Saturday 25 April 2020

Solat Witir Dan Tarawih Dalam Suasana PKP







❓Soalan 1 : 





Adakah kita boleh mengulangi solat Witir selepas solat tahajjud sedangkan kita sudah solat witir selepas solat Tarawih?





❓Soalan 2 :





Adakah kita perlu genapkan witir yang telah dilakukan selepas tarawih (untuk batalkan solat witir sebelum) kemudian solat sunat-sunat lain dua-dua rakaat, baru boleh diakhiri dengan witir semula?





❓Soalan 3 :





Saya sudah biasa mengerjakan solat Witir pada akhir malam sebelum tiba bulan Ramadhan. Adakah saya perlu solat Witir awal bila tiba bulan Ramadhan?





🔴 Jawapan :






🔸Setiap soalan ada latar belakang dan sebabnya. Perbincangan solat Witir panjang dibahaskan dalam kitab-kitab fiqh dan hadith, maka kita ringkaskan bagi menjawab 3 persoalan di atas.





🔸Menjalani ibadah sepanjang Ramadhan, baik siang ataupun malamnya, dalam suasana PKP, adalah lebih afdal kita lewatkan witir ke waktu sahur kerana kita solat Tarawih hanya dengan keluarga kita, bukan mengikut imam di masjid.


















Imam kita dalam Ramadhan musim PKP adalah ahli keluarga kita sendiri, maka kita boleh berbincang supaya kita mendapat maksimumkan pahala beribadah mengikut kesesuaian jadual dan disiplin keluarga kita. Imam boleh akhiri solat berjemaah bersama keluarga dengan solat tarawih, bukan solat Witir, apabila ahli keluarga bersetuju untuk lewatkan solat Witir ke 1/3 akhir malam. 





🔸Solat witir sebelum tidur asalnya dicadangkan kepada mereka yang bimbang tidak bangun pada akhir malam ataupun waktu sahur. 





Ini dapat kita fahami daripada hadith Nabi Muhammad saw :






مَنْ خَافَ أَنْ لَا يَقُومَ مِنْ آخِرِ اللَّيْلِ فَلْيُوتِرْ أَوَّلَهُ 







Maksudnya : 


“Sesiapa yang bimbang tidak bangun akhir malam (waktu sahur) maka solatlah witir awal-awal...”


(Sahih Muslim, Kitab Solah al-Musafirin wa Qasriha)





🔸Adapun kita dalam bulan Ramadhan, bagi golongan yang sudah biasa bangun awal untuk solat tahajjud dan menutupnya dengan solat witir sebelum Ramadhan tiba, teruskanlah rutin yang baik itu dengan melewatkan witir.





Amalan ini menghilangkan keraguan untuk mengulangi solat witir kerana memang kita akhirkan solat witir itu, sesuai dengan sabda Nabi Muhammad s.a.w. :





اجعلوا آخر صلاتكم بالليل وترا





Maksudnya : “ Jadikanlah solat Witir itu sebagai solat terakhir/penutup bagi  solat malam kalian.”


(Sahih al-Bukhari, Kitab al-Witr, Bab li Yaj’al Akhir Solatihi Witra.)





🔸 Barangkali ada juga keluarga yang diimami oleh anak lelaki yang belum biasa bangun solat malam, berbanding ibu dan kakak-kakaknya. Ada kemungkinan imam muda itu mahu solat witir terus sejurus selepas tarawih, kerana si imam muda keberatan bangun qiyamullail.





Ini kesempatan baik untuk mendidik semua ahli keluarga agar bangun qiyamullail sebelum sahur. Galakkan mereka agar merebut peluang dan tawaran yang dinyatakan dalam ayat-ayat al-Quran dan hadith-hadith Nabi Muhammad s.a.w.  Antaranya : 













🔸Dalam proses itu, puan boleh ikut imam solat witir, kemudian apabila imam beri salam bagi rakaat tunggal, puan bangunlah tambah satu rakaat lagi untuk genapkan. 






Maksudnya, ketika imam bangun untuk solat witir, puan niat solat tarawih 2 rakaat, kerana puan akan bangun tambah satu rakaat lagi selepas imam beri salam.



(Solat tarawih sebenarnya boleh dilakukan lebih daripada 8 rakaat ataupun kurang daripada 20 rakaat - akan dibincangkan dalam entri lain.)





🔸Apabila puan bangun awal untuk sediakan sahur, puan boleh solat witir bagi mengakhiri semua solat malam yang telah puan lakukan sepanjang malam itu, yang dimulai dengan solat tarawih pada awal malam. 





Solat witir itu sendiri telah dikira sebagai solat tahajjud, kerana maksud solat tahajjud ialah ‘solat sunat yang dikerjakan pada waktu malam selepas kita tidur sebelumnya’.





🔸Oleh yang demikian, jika imam di rumah puan masih bertatih untuk qiyamullail sekalipun, puan masih mendapat pahala ikut imam sehingga akhir dan sekaligus dapat mengakhirkan solat Witir sebagai penutup solat malam puan, sesuai dengan saranan Nabi Muhammad s.a.w. 






اجعلوا آخر صلاتكم بالليل وترا





Maksudnya : “ Jadikanlah solat Witir itu sebagai solat terakhir/penutup bagi  solat malam kalian.”



(Sahih al-Bukhari, Kitab al-Witr, Bab li Yaj’al Akhir Solatihi Witra.)





🔸 Bagi mereka yang kepenatan siang Ramadhan, bimbang tidak dapat bangun solat pada waktu sahur, maka pilihannya ialah awalkan solat witir. 





Demikian juga imam yang mahu melatih ma’mum agar biasa solat Witir, dan merasakan mereka belum mampu bangun sendiri untuk solat Witir pada akhir malam.





Apabila bangun pada waktu sahur, didapati masih ada kemampuan untuk solat sunat lagi, teruskan sahaja solat sunat yang ingin dilakukan, tanpa perlu digenapkan witir sebelumnya dan tidak perlu lagi untuk witir kali kedua, sesuai dengan hadith Nabi Muhammad s.a.w. :





لا وتران في ليلة





Maksudnya :

”Tiada 2 witir pada satu malam.”


(Sunan al-Tirmidhi, Kitab al-Solah, Bab Ma Jaa La Witrani fi Laylah)





والله الموفق





Dr Nabilah Hasan


3 Ramadhan 1441H

26 April 2020


PKP Tiong, Kota Bharu.


اللهم إنا نعوذ بك من سيء الأسقام

Monday 13 April 2020

🌍Countdown To Ramadhan 1441H










Assalamualaikum.





Pada saat seluruh dunia diancam dengan waba’, jiwa insan menjadi tidak keruan, kehidupan tidak berjalan secara normal, kelemahan insan terserlah dalam tanda-tanda kekuasaan Allah, maka eloklah kita kembali kepada panduan hidup yang Allah turunkan kepada kita.






Berapa ramai non-muslims memeluk Islam selepas membaca al-Quran terjemahan, kerana mereka mencari petunjuk dari al-Quran.





Bagi group pengajian kita ini, yang sudah dibiasakan dengan mendidik diri dengan maksud dan mesej ayat al-Quran secara berdisiplin, marilah kita mulakan tadabbur al-Quran bagi Ramadhan 1441 H lebih awal. 





Kita sarankan ahli group agar membaca al-Quran dengan tadabbur, ayat demi ayat, surah demi surah, menghayati saranan, pesanan dan pengajaran dalam ayat-ayat kalamullah. Hayati saranan agar beramal soleh, cermati suruhan mentauhidkan Allah, teliti jaminan syurga, ancaman neraka, sifat-sifat umat yang ingkar dan pelbagai tanda kekuasaan Allah, menerusi ayat-ayat yang kita baca secara tartil. 







Mulakan membaca Surah pertama al-Fatihah, diikuti dengan surah kedua al-Baqarah, dan seterusnya, dengan membaca ayat dan terjemahannya, dengan tadabbur ringkas, satu ayat demi satu ayat. 





Sekiranya kita konsisten setiap hari, kita dapat khatam dengan cara ini pada hari terakhir Ramadhan kelak. 





Dan in syaa Allah nanti kita dapat khatam dengan sempurna, kerana kita sendiri yang membaca kesemua 30 juzu’ dan 114 surah yang ada dalam al-Quran.





Kepada yang belum memulakan, mari kita mulakan. Tandakan setiap hari al-Quran terjemahan yang kita miliki.





Dan mulakan setiap kali bacaan kita dengan isti’adhah, menyahut seruan Allah s.w.t. dalam ayat 98 Surah al-Nahl.










Ditulis untuk :


🕌 (Groups) Pengajian al-Quran & al-Hadith


⏰ Sabtu, 10 Syaaban 1441 H


🌈 Khatam Tadabbur Akhir Ramadhan

BERTAQWA DALAM MENYEBARKAN ‘ISU SEMASA’ !


Assalamualaikum.





Semoga kita semua masih komited dengan zikir pagi dan petang yang datang daripada hadith-hadith yang thabit. Kita sebagai hamba Allah memang sangat memerlukannya.







Pagi tadi whatsapp dibuka dengan tujuan masuk ke beberapa group dan berkongsi sesuatu. Tiba-tiba terbaca sepintas lalu satu perkataan negatif ‘berimpak tinggi’ dari group yang sudah lama tidak diacuhkan. Jarang menjenguk kerana dalam group tersebut selalu dihantar berita yang tidak pasti yang menyerabutkan, bercampur baur antara sikap yang benar dan salah dalam politik, dan acap juga dihantar tazkirah yang mengandungi hadith-hadith palsu. 







Namun perasaan ingin tahu mendorong kita masuk dan baca juga selanjutnya. 






Kesannya?





Kesan negatif selepas membaca membawa kepada perasaan tidak enak sepanjang hari. Malah mengganggu perancangan asal awal pagi tadi!





Pengajaran :






  1. Kita perlu tegas dengan to-do-list bila berurusan online ataupun offline.

  2. Jika semua muslim-muslimah komited ‘post’ perkara positif (al-amr bi al-ma’ruf wa al-nahy ‘an al-munkar dengan niat yang benar dan piawaian benar, bukan sentimen), semua pembaca akan mendapat input yang baik. 

  3. Teguran yang baik dengan hujah bagus dan berfakta umumnya diterima dengan baik kerana setiap muslim dan muslimah sukakan peringatan, melainkan orang yang ada kepentingan, memang tidak dapat menerima teguran. Namun kritikan bercampur baur antara benar dan salah serta tuduhan secara telahan dan sangkaan akan menimbulkan perasaan bercelaru dan cuak. 

  4. Musim Covid -19 ini semua kita berada dalam kesusahan. Ingatlah bahawa kita semua ini hamba-hamba Allah walau apapun kedudukan kita, maka berhentilah menyebarkan perkara telahan dan tuduhan yang tidak berasaskan fakta kepada hamba-hamba Allah yang lain.

  5. Ingatlah kepada Allah, ingatlah kepada kiamat kecil yang boleh datang kepada sesiapa sahaja pada bila-bila masa, atas sebab apa sahaja.  Dan ingatlah bahawa kebaikan tidak mungkin dilakukan oleh pihak kita sahaja, tetapi dilakukan juga oleh orang lain.

  6. Ramai kenalan yang keberatan menjadi pendokong kepada mana-mana pertubuhan besar yang selalu berebut ahli, berebut populariti malah berebut undi. Menjadi anggota kata mereka, memaksa kita menerima apa sahaja tanpa kecuali dan menolak apa sahaja tanpa kecuali demi ‘kekitaan’, sedangkan al-Quran dan al-Sunnah mengajar kita supaya menapis dengan piawaian yang jauh lebih adil dan konkrit.

  7. Apabila kita menyebarkan sesuatu status yang dikatakan sebagai ‘isu semasa’, perlu diingat bahawa doa orang yang dizalimi itu mustajab, tidak kira mereka di pihak mana. Maka semaklah dulu kebenaran sesuatu isu, jangan didorong sentimen.

  8. Meletakkan piawaian al-Quran dan al-Sunnah sebagai piawaian penilaian menjadikan kita lebih rasional dan bijaksana, kerana Allah swt itu Maha Bijaksana. Apa yang salah pada piawaian itu maka salahlah di sisi Allah dan apa yang menepati piawaian itu maka benarlah di sisi Allah. Kita ada ideal-self yang jelas untuk dicapai.

  9. Ada satu pesanan Nabi Muhammad saw yang sangat tinggi nilainya dalam memandu kita berkomunikasi dan bersosial, namun selalu diabaikan :






 من كان يؤمن بالله واليوم الآخر  فليقل خيرا أو ليصمت.




“Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari Akhirat, ucaplah perkara-perkara yang baik ataupun diam sahaja.”


(Sahih al-Bukhari, Kitab al-Adab.)





Dr Nabilah Hasan


Isnin 19 Syaaban 1441H


اللهم إنا نعوذ بك من سيء الأسقام










Sunday 5 April 2020

🔴Persoalan Tentang Puasa Sunat Dalam Bulan Syaaban

📌 Soalan :





Adakah kita disunatkan berpuasa pada hari 13, 14 dan 15 dalam bulan Syaaban ini?





Adakah sunat berpuasa pada hari Nisfu Syaaban?





📌Jawapan :






◾️ Tidak ada puasa sunat khusus pada hari Nisfu Syaaban. Dakwaan kelebihan tertentu bagi puasa pada hari tersebut datang daripada hadith palsu dan sangat lemah. 





Malah sambutan Nisfu Syaaban dan amalan khusus yang dilakukan baik pada malam ataupun siangnya adalah kerana mempercayai bahawa lailatul qadar berlaku pada malam Nisfu Syaaban, walhal ia bertentangan dengan al-Quran dan hadith-hadith sahih yang menegaskan lailatul qadar berlaku pada 10 terakhir bulan Ramadhan.






◾️Antara puasa yang disunatkan kepada kita ialah puasa Isnin dan Khamis, puasa hari Arafah, puasa hari ‘Asyura’, puasa 6 hari dalam bulan Syawal dan puasa 3 hari dalam sebulan pada SETIAP BULAN (melainkan Ramadhan).





◾️Apabila kita mahu berpuasa sunat 3 hari dalam sebulan, kita boleh pilih mana-mana hari dalam sebulan, seperti dua Isnin dan satu Khamis, namun hari terbaik yang disarankan oleh Nabi kita Nabi Muhammad s.a.w. ialah hari-hari putih, iaitu pada hari bulan mengambang cerah bertarikh 13, 14 dan 15 setiap bulan (Islam).





Dalam bahasa Arab hari-hari ini dinamakan sebagai Ayyam al-Bidh. (أيام البيض)





◾️Dalil puasa sunat 3 hari dalam sebulan, dan 3 hari yang terbaik itu ialah pada hari-hari putih, ialah hadith-hadith berikut :





Sabda Nabi Muhammad s.a.w. kepada Abdullah bin ’Amr r.a. dalam sebahagian daripada hadith yang panjang :





وصم من الشهر ثلاثة أيام، فإن الحسنة بعشر أمثالها، وذلك مثل صيام الدهر.





Maksudnya :


“Puasalah 3 hari dalam sebulan, kerana setiap satu amalan kebaikan diganjari 10, maka (apabila kamu berpuasa 3 hari dalam sebulan), itu menyamai puasa sepanjang masa.”





(Sahih al-Bukhari, Kitab al-Sawm, Bab Sawm al-Dahr, hlm 697.)





Sabda  Nabi Muhammad s.a.w. kepada Abu Dhar r.a. :





يا أبا ذر اذا صمت شيئا من الشهر فصم ثلاث عشرة وأربع عشرة وخمس عشرة.





Maksudnya :


“Wahai Abu Dhar, apabila kamu berpuasa 3 hari dalam sebulan, puasalah pada 13, 14 dan 15 haribulan.”





(Sunan al-Tirmidhi, Kitab al-Sawm, Bab Puasa 3 Hari Dalam Sebulan)


Hadith hasan sahih.





◾️ Bagi mereka yang sudah melazimi puasa setiap Isnin dan Khamis,elok tambahkan lagi puasa pada 13, 14 dan 15 Syaaban sekiranya mampu kerana Nabi Muhammad saw membanyakkan puasa sunat dalam bulan Syaaban. 



والله الموفق

11 Syaaban 1441 H

5 April 2020



اللهم إنا نعوذ بك من سيء الأسقام







 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Powerade Coupons