❓Soalan 1 :
Adakah kita boleh mengulangi solat Witir selepas solat tahajjud sedangkan kita sudah solat witir selepas solat Tarawih?
❓Soalan 2 :
Adakah kita perlu genapkan witir yang telah dilakukan selepas tarawih (untuk batalkan solat witir sebelum) kemudian solat sunat-sunat lain dua-dua rakaat, baru boleh diakhiri dengan witir semula?
❓Soalan 3 :
Saya sudah biasa mengerjakan solat Witir pada akhir malam sebelum tiba bulan Ramadhan. Adakah saya perlu solat Witir awal bila tiba bulan Ramadhan?
🔴 Jawapan :
🔸Setiap soalan ada latar belakang dan sebabnya. Perbincangan solat Witir panjang dibahaskan dalam kitab-kitab fiqh dan hadith, maka kita ringkaskan bagi menjawab 3 persoalan di atas.
🔸Menjalani ibadah sepanjang Ramadhan, baik siang ataupun malamnya, dalam suasana PKP, adalah lebih afdal kita lewatkan witir ke waktu sahur kerana kita solat Tarawih hanya dengan keluarga kita, bukan mengikut imam di masjid.
Imam kita dalam Ramadhan musim PKP adalah ahli keluarga kita sendiri, maka kita boleh berbincang supaya kita mendapat maksimumkan pahala beribadah mengikut kesesuaian jadual dan disiplin keluarga kita. Imam boleh akhiri solat berjemaah bersama keluarga dengan solat tarawih, bukan solat Witir, apabila ahli keluarga bersetuju untuk lewatkan solat Witir ke 1/3 akhir malam.
🔸Solat witir sebelum tidur asalnya dicadangkan kepada mereka yang bimbang tidak bangun pada akhir malam ataupun waktu sahur.
Ini dapat kita fahami daripada hadith Nabi Muhammad saw :
مَنْ خَافَ أَنْ لَا يَقُومَ مِنْ آخِرِ اللَّيْلِ فَلْيُوتِرْ أَوَّلَهُ
Maksudnya :
“Sesiapa yang bimbang tidak bangun akhir malam (waktu sahur) maka solatlah witir awal-awal...”
(Sahih Muslim, Kitab Solah al-Musafirin wa Qasriha)
🔸Adapun kita dalam bulan Ramadhan, bagi golongan yang sudah biasa bangun awal untuk solat tahajjud dan menutupnya dengan solat witir sebelum Ramadhan tiba, teruskanlah rutin yang baik itu dengan melewatkan witir.
Amalan ini menghilangkan keraguan untuk mengulangi solat witir kerana memang kita akhirkan solat witir itu, sesuai dengan sabda Nabi Muhammad s.a.w. :
اجعلوا آخر صلاتكم بالليل وترا
Maksudnya : “ Jadikanlah solat Witir itu sebagai solat terakhir/penutup bagi solat malam kalian.”
(Sahih al-Bukhari, Kitab al-Witr, Bab li Yaj’al Akhir Solatihi Witra.)
🔸 Barangkali ada juga keluarga yang diimami oleh anak lelaki yang belum biasa bangun solat malam, berbanding ibu dan kakak-kakaknya. Ada kemungkinan imam muda itu mahu solat witir terus sejurus selepas tarawih, kerana si imam muda keberatan bangun qiyamullail.
Ini kesempatan baik untuk mendidik semua ahli keluarga agar bangun qiyamullail sebelum sahur. Galakkan mereka agar merebut peluang dan tawaran yang dinyatakan dalam ayat-ayat al-Quran dan hadith-hadith Nabi Muhammad s.a.w. Antaranya :
🔸Dalam proses itu, puan boleh ikut imam solat witir, kemudian apabila imam beri salam bagi rakaat tunggal, puan bangunlah tambah satu rakaat lagi untuk genapkan.
Maksudnya, ketika imam bangun untuk solat witir, puan niat solat tarawih 2 rakaat, kerana puan akan bangun tambah satu rakaat lagi selepas imam beri salam.
(Solat tarawih sebenarnya boleh dilakukan lebih daripada 8 rakaat ataupun kurang daripada 20 rakaat - akan dibincangkan dalam entri lain.)
🔸Apabila puan bangun awal untuk sediakan sahur, puan boleh solat witir bagi mengakhiri semua solat malam yang telah puan lakukan sepanjang malam itu, yang dimulai dengan solat tarawih pada awal malam.
Solat witir itu sendiri telah dikira sebagai solat tahajjud, kerana maksud solat tahajjud ialah ‘solat sunat yang dikerjakan pada waktu malam selepas kita tidur sebelumnya’.
🔸Oleh yang demikian, jika imam di rumah puan masih bertatih untuk qiyamullail sekalipun, puan masih mendapat pahala ikut imam sehingga akhir dan sekaligus dapat mengakhirkan solat Witir sebagai penutup solat malam puan, sesuai dengan saranan Nabi Muhammad s.a.w.
اجعلوا آخر صلاتكم بالليل وترا
Maksudnya : “ Jadikanlah solat Witir itu sebagai solat terakhir/penutup bagi solat malam kalian.”
(Sahih al-Bukhari, Kitab al-Witr, Bab li Yaj’al Akhir Solatihi Witra.)
🔸 Bagi mereka yang kepenatan siang Ramadhan, bimbang tidak dapat bangun solat pada waktu sahur, maka pilihannya ialah awalkan solat witir.
Demikian juga imam yang mahu melatih ma’mum agar biasa solat Witir, dan merasakan mereka belum mampu bangun sendiri untuk solat Witir pada akhir malam.
Apabila bangun pada waktu sahur, didapati masih ada kemampuan untuk solat sunat lagi, teruskan sahaja solat sunat yang ingin dilakukan, tanpa perlu digenapkan witir sebelumnya dan tidak perlu lagi untuk witir kali kedua, sesuai dengan hadith Nabi Muhammad s.a.w. :
لا وتران في ليلة
Maksudnya :
”Tiada 2 witir pada satu malam.”
(Sunan al-Tirmidhi, Kitab al-Solah, Bab Ma Jaa La Witrani fi Laylah)
والله الموفق
Dr Nabilah Hasan
3 Ramadhan 1441H
26 April 2020
PKP Tiong, Kota Bharu.
اللهم إنا نعوذ بك من سيء الأسقام
0 comments:
Post a Comment