Tuesday 26 January 2010

Jangan Minta Mati, Nanti Tuhan Marah






Pada suatu hari, saya berbual-bual dengan 2
anak saya, Arwa (ketika itu 9 tahun), dan Mus’ab (ketika itu 7 tahun). 







Mereka menceritakan semula
cerita-cerita yang guru mereka ceritakan di sekolah.  Saya seronok mendengarnya, lebih-lebih lagi
cerita-cerita itu diambil daripada sumber yang berautoriti. Rasa berterima
kasih yang tidak terhingga kepada guru-guru itu kerana membantu mendidik
anak-anak saya.





“Ummi, cikgu kata kanak-kanak yang mati
kecil dapat terus masuk syurga!” kata Abang Mus’ab.





Kata Kakak Arwa pula, “Adik Umairah dalam
buku ‘Umairah Dan Kuda Putih’ pun mati kecil juga. Tentu dapat masuk syurga.”





Saya sendiri tidak berkesempatan membaca
semua buku yang saya belikan untuk anak-anak. Sementelah usia sudah bertambah,
kekangan masa dan tanggungjawab, minat juga sudah sedikit berubah,
saya rasa keberatan hendak membaca semua buku anak-anak. Saya cuba memilih yang
terbaik di antara pilihan yang ada.  Ibu
bapa memang bertuah apabila ada pengarang yang kreatif memasukkan unsur
pendidikan dalam  karya mereka.





Kata Abang Mus’ab lagi, “Seronoklah jadi budak
yang mati kecil. Tidak perlu bersusah payah. 
Tidak perlu buat apa-apa, terus dapat masuk syurga!”





Saya masih mendiamkan diri, menantikan apa
yang akan diluahkan lagi oleh anak-anak. 
Nampaknya mereka sudah faham, mereka perlu bersusah payah jikalau hendak
masuk syurga. Perlu sembahyang, perlu berpuasa, perlu berbuat baik dan perlu
bersabar supaya tidak melakukan dosa!





“Kalau begitu, saya hendak mati…”





Terkejut saya mendengar luahan Abang
Mus’ab. 





Saya cuba menyembunyikan  perasaan itu, jangan sampai terpamer
dalam  riak wajah saya. Salah satu tips menjawab soalan anak, cuba fahami apa sebenarnya yang hendak dia sampaikan kepada kita.





Kakak Arwa diam sahaja sejak tadi. Biasanya
dia akan ‘membetulkan’ jika konsep yang difahami oleh adik-adiknya silap,
terutama adiknya Marwan (5 tahun ketika itu), seperti Allah Maha Besar. Kali
ini, barangkali dia pun berasa keliru juga, lantas dia diam sahaja.





“Hendak mati…!” Aduh, Mus’ab mengulangi sekali
lagi ‘kehendak’nya.





Melaut syukur saya, kerana
ketika itu jawapan yang berkaitan baru sahaja saya garapkan dalam draf buku yang dirancang.  Saya cuba-cuba menjawab dengan tenang.





“Bukan begitu,” saya mencari-cari kata-kata
selanjutnya. “Budak kecil yang meninggal dunia memanglah dapat masuk syurga, sebab
dia tidak ada dosa.”





“Tapi syurga itu luas dan ada banyak kelas
pula. Ada kelas bawah, kelas di tengah-tengah dan ada kelas atas. Nabi-nabi
dapat duduk dalam syurga kelas paling atas. Seronoknya duduk dalam syurga kelas
atas tidak sama dengan kelas yang di bawah, walaupun dua-dua seronok.”





“Macam di dunia ini, ada rumah kecil, ada
rumah teres, ada banglo, ada istana!”





“Orang duduk di pondok kecil sudah
beruntung sebab dapat berlindung daripada hujan dan terik matahari. Tetapi dia tentu
terliur hendak duduk dalam istana. Tidak panas, ada
aircond, ada
pelayan, dapat makan sedap-sedap!”





“Orang yang hidup lama, kemudian bersabar
mengerjakan suruhan Allah, dapat syurga yang lebih bagus dan cantik. Sebab itu
Allah marah orang yang minta hendak mati. Nabi Muhammad melarang kita berdoa
supaya Allah matikan kita!”





“Allah beri kita hidup lama supaya kita
dapat buat baik banyak-banyak. Lagi lama kita hidup, lagi banyak kita boleh
sembahyang. Semakin lama kita hidup, semakin banyak pahala yang dapat kita
kumpulkan, dan semakin baguslah jugalah tempat kita dalam syurga. Dapat makan
makanan yang sedap-sedap. Gelas-gelas sudah
disediakan, tidak perlu dibasuh lagi. Di syurga tidak ada lagi perkara yang
susah-susah. Apa sahaja yang kita hendak, Allah akan berikan. Semuanya seronok.”





“Syaratnya, kita sabar ikut perintah
Allah, dan jangan minta mati cepat, sebab nanti Allah marah!”





Itulah sahaja yang mampu saya luahkan. Anak-anak diam, tidak bertanya lagi.






Sehingga hari ini,
Mus’ab tidak pula mengulangi ‘kehendak’nya itu. Entah kerana sudah lupa
akan persoalan tersebut, ataupun benar-benar sudah faham, hanya Allah sahajalah yang
tahu. 





Bercakap-cakap dengan anak dapat mengkoreksi banyak perkara. Apa yang anak-anak fahami dan apa yang kita sendiri fahami. Barangkali di lain kali, pada masa-masa yang sesuai  dengan pertanyaan dan perbuatan mereka, saya perlu juga ingatkan anak dan diri sendiri, bahawa Tuhan itu sifatnya al-Halim, maha penyantun, tidak mudah marah dan tidak cepat-cepat menjatuhkan hukuman.









"Khabarkanlah
kepada hamba-hambaKu,


bahawa Akulah
Yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani .(49)


Dan bahawa
azabKu,


 adalah azab yang tidak terperi sakitnya." (50)


Surah al-Hijr ayat 49-50.

















يَـٰٓأَيُّہَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ قُوٓاْ أَنفُسَكُمۡ وَأَهۡلِيكُمۡ نَارً۬ا وَقُودُهَا ٱلنَّاسُ وَٱلۡحِجَارَةُ

1 comments:

Anonymous said...

salam k nabilah, selalu lah update, suka membacanya. dah lama tak baca karya akak. salam dari kami sekeluarga

Post a Comment

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Powerade Coupons