Wednesday 15 July 2015

ZIARAH KUBUR PADA 1 SYAWAL?

Assamualaikum.

Kita menerima beberapa pertanyaan tentang ziarah kubur pada pagi 1 syawal. Ada yang sertakan video, kenyataan fb dan tulisan daripada agamawan yang meminta supaya masyarakat meninggalkan upacara ataupun adat menziarahi kubur ibubapa dan ahli keluarga sebaik sahaja pulang dari masjid menunaikan solat dan mendengar khutbah hari raya. 

Respon kita dalam perkara ini : Ya, mari kita tinggalkan adat itu. 

Sebab :

Perkara pertama : 

🔸Menziarahi kubur asalnya sunat, bertujuan supaya orang yang menziarahi lebih ingat kepada kematian. Pada awalnya, Nabi Muhammad saw pernah melarang para sahabatnya menziarahi kubur, kerana mereka ketika itu baru keluar dari kegelapan amalan jahiliyyah. Ini kerana kubur adalah asal tempat munculnya amalan menyembah berhala, di mana bermula dengan memuja roh orang mati, akhirnya dibina patungnya. Setelah aqidah tertanam kemas di jiwa para sahabatnya, akhirnya baginda membenarkan mereka menziarahi kubur, kerana menziarahi kubur boleh mengingatkan insan kepada kematian dan hari akhirat.

Hal ini jelas dinyatakan oleh Nabi Muhammad saw dalam beberapa hadith, antaranya : 
1.
كنت نهيتكم عن زيارة القبور، ألا فزوروها فإنها تذكركم بالأخرة.

Maksudnya : Pernah aku melarang kalian menziarahi kubur, namun sekarang ziarahlah, kerana kubur itu boleh mengingatkan kalian kepada hari akhirat. 
(Mustadrak al-Hakim. Dinilai sahih oleh al-Albani.)

2.

عَنْ أَبِى هُرَيْرَةَ قَالَ زَارَ النَّبِىُّ -صلى الله عليه وسلم- قَبْرَ أُمِّهِ فَبَكَى وَأَبْكَى مَنْ حَوْلَهُ فَقَالَ :
 اسْتَأْذَنْتُ رَبِّى فِى أَنْ أَسْتَغْفِرَ لَهَا فَلَمْ يُؤْذَنْ لِى وَاسْتَأْذَنْتُهُ فِى أَنْ أَزُورَ قَبْرَهَا فَأُذِنَ لِى فَزُورُوا الْقُبُورَ فَإِنَّهَا تُذَكِّرُ الْمَوْتَ

Maksudnya : Abu Hurairah berkata : Nabi Muhammad saw menziarahi kubur ibunya, baginda menangis, lalu orang-orang disekitar baginda pun turut menangis. Kemudian bagin bersabda, "Aku memohon izin daripada Tuhanku untuk meminta keampunan bagi ibuku, tetapi aku tidak diizinkan. Aku pun memohon izin daripadaNya untuk menziarahi kubur ibuku, dan aku diizinkan. Ziarahilah kubur kerana ziarah kubur itu memberi peringatan tentang kematian.

(Sahih Muslim, Kitab al-Janaiz, Bab Allah Azza wa Jalla Mengizinkan Nabi Muhammad saw Menziarahi Kubur Ibunya)

Tujuan menziarahi kubur lebih kepada memberi manfaat untuk orang hidup, bukan orang mati. Jika hendak berdoa, doa kita kepada orang (muslim) yang sudah meninggal dunia tetap sampai in syaa Allah, walau di mana sekalipun kita berdoa. 

🔸Namun, apabila ada segelintir masyarakat seolah-olah menetapkan ziarah kubur mesti mereka lakukan pada hari raya, maka penetapan amalan seperti itu sudah menganggu syariat yang dibawa oleh nabi saw. 

Dalam syariat sebenarnya tidak disunatkan, tidak dianjurkan langsung ziarah kubur pada hari raya. Amalan ini sebenarnya tidak bertepatan dengan ruh hari raya yang riang dan penuh kesyukuran.

Jika ada orang melakukannya seolah-olah perkara itu sunat dan dianjurkan, maka itulah namanya bid'ah.

Apakah buktinya amalan ini sudah menjadi bid'ah? Buktinya ialah apabila wujud rasa terganggu apabila menerima saranan supaya meninggalkan amalan itu pada hari raya. Rasa terganggu timbul kerana amalan tersebut sudah menjadi rutin amalan dalam keluarga sejak lama dahulu, dan merasakan ia suatu kemestian dan ketetapan yang tidak boleh ditinggalkan.

Menetapkan sesuatu yang tidak pernah ditetapkan oleh syariat Islam itulah yang dilarang. Nabi muhammad saw melarang kita daripada bid'ah kerana bid'ah boleh menutup wajah agama yang sebenar.  

Anak-anak kita hari ini, dengan melihat amalan orang tua mereka, mereka mungkin menyangka, oh, inilah ajaran Islam, kita mesti ziarah kubur pada pagi raya!

Ataupun mereka sangka, kalau hendak menziarahi kubur, tunggulah hari raya, sebab semua orang buat begitu, tentu ada kelebihannya!

Secara tidak langsung, lama kelamaan, ia menutup wajah asal amalan menziarahi kubur dalam syariat yang dibawa oleh Nabi Muhammad saw. Ia juga menambah sesuatu amalan yang langsung tidak disyariatkan pada hari raya umat Islam yang disambut selepas sebulan berpuasa.

Sebahagian kita pada hari ini yang pernah mengamalkannya, mungkin mewarisi perkara itu dari generasi terdahulu. Setelah sampai ilmu kepada kita, jelas kedudukannya yang tiada asas dalam syariat Islam, maka sudah ramai yang mula meninggalkan amalan ziarah kubur pada hari raya.

Perkara Kedua :

🔸Memang ramai di antara kita yang bertanya, balik beraya di kampung, apakah tidak boleh menziarahi kubur ibubapa sendiri?

Persoalan di sini sebenarnya bukan tidak boleh ziarah kubur ibubapa, tetapi persoalan di sini mengapa mesti dibuat pada pagi raya 1 Syawal, seolah-olah ia amalan yang dianjurkan, padahal tidak. Mengapa anak-anak yang tinggal berdekatan dengan kubur ibubapa pun menziarahinya pada 1 Syawal juga?

Kita sebenarnya masih ada waktu lain untuk menziarahi kubur bagi tujuan mengingatkan diri tentang akhirat. 

🔸Kita juga masih ada satu malam 10 Ramadhan yang berbaki. 

Gantikan adat menziarahi kubur pada hari raya dan amalan-amalan di kubur pada hari tersebut dengan mendoakan keampunan bagi insan kesayangan yang sudah meninggal dunia itu secara tulus, pada malam baki terakhir Ramadhan ini. 

Semoga Allah mengampunkan dosa kita semua yang masih hidup, dan mengampunkan dosa orang-orang yang kita kasihi, yang sudah pergi meninggalkan kita.



Masa sahur, sebelum kita bersahur, masa yang sangat mustajab doa.

Sabda Nabi Muhammad saw :

"ينزل ربنا تبارك وتعالى كل ليلة إلى السماء الدنيا حين يبقى ثلث الليل الآخر يقول: من يدعوني فأستجيب له،
 من يسألني فأعطيه، من يستغفرني فأغفر له"
 متفق عليه.

"Tuhan kita yang Maha Mulia dan Maha Tinggi turun setiap malam ke langit dunia, ketika malam tinggal 1/3 terakhir. Tuhan berkata : Sesiapa berdoa kepadaKu, akan Aku perkenankan doanya. Sesiapa meminta kepadaKu, akan Aku berikan permintaannya. Sesiapa memohon keampunan dariKu, akan Aku ampunkan dia."
(Sahih al-Bukhari, Kitab al-Tahajjud, Bab Berdoa Dan Solat Pada Akhir Malam )

Seruan ini wujud pada setiap malam, dalam Ramadhan dan selepas Ramadhan.

اللهم إنك عفو تحب العفو فاعف عنا

والله الموفق


Wednesday 1 July 2015

BOLEHKAH MEMBACA AL-QURAN SEMASA HAID

Assalamualaikum.






Soalan : Benarkah wanita berhaid boleh baca al-Quran dan pegang al-Quran terjemahan?








Waalaikumussalam.










* Bagi setengah orang awam di tempat kita yang mempelajari fiqh mazhab syafi'i secara umum sahaja, mereka sangat sensitif dalam soal ini. Apatah lagi jika mereka tidak memahami bahasa Arab, dan tidak mengetahui pendapat-pendapat lain dalam mazhab fiqh, (termasuk pandangan berbeza dalam mazhab syafi'i sendiri), serta tidak pernah mendapat pendedahan tentang dalil ayat al-Quran dan hadith sesuatu amalan yang dilaksanakan.









Samalah seperti kita dahulu, semasa sekolah. Sebab ketika itu kita hanya belajar satu pendapat sahaja. Kita hanya bergantung kepada sukatan pelajaran dalam tingkatan tertentu ketika itu, belum didedahkan kepada mazhab-mazhab fiqh yang lain, dan kita belum mampu membuat kajian ilmiah dan membaca kitab-kitab lain. Apabila diberitahu oleh seseorang bahawa wanita berhaid boleh baca ataupun pegang al-Quran, tentulah kita berasa pelik. 









Oleh yang demikian, persoalan sebegini perlu dibincangkan dalam majlis ilmu sahaja, ataupun dalam perbincangan secara ilmiah, bukan sebagai topik perdebatan awam.







Kita jawab soalan Sila dengan cara terbuka, kerana kita fikir ahli usrah memang terbuka dan sudah terdedah kepada dalil-dalil amalan ibadah yang kita kerjakan, dengan mengikuti perbincangan dan


perbahasan para ulama' fiqh dan hadith salam majlis-majlis ilmu sebelum ini.









* Dalam ilmu agama, sangat penting kita mengetahui yang mana menjadi khilaf (perselisihan pendapat di kalangan ulama' dalam skop yang dimaafkan) dan yang mana yang tidak. Adalah tidak patut dan tidak berbaloi bergaduh jika perkara itu khilaf. Pilihlah pendapat yang paling baik, yang paling jelas dalilnya.







Tetapi jangan pula terpengaruh dengan ajaran yang menyimpang dengan alasan mereka juga ada sandaran dalil. Syiah pun berdalilkan al-Quran dan hadith juga. Begitulah juga mereka yang menyembah kubur di negara2 umat Islam, dan amalan2 lain yang tiada sandaran. Mereka hendak melakukan perkara yang dilarang dalam agama, lalu mereka ada-adakan dalil dari al-Quran dan


hadith tanpa disiplin. Jadi, kita sangat perlukan disiplin yang betul dalam beragama.







Para ulama' bertoleransi, hormati menghormati apabila ada perbezaan dalam fiqh, namun mereka semua bersepakat dalam perkara teras dan asas, serta sangat tegas membanteras syirik dan bid'ah. 









Dalam erti kata lain, kalau kita tidak pandai memandu sendiri, kita memang terpaksa memilih pemandu yang baik, bertaqwa dan amanah, membawa kita ke jalan yang lurus. Salah pemandu, salahlah jalan yang kita lalui.






Itulah tinggi nilainya doa yang kita ulangi dalam surah al-Fatihah : 





اهدنا الصراط المستقيم






* Hukum wanita berhaid membaca dan memegang al-Quran termasuk dalam perkara fiqh yang


menjadi khilaf di kalangan ulama'. Kita boleh pegang pendapat yang paling kita yakini, setelah kita belajar daripada sumber dan guru yang betul. 









* Kita ringkaskan rujukan dari 3 kitab untuk memudahkan, dan kitab ini memang menjadi rujukan yang dimaklumi oleh ahli ilmu. Ustazah-ustazah dalam group ini boleh rujuk jika memiliki.









1. Al-Mufassal fi Ahkam al-Mar'ah wa al-Bait al-Muslim




2. Sahih Fiqh Sunnah




3. Al-Fiqh al-Manhaji 'ala Mazhab al-Imam al-Syafi'i







* Kita ringkaskan pendapat2 para ulama' seperti berikut :







1. Ulama' yang mengatakan wanita berhaid haram membaca al-Quran dan haram memegang al-Quran. Antara ulama' yang berpendapat begini ialah al-Imam al-Syafi'i.









Yang dibenarkan hanya baca ayat-ayat yang diniatkan sebagai zikir sahaja, seperti




 بسم الله الرحمن الرحيم 




dan




 ربنا اتنا في الدنيا حسنة وفي الاخرة حسنة وقنا عذاب النار









2. Ulama' yang mengatakan wanita berhaid boleh membaca al-Quran tetapi haram memegang al-Quran.









Maknanya, boleh baca al-Quran seperti biasa, tidak perlu niat sebagai zikir, cuma tidak boleh pegang al-Quran.









(Terjemahan al-Quran dan kitab agama yang mengandungi banyak ayat al-Quran tidak dikira sebagai mushaf/ al-Quran.)









3. Ulama' yang mengatakan wanita berhaid boleh membaca al-Quran dan boleh memegang al-Quran.









Maknanya, haid tidak menghalang seseorang wanita untuk membaca dan menyentuh al-Quran.







Dengan kata lain, ulama' golongan ketiga TIDAK memasukkan membaca dan menyentuh al-Quran sebagai perkara yang haram dilakukan oleh wanita berhaid.









Antara yang berpendapat begini ialah Imam al-Bukhari dan Ibn Hazm.






*****






* Para ulama' yang disebutkan tadi berselisih pada beberapa dalil, panjang perbahasannya. Dalam perbincangan ini, kita ambil satu sahaja, iaitu ayat al-Quran. Firman Allah swt : 





إنه لقرآن كريم (٧٧) في كتاب مكنون (٧٨)


 لا يمسه إلا المطهرون (٧٩) تنزيل من رب العالمين (٨٠)




Maksudnya :



"Dan sesungguhnya (yang dibacakan kepada kamu itu adalah) Al-Quran yang sangat mulia. Tersimpan dalam kitab yang terpelihara (lauh mahfuz). Tiada yang menyentuhnya selain hamba-hamba yang disucikan. Al-Quran itu diturunkan dari Allah Tuhan semesta alam."







Bagi ulama' golongan ketiga, 




'لا يمسه الا المطهرون' bukan merujuk kepada makhluk yang menyentuh al-Quran di bumi. Pada mereka, berdasarkan konteks ayat sebelum dan selepasnya ;









a. 'nya' dalam 'menyentuhnya' itu bukan al-Quran di dunia, tetapi al-Quran yang terpelihara di kitab/tablet 'luh mahfuz'.




b. Hamba-hamba yang dimaksudkan dalam ayat tersebut adalah makaikat2 yang disucikan daripada 


melakukan sebarang dosa.









Maknanya, ayat itu tidak menunjukkan wanita berhaid tidak boleh memegang al-Quran.







* Dari segi membaca, bagi golongan ketiga, hadith yang menyebut larangan wanita berhaid membaca al-Quran, adalah hadith yang lemah. Pada mereka, tidak ada dalil yang kuat menunjukkan bahawa wanita berhaid tidak dibenarkan membaca al-Quran, sedangkan perkara itu penting. Jika benar2 haram tentu banyak riwayat sahih mengatakannya. 









Kesimpulan :









Kalau hendak detailkan dalil satu persatu, perlu hadiri kelas pengajian, khususnya kelas Fiqh Sunnah, yang diulas oleh mereka yang ahli dalam bidangnya, supaya kita boleh belajar dalil al-Quran dan hadith pada setiap amal ibadat yang kita lakukan. 









Apapun, demikianlah ringkasnya, khilaf dalam perkara fiqh memang banyak. 









Bagi orang awam, dengan kemampuan mereka, tidak mahu pening kepala, lebih baik ikut sahaja apa yang pernah dipelajari secara ringkas seperti zaman sekolah, iaitu satu mazhab sebagai asas.



Bagi mereka yang ingin terus belajar fiqh perbandingan, bila sudah jelas hujah, dipelajari dengan berdisiplin dan berguru, pilihlah pendapat yang paling baik, paling dekat dengan nas al-Quran dan al-hadith, dan hormati orang lain yang ambil pendapat yang berbeza dengan kita. 









Namun sekali lagi kita ulangi, para ulama' fiqh tidak berkompromi, malahan mereka sepakat sangat tegas dalam bab akidah, iaitu soal syirik dan bid'ah.



Itu persoalan yang berbeza.






والله أعلم 

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Powerade Coupons