Saturday 28 November 2015

TERAPI JIWA DENGAN KALAMULLAH DAN SABDA RASUL-NYA





















MODUL 1 : UJIAN TANDA KASIH-NYA












A. Tema :



Modul ini berasaskan ayat al-Quran iaitu Surah al-Hadid, ayat 22-23.





B. Konsep :



Membibitkan kesedaran kepada mangsa banjir bahawa ujian yang menimpa mereka telah diketahui oleh Allah swt sejak bumi belum dicipta, dengan tujuan menguji hamba2Nya yang terpilih. Golongan yang berjaya ialah golongan yang bersabar, serta tidak berganjak daripada mentaati perintah Allah.













C. Modus Operandi :





1. Membuat halaqah al-Quran, membaca surah al-Hadid. Bimbingi satu ayat demi satu ayat. Options :





a. Sebaiknya mula dari ayat 1 hingga 29. 


b. Jika masa terhad, boleh mulakan dari ayat 16 sehingga 29.


c. Jika tahap audiens dirasakan perlu kepada bacaan yang lebih ringkas, baca Surah al-Fatihah, al-Ikhlas 3x, al-Falaq 3x dan al-Naas 3x, diikuti dengan bacaan ayat 22-23 surah al-Hadid.





2. Diikuti dengan sesi tazkirah, iaitu fokus kepada huraian dan penghayatan makna ayat 22-23 surah al-Hadid secara berdisiplin dan menarik.





3. Perkongsian /luahan daripada para peserta/mangsa banjir (Hadkan 3-5 peserta sahaja)





4. Agihan cenderamata/kudapan untuk peserta/mangsa.





5. Penutup dan kesimpulan





D. Keperluan :





1. Satu group fasilitator berperawakan kemas dan mesra yang terdiri daripada :





a. Pengerusi majlis


b. Guru yang akan mengetuai bacaan surah al-Hadid


c. Guru berkelayakan yang akan menghuraikan makna dan pengajaran ayat 22-23 Surah al-Hadid


d. Petugas khas memastikan kelengkapan dan kelancaran modul 


e. Petugas khas meneliti respon dan sambutan peserta


f. 3 orang petugas khas agihan cenderamata/kudapan untuk peserta.





2. Al-Quran/Salinan Surah al-Hadid untuk edaran kepada peserta, sebaiknya diambil semula untuk kegunaan urusetia di lokasi lain, serta menjamin kesucian ayat al-Quran. 





(Dibimbangi peserta tidak dapat menjaganya dengan baik pada lokasi pemindahan.)


Kita andaikan peralatan teknologi seperti projektor sukar digunakan di lokasi.





3. Alat pembesar suara sekiranya dilaksanakan dalam group yang besar.





4. Cenderamata / kudapan ringan untuk diagihkan sebelum ataupun selepas sesi. /Sumbangan untuk mangsa banjir dalam bentuk hadiah kecil elok diberikan dalam sesi ini.





5. Peralatan lain untuk melancarkan majlis supaya lebih selesa dan tenang, seperti tikar untuk mereka duduk supaya tidak kesejukan.





E. Manfaat yang diharapkan :





1. Terapi jiwa dengan membaca al-Quran dan berada dalam majlis ilmu.


2. Mangsa mendapat kesedaran untuk memperbaiki iman terhadap Allah dan QadarNya.


3. Mangsa mendapat kesedaran untuk meneruskan kewajipan sebagai seorang hamba.


4. Mangsa berasa diambil berat, dihargai dan mendapat ketenangan.


5. Memulakan ukhuwwah yang boleh dilanjutkan selepas sesi @ masa hadapan.


6. Peserta mengharapkan pahala daripada ujian.















MODUL 2 : KITA MASIH BERADA DALAM JUTAAN NIKMAT-NYA





A. Tema :



Modul ini berasaskan ayat al-Quran iaitu Surah al-Nahl ayat 18 iaitu :










B. Konsep :



Membibitkan kesedaran kepada mangsa bahawa mereka masih sedang menikmati ribuan nikmat Allah swt. Allah hanya menarik sebentar hanya SEDIKIT sahaja nikmatnya semasa banjir berlaku.





C. Modus Operandi :





1. Membuat halaqah dan membuka majlis.


2. Buka kepada peserta/mangsa untuk senaraikan 20 nikmat (paling kurang) Allah yang sedang mereka kecapi sekarang. (Semasa majlis berlangsung) Sebaiknya libatkan kanak2/remaja, kerana mereka suka menjawab soalan seperti ini.


Sediakan hadiah kecil untuk pemberani.


3. Buka kepada peserta/mangsa untuk senaraikan 3 nikmat yang sedang ditarik oleh Allah semasa banjir.


4. Perkongsian pengalaman/kisah daripada fasilitator yang pernah menjadi mangsa banjir/membantu mangsa banjir yang sangat teruk. (Jangan spesifik nama, lokasi dll)




Kisah yang sesuai untuk dikongsi sebagai pengajaran :


a. Kisah kecekalan dan kesabaran mangsa banjir untuk dijadikan teladan


b. Kisah kemarahan terhadap taqdir sebagai sempadan


c. Proses menyelamat dan membantu










5. Simpulkan dalam satu huraian dan tazkirah ringkas. Tekankan poin utama bersyukur atas baki nikmat yang dikecapi diikuti dengan doa yang ma'thur memohon perlindungan daripada ujian yang tidak tertanggung.






6. Edaran cenderamata/kudapan untuk semua peserta.





D. Keperluan






1. Satu group fasilitator berperawakan kemas dan mesra yang terdiri daripada :





a. Pengerusi majlis


b. Moderator/pentazkirah yang berkemampuan



c. Fasilitator yang berkongsi kisah benar berkaitan mangsa banjir. Sebaiknya fasi berpengalaman menjadi mangsa banjir yang membantu mangsa lain. Poin : Bersyukur


d. Petugas khas memastikan kelengkapan dan kelancaran modul 


e. Petugas khas meneliti respon dan sambutan peserta



f. 3 orang petugas khas agihan hadiah kecil kepada pemberani.







2. Alat pembesar suara sekiranya dilaksanakan dalam group yang besar.





3. Hadiah-hadiah kecil untuk pemberani menjawab soalan.





4. Cenderamata / kudapan ringan untuk diagihkan kepada semua peserta selepas sesi. 





5. Peralatan lain untuk melancarkan majlis supaya lebih selesa dan tenang, seperti tikar untuk mereka duduk supaya tidak kesejukan.







E. Manfaat yang diharapkan :





1. Peserta berasa beruntung sebagai seorang hamba, meskipun berada dalam ujian.


2. Peserta sedar banyaknya nikmat Allah swt yang sedang dikecapi, berbanding dengan nikmat yang ditarik sebentar.


3. Peserta mengharapkan pahala dan keampunan Allah daripada ujian. 


4. Peserta tetap boleh membantu orang lain yang lebih susah dan memerlukan.















TAMBAHAN :



Sangat baik jika disertai dengan modul sisipan 'Klinik Ibadah' dalam group kecil-kecil supaya peserta mendapat konsultasi tentang masalah ibadah dan hukum hakam yang berkaitan. Group yang kecil lebih mesra luahan dan perkongsian. Modul sisipan ini sesuai sekiranya pelaksana mempunyai tenaga kepakaran yang mencukupi.







Monday 2 November 2015

HUKUM SAPU ATAS BALUTAN


MUZAKARAH : BOLEHKAH KITA MENGGUNAKAN PENDAPAT MAZHAB SELAIN AL-SYAFI?















SOALAN :









1. Bolehkah kita menggunakan pandangan lain selain daripada Mazhab Syafi'i, padahal kita belajar selama ini Fiqh Mazhab al-Syafi'i.








2. Dalam masalah sapu atas jabirah misalnya, apabila kaki disimen, ketika ingin berwudu' adakah :




a. Perlu berwudu' dan sapu atas balutan apabila sampai ke anggota yang berbalut, diikuti dengan tayammum bagi menggantikan tempat berbalut yang disapu itu





b. Ataupun cukup sekadar berwudu' seperti biasa, kemudian sapu sahaja atas balutan tanpa tayammum? 





Bolehkah kita menggunakan pandangan kedua, sedangkan pandangan kedua bukan pandangan dalam mazhab al-Syafi'i?


  





JAWAPAN :








PERBINCANGAN SATU : FIQH









1. Fiqh Perbandingan Dalam Dunia Ilmu Islam
























Al-Mufassal fi Ahkam al-Mar'ah wa al-Bait al-Muslim adalah salah satu buku ringkas (11 jilid) yang menjadi rujukan penuntut ilmu dari kalangan ahl al-sunnah wal jamaah dari seluruh dunia.









Pengarangnya, Dr Abdul Karim Zaidan, dalam setiap topik yang dibincangkan, beliau akan membawa pandangan para fuqaha' dari mazhab-mazhab fiqh yang mu'tabar, termasuk Ibn Hazm.









Di akhir perbincangan, biasanya pengarang akan kemukakan pandangan yang paling rajih bagi beliau.









Sebelum kitab ini dikarang, sudah ada banyak kitab-kitab fiqh perbandingan yang lain.










Hakikatnya dalam dunia ilmu, sentiasa ada  perbandingan dalam fiqh, dan tarjih pandangan yang lebih tepat berasaskan dalil al-Quran dan al-Sunnah.










Di kalangan para ilmuwan, perbincangan penuh beradab dan berdisiplin, menepati kaedah yang betul, dan semuanya ingin kembali kepada pandangan yang paling tepat berdasarkan wahyu.









Oleh yang demikian, bila kita baca kitab-kitab para ulama' mu'tabar mutaakhir, tidak akan ada seorang ulama' yang berpegang kepada satu mazhab sahaja, malah ia adalah sesuatu yang sangat ganjil dalam disiplin dunia ilmu Islam.









Apatah lagi dalam konteks kenegaraan, memang sangat perlu kepada keluasan fiqh.











2. Bid'ah Bukan Persoalan Khilaf Dalam Fiqh










Selalunya apabila ada persoalan tentang khilaf dalam fiqh, kita terpaksa rangkumkan sekali dengan persoalan bid'ah. Sebelum ini kita agak keberatan untuk menyebut perkataan bid'ah, kerana sesetengah orang sangat sensitif dengan perkataan tersebut. Namun, akhirnya kita bincangkan secara terbuka setelah diminta penjelasan, lebih-lebih lagi setelah :









- Menyedari bahawa perkataan bid'ah itu disebut sendiri oleh Rasulullah saw dalam hadith yang penting, di mana beliau melarang perbuatan bid'ah









- Mendapati ramai yang menganggap perkara bid'ah sebagai perkara cabang yang tidak perlu dibincangkan,









- Mendapati bahawa ada golongan yang berhujjah bahawa semua perkara bid'ah yang mereka lakukan adalah bid'ah hasanah, termasuk bertawassul di kubur,









- Mendapati bahawa ada yang mendakwa perbuatan mereka adalah perkara khilaf di kalangan ulama' sedangkan ia sebenarnya tiada asas pun dalam syariat, bukan khilaf.









Dr Yusuf al-Qaradawi dalam Fiqh al-Jihad mengatakan, ada 4 medan jihad yang perlu dilaksanakan, iaitu dalam mengatasi :









1. Kezaliman




2. Keruntuhan akhlak




3. Kecelaruan pemikiran dan bid'ah 




4. Gerakan murtad









Bolehlah dibayangkan kecelaruan yang timbul apabila perkara bid'ah yang terang diklaim sebagai khilaf. Orang awam menjadi mangsa kerana tidak tahu mana satu perkara khilaf, mana satu bukan, lalu menjadi satu tugas berat dan penting pula untuk menerangkan. 
























Membasmi kecelaruan pemikiran dan bid'ah memang patut diletakkan sebagai suatu jihad kerana ia memerlukan banyak persediaan, ilmu yang mantap, peribadi yang mulia dan cekal, serta usaha yang berterusan. Usaha tersebut tentu mendapat pelbagai jenis tentangan dan hujah, malah memang ada yang tidak setuju lalu menimbulkan fitnah.









3. Peranan Ulama' Mutaakhirin Dalam Menperjelaskan Fiqh Dan Mengembalikan Kepada Sumber Asal











Apabila kita melihat perbincangan ulama' mutaakhirin, kita mendapati mereka membincangkan tentang asas fiqh pada zaman Rasulullah saw, diikuti dengan perkembangan pada zaman para sahabat, mengapa para sahabat berbeza pandangan, (antaranya kerana tahap dan komitmen terhadap ilmu yang berbeza), seterusnya fiqh pada zaman tabi'in, sejarah wujudnya mazhab-mazhab fiqh, dan bila mulanya umat Islam menjadi taassub terhadap mazhab (iaitu selepas tahun 400H). 









Malah pada zaman itu ada yang melarang orang bermazhab Hanafi berkahwin dengan orang bermazhab Syafii, dan ada yang menghukum bahawa sesiapa yang keluar dari mazhab fiqh sama seperti keluar daripada ketaatan terhadap Allah dan rasulNya.







Hal yang berlaku sangat bertentangan dengan kehendak dan harapan ulama' yang mengasaskan mazhab itu sendiri.







Situasi ini ada yang berlajutan, sehingga para ulama' seterusnya mengambil pendekatan membawa pandangan-pandangan dari pelbagai mazhab, dan mentarjihkan pandangan yang lebih tepat berdasarkan al-Quran dan al-Sunnah.








Firman Allah swt dalam ayat 59 Surah al-Nisa' :




















Seruan ayat di atas sejak dahulu sentiasa disemboyankan oleh para ulama' dalam menangani khilaf fiqh, menasihati dalam masalah amalan turun temurun yang didakwa sebagai ibadat, menggalakkan kajian sains dari perspektif Islam, dalam falsafah, dan lain-lain.












Antara kitab Fiqh Perbandingan yang baik untuk dibaca ialah al-Muhalla (Ibn Hazm al-Andalusi 384-456H ), al-Majmu' (Imam Nawawi 631-676H) dan Nail al-Awtar (al-Syawkani 1173-1250H)).









Ibn Hazm adalah seorang mujtahid mutlak, sama seperti Imam Syafi'i, Imam Ahmad, Imam Abu Hanifah, Imam Malik dan Imam Bukhari. Namun Fiqh Imam Bukhari biasanya disedari dan dipelajari secara khusus oleh mereka yang belajar ilmu secara disiplin yang khusus sahaja.










Satu lagi bentuk kitab fiqh ialah Fiqh al-Kitab wa al-Sunnah. Antara tokoh yang turut sedar akan kepincangan daripada taasub mazhab ialah Imam Hasan al-Banna, lalu beliau menyokong ditulis kitab Fiqh al-Sunnah oleh Syeikh Sayyid Sabiq.










Selepas Fiqh al-Sunnah, ada lagi kitab yang baik untuk kita jadikan rujukan, antaranya Sahih Fiqh Sunnah. 









Hujah dan dalil dari kedua belah pihak yang khilaf dinyatakan dengan jelas, maka tidak timbul isu kita guna sesuatu pendapat tanpa mengetahui hujah dan dalil yang digunakan. 









Ia juga dikutip dan dinukikan secara berdisiplin dan beradab, maka tidak timbul langsung soal menghina ataupun merendahkan mana-mana ulama'.














********************









PERBINCANGAN DUA : SAPU ATAS JABIRAH











a. Menyapu air di atas balutan ada hukumnya sendiri. Pesakit yang dibalut anggota wudu'nya boleh terus berwudu', dibenarkan sapu sahaja atas balutan, dan dikira sah wudu' itu.





Tartib yang sepatutnya dilakukan apabila ada anggota cedera ialah : 


1. Basuh jika tidak memudaratkan


2. Sapu dengan air atas anggota yang sakit itu jika tidak memudaratkan


3. Balut anggota yang sakit dan sapu atas balutan tersebut. Inilah hukum yang sedang kita bincangkan. 





Hukum menyapu atas balutan adalah wajib ketika berwudu' (ataupun mandi wajib) sebagai gantian kepada basuhan anggota yang sakit itu, ataupun gantian kepada menyapu air atas anggota yang sakit itu.







b. Ulama' berbeza pendapat sama ada anggota wudu' yang disapu atas balutan itu perlu digantikan dengan tayammum, ataupun tidak perlu tayammum lagi sebaliknya cukup dengan sapu atas balutan sahaja. 









c. Ia sebenarnya berkaitan dengan topik tayammum secara khusus, iaitu 'Adakah perlu digabungkan antara الأصل (wudu' ataupun mandi) dengan البديل (tayammum).'









Golongan ulama' yang mengatakan tidak perlu digabungkan kedua-duanya dalam satu-satu ketika ialah antara lain kerana pada pandangan mereka, hadith yang digunakan dalam mazhab al-Syafii dan Ahmad sebagai dalil adalah hadith yang daif. (Matan yang terlibat adalah daif, manakala sebahagian matan di atasnya adalah hasan).









Maka, mereka mengatakan cukup wudu' dan sapu atas jabirah sahaja, tidak perlu tayammum lagi.










Dr Abdul Karim Zaidan dalam al-Mufassal fi Ahkam al-Mar'ah tidak menyebut langsung tentang perlunya bertayammum apabila menyapu air atas jabirah. 









Pengarang Sahih Fiqh Sunnah juga mentarjihkan pendapat yang mengatakan tidak perlu tayammum lagi apabila berwudu' dan sapu atas jabirah.





Imam al-Nawawi dalam al-Majmu' mengatakan, Imam al-Syafi'i dalam qawl qadim juga berpandangan tidak wajib tayammum lagi apabila menyapu atas jabirah, sebagaimana tidak wajib tayammum bagi orang yang menyapu di atas khuf.








Kesimpulan ringkas :





Adalah tidak menjadi kesalahan apabila kita mengambil pandangan yang lebih rajih pada pandangan ahli ilmu yang berautoriti, berdasarkan hujah dan dalil jelas daripada al-Quran dan al-hadith yang difahami secara berdisiplin dan benar, serta paling dekat dengan amalan para sahabat dan tabi'in.  Sebaiknya dengan kita mengetahui hujah dan dalil yang mereka kemukakan.





Malah berkaitan persoalan yang dikemukakan ini, sebenarnya pandangan kedua masih dalam lingkungan khilaf dalam Mazhab al-Syafi'i juga. 





والله أعلم




 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Powerade Coupons