Wednesday, 9 February 2022

Assalamualaikum.

Adakah benar waktu solat berkait dengan aura warna seperti yang tular?


Jawapan Ringkas :


Perkara pokok dalam isu ini ialah SUMBER AGAMA.


Sumber agama Islam ialah wahyu. Ajaran wahyu terpelihara  dalam al-Quran dan al-Hadith yang thabit. Agama menjadi kacau bilau apabila amalan dan huraian agama diambil daripada sumber yang salah, ataupun dengan cara yang salah.


Inilah sebab mengapa syaitan gemar menjelma dalam bentuk mimpi ataupun secara jaga - ‘yaqazah’, lalu mendakwa dirinya sebagai nabi ataupun tokoh penting. Tujuannya ialah mengaburi dan menyaingi ajaran wahyu, dan mencipta sangkaan bahawa kononnya ada jalan ‘wahyu’ lain selain al-Quran dan al-Hadith yang menjadi suluhan hidup muslim.


Chakra memang dimaklumi datang daripada kepercayaan Hindu, sama seperti fahaman Wahdatul Wujud. Tidak boleh mengambil kepalsuan terma dalam agama Hindu sebagai penerangan bagi sesuatu ajaran dalam agama Islam.


Aliran yang menerima kepercayaan dan amalan tiada asal seperti wahdatul wujud, yaqazah, menghadiahkan al-Fatihah kepada Rasulullah, selawat rekaan dengan dakwaan pelbagai khasiat dan konsep martabat 7, didapati sangat mudah menerima idea-idea seperti aura, reiki, kuasa tenaga dalaman ajaran agama lain, dan didapati sukar pula kembali kepada ajaran al-sunnah. 


Syariatullah dan sunnatullah tidak bercanggah. Apa yang menyaingi syariat tidak menepati sunnatullah. Dakwaan palsu yang menyalahi sunnatullah tidak akan selari dengan syariat Allah. 


https://drive.google.com/file/d/1Dwl0wUunyYS3bA9Mq1bObjnXTFdS9QJB/view?usp=sharing


اللهم اهدنا وسددنا

Dr. Nabilah Hasan  

7 Rajab 1443H


Saturday, 20 November 2021

TUDUHAN TERHADAP ZIKIR AJARAN NABI MUHAMMAD SAW DALAM HADITH SAHIH

Menjawab satu tulisan yang mendakwa zikir ajaran Nabi Muhammad saw itu berat dan tidak sesuai untuk kita yang bukan nabi !

Assalamualaikum.

 Usahlah terpengaruh dengan kenyataan dan dakwaan yang sudah diterbalikkan, demi hendak melariskan zikir rekaan.

Jahatnya manusia sehingga sanggup menutup kebaikan ajaran Nabi Muhammad saw demi untuk menjual barangan sendiri.

Orang yang berusaha melariskan ajaran nabi mereka gelar wahabi, manakala yang melariskan ajaran rekaan mereka gelar wali, walhal Nabi Muhammad saw adalah wali yang tertinggi.

Hakikatnya, sepanjang 20 tahun pengalaman, berdikit-dikit menerima aduan dan soalan.

Zikir rekaan itu sebenarnya tidak ringan pada lidah kerana bahasa Arabnya sudah compang camping.

Zikir rekaan itu tidak seindah susunan yang diajarkan oleh Nabi Muhammad saw, kerana ia bukan disusun oleh utusan Allah.

Zikir rekaan itu, kalau tuan-tuan ingin tahu, sangat rencam sehingga dituntut sampai ribu raban, malah ada yang sampai mencipta gerak geri yang perlu dilakukan.

Zikir rekaan itu kandungan tauhidnya tidak semurni zikir ajaran Nabi Muhammad saw yang mengajar kita intipati ajaran tauhid.

Zikir rekaan terpaksa ditempelkan lagi dengan rekaan lain, iaitu rekaan pelbagai khasiat dan fadilat jika mengamalkannya.

Panas badan, gila ism dan berat kepala berpunca daripada zikir rekaan yang dicipta kemudiannya diberikan sukatan dos sesedap rasa oleh mereka yang tidak berautoriti, mahu menandingi ajaran nabi saw.

Jika ada orang yang mengatakan zikir ajaran Nabi Muhammad saw itu berat, tidak sesuai untuk orang kita yang bukan nabi, itu menunjukkan 3 perkara penting  :

1. Orang itu memang tidak pernah mengamalkan zikir ajaran Nabi Muhammad saw.

2. Orang itu menipu dengan menukar kenyataan sebenar. Pengalaman merakamkan bahawa penipuan akan disusuli dengan penipuan2 lain dalam kehidupan.

3. Orang itu bermasalah dalam memahami maksud nabi dan rasul, dan perlu belajar lagi Apa Makna Beriman Kepada Rasul-Rasul.

اللهم اهدنا وسددنا

20/11/2021

16 Rabi’ al-Akhir 1443H

Monday, 1 November 2021

‘Blackish Discharge’ Semasa Rawatan Endometriosis

🔴 Soalan :

I m now under treatment for my endometriosis tht I m suffering. Doctor gave me lucrin for 6 months to stop my period.

So I m not supposed to get my period for 6 months. But through tht I did experience some sort of blackish discharged. I could still perform solat kan ustazah?


🔴 Jawapan :

  • Rawatan mungkin mengambil masa untuk hentikan darah haid. Perlu dapatkan nasihat doktor, jika darah itu memang datang dari kitaran biasa yang masih berbaki, maka ia adalah haid.
  • Pendarahan yang dialami oleh mereka yang mengalami Endometriosis boleh datang dari 2 sumber, iaitu darah dari kitaran haid biasa dan darah dari Endometriosis. Jadi seeloknya sahkan dengan doktor darah yang keluar itu.
  • Pada pandangan ustazah, darah kehitaman yang keluar itu dikira sebagai darah haid apabila :
    a. Lucrin yang diambil itu belum bertindakbalas sepenuhnya, iaitu masih berlaku haid berbaki sebelum berhenti sepenuhnya.

    b. Darah kehitaman itu keluar pada masa ataupun tarikh biasa kedatangan haid, jika puan sebelum ini pernah ada tarikh kebiasaan yang tetap didatangi haid.

  • Jikalau darah itu bersifat darah luka, bukan bersifat darah haid yang dikenali, maka ia tentulah bukan darah haid, tetapi darah istihadah yang membolehkan kita terus menunaikan solat dan puasa.
  • Darah yang keluar disebabkan endometriosis menurut ilmu perubatan berwarna merah jambu, kecoklatan dan juga hitam.
Kesimpulan Ringkas :

 1. Jikalau Lucrin yang diambil itu belum bertindakbalas sepenuhnya, mungkin boleh berlaku haid berbaki sebelum berhenti sepenuhnya.

Maka discharge, cairan ataupun darah hitam itu dikira haid jika ia bertepatan dengan tarikh rutin haid yang biasa.

2. Jikalau Lucrin sudah bertindakbalas sepenuhnya, kitaran haid memang sudah terhenti, dan darah yang keluar itu adalah darah endometriosis, maka yang hitam puan lihat itu adalah istihadah, kerana darah yang keluar disebabkan endometriosis menurut ilmu perubatan boleh berwarna merah jambu, kecoklatan dan juga hitam.

والله أعلم

Wednesday, 18 August 2021

CATATAN 10 MUHARRAM 1443H

Assalaamualaikum.

🔴 Antara kluster yang banyak muncul di Terengganu sebelum ini ialah kluster majlis tahlil kematian. Kluster yang dilaporkan bolehlah kita membilangnya, yang tidak dilaporkan malah disembunyikan tidaklah kita ketahui berapa jumlahnya.

Sayangnya ia dinamakan sebagai kluster agama, walhal jika para sahabat masih hidup pada zaman kita ini, merekapun pasti hairan dengan kaifiyyat dan lafaz muqaddimah majlis tahlil itu.

🔴 Sebenarnya, apabila ada kematian, setelah selesai hutang piutang dan pengurusan jenazah, ada 2 perkara penting yang diajarkan oleh Nabi Muhammad saw yang perlu kita lakukan berterusan untuk si mati, kerana 2 perkara ini sangat bermanfaat untuknya.

1️⃣ Pertama mohonkan rahmat Allah untuknya.
2️⃣ Kedua mohonkan keampunan Allah untuknya.

🔴 Pandemik ini banyak mengajar kita perkara yang lebih utama dan meninggalkan perkara yang kurang utama, apatah lagi yang tiada asal usulnya namun dimasukkan sebagai syariat dalam agama.

Agama Islam ini datang daripada Allah, dijelaskan sempurna oleh RasulNya.

🔴 Hari ini 10 Muharram, bagi orang yang berpuasa, adalah mustajab doanya. 

Bersama kita berdoa untuk datuk nenek dan ibubapa kita yang sudah pergi meninggalkan kita. 

Hari ini, sepanjang bulan bahkan sepanjang tahun ini jika ada wang, hulurkan sepuluh dua untuk golongan fakir miskin, orang kurang upaya dan orang hilang kerja sempena pandemik ini,  ataupun hulurkan bungkusan makanan buat petugas barisan hadapan perkhidmatan kesihatan dan keselamatan kita. Boleh niatkan sedekah untuk datuk nenek dan ibubapa kita, tanpa perlu diketahui sesiapa.

Itu lebih manis dan sempurna dari sudut akidah, syariat dan akhlak, berbanding majlis tahlil yang memang tiada panduan daripada Nabi Muhammad saw, apatah lagi mahu dibuat secara bersembunyi dalam musim pandemik yang masih mencatatkan belasan ribu kes setiap hari.

اللهم أعنا على ذكرك 
وشكرك وحسن عبادتك.

Saturday, 24 July 2021

CATATAN : RIYAD AL-SALIHIN, BAB IKHLAS, HADITH 2


RIYAD AL-SALIHIN - BAB IKHLAS - HADITH 2


 Sedikit perkongsian dan kesimpulan hari ini. Dikongsikan juga slides yang di’skip’ kerana faktor masa yang terhad.


MUQADDIMAH



  1. Kita bersama pagi ini untuk memenuhi tuntutan ukhuwwah Islamiyyah. Semakin berusia semakin kita mencari erti di sebalik tindakan, pilihan dan keputusan yang kita buat, maka cara terbaik ialah mencari erti dalam ajaran al-Quran dan al-Sunnah.


  1. Ukhuwwah Islamiyyah ada tuntutannya. Dalil yang kita ambil hari ini ialah satu ayat dan 1 hadith. Ayat yang memberitahu kita tentang tuntutan ukhuwwah ialah ayat 71 Surah al-Taubah. 


Manakala hadith yang memberitahu perkara yang sama ialah sabda Nabi Muhammad saw : 


انصر أخاك ظالمًا أو مظلومًا

 (Sahih al-Bukhari)


IMAM NAWAWI



  1. Selain menekankan soal tazkiyah al-nafs, Imam Nawawi juga antara ulama’ mazhab Shafi’i yang terbuka dalam bab fiqh. Beliau mengutamakan dalil yang sahih. Contohnya, beliau antara ulama’ yang tidak menerima solat Tasbih kerana hadith yang menjadi dalilnya tidak thabit. Ibn al-Jawzi mengatakan hadith yang manjadi dalil solat Tasbih adalah hadith palsu.



  1. Terdapat himpunan zikir/wirid yang TIDAK datang daripada hadith2 thabit, tetapi disandarkan himpunan itu kepada Imam Nawawi.                                                 Para ulama’ mengatakan himpunan yang dinamakan sebagai ‘hizib Imam Nawawi’ itu BUKAN susunan Imam Nawawi berdasarkan pendiriannya dalam karya2 nya yang lain. (Boleh lihat kelebihan yang berlebihan yg didakwa jika amalkan hizib ini, antara tanda kepalsuan dakwaan dan sandaran ke atas nama Imam Nawawi.)


HADITH 2 BAB IKHLAS




  1. Hadith 1 Bab ikhlas diriwayatkan oleh Umar ra manakala hadith 2 diriwayatkan oleh ‘Aisyah ra. Umar tokoh sahabat yang dimaklumi paling banyak ilmu dan Aisyah ra adalah tokoh sahabiyyah yang paling banyak ilmu.

  1. Ilmu di kalangan sahabat dan sahabiyyat adalah ilmu yang bermanfaat, diasaskan oleh ikhlas. Kita diajar  supaya memohon ilmu yang bermanfaat dan meminta perlindungan Allah daripada ilmu yang tidak bermanfaat.  



 



  1. Bergaul dan bersama dengan orang2 yang zalim, fasiq, fajir, boleh menyebabkan kita terkena bala bencana atas sebab kemurkaan Allah kepada mereka. Walau bagaimanapun, setiap orang akan dibangkitkan dengan niat terakhir masing2, iaitu apakah sebenarnya niat seseorang sehingga dia berada di lokasi yang sama dengan golongan yang berniat jahat itu. 
  2. Kaabah pernah diserang oleh tentera Abrahah dan Syiah Qaramitah. Akhir zaman nanti akan ada lagi tentera besar yang mahu menyerang Kaabah. Inilah yang diberitahu oleh Nabi Muhammad saw dalam hadith yang kita pelajari hari ini. Fitnah-fitnah terhadap kawasan Kaabah dan terhadap pihak yang menjaga Kaabah masa kini hendaklah disemak dengan berhati-hati.
  3. Hadith-hadith akhir zaman tidak boleh dijadikan peramal tempoh kiamat berdasarkan situasi semasa. (Cth soalan yang pernah ditanya, benarkah ramalan bahawa selepas pandemik Covid 19 ini akan muncul tanda2 besar kiamat. Dajjal dll. Benarkah ramalan tok guru tertentu yang mengatakan usia umat ketika itu hanya berbaki 1500 tahun. Bermakna sekarang ini umur dunia berbaki 58 tahun.) Para ulama’ sejak zaman berzaman menegur perbuatan meramal seperti ini.
  4. Dalam bab memahami hadith akhir zaman, perlukan diketahui bahawa initipatinya ialah membuat persediaan iman dan amal soleh. Tiada guna meramal.
  5. Karya baik dibaca dalam memahami akidah dan hadith-hadith akhir zaman antaranya ialah karya Dr Umar Sulayman al-Asyqar. Ada yang telah diterjemahkan ke bahawa Indonesia : Ensiklopedia Kiamat.
  6. Syarat diterima amalan yang kita pelajari hari ini ialah Ikhlas dan menepati sunnah Nabi Muhammad saw.

  1. Syarat mendapatkan kek yang menjadi sedapnya ialah rajin dan menepati sukatan resepi. Jangan menambah telur sesuka hati. Telur A yang besar tidak sesuai untuk resepi yang memerlukan telur B. Kek yang terlebih cecair akan menyebabkannya bantat. Kek span perlu dikeluarkan daripada loyang segera sejurus dikeluarkan daripada oven supaya ia tidak turun semula.



  1. Demikianlah amalan tidak boleh ditokok tambah dan dilanggar kaifiyyat yang telah ditetapkan kerana ia menyebabkan tidak diterima di sisi Allah swt. 



  1. Sebagaimana silap menambah telur sesuka hati dengan sangkaan kek akan lebih sedap, demikianlah silapnya menambah amalan agama sesuka hati dengan anggapan yang lebih banyak itu lebih baik. 


  1. Syarat amalan diterima iaitu, ikhlas dan menepati sunnah itu termaktub dalam ilmu syariat Allah. Manakala syarat mendapat kek yang menjadi, iaitu rajin dan menepati sukatan resepi itu termaktub dalam ilmu sunnatullah. 



14 Zulhijjah 1442H



 

Sunday, 18 July 2021

Adakah haram memasak daging korban untuk dibahagikan kepada fakir miskin?

 Assalamualaikum Ustazah,


Benarkah daging korban haram dimasak untuk diagihkan sebagai hadiah dan sedekah kepada fakir miskin?


Jawapan Ringkas :


Para ulama’ berbeza pendapat dalam hal ini.

Namun tiada dalil yang jelas menyatakan begitu.


Sedekah daging korban itu boleh diberikan dalam bentuk daging mentah ataupun yang telah dimasak. Pastikan sekurang-kurang 1/3 diperolehi oleh faqir miskin.


Daging korban lebih afdal dibahagikan dalam bentuk daging mentah. Namun tiada masalah jika ada keperluan mendesak untuk membahagikan daging korban itu dalam bentuk yang telah dimasak.


Daging aqiqah lebih afdal dibahagikan dalalm bentuk yang telah dimasak. Namun tiada masalah jika ada keperluan membahagikan untuk daging aqiqah dalam bentuk mentah.


والله أعلم

Isnin

9 Zulhijjah 1442H

19 Julai 2021

Monday, 5 July 2021

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Powerade Coupons