Thursday 24 December 2020

HADITH PALSU : BACAAN 100, 000 KALI SURAH AL-IKHLAS

Soalan :

Assalamualaikum ustazah.

Adakah membaca surah al-Ikhlas sebanyak 100 ribu kali mempunyai kelebihan yang dinyatakan dalam hadith?

Jawapan :

Waalaikumussalam.

🔴Bilangan bacaan 100 ribu ini  sebenarnya datang daripada HADITH PALSU. Jangan sebarkan hadith palsu dan jangan percaya kepada ganjaran dalam hadith palsu.

Perbuatan menyebarkan hadith palsu menempah neraka kerana hadith palsu adalah satu bentuk pendustaan atas nama Nabi Muhammad saw.

🔴Banyakkan bacaan al-Ikhlas dengan pemahaman dan penghayatan kerana  kandungannya membentuk TAUHID dalam jiwa dan amalan kita.

Inilah maksud hadith sahih, iaitu membaca Surah al-Ikhlas dengan penghayatan menyamai 1/3 al-Quran kerana 1/3 al-Quran mengandungi persoalan TAUHID. Ia bukan bermaksud membaca surah al-Ikhlas boleh menggantikan membaca 1/3 al-Quran.

Ini juga bermakna bahawa membaca  3 kali Surah al-Ikhlas tidak sama dengan khatam al-Quran. Setiap surah dan setiap ayat ada kelebihan yang tersendiri yang tidak boleh digantikan di antara satu sama lain. Malah ayat al-Quran yang berkaitan saling menjelaskan di antara satu sama lain.

🔴 Cukuplah kita dengan hadith-hadith yang sahih dengan memahami dan menghayatinya dengan cara yang benar.

Suka membaca Surah al-Ikhlas dan mengulanginya adalah amalan yang baik. Apatah lagi digandingkan dengan al-Falaq dan al-Naas, sebagaimana yang dianjurkan dalam hadith yang sahih.

Jika membaca dengan bilangan tertentu, hendaklah kita komited membacanya (bersama penghayatan makna) dengan bilangan yang diajarkan oleh Nabi Muhammad saw dalam hadith-hadith yag sahih.

Bilangan yang dianjurkan  oleh nabi kita dalam hadith sahih sesuai dengan fitrah insan, tidak membebankan dan mengandungi hikmah yang tidak terbilang.

Bagi memastikan kita mendapat semua kebaikan bacaan zikir harian yang diajarkan oleh Nabi Muhammad saw, usahakan agar kita dapat mengamalkan zikir harian ini, pagi dan petang.



والله الموفق


Wednesday 16 December 2020

BERNAZAR PUASA SEMINGGU


 Assalamualaikum Ustazah.

Anak saya bernazar mahu menunaikan puasa selama seminggu jika dia berjaya dalam peperiksaannya.


Adakah puasa nazar itu perlu ditunaikan secara berturut-turut, ataupun boleh diselang selikan sehingga cukup seminggu berpuasa?

Jawapan Ringkas :

Waalaikumussalam.

Puasa nazar wajib ditunaikan kerana ia sejenis janji ataupun sumpah atas nama Allah. 

Jika tuan empunya diri memang ada niat untuk puasa nazar berturut-turut selama seminggu, maka puasa nazar itu tidak boleh ada senggang, tidak boleh selang seli, mesti dilakukan secara berterusan sehingga cukup 7 hari.

Jika tuan empunya diri yang bernazar tidak berniat bahawa puasa seminggu itu berturut-turut, maka tidak mengapa dia tunaikan secara selang seli mengikut kemampuan sehingga selesai 7 hari puasa. 

Dinasihatkan agar tidak bertangguh lama kerana menunaikan nazar adalah suatu bentuk kewajipan yang mesti didahulukan.

Semoga  Allah permudahkan urusan anak Puan dalam menunaikan puasa nazarnya.


اللهم أعنا على ذكرك وشكرك وحسن عبادتك

HADITH PALSU ELAK MATI MENDADAK

🔴 Soalan

Assalamualaikum Ustazah,

Mohon pencerahan, adakah kita boleh amalkan amalan ini untuk elakkan mati mendadak?

Terima kasih.


🔴 Jawapan :

Waalaikumussalam.

📌 Ini hadith palsu. Haram menyebarkannya atas nama Nabi Muhammad s.a.w.

📌 Versi asal hadith palsu ini lebih panjang, lebih banyak fadilat-fadilat rekaan yang ditempelkan padanya.

Tidak ada satu pun doa yang diajar oleh Nabi Muhammad saw dalam bentuk  cukup dibaca sekali seumur hidup. Doa ma’thur dalam hadith-hadith yang sahih dan thabit adalah doa-doa yang perlu selalu diulangi, sentiasa memohonnya kepada Allah. 

📌 Apakah sebenarnya maksud mati mendadak yang dikehendaki oleh tulisan tersebut?

📌 Dalam ilmu fiqh, para ulama’ membincangkan persoalan mati mendadak dengan jelas.

Para ulama’ mengatakan mati mendadak bagi orang yang banyak maksiat adalah satu bentuk hukuman dan kemurkaan Allah, sebab dia tidak sempat bertaubat.

Manakala mati mendadak bagi orang soleh, seperti mati dalam tidur, adalah satu bentuk rahmat Allah kepadanya.

Bukan semua mati mendadak itu tidak elok.

📌 Berdoalah dengan doa-doa daripada hadith-hadith sahih ataupun thabit yang telah kita pelajari. Doa ajaran Nabi Muhammad saw ringkas perkataannya, indah bahasanya, sangat mendalam maknanya, meliputi keperluan kita dunia dan akhirat, serta tidak jemu kita mengulanginya.

📌 Semoga kita semua dikurniakan Allah dengan husnul khatimah.

Mati dalam keimanan penuh kepada Allah, mendapat keampunan Allah.

Mati dalam limpah rahmat dan kasih sayang Allah. 

اللهم اهدنا وسددنا


Sunday 15 November 2020

Hadith Palsu Pelaris Barangan

Assalamualaikum.

Apa pandangan ustazah tentang topi, kopiah dan pakaian lain yang berlogo capal yang dikatakan direka dan dijual supaya orang ingat kepada Nabi dan berselawat. Lambang ini juga kelihatan terpampang sebagai penaja ceramah dan sebagainya.


Waalaikumussalam.

Ini jawapan kita secara ringkas.

  1. Haram menggunakan hadith palsu dalam apa tujuan sekalipun, termasuk untuk menyuruh orang berbuat baik. 
  2. Lakaran capal berasal daripada kepercayaan pelakar terhadap satu HADITH PALSU, kononnya Nabi Muhammad saw naik dengan selipar-seliparnya ke arasy pada malam mi’raj. Inilah sebab mengapa kita dapati capal yang dilakar, bukan pakaian lain. 
  3. Berdusta atas nama Nabi Muhammad saw ataupun membuat dan menyebar hadith palsu diancam dengan neraka. Apatah lagi menjadikannya sebagai pegangan dan amalan.
  4. Haram mencari keuntungan di atas sesuatu pendustaan terhadap Nabi Muhammad saw.
  5. Sejarah melariskan barangan dengan melakukan pendustaan di atas nama Nabi Muhammad saw telah dicatatkan oleh para ulama’. Antaranya boleh dibaca dalam karya Ibn Qayyim al-Jawziyyah berjudul al-Manar al-Munif fi al-Sahih wa al-Daif dan karya Ibn al-Jawzi berjudul al-Mawdu’at.
  6. Amalan soleh tidak memerlukan lakaran dan logo rekaan begini untuk mengingatkan orang supaya melakukannya. Cukuplah dengan membawa peringatan daripada ayat al-Quran dan hadith yang sahih supaya orang melakukan amalan soleh.
  7. Zaman teknologi ini ada banyak cara untuk menggalakkan orang beramal saleh dan berselawat. Hantar sahaja teks selawat yang sahih diajarkan oleh Nabi Muhammad saw dengan cara menarik kepada kenalan dan keluarga. Tidak perlu memakai topi atau pakaian berlogo demikian dahulu baru teringat hendak berselawat.
  8. Sayang sejati tidak memungkinkan seseorang itu tergamak berdusta atas nama orang yang dia kasihi. Jika dilakukan juga, sayang yang didakwa itu pasti palsu semata.
  9. Hakikat yang perlu diterima ialah logo ini adalah lambang ajaran sesat Brelwiyyah yang terkenal dengan memuja kubur. Berdoalah agar kita semua sentiasa diberikan petunjuk ke jalan yang lurus. 
  10. Lambang yang tiada kaitan dengan mana-mana kepercayaan salah, yang tidak bersalahan dengan prinsip Islam telah digunakan secara meluas, mendatangkan keuntungan dan tidak mendapat bantahan. Mengapa capal yang menjadi lambang ajaran sesat pula dipilih?
  11. Selamatkanlah diri kita daripada golongan yang disebut dalam hadith:
          من غشنا فليس منا        
     Maksudnya : Sesiapa yang menipu  kami,  dia bukan daripada golongan kami. 

والله الموفق

اللهم اهدنا وسددنا
Isnin 12.40 tengahari
16/11/2020

Thursday 12 November 2020

HUKUM BERI ISYARAT HORMAT MENGGANTIKAN BERJABAT TANGAN

Soalan :

Assalamualaikum.

Tersebar satu tulisan yang mengatakan bahawa memberi isyarat hormat ke dada menggantikan bersalam itu haram kerana meniru perbuatan orang kafir. 

Mohon pandangan ustazah.

Jawapan Ringkas :

Waalaikumussalam.

Pelbagai Isu Tular

Banyak isu tular seiring dengan menularnya waba’ Covid-19. Bermula dengan kontroversi bahawa Covid -19 itu dikatakan sebagai konspirasi Yahudi, isu pemakaian mask semasa solat tidak sah, penjarakan semasa solat berjamaah meniru amalan kuil, penetapan had jemaah semasa solat Jumaat agenda musuh Islam, sehinggalah kepada isu ini, iaitu memberi isyarat hormat bagi menggantikan berjabat tangan.

Dalam isu penjarakan semasa solat berjamaah di masjid misalnya, ada yang mendakwa cara itu meniru agama lain di tempat ibadat mereka. Disebarkan gambar perbandingan keduanya dalam media sosial sehingga para ilmuwan terpaksa menjelaskan tentangnya.

Bagi mendapatkan kedudukan hukum dalam isu ini, kita perlu bincangkan satu persatu perkara yang berkaitan meskipun hanya secara ringkas.

Hukum Asal ‘Greeting’ Dalam Islam

Dalam Islam ada dua anjuran yang berbeza apabila 2 orang bertemu di antara satu sama lain. Pertama ialah memberi ataupun mengucapkan salam, dan kedua ialah berjabat tangan. Kita gunakan istilah berjabat tangan sepanjang penulisan ini walaupun dalam perbualan disebut sebagai ‘bersalam’ untuk mengelakkan kekeliruan.

Kedua-duanya dimaklumi berdalilkan hadith yang sahih, sangat dituntut dan mendapat ganjaran yang besar.

Pertama : Mengucapkan salam.

Antara dalil disyariatkan memberi salam ataupun mengucapkan salam ialah sabda Nabi Muhammad saw : 

لَا تَدْخُلُوا الجَنَّةَ حَتَّى تُؤمِنُوا، وَلا تُؤمِنُوا حَتَّى تَحَابُّوا، أَوَلَا أَدُلُّكُمْ عَلى شَيْءٍ إذَا فَعَلْتُمُوهُ تَحَابَبْتُمْ : 
أَفْشُوا السَلام بَيْنَكُمْ. 

Maksudnya : “Kalian tidak dapat masuk syurga sehinggalah kalian beriman dan kalian tidak dikira sempurna iman sehinggalah kalian saling mengasihi. Saya tunjukkan kalian sesuatu yang jika dilakukan, kalian akan saling mengasihi : sebarkanlah salam di kalangan kalian.”
(Sahih Muslim)

Perbincangan tentang memberi salam dan menjawab salam ini agak panjang kerana ia membabitkan pelbagai perkara.  Hukum asal memberi salam memang dimaklumi iaitu hendaklah dibuat lafaz syar’i السلام عليكم dengan ucapan yang didengari.  Antara topik menarik yang berkaitan ialah, bolehkah memberi salam dengan isyarat? 

Para ulama’ mengatakan boleh memberi salam dengan isyarat bagi kes tertentu sahaja seperti isyarat mengangkat tangan kerana berjarak jauh dengan orang yang hendak diberi salam. Contohnya seorang pemandu dalam kereta yang sedang memandu memberi salam secara isyarat kepada rakannya di tepi jalan ataupun kepada rakan dalam kereta lain kerana ucapannya tidak boleh didengari. Keadaan ini selalu kita temui dan kita sendiri praktikkan semasa memandu. Demikian juga boleh memberi isyarat kepada orang yang cacat pendengaran kerana ucapan salam tidak didengari.

Para ulama’ mengatakan bahawa dalam keadaan biasa hukumnya makruh (sebahagian ulama’ mengatakan haram) memberi isyarat tanpa diucapkan السلام عليكم kerana terdapat hadith (daif) melarang meniru orang Yahudi yang memberi isyarat dengan jari dan orang Nasrani yang memberi isyarat dengan tangan.

Tidak ada keperluan memberi isyarat apabila berada dalam keadaan normal, malah jika sengaja memberi isyarat sahaja sedangkan mampu mengucapkan salam, ia dikira sebagai tasyabbuh (menyerupai) amalan agama lain.

Kedua : Berjabat tangan.

Antara dalil disyariatkan bersalaman ataupun berjabat tangan ialah sabda Nabi Muhammad saw : 

عن البراء بن عازب قال : قال رسول الله صلى الله عليه وسلم :

مَا مِنْ مُسْلِمَيٌنِ يَلْتَقِيَانِ فَيَتَصَافَحَانِ، إِلَّا غَفَرَلَهُمَا قَبْلَ أَنْ يَتَفَرَّقَا.

صحيح سنن أبي داود للألباني، حديث 4343.


Maksudnya : “Dua orang muslim (ataupun muslimah) bertemu lalu berjabat tangan, pasti diampunkan dosa mereka sebelum mereka berpisah.” (Sunan Abi Daud)

Sama seperti perbincangan dalam hukum mengucapkan salam, hukum berjabat tangan juga melibatkan banyak sub topik yang berkaitan. Antara persoalan menarik ialah bolehkah meletakkan tangan ke dada selepas berjabat tangan atauoun bersalam? Ramai yang memiliki kebiasaan ini tanpa disedari. 

Cara asal berjabat tangan dalam Islam ialah tidak meletakkan tangan ke dada ataupun ke muka. Namun dalam masyarakat, ia menjadi suatu budaya ataupun kebiasaan sebagai tanda hormat. Tidaklah menjadi suatu kesalahan sekiranya dilakukan atas dasar budaya kebiasaan, selagi tidak dikaitkan dengan agama. 

Halangan Dalam Musim Waba’

Waba’ Covid-19 dimaklumi ada potensi menjangkiti orang lain melalui aktiviti berjabat tangan. Dimaklumi juga bahawa berjabat tangan adalah cara ‘greeting’ paling banyak dilakukan di seluruh dunia. Seruan meninggalkan berjabat tangan dibuat bukan kerana mahu melupuskan amalan dalam agama Islam tetapi kerana memenuhi tuntutan semasa demi ikhtiar mengutangkan penularan waba’ yang boleh meragut nyawa manusia.

Dalam hal ini, ulama’ mengeluarkan fatwa ‘haram’ berjabat tangan buat masa sekarang.

Dalil pengharaman daripada ayat al-Quran adalah Surah al-Baqarah ayat 195:

{وَلَا تُلْقُوا بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ} [سورة البقرة]

Dalil pengharaman daripada hadith sahih: 


قال صلى الله عليه وسلم: " فِرَّ مِنَ المَجْذُومِ كَمَا تَفِرُّ مِنَ الأَسَدِ."

 رواه البخاري.

Maksudnya : “Larilah daripada pesakit kusta sebagaimana kamu lari daripada singa.”

Oleh kerana berjabat tangan tidak boleh lagi diamalkan, maka tinggallah mengucapkan salam. Bagi menggantikan kebiasaan tangan dihulurkan secara spontan apabila bertemu, dianjurkan tangan diletakkan ke dada sebagai isyarat hormat. Isyarat itu memberi makna bukanlah kita sengaja tidak mahu bersalam dengan orang yang kita temui tetapi waba’ yang melanda menjadi kekangan. Anjuran ini penting lebih-lebih lagi pada peringkat permulaan merebaknya waba’ ini dahulu kerana kebiasaan menghulurkan tangan tidak mudah untuk dihentikan buat sementara kerana ia sudah sebati dalam kehidupan harian kita.

Maka dimaklumi bahawa mengucapkan salam adalah tuntutan agama manakala memberi isyarat hormat itu sekadar budaya yang menggantikan berjabat tangan sementara masih dalam fasa Covid-19, dan ia bukan tuntutan agama.  

Memberi isyarat ke dada menggantikan berjabat tangan, pemakaian mask dan penjarakan adalah ikhtiar dan keperluan semasa yang bersifat sementara, perlu untuk mengekang waba’ yang sedang menular.

Kesimpulan : Pada pandangan kita, cara yang dicadangkan adalah sederhana tanpa apa-apa makna tersirat yang lain. Tidak tepat menghukumkan tasyabbuh dalam hal ini kerana :

a. Beri isyarat yang dilakukan dalam norma baharu bukan bertujuan menggantikan ucapan salam. Sebaliknya ia dianjurkan untuk mengelakkan tangan dihulur untuk berjabat tangan yang sudah sebati dalam kehidupan.

b. Beri isyarat dilakukan tanpa meninggalkan ucapan salam sebagai ‘greeting’ yang dianjurkan dalam Islam.

c. Cara beri isyarat tidak membabitkan larangan ruku’ dan tunduk kepada insan. Ada juga cara lain yang dilakukan dalam masyarakat seperti mengangguk kepala tanda ‘setuju’ bagi menggantikan berjabat tangan sementara masih dalam fasa waba’.

d. Keperluan meninggalkan berjabat tangan adalah keperluan sejagat kerana wujudnya halangan untuk berjabat tangan. 

e. Cara yang tidak bercanggah dengan prinsip agama ini tidak dianggap amalan agama dan tidak kekal sebagaimana tidak kekalnya pemakaian mask dan penjarakan sosial semasa solat. Cara ini dianjurkan sementara sahaja dengan sebab wujudnya waba’.

Penutup

Waba’ yang melanda mengingatkan kita tentang besarnya nikmat perlindungan dan keamanan yang Allah kurniakan selama ini. Renungi kembali 3 nikmat besar kurniaan Allah kepada insan yang telah kita pelajari dalam Surah al-Dhuha :

  1. Perlindungan
  2. Ilmu yang menjadi hidayah petunjuk
  3. Kecukupan

Nikmat yang sedang Allah tahan buat kita sementara ini ialah sebahagian jenis perlindungan sehingga tidak memungkinkan kita untuk berjabat tangan dan bersosial dengan selamat. 

Pahala berjabat tangan tetap ada walaupun kita tidak berjabat tangan (dan hanya memberi isyarat yang sesuai) jika kita menepati 2 syarat pahala berterusan walaupun amalan terhenti kerana terhalang. Pertama, kita ada niat (untuk berjabat tangan apabila keadaan mengizinkan). Kedua, kita ada kebiasaan (biasa berjabat tangan kerana ingin memenuhi saranan Nabi Muhammad saw) sebelum menularnya waba’.

Allah tetap memberikan kebaikan kepada orang beriman dalam apa keadaan sekalipun, apabila orang-orang yang beriman tahu cara menguruskan keadaan dan cabaran yang dihadapi dengan iman dan ilmu yang benar.

اللهم إنا نسألك العفو والعافية في الدنيا والآخرة


والله أعلم

Jumaat

9.35 pagi

13/11/2020

27 Rabi’ al-Awwal 1442H

Friday 23 October 2020

KEPERCAYAAN KEPADA LAKARAN CAPAL DAN NUR MUHAMMAD

 🔴Soalan 


Assalamualaikum, ustazah.
 
Saya hendak bertanya 2 soalan :

1. Bolehkah terangkan maksud ayat yang viral ini :

‘Kalau bukan kerana Rasulullah ﷺ, nescaya tiadalah alam ini. Wujudnya kejadian alam ini. Alas kaki Nabi Muhammad ﷺ itu agung di atas kepala seluruh alam semesta, dan segenap makhluk itu semuanya berada dibawah bayangnya.’

2. Benarkah kita perlu muliakan lakaran capal nabi? Dikatakan umat Islam dimuliakan kerana mencintai pemilik capal tersebut.

🔴Jawapan : 

Waalaikumussalam.

Menjawab soalan pertama :

📌 Perenggan yang saudari tanyakan itu mengandungi 3 kepercayaan yang salah :

1. ⛔️Percaya kepada konsep wahdatul wujud. Konsep ini menyalahi konsep akidah dalam al-Quran dan al-Sunnah yang jelas menyatakan Allah sebagai Rabb dan Ilaah kepada semua makhluk, termasuk kepada Nabi Muhammad saw.

2. ⛔️Percaya kepada konsep Nur Muhammad yang berpunca daripada hadith palsu yang direka dan disandarkan atas nama Nabi Muhammad saw.

Antara hadith palsu yang digunakan dalam kepercayaan ini ialah kononnya Allah berkata, ‘Kalaulah bukan kerana Muhammad, tidak aku ciptakan kamu wahai Adam.’

Kenyataan dalam hadith palsu ini jelas bertentangan dengan ayat 56 Surah al-Dhariyaat. Ayat ini menyatakan sebab sebenar diciptakan jin dan manusia, iaitu supaya mereka semua beribadah kepada Allah. 



Inilah antara hikmah mengapa Nabi Muhammad saw mengancam pembuat dan penyebar hadith palsu, kerana ia mengacau bilaukan kepercayaan dan amalan umat Islam.


Hadith Nabi Muhammad saw yang sahih ini adalah wahyu. 

Meskipun pendek, maknanya mendalam. Apabila
 ia berbentuk larangan, fahamlah kita bahawa yang dilarang itu ialah kerana memberi kesan buruk yang berpanjangan kepada agama dan umat Islam seluruhnya.

3. ⛔️Percaya kepada lakaran capal/selipar sedangkan kisah asal di sebalik lakaran dan kepercayaan ini juga berpunca daripada hadith palsu.

Menjawab soalan kedua :

📌Sekali lagi ditegaskan, antara perkara yang selalu kita tekankan dalam kuliah-kuliah ialah bahaya hadith palsu.

📌Lakaran capal itu dibuat berdasarkan kepercayaan kepada hadith PALSU yang panjang, ringkasnya, konon Nabi saw naik ke langit untuk menerima wahyu dengan selipar-seliparnya, sedangkan Nabi Musa as diperintahkan menanggalkan selipar ketika menerima wahyu di bukit Tursina.

Kerana percaya dengan hadith PALSU itu, maka seliparlah yang dilakar, bukan pakaian-pakaian lain.

📌Kita telah belajar bahawa ahl al-sunnah wa al-jamaah sangat menitikberatkan sumber agama, sangat mengambil berat hadith sahih dan paling menjauhi hadith palsu, kerana ia boleh merosakkan akidah, syariat dan juga akhlak.

Firqah/golongan yang percaya kepada lakaran ini ialah sufiyyah/brelwiyyah, yang dimaklumi mengutamakan hadith palsu dan lemah dalam menyikapi hadith-hadith Nabi Muhammad saw.

Meskipun ia datang daripada hadith palsu, mereka akan tetap mempertahankannya kerana ia sudah menjadi simbol dan lambang mereka.

📌Bagi ahl al-sunnah wa al-jamaah, mereka cinta kepada Nabi Muhammad saw dengan mengikuti sunnah, iaitu jalan yang telah ditelusuri Nabi Muhammad saw. Sekali-kali bukan dengan memakai lakaran selipar pada pakaian.

📌Cinta hendaklah dinyatakan sesuai dengan perkara yang disukai oleh orang yang kita cinta, bukan mengikut kehendak kita sendiri. 

Nabi Muhammad saw melarang berdusta atas nama baginda saw. Malang sekali apabila ada orang yang sanggup menggunapakai sesuatu yang datang daripada pendustaan terlarang ini untuk menyatakan cinta kepada baginda saw.

اللهم اهدنا وسددنا

Wednesday 14 October 2020

JANGAN PENDEKKAN ZIKIR AJARAN NABI MUHAMMAD SAW

 🔴 Soalan :


Ada rakan-rakan saya yang masuk kumpulan zikir hu hu. 

Sejak mereka menyertai group zikir itu, mereka tidak lagi berminat menyertai majlis-majlis ilmu yang diikuti sebelum ini. 

Minta pencerahan ustazah adakah boleh kita zikir hu hu ataupun Allah Allah Allah?
🔴 Jawapan :

Ramai yang tidak tahu mengapa para ulama’ tidak benarkan zikir al-ism al-mufrad. Allah Allah Allah.

Rupa-rupanya ia menyalahi ajaran Nabi Muhammad saw. Zikir menyalahi sunnah inilah menjadi syiar, amalan sufiyyah, amalan kumpulan-kumpulan tertentu.

Nabi Muhammad saw ajarkan zikir-zikir dengan lafaz penuh, membawa maksud mengagungkan Allah dan memuji Allah. Nabi ajarkan zikir yang mendatangkan pahala.

Misalnya :
📌سبحان الله 
📌الحمد لله
الله أكبر📌
لا اله الا الله📌
استغفر الله العظيم📌

📌Maha Suci Allah daripada segala kekurangan.
📌Segala pujian hanya bagi Allah.
📌Allah Maha Besar.
📌Tiada Tuhan yang layak disembah, melainkan Allah.
📌 Saya mohon ampun kepada Allah yang Maha Agung

Sekiranya orang bukan Islam sebut Allah-Allah, dia belum dikira beriman. Dia perlu sebut dengan penuh penghayatan akan lafaz syahadah yang lengkap, barulah dikira beriman. Lafaz lengkap ajaran Nabi Muhammad saw bukan main-main, bukan boleh dipotong dipendekkan sesedap rasa, kerana natijahnya tak akan kesampaian.

Orang yang sudah Islam pun begitu juga.

Dia tidak akan merasakan nikmat mengagungkan Tuhan Seluruh Alam dengan sebut zikir Allah-Allah begini. Tiada pahala yang dijanjikan untuknya, tidak sama dengan pahala zikir penuh ajaran Nabi Muhammad saw. Dia tidak akan merasakan kehambaan diri dan kehinaan diri sebagai hamba Allah kerana dia sebenarnya tidak agungkan Allah dan tidak ikut cara yang ditunjukkan utusan Allah.


Syaitan pandai menipu kita. Ajarkan kepada kita supaya pendek-pendekkan lafaz lengkap yang sudah diajarkan oleh nabi kita, Nabi Muhammad saw. Apa syaitan mahu? Mahu menjauhkan kita daripada ajaran asal Nabi Muhammad saw.  Mohonlah perlindungan Allah daripada tipuan dan gangguan syaitan.

Zikir Allah-Allah yang menjadi amalan pengikut kumpulan tertentu ini dipertahankan dengan pelbagai hujah. Sebagai orang yang beriman kepada Nabi Muhammad saw, tidakkah kita berasa pelik, apalah susahnya mahu lengkapkan zikir seperti yang diajarkan oleh Nabi Muhammad saw? Daripada sebut Allah-Allah semata-mata dengan jumlah tertentu, bukankah lebih baik kita sebut istighfar sebanyak-banyaknya? Semasa duduk, semasa berdiri, semasa berada di pasaraya dan sebagainya? 

Ramai yang tidak tahu, zikir Allah-Allah ini dipertahankan kerana golongan ini mahu pendekkan lagi menjadi Hu Hu. Akhirnya zikir yang sepatutnya mengingatkan kita kepada Allah menjadi zikir kacau bilau. Kacau bilau sebutan dan kacau bilau jiwa pengamalnya.

Tidak mendapat pahala ittiba’.

Tidak mendapat pahala zikir.

Tidak ingat kepada kebesaran dan keagungan Allah.

Tidak timbul rasa kehinaan dan kehambaan diri.

Tidak membersihkan jiwa, kerana cara membersihkan jiwa dengan betul hanya ditunjukkan oleh Nabi Muhammad saw.

Kembalilah kita kepada ajaran baginda saw yang telah meninggalkan kepada kita ajaran yang baik dan lengkap.

Janganlah menambah-nambah amalan yang tidak ada, jangan pula dipendek-pendekkan yang sudah lengkap.

Kerana ia disukai syaitan.


اللهم اهدنا وسددنا
Khamis
27 Safar 1442H
15 Oktober 2020


BERPADA DENGAN PETUNJUK NABI SAW UNTUK MANFAAT ORANG HIDUP DAN SI MATI

🔴 SOALAN 


Assalamualaikum.


Seorang kenalan memberitahu bahawa apabila ahli keluarga meninggal dunia, hendaklah dibahagi-bahagikan bacaan 70,000 kali ucapan لا اله الا الله dengan adik beradik, lalu hadiahkanlah kepada si mati.


Diceritakan juga bahawa orang yang mengamalkannya bermimpi didatangi oleh arwah lalu meminta dibuatkan lagi.


Adakah amalan ini memang dianjurkan oleh Nabi Muhammad saw?


Minta pencerahan ustazah.


🔴 JAWAPAN


Walaikumussalam. 


📌 Ringkasan : Amalan ini bukan amalan yang datang daripada Nabi Muhammad saw.


📌 Apabila kita belajar agama, penting kita pastikan penyampainya ambil berat tentang bahaya hadith palsu dan menjauhi perkara-perkara khurafat. 


Demikian juga amalan-amalan yang tiada asalnya.


Berhati-hati mengambil ilmu. 


Dalam mencari ilmu, ingatlah pesan Ibn Sirin :



📌 Carilah penceramah yang berdisiplin memetik ayat al-Quran dan hadith-hadith, dan mengikuti disiplin ilmu yang betul. 


Ikutilah penceramah-penceramah yang memetik pandangan ulama’ dengan disipilin yang betul, bukan mencampur aduk tanpa membandingkan pandangan-pandangan dengan piawaian asal, iaitu al-Quran dan sunnah Nabi Muhammad saw. Apabila ada perselisihan dan perbezaan pandangan, Allah swt memerintahkan kita supaya kembali kepada piawaian asal, kembali kepada Allah dan Rasul. Inilah intipati pengajaran ayat 59 Surah al-Nisa’. 



📌 Apabila kita bersyahadah bahawa Nabi Muhammad saw itu utusan Allah, maknanya kita ikrar yakin sepenuhnya bahawa apa oleh diajarkan oleh baginda itu adalah ajaran yang paling lengkap dan terbaik, kerana baginda adalah utusan Allah.


Menambah-nambah amalan dalam agama, tambahan itu ini, begitu begini, bukan sikap orang yang benar-benar beriman kepada Nabi Muhammad saw.  


Berpada dengan jumlah zikir dan lafaz zikir yang ditetapkan oleh Nabi Muhammad saw dalam hadith-hadith yang sahih.


📌 Nabi Muhammad saw tidak pernah menghadiahkan bacaan al-Quran dan bacaan zikir kepada sesiapa yang dikasihinya, melainkan mendoakan keampunan dan rahmat Allah ke atas mereka. Itulah fakta yang tidak dapat disanggah oleh sesiapa dan itulah yang terbaik.


Mesej yang kita fahami daripada amalan Nabi Muhammad saw ialah zikir dan bacaan al-Quran adalah untuk panduan dan menghidupkan jiwa orang yang masih hidup, bukan untuk dihadiahkan kepada si mati.


Oleh itu, selepas kita solat, selepas mengaji ataupun tadabbur al-Quran, dan selepas kita berzikir dengan zikir-zikir yang diajarkan oleh baginda saw, elok kita berdoa, tanpa perlu kita hadiahkan amalan itu kepada si mati. Doakan sepenuh hati agar Allah mengampunkan dosa si mati dan melimpahkan rahmat kasih sayangNya kepada si mati.


Misalnya zikir harian yang sangat penting, datang daripada hadith sahih, sangat besar fadilatnya, sangat tidak wajar kita tinggalkan ialah zikir seratus kali sehari setiap hari :


لا اله الا الله وحده لا شريك له

له الملك وله الحمد 

وهو على كل شيء قدير


Selepas selesai zikir 100 kali ini, kita berdoa. Doakan juga keampunan dan rahmat buat si mati, tanpa perlu kita hadiahkan pahala zikir itu kepada si mati. Selepas solat dan selepas zikir ma’thur adalah antara masa doa yang terbaik untuk kita berdoa.


Selain itu, lakukan amalan yang diakui oleh baginda saw dalam hadith yang sahih, iaitu sedekah harta untuk pihak si mati mengikut kemampuan kita, dan jangan war-warkan kepada orang ramai untuk menjaga keikhlasan kita. Salurkan kepada tempat-tempat pengajian yang menekankan kepentingan hadith sahih dan bahaya hadith palsu, salurkan kepada orang susah yang memerlukan, sama ada dalam bentuk makanan, pakaian ataupun wang. Sedekah ‘PPE suit’ kepada barisan hadapan dalam menangani penyebaran waba’ Covid-19 juga adalah suatu bentuk sedekah yang sangat elok kita lakukan, dan niatkan kepada ibubapa kita yang sudah meninggal dunia. Sedekah dalam jamuan kesyukuran juga misalnya, boleh diniatkan kepada si mati, tanpa sesiapa pun tahu ia sebenarnya diniatkan untuk si mati.


🔴 Seringkali didakwa apabila melakukan sesuatu amalan yang tidak pernah diajarkan oleh Rasulullah saw, orang yang mengamalkannya akan bermimpi sekian sekian. 


Sangat membimbangkan jika mesej yang ingin disampaikan ialah orang yang mengamalkan ajaran Rasulullah saw itu tidak mencukupi, ada sesuatu yang kurang, maka perlu ditambahi!


🔴Ada banyak amalan yang pelik-pelik, zikir dan selawat yang didakwa datang daripada mimpi. 


Ada juga pihak yang cuba mempertahankan amalan tertentu dengan  pengesahan melalui mimpi.


Akibatnya ajaran sebenar Nabi Muhammad saw ditinggalkan kerana lebih yakin kepada mimpi daripada ajaran wahyu tinggalan Nabi Muhammad saw.


Bukan semua mimpi yang dilihat ‘elok’ itu suatu petanda baik. Adakalanya ia adalah ‘hadith al-nafs,’ ataupun gangguan dan tipuan syaitan, kerana mahu menjauhkan insan daripada ajaran Nabi Muhammad saw, sedikit demi sedikit.


Berbahagialah kita apabila melakukan amalan ajaran Nabi Muhammad saw, kerana ia lengkap dan mencukupi buat yang hidup mahupun yang mati. 


اللهم اهدنا وسددنا



والله الموفق


Khamis

27 Safar 1442 H

15/10/2020

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Powerade Coupons