Monday, 9 July 2012

MISTERI BAHAN BINAAN PIRAMID DIJAWAB OLEH AL QURAN

Sudah sekian lama para saintis kebingungan tentang bagaimana sebuah piramid yang merupakan salah satu binaan ajaib di dunia ini dibina. Terdapat pelbagai teori yang dikemukakan untuk mengetahui teknologi yang digunakan dalam pembinaan piramid ini kerana teknologi untuk mengangkat batu-batuan besar yang beratnya mencapai ribuan kilogram ke puncak bangunan belum memungkinkan di zamannya. Apakah rahsia di sebalik pembinaan piramid ini?

Akhbar Amerika Times edisi 1 Disember 2006, telah menyiarkan satu berita saintifik yang mengesahkan bahawa Firaun telah menggunakan tanah liat untuk membina piramid. Menurut kajian tersebut, disebutkan bahawa batu yang digunakan untuk membuat piramid adalah dari tanah liat yang dipanaskan sehingga membentuk batuan keras yang sukar dibezakan dengan batu asalnya.

Al-Quran Telahpun Mempunyai Jawapan

Jika dikaji lebih mendalam, ternyata Al-Quran telah mendedahkan perkara ini 1400 tahun sebelum kajian saintifik dijalankan. Perhatikan sebuah ayat Al Quran yang berikut:

وَقَالَ فِرْعَوْنُ يَا أَيُّهَا الْمَلَأُ مَا عَلِمْتُ لَكُمْ مِنْ إِلَهٍ غَيْرِي فَأَوْقِدْ لِي يَا هَامَانُ عَلَى الطِّينِ فَاجْعَلْ لِي صَرْحًا لَعَلِّي أَطَّلِعُ إِلَى إِلَهِ مُوسَى وَإِنِّي لَأَظُنُّهُ مِنَ الْكَاذِبِينَ

"Dan berkata Fir'aun: 'Hai pembesar kaumku, aku tidak mengetahui Tuhan bagimu selain aku. Maka bakarlah Hai Haman untukku TANAH LIAT kemudian buatkanlah untukku bangunan yang tinggi supaya aku dapat naik melihat Tuhan Musa, dan sesungguhnya aku benar-benar yakin bahawa Dia dari orang-orang pendusta."
(Al-Qasas: 38)

Para saintis mengatakan bahawa Firaun mahir di dalam bidang ilmu kimia dalam menguruskan tanah liat sehingga menjadi batu. Teknik yang mereka gunakan adalah sangat misteri jika dilihat dari kodifikasi nombor di batu yang mereka tinggalkan.

Profesor Gilles Hug, dan Dr. Michel Barsoum menegaskan bahawa Piramid yang paling besar di Giza, dibuat dari dua jenis batuan yang terdiri dari batu semula jadi dan batu-batu yang dibuat secara manual hasil dari olahan tanah liat.

Artikel kajian yang diterbitkan oleh majalah "Journal of the American Ceramic Society" menegaskan bahawa Firaun menggunakan tanah jenis slurry untuk membina monumen yang tinggi, termasuk piramid. Kerana tidak mungkin bagi seseorang untuk mengangkat batu berat ribuan kilogram. Sebaliknya pada dasar piramid, Firaun menggunakan batu semula jadi.

Lumpur tersebut merupakan campuran lumpur kapur yang dipanaskan dengan wap air garam dan ini akan menghasilkan wap air sehingga terbentuknya campuran tanah liat. Kemudian olahan itu dituangkan ke dalam tempat yang disediakan di dinding piramid. Ringkasnya lumpur yang sudah diadun mengikut saiz yang dikehendaki tersebut dibakar, lalu diletakkan di tempat yang sudah disediakan di dinding piramid.

Profesor Davidovits telah mengambil sampel batu piramid yang terbesar untuk dilakukan analisis dengan menggunakan mikroskop elektron terhadap batu tersebut. Hasilnya, Davidovits menegaskan bahawa batu itu diperbuat dari lumpur. Selama ini, tanpa penggunaan mikroskop elektron, ahli geologi belum mampu untuk membezakan antara batu alam dengan batu buatan manusia.

Sebelumnya, seorang saintis Belgium, Guy Demortier, telah bertahun-tahun mencari jawapan dari pembuatan batu besar di puncak-puncak piramid. Guy Demortier berkata, "Setelah bertahun-tahun melakukan penyelidikan dan kajian, sekarang barulah saya yakin bahawa piramid yang terletak di Mesir diperbuat dengan menggunakan tanah liat."

Penemuan oleh Dr Perancis Joseph Davidovits ini adalah hasil kajian yang memakan masa kira-kira dua puluh tahun. Sebuah kajian yang begitu lama terhadap piramid Bosnia, "Piramid Matahari" dan menjelaskan bahawa batu-batunya diperbuat dari tanah liat. Ini memperkuatkan lagi bahawa kaedah ini tersebar luas di masa lalu.

Kaedah tuangan batu berasal dari tanah liat telah dikenali sejak ribuan tahun yang lalu dalam tamadun yang berbeza baik Rom ataupun Firaun.

Bukti-bukti dari kajian menunjukkan kepada kita semua bahawa bangunan bangunan raksasa, patung-patung raksasa dan tiang-tiang yang ditemui dalam tamadun canggih zaman dahulu, juga dibina dari tanah liat. Al-Quran adalah kitab pertama yang mendedahkan rahsia bangunan piramid, bukan para Ilmuwan Amerika, mahupun Perancis.

Kita tahu bahawa Nabi saw tidak pernah pergi ke Mesir dan tidak pernah melihat piramid, bahkan mungkin tidak pernah mendengar tentangnya. Kisah Firaun, terjadi sebelum masa hidupnya Nabi saw ribuan tahun yang lalu, dan tidak ada satu pun di muka bumi ini pada masa itu yang mengetahui tentang rahsia piramid. Sebelum ini, para saintis tidak pasti bahawa Firaun menggunakan tanah liat yang dipanaskan untuk membina monumen tinggi kecuali beberapa tahun kebelakangan ini.

Ajaib, 1400 tahun yang lampau, Nabi Muhammad saw, beratus tahun selepas berakhirnya Dinasti Firaun memberitahu bahawa Firaun membina monumen yang kini dikenali sebagai Piramid menggunakan tanah liat.

Kenyataan ini sangat jelas dan kuat untuk membuktikan bahawa Nabi Muhammad saw tidaklah berbicara mengikut hawa nafsunya melainkan petunjuk dari Allah swt yang menciptakan Firaun dan menenggelamkannya, dan Dia pula yang menyelamatkan nabi Musa. Dan Dia pula yang memberitahu kepada Nabi terakhir-Nya akan hakikat ilmiah ini, dan ayat ini menjadi saksi kebenaran kenabiannya di kemudian hari.
Sumber

Wednesday, 4 July 2012

Nisfu Syaaban - Hentikan Penyebaran Hadis Palsu

ADALAH sesuatu yang tidak dapat dinafikan bahawa bulan Syaaban mempunyai kelebihannya tersendiri. Namun, menggalakkan orang ramai beribadah pada bulan ini dengan disebarkan hadis-hadis palsu adalah dilarang sama sekali. Kebanyakan hadis yang disebarkan adalah mengenai malam Nisfu Syaaban serta solat dan doa yang khusus pada malam ini. Begitu juga dengan puasa sunat khusus pada hari Nisfu Syaaban.

a) Hadis tentang kelebihan menghidupkan malam Nisfu Syaaban

Tidak terdapat hadis sahih yang menyebut bahawa Nabi s.a.w. menghidupkan malam Nisfu Syaaban ini dengan amalan-amalan khusus seperti sembahyang sunat khas atau doa-doa tertentu. Malah semua hadis tersebut adalah lemah dan palsu. Di antaranya :

Hadis yang diriwayatkan daripada Ali r.a.: Apabila tiba malam Nisfu Syaaban, maka bangunlah kamu (menghidupkannya dengan ibadah) pada waktu malam dan berpuasalah kamu pada siangnya, kerana sesungguhnya Allah s.w.t. akan turun ke langit dunia pada hari ini bermula dari terbenamnya matahari dan berfirman: Adakah sesiapa yang memohon ampun daripada-Ku akan Ku ampunkannya. Adakah sesiapa yang memohon rezeki daripada-Ku, akan Ku kurniakan rezeki kepadanya. Adakah sesiapa yang sakit yang meminta penyembuhan, akan Ku sembuhkannya. Adakah sesiapa yang yang meminta daripada-Ku akan Ku berikan kepadanya, dan adakah begini, adakah begitu dan berlakulah hal ini sehingga terbitnya fajar.

Hadis ini adalah maudhu', diriwayatkan oleh Ibn Majah dan al-Baihaqi di dalam Syu'ab al-Iman. Rujuk Dhaifah al-Jami' dan Silsilah al-Dhaifah oleh al-Albani, Dhaif Ibn Majah.

Diriwayatkan daripada Ibn Umar r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: Sesiapa membaca seribu kali surah al-Ikhlas dalam seratus rakaat solat pada malam Nisfu Syaaban, ia tidak keluar dari dunia (mati) sehinggalah Allah mengutuskan dalam tidurnya seratus malaikat; tiga puluh daripada mereka mengkhabarkan syurga baginya, tiga puluh lagi menyelamatkannya dari neraka, tiga puluh yang lain mengawalnya daripada melakukan kesalahan dan sepuluh lagi akan mencegah orang yang memusuhinya.

Hadis ini menurut Ibn al-Jauzi adalah Maudhu'. (Rujuk Ibn al-Jauzi, al-Maudhu'at, Dar al-Fikr, cet. 1983, 2/128). Imam al-Daruqutni pula meriwayatkan hadis ini daripada Muhamad bin Abdun bin Amir al-Samarqandi dan dia mengatakan bahawa Muhamad adalah seorang pendusta dan pembuat hadis. Pendapat ini juga sama seperti yang disebut oleh Imam al-Zahabi bahawa Muhamad bin Abdun terkenal sebagai pembuat hadis.

Diriwayatkan daripada Ja'far bin Muhammad daripada ayahnya berkata: `'Sesiapa yang membaca pada malam Nisfu Syaaban seribu kali surah al-Ikhlas dalam sepuluh rakaat, maka ia tidak akan mati sehingga Allah mengutuskan kepadanya seratus malaikat; tiga puluh menyampaikan khabar gembira syurga kepadanya, tiga puluh menyelamatkannya dari neraka, tiga puluh akan mengawalnya daripada berbuat salah dan sepuluh akan menulis mengenai musuh-musuhnya.'' Ibn al-Jauzi turut menghukum hadis ini dengan maudhu'.

Kebanyakan hadis yang menyebut tentang amalan-amalan yang khusus seperti solat, doa dan sebagainya adalah tidak sahih. Justeru, tidak ada amalan-amalan atau ibadah khusus yang disunatkan untuk dilakukan pada malam Nisfu Syaaban seperti solat tertentu yang dinamakan solat al-Alfiyah atau membaca sesuatu surah (seperti surah Yaasin) supaya dipanjangkan umur, dimurahkan rezeki, ditetapkan iman atau sebagainya. Jika amalan ini thabit, pasti Rasulullah s.a.w. akan mengajarkannya kepada para sahabat dan generasi selepas itu akan menyampaikannya kepada kita.

Al-Hafiz al-Iraqi berkata: `'Hadis tentang solat pada malam Nisfu Syaaban adalah maudhu', direka cipta dan disandarkan kepada Rasulullah s.a.w.'' Hal ini juga disebut oleh al-Imam al-Nawawi di dalam kitabnya, al-Majmu': ``Solat yang dikenali sebagai solat al-Raghaib iaitu solat sebanyak dua belas rakaat antara Maghrib dan Isyak pada malam Jumaat pertama bulan rejab dan solat sunat pada malam Nisfu Syaaban sebanyak seratus rakaat adalah dua jenis sembahyang yang bidaah (ditokok tambah dalam agama).''' (Rujuk: Abd al-Aziz bin Abdullah bin Baaz, al-Tahzir min al-Bida', cetakan ke-3, Uni.Islam Madinah, hal. 14).
Syiekh Abd al-Aziz bin Abdullah bin Baaz berkata: `'Dan di antara perkara-perkara ibadah yang direka cipta oleh manusia ialah merayakan malam Nisfu Syaaban dan berpuasa sunat khusus pada siangnya, dan tidaklah ada sebarang dalil yang mengharuskan perkara ini. Riwayat yang menyatakan tentang kelebihan amalan ini adalah dhaif dan tidak boleh berhujah dengannya. Ada pun riwayat yang menyebut tentang kelebihan solat yang khas, semuanya adalah maudhu' seperti yang telah dijelaskan oleh kebanyakan ahli ilmu.'' (Abd al-Aziz bin Abdullah bin Baaz, al-Tahzir min al-Bida', hal. 11).

Ulama kontemporari masa kini, Syeikh Dr. Yusof al-Qardhawi juga menyatakan di dalam fatwanya: `'Tentang malam Nisfu Syaaban, tidak terdapat hadis-hadis yang sampai ke martabat sahih yang menyebut tentangnya, kecuali ia berada di martabat hasan di sisi sebahagian ulama, dan terdapat juga sebahagian ulama yang menolaknya dan mengatakan bahawa tidak terdapat sebarang hadis sahih tentang malam Nisfu Syaaban, sekiranya kita berpegang bahawa hadis tersebut berada di martabat hasan, maka apa yang disebut di dalam hadis tersebut ialah Nabi s.a.w. hanya berdoa dan beristighfar pada malam ini, tidak disebut sebarang doa yang khusus sempena malam ini, dan doa yang dibaca oleh sebahagian manusia di sesetengah negara, dicetak dan diedarkannya adalah doa yang tidak ada asal sumbernya (daripada hadis sahih) dan ia adalah salah.''

Beliau menambah lagi: `'Terdapat juga di sesetengah negara yang mereka berkumpul selepas solat Maghrib di masjid-masjid dan membaca surah Yaasin, kemudian solat dua rakaat dengan niat supaya dipanjangkan umur, dan dua rakaat lagi supaya tidak bergantung dengan manusia, kemudian membaca doa yang tidak pernah dilakukan oleh seorang pun dari kalangan salaf, dan ia adalah doa yang bercanggah dengan nas-nas yang sahih, juga bersalahan dari segi maknanya''. (Al-Qardhawi, Fatawa al-Muasarah (Kuwait: Dar al-Qalam, cet.5, 1990), 2/379-383)

Para ulama muktabar lain seperti Syeikh al-Islam Ibn Taimiyah, Imam al-Suyuti, Abu Bakr al-Turtusyi, al-Maqdisi, Ibn Rejab dan lain-lain lagi juga menafikan wujudnya amalan ibadah yang khas pada malam Nisfu Syaaban ini. Namun, ini bukanlah bererti malam tersebut tidak mempunyai kelebihannya, bahkan terdapat hadis-hadis thabit yang menyebut akan fadilat dan kelebihannya, tetapi tidak dinyatakan tentang amalan ibadah khas yang perlu dilakukan. Maka sebarang ibadah yang dilakukan pada malam tersebut tidak boleh disandarkan dengan mana-mana hadis atau pun menganggapnya mempunyai kelebihan yang khas dan tidak juga dilakukan secara berjemaah. Hal ini telah disebut al-Imam al-Suyuti: `'Dan pada malam Nisfu Syaaban itu padanya kelebihan, dan menghidupkannya dengan ibadah adalah digalakkan, tetapi hendaklah dilakukan secara bersendirian bukan dalam bentuk berjemaah.'' (Rujuk: al-Suyuti, al-amru bi al-ittiba' wa al-nahyu an al-ibtida' (Beirut: Dar al-kutub al-Ilmiyah, cet. 1, 1998), hal 61)
b) Hadis tentang kelebihan puasa yang khas pada hari Nisfu Syaaban.

Berhubung dengan amalan puasa yang khas pada Nisfu Syaaban, tidak terdapat hadis sahih yang menjelaskan perkara ini, malah ia adalah hadis yang lemah. Tetapi jika seseorang itu berpuasa berdasarkan amalan Nabi s.a.w. yang memperbanyakkan puasanya pada bulan ini dan termasuk di dalamnya hari Nisfu Syaaban, maka ini adalah suatu amalan yang baik dan digalakkan. Begitu juga jika seseorang itu mengamalkan puasa sunat Hari Putih dan termasuk di dalamnya hari yang ke -15 pada bulan ini atau puasa sunat yang dilakukan pada hari Isnin dan Khamis. Jika puasa ini dilakukan pada Nisfu Syaaban sahaja dengan menganggap ia adalah sunah, maka inilah yang dilarang. Menurut Dr Yusof al-Qardhawi: `'Di dalam kaedah syarak, tidak dibolehkan untuk menentukan sesuatu hari khusus untuk berpuasa atau sesuatu malam yang tertentu untuk dihidupkan dengan ibadah tanpa bersandarkan kepada nas syarak kerana sesungguhnya urusan ibadah ini bukanlah urusan yang sesiapa pun berhak menentukannya, tetapi ia adalah hak Allah semata-mata'.(Rujuk: Al-Qaradhawi, Fatawa al-Muasarah, 2/343)

c) Hadis tentang amalan akan diangkat pada malam Nisfu Syaaban.

Terdapat juga pendapat yang mengatakan bahawa segala amalan manusia akan diangkat pada malam Nisfu Syaaban. Justeru, kebanyakan umat Islam akan menghidupkan malam ini dengan membaca surah-surah tertentu dengan niat supaya dipanjangkan umur, dimurahkan rezeki dan ditetapkan iman. Pendapat ini adalah tidak tepat dan tidak terdapat hadis-hadis sahih yang menjelaskannya.

Demikianlah beberapa perkara yang sering dibincangkan di dalam bulan Syaaban ini. Semoga melalui beberapa hadis yang dibawa ini serta pendapat para ulama, jelaslah kepada kita tentang kedudukan hadis-hadis tersebut di sisi ulama hadis. Ketahuilah sesungguhnya segala perkara yang melibatkan soal pahala, keberkatan, fadilat dan kelebihan adalah hak milik kekal Allah s.w.t. Tidak ada seorang makhluk pun yang boleh mendakwa dan menjanjikan sebarang fadilat atau keberkatan tertentu dengan mereka-cipta amalan-amalan yang tidak pernah dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. dan para sahabat. Marilah sekali lagi kita menyemak dan memastikan segala amalan ibadah yang kita lakukan ini bertepatan dengan sunah Rasulullah s.a.w. untuk melayakkan amalan tersebut diterima di samping diiringi dengan keikhlasan kepada Allah s.w.t. Ayuhlah kita bersama-sama membenteras kegiatan penyebaran hadis-hadis palsu dan dusta di kalangan masyarakat kita. Semoga kita semua akan mendapat pertolongan dan diberikan kekuatan oleh Allah s.w.t.

Oleh ABD AL-RAZZAQ A.MUTHALIB
Sumber

Sunday, 1 July 2012

Tinggalkan Yang Haram Allah s.w.t bagi Yang Halal!

Di Damsyiq (Dimascus) terdapat sebuah masjid besar yang diberi nama Masjid at-Taubah. Ia merupakan sebuah masjid yang diberkati, indah dan mendamaikan. Di atas tapak masjid itu asalnya sebuah gedung tempat berlaku segala macam maksiat. Pada kurun ke 7 Hijriah, seorang raja yang memerintah ketika itu membeli gedung tersebut, meruntuhkan dan membina di atas tapaknya sebuah masjid.

Lebih kurang 70 tahun lalu, di masjid itu terdapat seorang syaikh atau mahaguru yang alim mendidik umat Islam di kampong itu. Namanya Syaikh Saleem as-Suyuti. Dia sangat dihurmati oleh penduduk setempat. Mereka menjadikannya tempat rujukan dalam semua urusan sama ada urusan dunia atau akhirat.

Di masjid itu juga terdapat seorang murid yang sangat miskin tetapi terkenal dengan kemuliaan akhlak dan budi pekerti yang luhur. Dia tinggal di sebuah bilik yang terdapat di dalam masjid.

Suatu ketika, dia diserang kelaparan yang tidak mampu ditahan kerana sudah dua hari tidak menjamah makanan dan tidak ada wang langsung untuk membeli makanan. Masuk hari ke tiga, dia rasa seolah-olah dia akan mati kebuluran. Lalu dia berfikir apa yang patut dilakukan.

Pada pendapatnya, keadaannya telah sampai ke tahap darurat yang mengharuskannya makan bangkai atau mencuri sekadar yang diperlukan. Maka dia memilih untuk mencuri.

Masjid itu terletak di sebuah kampong di mana kedudukan rumahnya rapat-rapat dan bumbungnya bersambung antara satu sama lain. Seseorang boleh berjalan meniti dari bumbung ke bumbung bermula dari awal kampong hingga ke hujungnya.

Si miskin tadi memanjat bumbung masjid dan meniti bumbung-bumbung rumah untuk mencari makanan. Apabila dia terpandang wanita di dalam rumah, dia akan segera menjaga mata dan menjauhkan diri dari rumah itu. Akhirnya dia ternampak sebuah rumah yang kosong dan terhidu bau makanan yang menyelerakan.

Perasaan lapar yang menguasai dirinya menjadikan bau makanan itu bagaikan magnet yang menarik-nariknya dengan kuat agar mengambilnya. Lalu dia melompat dari bumbung memasuki rumah tersebut. Dia terus ke dapur dan membuka periuk.

Didapati di dalam periuk itu beberapa biji terung yang telah dimasak, lalu dia mengambil sebiji. Kerana kelaparan yang teramat sangat, dia tidak menghiraukan kepanasan terung yang baru dimasak, lantas terus menggigitnya. Ketika hampir-hampir menelan terung itu tiba-tiba akalnya yang dipenuhi ilmu agama yang dituntutnya selama ini di masjid menyergahnya!

Hatinya berbisik: Aku berlindung dengan Allah! Aku seorang penuntut yang tinggal di dalam masjid, kemudian aku menceroboh masuk ke dalam rumah orang dan mencuri makanan yang ada di dalamnya?

Dia rasa terlalu besar dosa yang telah dilakukan. Dia amat menyesal dan beristighfar. Terung yang telah digigit itu dikembalikan di tempatnya. Dia segera keluar dari rumah itu dan terus kembali ke masjid. Ketika itu Syaikh sedang mengajar, lalu dia duduk di dalam halaqah bersama murid-murid lain. Namun kelaparan yang mencengkam dirinya menjadikan dia tidak dapat memberi tumpuan pada pengajaran Syaikh dan tidak faham apa yang didengarnya.

Setelah sesi pengajian tamat, semua murid-murid beredar dari halaqah. Tiba-tiba muncul seorang wanita dalam keadaan berselubung menutup seluruh tubuh seperti kelaziman wanita-wanita di kampong itu. Wanita itu berkata sesuatu kepada Syaikh, tetapi murid itu tidak mendengar apa yang dikatakannya.

Syaikh memandang sekeliling. Dia tidak Nampak ada orang lain di dalam masjid selain murid yang miskin itu.
Syaikh memamnggilnya dan bertanya, adakah kamu telah berkahwin? Dia menjawab, tidak!

Syaikh bertanya, adakah kamu ingin berkahwin? Dia diam.

Syaikh bertanya sekali lagi, adakah kamu ingin berkahwin?

Dia menjawab dengan jujur bahawa dia tidak mempunyai wang untuk membeli sesuap makanan untuk dirinya, maka untuk apa dia hendak berkahwin?

Syaikh berkata kepadanya bahawa wanita ini kematian suami. Dia orang asing di sini. Dia juga telah tidak ada sesiapa lagi di dunia ini kecuali seorang bapa saudara yang telah tua dan miskin yang tinggal bersama dengannya. Syaikh menunjukkan ke arah seorang lelaki tua yang duduk di sebuah sudut halaqah. Syaikh berkata lagi bahawa wanita ini telah mewarisi rumah dan harta peninggalan suaminya.

Dia mahu berkahwin mengikut sunnah Allah dan Rasul supaya dia tidak bersendiriann kerana dibimbangi akan menjadi tumpuan orang-orang jahat serta pergaulan yang haram. Jadi, adakah kamu mahu menikahinya?

Murid itu terus menjawab, ya!

Syaikh berpaling ke arah wanita itu dan bertanya, mahukah kamu menerimanya?

Wanita itu menjawab, ya!

Maka Syaikh memanggil bapa saudaranya dan dua orang saksi. Syaikh menikahkan mereka berdua dan membayar maskahwin bagi pihak muridnya.

Setelah selesai aqad, Syaikh berkata kepada muridnya, pimpinlah tangannya. Wanita itu memegang tangan suaminya dan membawanya pulang ke rumah. Setelah memasuki rumah, dia membuka kelubung yang menutupi mukanya, barulah murid itu dapat melihat wajah isterinya yang muda dan jelita.

Dia juga amat terkejut kerana rumah itu adalah rumah yang dia masuki sebentar tadi dan telah mencuri makanan daripada dapurnya.Isteri bertanya kepada suaminya, adakah kamu telah makan?

Dia menjawab, ya!

Dia membuka periuk dan melihat terung yang telah digigit. Dia berkata dengan hairan, siapa yang masuk ke dalam rumah dan menggigit terung?

Murid itupun menangis sambil menceritakan apa yang telah berlaku.

Isterinya berkata, inilah hasil amanah. Kamu menjauhkan diri dari terung yang haram, maka Allah berikan kamu rumah serta tuannya sekali dengan halal.

Diceritakan oleh Syaikh Ali at-Tantawi di dalam Muzakkiratnya dan dia berkata bahawa kisah ini benar-benar berlaku dan beliau kenal semua individu yang terlibat di dalam kisah tersebut.

Wednesday, 27 June 2012

Terjerat Oleh Cinta..

“Saya tak boleh hidup tanpa awak. Saya boleh mati kalau awak pergi. Saya tak tahu untuk apa hidup di dunia kalau awak meninggalkan saya..”

Kita pasti akan terbang melayang-layang ke langit apabila seseorang pesanan text sms sebegitu kepada kita. Terasa diri begitu dipuja dan dihargai sehinggakan menjadi sebegitu penting dalam kehidupan seseorang. Kita pasti tersipu – sipu malu dan merah padam muka kerana sangat terharu, lalu mengatakan “Awak, janganla begitu..”

Kita memang tidak layak meletakkan cinta kepada manusia secara berlebihan. Apatah lagi mereka yang baru mengenal cinta seperti remaja dalam melabuhkan cinta. Sebenarnya orang yang kita cintai itu biasa – biasa sahaja, tetapi kita memandangnya luar biasa kerana selalu mendengar lirik – lirik lagu, syair pujangga dan filem cinta, yang membuatkan kita terikut – ikut. Itulah cinta monyet.

Ok, cuba kita tanya pada diri sendiri, adakah kita sanggup ikut mati jika kekasih kita mati? kita sanggup mati kerana cinta kepada yang belum pasti menjadi isteri atau suami kita? Harus kita ingat, sekarang adalah zaman serba pantas, cinta boleh didapatkan dalam hitungan minit. Hari ini kita putus, esok mungkin seseorang yang baru hadir dalam hidup kita.

Kita tidak perlu rasa terjerat oleh perasaan cinta. Apatah lagi orang yang kita sukai dan cintai itu masih belum lagi menjadi isteri atau suami kita. Justeru, kenapa kita menjadi sangat obses kepadanya? Adakah kita merasakan kita memiliki dia secara keseluruhannya? dan kita juga merasakan diri kita miliknya sehingga tiada sesiapun pun yang boleh mengambil kita, even ibubapa kita sendiri. Kau adalah milikku, dan aku adalah milikmu. Parah bukan?

Lepaskanlah diri dari jerat cinta. Kita bebas untuk menentukan apa sahaja dalam hidup kita dan apa yang ingin kita lakukan. Kenapa kita perlu rasa terkongkong? Adilkah jika kita tidak dapat mengadakan study group dengan rakan-rakan kerana tidak disukai oleh teman lelaki? Kita disayangi oleh kekasih, sehingga semua orang yang dekat harus kita jauhi? Sungguh menyakitkan.

Cinta tidak wajar menyekat hak – hak kita sebagai seorang yang bebas. Bebas dalam memberi pandangan, berperilaku positif dan bebas menentukan diri sendiri. Tapi kenapa apabila kita meluahkan perasaan cinta kepada seseorang dan kemudiannya orang itulah akan menentukan jalan hidup kita. Menentukan hala tuju kita, apa yang boleh kita buat dan tak boleh kita buat.

Lebih parah lagi apabila seseorang yang kita anggap kekasih hati itu dengan jayanya telah berjaya meyakinkan kita, dan menggantikan tempat ayah kita yang selama ini berhak mengatur hidup kita. Menggantikan tempat keluarga yang selama ini melindungi kita. Aneh bukan?

Kita ada ayah yang perlu diutamakan. Kita ada keluarga yang harus dijaga kehormatan. Kekasih kita bukanah sesiapa, tetapi hanya memberikan kita masalah dan membuatkan kita bermasalah.

Kita ingin putus, tetapi tak berani putus. Kita ingin sudahi cinta monyet ini tapi terdaya melakukannya. Kita ingin menjadi diri kita sendiri tetapi selalu merasa tidak sampai hati. Kita ingin menjadi hamba Allah yang soleh dan solehan, tetapi ingatan terhadap kekasih selalu menghambat fikiran kita.

Persoalannya, sampai bila kita akan begini?

Cinta menyapa tidak memberikan berkat bagi hidup kita. Sebaliknya, hidup kita akan menjadi serba tidak teratur, serba tidak kena. Begitu salah dan begini pun salah. Hidup bagaikan burung di dalam sangkar, nampak selesa dan nyaman, tetapi sedih dan menggelisahkan. Apakah kita boleh terlepas dari kongkongan itu?Tidak. Kerana kita tidak sampai hati melakukannya.

Ketika cinta menyapamu, janganlah silau dengan indahnya dia, tetapi lihatlah apakah cinta itu akan membuatmu semakin dekat kepada Allah atau tidak

Sumber

Kasih Si Kecil..

Seekor anak kucing yang kecil mungil sedang berjalan-jalan di ladang pemiliknya. Ketika dia mendekati kandang kuda, dia mendengar binatang besar itu memanggilnya. “Kamu mesti masih baru di sini, cepat atau lambat kamu akan mengetahui bahawa pemilik ladang ini mencintai saya lebih dari binatang lainnya. Kerana saya mampu mengangkut banyak barang untuknya, saya kira binatang sekecil kamu tidak akan bernilai sama sekali baginya”, ujarnya dengan sinis.

kucing kecil itu menundukkan kepalanya dan pergi. Tapi, dari kandang sebelah, ia mendengar suara seekor lembu. “Saya adalah binatang yang paling terhormat di sini sebab puan di sini membuat keju dan mentega dari susu saya. Kamu tentu tidak berguna bagi keluarga di sini”, dengan nada mencemuh.

Belum lagi kesedihannya hilang, ia mendengar teriakan biri-biri. “Hai lembu, kedudukanmu tidak lebih tinggi dari saya. Aku memberi bulu kepada pemilik ladang ini. Saya memberi kehangatan kepada seluruh keluarga. Tapi kata-katamu soal kucing kecil itu, memang benar. Dia sama sekali tidak ada manfaatnya di sini.”

Satu demi satu binatang di situ ikut serta dalam pencemuhan itu, sambil menceritakan betapa tingginya kedudukan mereka di ladang itu. Ayam pun berkata bagaimana dia telah memberikan telur, Semua binatang sepakat kalau si kucing kecil itu adalah makhluk tak berguna dan tidak sanggup memberikan sumbangan apapun kepada keluarga itu.

Terpukul oleh kecaman binatang-binatang lain, kucing kecil itu pergi ke tempat sepi dan mulai menangis menyesali nasibnya. Sedih rasanya, sudah yatim piatu, dianggap tak berguna, disingkirkan dari pergaulan pula…

Ada seekor kucing tua di situ mendengar tangisan tersebut, lalu mendengar keluh kesah si kucing kecil itu. “Saya tidak dapat memberikan sumbangan kepada keluarga di sini, sayalah haiwan yang paling tidak berguna di sini…”

Terharu, kucing tua berkata, “Memang benar bahwa kamu terlalu kecil untuk menarik pedati. Kamu tidak berupaya memberikan telur, susu ataupun bulu. Tetapi bodoh sekali jika kamu menangisi sesuatu yang tidak mampu kamu lakukan. Kamu harus menggunakan kemampuan yang diberikan oleh Tuhan untuk membawa kegembiraan.”

Malam itu ketika pemilik ladang baru pulang dan kelihatan amat lelah Kerana perjalanan jauh di panas terik matahari, kucing kecil itu lari menghampirinya, menjilat kakinya dan melompat ke pelukannya. Sambil menjatuhkan diri ke tanah, pemilik ladang dan kucing kecil itu berguling-guling di rumput disertai tawa ria.

Akhirnya pemilik ladang itu memeluk dia erat-erat dan mengelus-elus kepalanya, dan berkata, “Meskipun saya pulang dalam keadaan letih, tapi rasanya semua keletihan itu jadi hilang , bila kau menyambutku semesra ini. Kamulah yang paling berharga di antara semua binatang di ladang ini. Kamu kecil, tapi sangat mengerti ertinya kasih…”

Moral:Jangan sedih ketika kamu tidak dapat melakukan sesuatu seperti orang lain Kerana memang tidak memiliki kemampuan untuk itu. Tetapi apa yang kamu dapat lakukan, kerjakanlah dengan sebaik-baiknya. Dan jangan sombong jika kamu merasa banyak melakukan beberapa hal pada orang lain, karena orang yang tinggi hati akan direndahkan dan orang yang rendah hati akan ditinggikan. Selalu begitu.
Sumber

Jika Masa Lalu Kelam, Bagaimana Dengan Masa Depan?

Kebanyakan orang sering mengaitkan keadaan sekarang dengan masa depannya. Apa yang terjadi sekarang akan menentukan masa depan. Apakah anda semua setuju?

Dave Pelzer, seorang penulis buku bestseller menuliskan kisah hidupnya dalam triloginya yang terkenal, A Child Called It, The Lost Boy, dan A Man Named Dave. Sebelum itu, Dave menulis rangkuman kisah hidupnya dalam buku Help Yourself. Biografi Dave Pelzer menjadi terkenal kerana termasuk kategori kisah penderaan kanak-kanak terburuk di California.

Kisahnya seperti ini. Selama 12 tahun pertama, Dave mengalami penyiksaan fizikal dan mental dari ibunya yang penagih alkohol. Penderitaan Dave seolah-olah tak berhujung. Dave dipaksa minum dari talang air berkarat yang bocor. Dia terpaksa puasa 10 hari kerana tidak boleh makan. Dia juga sering dilarang bercakap di rumah. Dave mengakui tidak pernah dibesarkan di rumah, tetapi di garaj kereta. Tekanan mental sangat membuat Dave menjadi tertekan di masa lalunya, dengan rentetan penyiksaan dalam hidupnya.

Dengan latar belakang yang seperti itu, apa yang terpikir dalam benak kita? Apa yang akan kita katakan tentang masa depan Dave? Wajarlah jika disimpulkan bahawa orang yang masa kecilnya mengalami kekelaman akan membuat kehidupan di masa depannya tidak berjaya

T E T A P I ….jangan terkejut, walaupun dia mengalami masa kecil yang gelap, Dave mempunyai masa gemilang di masa depannya. Dia menyertai angkatan tentera udara Amerika. Di usia 32 tahun, Dave terpilih sebagai Ten Outstanding Young American. Salah satu penerimanya adalah John F Kennedy.

Untuk mengatasi agar masa lalu agar tidak menjadi beban bagi kehidupan kita, Dave Plezer memberikan tiga catatan penting:

Pertama, lepaskan tekanan emosi masa lalu yang memberatkan langkah ke depan kita.

Kedua, fahamilah apa yang menjadi dambaan dan mimpi dalam kehidupan kita. Kita perlu merumuskan tujuan dan harapan hidup kita masing-masing. Dengan ini, kehidupan kita menjadi begitu berharga untuk dilalui

Ketiga, hargai siapa dan apa adanya diri kita sekarang. Syukurilah ada yang ada dlam kehidupan kita sekarang. Carl Rogers mengatakan manusia yang dewasa mampu hidup sekarang dan mampu mengapresiasikan masa kini. Sementara, banyak orang membenci kenyataan dirinya. Tetapi, yang dewasa akan belajar berdamai dan menerima apa-apa pun yang terjadi.

Kita boleh banyak belajar dari pengalaman Dave. Inilah pelajaran bahawa masa lalu tidak menentukan masa depan. Masa lalu yang kelam tidak bererti masa depan kita juga kelam. Dave hanyalah salah satu contoh. Ratu talkshow dunia, Oprah Winfrey, juga dibesarkan dalam keluarga yang broken home.

Baik Dave mahupun Oprah adalah contoh orang-orang yang melepaskan diri dari masa lalunya. Mereka tidak terikat dengan mimpi buruk di masa lalu. Mereka menjadi orang yang bebas mencipta masa depan yang gemilang.

Insyallah,kita mampu berbuat demikian.Lupakan kisah silam yang memberatkan langkah ke depan dan terus berusaha ke arah kebaikan yang membawa kepada masa depan yang gemilang di dunia dan akhirat.

Firman Allah Bermaksud:Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum sehingga mereka mengubah nasib mereka sendiri” (Ar-Ra’d: 11)

Jacqueline Saburido Seorang Wanita Yang Sangat Tabah..

Jacqueline Saburido adalah di antara jemputan yang pernah diwawancara dalam rancangan OPRAH.Ia mengisahkan bagaimana dia telah menderita akibat kemalangan yang menimpanya. Jacqueline telah ditemui dalam keadaan melecur selepas terbakar teruk hanya dalam 45 saat sahaja. Kereta yang dipandunya telah dilanggar oleh sebuah kereta lain yang dipandu oleh remaja berusia 17 tahun dalam keadaan mabuk dalam perjalanan pulang ke rumahnya pada Disember 1999.Selepas kejadian ngeri tersebut, Jac terpaksa menjalani lebih daripada 40 kali pembedahan.

Ketika di temubual dalam rancangan Oprah,Jacqueline Saburido dipertemukan dengan ibu pemandu yang melanggarnya buat pertama kali dan Jacqueline Saburido dengan rela hatinya memaafkan pemuda yang melanggarnya.
Sikap dan sifatnya yang pemaaf dan tabah mengharungi ujian tersebut telah membuatkan orang ramai berasa kagum. Apatah lagi, kesannya akibat kemalangan mengerikan itu terpaksa dilaluinya di sepanjang hidupnya!..

Berlainan dengan masyarakat kita yang sukar untuk memberi maaf walaupun hanyalah sekadar kesalahan yang kecil.Andainya kita tidak mampu memaafkan kesalahan orang lain bererti kita belum mempunyai hati yang benar-benar bersih, kita belum menjadi seorang yang rendah hati dan pemaaf.

Marilah kita sama-sama bermuhasabah dalam menangani konsep bermaafan ini. Walaupun kalimah maaf sukar untuk dilafazkan, tapi berusahalah untuk menjadi pemaaf. Beruntunglah orang yang memiliki sifat pemaaf kerana dalam sifat pemaaf itulah terkandung kemuliaan, keberanian dan kekuatan..

Sabda Rasulullah SAW:“Wahai ‘Uqbah, mahukah engkau aku beritahu akhlak penghuni dunia dan akhirat yang paling mulia? Iaitu, menyambung silaturahim dengan orang yang memutuskannya, memberi kepada orang yang tidak mahu dan tidak pernah memberimu, memaafkan orang yang pernah menzalimi dan menganiayamu.”(Hadis Riwayat Hakim)

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Powerade Coupons