Friday, 31 March 2023

MALAM QADAR DAN KOMPONENNYA

Nuzul al-Quran Pada Malam Qadar


🔴 Al-Quran Petunjuk


Al-Quran adalah kitab rujukan kita, kitab pegangan kita, kitab yang memberi peringatan kepada seluruh alam. Alangkah ruginya jika seseorang hanya membaca, tetapi tidak mengambil petunjuk daripadanya.


Al-Quran mengajar kita akidah, iaitu perkara-perkara ghaib yang wajib kita yakini dan perkara yang tidak boleh kita percayai. 


Al-Quran mengajar kita syariah, iaitu perkara-perkara yang perlu kita buat dan perkara yang perlu kita tinggalkan dalam kehidupan.


Al-Quran mengajar kita akhlak yang baik dan melarang kita daripada akhlak yang buruk. Bagaimana akhlak dengan Allah dan rasul-Nya, bagaimana akhlak sesama insan dan bagaimana akhlak dengan alam.


Al-Quran, permulaannya diturunkan dalam bulan Ramadhan, menjadi petunjuk bagi orang yang hendak mencegah dirinya daripada kemurkaan Allah. 


Berpegang kepada al-Quran dengan penjelasan oleh al-sunnah, dijamin baginda saw tidak akan tersesat, kerana al-Quran yang difahami dengan disiplin yang benar adalah pembeza antara perkara benar dengan perkara yang salah.


🔴 Nuzul al-Quran


Maksud Nuzul al-Quran ialah turunnya permulaan al-Quran, wahyu pertama. 


Wahyu pertama sangat besar dan penting dalam agama Islam، sehingga turunnya wahyu pertama menggambarkan turunnya al-Quran keseluruhannya.


Nabi saw memberitahu kita bahawa wahyu mula diturunkan kepada baginda pada hari Isnin. Ini berdasarkan hadith ketika baginda ditanya tentang puasa hari Isnin. Jawab baginda saw :


ذَاكَ يَوْمٌ وُلِدْتُ فِيهِ، وَيَوْمٌ بُعِثْتُ، أَوْ أُنْزِلَ عَلَيَّ فِيهِ.

“Itulah hari saya dilahirkan, dan hari saya dilantik menjadi rasul, ataupun hari diturunkan wahyu kepada saya.”

Sahih Muslim.


Menurut kajian falak, tarikh wahyu pertama turun kepada Nabi Muhammad saw jatuh kepada 21 Ramadhan bersamaan dengan bulan Ogos tahun 610 Masihi. Maksudnya, malam qadar jatuh pada malam 21 Ramadhan pada tahun turunnya awal Surah al-‘Alaq. (Lihat al-Rahiq al-Makhtum).


Penemuan para ulama’ ini mengingatkan kita kepada ayat pertama surah al-Qadr  yang selalu kita baca :


إِنَّا أَنزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةِ الْقَدْرِ


“Sesungguhnya Kami menurunkannya (al-Quran) pada malam qadr.”


Nabi Muhammad saw. menggesa umatnya supaya mencari malam qadar, malam mulia dan malam ketentuan itu pada 10 malam terakhir. Hadith-sahih menjelaskan bahawa malam qadar jatuh kepada mana-mana 10 malam terakhir Ramadhan pada setiap tahun, termasuklah tahun pertama wahyu diturunkan. 


🔴 Malam Qadar Dan Komponennya 


Malam qadar yang ditunggu-tunggu di 10 akhir Ramadhan rupanya berkait rapat dengan banyak perkara penting.


✍🏻Pertama : Nuzul al-Quran.


Malam qadr adalah malam turunnya al-Quran, turunnya permulaan al-Quran yang mulia.


✍🏻Ke-2 : Kemuliaan al-Quran.


Malam qadar mulia kerana al-Quran, kalamullah yang diturunkan kepada Nabi Muhammad saw supaya baginda jelaskan maksud dan tuntutan al-Quran itu.


Maksimumkan penghayatan ayat al-Quran pada 10 malam terakhir, lebih-lebih lagi dalam solat. 


Panjangkan qiyam dengan bacaan ayat al-Quran.


✍🏻Ke-3 : Ramadhan.


Malam kemuliaan itu berterusan pada tahun berikutnya, sehingga kita dituntut memburunya pada 10 malam terakhir setiap Ramadhan, bulan yang diwajibkan kepada kita berpuasa.


✍🏻Ke-4 : Tersembunyi.


Malam qadar itu tersembunyi, maka diperintahkan kepada kita untuk mencarinya dalam mana-mana 10 malam terakhir Ramadhan.


Hikmah tersembunyi itu 2. Pertama, pemburu akan menghidupkan kesemua malam. Kedua, tersaring pemburu yang benar-benar berminat untuk mendapatkannya.


✍🏻Ke-5 : Taqwa. 


Malam qadar itu berkaitan dengan memelihara diri daripada kemurkaan Allah, baik pada siang mahupun malamnya. 


Al-Quran yang (permulaannya) diturunkan pada malam qadar itu menjadi petunjuk bagi orang yang bertaqwa.


ذَٰلِكَ الْكِتَابُ لَا رَيْبَ ۛ فِيهِ ۛ هُدًى لِّلْمُتَّقِينَ (2)


Ketika al-Quran, wahyu pertama diturunkan pada malam qadar tahun 610 M, puasa belum lagi disyariatkan. Puasa dalam bulan Ramadhan disyariatkan kepada orang beriman pada tahun 2 H, iaitu 15 tahun selepas wahyu pertama diturunkan. 


Perintah puasa diturunkan pada bulan Syaaban pada tahun 2 H, maka orang beriman boleh bersedia untuk berpuasa wajib sebulan Ramadhan pada tahun tersebut. . Perang Badar berlaku pada tahun yang sama, pada hari Jumaat, 17 Ramadhan.*


Puasa sebulan itu disyariatkan kepada kita dengan hikmah disebutkan dalam surah al-Baqarah :

لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ (183)


Malam qadar hanya ditemui dan dimanfaatkan oleh orang bertaqwa. 


✍🏻Ke-6 : Masjid.


Malam qadar berkaitan dengan i’tikaf di masjid, rumah Allah. Disunatkan kepada umat Islam, baik lelaki mahupun wanita, i’tikaf di masjid pada 10 malam terakhir Ramadhan. Bagi wanita, pilihlah masjid yang sesuai dan mesra wanita untuk i’tikaf di sana, dan peliharalah adab-adabnya.


Beruntungnya sahabat-sahabat kita yang berpeluang beri’tikaf di al-Masjid al-Haram dan al-Masjid al-Nabawi pada 10 malam terakhir Ramadhan. 


Namun, tidak i’tikaf di masjid bukan bererti kita terlepas peluang beribadah pada malam qadar. 


قولهتعالى : ( فَاتَّقُوا اللَّهَ مَا اسْتَطَعْتُمْ )


✍🏻Ke-7 : Maghfirah.


Malam qadar berkaitan dengan pengampunan dosa dan permohonan tulus agar diampunkan dosa. Sabda Nabi saw :


مَنْ قَامَ لَيْلَةَ الْقَدْرِ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ 


رواه البخاري

Maksudnya :

“Sesiapa menghidupkan (berdiri untuk solat) pada malam qadar dengan penuh iman dan mengharapkan pahala di sisi Allah, diampunkan dosanya yang telah lalu.”


Hadith direkodkan oleh Imam Bukhari.


Dalam hadith lain, ‘Aisyah bertanya kepada Nabi Muhammad saw, “Wahai Rasulullah. Kalau saya tahu malam itu malam qadar, apakah yang patut saya mohon kepada Allah pada malam tersebut?’


Jawab baginda saw :

‘Berdoalah, 

اللَّهُمَّ إِنَّكَ عَفُوٌّ تُحِبُّ الْعَفْوَ فَاعْفُ عَنِّي

‘Ya Allah! Sesungguhnya Engkau Maha Pemaaf, sukakan kemaafan, maka maafkanlah daku.”


Hadith direkodkan oleh Imam Ahmad.


شَهْرُ رَمَضَانَ الذي أُنْزِلَ فِيهِ القرآن هُدًى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِّنَ الهدى والفرقان }


✍🏻Ke-8 :  Qiyamullail & Tahajjud.


Malam qadar berkaitan dengan :

a. Qiyamullail selepas menyempurnakan solat fardhu 

b. Tahajjud, bangun pisahkan diri dari tempat tidur.


Berdiri awal malam, bangun akhir malam dan menghidupkan keduanya dengan menghayati  dan memperbanyakkan solat sunat yang dalam hadith-hadith yang sahih, khususnya solat tarawih dan witir.


✍🏻 Ke-9 : Solat.


Malam qadar berkaitan dengan solat dengan makna dari sudut bahasa dan istilah. 


Malam qadar adalah malam fokus untuk memperhambakan diri kepada Allah, merasai hubungan dengan Allah dan memanjatkan doa permohonan kita kepada Allah dengan penuh adab.


Malam qadar akan berlalu dengan hambar jika kita tidak merasakan kita memperhambakan diri kepada Allah semasa solat, tidak merasai hubungan dengan Allah dan tidak menghayati doa yang dilafazkan sebagai permohon tulus kita kepada Allah.


✍🏻 Ke-10 : Ahli Keluarga.


Malam qadar bukan diburu seorang, tetapi kelebihannya dicari bersama ahli keluarga.


Nabi Muhammad saw mengejutkan ahli keluarganya untuk bersama-sama beribadah pada 10 malam terakhir Ramadhan. 


عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا، قَالَتْ: «كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا دَخَلَ العَشْرُ شَدَّ مِئْزَرَهُ،وَأَحْيَا لَيْلَهُ، وَأَيْقَظَ أَهْلَهُ».

Aisyah ra melaporkan, katanya, : “Nabi saw apabila tiba 10 malam terkakhir Ramadhan, baginda saw mengetatkan ikatan kainnya, menghidupkan malamnya dan membangunkan ahli keluarganya (untuk turut beribadah.)”

(Sahih al-Bukhari)


✍🏻 Ke-11 : Sejahtera & Berkat.


Malam qadar berkaitan dengan kesejahteraan dan keberkatan.


Malam qadar sejahtera sehingga terbit fajar. 


وقوله: ( سَلامٌ هِيَ حَتَّى مَطْلَعِ الْفَجْرِ )


Malam qadar lebih baik daripada seribu bulan, menandakan Allah kurniakan keberkatan yang banyak pada yang sedikit, pada masa dan tempat yang telah ditentukanNya.


اللهم اعنا على ذكرك 

وشكرك وحسن عبادتك.


Siri 4 Puasa 1444H

21 Ramadhan

PQHDNH


NOTA TAMBAHAN  


 * Solat 5 waktu disyariatkan pada malam mi’raj، tiada tarikh tepat dari sudut tahun dan bulan, namun lebih kurang setahun dua sebelum nabi saw hijrah ke Madinah pada tahun 13 kenabian.


✍🏻a) Ramai ulama’ yang meneliti ilmu hadith mengatakan bahawa solat tasbih tidak disyariatkan kerana ia datang daripada hadith palsu dan daif. Ramai di kalangan mereka tidak masukkan solat tasbih sebagai solat nawafil dalam kitab mereka. 


Kata Imam Nawawi, ‘Mengatakan solat tasbih itu sunat perlu dicermati semula, kerana hadithnya tidak sahih.’ 


Ibn al-Jawzi pula memasukkan hadith dalil solat Tasbih ke dalam kitab himpunan hadith-hadith palsu.


✍🏻b) Malam yang dihidupkan menurut al-sunnah ialah 10 malam terakhir Ramadhan. Adapun malam raya, buatlah persiapan untuk hari raya esoknya, cukup sekadar kita bangun bahagian 1/3 akhir malam untuk tahajjud seperti sebelum Ramadhan.


✍🏻c) Ambil makanan dan minuman yang berkhasiat dan kurangkan kuantiti semasa berbuka untuk menjaga stamina dan kesihatan pada 10 terakhir yang istimewa. 


✍🏻d) TIPS bagi mereka yang ada kekangan syar’i untuk membanyakkan beribadah pada mana-mana 10 malam terakhir :


i) Sabar. Pada saat orang lain sabar melakukan ketaatan kepada Allah, mungkin kita berada dalam situasi sabar meninggalkan larangan Allah, ataupun sabar menerima ketentuan Allah.


ii) Kejar solat Isya’ dan solat Subuh secara berjemaah, sebaiknya di masjid.


iii) Kekalkan dan teruskan niat iaitu azam untuk melakukannya. 


Ya Allah, jika tiada kekangan ini, saya pasti akan melakukannya. 


Rutin yang telah kita lakukan sepanjang Ramadhan akan memelihara kita agar mendapat markah penuh apabila ada keuzuran yang tidak dapat dielakkan. 


Dua syarat mesti dipenuhi bagi mendapat markah penuh apabila tidak mampu melakukan ibadah kerana ada keuzuran : 

1. Niat=azam untuk melakukan. 

2. Ada rutin sebelumnya.


✍🏻iv) Gantikan dengan amalan soleh lain yang boleh kita lakukan ketika berada dalam kekangan tersebut. Paling utama berdoa dengan lafaz : اللَّهُمَّ إِنَّكَ عَفُوٌّ تُحِبُّ الْعَفْوَ فَاعْفُ عَنِّي


✍🏻v) Zikir harian iaitu zikir pagi dan petang menurut al-Quran dan al-Sunnah banyak peranan emmbantu kita menghadapi malam 10 terakhir Ramadhan.


أَمْسَيْـنا وَأَمْسـى المُـلكُ للهِ رَبِّ العـالَمـين 

اللّهُـمَّ إِنِّـي أسْـأَلُـكَ خَـيْرَ هـذهِ اللَّـيْلَة 

فَتْحَهـا ، وَنَصْـرَهـا ، وَنـورَهـا وَبَـرَكَتَـهـا ، وَهُـداهـا 

وَأَعـوذُ بِـكَ مِـنْ شَـرِّ ما فـيهـا وَشَـرِّ ما بَعْـدَهـا




 

Sunday, 12 February 2023

BENARKAH SOLAT SUNAT SELEPAS ‘ISYA’ 4 RAKAAT SATU SALAM SEPERTI SOLAT MALAM QADAR?

🔴 Soalan 


Assalamualaikum, ustazah.


Adakah solat sunat sepas Isya’ 4 rakaat satu salam itu pahalanya seperti solat 4 rakaat pada malam qadar?


🔴 Jawapan Ringkas 


Waalaikumussalam.


📌 Sangat Lemah


Kelebihan tersebut berasal daripada hadith yang sangat lemah, tidak boleh dijadikan sebagai hujah.


Maka tidak boleh kita sandarkan kelebihan solat 4 rakaat dengan satu salam selepas Isya’ menyamai pahala solat malam qadar berdasarkan hadith tersebut.


Maklum bahawa malam qadar adalah malam istimewa yang tiada pada malam-malam lain.


📌 AFDAL SOLAT SUNAT 2-2 RAKAAT


Cara solat sunat malam paling afdal ialah 2-2 rakaat, sebagaimana sabda Nabi Muhammad saw :


صلاة الليل مثنى مثنى

“Solat sunat malam itu dua dua rakaat.” 


Sahih Bukhari.


📌 SOLAT SUNAT MUAKKADAH


Maklum bahawa solat sunat muakkadah selepas Isya’ dalam adalah 2 rakaat berdasarkan hadith  riwayat Ummu Habibah ra.


عن أم حبيبة قالت سمعت  رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، يَقُولُ :   مَنْ صَلَّى اثْنَتَيْ عَشْرَةَ رَكْعَةً فِي يَوْمٍ وَلَيْلَةٍ ،  بُنِيَ لَهُ بِهِنَّ بَيْتٌ فِي الْجَنَّةِ  .


Maksudnya : Ummu Habibah melaporkan bahawa Rasulullah saw bersabda, “Sesiapa yang solat (sunat rawātib) sehari semalam sebanyak 12 rakaat, dibina untuknya rumah di dalam syurga, iaitu 4 rakaat sebelum Zuhur, 2 rakaat selepas Zuhur, 2 rakaat selepas Maghrib, 2 rakaat selepas ‘Isya’ dan 2 rakaat sebelum Subuh.’


Kata Ummu Habibah, ‘Saya tidak pernah tinggalkan solat rawatib itu sejak saya mendengarnya daripada Rasulullah saw. “


Sahih Muslim.


📌 NABI S.A.W. PERNAH SOLAT SUNAT SELEPAS ISYA’ 4 RAKAAT 


عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ رضي الله عنهما قَالَ :

بِتُّ فِي بَيْتِ خَالَتِي مَيْمُونَةَ بِنْتِ الحَارِثِ زَوْجِ النَّبِيِّ صلّى الله عليه وسلم ، وَكَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُعَلَيْهِ وَسَلَّمَ عِنْدَهَا فِي لَيْلَتِهَا ، فَصَلَّى النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ العِشَاءَ ، ثُمَّ جَاءَ إِلَى مَنْزِلِهِ ،فَصَلَّى أَرْبَعَ رَكَعَاتٍ ، ثُمَّ نَامَ ، ثُمَّ قَامَ ، ثُمَّ قَالَ : ( نَامَ الغُلَيِّمُ )، أَوْ كَلِمَةً تُشْبِهُهَا ، ثُمَّ قَامَ ، فَقُمْتُ عَنْيَسَارِهِ ، فَجَعَلَنِي عَنْ يَمِينِهِ ، فَصَلَّى خَمْسَ رَكَعَاتٍ ، ثُمَّ صَلَّى رَكْعَتَيْنِ ، ثُمَّ نَامَ ، حَتَّى سَمِعْتُ غَطِيطَهُ أَوْ خَطِيطَهُ ، ثُمَّ خَرَجَ إِلَى الصَّلاَةِ " رواه البخاري 


Hadith yang sahih di atas menunjukkan bahawa Nabi Muhammad saw pernah solat sunat selepas Isya’ 4 rakaat (2-2 rakaat) di rumah beliau, setelah pulang dari masjid. Namun tiada kelebihan khusus dinyatakan.


📌 KESIMPULAN RINGKAS


Antara sunat rawatib muakkadah yang tidak wajar ditinggalkan ialah 2 rakaat selepas solat Isya’. Kelebihan amalan ini datang daripada hadith yang sahih seperti dalam riwayat Ummu Habibah di atas. 


Solat sunat selepas Isya’ boleh ditambah lagi 2 rakaat sebagai membanyakkan qiyamullail ataupun solat malam* berdasarkan hadith Ibn Abbas yang menceritakan pengalaman beliau semasa bermalam di rumah ibu saudaranya Maimunah binti al-Harith, isteri Nabi Muhammad saw. 


Walau bagaimanapun, tiada hadith yang sahih menunjukkan kelebihannya secara khusus. Ada riwayat mawquf menyebutnya, namun sebahagian ulama menerima, dan sebahagian yang lain tidak menjadikannya sebagai hujah kelebihan solat tersebut.


* (Bukan tahajud-kita sudah bincangkan beza qiyamullail dengan tahajjud) 


والله الموفق


Sunday, 22 January 2023

BERIMAN DENGAN QADAR DALAM ZIKIR SELEPAS SOLAT

 



🔴 Mu’awiyah ra. menulis (surat) kepada al-Mughirah bin Syu’bah ra :

“Tuliskan kepada saya apa yang saudara dengar Nabi Muhammad saw ucapkan selepas solat.”

Lalu al-Mughirah pun mengarahkan saya (Warrad) supaya menulis (kepada Muawiyah) :

“Saya dengar Nabi Muhammad saw ucapkan begini selepas solat :

لَا إلٰهَ إلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ ، 
Tiada Tuhan yang layak disembah melainkan Allah, satu-satuNya, tiada sekutu bagiNya.
لَهُ المُلْكُ وَلَهُ الحَمْدُ وَهُوَ عَلى كُلّ شَيءٍ قَديرٌ .
BagiNya segala kerajaan, dan bagiNya segala pujian, dan Dia Maha Berkuasa atas setiap sesuatu.

اللَّهُمَّ لَا مَانِعَ لِما أَعْطَيْتَ وَلَا مُعْطِيَ لِمَا مَنَعْتَ
Ya Allah! Tiada siapa dapat menahan apa yang Engkau beri, dan tiada siapa yang dapat memberikan apa yang Engkau tahan. 
وَلَا يَنْفَعُ ذَا الجَدِّ مِنْكَ الجَدُّ.
Dan tiada manfaat pemilik kemuliaan dan kekayaan (kerana) daripada Engkaulah kemuliaan dan kekayaan itu. (Yang bermanfaat hanyalah amalan soleh yang dilakukan keraanMu).

Kata Ibn Juraij, ‘Abdah memberitahu bahawa Warrad yang memberitahunya tentang perkara ini, “Saya dihantar kepada Mu’awiyah (dengan membawa surat tersebut). Kemudian saya dengar Muawiyah (semasa dia berkhutbah) memerintahkan orang ramai supaya membaca lafaz zikir selepas solat itu.”


(Sahih Bukhari, Kitab Ketentuan Allah, Bab Tiada Siapa Pun Boleh Menahan Apa Yang Allah Beri, dan Kitab Sifat Solat Nabi saw, Bab Zikir Selepas Solat.) 


📌Keterangan :

1. Urusan surat menyurat ini berlaku semasa Muawiyah menjadi khalifah, manakala al-Mughirah bin Syu’bah menjadi gabenornya di Kufah.


2. Muawiyyah dan al-Mughirah kedua-duanya adalah sahabat Nabi Muhammad saw. Muawiyah adalah adik ipar Nabi Muhammad saw, kerana kakaknya Ummu Habibah binti Abi Sufyan adalah isteri Nabi Muhammad saw. 


3. Para sahabat saling merujuk di antara satu sama lain untuk mendapatkan ilmu tinggalan Nabi Muhammad saw dan juga untuk mengesahkan sesuatu hadith.


4. Warrad adalah jurutulis/kerani bagi al-Mughirah bin Syu’bah.


5. Beginilah sifat sahabat Nabi Muhammad saw yang sangat sayang kepada nabi dan sangat tekun hendak beramal dengan amalan yang diajarkan oleh Nabi Muhammad saw. Mereka tidak mencipta sendiri zikir selepas solat.


6. Sifat kepimpinan dan tawadu’ Muawiyah terserlah dalam bab menuntut ilmu dan mengarahkan rakyatnya agar mengikut sunnah Nabi Muhammad saw. 


7. Nilai iman kepada qadar sangat tinggi dalam doa/zikir selepas solat ini. Menghayati maknanya boleh meningkatkan iman, serta meningkatkan estim diri, khususnya apabila kita sedang dirundung masalah.



8. Doa dan zikir ini mengandungi pengiktirafan dan iman yang lengkap kepada Allah sebagai Rabb, Ilaah dan juga nama dan sifat Allah swt yang terkandung di dalamnya.


9. Kita adalah hamba Allah yang terpaksa menerima semua ketentuanNya. Berdoalah bersungguh-sungguh agar kita sentiasa mendapat petunjuk dalam kehidupan kita, dan agar kita tidak diputuskan menerima ketentuan-ketentuan buruk di dunia dan di akhirat.





Berusahalah sedaya upaya mengikut jalan lurus yang terbentang, dekati sahabat-sahabat dan ahli keluarga yang boleh mengingatkan, semoga kita bersama dengan mereka yang diberi nikmat iaitu para nabi, penerima kebenaran, orang-orang mati syahid dan orang-orang saleh. Gerunnya jika ditentukan berada pada jalan orang yang dimurkai Allah, iaitu golongan yang tahu tetapi tidak mahu. Gerunnya jika ditentukan berada pada jalan orang-orang yang sesat, tidak menjumpai jalan kebenaran…lalu terus berada pada jalan-jalan lain yang bersimpang siur sepanjang kehidupan.
 
Tiada kurniaan paling besar melebihi kurniaan Allah berada pada jalan yang lurus, kerana jalan itulah yang akan membawa kita kepada kebahagian hidup yang kekal.

 

🔴 وأنه هو أضحك وأبكى

1 Rejab 1444 H

Isnin 

23 Januari 2023.






Wednesday, 16 November 2022

NOTA BAB SEDERHANA DALAM KETAATAN

عن ابن مسعود رضي الله عنه أن النبي صلى الله عليه وسلم قال :

هلك المتنطعون، هلك المتنطعون، هلك المتنطعون.


Abdullah bin Mas’ud ra melaporkan bahawa Nabi Muhammad saw bersabda, maksudnya :


“Rosaklah orang-orang yang melampau. Rosaklah orang-orang yang melampau. Rosaklah orang-orang yang melampau.”


Sahih Muslim.



📌Antara golongan melampau ialah mengada-adakan ibadah yang tidak diajarkan oleh Nabi Muhammad saw. (Hadith-hadith palsu yang disandarkan atas nama Nabi Muhammad saw turut berperanan dalam hal ini.)


📌Antara golongan melampau ialah terlalu berfikir tentang Allah, sehingga menolak ayat-ayat al-Quran yang mwmberitahu kita tentang sifat-sifat Allah.


📌Antara golongan melampau ialah berlebihan dalam berwudhu’ dan mandi wajib, sehingga membazirkan banyak air dan menyusahkan diri sendiri.


📌Kesederhanaan dituntut dalam agama Islam. Inilah makna bab yang sedang kita pelajari. Sederhana bukan mengikut piawaian dan kehendak kita, tetapi sederhana mestilah mengikut piawaian al-Quran dan al-Hadith yang sahih.


📌Sederhana umumnya bermakna pertengahan antara melampau dengan mengabaikan. Antara الغلوdan التفريط. Maka ada 3 bahagian amalan insan dalam bab ini :


  1. Mengabaikan
  2. Sederhana
  3. Melampau


📌Melaksanakan solat sunat rawatib muakkadah 12 rakaat setiap hari adalah ‘sederhana.’


Tidak solat sunat langsung masuk dalam kategori ‘mengabaikan.’


Melaksanakan solat jenazah adalah ‘sederhana.’ 


Melaksanakan solat yang dinamakan sebagai solat hadiah/solat wahsyah/solat teman adalah ‘melampau.’ (Ada yang melaksanakan untuk semua jenazah dari timur sampai ke barat. Solat ini tidak disyariatkan, bahkan ia datang daripada hadith palsu.)


📌Zikir harian cara Nabi Muhammad saw dalam hadith2 yang sahih adalah SEDERHANA. Zikir rekaan biasanya melampau sama ada dari sudut lafaz mahupun bilangannya.


📌Orang yang sakit terlantar solat dalam keadaan berbaring dan memberi isyarat dengan mata kerana tidak mampu bergerak adalah SEDERHANA.


Orang yang sakit terlantar dan masih sedar tetapi tidak menunaikan solat atas alasan ‘sakit’ masuk dalam kategori MENGABAIKAN.


Orang yang sakit terlantar mahu solat berdiri juga sehingga terpaksa dipapah oleh orang lain untuk qiyam, ruku’ dan sebagainya adalah masuk dalam kategori MELAMPAU.


📌Sesiapa yang mengikut al-sunnah pasti dia akan sederhana, kerana al-sunnah adalah jalan yang ditelusuri oleh utusan Allah - tinggi kedudukannya tetapi tetap seorang manusia seperti kita, dan al-sunnah itu pastinya meraikan kemanusiaan.

Wednesday, 2 November 2022

HAID DAN NIAT UMRAH DI MIQAT

🔴 SOALAN


Assalamualaikum, ustazah


Erra hendak menunaikan umrah. Erra mengikuti satu pakej dan kami pergi ke Madinah terlebih dahulu.


Sampai di Madinah, Erra didatangi haid. Sehari selepas itu kami bertolak ke Makkah. Kumpulan dalam pakej kami itu dibawa dari Madinah dan sampai ke satu tempat, mereka turun solat sunat dan niat ihram umrah di situ.


Erra tidak turun dan tidak niat ihram kerana Erra didatangi haid.


Kemudian ada orang beritahu bahawa berdosa apabila tidak niat ihram dan wajib bayar dam.


Ada juga yang beritahu, doa orang yang haid terhijab, tidak terus naik kepada Allah.


Apakah yang perlu Erra lakukan?


🔴 Waalaikumussalam.


Kita simpulkan bahawa soalan Erra ialah :


  1. Adakah orang haid boleh niat ihram umrah?
  2. Di manakah patut kita niat ihram umrah?
  3. Jika tidak niat ihram di miqat sebab tidak tahu dan tidak sedar, apakah hukumnya dan apakah yang perlu dilakukan seterusnya?
  4. Apakah perkara yang boleh dilakukan dan tidak boleh dilakukan semasa umrah, oleh orang yang didatangi haid?
  5. Benarkah doa orang haid terhijab?


✳️ Pertama : Orang haid boleh dan wajib niat ihram umrah.


Wanita haid yang mahu mengerjakan umrah boleh melakukan semua perkara rukun dan perkara wajib dalam ibadat umrah, melainkan tawaf.


Oleh yang demikian, puan wajib niat ihram umrah bersama mereka yang tidak haid apabila sampai di miqat yang ditentukan.


✳️ Kedua : Niat ihram umrah wajib dilakukan di miqat, iaitu sempadan tempat yang telah ditentukan bagi niat ihram haji ataupun umrah.


Ihram maksudnya niat permulaan hendak mengerjakan umrah ataupun haji. 


Apabila puan sudah ihram, bermulalah larangan-larangan semasa mengerjakan umrah, sehinggalah puan bertahallul (keluar dari ihram) iaitu dengan bergunting ataupun bercukur.


Ihram umrah wajib dilakukan di miqat. Maksudnya, niat hendak mengerjakan umrah itu mesti dilakukan pada tempat yang telah ditentukan dalam hadith. Jika puan bertolak dari Madinah misalnya, miqat ataupun tempat puan niat ihram umrah itu adalah di Bir Ali/Zulhulaifah.


✳️ Ketiga : Jika tidak niat ihram di miqat sebab tidak tahu dan tidak sedar, ini tindakan yang perlu dilakukan, bergantung kepada keadaan puan :


📌 Jika puan tidak niat ihram umrah di miqat yang ditetapkan, sama ada kerana terlupa, tersilap, ataupun tidak tahu, maka puan boleh kembali semula ke tempat Miqat itu dan niat ihram di sana.


📌 Jika puan sudah niat ihram di tempat lain selepas melepasi miqat, contohnya puan niat ihram setelah sampai di Mekah, puan dikenakan dam (denda) mengorbankan seekor kambing, kerana puan meninggalkan perkara wajib haji, iaitu ihram di miqat. Puan tidak berdosa kerana puan tidak tahu, bukan sengaja. Namun puan tetap diwajibkan membayar dam/denda seperti di atas.



✳️ Keempat : Orang yang didatangi haid boleh niat ihram di miqat, dan  boleh mengerjakan semua amalan rukun dan amalan wajib semasa umrah, melainkan tawaf.


✳️ Kelima : Doa orang haid dan nifas tidak terhijab. 


Orang yang haid boleh mengerjakan semua amalan semasa haji dan umrah, kecuali tawaf.  


Doa adalah ibadah, dan doa perlu diteruskan oleh wanita semasa haid dan nifas. 


Banyakkanlah berdoa kepada Allah, Allah Maha Mendengar setiap doa dan keluhan kita. Walaupun wanita haid tidak boleh solat, mereka tetap boleh berdoa kepada Allah. 




والله الموفق

Rabu

2/11/2022

7 Rabi’ al-Akhir 1443H


-

Friday, 14 October 2022

ADAKAH KITA PERLU MENGAMBIL ILMU DARIPADA HABIB, SAYYID ATAUPUN MAWLA YANG DIKATAKAN BERKETURUNAN NABI?

Habib, sayyid، mawla dan sebagainya adalah gelaran, yang belum tentu benarnya mereka itu keturunan nabi saw. Kita perlu semak banyak perkara sebelum membuat keputusan. 


Ringkasnya, sepanjang sejarah, atas nama yang pelbagai, terlalu ramai orang yang mengaku sebagai ahli keluarga nabi saw. Kita boleh bahagikan mereka yang ada gelaran sebegini kepada 3 golongan :

1. Gelaran palsu. Setelah disemak,  salasilah keluarga mereka sebenarnya tidak sampai pun kepada nabi saw. 

2. Mereka memang keturunan Rasulullah saw, tetapi banyak menyelewengkan ajaran nabi saw, sama ada dengan sengaja ataupun tidak. 

3. Mereka memang berketurunan nabi saw, dan mereka memperjuangkan ketulenan ajaran nabi saw. 

Golongan yang perlu kita ikuti dan sayangi ialah golongan ketiga. 

Golongan ketiga mengajak umat supaya kembali kepada ajaran al-Quran dan al-Hadith mengikut disiplin yang betul. Bahkan mereka menasihati golongan pertama dan kedua agar jujur dan kembali kepada ajaran nabi saw.

Golongan ketiga ini TIDAK mengajar orang ramai supaya berTAWASSUL DENGAN ROH ORANG YG SUDAH MENINGGAL DUNIA, baik roh nabi sekalipun. Mereka meneruskan ajaran Nabi saw, iaitu berdoa dan meminta hanya kepada Allah, kerana doa itu ibadah. Mereka melazimi doa-doa yang nabi saw sendiri amalkan, yg baginda wariskan kepada kita dalam kitab-kitab hadith spt Sahih Bukhari dan Sahih Muslim. 

Mereka juga tidak mendakwa bermimpi mendapat selawat yang berbeza daripada nabi dari tahun ke tahun, sebab mimpi tidak boleh dijadikan sumber syariat. 

Sebaliknya, golongan ketiga ini melazimi selawat yg diajarkan sendiri oleh Nabi Muhammad saw, selawat yang paling utama, lafaznya seperti yang kita ucapkan dalam tahiyyat semasa solat.

اللهم اهدنا وسددنا


 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Powerade Coupons