"Pelaut, sumber rezeki mereka ada di laut. Sebahagian besar ujian hidup mereka pun ada di laut. Kerana lautan adalah kehidupan bagi seorang pelaut."
Permintaan wakil peserta GEMS agar dikupas tema REZEKI telah menemukan penyampai dan penerima dengan banyak perkara yang menakjubkan.
(Seperti dalam kebanyakan kuliah-kuliah di universiti, majoriti peserta adalah kaum hawa.)
Bagi seorang penyampai, judul yang diminta adalah sebuah assignment. Perlu dirujuk kepada sumber berautoriti. Sedaya upaya cuba dihayati. Penyampai memikul tanggungjawab mempelajari dan menghayati sesuatu, lebih berat daripada penerima.
Oleh kerana hidup tanpa berkongsi apa-apa adalah kehidupan yang sangat sunyi, maka suka saya kongsikan sebahagian daripada poin utamanya dalam entri ini.
PERTAMA : KITA DIUJI DENGAN ADA ATAUPUN TIADA
Ketika tidak mempunyai sesuatu, ramai orang mengeluh kerana ingin mendapatkannya dan ingin memilikinya.
Namun, berapa ramai yang sudah memilki, tetapi tetap mengeluh dan mengeluh lagi disebabkan oleh hal-hal yang tidak memuaskan hati.
Biar berapa banyak pun perkara yang kita perolehi, jika kita mencari kesempurnaan hidup di sini, kita tetap tidak akan benar-benar berpuashati. Kita akan selalu berasa tidak cukup dan tidak lengkap.
Sudah ada, tiba-tiba perlu dibaiki pula. Sudah siap, perlu tambahan pula. Mungkin juga yang diperolehi itu tidak sepadan dengan kehendak sebenar. Lalu, yang sudah dimilki ditukar pula kepada yang lain.
Hakikatnya kita hidup di tempat yang sementara. Tempat persinggahan dan tempat ujian. Perkara yang manusia ingin miliki itu kelak akan menjadi ujian juga kepada mereka.
Namun kerana ia adalah keperluan fitrah, manusia tetap berusaha mendapatkannya. Malah mencari rezeki itu suatu usaha yang mulia, menjadi ibadat yang diberi pahala. Cepat atau lambat, sesuai dengan usaha kita dan sesuai dengan kehendak dan kadar ketentuanNya, Allah memang akan memberikan perkara-perkara yang menjadi keperluan itu kepada kita.
Nikmat Dan Ujian
Perbezaan di antara orang yang menyedari bahawa nikmat adalah ujian, dengan orang yang tidak menyedarinya, adalah dari segi tatacara bagaimana dia menguruskan dan berinteraksi dengan nikmat itu nanti. Orang yang menyedarinya akan berusaha agar nikmat menjadi sumber pahala, bukan penambah dosa.
Hari ini kita mungkin tergolong di kalangan mereka yang diuji dengan 'tiada'. Esok, kita pula yang akan diberi peluang, manakala mereka yang diuji dengan 'ada' pula akan merasai ujian dengan 'tiada.' Di penghujung kisah, kita akan melepaskan semua perkara yang pernah kita miliki, lalu kita pun kembali kepadaNya.
Slogan 'sentiasa berada di puncak' termasuk dalam senarai perkara-perkara yang sementara di dunia ini.
Antara ayat kunci daripada al-Quran yang kita baca setiap hari, ialah ayat 7 Surah al-Kahfi (Gua).
(7) إِنَّا جَعَلْنَا مَا عَلَى الأَرْضِ زِينَةً لَّهَا لِنَبْلُوَهُمْ أَيُّهُمْ أَحْسَنُ عَمَلا
"Sesungguhnya Kami telah menjadikan apa yang ada di bumi sebagai perhiasan baginya agar Kami menguji mereka, siapakah di antara mereka yang paling baik amalannya."
KEDUA : TUJUAN ALLAH MEMBERIKAN REZEKI
Allah memberi rezeki kepada orang beriman |
Tidaklah layak kita memperkatakannya, jikalau Allah tidak menyebutkannya dalam wahyu yang Dia turunkan sebagai peringatan kepada kita. Surah al-Jumu'ah ayat 10.
(10) وَابْتَغُوا مِنْ فَضْلِ اللَّهِ وَاذْكُرُوا اللَّهَ كَثِيرًا لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ
"Dan carilah apa yang kamu hajati dari limpah kurnia Allah,
serta ingatlah akan Allah banyak-banyak (dalam segala keadaan),
supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat). "(10)
Allah memerintahkan manusia mencari rezeki agar manusia dapat beribadat kepadaNya.
Ibadat umum dan khusus, memerlukan rezeki. Dari mana datangnya pakaian untuk menutup aurat, makanan untuk menguatkan fizikal, rumah tempat berteduh dan kenderaan untuk beramal saleh?
Teringat saya kepada judul al-Kasbu al-Halal yang pernah dipelajari di Maahad Muhammadi Perempuan semasa dalam Tingkatan 4. Bukunya masih saya simpan, sebagai kenangan manis pengajian yang tidak mungkin dapat dilupakan. Kutaib (buku kecil) yang memberikan seribu erti.
KETIGA : ANTARA ASBAB REZEKI BAGI ORANG BERIMAN
Pertama : TAQWA
Tajuk yang dipinta juga telah menyebabkan saya bertemu suatu kisah dalam konteks yang tidak disangka.
Umumnya, Abdullah bin al-Mubarak (118H-181H) sangat dikenali oleh para penuntut ilmu dalam bidang pengajian al-Hadith, dek kata-katanya yang masyhur :
".الإسناد من الدين، ولو لا الإسناد لقال من شاء ما شاء"
Tetapi mungkin ramai yang masih tidak mengenali siapakah tokoh ini, dan kisah asal-usul keluarganya.
Ayahandanya Mubarak, orang Turki. Ibunya orang Khurasan. Semasa muda, Mubarak adalah seorang pekerja bawahan, seorang hamba yang bekerja menjaga kebun buah-buahan milik majikannya, seorang usahawan muslim yang kaya raya.
Pada suatu hari, tuan kebun datang melawat kebunnya. Dia memanggil Mubarak, pekerjanya itu. "Wahai Mubarak, ambilkan saya sebiji buah delima manis."
Mubarak berlalu dan pergi mengambilnya di pohon. Dia membawakan sebiji buah delima. Tuan kebun pun membelah dan menjamahnya. Masam!
Majikannya kecewa. "Saya minta delima manis, tetapi kamu bawa delima masam. Ambilkan yang manis!"
Mubarak berlalu pergi sekali lagi. Kali ini dia memetik dari pohon yang lain pula. Apabila dibelah dan dijamah oleh majikannya, ternyata delima yang satu lagi itupun masam juga.
Begitulah berulang, sampai tiga kali.
Majikannya pun bertanya kepada Mubarak, "Kamu tidak tahu yang mana delima manis, dan yang mana delima masam?"
"Tidak."
"Bagaimana mungkin perkara ini boleh berlaku?"
"Sebab saya tidak pernah makan, bagaimana mungkin saya hendak tahu."
"Mengapa pula kamu tidak makan?"
"Kerana tuan tidak pernah pula beri izin kepada saya makan buah dari kebun ini."
Kagum tuan kebun mendengarnya. Apabila tersingkap kejujuran hambanya itu, dia bertambah hormat kepada Mubarak.
Tuan kebun mempunyai seorang anak gadis, yang sudah beberapa kali dilamar orang. Dia bertanya kepada Mubarak, "Wahai Mubarak, pada pandangan kamu, siapa yang patut mengahwini anak perempuan saya?"
Jawab Mubarak, "Orang jahiliyah berkahwin berdasarkan keturunan, orang Yahudi berdasarkan harta, orang Nasrani berdasarkan paras rupa, manakala umat Islam memilih berdasarkan agama."
Tuan kebun kagum dengan kebijaksanaan Mubarak. Apabila pulang, dia menceritakan hal itu kepada isterinya, dan berkata, "Saya tidak nampak orang lain lagi yang patut menjadi suami anakanda kita, melainkan Mubarak." (Al-Rizq Asbabuhu wa Mafatihuhu, halaman 27-28)
Demikian bermula kisah ibu dan ayah kepada Abdullah bin al-Mubarak, seorang yang alim, ahli hadith, ahli fiqh, kaya-raya, zuhud, halus budi pekertinya, dermawan dan seorang pejuang fi sabilillah.
Moga Rezeki Bukan Istidraj
Walaupun taqwa pembuka pintu rezeki, orang-orang saleh yang beriman dan bertaqwa dahulu, tetap bimbang kalau-kalau rezeki yang mereka perolehi menjadi istidraj kepada mereka.
Istidraj secara mudahnya ialah mengumpan dan menurunkan darjat. Setiapkali seorang hamba melakukan maksiat, Allah beri lagi nikmat kepadanya, menyebabkan dia lupa untuk memohon ampun. Dia semakin dekat dengan azab sedikit demi sedikit, selangkah demi selangkah, bukan mendadak.
Bukanlah perkara yang menghairankan, sekiranya orang yang melakukan dosa, mendapat nikmat demi nikmat. Mohon Allah lindungi kita. Mohon rezeki mendekatkan kita kepada keampunan Allah, bukan mendekatkan kepada azabNya.
Kedua : SELALU BERISTIGHFAR DAN BERTAUBAT
Surah Nuh, ayat 10-12.
فَقُلْتُ اسْتَغْفِرُوا رَبَّكُمْ إِنَّهُ كَانَ غَفَّارًا(10) يُرْسِلِ السَّمَاءَ عَلَيْكُمْ مِدْرَارًا (11) وَيُمْدِدْكُمْ بِأَمْوَالٍ وَبَنِينَ وَيَجْعَلْ لَكُمْ جَنّاتٍ وَيَجْعَلْ لَكُمْ أَنْهَارًا(12
"Sehingga aku berkata (kepada mereka): Pohonkanlah ampun kepada Tuhan kamu,
sesungguhnya adalah Dia Maha Pengampun. (10) (Sekiranya kamu berbuat demikian),
Dia akan menghantarkan hujan lebat mencurah-curah kepada kamu (11) Dan Dia akan memberi kepada kamu dengan banyaknya harta kekayaan serta anak-pinak; dan Dia akan mengadakan bagi kamu kebun-kebun tanaman, serta mengadakan bagi kamu sungai-sungai (yang mengalir di dalamnya). (12)
Kata Ibn Kathir dalam tafsirnya, "Inilah sebab mengapa digalakkan membaca Surah Nuh ini dalam solat Istisqa' (solat memohon hujan), kerana adanya ayat ini." (Ayat 11)
Ketiga : JAUHI PERBUATAN DOSA
Surah al-Syura, ayat 30.
(30) وَمَا أَصَابَكُمْ مِنْ مُصِيبَةٍ فَبِمَا كَسَبَتْ أَيْدِيكُمْ وَيَعْفُو عَنْ كَثِيرٍ
Dan apa jua yang menimpa kamu dari sesuatu kesusahan (atau bala bencana),
maka ia adalah disebabkan apa yang kamu lakukan (dari perbuatan-perbuatan yang salah dan berdosa) dan (dalam pada itu) Allah memaafkan sebahagian besar dari dosa-dosa kamu. (30)
Apa sahaja yang diperolehi ataupun diberikan secara tidak jujur, isi dan natijahnya kelak juga akan penuh dengan pembohongan dan perkara yang menyesakkan jiwa.
Bukan hanya satu kes masalah rumahtangga yang pernah diterima, di mana cabaran demi cabaran menimpa, penipuan demi penipuan berlaku, akhirnya mangsa mendedahkan kecurangan yang pernah berlaku semasa memperolehi rezeki buat mereka sekeluarga.
Itu kotak rumahtangga. Kotak-kotak lain pun begitulah juga.
Kotak dunia akademik.
Kotak politik.
TAKUT TIDAK MENDAPAT REZEKI?
Kebimbangan umum yang menimpa manusia. Hidup perlu dirancang dan diatur, tetapi bukan sampai hilang kebergantungan kita kepada Tuhan. Ketika harapan dirasakan hampir mustahil, mari kita renungkan 2 makhluk yang lebih lemah fizikal dan mentalnya berbanding kita.
1. Burung.
Makhluk yang tidak pernah mendapat pendidikan di universiti. Malah tiada dua tangan seperti kita, yang menghimpunkan banyak kepandaian dan kemahiran. Sang burung hanya memiliki dua kaki sebagai anggota buat berpegang kejap, dan dua sayap buat terbang mencari rezeki. Tiada kenderaan yang pernah dikuasainya.
Namun mereka keluar lebih pagi daripada kita. Zikir mereka kepada Allah tenggelam dalam hiruk pikuk kenderaan manusia di pagi hari, yang mungkin ingat kepada Allah yang memberi rezeki, ataupun mungkin juga tidak ingat.
Petang-petang, burung-burung kembali ke sarang. Berkicau lagi, berzikir kepada Tuhan. Perut mereka kenyang, tidak kelaparan. Walaupun tidak bertangan, anak-anak tetap disuap dengan paruh.
Esok, mereka akan terbang lagi.
2. Manusia Yang Kurang Akal
Di kawasan tempat saya tinggal, ada beberapa orang yang ditakdirkan hilang akal. Selalu kami temui dalam perjalanan pergi dan pulang. Saya katakan kepada anak-anak, walaupun orang itu nampak seperti 'tidak bagus,' (seperti aurat terbuka, merokok dan mengambil hak orang lain), malaikat tidak lagi menulis kesalahannya. Sebab dia tidak sedar dan tidak berakal seperti kita. Mohon Allah memelihara kita, bersyukur di atas nikmat akal dan nikmat sedar yang Allah berikan kepada kita.
Salah seorang daripada mereka, seorang pemuda, selalu bertembung dengan kami di kedai-kedai tempat kami singgah.
Kerja pemuda itu mudah sahaja. Setiapkali dia masuk kedai, dia akan berkata, "Minta duit seringgit."
Wajahnya kosong. Tiada air muka yang membayangkan apa-apa. Tiada malu ataupun rasa bersalah. Acapkali kami lihat tuan kedai menghulurkan sesuatu kepadanya. Yang tidak beri wang, mereka berikan makanan dan minuman. Adakalanya dia meminta daripada pelanggan kedai, dan mereka pun memberi kepadanya. "Selagi tidak diberi, dia tidak akan pergi," itu kata mereka.
Maha suci Allah daripada segala kekurangan. Semua makhluk tidak lepas daripada pemerhatian dan pengetahuanNya.
Hanya kita yang tidak tahu apakah rahsia di sebaliknya.
*****
Kita, jauh lebih baik. Malah berganda-ganda. Insya Allah, dengan melakukan SESUATU yang halal dan bermaruah, kita akan mendapat rezeki.
DO SOMETHING! |
Kisah al-Mubarak bukan kisah lampau yang klasik buat penyedap cerita. Kisah itu perlu kita ambil iktibar dan contohi pada setiap zaman, di setiap peringkat. Selagi ada orang yang beriman, sifat jujur akan terpelihara, nasib yang lemah akan terbela, tanpa mengira bangsa dan agama.
Kerana iman bukan slogan.
Kekayaan akan terurus dan terpelihara di bawah penjagaan orang yang jujur. Allah tidak lupakan orang yang jujur, walaupun manusia mungkin akan lupa. Allah menghargai, walaupun manusia mungkin tidak menghargai.
Sekiranya anda berpeluang dan berkemampuan, elok membaca karya tentang rezeki di sini. Dalam banyak keadaan, ada perkara yang tidak dapat diulas oleh pengulas, atas pelbagai jenis kekangan. Antaranya ialah sebab ilmu dan keihklasan pengulas dan penulis asal tidaklah sama. Seumpama kita yang adakalanya boleh tersentak dan terharu apabila mendengar bacaan dan ulasan ayat al-Quran daripada seseorang. Namun apabila mendengar ayat yang sama dibaca oleh orang lain, meskipun dengan suara dan lagu yang jauh lebih baik, kita tidak pula mendapat pengalaman semanis itu!
Mengendalikan permintaan supaya mengupas sesuatu tajuk sangat bermanfaat kepada orang yang memberi, walaupun tujuan asalnya untuk manfaat penerima. Sementelah semua orang yang memberi itu adalah orang yang menerima daripada rujukan yang dibacanya, ataupun mengingat dan mengulas kembali pengalaman-pengalaman yang pernah dilaluinya, dengan bantuan sedikit ilmu yang pernah diperolehinya.
Permintaan saudari Nisa tempoh hari, telah menyebabkan kita kembali merenung diri sendiri, dan selalu teringatkan kisah indah dalam sebuah kebun delima, yang menyaksikan taqwa bapa Abdullah bin al-Mubarak, rahimahullah.
Ya Allah, ampunilah dosa-dosa kami, kasihanilah kami, peliharalah kami daripada perkara-perkara buruk, dan berilah rezeki kepada kami.
اللهم اغفرلي وارحمني وعافني وارزقني
0 comments:
Post a Comment