Tuesday 22 June 2010

HARGA SEBELAH MATA






Seketika, semalam, nikmat dapat melihat dengan sempurna ditarik
sebentar.









Penat yang memanjang, bermusafir
dan bercuti, mendengar amanat, menziarahi guru dan berkhidmat untuk
ibubapa dan keluarga, kemudian bermusafir lagi merentasi desa orang Asli, ke Perlok. Semalam adalah noktah kecil untuk 2 minggu berturut-turut. Petangnya, saya masuk ke dapur menyiapkan kari udang dan ayam goreng, setelah hampir 3 minggu dapur tidak berasap dengan juadah berat. Malamnya, sebaik sahaja Miqdad tidur,
saya duduk melepaskan lelah.



Sedar-sedar, lebih kurang 10 minit kemudian. Rupa-rupanya saya terlelap. Tidur yang
tidak sempurna, tanpa doa dan tanpa persediaan. Sebelah mata saya terasa
terbenam jauh ke dalam. Berpinar-pinar.



Saya berjalan ke dapur
dengan resah. Langkah bagaikan
terhuyung hayang, kerana penglihatan saya tidak seimbang. Apa yang
menekan mata selama 10 minit tadi? Barangkali jari tangan saya sendiri.



Ya Allah. Baru saya tahu nilainya sebelah mata. Yang ditarik sekejap
itu bukan penglihatan seluruhnya, tetapi sedikit keseimbangan dan
fokus.



Dalam masa satu jam kemudian, saya gelisah, tidak dapat melelapkan mata. Cuba menenangkan
hati, menerima ketentuan, dan berdoa agar situasi itu tidak terus
berlarutan. 





Saya memandang Miqdad, perasaan saya berbaur, dan kepala
terasa pening. Biasanya saya seronok melihat jari jemari kecilnya. Tetapi kali ini sebelah mata saya tidak mampu melakukannya. 





Saya memandang laptop yang masih terbuka. Biasanya
jikalau tidak mengantuk ataupun tidak dapat lena, saya mendengar kuliah
ataupun membaca. Namun dalam keadaan penglihatan yang tidak seimbang, tidak dapat
fokus dengan baik, bagaimana mungkin saya dapat membaca dengan selesa seperti selalu?



Dan
semalam juga saya sedar, rupanya ada satu nikmat lagi yang sebelum ini
saya nikmati, tetapi tidak saya sedari, ia adalah nikmat kurniaan
Tuhan yang tidak ternilai.



Membaca.



Disebabkan oleh penglihatan kita baik, dapat fokus, tidak pening, kita dapat
membaca dengan sempurna. Baik buku, laman web, email, surat dan segalanya. Baik untuk
mendapat ilmu, menyampaikan ilmu, menenangkan fikiran, berkomunikasi dan sebagainya. Dunia
yang sempit menjadi luas. Jarak yang jauh menjadi dekat. Meskipun kita
hanya duduk setempat, kita bagaikan berjalan ke serata dunia, merentas
'makan' dan zaman, 'berjumpa' dan 'berbincang' dengan ramai tokoh. Sepasang mata menghamparkan banyak lorong buat kita, agar kita sampai kepada nikmat-nikmat yang lain.





Saya terlelap dalam doa dan muhasabah diri silih berganti.












Pagi ini, alhamdulillah, Tuhan yang mengembalikan semula nyawa saya selepas
saya tidur, telah memulihkan pandangan saya.



Kerana pandangan
telah pulih, pagi ini saya dapat menatap wajah anak-anak dengan stabil. Dapat
melihat ruang dan menganggar jarak dengan baik. Dan paling tidak diduga, dapat pula membaca
email suami,  yang mengirimkan lirik 'For The Rest Of My Life.'





Usah bimbang sangat jikalau mata kita sepet ataupun bulat, suram ataupun bercahaya, bulu mata pendek ataupun panjang, kening nipis ataupun lebat, muncul 'eyebag' ataupun garis-garis halus. Hidup ini sebuah  perjuangan, dan perjuangan menuntut kita berpenat lelah dan bersengkang mata. Jikalau kita tidak pernah berjaga malam sekalipun, mata kita adalah sebahagian daripada diri kita, akan mengalami perubahan, selari dengan bertambahnya usia kita.





Bidadari  bermata jeli seumur hidup hanya ada di dalam syurga, itupun hanya untuk orang-orang yang bertaqwa. Calon wanita syurga orangnya bagaimana, bukankah Asiah dan Sumayyah itu wanita cekal pejuang agama?





Berpadalah dengan bentuk mata kurniaan Tuhan, rawatlah sekadarnya mengikut panduan syariat dan kemampuan, bukan nafsu dan ikut-ikutan. Barangkali wang untuk membeli produk kecantikan mata lebih baik kita sedekah-sedekahkan, dan beli tafsir al-Quran.





Yang penting mata kita sihat, supaya dapat kita gunakan untuk membaca dan melihat perkara-perkara yang bermanfaat, lagi halal.





Sementara Tuhan masih pinjamkan nikmat mata itu kepada kita.






اللهم عافني في بدني


اللهم عافني في سمعي


اللهم عافني في بصري




2 comments:

iza~de~bintang said...

Sibuknya Kak Nabilah sekarang. Semoga sihat2 selalu. Jaga kesihatan. Cheewah, macam bagi arahan pulak.

Sedihlah baca entry ni, sebab Iza kan masuk kategori orang selalu lupa huhu

Nabilah Hasan said...

Iza de bintang,

Insya Allah, 'arahan' akan selalu dipatuhi :) Terima kasih.

Kita memang selalu lupa. Hendak beringat sementara masih diberi peluang.

Post a Comment

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Powerade Coupons