Sunday 4 December 2016

QUNUT DI LUAR SOLAT?





🔴Soalan :








Assalamualaikum.









Ustazah, saya ingin bertanya tentang Qunut Nazilah. Bolehkah kita membacanya di luar solat?









🔴Jawapan :









Waalaikumussalam.





Apabila dibaca di luar solat, ia TIDAK lagi dinamakan Qunut Nazilah. Qunut  Nazilah disyariatkan dibaca dalam solat FARDHU.









Perbahasan tentang qunut ini agak panjang, namun kita cuba ringkaskan dengan menyentuh perkara asas.







📌1. Ilmu Agama Ada Disiplinnya









🔸Setiap ilmu ada disiplinnya, apatah lagi ilmu agama. 









🔸Apabila kita belajar ilmu hadith contohnya, perkara penting yang mesti kita pelajari ialah istilah-istilah dalam ilmu hadith. Kita mesti tahu apa itu hadith sahih, apa makna hadith thabit, apa itu hadith palsu, apa bahaya dan dosa menyebarkan hadith palsu dan ciri-ciri hadith palsu yang bertebaran dalam buku-buku dan ceramah-ceramah agama.









🔸Demikian juga apabila kita belajar ilmu Fiqh. Antara perkara penting yang dititik beratkan dalam pengajian ilmu fiqh ialah ta'rif ataupun definisi. Ia sangat penting sebelum kita pergi lebih jauh. Sesudah kita faham definisi, kita beralih kepada dalil-dalil al-Quran dan hadith nabi saw yang menjadi punca sesuatu hukum, dan seterusnya, sehinggalah kepada khilaf mu'tabar para ulama' daripada dalil tersebut. 























🔸Dalam pengajian apapun, disiplin ilmu sangat penting. Sejarah merakamkan bahawa disiplin merupakan asas yang membezakan antara ceramah para wu'adh dan qussas dengan majlis ilmu para ulama'. Disiplin juga membantu kita mengenal perbezaan di antara khilaf mu'tabar dengan salah faham nas agama. 









📌2. Apa Itu Qunut dan Qunut Nazilah









🔸Ta'rif QUNUT dari segi BAHASA ada banyak, antaranya ialah doa, diam dan berdiri lama.









Ta'rif ini diambil daripada nas al-Quran dan al-Hadith. Namun ta'rif sebenar yang mesti diambil perhatian ialah ta'rif dari segi istilah.










🔸Ta'rif QUNUT dari segi ISTILAH ialah :





اسم للدعاء في الصلاة في محل مخصوص من القيام





Maksudnya : Qunut adalah nama khas bagi doa yang dilakukan pada posisi khusus, semasa berdiri dalam solat. 








🔸Manakala QUNUT NAZILAH pula ialah qunut dalam solat fardhu pada ketika umat Islam sedang menghadapi bencana.(Seperti diserang waba' penyakit, dizalimi musuh dan sebagainya.)









🔸Nabi saw mengamalkan qunut biasa dalam solat Witir sama ada dalam Ramadhan dan juga di luar Ramadhan. 









Nabi saw TIDAK mengamalkan qunut dalam solat sunat lain, selain witir.









🔸Nabi saw juga berqunut ketika umat Islam dalam bahaya, dinamakan sebagai Qunut Nazilah/Nawazil. Apabila keadaan sudah reda, qunut nazilah dihentikan. 









🔸Qunut Nazilah amalan Nabi Muhammad saw dibaca dalam semua solat fardhu iaitu dalam solat Subuh, Zuhur, Asar, Maghrib dan Isya'.









📌3. Qunut Nazilah Dalam Solat Fardhu 









🔸Daripada ta'rif dan hadith-hadith yang menjadi dalil pensyariatan Qunut Nazilah, maka ulama' memutuskan bahawa Qunut Nazilah/Nawazil itu dibaca dalam solat FARDHU, kerana itulah amalan Rasulullah saw yang mesti diikuti.   Qunut Nazilah itu dibaca dalam solat fardhu, ketika bangun dari ruku' sebelum sujud. 





















🔸Sabda Nabi Muhammad saw :








صلوا كما رأيتموني أصلي





Maksudnya : "Solatlah sebagaimana kalian lihat aku solat."




(Sahih Bukhari, Kitab al-Adhan)









📌4. Kesimpulan 









🔸Menjawab soalan puan, bolehkah membaca Qunut Nazilah di luar solat, maka kita ringkaskan seperti berikut:









Sebagaimana Doa Iftitah adalah doa khusus dibaca dalam solat, begitulah juga Qunut Nazilah, ia doa khusus dibaca dalam semua solat FARDHU pada ketika tertentu.









Apabila kita menuturkan bait-bait Doa Iftitah di luar solat, maka sudah tentu namanya bukan lagi Doa Iftitah, sebaliknya doa biasa.









Begitulah juga jika kita menuturkan bait-bait doa Qunut Nazilah di luar solat, maka ia sudah tidak jadi qunut nazilah, kerana qunut itu sendiri mesti dilakukan dalam solat. 









Apabila kita selesai membaca bait doa Qunut Nazilah di luar solat, kita sebenarnya belum lagi mengamalkan Qunut Nazilah yang diajarkan oleh Nabi Muhammad saw. 









Untuk mendapatkan pahala ittiba', diterima amalan, kesan maksimum dan penghayatan yang sepenuhnya, kita perlu mengikut cara yang diajarkan oleh baginda saw. 









Dalam suasana umat Islam Rohingya ditekan dan dizalimi, beberapa masjid di Kelantan, Perlis dan lain-lain contohnya, telah mula memperkenalkan bacaan Qunut Nazilah dalam setiap solat fardhu 5 kali sehari semalam. Usaha memperkenalkan cara melaksanakan Qunut Nazilah yang betul adalah penting.









Puan boleh membaca Qunut Nazilah dalam solat fardhu di rumah, sama ada solat fardhu secara berjemaah ataupun solat fardhu bersendirian. 









Jika puan berpeluang mengikuti solat berjemaah di masjid, dengan memenuhi syarat-syaratnya, itu lebih baik.






والله أعلم


📌Kelas Tafaqquh : Fiqh al-Sunnah


📌Usrah Fiqh al-Awlawiyyat



Monday 21 November 2016

WUDHU' ORANG ISTIHADAH (MUSTAHADAH)


Assalamualaikum.





Adakah orang daimul hadath boleh solat jama' Zuhur dan Asar dengan satu wudhu'?





Dari segi niat, adakah orang daimul hadath perlu niat untuk mengangkat hadath kecil, ataupun perlu niat berwudhu' untuk mengharuskan solat?





Mohon pencerahan.







Waalaikumussalam.





Ada dua masalah berbeza di sini. Niat wudhu' dan wudhu' orang daimul hadath. 





🔴1. Niat Wudhu'





🔸Orang yang sudah ada masalah, sepatutnya diberi pandangan yang mudah dalam fiqh. Apatah lagi dalam bab niat wudhu'.





Niat sebenarnya sangat mudah, sehingga tiada perincian khusus tentang niat daripada Nabi saw. Maka, Fiqh Sunnah membantu dalam masalah ini.





🔸Syeikh Abdul Rahman Nasir al-Sa'di, pengarang kitab Bahjah Qulub al-Abrar membahagikan niat kepada dua. Pertama ialah نية العمل iaitu niat amalan dan kedua ialah نية المعمول له iaitu niat amalan itu dibuat kerana siapa.





'Niat amalan' ialah menetapkan dan menghadirkan tujuan sesuatu amalan itu dilakukan di dalam jiwa kita, untuk mendekatkan diri kepada Allah. Apabila kita ada niat hendak berwudhu', maka membasuh muka (dan anggota lain) tidak lagi menjadi adat membasuh muka seperti biasa. Bukan kerana hendak sejukkan anggota badan, bukan juga kerana hendak mencuci kotoran biasa. Begitulah seterusnya. Niat amalan akan membezakan amalan ibadah dengan amalan adat. 





Niat المعمول له pula menentukan sama ada amalan kita diterima di sisiNya atauoun tidak. Contohnya, jika berwudhu' dengan niat amalan kerana Allah, tetapi sebenarnya hendak riya', maka wudhu' itu sah tetapi amalan itu tidak diterima kerana tidak ikhlas kepada Allah.





Niat sebenarnya, seperti yang kita sebutkan tadi, sangat mudah. Ia tidak disyariatkan supaya dilafazkan. Begitulah dengan niat untuk berwudhu', ia sangat mudah.





🔸Khasiat wudhu' pula ialah mengangkat hadath kecil. 





Apabila kita niat hendak berwudhu', dan membasuh anggota wudhu', maka terangkatlah hadath kecil, biar berapa banyak pun penyebabnya. Wudhu' membolehkan segala jenis ibadat fardhu dan sunat, sehinggalah wudhu' itu batal. 





🔴2. Wudhu' orang daimul hadath





Orang istihadah, orang menghadapi urinary incontinence dan seumpamanya, ringkasnya ada 2 pandangan ulama' mu'tabarun. 





Ringkasnya begini :





1. Pandangan pertama :





Org istihadah dan urinary incontinence adalah org daimul hadath. Maka perlu berwudhu' setiap kali masuk waktu solat. 





Satu wudhu' valid untuk satu waktu sahaja.





Contohnya, bila masuk waktu Zuhur, dia berwudhu'. Beberapa solat fardhu (solat Jama' dan Qasar sebagai contoh) dan beberapa solat sunat sekalipun boleh dikerjakan dengan dengan satu wudhu' itu, sehinggalah masuk waktu Asar. Berwudhu' lagi untuk menunaikan solat. 





Antara ulama' yang berpandangan begini ialah Imam Abu Hanifah, Imam Al-Syafi'i dan Imam Ahmad.





2. Pandangan kedua :





Orang istihadah dan menghadapi masalah urinary incontinence bukan orang yang sentiasa dalam keadaan berhadath kecil. 





Darah istihadah dan air kecil yang sentiasa keluar itu dikira penyakit, dan tidak menyebabkan hadath kecil. Mereka sama seperti orang lain, wudhu' mereka hanya terbatal jika ada penyebab lain seperti buang air seperti biasa ataupun keluar angin. 





Bagi ulama' yang berpandangan begini, memperbaharui wudhu' setiap waktu bagi mereka yang bermasalah tersebut hukumnya sunat, bukan wajib.





Antara ulama' yang berpandangan begini ialah Imam Malik dan Imam Bukhari.





Ringkasan :





Kes puan sebenarnya tidak rumit. Puan boleh berniat hendak berwudhu', maka terangkatlah hadath kecil. Wudhu' itu membolehkan puan menjalankan ibadah fardhu dan sunat sebanyak yang puan ingin kerjakan. 





Jika puan mengambil pandangan pertama, itulah yang terbaik dan lebih berhati-hati.





Namun jika puan dalam kategori orang yang turut menghadapi penyakit was-was, sering mengambil masa yang terlalu lama semasa bersuci, saya sarankan puan mengambil kira pandangan kedua. 





والله أعلم 








Bacaan ringkas lanjut :


Al-Mufassal fi Ahkam al-Mar'ah


Fiqh Sunnah Sayyid Sabiq


Sahih Fiqh Sunnah


Bahjah Qulub al-Abrar wa Qurrah 'Uyun al-Akhyar




Friday 7 October 2016

HUTANG SOLAT DHUHA?



Assalamualaikum.









Soalan :





Benarkah kita ada hutang solat Dhuha yang perlu dibayar? Saya acapkali meninggalkan solat Dhuha, adakah saya dikira berhutang dengan Allah swt?



Adakah saya dikira terlepas daripada hutang Dhuha dengan melakukan amar ma'ruf, iaitu dengan mengingatkan orang lain tentang hutang Solat Dhuha?





JAWAPAN :





Adalah sunat mengerjakan solat Dhuha, dan menggalakkan orang melakukannya termasuk dalam perkara الأمر بالمعروف. Amar ma'ruf pula dikira sebagai salah satu bentuk sedekah.









Namun, orang yang tidak menunaikan Solat Sunat Dhuha tidaklah dikira berhutang dengan Allah swt. 











Kita perlu merujuk syarah hadith yang mu'tabar untuk memahami hadith dengan betul. Dalam bab ini, ada beberapa hadith yang berkaitan antara satu sama lain. Antaranya ialah :









Pertama :










.فِى الإِنْسَانِ ثَلاَثُمِائَةٍ وَسِتُّونَ مَفْصِلاً فَعَلَيْهِ أَنْ يَتَصَدَّقَ عَنْ كُلِّ مَفْصِلٍ مِنْهُ بِصَدَقَةٍ 


قَالُوا وَمَنْ يُطِيقُ ذَلِكَ يَا نَبِىَّ اللَّهِ قَالَ : النُّخَاعَةُ فِى الْمَسْجِدِ تَدْفِنُهَا وَالشَّىْءُ تُنَحِّيهِ عَنِ الطَّرِيقِ فَإِنْ لَمْ تَجِدْ فَرَكْعَتَا الضُّحَى تُجْزِئُكَ










Maksudnya :



"Pada seorang insan ada 360 ruas tulang. Setiap orang perlu bersedekah bagi setiap ruas tulangnya.” Para sahabat bertanya: “Siapakah yang mampu melakukan hal itu, wahai Nabi Allah?” Beliau bersabda: “Dengan menutup ludah kahak di masjid dengan tanah, dan membuang sesuatu dari jalan. Jika saudara tidak mampu melakukannya, maka dua rakaat Dhuha cukup bagi saudara.” 









(Sunan Abi Daud, Abwab al-Naum, Bab Membuang Gangguan Di Jalanan)









Kedua :









: وعن أبي ذر -رضي الله عنه- عن النبي صلى الله عليه وسلم أنه قال

 يصبح على كل سلامى من أحدكم صدقة، فكل تسبيحة صدقة، وكل تحميدة صدقة، وكل تهليلة صدقة، وأمر بالمعروف صدقة، ونهي عن المنكر صدقة. يجزئ من ذلك ركعتان يركعهما من الضحى







Maksudnya :





"Setiap pagi kalian perlu bersedekah bagi setiap sendi tulang. Setiap tasbih adalah sedekah, setiap tahmid adalah sedekah, setiap tahlil adalah sedekah, amar ma'ruf adalah sedekah, dan nahi munkar juga adalah sedekah. Solat Dhuha dua rakaat menyamai semuanya itu."






(Sahih Muslim, Kitab Solah al-Musafirin wa Qasriha, Bab Sunat Solat Dhuha Dan Galakan Supaya Selalu Mengamalkannya)









Ketiga :












   :  عن عائشة رضي الله عنها- قالت : قال رسول الله صلى الله عليه وسلم


خلق كل إنسان من بني آدم على ستين وثلاثمائة مفصل، فمن كبر الله وحمد الله وهلل الله وسبح الله واستغفر الله وعزل حجراً عن طريق الناس أو شوكة أو عظماً عن طريق الناس، وأمر بمعروف أو نهى عن منكر عدد تلك الستين وثلاثمائة مفصل فإنه يمشي يومئذ وقد زحزح نفسه عن النار





Maksudnya :



"Setiap insan dicipta dengan memiliki 360 sendi tulang. Sesiapa yang membesarkan Allah, memuji Allah, menyatakan tiara Tuhan yang laka disembah melainkan Allah, mensucikan Allah, memohon keampunan Allah, membuang batu, duri atau tulang yang mengganggu jalan orang ramai, amar ma'ruf dan nahi munkar sebanyak bilangan 360 sendi tulang itu, maka dia berjalan pada hari itu dalam keadaan dijauhkan daripada ancaman api neraka. "




(Sahih Muslim, Kitab Zakat, Bab Keterangan Tentang Terma Sedekah Merujuk Kepada Semua Jenis Perbuatan Baik)









Dalam pengajian hadith, hadith-hadith dengan satu tema dikumpulkan oleh para ulama' untuk pemahaman yang menyeluruh tentang sesuatu konsep secara benar dan jelas. Selain itu, ulama' juga memadankan hadith-hadith yang zahirnya kelihatan bertentangan antara satu dengan yang lain.






Ibn Taymiyyah dalam Majmu' Fatawanya menghuraikan perkara yang berkaitan ini dengan jelas.






Mulla 'Ali al-Qari, dalam kitabnya Mirqah al-Mafatih mengatakan bahawa perintah supaya bersedekah bagi setiap ruas tulang (dalam hadith pertama) itu mengandungi makna penekanan dan perlu, bukan perintah wajib syar'i.











Ringkasnya :









1. Nikmat tulang dan sendi yang Allah berikan kepada kita perlu kita syukuri. Caranya ialah dengan melakukan amalan soleh, termasuklah membuang gangguan di jalanan, berzikir dengan tasbih, tahmid, tahlil dan takbir, membaca al-Quran, menuntut ilmu, melakukan amar ma'ruf dan nahi munkar. Jika tidak mampu melakukan amalan-amalan lain, solat Dhuha boleh menampung kekurangan itu.









2. Orang yang tidak menunaikan solat Dhuha tidak dikira berhutang dengan Allah, sebab solat Dhuha adalah solat sunat, bukan solat wajib.









3. Sangat wajar kita selalu menunaikan solat Dhuha (sendirian) kerana ia disebut khusus oleh Nabi saw, sebagai salah satu cara untuk menyatakan terima kasih kita kepada Allah di atas kurniaan 360 ruas tulang. Kerana tulang dan sendi kurniaan Allah itulah kita dapat bergerak dan terus hidup di dunia dengan baik.









Ramai ulama' yang mengatakan solat Dhuha adalah sunat muakkadah. Maknanya, kedudukannya menyamai solat Witir dan solat Rawatib (solat sunat sebelum dan selepas solat fardhu yang tertentu).









4. Amar ma'ruf dan nahi mungkar pula berada pada konsep yang tersendiri pula secara khusus. Melalukan amar ma'ruf dan nahi munkar perlu di awali dengan ilmu.









5. Jelas daripada hadith, solat Dhuha adalah amalan sunat tanda kesyukuran dan terhutang budi kepada Allah atas nikmat yang tidak terkira. Ia bukan amalan khusus untuk meluaskan rezeki ataupun mengurangkan hutang. Walau bagaimanapun, tidak salah memohon kedua perkara itu selepas solat Dhuha. 









6. Dalam usaha mengelakkan daripada bebanan hutang, sebaiknya kita mengamalkan doa ma'thur yang diajarkan oleh Nabi Muhammad saw. 









ِاللّهُمّ إني أعوذ بك من الهَمِّ والحَزَن والعَجْزِ والكَسَلِ والجُبن والبُخْلِ، وضَلَعِ الدَيْنِ وَقَهْرِ الرِجَال






Maksudnya :






"Ya Allah, aku mohon perlindunganMu daripada bimbang dan sedih, lemah dan malas, pengecut dan bakhil, belitan hutang dan tekanan manusia."





(Sahih Bukhari, Kitab Doa-Doa)









والله أعلم


Monday 5 September 2016

BOLEHKAH MELAKUKAN KORBAN UNTUK ORANG YANG SUDAH MENINGGAL DUNIA?


BOLEHKAH MELAKUKAN KORBAN UNTUK ORANG YANG SUDAH MENINGGAL DUNIA?






Jawapan :





1. Asas dalam perkara ini ialah ibadat korban hukumnya sunat muakkad(ah) bagi orang masih hidup, bukan orang yang sudah meninggal dunia. 





2. Ada dua perkara yg berbeza dalam hal ini.







a.  Adakah boleh kita orang hidup buat korban bagi pihak si mati. (Seperti buatkan ibadat haji bagi pihak si mati).





b.  Adakah boleh kita yang hidup buat ibadat korban, tetapi niatkan pahala itu untuk ahli keluarga yang masih hidup dan yang sudah meninggal dunia.





Bagi bentuk yang pertama, jikalau dibuat juga oleh warisnya yang masih hidup, Mazhab Syafii kata tidak sah, kecuali jika si mati pernah berwasiat menyuruh demikian. Mazhab Maliki pula mengatakan makruh.





Bentuk kedua lebih menepati sunnah, iaitu tidak perlu dikhususkan korban untuk simati. Juga lebih selamat dari segi menjaga keihklasan niat.


.


Buat korban satu, niat untuk ahli keluarga sekali, termasuklah yang masih hidup dan yang sudah meninggal dunia. Seperti yang disebut dalam hadith, Nabi Muhammad saw berkorban dengan lafaz :





" بِاسْمِ اللَّهِ اللَّهُمَّ تَقَبَّلْ مِنْ مُحَمَّدٍ وَآلِ مُحَمَّدٍ وَمِنْ أُمَّةِ مُحَمَّدٍ " 





"Bismillah. Ya Allah, terimalah ibadah korban ini daripada Muhammad, dari keluarga. Muhammad dan dari ummat Muhammad."


(Sahih Muslim, Kitab Korban.)





Maksudnya, di atas satu nama kita yang kita daftar/ maklumkan kepada pihak pengurusan korban, kita boleh niatkan sekali untuk ahli keluarga termasuk si mati. Tidak perlu buat atas dua nama, dan tidak perlu buat bahagian khas untuk ahli keluarga/si mati itu. (Sebab kalau kita buat begitu, ia termasuk dlm bentuk pertama). Mereka (pihak pengurusan) tidak tahu nama ahli keluarga kita itu pun tidak mengapa, sebab yg penting ialah niat kita kepada Allah. Kita niat : Bismillah. Ya Allah, terimalah ibadat korban ini dari (nama kita) dan dari  ahli keluarga kita) - jika kita nak khususkan kpd ahli keluarga yang sudah meninggal dunia, bolehlah sebut (dalam niat) namanya. 





3. Maksud amalan seperti ini ialah seorang sahaja yang memiliki bahagian korban, tetapi pahalanya dikongsi dengan ataupun diperolehi juga oleh ahli keluarga yang layak (ataupun sesiapa yang dikehendakinya), walau berapa pun jumlah bilangan mereka, yang masih hidup dan yang sudah meninggal. Bukan bermaksud satu bahagian korban itu dimiliki oleh 2, 3, atau 10 nama ahli keluarga (misalnya). 





4. Jikalau hendak lebihkan pahala dan berkemampuan, ambil lebih bahagian, tapi tetap atas satu nama kita/ahli keluarga yg masih hidup.





5. Mengapa begini?


Sebab hukum sunat muakkad berkorban itu dikenakan ke atas orang yang masih hidup, bukan yang sudah meninggal dunia. 





والله اعلم





Bacaan ringkas dan rujukan lanjut :





http://www.saaid.net/mktarat/hajj/58.htm





http://www.islamweb.net/ahajj/index.php?page=ShowFatwa&Option=FatwaId&lang=A&Id=58590





http://www.islamweb.net/ahajj/index.php?page=ShowFatwa&lang=A&Id=143055&Option=FatwaId





http://www.islamweb.net/ahajj/index.php?page=ShowFatwa&lang=A&Id=224812&Option=FatwaId





والله اعلم


Monday 18 July 2016

MENCARI KEBENARAN DALAM PERSELISIHAN


Ada beberapa syarat utama jikalau kita serius hendak membuat pencarian ilmu dan berbahas secara ilmiyyah dalam mencari kebenaran.




1. Syarat pertama, amalkan doa yang diajarkan oleh Nabi Muhammad saw :















Dibaca dan dipohon kepada ALLAH sebagai doa iftitah dalam rakaat pertama solat pembukaan qiyamullail.







Kita guru agama yang diberi amanah oleh Allah untuk menyampaikan kebenaran, sama ada bergaji ataupun tidak. Perselisihan dalam umat Islam ini banyak, maka jalan yang lurus itu mesti kita selalu pohon daripadaNya. 





2. Membaca isti'adhah setiap kali hendak membaca ayat al-Quran, supaya kita tidak diganggu oleh syaitan yang mungkin memesongkan kita kepada pemahaman yang tidak benar, ataupun melalaikan kita daripada maknanya yang benar.





3. Menguasai disiplin ilmu asas dengan baik. 





Antaranya tahu apa maksud ahl sunnah wal jamaah dan sejarahnya secara ilmiyyah, kenal siapa ulama' mu'tabar dan kenal kitab-kitab yang mu'tabar. Tahu dan memahami usul tafsir, usul hadith, usul fiqh. 





Paling penting tahu tafsir al-Quran yang mu'tabar dan syuruh hadith yang mu'tabar. Semua cabang ilmu yang lain datang daripada dua sumber ini, iaitu al-Quran dan al-Hadith. 





Dengan menguasai disiplin ilmu al-Quran dan al-Hadith dan ilmu asas yang lain, kita in syaa Allah mudah memahami isu-isu khilafiyyah dan bid'ah dan boleh membezakan antara keduanya, serta membantu kita memilih pandangan terbaik dalam masalah fiqh. 




Kita juga akan dapat mengesan jika sesuatu fahaman itu bercanggah dengan ajaran al-Quran dan sunnah nabi saw.





Kita juga boleh mengesan, sama ada sesuatu amalan yang diamalkan  memang dianjurkan dalam Islam ataupun tidak.





Antara hadith sahih dengan hadith daif, utamakan hadith sahih. Dalam banyak hadith-hadith sahih, yang tertinggi ialah hadith mutawatir. 





Hadith palsu haram dicipta, haram disebarkan dan haram dijadikan hujah. Sabda Nabi Muhammad saw : 





ومن كذب عليّ متعمدا فليتبوأ مقعده من النار





Maksudnya :


"Dan sesiapa yang berdusta atas namaku dengan sengaja, biar dia bersedia mengambil tempat dalam neraka."


(Sahih Bukhari, Kitab Ahadith al-Anbiya' , Bab Ma Dhukira min Bani Israil.) Hadith ini hadith mutawatir lafzi.





Dengan mengetahui kedudukan hadith, kita menjadi berawas jika sesuatu aliran berusaha mempertahankan hadith palsu, ataupun sangat daif.





Syarat ketiga ini bunyinya mudah, tetapi ia memerlukan minat yang mendalam dan mujahadah yang berpanjangan.





4. Memahami bahawa ilmu agama itu milik Allah, diletakkan dalam sistem yang kemas dan mempunyai maqasid yang tertentu. Tidak ada seorang pun boleh mengubah, menambahi, mengurangi dan sebagainya.





Allah mengutuskan Nabi Muhammad saw membawa Islam sebagai rahmat untuk seluruh alam. Allah memelihara dua sumber utama iaitu al-Quran dan al-Hadith kerana Allah mahu memelihara kemurnian agama Islam. Tidak seperti agama-agama lain yang telah dubah dan ditokok tambah oleh ahli agama mereka sendiri.





5. Cintakan dan utamakan prinsip dalam al-Quran dan amalan para sahabat Nabi saw yang jelas dalam hadith-hadith nabi saw yang sahih. Kerana merekalah generasi terbaik dalam menterjemahkan Islam dalam kehidupan praktikal.





6. Jadikan IMAN kepada Allah dan Rasul sebagai penyebab kita mencari ilmu. Mencari ilmu kerana ingin mematuhi perintah Allah dengan cara terbaik, sebagaimana yang diajarkan oleh Rasulullah saw kepada para sahabatnya.





7  Paling penting, jangan ada kepentingan peribadi, kepentingan keluarga, kepentingan jawatan, kepentingan harta benda, kepentingan nama ataupun kepentingan kedudukan dalam mencari kebenaran. 





احفظ الله يحفظك


احفظ الله ، تجده تجاهك








Saturday 16 July 2016

BAHAYA HADITH PALSU

KERTAS KERJA SEMINAR CELIK HADITH


27 MEI 2016








Berikut adalah Kertas Kerja - Bahaya Hadith Palsu Terhadap Akidah, Syariat Dan Akhlak yang telah dibentangkan pada 27 Mei 2016 yang lalu.





https://drive.google.com/file/d/0B4Y2iv5Egk1tdUR5bzV4WGRCTmc/view?usp=sharing

Saturday 25 June 2016

PERLUKAH BERDIRI DAN TAKBIR UNTUK SUJUD TILAWAH DI LUAR SOLAT?










Soalan :








Dalam bulan Ramadhan, kita banyak membaca al-Quran. Apabila kita sampai kepada ayat al-sajdah, kita disunatkan sujud tilawah. Demikian juga dalam bulan-bulan lain apabila kita membaca al-Quran dan sampai kepada ayat al-sajdah.













1. Adakah kita perlu berdiri seperti hendak solat dan mengangkat takbir sebelum sujud?









Ataupun kita boleh sujud terus tanpa mengangkat tangan dan menyebut الله أكبر sebelum sujud?









2. Adakah kita perlu menutup aurat sepenuhnya seperti dalam solat untuk melakukan sujud tilawah. Adakah wanita berpakaian biasa tanpa telekung boleh sujud tilawah?









Jawapan :









Para ulama' mu'tabar membahaskan secara panjang lebar tentang persoalan Sujud Tilawah. Imam Bukhari membuat bab khusus dalam Sahih Bukhari iaitu Abwab Sujud al-Quran.
















🔴 Sujud tilawah ialah sujud yang dilakukan dengan sebab kita membaca ataupun mendengar satu ayat daripada ayat-ayat sujud dalam al-Quran.



🔴 Sujud tilawah ada kelebihannya yang tersendiri. Kelebihan ini dinyatakan oleh Nabi Muhammad saw dalam sebuah hadith yang sahih yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah.














Maksudnya : 



"Apabila seorang insan membaca ayat al-sajdah lalu sujud, syaitan lari sambil menangis dan berkata, 'Celaka sungguh. Dia diperintahkan sujud lalu dia sujud, maka baginya syurga. Aku pula diperintahkan sujud tetapi aku ingkar, maka bagiku neraka."



(Sahib Muslim, Kitab al-Iman, Bab Bayan Itlaq Ism al-Kufr 'ala Man Taraka al-Solah)



Selain kelebihan khusus, sujud tilawah sangat digalakkan untuk mendapatkan fadilat amalan sujud secara umum yang boleh meningkatkan darjat dan menghapuskan dosa. 






🔴 Hukum Sujud Tilawah



Dari segi hukum sujud tilawah, sebenarnya terdapat perbezaan pandangan di kalangan para ulama'.









1. Wajib.









Sebahagian ulama' berpandangan bahawa apabila kita sampai kepada ayat al-sajdah, kita wajib sujud tilawah. Antara ulama' yang berpandangan sujud tilawah adalah wajib ialah ulama' mazhab al-Thauri, Abu Hanifah, dan Ibn Taymiyyah.









2. Sunat









Majoriti ulama' berpandangan bahawa sujud tilawah adalah sunat, bukan wajib. Ini adalah pandangan mazhab Imam Malik, al-Syafi'i, al-Auza'i, Daud dan Ibn Hazm. Ia juga pandangan para sahabat seperti Umar al-Khattab, Salman, dan Ibn Abbas.









Walaupun kita sendiri mengambil pandangan bahawa Sujud Tilawah itu hukumnya sunat, kita tetap menghormati para ulama' yang mengatakan ia wajib. Paling kurang ia menunjukkan besar kedudukan sujud tilawah itu dalam Islam.









Jikalau tiada apa-apa halangan, sebaiknya kita tidak tinggalkan sujud tilawah. Selain mendapat pahala, sujud adalah amalan yang paling mendekatkan kita kepada Allah swt. 









Lebih-lebih lagi jika kita berada dalam bulan Ramadhan.









🔴 Berapa kali sujud Tilawah?









Para ulama' bersepakat mengatakan bahawa Sujud Tilawah itu sekali sujud sahaja, seperti sujud syukur. Ia tidak seperti Sujud Sahwi, di mana Sujud Sahwi perlu dilakukan dengan dua kali sujud.









🔴 Perlukah mengangkat takbir untuk Sujud Tilawah?









a. Takbiratul ihram. Tidak disyariatkan mengangkat takbiratul ihram untuk sujud tilawah.









Takbiratul ihram tidak disyariatkan takbir bagi melakukan sujud tilawah, begitu juga salam, kerana ia sujud, bukan solat. Boleh terus sujud tanpa mengangkat takbiratul ihram. Antara ulama' yang berpandangan tidak perlu takbiratul ihram sebelum Sujud Tilawah ialah Syeikhul Islam Ibn Taymiyyah.









b. Takbiratul intiqal. Disyariatkan takbir al-intiqal untuk sujud tilawah iaitu dengan bertakbir tanpa mengangkat tangan.









Sebahagian ulama' mengatakan disyariatkan bertakbir sebelum melakukan sujud tilawah. Takbir ini bukan takbiratul ihram, tetapi takbiratul intiqal, iaitu takbir perpindahan antara satu perbuatan dengan perbuatan yang lain. 














🔴 Perlukah berdiri (qiyam) dahulu sebelum sujud tilawah?









Perlukah bangun berdiri dahulu jika kita sedang membaca al-Quran sambil duduk, ataupun boleh terus bertakbir dan terus sujud tanpa bangun berdiri?









Cara yang paling afdal ialah berdiri dahulu sebelum sujud tilawah. Ulama' yang berpandangan lebih afdal berdiri dahulu antaranya ialah ulama' mazhab Hanbali, salah satu pandangan dalam mazhab Syafi'i dan Ibn Taymiyyah.









Mereka mengatakan lebih afdal bangun dahulu berdasarkan ayat :
















Kata mereka, kerana خرور dalam ayat ini bermakna rebah tunduk sujud daripada keadaan berdiri. Oleh yang demikian, sebaik-baiknya berdiri sebelum sujud tilawah.









Walau bagaimanapun, para ulama mazhab Syafii mengatakan tiada dalil khusus yang menunjukkan bahawa disyariatkan berdiri dahulu sebelum sujud tilawah di luar solat. Oleh yang demikian, tidak mengapa jika kita membaca al-Quran sambil duduk, kita terus sujud tanpa berdiri terlebih dahulu.









🔴Hukum mengadap kiblat, suci daripada hadath dan menutup aurat ketika sujud tilawah.









Para ulama' berbeza pandangan dari segi kedudukan sujud tilawah itu sendiri, sama ada ia dikira sebagai solat ataupun tidak. Demikian juga dengan sujud syukur.









Para ulama' yang mengatakan sujud tilawah adalah sama seperti solat menjadikan mengadap kiblat, suci daripada hadath dan menutup aurat sebagai syarat sahnya sujud tilawah, sebagaimana wajibnya perkara-perkara itu dalam solat. Jumhur fuqaha' berpandangan begini.









Manakala ulama' Zahiriyyah mengatakan sujud tilawah bukan solat. Oleh yang demikian mereka tidak mensyaratkan suci daripada hadath untuk mengerjakan sujud tilawah. Antara ulama' yang berpandangan begini ialah Ibn Hazm, Ibn Taymiyyah, Imam Bukhari dan Imam al-Syaukani.

























Menurut Imam al-Syaukani, hadith-hadith sujud tilawah tidak menunjukkan perlunya orang yang sujud tilawah itu berwudhu'. Pernah orang datang sujud bersama Nabi Muhammad saw dalam majlis tilawah baginda, dan tidak pernah dinukilkan bahawa baginda menyuruh sesiapapun berwudu' terlebih dahulu, jauh sekali jika hendak mengatakan mereka yang hadir itu semuanya berwudhu'. 









Pernah juga orang musyrikun turut sujud bersama Nabi Muhammad saw, sedangkan mereka itu tidak sah (kalaupun) berwudhu'. Imam Bukhari meriwayatkan secara ta'liq bahawa Abdullah bin Umar pernah sujud tilawah tanpa berwudhu'... (Nail al-Awtar, j 4, hlm 24)














🔴 KESIMPULAN CARA MELAKUKAN SUJUD TILAWAH










1. Sebaiknya sujud tilawah dilakukan dalam keadaan berwudhu'. Ketika hendak sujud elok bangun berdiri terlebih dahulu, bertakbir (sebut الله اكبر), lalu sujud dan membaca bacaan biasa yang dibaca semasa sujud dalam solat.











Boleh juga membaca zikir berikut :


















2. Tidak perlu memberi salam seusai sujud tilawah.






3. Walau bagaimanapun, sekiranya tidak ada wudhu', janganlah menjadikannya ia sebagai suatu halangan untuk melakukan sujud tilawah kerana ramai juga ulama' yang berpandangan bahawa sujud tilawah boleh dilakukan tanpa wudhu'.  



Pandangan ini sangat sesuai digunakan oleh mereka yang menghadapi masalah مدافعة الحدث, iaitu selalu berhadath kecil.









4. Sujud tilawah juga tetap boleh dilakukan tanpa bangun berdiri terlebih dahulu.









5. Adapun menutup aurat, tutuplah aurat sebaik mungkin ketika melakukan sujud tilawah. Tidak semestinya bertelekung solat, memakai pakaian harian biasa yang menutup aurat pun sudah memadai untuk melakukan sujud tilawah. 









والله أعلم







Rujukan ringkas:









1. Al-Mufassal fi Ahkam al-Mar'ah wa al-Bayt al-Muslim, J1.

2. Sahih Fiqh Sunnah, J1.


3. Nayl al-Awtar, J4.





 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Powerade Coupons