Wednesday, 22 October 2014

NABI 'ISA ITU, HAMBA ALLAH DAN UTUSAN-NYA

Soalan :



Seorang Kristian di negara Barat telah memeluk Islam dalam satu majlis. Beliau mengucapkan dua kalimah syahadah, tetapi selepas itu menambah (diajarkan kepadanya agar menambah sebutan) iaitu 'Dan 'Isa itu hamba-Nya serta pesuruhNya.'



Persoalannya, bolehkah dua kalimah syahadah ditambah begitu?




Jawa
pan :



Alhamdulillah.



Islam berkembang baik, di Timur, mahupun di Barat. Dalam banyak keadaan, umat Islam di sana berdakwah lebih baik daripada kita, dengan persediaan ilmu dan peralatan yang cukup, antara lain kerana mereka memahami tingginya nilai akidah yang benar, masyarakat mereka rencam dan mereka telah terbiasa dengan budaya ilmu.















DUA KALIMAH SYAHADAH, TIDAK BOLEH KURANG, TIDAK BOLEH LEBIH



Syahadah memang ada dua komponen, dua kalimah, sepertimana yang dimaklumi. Orang yang hendak memeluk Islam, mesti meyakini dan mengucapkan dua kalimah syahadah itu. Mesti berikrar bahawa tiada Tuhan yang layak disembah melainkan Allah, dan berikrar bahawa Nabi Muhammad saw itu pesuruh Allah.





Kata Ibn Rajab al-Hanbali, maksud mengucap dua kalimah syahadah itu ialah beriman kepada Allah dan rasulNya. (Jami' al'Ulum wa al-Hikam, syarah hadith ke-3)



Demikian asalnya. Tidak boleh dikurangi menjadi satu kalimah sahaja, dan tidak boleh lebih daripada dua.



Namun, tambahan yang (diajarkan) diucapkan oleh saudara baru itu :



1. Bukan tambahan menjadi 3 kalimah syahadah, tetapi ia lebih kepada sebagai pengukuhan kepada kalimah syahadah yang pertama, iaitu beriman kepada Allah.

2. Bukan ditambah sendiri sewenangnya. Ia dibuat berdasarkan al-Quran dan hadith sahih.

3. Bukan kemestian semua orang yang hendak masuk Islam perlu mengucap seperti itu.



Tambahan 'Dan 'Isa itu hamba-Nya serta pesuruhNya' dibuat berdasarkan al-Quran (Surah al-Nisa' ayat 171) dan hadith sahih.



Firman Allah swt :















Sabda Nabi saw :






( مَنْ شَهِدَ أَنْ لا إِلَهَ إِلا اللَّهُ وَحْدَهُ لا شَرِيكَ لَهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ وَأَنَّ عِيسَى عَبْدُ اللَّهِ وَرَسُولُهُ وَكَلِمَتُهُ أَلْقَاهَا إِلَى مَرْيَمَ وَرُوحٌ مِنْهُ وَالْجَنَّةُ حَقٌّ وَالنَّارُ حَقٌّ أَدْخَلَهُ اللَّهُ الْجَنَّةَ عَلَى مَا كَانَ مِنْ الْعَمَلِ )



Maksudnya :




"Sesiapa yang mengaku/bersyahadah bahawa tiada Tuhan yang layak disembah melainkan Allah, tiada sekutu bagiNya, dan bahawa Muhammad itu hambaNya dan utusanNya, dan bahawa 'Isa itu hamba Allah, utusanNya, dan (yang diciptakan dengan) kalimahNya yang disampaikan kepada Maryam, dan (dengan tiupan) roh daripadaNya, dan bahawa syurga itu benar, neraka itu benar, Allah akan masukkan dia ke dalam syurga, biar bagaimanapun amalannya." (Masuk syurga mengikut darjat amalan masing-masing)


-Sahih Bukhari, Kitab Ahadith al-Anbiya'-



Kata Syeikh Muhammad Saleh al-Munajjid :




"ولما كان هذا الاعتقاد الباطل موجوداً عند النصارى كان من الواجب على من دخل منهم الإسلام أن يتخلى عن اعتقاداته الباطلة التي تناقض الإسلام والتي منها هذا الاعتقاد كما ثبت عَنْ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم انه قال ....."



"Oleh kerana i'tiqad yang salah ini (percaya bahawa 'Isa itu anak Tuhan) wujud di kalangan orang Kristian, maka menjadi kewajipan bagi sesiapa di kalangan mereka yang masuk Islam agar membersihkan kepercayaannya yang salah itu, yang bertentangan dengan Islam. Sebagaimana telah thabit daripada Nabi saw bahawa baginda bersabda..."(seperti hadith di atas).



Kata al-Qurtubi, sebagaimana disebutkan oleh Ibn Hajar dalam Fath al-Bari dalam penerangan/syarah hadith tersebut :



"Dan digunakan (kalimah وَأَنَّ عِيسَى عَبْدُ اللَّهِ وَرَسُولُهُ  ) semasa mengajarkan (syahadah) orang Kristian apabila dia hendak masuk Islam.)"



Maka kita fahami bahawa, mereka menyebutnya dalam syahadah bagi memastikan akidah mereka benar-benar bersih daripada kepercayaan sebelumnya yang telah lama berakar umbi dalam diri, dan tambahan itu tidak bertentangan dengan prinsip dan kaedah dalam ajaran Islam, malah ada asasnya daripada al-Quran dan hadith nabi saw yang sahih.



Tambahan penting :



Adapun golongan syiah, mereka menambah syahadah tanpa dalil daripada al-Quran mahupun hadith. Mereka menambah "Dan aku percaya bhw 'Ali adalah wali Allah.' Syahadah begini batil, tidak sah Islam dengan syahadah begini, antaranya kerana mereka telah menambah komponen syahadah, menjadi 3 kalimah.



والله اعلم




Rujukan tambahan :



1. http://www.dorar.net/enc/adyan/377

2. http://islamqa.info/ar/26301

3. http://islamqa.info/ar/10683

4. http://library.islamweb.net/newlibrary/display_book.php?bk_no=52&ID=&idfrom=6052&idto=6348&bookid=52&startno=112

5. http://www.ahlalhdeeth.com/vb/forum/المنتدى-الشرعي-العام/120769-وأشهد-أن-عيسى-رسول-الله-هل-تجوز-هذه-الزيادة-عند-النطق-بالشهادة-من-نصراني

6. http://islamqa.info/ar/82857

7. http://www.dorar.net/enc/firq/1507


8. Ibn Rajab al-Hanbali, Jami' al-Ulum wa al-Hikam, (Tahqiq oleh Dr. Mahir Yasin al-Fahl).




Sunday, 6 July 2014

MEMANFAATKAN PELUANG RAMADAN DENGAN TADABBUR AL-QURAN

Assalamualaikum.



Soalan :




Bagaimana sepatutnya saya membaca al-Quran dalam bulan Ramadan? Saya kurang lancar membacanya, serta sibuk pula. Hampir mustahil saya dapat khatam dalam Ramadan ini. Dalam majlis khatam al-Quran yang pernah saya ikuti, kami pun hanya membaca sedikit sahaja setiap seorang, mengikut kumpulan. Saya berasa iri hati kepada mereka yang lancar membaca, apatah lagi yang dapat faham maknanya. Betulkah apa yang saya rasa?















Jawapan :




Tahniah, kerana hasrat mulia itu menandakan kita selangkah lagi mendekati al-Quran. Walaupun puan ada keterbatasan dari segi keupayaan membaca dengan lancar dan juga dari segi keluangan masa, puan masih ada hasrat untuk membaca al-Quran dengan sebaiknya dalam Ramadan.



1. Iri hati yang baik




Iri hati yang puan rasakan itu adalah iri hati yang dibenarkan dalam Islam. Iri hati yang dibenarkan ini dalam istilah lain disebut sebagai 'ghibtah', bukan 'hasad.'




Ghibtah ialah kita mengharapkan mendapat kebaikan dan kelebihan pahala yang ada pada seseorang, dan kelebihan itu biarlah tetap ada pada orang tersebut. Manakala hasad ialah mengharapkan kelebihan pada seseorang itu beralih pada kita, dan biar kelebihan itu lenyap terus daripada dirinya. Semoga Allah melindungi kita daripada perasaan hasad, dan mengurniakan kita irihati yang baik.




Iri hati dalam ilmu al-Quran akan menyebabkan kita bermotivasi dan berusaha supaya dapat membaca dan memahami dengan lebih baik.



Sabda Nabi Muhammad saw :




عن عَبْد اللَّهِ بْنَ مَسْعُودٍ، قَالَ قَالَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم ‏:"‏ لاَ حَسَدَ إِلاَّ فِي اثْنَتَيْنِ رَجُلٌ آتَاهُ اللَّهُ مَالاً فَسُلِّطَ عَلَى هَلَكَتِهِ فِي الْحَقِّ، وَرَجُلٌ آتَاهُ اللَّهُ الْحِكْمَةَ، فَهْوَ يَقْضِي بِهَا وَيُعَلِّمُهَا ‏"‏‏.‏



Maksudnya :




"Tidak boleh iri hati kecuali kepada dua jenis orang. Pertama ialah seseorang yang Allah kurniakan kepadanya harta, lalu dia membelanjakannya sampai habis pada jalan kebenaran. Kedua ialah seseorang yang Allah kurniakan kepadanya ilmu yang tinggi. Dia membuat keputusan berdasarkan ilmu itu, di samping mengajarkannya juga kepada orang lain."



-Sahih Bukhari, Kitab Ilmu, Bab Iri Hati Dalam Ilmu Dan Hikmah.-




Islam adalah agama ilmu dan agama yang 'aktif', bukan pasif. Untuk menjadi orang berilmu dalam Islam tidak ada jalan pintas dan mudah, perlu melalui jalan dan disiplin yang betul, jalannya juga penuh  liku. Itulah yang ditunjukkan oleh para ulama' kita yang mendalami al-Quran dan hadith nabi saw, dan segala cabang ilmunya.













Begitu juga untuk menjadi orang yang berharta dalam Islam, perlu ada disiplin, garis panduan hukum dan kerja 'smart' yang perlu diikuti.





Iri hati kepada kedua-dua golongan ini menuntut kita berusaha dan sentiasa memperbaiki diri, agar kelak dapat membuat pahala seperti mereka.



2. Gagap atau kurang lancar bukan penghalang




Semua orang bermula dengan gagap, apatah lagi orang Melayu seperti kita, yang tidak berlidah Arab. Saya semasa kecil dahulu, sangat iri hati mendengar ayahanda saya membaca al-Quran dengan lancar, sedangkan saya sendiri tergagap-gagap. Tetapi tiada cara lain mengatasi gagap, tiada cara lain untuk melancarkan bacaan, melainkan sentiasa membacanya walaupun gagap pada mulanya.





Tiada cara untuk menjadi pandai, kecuali dengan belajar. Proses belajar memakan masa dan menuntut kesabaran yang tinggi. Sambil berusaha, kita berdoa agar Allah mempermudahkan. Sebab itu, nabi saw menyebut bahawa belajar adalah satu jalan menuju ke syurga.





Nabi saw tahu akan kepelbagaian umatnya. Nabi saw sayang kepada kita umatnya. Lihat bagaimana baginda memberi motivasi kepada kita agar terus membaca al-Quran, sama ada yang peringkat paling tinggi seperti para ulama, hafal dan faham pula makna al-Quran, serta menguasai cabang2 ilmu al-Quran, mahupun yang baru di peringkat permulaan, masih gagap dan lambat membacanya.



Sabda Nabi saw :




عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ  : الْمَاهِرُ بِالْقُرْآنِ مَعَ السَّفَرَةِ الْكِرَامِ الْبَرَرَةِ وَالَّذِي يَقْرَأُ الْقُرْآنَ وَيَتَتَعْتَعُ فِيهِ وَهُوَ عَلَيْهِ شَاقٌّ لَهُ أَجْرَانِ



Maksudnya :




"Orang yang mahir baca al-Quran (yang baik sebutan dan tajwidnya, hafaz dan faham maknanya) dapat bersama para malaikat yg mulia. Manakala orang yang tergagap-gagap dan bersusah payah membacanya dapat 2 pahala. "





-Sahih Muslim-





Kata Imam Nawawi, dua pahala yg nabi maksudkan dalam hadith beliau ialah :





Satu pahala untuk baca.





Satu pahala sebab gagap, iaitu sanggup sabar bersusah payah demi utk baca al-Quran.





Gagap akan hilang dengan sendirinya apabila kita sentiasa membaca. Sebaiknya di hadapan guru al-Quran, agar dia dapat membetulkan kesilapan kita, sekiranya ada.



3. Cara baca mengikut kemampuan




Ramai orang beranggapan yang penting dalam Ramadan ialah mengejar 'tamatnya' ataupun 'khatamnya' al-Quran.





Ia benar bagi orang yang memang lancar membaca dan memahami makna ayat-ayat al-Quran.





Namun bagi orang yang kurang lancar membaca, ataupun orang yang tidak faham bahasa al-Quran, Ramadan lebih patut menjadi bulan untuk tadabbur ayat-ayat al-Quran.





Bacalah berdikit-dikit, jangan baca ayat sahaja, tetapi baca juga terjemahan ayat itu.





Buatlah jadual puan sendiri bagi Ramadan yang masih berbaki.





Contohnya, target puan bagi Ramadan tahun ini ialah sebanyak 3 juz.





Beradasarkan pengalaman, saya menyarankan agar puan memulakan dengan juz 30 dahulu, agar kita dapat menghayati ayat-ayat lazim ataupun surah-surah pendek yang selalu kita amalkan ataupun dengar semenjak kecil.





Bahagikan 3 juz itu kepada hari-hari Ramadan yang masih berbaki. Bacalah setiap hari dengan menghayati terjemahannya. Ayat demi ayat.





Berapa ramai orang bukan Islam mendapat hidayah selepas membaca terjemahan al-Quran walhal mereka belum kenal satu pun huruf al-Quran. Oleh itu puan tidak perlu bimbang tersalah faham atau sebagainya. Jika ada persoalan lanjut, puan boleh kemukakan. Jika ada kelas tafsir al-Quran yang dikendalikan oleh mereka yang ahli dalam disiplin bidangnya, kelas begitu sangat elok untuk puan ikuti.













Cara ini sebenarnya lebih menepati saranan al-Quran sendiri. Fungsi UTAMA Al-Quran diturunkan kepada manusia ialah untuk memberikan petunjuk dan menerangkan perkara yang benar dan yang salah, agar kita ikut kebenaran dan tinggalkan kebatilan. Bagaimana mungkin kita akan dapat petunjuk, jika kita tidak  berusaha memahami makna ayat al-Quran?



Firman Allah swt :



1




 أَفَلَا يَتَدَبَّرُونَ الْقُرْآنَ وَلَوْ كَانَ مِنْ عِنْدِ غَيْرِ اللَّهِ لَوَجَدُوا فِيهِ اخْتِلَافًا كَثِيرًا

Surah al-Nisa' ayat 82.




Maksudnya :


"Patutkah mereka (bersikap demikian), tidak mahu memikirkan isi al-Quran? Kalaulah al-Quran itu (datangnya) bukan dari sisi Allah, mereka akan dapati perselisihan yang banyak di dalamnya."



2




أَفَلَا يَتَدَبَّرُونَ الْقُرْآنَ أَمْ عَلَى قُلُوبٍ أَقْفَالُهَا



Surah Muhammad ayat 24.



Maksudnya :


"(Setelah diterangkan yang demikian) maka adakah mereka sengaja tidak berusaha memahami serta memikirkan isi al-Quran? Atau telah ada di atas hati mereka kunci penutup (yang menghalangnya daripada menerima ajaran al-Quran)?"



3




شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنْزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِنَ الْهُدَى وَالْفُرْقَانِ



Surah al-Baqarah ayat 185.



Maksudnya :


"(Masa yang kamu diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk sekelian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk, serta (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah..."





Puan boleh menggunakan pelbagai jenis Apps yang sesuai dengan gajet puan. Sangat disarankan agar puan menggunakan Quran Explorer untuk memudahkan.





Semoga kita semua menjadi hambaNya yang mendapat limpahan kebaikan dan petunjuk daripada al-Quran yang diturunkan pada bulan Ramadan.





والله الموفق


Monday, 28 April 2014

IBU, APA MAKNA 'ALLAHYARHAM?'


Sesekali, anak kita tentu akan
bertanya tentang kematian.









Pixomar : FreeDigitalPhotos.net









Kematian, meskipun ingin sekali kita
jauhi, ia tetap berlaku di sekeliling kita, dan dapat dijangkau pula oleh
anak-anak kita. 




Jika tidak kelmarin, barangkali hari ini. 



Jika tidak hari ini,
mungkin esok. 




Itulah yang selalu Allah sebut dalam al-Quran, antaranya dalam
ayat 26 dan 27 Surah al-Rahman.





















Saya mengucapkan terima kasih kepada
ibu-ibu yang sudi berkongsi dialog dan soalan anak-anak. Adakalanya lucu.
Banyak pula yang mengesankan jauh ke dalam hati, malah membuka minda kita
sebagai ibu dan bapa.





Kerana anak-anak itu bersih, dan
mereka bertanya kerana benar-benar ingin tahu.









Pixtawan : FreeDigitalPhotos.net




Soalan-soalan anak tetap perlu
diusahakan agar dijawab dengan betul dan tepat, jika ia berkait dengan ajaran
agama. Mungkin tidak boleh terlalu kompleks seperti jawapan kita kepada orang
dewasa, tetapi sekurang-kurangnya mereka dapat memahaminya, sedikit demi
sedikit, seiring dengan pertambahan usia dan kematangan mereka.








Kisah
Ziyad Dan Aiman





Ziyad seorang pelajar tahun 3. Dia
tinggal tidak jauh daripada rumah sepupunya, Aiman. Aiman belajar dalam tingkatan
1. Ziyad menganggap Aiman seperti abangnya sendiri. Setiap hari mereka saling
menziarahi antara satu sama lain. Hari ini Ziyad pergi ke rumah Aiman. Hari
esok Aiman pula berbasikal ke rumah Ziyad.





Pada suatu hari, Ziyad membaca akhbar
harian. Pada mukasurat hadapan ada berita kemalangan jalan raya. Berita itu
melaporkan bahawa orang yang terlibat dalam kemalangan itu meninggal dunia.
Tiba-tiba Ziyad  terbaca perkataan
'Allahyarham'. Orang yang meninggal dunia dalam kemalangan itu di tulis sebagai
'Allahyarham.'





Ziyad bertanya kepada Aiman, "
Abang Aiman, apa makna Allahyarham?"





Aiman pun menjawab sambil mengusik,
"Oh, begini. Allahyarham itu panggilan bagi orang mati. Kalau Ziyad mati
nanti, orang akan sebut 'Allahyarham Ziyad'."





"Oh, begitu," balas Ziyad.
Dia terus membelek halaman lain pula.





Hari berganti hari, bulan disambut
bulan. Masa tetap berlalu.





Pada suatu hari, Aiman terjatuh
daripada basikal semasa pulang ke rumah. Seorang lelaki yang lalu di tempat itu
melihatnya. Lelaki itu menyangka Aiman terjatuh sebab tayar basikalnya
tersandung batu ataupun kayu. Tetapi selepas terjatuh, Aiman terus terbaring di
atas jalan. Tidak bangun-bangun lagi selepas jatuhnya. Lelaki itu berasa
hairan.





Ada
sesuatu yang tidak kena,

katanya. Dia cepat-cepat mengangkat Aiman dan membawanya segera ke hospital.





Rupa-rupanya Allah sudah tentukan,
Aiman akan mati dengan sebab sesuatu penyakit, walaupun usianya masih muda.
Doktor memberitahu bahawa penyakitnya tidak dapat dirawat lagi.





Aiman sudah meninggal dunia.





Ziyad berasa sangat sedih apabila
mendapat tahu berita kematian Aiman. Dia pergi melawat Aiman. Ketika dia
sampai, orang-orang dewasa sedang membalut Aiman dengan kain kafan berwarna
putih bersih.





Tiba-tiba dia teringat perbualannya
dengan Aiman dahulu tentang perkataan 'Allahyarham.'





Ziyad pun berbisik kepada ibunya,
"Ibu, dulu abang Aiman kata kalau Ziyad mati, orang akan panggil
'Allahyarham Ziyad'. Tetapi sekarang abang Aiman yang mati. Jadi kita mesti
panggil dia 'Allahyarham Aiman', begitu ya, ibu?"





Ibunya memandang Ziyad, sayu, lalu
menjawab perlahan, "Ya, begitulah."





Ziyad mengangguk faham sambil
mengesat air matanya.





Apabila jenazah siap diuruskan, ayah
Ziyad menarik tangan Ziyad supaya ikut bersamanya solat jenazah.





"Solat jenazah ini penting buat
kita dan juga Abang Aiman. Kita mohon kepada Allah, agar Allah ampunkan dosa
Abang Aiman, dan limpahkan kasih sayangNya buat Abang Aiman," ujar ayah
Ziyad, sejurus sebelum mereka solat jenazah.





Ziyad pun solat bersama ayahnya dan
orang-orang dewasa yang lain. Orang lelaki di barisan-barisan hadapan dan orang
perempuan pula di barisan-barisan belakang. Solat hanya dengan 4 takbir, tanpa
ruku', tanpa sujud.








Makna
'Allahyarham
'





Sebenarnya, kita sebut 'Allahyarham'
itu sebagai doa kita kepada orang yang sudah meninggal dunia. Seperti dalam
kisah Ziyad dan Aiman tadi, apabila Aiman meninggal dunia, Ziyad dan ahli
keluarganya menyebut 'Allahyarham Aiman' apabila hendak bercakap-cakap tentang
Aiman.





'Allahyarham' itu sebenarnya terdiri
daripada dua perkataan dalam Bahasa Arab. 'Allah' dan 'yarham."





'Allah' kita sudah tahu maknanya,
iaitu Allah Tuhan kita, Yang Maha Pengasih, Yang Maha Penyayang. 'Yarham' pula
bermaksud mengasihani.





Jadi, 'Allahyarham' maknanya 'Allah
mengasihani'. 'Allahyarham Aiman' ertinya 'Allah mengasihani Aiman'.





Oleh sebab itu, apabila kita sebut
'Allahyarham Aiman', kita sebenarnya sedang berdoa dan mengharap, moga-moga
Allah mengasihi Aiman yang sudah meninggal dunia itu. Mudah-mudahan Allah
lapangkan kuburnya dan dapat menjawab soalan malaikat Munkar dan Nakir dengan
baik. Mudah-mudahan dia tenang dan gembira berada di alam kuburnya itu.





Lelaki ataupun perempuan, kita sebut
'Allahyarham' juga. Kalau orang yang meninggal dunia itu bernama Arif, kita
sebut sebagai 'Allahyarham Arif.' Maknanya, semoga Allah mengasihani Arif.





Kalau orang yang meninggal dunia itu
bernama Aisyah, kita sebut 'Allahyarham Aisyah.' Maknanya, mudah-mudahan Allah
mengasihani Aisyah.







Sebutan
Yang Lebih Tepat














Sebutan yang lebih tepat dari segi
bahasa Arab, sebenarnya, ialah kita sebut 'al-marhum' (المرحوم) kepada si mati lelaki,
dan 'al-marhumah' (المرحومة) kepada si mati
perempuan. 




Al-marhum untuk orang lelaki, al-marhumah pula untuk orang
perempuan. Walaupun agak berbeza sebutannya, kedua-duanya bermaksud sama iaitu
mudah-mudahan dia dikasihani Allah.'





Contohnya, jikalau Aiman sudah
meninggal dunia, kita sebut al-marhum Aiman. Maksudnya, kita doakan Aiman
dengan menyebut
Aiman
yang dikasihani Allah
.





Begitu juga jika Nurul Hidayah sudah
meninggal dunia, maka kita sebut al-marhumah Nurul Hidayah.





Kita doakan orang yang sudah
meninggal dunia itu agar mereka dikasihani Allah, sebab kita sendiri tidak
tahu akan nasib mereka yang sebenar selepas mereka meninggal dunia.




Kita benar-benar berdoa dan mengharapkepada Allah agar memaafkan kesilapan mereka, dan menerima semua amalan saleh
yang telah mereka lakukan semasa hidup.








********



Begitulah apabila tiba giliran kita. 



Mengharapkan keampunan dan kasihan belas Allah. 







Friday, 8 November 2013

BENARKAH CATATAN AMALAN DITUTUP PADA AKHIR TAHUN,DIBUKA BUKU BARU PADA AWAL MUHARRAM















         بسم الله الرحمن الرحيم









SOALAN :









Benarkah sebaran mengenai catatan amalan ditutup pada akhir tahun, dibuka pada awal Muharram, dan ganjaran orang memperingatkan tentang Muharram? Apakah fadilat kita membaca Doa Awal Tahun dan Doa Akhir Tahun?




JAWAPAN :







Ada beberapa perkara yang agak keliru dikaitkan dengan bulan Muharram.







Antaranya, hijrah Nabi saw dikatakan berlaku pada 1 Muharram, doa awal tahun dan buku catatan amalan ditutup dan dibuka buku catatan baru.







HIJRAH









Hijrah Nabi saw ke Madinah bermula pada bulan Safar. Manakala para sahabat lain ramai yang berhijrah beberapa bulan sebelum baginda.Baginda sampai di Madinah pada bulan Rabi'ul Awwal. (Lihat al-Rahiq al-Makhtum, kitab sirah karangan Safiy al-Rahman al-Mubarakfuri) .Bukan bulan Muharram.










Terdapat salah faham terbit daripada lirik nasyid yang kita dendangkan semenjak kecil dahulu..."Satu Muharram detik permulaan....perpindahan nabi dan umat Islam..." Ramai yang menganggap 1 Muharram adalah titik permulaan Nabi saw berhijrah ke Madinah, walhal, hakikatnya bukan begitu.








Agak pahit untuk menyampaikan, apatah lagi hendak ditelan, namun kebenaran bukan untuk terus disimpan.








Muharram adalah bulan pertama dari 12 bulan dalam perkiraan orang-orang Arab sejak zaman jahiliyyah. Namun mereka tidak ada sistem tahun seperti sekarang. Maka khalifah Umar al-Khattab ra memutuskan, selepas perbincangan dengan para sahabat yang lain, perkiraan tahun bagi umat Islam ialah bermula pada tahun hijrah nabi saw. Pada tahun nabi berhijrah itu, nabi berhijrah dari tempoh Safar hingga Rabiul Awwal, bukan dalam 1 Muharram.






Tahun berlaku peristiwa hijrah Nabi Muhammad saw dan para sahabatnya itu dijadikan sebagai perkiraan tahun pertama bagi 'Tahun Hijrah' umat Islam. Tidak bermakna 1 Muharram tarikh mula hijrah baginda s.a.w.







DOA AWAL TAHUN (DAN BERANGKAI DENGAN DOA AKHIR TAHUN)







Doa itu ibadah, begitu juga memohon ampun, boleh dilakukan pada bila-bila masa yang sesuai. 







Termasuklah doa kita contohnya, "Ya  Allah, semoga bermula tahun baru hijrah ini, bertambah iman dan ilmuku, dan semakin baik amalanku."







Namun doa awal tahun dan akhir tahun, yang dibaca dengan kaifiyyat (cara) tertentu dikritik oleh para ulama, kerana ia disandarkan kepada sebuah riwayat 'yang antaranya menganjurkan dibaca doa itu 3 kali, dan syaitan pun dikatakan kecewa tidak dapat menggoda pembacanya pada tahun itu.'







Riwayat ini adalah RIWAYAT PALSU. Tidak ditemui asal usulnya oleh para ulama. Ia dikemukakan dalam buku tertentu tanpa dinyatakan sanad dan sumber.







Tiada dalam kitab-kitab hadith mu'tabarah, dan diputuskan sebagai riwayat yang batil (palsu).







Jadi, tidak boleh kita yakini bahawa ia adalah anjuran dalam syariat Islam.



Pengalaman kita merakamkan, ada di kalangan kita yang sampai menangis kesedihan apabila tidak sempat membaca doa awal tahun dan akhir tahun tersebut, kerana percaya syaitan bergembira dan akan berjaya menggodanya pada tahun itu!




Inilah antara kesan hadith palsu, menyebabkan kita tidak mendahulukan apa yang patut didahulukan, dan memandang kecil doa-doa daripada hadith-hadith sahih kerana menganggap 'ganjarannya tidak mengujakan.' 




Faktor ini antara sebab mengapa kita sering mengemukakan doa daripada hadith-hadith yang sahih dan menerangkan falsafah di sebaliknya, supaya kita semua mencintai apa yang benar-benar datang daripada ajaran Nabi Muhammad saw, seterusnya meninggalkan amalan-amalan yang bersumberkan hadith palsu dan riwayat yang batil.







CATATAN AMALAN







Dakwaan yg mengatakan catatan amalan ditutup pada akhir Zulhijjah, dan dibuka pada awal Muharram tidak didasari dengan dalil al-Quran, tidak juga daripada hadith nabi saw.







Hadith-hadith yang sahih/thabit menyebut bahawa amalan kita dibentangkan pada :











1. Setiap hari (setiap pagi dan petang.)






2. Dua kali setiap minggu (setiap Isnin dan Khamis)








3. Setiap tahun, iaitu pada bulan Syaaban. (Bukan Nisfu Syaaban. -Hadith palsu juga banyak berkisar tentang Nisfu Syaaban-)












Hadith-hadith sahih/thabit bagi setiap kategori adalah seperti berikut :







✅1. Amalan diangkat/dibentang 2 kali setiap hari :













عن أَبِي هُرَيْرَةَ، أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم قَالَ ‏"‏ يَتَعَاقَبُونَ فِيكُمْ مَلاَئِكَةٌ بِاللَّيْلِ وَمَلاَئِكَةٌ بِالنَّهَارِ، وَيَجْتَمِعُونَ فِي صَلاَةِ الْفَجْرِ وَصَلاَةِ الْعَصْرِ، ثُمَّ يَعْرُجُ الَّذِينَ بَاتُوا فِيكُمْ، فَيَسْأَلُهُمْ وَهْوَ أَعْلَمُ بِهِمْ كَيْفَ تَرَكْتُمْ عِبَادِي فَيَقُولُونَ تَرَكْنَاهُمْ وَهُمْ يُصَلُّونَ، وَأَتَيْنَاهُمْ وَهُمْ يُصَلُّونَ. ‏"‏‏












Nabi saw bersabda, maksudnya :













"Para malaikat (syif) malam dan malaikat (syif) siang silih berganti turun kepada kalian. Mereka berkumpul pada setiap waktu Subuh dan setiap waktu Asar. Kemudian, malaikat yg menjaga kalian (jika waktu Subuh, malaikat malam, jika waktu Asar, malaikat siang) naik ke atas. Allah pun bertanya kepada malaikat2 itu - walhal Dia lebih mengetahui tentang hamba2Nya :








'Dalam keadaan bagaimana kamu semua tinggalkan hamba-hambaKu itu?'








Jawab para malaikat : 'Kami tinggalkan mereka dalam keadaan mereka sedang solat. Begitu juga ketika kami datang kepada mereka, mereka sedang solat.'"








(Sahih Bukhari, Kitab Waktu-Waktu Sembahyang,Bab Fadilat Sembahyang Asar)✅





-Hadith Sahih-







Berbahagialah bagi mereka yang menunaikan solat Subuh dan solat Asar, lebih-lebih lagi di awal waktu.







✅2. Amalan juga diangkat setiap Isnin dan Khamis, dua kali seminggu :












:عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم قَالَ ‏





‏" تُفْتَحُ أَبْوَابُ الْجَنَّةِ يَوْمَ الاِثْنَيْنِ وَيَوْمَ الْخَمِيسِ فَيُغْفَرُ لِكُلِّ عَبْدٍ لاَ يُشْرِكُ بِاللَّهِ شَيْئًا إِلاَّ رَجُلاً كَانَتْ بَيْنَهُ وَبَيْنَ أَخِيهِ شَحْنَاءُ فَيُقَالُ أَنْظِرُوا هذَيْنِ حَتَّى يَصْطَلِحَا أَنْظِرُوا هذَيْنِ حَتَّى يَصْطَلِحَا أَنْظِرُوا هَذَيْنِ حَتَّى يَصْطَلِحَا ‏"‏ ‏.‏










Nabi saw bersabda, maksudnya :








"Dibuka pintu-pintu syurga (setiap minggu) pada hari Isnin dan Khamis. Allah pun mengampunkan dosa setiap hambaNya tidak mensyirikkanNya (hambaNya yang beriman), kecuali hamba yang saling bermusuhan. Lalu dikatakan kepada para malaikat, 'Tinggalkan dahulu mereka berdua ini, sehinggalah mereka berdamai."








(Sahih Muslim, Kitab al-Birr wa al-Silah wa al-Adab, Bab Larangan Saling Bermusuhan Dan Saling Tidak Mempedulikan.) ✅    





-Hadith Sahih.-







✅3. Amalan dibentangkan setiap tahun, pada bulan Syaaban. 

(Bukan Nisfu Syaaban)









عن زيد بن أسامة رضي الله عنهما قال: قلت: يا رسول الله لم أرك تصوم من شهر من الشهور ما تصوم في شعبان؟


 قال: ذلك شهر يغفل الناس عنه بين رجب ورمضان، وهو شهر ترفع فيه الأعمال إلى رب العالمين، فأحب أن يرفع عملي وأنا صائم.









Usamah bin Zaid ra melaporkan, katanya, "Saya pernah bertanya, 'Wahai Rasulullah, mengapa saya tidak pernah lihat tuan berpuasa dalam bulan lain, sebanyak puasa tuan dalam bulan Syaaban?'








Jawab Rasulullah saw, "Itulah bulan yang ramai manusia lalai, antara bulan Rejab dan Ramadan. Ia adalah bulan yangg diangkatkan amalan kepada Tuhan sekelian alam, dan saya suka amalan saya diangkat dalam keadaan saya sedang berpuasa.'"








(Al-Sunan al-Sughra, Kitab Puasa.)✅






-Hadith Hasan-








BENARKAH ANJURAN MEMPERINGATKAN?







Tentang hadith anjuran supaya memperingatkan bulan muharram, dengan ganjaran tidak dibakar api neraka, tidak dapat dikesan dari mana datangnya hadith itu.







Agak pelik apabila lafaz yang sama juga disebarkan untuk bulan-bulan lain.







"Barangsiapa yg memperingatkan bulan syaaban...."




"Barangsiapa yg memperingatkan bulan zulhijjah...."




"Barangsiapa yg  memperingatkan bulan rejab..."







Berdasarkan panduan para ulama dalam mengenali hadith palsu, dan jika kita biasa dengan hadith-hadith yang sahih, hadith ini perlu kita tawaqquf (jangan sebar, jangan beramal kerana hadith itu).






Sebarkanlah penjelasan tentangnya.













INILAH DOA AWAL BULAN YANG THABIT DARIPADA NABI SAW




Berikut adalah doa yang boleh diamalkan. Doa ini adalah doa ketika melihat anak bulan pada setiap awal bulan.





اللهُ أَكْبَرُ، اَللَّهُمَّ أَهِلَّهُ عَلَيْنَا بِاْلأَمْنِ وَاْلإِيْمَانِ، وَالسَّلاَمَةِ وَاْلإِسْلاَمِ، وَالتَّوْفِيْقِ لِمَا تُحِبُّ رَبَّنَا وَتَرْضَى، رَبُّنَا وَرَبُّكَ اللهُ



“Allah Maha Besar. Ya Allah! Datangkanlah bulan sabit ini kepada kami dengan membawa keamanan dan keimanan, keselamatan dan Islam serta mendapat taufiq untuk menjalankan apa yang Engkau senang dan reda. Tuhan kami dan Tuhanmu (wahai bulan sabit) adalah Allah.”




Doa ini berasal daripada hadith riwayat Talhah bin Ubaidillah, yang menukilkan bahawa baginda saw selalu membaca doa ini apabila melihat anak bulan pada awal bulan. 




[Jami' At-Tirmidzi, Kitab al-Da'awaat. Hadith hasan)




Doa ini tidak khusus untuk bulan Muharram sahaja, sebaliknya boleh dibaca setiapkali melihat anak bulan pada awal bulan kalendar Hijrah, sesuai dengan hadith ini. 











KESIMPULAN :







Sedaya upaya yang mungkin, kita cuba pastikan sebaran yang dibuat menepati saranan hadith sahih :






عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو، أَنَّ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم قَالَ ‏"‏ بَلِّغُوا عَنِّي وَلَوْ آيَةً، وَحَدِّثُوا عَنْ بَنِي إِسْرَائِيلَ وَلاَ حَرَجَ، وَمَنْ كَذَبَ عَلَىَّ مُتَعَمِّدًا فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنَ النَّارِ











Nabi saw bersabda, maksudnya, "Sampaikanlah daripadaku walau satu ayat. Ceritakanlah tentang Bani Israel dan tidak mengapa (jika kamu tidak menyampaikannya atau jika kamu menyampaikannya). Dan sesiapa yang berdusta atas namaku dengan sengaja maka bersedia mengambil tempatnya dalam neraka."

(Sahih Bukhari, Kitab Ahadith al-Anbiya, Bab Ma Dhukira Bani Israil.)


Bersama kita menghayati doa-doa yang ma'thur, yang boleh kita amalkan sepanjang masa termasuk di hujung hari dan di awal hari, ataupun di awal tahun dan di hujung tahun. 




Sebahagiannya ada dinyatakan fadilat secara langsung dan terang, dan sebahagiannya pula tidak dinyatakan. Doa-doa sahih ajaran Nabi Muhammad saw mengandungi hikmah yang tidak sama dengan doa lain. Doa titipan kekasih Allah, rasul terakhir, mengandungi falsafah yang tinggi tentang kehidupan sementara dan kehidupan kekal, merakamkan kehambaan seorang hamba dan keagungan Allah sebagai Rabb dan Ilaah. Antaranya doa dari Sahih Muslim :






















 والله اعلم












Tulisan ini mula ditulis pada 27 Dhulhijjah 1434H bersamaan dengan 1 November 2013. Mula 'diterbitkan' untuk bacaan pada jam 2.07 pada hari tersebut : Jumaat.



Ditambahbaik kali pertama oleh penulis asal pada 29 Dhulhijjah 1439H bersamaan dengan 10/9/2018, hari Isnin.




Di atas penambahbaikan versi dan sebaran lain, diucapkan - جزاكم الله خيرا






27 Dhulhijjah 1434H






1 November 2013






2.07 petang






 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Powerade Coupons