Sunday 3 December 2017

ISLAM, MA’RIFATULLAH DAN ITTIBA’ SUNNAH RASULULLAH SAW



🔸Allah swt  menurunkan agama yang lengkap dan bersistem, menerusi Nabi Muhammad saw. Setiap suruhan dan larangan mengandungi hikmah yang mendalam. 





🔸Agama yang Allah turunkan itu dipelihara Allah swt dalam disiplin ilmu yang kemas. 





Allah swt memelihara al-Quran daripada sebarang tokok tambah, dan Allah memelihara hadith Nabi saw daripada campur tangan manusia. 





Setiap kali tersebar hadith palsu misalnya, akan ada ulama’ yang mendalami ilmu al-Quran dan al-Sunnah akan menepis dan memperingatkan akan kepalsuannya. 






🔸Allah swt Maha Mengetahui akan tabiat dan sikap hamba-hambaNya, sama ada mereka bernama ulama', ustaz, ustazah, kiyai, tok guru, murid ataupun orang awam.





Semua hamba Allah, tidak kira siapa mereka, Allah perintahkan agar kembali kepada ajaran Allah dan RasulNya, yakni al-Quran dan al-Hadith, apabila timbul di kalangan mereka perselisihan dan pertikaian tentang sesuatu dalam agama ini.





Firman Allah swt :





فَإِن تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللَّهِ وَالرَّسُولِ إِن كُنتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ ۚ ذَٰلِكَ خَيْرٌ وَأَحْسَنُ تَأْوِيلًا (59)


Surah al-Nisa' ayat 59.





Oleh yang demikian :





🔸Akidah dan kepercayaan mesti dikembalikan kepada Allah dan Rasul. Barulah akidah itu benar-benar bertepatan dengan akidah sebenar yang Allah perintahkan.





Jangan mereka-reka sesuatu terhadap Allah swt, ataupun meremehkan janji Allah seperti syurga dan neraka, kerana Allah Maha Mengetahui keperluan dan fitrah hamba ciptaanNya. Allah janjikan syurga untuk mereka yang beriman dan beramal saleh, maka jangan  ikut dakwaan yang mengatakan insan tidak boleh beramal untuk mendapatkan syurga. 





Allah tahu sifat dan keinginan hambaNya, maka Allah janjikan neraka bagi mereka yang ingkar dan syirik kepadaNya. 





Inginkan syurga dan takut dilempar ke dalam neraka adalah manifestasi tauhid, iman,  cinta, takut dan harap kepada Allah. Inginkan syurga dan takut balasan neraka adalah  sebahgagian daripada ma’rifatullah.





🔸Syariat, ibadat dan fiqah mesti dikembalikan kepada Allah dan Rasul. Barulah ibadah yang kita amalkan itu bertepatan dengan ibadah sebenar yang Allah perintahkan.





Allah swt utuskan Nabi Muhammad saw supaya mengajar manusia bagaimana jendak TAUHIDKAN ALLAH. Maka daripada  Nabi saw kita belajar cara solat, cara zikir, cara puasa, cara uruskan jenazah, cara membersihkan jiwa, cara berurusniaga, cara berkeluarga dan lain-lain.





Semuanya mesti dipelajari dengan disiplin yang betul, pastikan datang daripada sumber yang betul. 





Misalnya zikir, pastikan ia ajaran Nabi saw dan amalan para sahabat. Ada golongan yang cuba menipu orang ramai dengan mendakwa zikir menari misalnya diamalkan oleh sahabat, dengan mengelirukan istilah ‘sanad’ dan sebagainya. 





Zikir yang diajarkan oleh Nabi saw sudah jelas caranya, jumlahnya dan lafaznya dalam hadith-hadith yang sahih. 





🔸Tazkiyah al-nafs, iaitu penyucian jiwa ataupun akhlak zahir dan batin, juga mesti dikembalikan kepada Allah dan Rasul. 





Barulah usaha kita menyucikan jiwa bertepatan dengan kehendak Allah swt, dan memuaskan hasilnya!





Nabi Muhammad saw diutuskan untuk memberishkan jiwa-jiwa manusia, sepertimana yang dinyatakan dalam firman Allah swt :





لَقَدْ مَنَّ اللَّهُ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ إِذْ بَعَثَ فِيهِمْ رَسُولًا مِّنْ أَنفُسِهِمْ يَتْلُو عَلَيْهِمْ آيَاتِهِ وَيُزَكِّيهِمْ وَيُعَلِّمُهُمُ الْكِتَابَ وَالْحِكْمَةَ وَإِن كَانُوا مِن قَبْلُ لَفِي ضَلَالٍ مُّبِينٍ (164)





Surah Ali ‘Imran ayat 164.





Dalam apa sahaja lirik ciptaan manusia, seperti nasyid, qasidah, syair, sajak, burdah, pantun, barzanji, gurindam dan lain-lain hendaklah menepati roh al-Quran dan al-Hadith. 





Apa sahaja yang menyalahi prinsip akidah, prinsip syariat dan prinsip tazkiyatunnafsi hendaklah dibersihkan. Termasuklah dakwaan dan kisah palsu tentang Nabi Muhammad saw.





Ramai yang salah sangka bahawa menyucikan jiwa mesti dengan bersuluk, berzikir dalam gelap, berzikir berjamaah dengan dipimpin syeikh dan sebagainya.





Sebenarnya, menyucikan jiwa mestilah dimulai dengan memahami erti tauhid dan kepentingan mengikut sunnah Nabi saw.  





Fahami makna bacaan kita dalam solat, amalkan zikir dan doa dalam hadith-hadith yang sahih. Berwudhu’ dengan baik dan hayati doa selepas wudhu’. Semua amalan yang dianjurkan oleh Rasulullah saw dalam hadith sahih boleh membersihkan jiwa. Apa yang tidak diajarkan oleh Rasulullah saw tidak akan membersihkan jiwa, walaupun didakwa ‘ada sanad’.





Tuntutan mengembalikan semua perkara di atas kepada al-Quran dan al-Hadih adalah terpikul di atas bahu para ulama' rabbani yang ikhlas dan benar-benar menguasai disiplin ilmu. 





Contoh : Konsep Nur Muhammad bertentangan dengan ajaran al-Quran dan al-Hadith. Nabi Muhammad saw seorang manusia, keturunan Adam alaissalam, bukan dicipta daripada cahaya. 





🔸Dalam usaha mendalami ilmu agama, perlu kita selalu memohon kepada Allah agar ditunjukkan jalan yang lurus. Mohon dikurniakan ilmu yang bermanfaat dan mohon diberikan kefahaman yang baik.





Antara doa penting dimohon kepada Allah ialah 2 doa berikut. 





Pertama dibuat sebelam malam, iaitu sebagai doa iftitah/istiftah pada rakaat pertama solat qiyamullail, manakala doa kedua diamalkan siang setiap selepas Solat Subuh. 





اللَّهُمَّ رَبَّ جِبْرِيلَ وَمِيكَائِيلَ وَإِسْرَافِيلَ فَاطِرَ السَّمَوَاتِ وَالْأَرْضِ عَالِمَ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ أَنْتَ تَحْكُمُ بَيْنَ عِبَادِكَ فِيمَا كَانُوا فِيهِ يَخْتَلِفُونَ اللَّهُمَّ اهْدِنِي لِمَا اخْتُلِفَ فِيهِ مِنْ الْحَقِّ بإذْنِكَ إِنَّكَ تَهْدِي مَنْ تَشَاءُ إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ





Maksudnya : 





Wahai Tuhan malaikat Jibril, Mikail, Israfil, Pencipta langit dan bumi, Maha Mengetahui perkara ghaib dan nyata, Engkaulah yang memutuskan perkara yang diperselisihkan di kalangan hamba-hambaMu.





Tunjukilah daku kebenaran dalam perkara yang diperselisihkan itu, sesungguhnya Engkau membimbing orang yang Engkau kehendaki ke jalan yang lurus.


(Sahih Muslim)





اللَّهُمَّ إني أَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، عَمَلًا مُتَقَبّلًا.





Ya Allah, aku mohon kepadaMu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik, dan amalan yang diterima (di sisiMu).




(Sunan Ibn Majah. Al-Albani dalam Sahih Ibn Majah - hadith hasan)


Saturday 2 December 2017

Zikir Dan Istighfar Untuk Memajukan Bisnes?


Pandangan Ringkas Tentang Zikir Dan Istighfar Bagi Melariskan Jualan Dan Memajukan Bisnes







🔸Dalam hadith sahih, disebut bahawa Nabi Muhammad saw memang beristighfar lebih daripada 70 kali sehari. 






عن أبي هريرة : سمعت رسول الله صلى الله عليه وسلم يقول :







والله، إني لأستغفر الله وأتوب إليه في اليوم أكثر من سبعين مرة.







Maksudnya : 



Abu Hurairah ra melaporkan, ‘Saya mendengar Rasulullah saw bersabda, “Demi Allah, saya beristighfar memohon ampun kepada Allah dan bertaubat kepadaNya lebih daripada 70 kali sehari.”





(Sahih al-Bukhari, Kitab al-Da’awaat)




Dalam hadith sahih lain, disebut dengan lafaz 100 kali sehari.






Orang yang mempelajari hadith-hadith sahih dengan cara berdisiplin

akan faham akan kepentingan istighfar, dan ingin beristighfar mengikut cara Nabi Muhammad saw. 






Namun bukan dengan niat menggandakan rezeki, memajukan bisnes dan tujuan-tujuan dunia yang lain.





🔸Cara sesetengah pihak memperkenalkan ‘agama’ kepada masyarakat ada kalanya boleh menghilangkan ‘jiwa’ agama itu sendiri.





Mengaji al-Quran untuk maju bisnes, berzikir untuk bisnes, bersedekah juga untuk bisnes.





🔸Ya, istighfar membuka pintu rezeki. Selawat membuka pintu rezeki. Sedekah juga membuka pintu rezeki. Namun ia mesti diniatkan ikhlas kerana Allah, kemudian barulah Allah swt bukakan pintu rezeki mana yang sesuai untuk kita. 





Allah-lah yang membuka pintu rezeki,  maka beramallah dengan ikhlas dan mengikut sunnah, kemudian mohonlah hajat kita kepada Allah.





Ia jauh berbeza jika kita mula duduk berzikir 100 kali dengan niat semata-mata hendak majukan bisnes, sedangkan tidak faham apa maksud لا اله الا الله, tiada penghayatan semasa sebut استغفر الله dan sebagainya.





🔸Apabila kita faham besarnya erti istighfar di sisi Allah, tidak akan terlintas di benak kita ‘hendak istighfar supaya bisnes kita maju’. 





Apa yang kita ingat semasa beristighfar ialah kita ada dosa kecil dan dosa besar, dan kita mohon Allah ampunkan semua dosa-dosa kita.





🔸Rezeki yang paling dirasai nikmatnya berpanjangan, ialah iman dan ilmu yang sahih.





Meskipun makan berjimat, pakai mana yang ada, tidak begitu ‘trendy’, namun jiwa begitu tenang kerana dapat mengamalkan ajaran al-Quran dan al-Sunnah yang terang, jauh daripada keserabutan maklumat berpunca hadith palsu, amalan khurafat dan sebagainya.





Allah berkuasa memberikan rezeki kepada sesiapa sahaja. Ada banyak rezeki yang Allah kurniakan kepada kita, yang tidak pernah kita minta. 





Barangkali, itu natijah daripada istighfar dan selawat yang kita lakukan dengan ikhlas kerana Allah, dan mengikut sunnah Utusan Allah. 





Barangkali, ia juga natijah daripada kita bantu orang lain dengan ikhlas, tanpa mengharapkan sebarang balasan, melainkan balasan dan kurniaan Allah.





Banyakkan zikir ma’thur, selawat dan istighfar, kerana ia tuntutan terhadap kita sebagai hamba Allah.





Banyakkan mempelajari realiti hidup para sahabat, ada yang kaya, ada yang miskin, namun semua mereka ‘kaya jiwa’.





Apapun keadaan , mereka tetap berpegang kepada al-Quran dan al-Sunnah.





والله أعلم

Friday 25 August 2017

Jin Ummu Sibyan?



🔴Soalan :









Assalamualaikum.









Benarkah riwayat tentang wujudnya jin Ummu Sibyan?








🔴Jawapan :









Waalaikumussalam.









🔸Riwayat tentang Ummu Sibyan ini adalah riwayat لا أصل لها.









Dengan kata lain, ia adalah riwayat PALSU.









🔸Sebaran tentang jin ummu sibyan ini bahaya, boleh menyebabkan masyarakat ketakutan, dan timbul kepercayaan yang salah. Disangka jin berkuasa menyekat rezeki, membunuh zuriat dan lain-lain!









Mengeruhkan tauhid kepada Allah.










Mutakhir ini ada juga yg usahakan pusat rawatan dengan menggunakan khidmat jin. Jin serang jin. Merawat 'saka' dan lain-lain dengan kaedah yang tidak dibenarkan Islam.










🔸Ada banyak versi tulisan yang viral tentang Ummu Sibyan ni yang pernah diterima. Ia adalah satu kepercayaan khurafat yang datang daripada riwayat palsu.









🔸Walau bagaimanapun, syaitan memang berkeliaran pada waktu petang menjelang Maghrib. Jangan beri anak bermain di luar pada waktu ini dan tutupkan pintu dan tingkap bila tiba waktu senja.









Syaitan memang boleh ganggu anak kecil dan juga orang dewasa.









🔸Baca dan tiupkan pada anak kecil doa sahih ini untuk mohon 


perlindungan Allah swt daripada gangguan :


















🔸Wanita hamil, beranak kecil dan semua wanita malah seisi keluarga, 


selalulah membaca al-Quran di rumah. 









Amalkan zikir pagi dan petang yang diajarkan oleh Nabi Muhammad saw dengan penuh penghayatan.









Khususnya zikir berikut sebanyak 100 kali setiap hari :





















Sebagaimana sabda Rasulullah saw :








( مَنْ قَالَ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ ، فِي يَوْمٍ مِائَةَ مَرَّةٍ ؛ كَانَتْ لَهُ عَدْلَ عَشْرِ رِقَابٍ ، وَكُتِبَ لَهُ مِائَةُ حَسَنَةٍ ، وَمُحِيَتْ عَنْهُ مِائَةُ سَيِّئَةٍ ، وَكَانَتْ لَهُ حِرْزًا مِنْ الشَّيْطَانِ يَوْمَهُ ذَلِكَ حَتَّى يُمْسِيَ ، وَلَمْ يَأْتِ أَحَدٌ بِأَفْضَلَ مِمَّا جَاءَ ، إِلَّا رَجُلٌ عَمِلَ أَكْثَرَ مِنْهُ )



Maksudnya :









"Sesiapa yang mengucapkan :









لا اله الا الله وحده لا شريك له، له الملك وله الحمد وهو على كل شيء قدير




sebanyak 100 kali setiap hari, dia mendapat pahala seperti membebaskan 10 orang hamba, dituliskan baginya 100 pahala kebaikan, dihapuskan daripadanya 100 dosa, dan menjadi perisai baginya daripada gangguan syaitan sepanjang hari itu. Tiada orang yang mendapat kebaikan yang lebih daripada itu, kecuali orang yang mengamalkan lebih banyak daripadanya."




(Sahih Bukhari, Kitab al-Da'awaat, Bab Fadhl al-Tahlil)









Panduan zikir yang diberikan oleh Nabi Muhammad saw dalam hadith ini membantu kita mengingati Allah swt dengan cara yang diredaiNya, meraih sebanyak-banyak pahala di sisiNya, serta mendapat perlindungan-Nya daripada gangguan makhluk jin dan syaitan.










والله أعلم





Friday 21 July 2017

DOSA MAKAN HARTA ANAK YATIM


Soalan : Apakah balasan bagi orang yang makan harta anak yatim?





Jawapan :




🔴 1. MAKAN HARTA ANAK YATIM ADALAH DOSA BESAR




Makan harta anak yatim jelas termasuk dalam dosa-dosa besar, kerana larangan serta ancaman terhadap pelakunya disebut dengan jelas dalam ayat-ayat al-Quran dan hadith-hadith yang sahih.






Anak yatim termasuk dalam golongan orang-orang yang lemah. Mereka adalah kanak-kanak yang memerlukan penjagaan dan pembelaan daripada orang dewasa yang bukan ibubapanya. Orang yang diharapkan menjaga amanah, tiba-tiba mengambil kesempatan di atas kelemahan insan yang lemah, sangat dimurkai Allah dan diancam dengan neraka.





Al-Imam al-Dhahabi, dalam kitabnya (yang asal) iaitu al-Kabair/Dosa-Dosa Besar, meletakkan perbuatan makan harta anak yatim sebagai dosa besar yang ke-8.





(Dosa besar yang ke-9 ialah Berdusta Ke Atas Nabi Muhammad saw - seperti mereka-reka hadith palsu, ataupun menyebarkan hadith palsu).





🔴 2. LARANGAN MAKAN HARTA ANAK YATIM DARI AYAT AL-QURAN DAN HADITH





🔶Firman Allah swt :


( ولا تقربوا مال اليتيم إلا بالتي هي أحسن حتى يبلغ أشده وأوفوا بالعهد إن العهد كان مسئولا ( 34 ) 


"Dan janganlah kamu menghampiri harta anak yatim melainkan dengan cara yang baik (untuk mengawal dan mengembangkannya), sehingga ia baligh (dewasa, serta layak mengurus hartanya dengan sendiri); dan sempurnakanlah perjanjian (dengan Allah dan dengan manusia), sesungguhnya perjanjian itu akan ditanya."


Surah al-Isra', ayat 34.





🔶Firman Allah swt :





وَآتُوا الْيَتَامَىٰ أَمْوَالَهُمْ ۖ وَلَا تَتَبَدَّلُوا الْخَبِيثَ بِالطَّيِّبِ ۖ وَلَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَهُمْ إِلَىٰ أَمْوَالِكُمْ ۚ إِنَّهُ كَانَ حُوبًا كَبِيرًا (2)





"Dan berikanlah kepada anak-anak yatim (yang telah baligh) itu harta mereka, dan janganlah kamu tukar-gantikan yang baik dengan yang buruk; dan janganlah kamu makan harta mereka (dengan menghimpunkannya) dengan harta kamu; kerana sesungguhnya (yang demikian) itu adalah dosa yang besar."


Surah al-Nisa', ayat 2.





🔶 Sabda Nabi Muhammad saw :





اجتنبوا السبع الموبقات، قالوا: وما هن يا رسول الله؟ قال: الشرك بالله، والسحر، وقتل النفس التي حرم الله إلا بالحق، وأكل الربا، وأكل مال اليتيم، والتولي يوم الزحف، وقذف المحصنات الغافلات المؤمنات.





Maksudnya :


"Jauhilah kalian daripada 7 perkara yang membinasakan."


Para sahabat bertanya, "Apakah perkara-perkara yang membinasakan itu wahai Rasulallah?" 


Jawab Rasulullah saw : Syirik kepada Allah, mengamalkan sihir, membunuh jiwa yang diharamkan Allah kecuali dengan sebab yang hak, makan riba, MAKAN HARTA ANAK YATIM, lari dari medan perang, dan menuduh berzina ke atas wanita beriman yang menjaga diri.


(Sahih al-Bukhari, Kitab Wasiat-Wasiat)





🔴 3. ANCAMAN API NERAKA KEPADA ORANG YANG MAKAN HARTA ANAK YATIM





🔶 Firman Allah swt :


وليخش الذين لو تركوا من خلفهم ذرية ضعافا خافوا عليهم فليتقوا الله وليقولوا قولا سديدا (9) إن الذين يأكلون أموال اليتامى ظلما إنما يأكلون في بطونهم نارا وسيصلون سعيرا (10) 





Maksudnya :


Dan hendaklah takut (kepada Allah daripada melakukan aniaya kepada anak-anak yatim oleh) orang-orang (yang menjadi penjaganya), yang jika ditakdirkan mereka pula meninggalkan anak-anak yang daif (yatim) di belakang mereka, (tentulah) mereka akan merasa bimbang terhadap (masa depan dan keselamatan) anak-anak mereka; oleh itu hendaklah mereka bertaqwa kepada Allah, dan hendaklah mereka mengatakan perkataan yang betul (menepati kebenaran). (9)


Sesungguhnya orang-orang yang memakan harta anak-anak yatim secara zalim, sebenarnya mereka itu hanyalah menelan api ke dalam perut mereka; dan mereka pula akan masuk ke dalam api neraka yang menyala-nyala. (10)


Surah al-Nisa', ayat 9-10.





Penjaga anak yatim perlu berhati-hati supaya tidak mengambil atau makan harta anak yatim dengan zalim (tidak menurut syariat). Jika tidak, dia termasuk dalam kalangan orang yang disebut dalam ayat di atas.





🔶 Firman Allah swt :





Maksudnya :



Dan janganlah kamu makan harta anak yatim lebih dari batas kepatutan dan (janganlah kamu) tergesa-gesa (membelanjakannya) sebelum mereka dewasa. Siapa yang mampu, maka hendaklah ia menahan diri (dari memakan harta anak yatim itu) dan siapa yang miskin, maka bolehlah ia makan harta itu dengan ma'ruf." 


Surah al-Nisa', ayat 6.





Secara ringkasnya, daripada garis panduan yang disebut dalam ayat 6 Surah al-Nisa', ulama' menyimpulkan bahawa : 





- Penjaga hanya boleh menggunakan harta anak yatim untuk menjaga kemaslahatan anak yatim, seperti makan minum mereka, persekolahan dll. 


- Penjaga yang FAQIR yang tiada sumber pendapatan lain boleh makan sekadar yang terdesak sahaja dari harta anak yatim. 


- Penjaga yang kaya, adalah lebih baik tidak menggunakan langsung harta anak yatim, sebaliknya menggunakan harta sendiri untuk membesarkan dan mengasuhnya. 






Harta anak yatim adalah harta mereka, bukan harta penjaga mereka. Apabila mereka sampai umur pandai menguruskan diri, harta yang dijaga perlu diserahkan kepada mereka untuk mereka uruskan sendiri. 





🔴 4. KELEBIHAN MENJAGA DAN MENDIDIK ANAK YATIM





Membiarkan anak yatim tanpa ada yang menjaga kebajikan mereka dan tanpa dididik dengan ajaran agama adalah perbuatan kejam. Islam datang membawa penyelesaian, yang fakir dan yang kaya semuanya boleh membuat kebaikan dengan menjaga anak yatim.





Menjaga kebajikan dan menjaga harta anak yatim kerana Allah, apatah lagi anak yatim yang mempunyai pertalian keluarga, akan mendapat kedudukan yang tinggi di akhirat, kerana ia sukar dan memerlukan pengorbanan. 





Kedudukan yang mulia ini tergambar jelas dalam sebuah hadith yang sahih :


عن سهل بن سعد رضي الله عنه قال: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: "أنا وكافل اليتيم في الجنة هكذا: وأشار بالسبابة والوسطى وفرَّج بينهما





Maksudnya : Sahal bin Sa'ad melaporkan bahawa Nabi Muhammad saw bersabda : 





"Saya dan penjaga anak yatim berada dalam syurga seperti ini : Lalu baginda menunjukkan jari telunjuk dan jari tengahnya, dan merapatkan keduanya."


(Sahih Bukhari, Kitab al-Adab)





Kata Imam Nawawi : Penjaga anak yatim yang dimaksudkan dalam hadith ini ialah yang menguruskan keperluan anak yatim itu dari sudut makan pakai, pendidikan dan lain-lain, sama ada dengan hartanya sendiri ataupun dengan harta anak yatim itu dengan cara yang menurut syariat.





🔴 5. KESIMPULAN 





Hikmah pengharaman makan harta anak yatim sewenangnya ialah supaya anak yatim yang lemah mendapat pembelaan dan penjagaan sewajarnya. 





Bayangkan kita ibubapa yang penat bekerja siang malam mencari nafkah untuk anak-anak, bila ditakdirkan meninggal dunia, meninggalkan anak-anak yang masih kecil. Harta titik peluh kita disalah guna oleh orang yang menjaga anak-anak kita, dan anak -anak kecil itu tidak mendapat penjagaan yang sewajarnya. Itulah yang Allah peringatkan kita dalam ayat 9 Surah al-Nisa'. 





Harta anak yatim adalah milik mereka, bukan milik penjaganya. Menguruskan harta anak yatim memerlukan sifat taqwa dan amanah. Jika betul dengan kehendak syariat, penjaganya mendapat pahala dan kedudukan mulia. Tetapi jika makan harta anak yatim secara haram, nerakalah balasannya.





Harta yang haram tidak membawa keberkatan dalam hidup. Disangka mudah dan senang di dunia, tetapi sebenarnya jiwa pelakunya celaru dan hidup tidak ada keberkatan.





Di akhirat nanti, azab yang pedih menantinya.




Friday 30 June 2017

MEMULIAKAN TETAMU : ANTARA SAHIH DAN PALSU

🔴 Soalan :




Assalamualaikum




Mohon penjelasan ustazah tentang kesahihan kisah kelebihan tetamu ini :






1📌Seorang perempuan mengadu kepada Rasulullah s.a.w. tentang perihal suaminya yang suka menjemput tetamu ke rumah. Si isteri sangat penat menghidangkan makanan dan melayan tetamu.






Perempuan tadi pun pulang ke rumah tanpa sebarang jawapan daripada Rasulullah s.a.w.


   


Tidak berapa lama kemudian Rasulullah s.a.w. memberitahu kepada suami perempuan tadi bahawa dia akan ziarah ke rumahnya. Lalu suami tadi pun memberitahu kepada isterinya bahawa pada hari ini kita ada tetamu istimewa yang akan datang. Isterinya bertanya:





"Siapakah tetamu itu?"





Maka dijawab olehnya bahawa tetamu itu adalah Rasulullah s.a.w.. Isteri tadi sangat gembira mendengar berita tersebut. Lalu dia pun menyediakan makanan yang lazat dan sedap-sedap untuk Rasulullah s.a.w.. 





Ketika Rasulullah s.a.w. hendak pulang. Baginda memberitahu kepada suami tadi supaya memberitahu isterinya supaya melihat dipintu ketika baginda keluar.





Kemudian isterinya pun melihat ke pintu semasa Rasulullah s.a.w. keluar.





Dilihatnya binatang-binatang seperti lipan, kala jengking dan segala yang memudaratkan ikut keluar bersama Rasulullah s.a.w.. Beliau sangat terkejut lalu Rasulullah Sallallah 'Alaihi Wasallam berkata kepadanya:





"Demikianlah yang berlaku setiap kali tetamu menziarahi rumah seseorang."





Apabila tetamu kita pulang, akan keluar dari rumah kita segala bentuk bala, kemudaratan, binatang-binatang yang menyakitkan dan penyakit dari rumah kita. 





Rumah yang sentiasa diziarahi tetamu ialah rumah yang disukai oleh Allah s.w.t.. Turunnya rahmat dan barakah dari langit.





قال رسول الله صلى الله عليه وسلم:




📌2" إذا أراد الله بقوم خيراً أهدى لهم هدية. قالوا: وما تلك الهدية؟ قال: الضيف ينزل برزقه، ويرتحل بذنوب أهل البيت "





📌3. فيااحبتي " الضيف دليل الجنة ".





 وقال رسول الله صلى الله عليه وسلم :


📌4. من كان يؤمن بالله واليوم الآخر فليكرم ضيفه ...





Terima kasih.








🔴 Jawapan :




Waalaikumussalam.




1. Menerima dan memuliakan tetamu adalah kebiasaan baik orang Arab, dan ia diteruskan sebagai akhlak mulia dalam Islam setelah kedatangan Nabi Muhammad saw.





2. Malahan, memuliakan tetamu adalah amalan nabi-nabi as terdahulu.





Al-Quran menceritakan dengan jelas bagaimana Nabi Ibrahim as menerima kedatangan tetamu (sebenarnya malaikat yang menyamar berupa manusia). 





Nabi Ibrahim as menghidangkan daging bagi menghormati mereka selaku tetamu. 
















3. Hadith yang sahih juga memberikan panduan kepada kita tentang keutamaan memuliakan tetamu.





Sabda Nabi Muhammad saw :





وَمَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ فَلْيُكْرِمْ ضَيْفَهُ 




Maksudnya :



"Dan sesiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, hendaklah dia muliakan tetamunya."



(Sahih Bukhari, Kitab al-Adab)





4. Dalam banyak perkara agama, kewujudan hadith palsu memberikan impak yang besar kepada umat Islam.





Antara lain, hadith palsu boleh menyebabkan umat Islam :





a. Melakukan amalan yang langsung tidak pernah disyariatkan dalam agama





b. Menyebabkan umat Islam mengharapkan sesuatu yang tidak dijanjikan oleh Allah dan Rasulullah saw, semasa mereka melakukan amalan yang dianjurkan dalam agama. 





c. Menghina dan merendahkan martabat Nabi Muhammad saw dan juga pelaku kebaikan





d. Mengheret umat Islam kepada perbuatan menyebarkan fakta palsu tentang agama, pendustaan terhadap Rasulullah saw yang menyebabkan kemurkaan Allah swt.





e. Meninggalkan pengajian al-Quran dan sunnah dengan disiplin yang benar kerana menganggap 'tiada tawaran menarik' berbanding hadith palsu.





5. Menjawab persoalan yang dikemukakan, kisah yang bertanda 📌1 di atas adalah riwayat palsu disandarkan atas nama Rasulullah saw.





Jika kita perhatikan, walaupun menghormati dan memuliakan tetamu itu adalah amalan yang dianjurkan dalam Islam, namun hadith palsu ini tetap membawa keburukan lain seperti yang dinyatakan dalam perkara 4b - 4e. 





Pembaca hadith palsu tersebut barangkali mengharapkan perkara bahaya dan mudarat dapat keluar bersama tetamu.





Hadith palsu tersebut juga berpotensi merendahkan martabat Nabi Muhammad saw kerana segala perkara yang ditakuti dan tidak elok digambarkan keluar bersama baginda saw!





Malang jika umat Islam bukan sekadar membaca, namun percaya, malah menyebar luaskan riwayat yang disangka hadith nabi ini. 





Paling dibimbangi, riwayat seumpama ini lebih diminati, dianggap lebih menarik, berbanding mengaji al-Quran dan tadabbur maknanya, serta belajar hadith-hadith yang sahih dengan disiplin yang betul.





6. Hadith-hadith yang bertanda 📌2 dan 📌3 juga tidak sahih. Maka, dirasakan tidak perlu kita menterjemahkannya.



Manakala hadith bertanda 📌4 adalah hadith sahih, sepertimana yang telah dinyatakan salam perkara 3 di atas.




Kesimpulan.





Menerima dan memuliakan tetamu besar ertinya dalam agama kita. Melakukannya bererti meneruskan akhlak para nabi, memenuhi tuntutan sunnah Nabi Muhammad saw, melakukan perintah Allah swt dan meraih pahala dan kebaikan yang banyak.





Amalan baik bersumberkan nas al-Quran dan hadith yang sahih ini tidak wajar dicemari dengan kepercayaan dan sebaran hadith palsu. Hadith palsu tidak diperlukan untuk menyokong amalan yang baik, malah perlu dibanteras kerana penyebarannya adalah satu bentuk pendustaan terhadap Rasulullah saw dan agama yang murni.





والله أعلم




 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Powerade Coupons