Tuesday, 13 September 2022

HADITH PALSU - KONONNYA SIAL RABU TERAKHIR BULAN SAFAR

Assalamualaikum.


Soalan :


Adakah benar hari Rabu terakhir dalam bulan Safar membawa malang dan waba’? Benarkah perlu beramal dengan amalan yang tertentu untuk mengelakkannya? Dikatakan amalan-amalan tersebut adalah amalan awliya’ ataupun wali-wali.



Jawapan : 



Cara termudah menyebarkan kepercayaan dan amalan yang tiada asal dan karut marut ialah dengan menyandarkannya kepada wali-wali, setelah gagal menyandarkannya kepada ‘nabi.’ Padahal wali tertinggi ialah Nabi Muhammad saw.


Kepercayaan bahawa hari Rabu terakhir bulan Safar membawa sial adalah gabungan saki baki kepercayaan orang Arab jahiliyyah, kepercayaan para penyembah api (Majusi) idi Parsi dan juga hadith-hadith palsu tentang hari Rabu dan bulan Safar.


Kita umat Islam telah diajarkan oleh Nabi Muhammad saw ajaran akidah yang murni, dilarang mempercayai sebarang sial pada tempat, orang mahupun masa, sama ada dalam bentuk hari ataupun bulan.


Larangan ini jelas terdapat dalam hadith :


لَا هَامَةَ وَلَا صَفَرَ


Maksudnya : Tiada sial pada burung dan tiada sial pada bulan Safar.


Situasi menjadi parah apabila golongan sufi, para penceramah dan penulis yang menempelkan nas-nas agama pada kepercayaan jahiliyyah ini. Disebarkan hadith-hadith daif dan palsu, dihuraikan ayat al-Quran secara salah, malah direka amalan tertentu dan dibaca ayat-ayat tertentu kononnya untuk menolak sial Safar ataupun Rabu terakhir bulan Safar itu.


Mereka percaya kononnya Rabu terakhir dalam bulan Safar itu membawa 1001 bala dan waba’ tanpa ada dalil daripada al-Quran dan hadith yang thabit, tetapi berdalilkan hadith palsu, antaranya konon disabdakan :


آخر  أربعاء في الشهر يوم نحس مستمر


Inilah hikmah mengapa berdusta di atas nama Nabi Muhammad saw adalah dosa besar diancam neraka, kerana kehadiran hadith palsu boleh merosakkan akidah, syariat dan akhlak umat Islam.



Cukuplah kita mematuhi perintah dan larangan dalam al-Quran dan hadith-hadith sahih setiap hari, seperti melarang anak bermain pada waktu senja, menutup bekas makanan dan minuman setiap malam, termasuklah menghayati zikir pagi dan petang seperti koleksi di bawah ini, yang terlalu banyak faedahnya dan begitu mendalam maknanya. Amalan-amalan ini disarankan kepada kita tanpa dikaitkan dengan mana-mana hari ataupun mana-mana bulan.




والله الموفق


DNH

Rabu

17 Safar 1444H

Tuesday, 19 July 2022

RUKUN ISLAM KE-5 : CATATAN 4

 Assalamualaikum.


Antara persediaan yang perlu sebelum menunaikan haji ialah persediaan niat yang betul dan ilmu yang sahih.


  1. Haji adalah amalan yang memerlukan pergerakan besar-besaran dari tempat ke tempat, menuntut mujahadah dan berpanas lelah. Segala titik peluh, wang ringgit, sengkang mata dan mengah nafas akan sia-sia seperti debu yang berterbangan sahaja jika niat bukan ikhlas kerana Allah. 
  2. Selawat dan salam yang kita ucapkan kepada Nabi Muhammad saw akan disampaikan terus oleh malaikat, tanpa perlu kita kirimkan kepada orang yang akan menziarahi kubur Nabi Muhammad saw di Madinah.
  3. Salah faham tentang wahabi boleh menjejaskan ibadah. Bagaimana mungkin orang yang menuduh para imam Masjidil Haram sebagai wahabi boleh menunaikan solat dengan khusyu’ dan tenang dalam setiap solat fardhu di Masjidil Haram?
  4. Syaitan tetap wujud di bumi haramain, sebagaimana fahaman salah. Mereka akan sentiasa masuk mengganggu semua insan mengikut pintu kelemahan masing-masing. Maka antara doa yang perlu diulangi ialah memohon perlindungan Allah daripada gangguan syaitan.
  5. Ibadah dalam musim haji itu melibatkan hubungan dengan Allah, hubungan sesama insan dan hubungan dengan makhluk lain. Menjaga hubungan sesama manusia kerana hendak mematuhi perintah Allah boleh menjadi asbab dimudahkan urusan ibadah yang seterusnya. Lapangkan tempat, tunaikan janji, beri salam dan beri bantuan, adalah antara nilai yang disebut secara khusus dalam al-Quran dan al-Hadith.
  6. Pintu-pintu untuk beramal sama seperti pintu rezeki, adakalanya dibuka pada saat-saat yang tidak pernah kita fikirkan. Kuncinya ialah sabar, usaha dan tawakkal penuh kepada Allah.  
  7. Tiada sesiapa boleh menjamin amalannya telah diterima di sisi Allah. Ikutlah resam Nabi Ibrahim as dan Nabi Ismail as yang berdoa selepas melakukan amalan soleh : 


Catatan 4

20 Zulhijjah 1443H

MM 11.27 pagi

Thursday, 7 April 2022

MEMBACA DAN TADABBUR AL-QURAN DENGAN DISIPLIN YANG BETUL

 Assalamualaikum.

Bolehkah saya  dapatkan pencerahan ustazah tentang ayat ini dan fadilat yg diberitahu dalam audio?



Fadhilat  yang dikatakan ialah sekiranya berlaku kesilapan dalam bacaan al-quran, maka bacaan yang silap itu akan diperbetulkan oleh malaikat. Hanya bacaan yang betul sahaja di hantar kepada Allah.


JAWAPAN


وعليكم السلام ورحمة الله


🔴 Ayat ini menegaskan bahawa Allah s.w.t.  yang menurunkan al-Quran dan Allah-lah yang memelihara al-Quran itu daripada sebarang kesilapan. Maka al-Quran tidak boleh diubah, ditambah ataupun dikurangkan oleh sesiapa. Malah Allah s.w.t. Juga memelihara penjelas kepada al-Quran itu iaitu al-Hadith, dengan cara memelihara disiplin ilmu al-Hadith itu. 


Oleh yang demikian, yang salah itu bukanlah al-Quran dan bukan juga al-Hadith sebagai penjelas kepada al-Quran, tetapi yang silap itu ialah antaranya orang yang tidak mempelajari al-Quran dengan disiplin yang betul, orang yang membaca al-Quran dengan mengikut hawa nafsu, orang yang salah faham ayat al-Quran, orang yang salah guna ayat al-Quran, orang yang menggunakan hadith palsu untuk memahami al-Quran, orang yang tidak mahu menggunakan al-Hadith sebagai penjelas kepada al-Quran dan orang yang tidak tahu kaedah yang betul untuk memahami ayat al-Quran. 


🔴 Tidak dijumpai riwayat yang thabit tentang perkara yang disebutkan dalam audio. Malahan kita merasakan ia bertentangan dengan hadith sahih yang bakal disebutkan di hujung nanti.


🔴 Apa-apa kenyataan yang dikeluarkan tentang perkara ghaib seperti pahala sekian, dosa sekian, apa yang dilakukan oleh malaikat, hendaklah berasaskan dalil yang jelas. TIdak ada sumber yang berautoriti bagi menjelaskan perkara ini melainkan sumber wahyu. Bermakna, kita mesti bawakan dalil al-Quran dan hadith Nabi Muhammad saw kerana hadith adalah penjelas al-Quran. Hadith yang dijadikan dalil itu pula hendaklah hadith yang thabit.


🔴 Oleh yang demikian,  memadailah kita dengan beberapa perkara ini :


A. Memohon perlindungan Allah daripada gangguan syaitan setiapkali mahu membaca al-Quran. Inilah yang dianjurkan dalam ayat 98 Surah al-Nahl.


B. Jangan sengaja membaca al-Quran dengan kesilapan, kerana ia adalah suatu dosa, malah mengundang gangguan syaitan. 


C. Menyedari bahawa tersilap dalam membaca al-Quran, seperti makhraj huruf, mad, dengung dan sebagainya kerana masih dalam proses pembelajaran adalah suatu bentuk kesilapan yang dimaafkan, selagi mana kita memang berniat untuk memperbaiki kesilapan kita. 


D. Berdoa sentiasa agar ditunjukkan jalan yang lurus dan mendapat ilmu yang bermanfaat. Petunjuk dan ilmu yang bermanfaat sangat tinggi nilainya sehingga Nabi Muhammad s.a.w. menyuruh kita berdoa meminta keduanya daripada Allah s.w.t.



E. Berusaha tadabbur makna al-Quran dengan betul dan mempraktikkannya dengan disiplin yang betul. 


Ada banyak hadith palsu yang menyebabkan seseorang itu lari daripada intipati sebenar yang sepatutnya dihayati dalam sesuatu ayat ataupun surah.


Ada pula orang yang enggan menerima hadith Nabi Muhammad s.a.w. yang sahih dalam usaha memahami al-Quran, padahal baginda s.a.w. ditugaskan untuk menerangkan makna al-Quran, sama ada dengan perkataan, perbuatan ataupun pengakuan baginda. Keengganannya menerima hadith mengingkari tuntutan al-Quran sendiri, antaranya  ayat 2 Surah al-Jumu’ah :



F. Meningkatkan kualiti bacaan dan tadabbur al-Quran dengan disiplin yang betul, selari dengan hadith Nabi Muhammad saw :




والله الموفق


Dr. Nabilah Hasan

Jumaat

6 Ramadhan 1443 H

8 April 2022


Tuesday, 22 February 2022

TERPERANGKAP

 Assalamualaikum.


Menerangkan konsep tazkiyah al-nafs itu berbeza dengan tasawwuf sudah memadai untuk selamatkan ummat daripada segala bentuk penyelewengan dalam tasawwuf. 


Juga memadai untuk meletakkan zikir ajaran Nabi Muhammad saw sebagai juara dalam amalan harian, berbanding zikir rekaan tiada asal. 


Mengapa masih mahu jalan yang jauh berliku, penuh onak, sedangkan ada jalan yang lurus, cepat sampai dan terang?


Ada banyak keadaan, kita terperangkap dengan istilah-istilah yang samar dan sukar, sedangkan istilah yang jelas dan mudah kita tinggalkan atas pelbagai alasan.  


اللهم اهدنا وسددنا

Wednesday, 9 February 2022

Assalamualaikum.

Adakah benar waktu solat berkait dengan aura warna seperti yang tular?


Jawapan Ringkas :


Perkara pokok dalam isu ini ialah SUMBER AGAMA.


Sumber agama Islam ialah wahyu. Ajaran wahyu terpelihara  dalam al-Quran dan al-Hadith yang thabit. Agama menjadi kacau bilau apabila amalan dan huraian agama diambil daripada sumber yang salah, ataupun dengan cara yang salah.


Inilah sebab mengapa syaitan gemar menjelma dalam bentuk mimpi ataupun secara jaga - ‘yaqazah’, lalu mendakwa dirinya sebagai nabi ataupun tokoh penting. Tujuannya ialah mengaburi dan menyaingi ajaran wahyu, dan mencipta sangkaan bahawa kononnya ada jalan ‘wahyu’ lain selain al-Quran dan al-Hadith yang menjadi suluhan hidup muslim.


Chakra memang dimaklumi datang daripada kepercayaan Hindu, sama seperti fahaman Wahdatul Wujud. Tidak boleh mengambil kepalsuan terma dalam agama Hindu sebagai penerangan bagi sesuatu ajaran dalam agama Islam.


Aliran yang menerima kepercayaan dan amalan tiada asal seperti wahdatul wujud, yaqazah, menghadiahkan al-Fatihah kepada Rasulullah, selawat rekaan dengan dakwaan pelbagai khasiat dan konsep martabat 7, didapati sangat mudah menerima idea-idea seperti aura, reiki, kuasa tenaga dalaman ajaran agama lain, dan didapati sukar pula kembali kepada ajaran al-sunnah. 


Syariatullah dan sunnatullah tidak bercanggah. Apa yang menyaingi syariat tidak menepati sunnatullah. Dakwaan palsu yang menyalahi sunnatullah tidak akan selari dengan syariat Allah. 


https://drive.google.com/file/d/1Dwl0wUunyYS3bA9Mq1bObjnXTFdS9QJB/view?usp=sharing


اللهم اهدنا وسددنا

Dr. Nabilah Hasan  

7 Rajab 1443H


Saturday, 20 November 2021

TUDUHAN TERHADAP ZIKIR AJARAN NABI MUHAMMAD SAW DALAM HADITH SAHIH

Menjawab satu tulisan yang mendakwa zikir ajaran Nabi Muhammad saw itu berat dan tidak sesuai untuk kita yang bukan nabi !

Assalamualaikum.

 Usahlah terpengaruh dengan kenyataan dan dakwaan yang sudah diterbalikkan, demi hendak melariskan zikir rekaan.

Jahatnya manusia sehingga sanggup menutup kebaikan ajaran Nabi Muhammad saw demi untuk menjual barangan sendiri.

Orang yang berusaha melariskan ajaran nabi mereka gelar wahabi, manakala yang melariskan ajaran rekaan mereka gelar wali, walhal Nabi Muhammad saw adalah wali yang tertinggi.

Hakikatnya, sepanjang 20 tahun pengalaman, berdikit-dikit menerima aduan dan soalan.

Zikir rekaan itu sebenarnya tidak ringan pada lidah kerana bahasa Arabnya sudah compang camping.

Zikir rekaan itu tidak seindah susunan yang diajarkan oleh Nabi Muhammad saw, kerana ia bukan disusun oleh utusan Allah.

Zikir rekaan itu, kalau tuan-tuan ingin tahu, sangat rencam sehingga dituntut sampai ribu raban, malah ada yang sampai mencipta gerak geri yang perlu dilakukan.

Zikir rekaan itu kandungan tauhidnya tidak semurni zikir ajaran Nabi Muhammad saw yang mengajar kita intipati ajaran tauhid.

Zikir rekaan terpaksa ditempelkan lagi dengan rekaan lain, iaitu rekaan pelbagai khasiat dan fadilat jika mengamalkannya.

Panas badan, gila ism dan berat kepala berpunca daripada zikir rekaan yang dicipta kemudiannya diberikan sukatan dos sesedap rasa oleh mereka yang tidak berautoriti, mahu menandingi ajaran nabi saw.

Jika ada orang yang mengatakan zikir ajaran Nabi Muhammad saw itu berat, tidak sesuai untuk orang kita yang bukan nabi, itu menunjukkan 3 perkara penting  :

1. Orang itu memang tidak pernah mengamalkan zikir ajaran Nabi Muhammad saw.

2. Orang itu menipu dengan menukar kenyataan sebenar. Pengalaman merakamkan bahawa penipuan akan disusuli dengan penipuan2 lain dalam kehidupan.

3. Orang itu bermasalah dalam memahami maksud nabi dan rasul, dan perlu belajar lagi Apa Makna Beriman Kepada Rasul-Rasul.

اللهم اهدنا وسددنا

20/11/2021

16 Rabi’ al-Akhir 1443H

Monday, 1 November 2021

‘Blackish Discharge’ Semasa Rawatan Endometriosis

🔴 Soalan :

I m now under treatment for my endometriosis tht I m suffering. Doctor gave me lucrin for 6 months to stop my period.

So I m not supposed to get my period for 6 months. But through tht I did experience some sort of blackish discharged. I could still perform solat kan ustazah?


🔴 Jawapan :

  • Rawatan mungkin mengambil masa untuk hentikan darah haid. Perlu dapatkan nasihat doktor, jika darah itu memang datang dari kitaran biasa yang masih berbaki, maka ia adalah haid.
  • Pendarahan yang dialami oleh mereka yang mengalami Endometriosis boleh datang dari 2 sumber, iaitu darah dari kitaran haid biasa dan darah dari Endometriosis. Jadi seeloknya sahkan dengan doktor darah yang keluar itu.
  • Pada pandangan ustazah, darah kehitaman yang keluar itu dikira sebagai darah haid apabila :
    a. Lucrin yang diambil itu belum bertindakbalas sepenuhnya, iaitu masih berlaku haid berbaki sebelum berhenti sepenuhnya.

    b. Darah kehitaman itu keluar pada masa ataupun tarikh biasa kedatangan haid, jika puan sebelum ini pernah ada tarikh kebiasaan yang tetap didatangi haid.

  • Jikalau darah itu bersifat darah luka, bukan bersifat darah haid yang dikenali, maka ia tentulah bukan darah haid, tetapi darah istihadah yang membolehkan kita terus menunaikan solat dan puasa.
  • Darah yang keluar disebabkan endometriosis menurut ilmu perubatan berwarna merah jambu, kecoklatan dan juga hitam.
Kesimpulan Ringkas :

 1. Jikalau Lucrin yang diambil itu belum bertindakbalas sepenuhnya, mungkin boleh berlaku haid berbaki sebelum berhenti sepenuhnya.

Maka discharge, cairan ataupun darah hitam itu dikira haid jika ia bertepatan dengan tarikh rutin haid yang biasa.

2. Jikalau Lucrin sudah bertindakbalas sepenuhnya, kitaran haid memang sudah terhenti, dan darah yang keluar itu adalah darah endometriosis, maka yang hitam puan lihat itu adalah istihadah, kerana darah yang keluar disebabkan endometriosis menurut ilmu perubatan boleh berwarna merah jambu, kecoklatan dan juga hitam.

والله أعلم

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Powerade Coupons