Wednesday 29 August 2018

KEPENTINGAN MENGHAYATI DOA AL-MA’THURAAT : PENGHULU ISTIGHFAR











🔴1. Al-ma’thurat adalah zikir-zikir dan doa-doa, daripada al-Quran dan hadith nabi saw.











Al-ma’thurat disusun berdasarkan zikir dan doa-doa yang dianjurkan oleh nabi saw. Setiap doa yang diajarkan oleh Nabi Muhammad saw ada khasiat dan kelebihan sendiri. Tidak sama nilainya dengan doa karangan kita sendiri.









🔴2. Doa mesti dihayati. 









Memohon sesuatu kepada Allah tanpa memahami apa yang kita minta umpama menulis surat permohonan kepada seseorang tetapi tidak tahu apa yang kita mohon dalam surat itu.









Doa yang dihayati lebih mudah dikabulkan Allah. Kita hamba yang lemah dan banyak dosa, mesti berdoa kepadaNya dengan penuh harap, bukan secara sambil lewa ataupun main-main.









Doa adalah ibadah. 









Oleh itu,  memohon kepada selain daripada Allah, termasuk nabi-nabi, ataupun orang-orang yang dianggap wali dan semua makhluk lain, adalah perbuatan SYIRIK.









Tidak ada sesiapa yang boleh mengabulkan doa insan, melainkan Allah.









🔴3. Janji nabi saw mesti diyakini.




Ada beberapa doa yang dianjurkan oleh nabi saw tampak 'simple' tetapi besar ganjaran dan khasiatnya, asalkan kita hayati dan yakin dengan apa yang kita sebutkan. 









Antaranya ialah penghulu istighfar dalam al-ma’thurat yang sering kita baca.









Sabda nabi saw :








عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قال :





سَيِّدُ الِاسْتِغْفَارِ أَنْ تَقُولَ :  





🔷 اللَّهُمَّ أَنْتَ رَبِّي لَا إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ 


     خَلَقْتَنِي وَأَنَا عَبْدُكَ 


     وَأَنَا عَلَى عَهْدِكَ  وَوَعْدِكَ مَا اسْتَطَعْتُ 


     أَعُوذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا صَنَعْتُ 


    أَبُوءُ لَكَ بِنِعْمَتِكَ عَلَيَّ 


    وَأَبُوءُ لَكَ بِذَنْبِي  


    فَاغْفِرْ لِي 


    فَإِنَّهُ لَا يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلَّا أَنْتَ.    🔷





قَالَ : وَمَنْ قَالَهَا مِنْ النَّهَارِ مُوقِنًا بِهَا فَمَاتَ مِنْ يَوْمِهِ قَبْلَ أَنْ يُمْسِيَ فَهُوَ مِنْ أَهْلِ الْجَنَّةِ





 وَمَنْ قَالَهَا مِنْ اللَّيْلِ وَهُوَ مُوقِنٌ بِهَا فَمَاتَ قَبْلَ أَنْ يُصْبِحَ فَهُوَ مِنْ أَهْلِ الْجَنَّةِ





رواه البخاري





Maksudnya : 





"Penghulu istighfar ialah kalian menyebut :






Ya Allah, Engkaulah Tuhanku, Tidak ada Tuhan selain Engkau, Engkaulah yang menjadikan daku. Sedang aku adalah hamba-Mu dan aku di dalam genggaman-Mu dan di dalam perjanjian setia ( untuk beriman dan taat ) kepada-Mu sekuat mampuku. 





Aku berlindung kepada-Mu daripada perkara buruk yang telah aku lakukan. Aku mengakui segala nikmat yang telah Engkau berikan kepada ku dan aku mengaku akan segala dosaku. 





Oleh itu ampunilah daku. 





Sesungguhnya tidak ada yang dapat mengampuni segala dosa kecuali Engkau.





Siapa yang menyebut istighfar ini pada waktu siang dengan penuh penghayatan, kemudian dia mati pada hari itu sebelum waktu petang, dia adalah ahli syurga.





Siapa yang menyebut istighfar ini pada waktu malam dengan penuh penghayatan, kemudian dia mati pada malam itu sebelum tiba waktu siang, dia adalah ahli syurga."





Hadith ini direkodkan oleh Imam Bukhari dalam Sahih Bukhari, Kitab Doa-Doa, Bab Istighfar yang Paling Afdal.





Kesimpulan :





Daripada hadith ini, kita memahami bahawa doa dalam al-Maathurat perlu dibaca dan dimohon kepada Allah dengan penuh kefahaman dan penghayatan. 





Lebih-lebih lagi penghulu istighfar ini, kerana kita sering melakukan kesilapan dan kesalahan, zahir dan batin, dalam menjalani kehidupan seharian. 





Mudah-mudahan, dengan melazimi penghayatan dalam melafazkan penghulu istighfar yang dianjurkan oleh nabi saw, kita mendapat keampunan Allah swt dan syurgaNya. 





Itu yang dijanjikan melalui rasul-Nya, dan itulah yang menjadi harapan semua orang beriman. 


Monday 20 August 2018

KELEBIHAN PUASA SUNAT HARI ‘ARAFAH


🔴SOALAN 





Benarkah puasa Hari ‘Arafah boleh menghapuskan dosa selama 2 tahun? 





🔴JAWAPAN RINGKAS 





📌Dimaklumi bahawa ada sedikit polemik di kalangan para ulama’ dalam membicarakan  hadith kelebihan puasa ‘Arafah.






📌Ringkasnya, langgam bahasa Nabi Muhammad saw dalam hadith kelebihan puasa Hari Arafah tidak sama dengan langgam bahasa baginda saw dalam  hadith kelebihan puasa Ramadhan.





Perhatikan nada pasti dalam hadith kelebihan puasa Ramadhan :





من صام رمضان إيمانا واحتسابا غفر له ما تقدم من ذنبه.





Makaudnya :


“Sesiapa yang berpuasa dalam bulan Ramadhan dengan penuh iman dan mengharapkan pahala, diampunkan dosanya yang telah lalu.”


(Sahih Bukhari, Kitab Iman, Bab Sawm Ramadan Ihtisaban min al-Iman)





Manakala dalam hadith  tentang kelebihan puasa ‘Arafah, nada baginda saw berbeza apabila menyebut fadilatnya :





صيامُ يومِ عرفةَ ، أَحتسبُ على اللهِ أن يُكفِّرَ السنةَ التي قبلَه  والسنةَ التي بعده 






Maksudnya :


'Puasa pada hari Arafah, aku harapkan agar Allah mengampunkan dosa setahun sebelum dan setahun selepasnya.'


(Sahih Muslim, Kitab Puasa, Bab Sunat Berpuasa 3 hari Dalam Sebulan, Puasa Hari Arafah, Hari 'Asyura dan Isnin dan Khamis)






Nada dalam hadith kelebihan puasa wajib bulan Ramadhan lebih tegas dan jitu berbanding nada dalam hadith kelebihan puasa sunat Hari ‘Arafah.





Dari sudut ketinggian nilai sahihnya juga tidak sama, walaupun keduanya sahih.





📌Apapun kelebihan yang terdapat dalam amalan sunat, ia tidak akan menandingi kelebihan amalan yang wajib. Dari sudut keutamaan ataupun awlawiyyat, mengerjakan yang wajib adalah lebih utama daripada yang sunat. Hal ini banyak disentuh oleh Dr Yusuf al-Qaradawi dalam Fiqh al-Awlawiyyat.





Tidak ada erti membanyakkan amalan sunat dan dalam masa yang sama, meninggalkan yang wajib.  





Kita kembali kepada prinsip asal dalam agama, iaitu amalan sunat itu fungsinya ialah menampung kekurangan dalam amalan wajib. 





Memperbanyakkan amalan sunat dikasihi Allah swt.






📌Imam Nawawi mengatakan bahawa hadith kelebihan puasa Arafah iaitu dihapuskan dosa dua tahun (tahun sebelum dan tahun selepas) itu ada 2 kemungkinan maksud :





1. Allah ampunkan dosa-dosa kecilnya dalam tempoh tersebut.





(Jika melakukan dosa besar, tidak memadai dengan puasa Hari ‘Arafah. Dosa besar perlu kepada taubat dan istighfar secara khusus.)





2. Allah memeliharanya (daripada melakukan dosa besar) selama tempoh tersebut.





📌Puasa ‘Arafah hanya disunatkan kepada orang yang tidak mengerjakan haji. 





Sementelah kita berada dalam keadaan tenang, tidak susah, dan berkemampuan untuk berpuasa, alangkah baiknya kita mengambil peluang yang dikurniakan Allah swt ini.





Puasa adalah amalan yang tidak menuntut kita melakukan apa-apa. Puasa menuntut kita supaya menahan diri daripada melakukan sesuatu yang membatalkannya, ataupun mengurangkan pahalanya.Tiada wang perlu dikeluarkan, tiada juga peluh perlu dititikkan.





Amalan yang mudah, dalam waktu yang disukai Allah, sangat digalakkan kita tunaikan puasa sunat Hari ‘Arafah.





Amalan soleh di sisi Allah, dengan cara yang diajarkan oleh Utusan Allah, mudah-mudahan menjadi sebab kepada kita mudah mendapat keampunan dan rahmatNya, sehingga tahun akan datang.





والله أعلم

WAKTU DOA HARI ARAFAH DI MALAYSIA




🔴SOALAN 









Mohon pencerahan Ustazah.









Sebagaimana yang kita tahu, doa pada hari ‘Arafah adalah doa mustajab.









 Adakah kita di Malaysia dituntut untuk berdoa pada masa para hujjaj (orang-orang yang menunaikan haji) sedang wuquf di ‘Arafah? 









Ataupun kita berdoa pada hari ‘Arafah mengikut kalendar kita?









🔴JAWAPAN RINGKAS









📌Ulama’ berbeza pandangan sama ada kelebihan berdoa pada Hari Arafah itu khusus bagi mereka yang menunaikan haji sahaja ataupun umum untuk semua.









Di kalangan mereka ada yang mengatakan bahawa yang rajih, yang lebih tepat ialah umum untuk semua.









Mereka yang wuquf di Arafah dan juga mereka yang berada di negara masing-masing mendapat kelebihan mustajab doa pada Hari ‘Arafah.









📌Ulama’ juga menerima perbezaan masa sesuatu tempat sebagai sebab kepada perbezaan tibanya Hari ‘Arafah, ataupun Hari Raya ‘Id al-Adha.









Masa kita berbeza dengan Mekah, menyebabkan hari Arafah kita lebih lewat.









Oleh yang demikian, masa afdal untuk kita berdoa pada Hari ‘Arafah ialah Hari ‘Arafah mengikut tempat dan masa kita di Malaysia. 









Samalah seperti waktu-waktu lain mustajab doa yang tidak sama waktu kita dengan mereka. Contohnya waktu 1/3 akhir malam mereka berbeza dengan waktu 1/3 akhir malam kita. Oleh kerana itu, tahajjud kita dikerjakan pada waktu kita. 









Tidaklah pula menjadi kesalahan jika kita mengambil kesempatan untuk turut membanyakkan doa pada hari Arafah di Makkah, kerana doa secara umumnya tidak terikat dengan waktu seperti puasa.









والله أعلم



Sunday 19 August 2018

PUASA ISNIN DAN HARI ‘ARAFAH

Assalamualaikum, Ustazah.



Apakah status hadith kelebihan Puasa Hari Tarwiyah yang dikatakan dapat menghapuskan dosa setahun?



Jika hari Tarwiyah jatuh hari Isnin dan hari ‘Arafah jatuh hari Selasa, adakah kita perlu niat puasa Hari Tarwiyah untuk puasa hari Isnin tersebut dan niat puasa Hari ‘Arafah untuk hari berikutnya?

 (Selasa)?



Waalaikumussalam.



Jawapan Ringkas :



1. Banyak tulisan tentang kelebihan puasa 10 hari terawal dalam bulan Zulhijjah bercampur-campur dengan hadith palsu dan rekaan fadilat.



2. Tidak ada puasa sunat sempena hari Tarwiyah secara khusus. Yang ada hanya puasa sunat hari ‘Arafah.



3. Niat puasa pada hari Isnin sebelum Hari ‘Arafah itu ialah puasa sunat hari Isnin, BUKAN puasa sunat hari Tarwiyah.



4. Niat puasa keesokannya barulah puasa sunat Hari Arafah.



5. Apabila kita berpuasa sunat hari Isnin dan puasa sunat Hari ‘Arafah, diharapkan kita termasuk dalam kalangan orang-orang yang mendapat banyak pahala kerana membanyakkan ibadat dalam 10 hari terawal dalam bulan Zulhijjah, termasuk mendapat kelebihan puasa Hari Arafah secara khusus.



6. Adapun kelebihan puasa ‘Hari Tarwiyah’ itu jangan sekali-kali disebarkan kerana ia berasal daripada hadith PALSU.









7. Oleh kerana itu, dalam kitab-kitab fiqh mu’tabar, tidak disebutkan sunat puasa hari Tarwiyah, tetapi yang disebutkan hanya puasa sunat Hari ‘Arafah bersama fadilatnya.



Selamat Berpuasa Sunat Hari Isnin (esok) dan Hari ‘Arafah (lusa).



Ustazah Nabilah.

والله الموفق

Saturday 18 August 2018

MOHON PERLINDUNGAN ALLAH DARIPADA KEBURUKAN PERBUATAN DIRI SENDIRI

🔴 Keburukan (شر)  boleh terhasil akibat daripada kita melakukan sesuatu yang tidak sepatutnya kita lakukan. 





Boleh jadi juga terhasil akibat daripada kita tidak melakukan sesuatu yang sepatutnya kita lakukan.








Sebagai contoh, keburukan boleh terhasil akibat kita tidak meletakkan sesuatu perkara pada konteks yang betul.






Keburukan juga boleh terhasil akibat kita meletakkan seseorang pada tempat yang tidak betul.





Ataupun akibat kita tidak beristighfar memohon agar Allah ampunkan dosa dan kesalahan kita.





🔴 Atas kelemahan diri sebagai insan, semua orang ada kebarangkalian melakukan apa yang tidak patut dilakukan, ataupun tidak melakukan apa yang sebenarnya patut dilakukan.




🔴 Nabi Muhammad saw menitipkan doa yang baik dan penting bagi kita supaya memohonnya kepada Allah.





Doa memohon perlindungan Allah daripada keburukan hasil amalan yang kita lakukan dan amalan yang kita tinggalkan.





Memohon perlindungan Allah daripada semua jenis keburukan yang terhasil, sama ada keburukan di dunia ataupun keburukan di akhirat. 





🔴 Apabila kita mohon perlindungan Allah daripada keburukan amalan kita, paling kurang ada 4 kemungkinan Allah akan bantu kita :





a. Allah mudahkan kita melakukan apa yang sepatutnya kita lakukan.


b. Allah mudahkan kita tinggalkan apa yang tidak patut kita lakukan.


c. Allah ampunkan dosa kita dengan taubat kita.

d. Allah lindungi kita daripada keburukan yang ada potensi berlaku akibat hasil usaha kita sendiri.





🔴 Nabi Muhammad saw yang ma’sum, telah diampunkan dosanya yang telah lalu dan yang akan datang, selalu berdoa dengan doa ini. 





Kita umatnya yang tidak terpelihara daripada dosa, lebih-lebih lagi memerlukan doa ini sebagai amalan harian kita. 
















Nabi Muhammad saw telah menitipkan doa-doa yang sangat baik dan sangat memberi kesan kepada jiwa kita, jika kita benar-benar mengamalkan dan menghayatinya.







🌈PQH

Wednesday 15 August 2018

ISLAM DALAM BIASAN POLITIK







🔴 Islam,  wajah asalnya  jernih dan indah. Allah swt memelihara dua sumber agama, iaitu al-Quran dan al-Sunnah, supaya kita sentiasa dapat melihat dan menghayati wajah asal agama yang kita cintai.










🔴Kefahaman tentang Islam sering muncul dalam wajah yang ditempel, dicacatkan, digelapkan ataupun diwarnakan dengan warna yang kita inginkan. 









Sedangkan Islam ada warna dan cahayanya sendiri. Lebih indah dan gemerlap tanpa perlu digilap, tanpa perlu ditambah apatah lagi dikurangkan. 









Oleh itu, banyak disiplin yang telah digariskan oleh para ulama’ dalam memelihara keaslian dan ketulinannya. Disiplin yang digarap bagi mengawal tingkahlaku insan agar tidak melakukan sesuatu yang merosakkan kefahaman  agama.







Kefahaman Islam yang tidak dirujuk kepada sumber asalnya secara berdisiplin ada potensi  dicemari dengan  amalan dan kepercayaan khurafat, tempelan hadith palsu, salah guna istilah sunnah, kecelaruan salah faham nas semasa berinteraksi dengannya, dan salah guna nas untuk kepentingan tertentu. 









Jikalau kefahaman Islam boleh dicemari dengan disiplin ilmu, apatah lagi perkara-perkara lain.









Politik umpamanya, ada banyak kebarangkalian ia disalah guna bukan untuk rakyat tetapi untuk kemenangan sendiri. Ada banyak ruang untuk menimbulkan salah faham dan salah guna.









🔴 Pentas politik sering  berbeza pendekatannya  dengan pentas ilmu. Politik  sering berubah-ubah pendekatannya, malah adakalanya bekerjasama pula dengan pihak yang sama sekali bertentangan dengan intipati dan roh ilmu. 





Justeru itu acapkali benar ilmu menjadi korban di pentas politik. Berapa banyak pentas politik memenangkan fahaman Syiah, berapa banyak orang politik memenangkan fahaman quburiyyah. 









Pentas politik sepatutnya menjadi pentas dakwah dan membantu menerangkan kebenaran. Malang jika pentas itu mengaburi sinar kebenaran.









🔴 Faktor ini menyebabkan orang yang berjihad di medan ilmu bersikap tegas supaya kebenaran ilmu tetap terpelihara tanpa campurtangan dan kepentingan orang politik.









Apatah lagi mereka yang berpengalaman disekat dan difitnah majlis ilmunya oleh mereka yang terlalu obses dengan politik, yang bimbang kedudukan tergugat dengan kebenaran hujah. 









Ditambah unsur hasad dengki dari sudut mendapatkan polulariti, yang sepatutnya digantikan dengan الإغتباط في العلم.

















Hasad dengki adalah amalan al-nafs, jauh tersembunyi di dalam jiwa. Namun ia mampu menjelma dalam bentuk tingkahlaku. Sikap orang yang menyimpan ghibtah di dalam jiwa jauh bezanya dengan sikap yang ditunjukkan oleh orang yang bergelumang dengan hasad. Hasad selalu membawa kepada dosa besar yang seringkali dilihat kecil, naminah.









🔴Di pentas ilmu, politik mesti dibicarakan secara ilmiah, bukan dengan cara menyebarkan berita dan gambar  yang tidak diketahui sumbernya. 









Tiada ulasan yang wajar diberikan kepada sebaran provokatif, kerana ia hanya menambahkan kecelaruan pemahaman dan menyalakan api kemarahan. Tidak diketahui akan pangkalnya dan tidak akan ditemukan hujung jalan keluarnya!









Apabila disuakan dengan fakta secara sopan dan berhemah, ulasan yang diberi hendaklah menepati konsep dan konteks yang sedang dibincangkan.









Mengambil contoh perjalanan ilmu yang berdisiplin di dalam kuliah, soalan provokatif biasanya sukar ditangani kerana penyoal tidak berminat menambah ilmu tetapi ingin menguji seterusnya mengganggu proses pembelajaran.









🔴Berpolitik dengan penuh sentimen dan syak wasangka menjadi punca pergaduhan yang menular menjadi wabak tanpa ubat. Kita menjadi saksi akan penularan wabak ini.









Setiap masalah dan isu dikaitkan dengan musuh politik, malah dihumbankan pula kepada mereka yang telah membuat teguran ikhlas. 









Berdasarkan pengalaman kita selama 20 tahun, politik juga berpotensi memusnahkan usaha dan harapan menghidupkan ilmu yang sahih. 









Sedangkan ilmu itu akan menjelmakan imej Islam dalam wajahnya yang sebenar. Seperti kata Syeikh Muhammad bin Ibrahim al-Tuwaijri :




فالدعاة إلى الله يدعون البشرية إلى عبادة الله وحده لا شريك له


والعلماء يعلمون الناس كيف يعبدون الله وحده لا شريك له 

















🔴Dalam konteks penyebaran ilmu, perbalahan politik telah menyebabkan konsentrasi terganggu, teks ilmu tidak berupaya dihabiskan, menyemai benih buruk sangka terhadap guru, ilmu tidak bertambah seiring dengan masa, al-Quran tidak dibaca dan dihayati, hadith palsu terus disebarkan, manakala perbalahan terus menerus menerbitkan kebencian dan salah faham.









Pembaziran masa dan tenaga jelas telah berlaku. Kebenaran semakin kelabu dalam asakan ingin menang dan justeru itu, kefahaman Islam semakin bercelaru. 









Konsep munafasah (berlumba-lumba) dalam kebaikan telah digantikan dengan sikap ingin menang sendiri dan dengki mendengki.









Menyedihkan apabila majlis ilmu difitnah oleh kenalan yang sangat obses dengan politik tanpa berfikir secara mendalam, matang dan sejahtera.









🔴Dituduh sebagai pemecah belah oleh non-muslim hanya kerana rakannya memeluk Islam atas kehendak sendiri langsung tidak melukakan, langsung tidak meninggalkan bekas. Kita tahu dia tidak tahu akan hakikat dirinya sebagai hamba Allah dan tidak kenal akan Allah, apatah lagi memahami ajaran Islam yang diturunkan Allah. 





Justeru, kita masih sanggup mendoakan dia!









Namun dituduh dan diganggu oleh kenalan yang ‘memahami Islam’ malah ‘memperjuangkan Islam’ telah menumbuhkan tanda tanya yang besar. 









Meninggalkan kesan yang sangat mendalam bersama persoalan yang belum terjawab, apa sebenarnya yang mereka mahu daripada sikap seumpama itu?









🔴 Politik cara Nabi Muhammad saw jauh bezanya dengan cara kita. Politik zaman kita banyak bergantung kepada ijtihad dan perubahan semasa. 









Politik dalam kendalian mana-mana pihak sekalipun sentiasa ada kebarangkalian silap dan salah. Rakyat yang matang sentiasa akan membuat perubahan atas dasar kefahaman, bukan sekadar ikut-ikutan, apatah lagi paksaan.









🔴Mereka yang berkecimpung dalam politik menggalas tanggungjawab terhadap rakyat, dan akan ditanya tentang amanah yang digalas, kerana mereka telah meminta dipikulkan tanggungjawab itu ke bahu mereka menerusi pilihanraya. Oleh kerana itu, tugas perlu dilaksanakan kerana menunaikan amanah, bukan kerana ingin menagih undi 5 tahun lagi.









Antara amanah yang dipikul ialah mewujudkan suasana kondusif dan harmoni bagi masyarakat mengikuti pembelajaran ilmu yang sahih.









Kita ingin sekali melihat pentas politik menjadi medan berlumba-lumba dari sudut kualiti dalam mengerjakan amalan soleh, menepati disiplin ilmu,  kerana Allah.



Sehingga akhirnya wajah Islam yang asal indah itu terserlah.



Barangkali, ia termasuk dalam kategori 'angan-angan' yang baik.









اللهم اهدنا وسددنا


Wednesday 8 August 2018

SUSUKAN BAYI



📌SOALAN





Assalamualaikum Ustazah.





Adakah benar hadith ini :











📌JAWAPAN RINGKAS





Waalaikumussalam.







🔴Ya, hadith ini thabit, berasal daripada hadith penuh yag lebih panjang. 





Berdosa besar bagi wanita menghalangi bayinya mendapatkan haknya. 







Bayi dalam keadaan lemah dan mengharapkan ihsan sepenuhnya daripada ibu.







🔴Susu formula boleh diberikan jika tidak memudaratkan bayi ataupun memang diperlukan bayi, serta mendapat keizinan suami.






Zaman Nabi saw ada ibu susuan. Apabila ada sebab lain dan tidak memudaratkan bayi, ia tidak dinamakan sebagai ‘menghalangi bayi.’







🔴Memberikan anak-anak ‘yang fitrah’ tentulah yang terbaik, melainkan jika ada masalah.





والله أعلم



Saturday 4 August 2018

SEGERAKAN PEMBAHAGIAN HARTA PUSAKA


🔴Soalan 





Assalamulaikum Ustazah. 





Apakah dalil daripada nas al-Quran dan al-Hadith yang menunjukkan bahawa perlu disegerakan pembahagian harta pusaka. 





Semoga Allah mempermudahkan urusan kami bagi menguruskan pembahagian pusaka nanti.





Segala kerjasama ustazah saya dahulukan dengan ucapan jutaan terima kasih.




🔴Jawapan Ringkas






Waalaikumussalam wrt wbt.






Ayat al-Quran yang paling jelas agar disegerakan pembahagian harta pusaka ialah ayat 11-12 Surah al-Nisa’. Telah ditentukan hak siapa yang berhak bagi harta si mati dengan kadarnya, tentunya mengandungi  hikmah yang besar daripada Allah swt.
















Antara hadith sahih yang menjelaskan hal ini ialah hadith berikut :







Sabda Rasulullah saw :




مَنْ تَرَكَ مَالاً فَهُوَ لِوَرَثَتِهِ.




Maksudnya :




“Sesiapa yang meninggalkan harta (apabila dia meninggal dunia), harta yang ditinggalkan itu adalah milik para pewarisnya.”




(Sahih al-Bukhari, Kitab al-Faraid)







Sebaik sahaja seseorang sudah meninggal dunia, harta yang ditinggalkan sudah menjadi milik orang lain, iaitu pewarisnya, melainkan 3 perkara yang perlu dilunaskan bagi pihak si mati :



a. kos pengurusan jenazah,

b. hutang dan seumpama dengannya

c. wasiat



Setelah diuruskan ketiga-tiga perkara tersebut, harta yang tinggal adalah milik pewaris yang perlu dibahagikan kepada individu yang telah ditetapkan.









Melambatkan pembahagian pusaka boleh menyebabkan orang yang memerlukan teraniaya dan hak harta seperti zakat tidak dapat ditunaikan kerana lambat diserahkan kepada pemiliknya.










Semoga usaha pembahagian dikira sebagai amalan saleh di sisiNya, dan pembahagian yang akan didapati kelak juga menghasilkan lebih banyak amalan saleh kepadaNya.







والله أعلم


 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Powerade Coupons