Di dalam buku Purnama Madinah karya Ibn Saad, Bandung , Mizan 1997, muka surat 173, ada tercatat  sebuah hadis yang berbunyi, Umar pernah berkata, “Ya Rasul, mahukah  engkau mendengar aduan saya? Kami kaum Quraisy biasa menguasai isteri  kami. 
Kemudian  kami pindah ke sebuah masyarakat (Madinah) di mana lelaki tunduk diam  pada isteri mereka. Kemudian kaum perempuan kami meniru perilaku  perempuan Ansar ini. 
Suatu  hari saya menegur isteri saya dan dia menjawab balas. Saya tidak  menyukai perilaku seperti itu. Dan dia berkata, ‘Apakah kanda tidak  menyukai dinda menjawab? Demi Allah, para isteri Rasullullah menjawab  balas baginda. Sebahagian mereka mendiamkan baginda sepanjang hari  sampai malam.’ Saya (Umar) lalu berkata, ‘Dia rugi. Apakah dia merasa  aman dari kemurkaan Allah kerana kemarahan Rasulnya sehingga dia  mendapat hukuman?’” Nabi tersenyum dan tidak menjawab aduan daripada Sayidina Umar itu. (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Rasulullah  SAW tidak mengiyakan ataupun menidakkan perkataan Umar. Isteri juga  mempunyai suara dan pendapat yang harus didengari suami. (Cuma  perbincangannya haruslah dengan hikmah). Al-Hafizh Ibnu Hajar berkata,  “Dari hadis tersebut dapat diambil pelajaran bahawa terlalu keras  terhadap isteri bukanlah sikap yang terpuji. Sebab, Rasulullah SAW  sendiri meniru sikap orang  Ansar dalam memperlakukan wanita mereka dan meninggalkan sikap kaum baginda  sendiri.”
·UMAR MENCONTOHI KESABARAN RASULULLAH TERHADAP LETERAN ISTERI
Seorang  lelaki datang ke rumah Umar bagi mengadu perihal isterinya yang suka  berleter. Tatkala sampai, dia mendengar Umar sedang dileteri isterinya.  Umar tidak menjawab sepatah pun. Lelaki itu beredar sambil berkata,
“Kalau beginilah keadaan Umar, seorang Amirul Mukminin yang selalu keras dan tegas, maka bagaimana pula dengan aku?”
Selepas  itu Umar keluar dari rumahnya lalu terlihat lelaki tadi beredar. Umar  memanggilnya dan bertanya tujuan kedatangannya. Lelaki itu berkata,
“Wahai Amirulmukminin,tujuan  kedatanganku adalah untuk mengadu berkenaan perangai buruk isteriku  yang suka berleter. Tadi aku baru sahaja mendengar isterimu juga begitu.  Lalu aku berkata kepada diriku, kalau begini keadaan Amirulmukminin dengan isterinya, maka bagaimana dengan aku?”
Umarpun berkata kepadanya, 
“Wahai  saudaraku! Sesungguhnya aku bersabar mendengar leterannya kerana dia  mempunyai hak ke atasku. Sesungguhnya dia memasak makanan untukku,  mengadun roti untukku, membasuh pakaianku dan menyusui anakku, padahal  semua itu tidak diwajibkan ke atasnya. Dia juga menenangkan hatiku  daripada melakukan perbuatan yang haram (zina). Sebab itulah aku  bersabar dengan kerenahnya.
Lelaki itu menjawab,
“Wahai Amirulmukminin, demikian jugalah isteriku.”
Umar berkata,
“Maka bersabarlah wahai saudaraku. Sesungguhnya kerenahnya tidak lama. Hanya seketika sahaja.”
Rasulullah SAW sendiri telah mengingatkan,
“Janganlah  seseorang yang beriman (lelaki) membenci seorang (isterinya yang)  beriman (perempuan), kerana walaupun ada satu perangainya yang lelaki  itu tidak suka, tetapi (tentu) ada lain perangainya yang dia  suka.”(Riwayat Muslim dan Ahmad).
18:37

 Posted in:  
0 comments:
Post a Comment