Hanya kita yang tahu, kecuali sekiranya kita
memberitahunya kepada orang lain. Selain Tuhan yang maha mengetahui, orang lain
tidak tahu pun kita sebenarnya sedang berangan-angan.
Angan-angan dalam budaya masyarakat Melayu sering
dikaitkan dengan Mat Jenin. Tidaklah menghairankan sekiranya orang yang
bercita-cita besar selalu diejek dan dipersendakan. Walhal dengan adanya
angan-angan dan impian itulah manusia menjadi lebih kreatif, produktif dan
inovatif.
Angan-angan dalam perspektif agama Islam sedikit
berbeza. Mujurlah Imam Bukhari membuat Kitab al-Tamanni dalam sahihnya, dan ada
pula guru-guru yang menjelas dan mengajarkannya kepada kita. Kita sudah banyak
termakan jasa orang yang menyampaikan ilmu dan iman kepada kita, dari dahulu
hingga sekarang, sepanjang zaman.
Tamanni ialah harapan yang mustahil dicapai
ataupun hampir mustahil, amat sukar dicapai. Ia berbeza daripada tarajji.
Dengan mempelajari kitab al-tamanni ini kita dapat menelusuri jenis
angan-angan, cita-cita dan impian yang pernah diimpikan oleh nabi dan para
sahabat. Kita juga dapat berwaspada agar tidak terjebak dalam angan-angan yang
tidak dibenarkan.
Angan-angan dalam agama kita sama seperti niat. Niat baik tetap diberi satu pahala, walaupun kita tidak sempat melaksanakannya. Angan-angan baik diberi pahala, meskipun ia sangat jauh
hendak dicapai. Sejauh bintang di langit. Ataupun sedalam letaknya mutiara di dasar lautan.
MATI SYAHID
Angan-angan paling tinggi adalah berangan-angan
hendak mati syahid. Itulah yang diangan-angankan oleh Nabi Muhammad, salam
sejahtera ke atas beliau, sekiranya beliau hidup dan mati berulangkali
sekalipun. Padahal beliau seorang utusan Allah, seorang pemerintah negara.
Dunia dan kekuasaan dibukakan seluas-luasnya kepada beliau. Namun beliau
tidak mengangan-angankan perkara dunia, sebab akhirat adalah lebih utama dan
kekal sifatnya.
Nabi Muhammad, salam sejahtera ke atas beliau, sudah
tahu bahawa beliau tidak akan dapat mati syahid, sebab Tuhan menjamin beliau
tidak akan mati di tangan musuh, menerusi ayat ( والله يعصمك من
الناس ). Walau
bagaimanapun beliau tetap mengangan-angankannya, sebab mati syahid itu ada kelebihan yang
tiada tolok bandingnya. Begitu beliau mengajar kita umatnya, bagaimana hendak berangan-angan
dengan betul.
Dalam masa yang sama, kita orang Islam tidak
dibenarkan pula mengharapkan pertemuan dengan musuh. Kita tidak boleh
mencita-citakan peperangan, sebab Islam tidak sukakan permusuhan dan
peperangan. Justeru, bukankah itu kontras dengan mencita-citakan mati syahid?
Ramai orang salah sangka terhadap ‘mati syahid.’
Sebenarnya mati syahid dapat diperolehi di luar medan perang, bukan seperti
yang disangkakan. Mati syahid boleh dicapai dengan pelbagai cara. Orang
yang mempertahankan agama, nyawa, ahli keluarga dan hartanya
daripada dicerobohi, sehingga mengakibatkan kematiannya, dia mati syahid,
meskipun dia tidak pernah sampai di medan pertempuran.
HARTA
Nabi Muhammad, salam sejahtera ke atas beliau, juga
pernah berkata, kalaulah beliau ada emas sebesar bukit, beliau akan bersedekah
dalam masa tidak sampai 3 malam, yang beliau simpan hanyalah untuk membayar
hutang. Maknanya beliau mengajar kita, tidak salah kita angan-angankan
harta yang banyak, tetapi apabila suatu hari nanti kita ditakdirkan
memperolehinya, dahulukanlah perkara wajib terutamanya hutang, dan banyaklah
bersedekah kepada mereka yang memerlukan.
Memang kita sering diperingatkan selalu dengan surah
al-Asr, demi masa. Jangan sia-siakan masa sedetik pun, sebab masa yang berlalu
tidak akan berulang lagi. Namun dalam kesibukan kita sehari-hari itu, tidak
salah sekiranya kita berangan-angan.
Yang salah ialah apabila kita
berangan-angan sambil bergoyang kaki, ataupun apa yang kita angan-angankan itu faedahnya hanya dapat
dikecapi di dunia semata-mata.
ILMU DAN AL-QURAN
Ramai ulama menyusun
bab khusus bagi membincangkan soal ilmu dalam karya-karya mereka. Niat yang baik hendak melakukan amal
tidak akan tercapai tanpa ilmu yang mencukupi. Imam Bukhari membuat tajuk 'Bab Berilmu Sebelum Berkata-Kata Dan Beramal'. Dan ilmu yang paling tinggi
nilainya ialah ilmu wahyu, ilmu al-Quran, dan diiringi oleh ilmu hadith, sebab hadith menjelaskan maksud al-Quran.
Oleh itu, iri hati yang dibenarkan dalam Islam pun berkait rapat dengan ilmu dan al-Quran. Kita tidak dibenarkan dengki kepada sesiapapun, tetapi masih dibenarkan iri hati kepada orang yang berilmu, membaca dan mengamalkan al-Quran. Kita juga boleh iri hati kepada orang kaya beriman yang membelanjakan hartanya mengikut suruhan Tuhan. Inilah yang disebut oleh Nabi Muhammad, salam sejahtera ke atas beliau, dalam hadith yang bermaksud :
"Tidak boleh iri hati kecuali dalam 2 perkara sahaja. Orang yang Allah berikan harta kepadanya, kemudian dia belanjakan harta itu pada perkara-perkara benar yang disuruh Allah. Dan orang yang Allah kurniakan ilmu kepadanya, kemudian dia pratikkan ilmu itu dan mengajarkannya kepada orang lain."
Hadis direkodkan oleh Imam Bukhari.
Gandingan ilmu dan harta
boleh membuahkan amalan, hasil dan sumbangan yang besar kepada agama dan
tamadun manusia. Membuahkan pahala yang berterusan dan berpanjangan, meskipun jasad kita tiada lagi di muka bumi ini. Tidakkah kita berangan-angan hendak mendapatkannya?
Cuma, pada setiap angan-angan ataupun impian yang kita
simpan, sebaiknya pastikan kita berada dalam ‘trek’ yang betul. Pada ‘trek’ itu, barangkali apa yang kita angan-angankan ada pada tahap A.
Barangkali pencapaian kita setakat ini baru sampai di T, setelah sekian lama
berusaha sejak dari mula, pada Z.
Rupa-rupanya bukan semua angan-angan itu jelik.
Apabila kita berangan-angan inginkan perkara baik, meskipun kita tidak pasti
dapat mencapainya ataupun tidak, kita sudah pun diberi pahala.
Berangan-anganlah, asalkan angan-angan itu ada faedah
bagi hari yang terakhir, tiada hari lain lagi sesudahnya.
ما كل ما يتمنى المرء يدركه
تجري الرياح بما لا تشتهي السفن
Bukan semua perkara yang di angan-angankan seseorang itu dapat
dicapainya,
sebab sang angin bertiup, bukan mengikut kehendak kapal-kapal.
Rujukan :
- Fath
al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari, Kitab al-Tamanni http://www.al-eman.com/hadeeth/viewchp.asp?BID=12&CID=644 - Muhammad
Asri Yusuf (Pensyarah) (2007), Kitab al-Tamanni - Sahih al-Bukhari (Rakaman
No. 01_S.BUKHARI2_070507_7226_KitabCitaCita) - http://islamqa.com/ar/ref/104825
- Kitab al-Ilm, Sahih al-Bukhari, http://www.al-eman.com/hadeeth/viewchp.asp?BID=13&CID=6#s19
0 comments:
Post a Comment