Sanggul dalam keadaan biasa yang dibuat wanita untuk mengemaskan rambutnya untuk mengelak dari mengurai, tidaklah ada larangan Syarak terhadapnya asalkan ia tidak mendedahnya untuk tontonan orang ramai (selain suami, mahram dan sesama wanita) kerana rambut berada dalam kawasan aurat yang wajib ditutup.
Adapun sanggul yang dibuat untuk tujuan fesyen dan untuk menunjuk-nunjuk kepada orang lain (yakni sekalipun berada di bawah tudung, tetapi menjadi tarikan kepada orang lain) dibimbangi wanita yang melakukannya tergolong dalam salah satu dari dua golongan ahli neraka yang disebut oleh Rasulullah –sallallahu ‘alaihi wasallam- dalam hadis di bawah;
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ صِنْفَانِ مِنْ أَهْلِ النَّارِ لَمْ أَرَهُمَا قَوْمٌ مَعَهُمْ سِيَاطٌ كَأَذْنَابِ الْبَقَرِ يَضْرِبُونَ بِهَا النَّاسَ وَنِسَاءٌ كَاسِيَاتٌ عَارِيَاتٌ مُمِيلَاتٌ مَائِلَاتٌ رُءُوسُهُنَّ كَأَسْنِمَةِ الْبُخْتِ الْمَائِلَةِ لَا يَدْخُلْنَ الْجَنَّةَ وَلَا يَجِدْنَ رِيحَهَا وَإِنَّ رِيحَهَا لَيُوجَدُ مِنْ مَسِيرَةِ كَذَا وَكَذَا
“Dua golongan dari ahli neraka yang aku belum melihat kedua-duanya iaitu;
1. Kaum yang membawa cambuk seperti ekor lembu untuk memukul manusia dengannya, dan;
2. Wanita-wanita yang berpakaian tetapi bertelanjang, yang cenderung kepada perbuatan maksiat dan mencederungkan orang lain kepadanya. Kepala-kepala mereka umpama bonggol-bonggol unta yang senget. Mereka ini tidak akan dapat memasuki syurga dan tidak akan mencium baunya di mana bau syurga dapat dicium dari jarak perjalanan sekian sekian jauh”.
(Riwayat Imam Muslim dari Abu Hurairah –radhiyallahu ‘anhu-).[1]
Dalam hadis di atas, Nabi mendedahkan dua golongan dari umatnya yang perlakuan mereka belum nampak pada zaman baginda akan tetapi akan muncul pada zaman selepas baginda, iaitu;
a) Golongan pertama; golongan yang suka mendera dan memeras orang-orang bawahannya (termasuk pemerintah-pemerintah yang zalim) di mana mereka diumpamakan Nabi seperti seorang tuan yang memegang cambuk dan memukul hamba bawahannya.
b) Golongan kedua; wanita-wanita yang berpakaian tetapi bertelanjang (yakni tidak menutup aurat dengan sempurna) di mana mereka cenderung kepada maksiat dan melakukan tindakan-tindakan yang mendorong orang lain kepada maksiat.
Di dalam hadis di atas, bukan larangan sanggul yang dimaksudkan oleh Nabi apabila menyebutkan “kepala-kepala mereka umpama bonggol-bonggol unta…”, akan tetapi tujuan sanggul itu dibuat iaitulah untuk menarik perhatian orang lain kepada mereka di samping mereka mendedahkan sanggul itu untuk diperlihatkan kepada orang ramai. Ini dapat kita fahami dari keadaan mereka yang disifatkan Nabi dalam ungkapan sebelumnya “…berpakaian tetapi bertelanjang, yang cenderung kepada perbuatan maksiat dan mencederungkan orang lain kepada maksiat…”.
Menurut Imam an-Nawawi; maksud ungkapan Nabi “kepala-kepala mereka umpama bonggol-bonggol unta” ialah mereka membesarkan rambut di kepala mereka dengan melilitnya dengan kain serban atau kain-kain lilitan yang lain (Syarah Soheh Muslim).
Jelaslah kepada kita bahawa yang dimaksudkan oleh Nabi dalam hadis di atas –berdasarkan tafsiran ulamak- ialah fesyen-fesyen yang dibuat pada rambut untuk tujuan menarik perhatian orang lain.
Wanita-wanita Islam wajib menjaga penampilan diri mereka agar jangan menimbulkan ghairah dan nafsu lelaki ajnabi walaupun dengan perbuatan yang hukum asalnya adalah harus.
Kesimpulannya, sanggul pada asalnya tidaklah dilarang, namun jika dibuat dengan tujuan untuk memperlihatkan keaadan sanggul itu di khalayak ramai atau untuk menarik perhatian mereka, ia adalah dilarang berdasarkan ayat al-Quran dan hadis di atas.
Sumber
0 comments:
Post a Comment