Assalamualaikum.
Adakah orang daimul hadath boleh solat jama' Zuhur dan Asar dengan satu wudhu'?
Dari segi niat, adakah orang daimul hadath perlu niat untuk mengangkat hadath kecil, ataupun perlu niat berwudhu' untuk mengharuskan solat?
Mohon pencerahan.
Waalaikumussalam.
Ada dua masalah berbeza di sini. Niat wudhu' dan wudhu' orang daimul hadath.
🔴1. Niat Wudhu'
🔸Orang yang sudah ada masalah, sepatutnya diberi pandangan yang mudah dalam fiqh. Apatah lagi dalam bab niat wudhu'.
Niat sebenarnya sangat mudah, sehingga tiada perincian khusus tentang niat daripada Nabi saw. Maka, Fiqh Sunnah membantu dalam masalah ini.
🔸Syeikh Abdul Rahman Nasir al-Sa'di, pengarang kitab Bahjah Qulub al-Abrar membahagikan niat kepada dua. Pertama ialah نية العمل iaitu niat amalan dan kedua ialah نية المعمول له iaitu niat amalan itu dibuat kerana siapa.
'Niat amalan' ialah menetapkan dan menghadirkan tujuan sesuatu amalan itu dilakukan di dalam jiwa kita, untuk mendekatkan diri kepada Allah. Apabila kita ada niat hendak berwudhu', maka membasuh muka (dan anggota lain) tidak lagi menjadi adat membasuh muka seperti biasa. Bukan kerana hendak sejukkan anggota badan, bukan juga kerana hendak mencuci kotoran biasa. Begitulah seterusnya. Niat amalan akan membezakan amalan ibadah dengan amalan adat.
Niat المعمول له pula menentukan sama ada amalan kita diterima di sisiNya atauoun tidak. Contohnya, jika berwudhu' dengan niat amalan kerana Allah, tetapi sebenarnya hendak riya', maka wudhu' itu sah tetapi amalan itu tidak diterima kerana tidak ikhlas kepada Allah.
Niat sebenarnya, seperti yang kita sebutkan tadi, sangat mudah. Ia tidak disyariatkan supaya dilafazkan. Begitulah dengan niat untuk berwudhu', ia sangat mudah.
🔸Khasiat wudhu' pula ialah mengangkat hadath kecil.
Apabila kita niat hendak berwudhu', dan membasuh anggota wudhu', maka terangkatlah hadath kecil, biar berapa banyak pun penyebabnya. Wudhu' membolehkan segala jenis ibadat fardhu dan sunat, sehinggalah wudhu' itu batal.
🔴2. Wudhu' orang daimul hadath
Orang istihadah, orang menghadapi urinary incontinence dan seumpamanya, ringkasnya ada 2 pandangan ulama' mu'tabarun.
Ringkasnya begini :
1. Pandangan pertama :
Org istihadah dan urinary incontinence adalah org daimul hadath. Maka perlu berwudhu' setiap kali masuk waktu solat.
Satu wudhu' valid untuk satu waktu sahaja.
Contohnya, bila masuk waktu Zuhur, dia berwudhu'. Beberapa solat fardhu (solat Jama' dan Qasar sebagai contoh) dan beberapa solat sunat sekalipun boleh dikerjakan dengan dengan satu wudhu' itu, sehinggalah masuk waktu Asar. Berwudhu' lagi untuk menunaikan solat.
Antara ulama' yang berpandangan begini ialah Imam Abu Hanifah, Imam Al-Syafi'i dan Imam Ahmad.
2. Pandangan kedua :
Orang istihadah dan menghadapi masalah urinary incontinence bukan orang yang sentiasa dalam keadaan berhadath kecil.
Darah istihadah dan air kecil yang sentiasa keluar itu dikira penyakit, dan tidak menyebabkan hadath kecil. Mereka sama seperti orang lain, wudhu' mereka hanya terbatal jika ada penyebab lain seperti buang air seperti biasa ataupun keluar angin.
Bagi ulama' yang berpandangan begini, memperbaharui wudhu' setiap waktu bagi mereka yang bermasalah tersebut hukumnya sunat, bukan wajib.
Antara ulama' yang berpandangan begini ialah Imam Malik dan Imam Bukhari.
Ringkasan :
Kes puan sebenarnya tidak rumit. Puan boleh berniat hendak berwudhu', maka terangkatlah hadath kecil. Wudhu' itu membolehkan puan menjalankan ibadah fardhu dan sunat sebanyak yang puan ingin kerjakan.
Jika puan mengambil pandangan pertama, itulah yang terbaik dan lebih berhati-hati.
Namun jika puan dalam kategori orang yang turut menghadapi penyakit was-was, sering mengambil masa yang terlalu lama semasa bersuci, saya sarankan puan mengambil kira pandangan kedua.
والله أعلم
Bacaan ringkas lanjut :
Al-Mufassal fi Ahkam al-Mar'ah
Fiqh Sunnah Sayyid Sabiq
Sahih Fiqh Sunnah
Bahjah Qulub al-Abrar wa Qurrah 'Uyun al-Akhyar
0 comments:
Post a Comment