Soalan :
Assalamualaikum ustazah.
Adakah membaca surah al-Ikhlas sebanyak 100 ribu kali mempunyai kelebihan yang dinyatakan dalam hadith?
Jawapan :
Waalaikumussalam.
🔴Bilangan bacaan 100 ribu ini sebenarnya datang daripada HADITH PALSU. Jangan sebarkan hadith palsu dan jangan percaya kepada ganjaran dalam hadith palsu.
Perbuatan menyebarkan hadith palsu menempah neraka kerana hadith palsu adalah satu bentuk pendustaan atas nama Nabi Muhammad saw.
🔴Banyakkan bacaan al-Ikhlas dengan pemahaman dan penghayatan kerana kandungannya membentuk TAUHID dalam jiwa dan amalan kita.
Inilah maksud hadith sahih, iaitu membaca Surah al-Ikhlas dengan penghayatan menyamai 1/3 al-Quran kerana 1/3 al-Quran mengandungi persoalan TAUHID. Ia bukan bermaksud membaca surah al-Ikhlas boleh menggantikan membaca 1/3 al-Quran.
Ini juga bermakna bahawa membaca 3 kali Surah al-Ikhlas tidak sama dengan khatam al-Quran. Setiap surah dan setiap ayat ada kelebihan yang tersendiri yang tidak boleh digantikan di antara satu sama lain. Malah ayat al-Quran yang berkaitan saling menjelaskan di antara satu sama lain.
🔴 Cukuplah kita dengan hadith-hadith yang sahih dengan memahami dan menghayatinya dengan cara yang benar.
Suka membaca Surah al-Ikhlas dan mengulanginya adalah amalan yang baik. Apatah lagi digandingkan dengan al-Falaq dan al-Naas, sebagaimana yang dianjurkan dalam hadith yang sahih.
Jika membaca dengan bilangan tertentu, hendaklah kita komited membacanya (bersama penghayatan makna) dengan bilangan yang diajarkan oleh Nabi Muhammad saw dalam hadith-hadith yag sahih.
Bilangan yang dianjurkan oleh nabi kita dalam hadith sahih sesuai dengan fitrah insan, tidak membebankan dan mengandungi hikmah yang tidak terbilang.
Bagi memastikan kita mendapat semua kebaikan bacaan zikir harian yang diajarkan oleh Nabi Muhammad saw, usahakan agar kita dapat mengamalkan zikir harian ini, pagi dan petang.
والله الموفق
0 comments:
Post a Comment