Wednesday 27 January 2010

NASYID PUTERI MUSLIMAH

Wahai puteri lihat nun di sana

Islammu kini ketandusan pembela

Bersama sendu mengalir lesu

Tertunggu-tunggu mujaddid baru

Kembangnya kini diulit sepi

Manakan lagi mujahidah sejati

Wahai puteri khidmatmu dinanti.


Ummah derita engkau pengubatnya

Kelembutanmu penawar sengsara

Engkau penyeri Islam dan tamannya

Tanganmu bakal menggoncang dunia.


Namun ingat puteri ilmu perlu dicari

Buat bekalan dalam perjuanganmu nanti

Pendinding diri dari syaitan dibenci

Tuntutlah seikhlas hati.


Wahai puteri kau muslimah sejati

Teguhkan iman taqwamu di hati

Taqarrub billah takhta peribadi

Amalmu menjadi bukti

Sabarmu dikagumi

Pasrah pada ilahi

Redha menghadapi

Mehnah Rabbul Izzati

Usah ditangisi

Taqdir yang sudah pasti

Pengorbananmu kan disanjungi.


Puteri solehah mujahidah ansarullah

Berbekal iman taqwa sabar dan redha

Berilmu beramal

Berkhidmat berjuang

Berkorban agar Islam kan gemilang

Bersama puteri Islam takkan sepi

Subur disirami harum mewangi

Wahai puteri kau

MUSLIMAH SEJATI



Nota : Nasyid ini 'sedap' dilagukan dan membangitkan semangat, tetapi tidak dapat dipastikan siapakah pencipta lirik dan lagunya. Sekiranya anda ada maklumat, harap sampaikan kepada kami.

TEMAN VS SAHABAT

Nabi Muhammad s.a.w. pernah berkata, "Seorang individu sangat tertakluk kepada agama kawan karibnya. Oleh sebab itu, setiap orang di kalangan saudara hendaklah perhatikan dengan siapa dia berkawan baik."

Hadis dilaporkan oleh Imam Abu Daud.

Sahabat sejati adalah sahabat yang dapat membimbing kita ke jalan bahagia di dunia dan juga di akhirat. Sebaliknya, sahabat yang kabur pula banyak membawa kesusahan dan perkara yang membahayakan. Ramai orang terpengaruh dengan sahabat yang tidak elok peribadinya dan akhirnya menyesal. Apabila berlaku perkara yang tidak diingini, mereka menyalahkan diri mereka sendiri kerana 'bersahabat' dengan orang yang tidak sepatutnya dijadikan sahabat.

Jika rasa menyesal itu terbit semasa di dunia, masih ada peluang bagi memperbaiki kesilapan. Tetapi bagaimana jika rasa menyesal itu muncul setelah kita dikembalikan di negeri akhirat? Dapatkah kita kembali semula ke dunia bagi memperbaiki kesilapan yang kita lakukan?

Dalam Surah al-Furqan ayat 27-29, Tuhan memberitahu kita bagaimana menyesalnya manusia pada hari akhirat kerana tersilap memilih sahabat, yang menyebabkan dia jauh daripada petunjuk Tuhan semasa hidup di dunia.

Dan (ingatkanlah) perihal hari orang-orang yang zalim
menggigit kedua-dua tangannya sambil berkata:
Alangkah baiknya kalau aku di dunia dahulu
mengambil jalan yang benar bersama-sama Rasul? (27)

Wahai celakanya aku,
alangkah baiknya kalau aku
tidak mengambil si dia itu menjadi sahabat karib! (28)

Sesungguhnya dia telah menyesatkan daku
dari jalan peringatan Al-Quran setelah ia disampaikan kepadaku
dan adalah Syaitan itu sentiasa mengecewakan manusia
(yang menjadikan dia sahabat karibnya). (29)

Tuesday 26 January 2010

Jangan Minta Mati, Nanti Tuhan Marah






Pada suatu hari, saya berbual-bual dengan 2
anak saya, Arwa (ketika itu 9 tahun), dan Mus’ab (ketika itu 7 tahun). 







Mereka menceritakan semula
cerita-cerita yang guru mereka ceritakan di sekolah.  Saya seronok mendengarnya, lebih-lebih lagi
cerita-cerita itu diambil daripada sumber yang berautoriti. Rasa berterima
kasih yang tidak terhingga kepada guru-guru itu kerana membantu mendidik
anak-anak saya.





“Ummi, cikgu kata kanak-kanak yang mati
kecil dapat terus masuk syurga!” kata Abang Mus’ab.





Kata Kakak Arwa pula, “Adik Umairah dalam
buku ‘Umairah Dan Kuda Putih’ pun mati kecil juga. Tentu dapat masuk syurga.”





Saya sendiri tidak berkesempatan membaca
semua buku yang saya belikan untuk anak-anak. Sementelah usia sudah bertambah,
kekangan masa dan tanggungjawab, minat juga sudah sedikit berubah,
saya rasa keberatan hendak membaca semua buku anak-anak. Saya cuba memilih yang
terbaik di antara pilihan yang ada.  Ibu
bapa memang bertuah apabila ada pengarang yang kreatif memasukkan unsur
pendidikan dalam  karya mereka.





Kata Abang Mus’ab lagi, “Seronoklah jadi budak
yang mati kecil. Tidak perlu bersusah payah. 
Tidak perlu buat apa-apa, terus dapat masuk syurga!”





Saya masih mendiamkan diri, menantikan apa
yang akan diluahkan lagi oleh anak-anak. 
Nampaknya mereka sudah faham, mereka perlu bersusah payah jikalau hendak
masuk syurga. Perlu sembahyang, perlu berpuasa, perlu berbuat baik dan perlu
bersabar supaya tidak melakukan dosa!





“Kalau begitu, saya hendak mati…”





Terkejut saya mendengar luahan Abang
Mus’ab. 





Saya cuba menyembunyikan  perasaan itu, jangan sampai terpamer
dalam  riak wajah saya. Salah satu tips menjawab soalan anak, cuba fahami apa sebenarnya yang hendak dia sampaikan kepada kita.





Kakak Arwa diam sahaja sejak tadi. Biasanya
dia akan ‘membetulkan’ jika konsep yang difahami oleh adik-adiknya silap,
terutama adiknya Marwan (5 tahun ketika itu), seperti Allah Maha Besar. Kali
ini, barangkali dia pun berasa keliru juga, lantas dia diam sahaja.





“Hendak mati…!” Aduh, Mus’ab mengulangi sekali
lagi ‘kehendak’nya.





Melaut syukur saya, kerana
ketika itu jawapan yang berkaitan baru sahaja saya garapkan dalam draf buku yang dirancang.  Saya cuba-cuba menjawab dengan tenang.





“Bukan begitu,” saya mencari-cari kata-kata
selanjutnya. “Budak kecil yang meninggal dunia memanglah dapat masuk syurga, sebab
dia tidak ada dosa.”





“Tapi syurga itu luas dan ada banyak kelas
pula. Ada kelas bawah, kelas di tengah-tengah dan ada kelas atas. Nabi-nabi
dapat duduk dalam syurga kelas paling atas. Seronoknya duduk dalam syurga kelas
atas tidak sama dengan kelas yang di bawah, walaupun dua-dua seronok.”





“Macam di dunia ini, ada rumah kecil, ada
rumah teres, ada banglo, ada istana!”





“Orang duduk di pondok kecil sudah
beruntung sebab dapat berlindung daripada hujan dan terik matahari. Tetapi dia tentu
terliur hendak duduk dalam istana. Tidak panas, ada
aircond, ada
pelayan, dapat makan sedap-sedap!”





“Orang yang hidup lama, kemudian bersabar
mengerjakan suruhan Allah, dapat syurga yang lebih bagus dan cantik. Sebab itu
Allah marah orang yang minta hendak mati. Nabi Muhammad melarang kita berdoa
supaya Allah matikan kita!”





“Allah beri kita hidup lama supaya kita
dapat buat baik banyak-banyak. Lagi lama kita hidup, lagi banyak kita boleh
sembahyang. Semakin lama kita hidup, semakin banyak pahala yang dapat kita
kumpulkan, dan semakin baguslah jugalah tempat kita dalam syurga. Dapat makan
makanan yang sedap-sedap. Gelas-gelas sudah
disediakan, tidak perlu dibasuh lagi. Di syurga tidak ada lagi perkara yang
susah-susah. Apa sahaja yang kita hendak, Allah akan berikan. Semuanya seronok.”





“Syaratnya, kita sabar ikut perintah
Allah, dan jangan minta mati cepat, sebab nanti Allah marah!”





Itulah sahaja yang mampu saya luahkan. Anak-anak diam, tidak bertanya lagi.






Sehingga hari ini,
Mus’ab tidak pula mengulangi ‘kehendak’nya itu. Entah kerana sudah lupa
akan persoalan tersebut, ataupun benar-benar sudah faham, hanya Allah sahajalah yang
tahu. 





Bercakap-cakap dengan anak dapat mengkoreksi banyak perkara. Apa yang anak-anak fahami dan apa yang kita sendiri fahami. Barangkali di lain kali, pada masa-masa yang sesuai  dengan pertanyaan dan perbuatan mereka, saya perlu juga ingatkan anak dan diri sendiri, bahawa Tuhan itu sifatnya al-Halim, maha penyantun, tidak mudah marah dan tidak cepat-cepat menjatuhkan hukuman.









"Khabarkanlah
kepada hamba-hambaKu,


bahawa Akulah
Yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani .(49)


Dan bahawa
azabKu,


 adalah azab yang tidak terperi sakitnya." (50)


Surah al-Hijr ayat 49-50.

















يَـٰٓأَيُّہَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ قُوٓاْ أَنفُسَكُمۡ وَأَهۡلِيكُمۡ نَارً۬ا وَقُودُهَا ٱلنَّاسُ وَٱلۡحِجَارَةُ

Tuesday 12 January 2010

MAHA SUCI ALLAH, TUHAN SELURUH ALAM




Sekarang masih heboh tentang hak penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam. Saya ada pandangan, tetapi biarlah pandangan itu saya simpan buat diri sendiri, kerana saya bukan orang yang berautoriti untuk mewartakannya. 





Tiba-tiba pagi tadi, saya teringat akan pertanyaan Kakak Arwa kepada saya beberapa bulan yang lalu. Setelah entah berapa kali dia membaca ‘Siapa Khadijah Binti Khuwailid’, akhirnya dia bertanya kepada saya, “Ummi, bukankah isteri Abu Lahab itu bukan Islam. Mengapa dalam buku ini dia kata, “Demi Allah?”


Sungguh, saya tidak perasan pula akan hal itu. Dan tidak sangka pula itu pula yang akan ditanya oleh Kakak Arwa.


“Orang kafir Quraisy memang percaya Allah-lah yang buat mereka, Allah-lah yang mencipta alam ini. Walaupun mereka sembah patung, mereka tahu patung itu bukan tuhan yang mencipta mereka, dan bukan pula tuhan yang memberi rezeki kepada mereka."



"Mereka sembah patung itu sebab mereka kata patung itu ‘orang tengah’ ataupun perantaraan antara mereka dengan Allah. Mereka sedar, mereka minta dengan patung, tapi yang memberi sebenarnya ialah Allah.”



"Mereka kata Tuhan yang mencipta segalanya ialah Allah, tetapi mereka sembah benda lain, sebab itu mereka bukan Islam."


Kakak Arwa diam sahaja mendengar penjelasan saya.


Minta-minta dia memahaminya.







اللهم إني أعوذ بك من شر ما عملت, وشر ما لم أعمل


 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Powerade Coupons