyebut tentang larangan memotong kuku dan bercukur/potong rambut bagi orang yang hendak melakukan ibadat korban adalah SAHIH. Larangan ini bermula apabila masuknya 1 Zulhijjah, dan berakhir selepas selesai ibadat korban.

إِذَا رَأَيْتُمْ هِلَالَ ذِي الْحِجَّةِ ،
 وَأَرَادَ أَحَدُكُمْ أَنْ يُضَحِّيَ ،
 فَلْيُمْسِكْ عَنْ شَعْرِهِ وَأَظْفَارِهِ.
 رواه مسلم



Maksudnya : “Apabila kamu melihat anak bulan Zulhijjah (apabila masuk bulan Zulhijjah), dan kamu mahu melakukan ibadah korban, maka tahanlah diri daripada memotong rambut dan kuku.”
(Direkodkan oleh Imam Muslim)
 


- Para ulama'  berselisih pendapat, apakah hukum larangan itu :





1. Makruh (Mazhab Syafi'i dan salah satu riwayat dari Imam Malik)


2. Haram (Mazhab Ahmad)


3. Tidak makruh dan tidak haram. (Mazhab Abu Hanifah dan salah satu riwayat dari Imam Malik)





- Sebaiknya kita ikut zahir hadith, jangan potong bagi orang yang hendak melakukan ibadat korban. Itulah pandangan yang rajih (paling tepat) kerana hadith yang sahih jelas melarang. Pasti ada hikmah di sebalik larangan Nabi Muhammad s.a.w. walaupun kita tidak mengetahui sebabnya. 





Walau bagaimanapun makruh ataupun haram ini tidak termasuk ahli keluarga yang diniatkan korban itu. Hanya ketua keluarga sahaja tidak boleh memotongnya. 





- Itupun jika terdesak, kata Syeikh Ibn Uthaimeen, seperti cedera, kuku tersopek dan sebagainya, tidaklah haram memotongnya.





- Begitu juga, menurut Syeikh Ibn Uthaimeen, bagi orang yang baru timbul niat hendak berkorban pada 5 Zulhijah misalnya, tiada masalah jika kuku dipotong sebelum itu, cuma jangan potong bermula 5 Zulhijjah itu.





- Menurut Syeikh Ibn Uthaimeen, jika potong sekalipun, ia tidak menjejaskan ibadat korban, tidaklah bermakna  korban tidak diterima. Cuma sesiapa yg potong tanpa ada keuzuran, dia menyanggahi perintah nabi saw. 




والله أعلم








Soalan Kedua :



Benarkah sunat berpuasa pada 1-9 Zulhijjah?






Jawapan Ringkas : 





- 10 hari awal Zulhijjah tersebut memang ada kelebihan, berdasarkan ayat al-Quran dan hadith nabi saw.





Berdasarkan hadith sahih riwayat Ibn 'Abbas (Sahih Bukhari-Kitab al-'Iidain), maka dianjurkan meningkatkan amalan pada 1-9, memandangkan 10 Zulhijjah adalah hari raya korban.





- Anjuran membanyakkan amalan itu termasuklah berpuasa sunat dan qiyamullail. Namun ia bukanlah puasa sunat yang dianjurkan secara khusus seperti puasa sunat Isnin-Khamis, ataupun puasa sunat hari Asyura'. 





- Para ulama' juga mengatakan tidaklah sama qiyam pada malam-malam 10 awal Zulhijjah dgn 10 terakhir Ramadan/malam Lailatul Qadr. Kerana Lailatul Qadr itu lebih besar kedudukannya. 





- Namun besarnya kelebihan 10 awal Zulhijjah ini, sehingga Syeikhul Islam Ibn Taymiyyah mengatakan 10 awal zulhijjah fadilatnya pada waktu siang, manakala 10 mlm terakhir Ramadan fadilatnya pada waktu mlm, kerana terdapat Lailatul Qadar.





- Jika ingin berpuasa 1-9 Zulhijjah, maka niat puasa sunat umum bagi selain daripada hari Isnin, Khamis dan hari Arafah (9 Zulhijjah).





Maksudnya, hari-hari puasa sunat khusus itu kita niat sebagai puasa sunat hari Isnin, Khamis dan sunat Hari Arafah. 





Yang selebihnya jika ingin berpuasa, maka niat berpuasa sunat umum sahaja. 





Sebelah malamnya pula, eloklah kita melakukan qiyamullail.





والله أعلم









Soalan Ketiga :



Bolehkah saya buatkan ibadat korban untuk ahli keluarga saya yang sudah meninggal dunia?





Jawapan Ringkas :







Ada dua perkara yg berbeza dalam hal ini.





1. Buatkan korban bagi pihak si mati. (Seperti buatkan ibadat haji bagi pihak si mati).





2. Kita yang hidup buat ibadat korban, tetapi niatkan pahala itu untuk ahli keluarga yang masih hidup dan yang sudah meninggal dunia.





Bagi bentuk yang pertama, kalau dibuat juga oleh warisnya yg masih hidup, Mazhab Syafii kata tak sah, kecuali jika si mati pernah berwasiat menyuruh demikian. Mazhab Maliki pula kata makruh.





Bentuk kedua lebih menepati sunnah, iaitu tidak perlu dikhususkan korban untuk simati. Juga lebih selamat dari segi menjaga keihklasan niat.


.


Buat korban satu, niat untuk ahli keluarga sekali, termasuklah yang masih hidup dan yang sudah meninggal dunia. Seperti yang disebut dalam hadith, nabi saw berkorban dengan lafaz :





" بِاسْمِ اللَّهِ اللَّهُمَّ تَقَبَّلْ مِنْ مُحَمَّدٍ وَآلِ مُحَمَّدٍ وَمِنْ أُمَّةِ مُحَمَّدٍ " 





"Bismillah. Ya Allah, terimalah ibadah korban ini daripada Muhammad, dari keluarga. Muhammad dan dari ummat Muhammad."


Sahih Muslim, Kitab Korban.





Maksudnya, atas satu nama kita yg kita daftar/ maklumkan kepada pihak pengurusan korban, kita boleh niatkan sekali utk ahli keluarga termasuk si mati. Tidak perlu buat atas dua nama, dan tidak perlu buat bahagian khas untuk ahli keluarga/si mati itu. (Sebab kalau kita buat begitu, ia termasuk dlm bentuk pertama). Mereka (pihak pengurusan) tak tahu pun tak apa, sebab yg penting ialah niat kita kepada Allah. Kita niat : Bismillah. Ya Allah, terimalah ibadat korban ini dari (nama kita) dan dari (nama ahli keluarga kita) - jika kita nak khususkan kpd ahli keluarga yang sudah meninggal dunia itu.





Maksud amalan seperti ini ialah seorang sahaja yang memiliki bahagian korban, tetapi pahalanya dikongsi dengan/diperolehi juga oleh ahli keluarga yang layak (ataupun sesiapa yang dikehendakinya), walau berapa pun jumlah bilangan mereka, yang masih hidup dan yang sudah meninggal. Ia bukan bermaksud satu bahagian korban itu dimiliki oleh 2, 3, atau 10 nama ahli keluarga (misalnya). 





Kalau nak lebihkan pahala dan kita pula memang berkemampuan, bolehlah ambil lebih bahagian, tapi tetap atas satu nama kita ataupun nama ahli keluarga yang masih hidup.





Sebabnya hukum sunat muakkad berkorban itu dikenakan ke atas orang yang masih hidup, bukan yang sudah meninggal dunia. 





والله أعلم







Bacaan ringkas dan rujukan lanjut :





-Sahih Fiqh Sunnah Jilid 2


-http://www.saaid.net/mktarat/hajj/58.htm


-http://www.islamweb.net/ahajj/index.php?page=ShowFatwa&Option=FatwaId&lang=A&Id=58590


-http://www.islamweb.net/ahajj/index.php?page=ShowFatwa&lang=A&Id=143055&Option=FatwaId


-http://www.islamweb.net/ahajj/index.php?page=ShowFatwa&lang=A&Id=224812&Option=FatwaId











Thursday, 27 August 2015

NIAT PUASA SUNAT SELEPAS SUBUH DAN SYARATNYA






Soalan : 







Seseorang yang melazimi puasa sunat Isnin dan khamis terlupa bahawa hari tersebut ialah hari khamis.  Dia beranggapan hari itu hari Rabu. Kelaziman minum pagi sebelum subuh tetapi dia mungkin minum sedikit air selepas solat subuh. Hanya pada ketika beliau dlm perjalanan membeli sarapan (7.30 pagi) dan melihat kakitangan kerajaan berbaju batik, baru terdetik hari khamis kah hari ini?





Bolehkah dia meneruskan untuk berniat puasa sunat pada hari itu?





Jawapan :





بسم الله الرحمن الرحيم





Perbezaan di antara puasa sunat dengan puasa wajib ialah puasa sunat dibolehkan niat pada siangnya jika tiba-tiba seseorang itu hendak berpuasa, ataupun terlupa niat pada malamnya, dengan syarat dia BELUM makan dan minum pada hari itu, iaitu bermula selepas terbit fajar sadiq ataupun selepas masuk waktu Subuh.






Jika puan sudah minum selepas solat Subuh, tidak boleh lagi niat berpuasa sunat pada hari itu. Puan tidak dikira sebagai 'terlupa' minum ataupun terminum semasa berpuasa pada pagi itu kerana puan tidak niat pun pada sebelah malamnya.





Ia berbeza jika puan memang belum makan pada hari itu, kemudian contohnya jam 8.00 pagi puan teringat hari itu Khamis, lalu niat puasa. Kemudian jam 12 makan kerana dijemput kawan, lupa sedang berpuasa. Lupa dalam keadaan berpuasa begini yang dimaafkan dan boleh meneruskan puasa bila teringat.





Sebaik-baiknya, jika belum makan dan minum pada hari itu dan ingin berpuasa sunat, selewat-lewatnya masa niat ialah sebelum zawal, iaitu sebelum masuk waktu Zuhur. 






Tambahan :



Bagi puasa-puasa sunat muqayyad, tidak sama pahala dan kelebihan orang yang niat sebelah malam dengan sebelah siang.



Orang yang niat sebelah malam akan mendapat kelebihan yang dijanjikan oleh Nabi Muhammad saw bagi puasa-puasa sunat muqayyad tersebut.



Manakala orang yang niat sebelah siang, pahalanya hanya bermula semasa dia berniat.



Contohnya :



Puasa Hari 'Asyura' diharapkan dapat menghapuskan dosa-dosa setahun sebelum itu. Bagi mendapatkan ganjaran puasa Hari Asyura', kita perlu niat puasa sebelah malamnya.



Jika kita terlupa malamnya, lalu hanya niat sebelah siang, puasa sunat masih boleh diteruskan. Kita masih mendapat pahala puasa sunat secara umum, ada ulama' mengatakan bahawa  ganjarannya tidak sama jika kita niat awal-awal sebelah malam ataupun sebelum fajar.



Puasa Hari Isnin dan Khamis adalah puasa sunat muqayyad, sama seperti puasa Hari Asyura'. Teruskan niat berpuasa sunat, meskipun kita hanya sempat niat pada siangnya. Pahala di sisi Allah,  sedikit ataupun banyak, tetap berharga bagi kita seorang hamba.




والله أعلم





Bacaan lanjut :


1. Sahih Fiqh Sunnah



Di bawah judul : 


إذا أكل أو شرب بعد طلوع الفجر في صيام التطوع هل يصح صومه؟






 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Powerade Coupons