Ada beberapa syarat utama jikalau kita serius hendak membuat pencarian ilmu dan berbahas secara ilmiyyah dalam mencari kebenaran.
1. Syarat pertama, amalkan doa yang diajarkan oleh Nabi Muhammad saw :
Dibaca dan dipohon kepada ALLAH sebagai doa iftitah dalam rakaat pertama solat pembukaan qiyamullail.
Kita guru agama yang diberi amanah oleh Allah untuk menyampaikan kebenaran, sama ada bergaji ataupun tidak. Perselisihan dalam umat Islam ini banyak, maka jalan yang lurus itu mesti kita selalu pohon daripadaNya.
2. Membaca isti'adhah setiap kali hendak membaca ayat al-Quran, supaya kita tidak diganggu oleh syaitan yang mungkin memesongkan kita kepada pemahaman yang tidak benar, ataupun melalaikan kita daripada maknanya yang benar.
3. Menguasai disiplin ilmu asas dengan baik.
Antaranya tahu apa maksud ahl sunnah wal jamaah dan sejarahnya secara ilmiyyah, kenal siapa ulama' mu'tabar dan kenal kitab-kitab yang mu'tabar. Tahu dan memahami usul tafsir, usul hadith, usul fiqh.
Paling penting tahu tafsir al-Quran yang mu'tabar dan syuruh hadith yang mu'tabar. Semua cabang ilmu yang lain datang daripada dua sumber ini, iaitu al-Quran dan al-Hadith.
Dengan menguasai disiplin ilmu al-Quran dan al-Hadith dan ilmu asas yang lain, kita in syaa Allah mudah memahami isu-isu khilafiyyah dan bid'ah dan boleh membezakan antara keduanya, serta membantu kita memilih pandangan terbaik dalam masalah fiqh.
Kita juga akan dapat mengesan jika sesuatu fahaman itu bercanggah dengan ajaran al-Quran dan sunnah nabi saw.
Kita juga boleh mengesan, sama ada sesuatu amalan yang diamalkan memang dianjurkan dalam Islam ataupun tidak.
Antara hadith sahih dengan hadith daif, utamakan hadith sahih. Dalam banyak hadith-hadith sahih, yang tertinggi ialah hadith mutawatir.
Hadith palsu haram dicipta, haram disebarkan dan haram dijadikan hujah. Sabda Nabi Muhammad saw :
ومن كذب عليّ متعمدا فليتبوأ مقعده من النار
Maksudnya :
"Dan sesiapa yang berdusta atas namaku dengan sengaja, biar dia bersedia mengambil tempat dalam neraka."
(Sahih Bukhari, Kitab Ahadith al-Anbiya' , Bab Ma Dhukira min Bani Israil.) Hadith ini hadith mutawatir lafzi.
Dengan mengetahui kedudukan hadith, kita menjadi berawas jika sesuatu aliran berusaha mempertahankan hadith palsu, ataupun sangat daif.
Syarat ketiga ini bunyinya mudah, tetapi ia memerlukan minat yang mendalam dan mujahadah yang berpanjangan.
4. Memahami bahawa ilmu agama itu milik Allah, diletakkan dalam sistem yang kemas dan mempunyai maqasid yang tertentu. Tidak ada seorang pun boleh mengubah, menambahi, mengurangi dan sebagainya.
Allah mengutuskan Nabi Muhammad saw membawa Islam sebagai rahmat untuk seluruh alam. Allah memelihara dua sumber utama iaitu al-Quran dan al-Hadith kerana Allah mahu memelihara kemurnian agama Islam. Tidak seperti agama-agama lain yang telah dubah dan ditokok tambah oleh ahli agama mereka sendiri.
5. Cintakan dan utamakan prinsip dalam al-Quran dan amalan para sahabat Nabi saw yang jelas dalam hadith-hadith nabi saw yang sahih. Kerana merekalah generasi terbaik dalam menterjemahkan Islam dalam kehidupan praktikal.
6. Jadikan IMAN kepada Allah dan Rasul sebagai penyebab kita mencari ilmu. Mencari ilmu kerana ingin mematuhi perintah Allah dengan cara terbaik, sebagaimana yang diajarkan oleh Rasulullah saw kepada para sahabatnya.
7 Paling penting, jangan ada kepentingan peribadi, kepentingan keluarga, kepentingan jawatan, kepentingan harta benda, kepentingan nama ataupun kepentingan kedudukan dalam mencari kebenaran.
احفظ الله يحفظك
احفظ الله ، تجده تجاهك