Saturday 20 November 2021

TUDUHAN TERHADAP ZIKIR AJARAN NABI MUHAMMAD SAW DALAM HADITH SAHIH

Menjawab satu tulisan yang mendakwa zikir ajaran Nabi Muhammad saw itu berat dan tidak sesuai untuk kita yang bukan nabi !

Assalamualaikum.

 Usahlah terpengaruh dengan kenyataan dan dakwaan yang sudah diterbalikkan, demi hendak melariskan zikir rekaan.

Jahatnya manusia sehingga sanggup menutup kebaikan ajaran Nabi Muhammad saw demi untuk menjual barangan sendiri.

Orang yang berusaha melariskan ajaran nabi mereka gelar wahabi, manakala yang melariskan ajaran rekaan mereka gelar wali, walhal Nabi Muhammad saw adalah wali yang tertinggi.

Hakikatnya, sepanjang 20 tahun pengalaman, berdikit-dikit menerima aduan dan soalan.

Zikir rekaan itu sebenarnya tidak ringan pada lidah kerana bahasa Arabnya sudah compang camping.

Zikir rekaan itu tidak seindah susunan yang diajarkan oleh Nabi Muhammad saw, kerana ia bukan disusun oleh utusan Allah.

Zikir rekaan itu, kalau tuan-tuan ingin tahu, sangat rencam sehingga dituntut sampai ribu raban, malah ada yang sampai mencipta gerak geri yang perlu dilakukan.

Zikir rekaan itu kandungan tauhidnya tidak semurni zikir ajaran Nabi Muhammad saw yang mengajar kita intipati ajaran tauhid.

Zikir rekaan terpaksa ditempelkan lagi dengan rekaan lain, iaitu rekaan pelbagai khasiat dan fadilat jika mengamalkannya.

Panas badan, gila ism dan berat kepala berpunca daripada zikir rekaan yang dicipta kemudiannya diberikan sukatan dos sesedap rasa oleh mereka yang tidak berautoriti, mahu menandingi ajaran nabi saw.

Jika ada orang yang mengatakan zikir ajaran Nabi Muhammad saw itu berat, tidak sesuai untuk orang kita yang bukan nabi, itu menunjukkan 3 perkara penting  :

1. Orang itu memang tidak pernah mengamalkan zikir ajaran Nabi Muhammad saw.

2. Orang itu menipu dengan menukar kenyataan sebenar. Pengalaman merakamkan bahawa penipuan akan disusuli dengan penipuan2 lain dalam kehidupan.

3. Orang itu bermasalah dalam memahami maksud nabi dan rasul, dan perlu belajar lagi Apa Makna Beriman Kepada Rasul-Rasul.

اللهم اهدنا وسددنا

20/11/2021

16 Rabi’ al-Akhir 1443H

Monday 1 November 2021

‘Blackish Discharge’ Semasa Rawatan Endometriosis

🔴 Soalan :

I m now under treatment for my endometriosis tht I m suffering. Doctor gave me lucrin for 6 months to stop my period.

So I m not supposed to get my period for 6 months. But through tht I did experience some sort of blackish discharged. I could still perform solat kan ustazah?


🔴 Jawapan :

  • Rawatan mungkin mengambil masa untuk hentikan darah haid. Perlu dapatkan nasihat doktor, jika darah itu memang datang dari kitaran biasa yang masih berbaki, maka ia adalah haid.
  • Pendarahan yang dialami oleh mereka yang mengalami Endometriosis boleh datang dari 2 sumber, iaitu darah dari kitaran haid biasa dan darah dari Endometriosis. Jadi seeloknya sahkan dengan doktor darah yang keluar itu.
  • Pada pandangan ustazah, darah kehitaman yang keluar itu dikira sebagai darah haid apabila :
    a. Lucrin yang diambil itu belum bertindakbalas sepenuhnya, iaitu masih berlaku haid berbaki sebelum berhenti sepenuhnya.

    b. Darah kehitaman itu keluar pada masa ataupun tarikh biasa kedatangan haid, jika puan sebelum ini pernah ada tarikh kebiasaan yang tetap didatangi haid.

  • Jikalau darah itu bersifat darah luka, bukan bersifat darah haid yang dikenali, maka ia tentulah bukan darah haid, tetapi darah istihadah yang membolehkan kita terus menunaikan solat dan puasa.
  • Darah yang keluar disebabkan endometriosis menurut ilmu perubatan berwarna merah jambu, kecoklatan dan juga hitam.
Kesimpulan Ringkas :

 1. Jikalau Lucrin yang diambil itu belum bertindakbalas sepenuhnya, mungkin boleh berlaku haid berbaki sebelum berhenti sepenuhnya.

Maka discharge, cairan ataupun darah hitam itu dikira haid jika ia bertepatan dengan tarikh rutin haid yang biasa.

2. Jikalau Lucrin sudah bertindakbalas sepenuhnya, kitaran haid memang sudah terhenti, dan darah yang keluar itu adalah darah endometriosis, maka yang hitam puan lihat itu adalah istihadah, kerana darah yang keluar disebabkan endometriosis menurut ilmu perubatan boleh berwarna merah jambu, kecoklatan dan juga hitam.

والله أعلم

Wednesday 18 August 2021

CATATAN 10 MUHARRAM 1443H

Assalaamualaikum.

🔴 Antara kluster yang banyak muncul di Terengganu sebelum ini ialah kluster majlis tahlil kematian. Kluster yang dilaporkan bolehlah kita membilangnya, yang tidak dilaporkan malah disembunyikan tidaklah kita ketahui berapa jumlahnya.

Sayangnya ia dinamakan sebagai kluster agama, walhal jika para sahabat masih hidup pada zaman kita ini, merekapun pasti hairan dengan kaifiyyat dan lafaz muqaddimah majlis tahlil itu.

🔴 Sebenarnya, apabila ada kematian, setelah selesai hutang piutang dan pengurusan jenazah, ada 2 perkara penting yang diajarkan oleh Nabi Muhammad saw yang perlu kita lakukan berterusan untuk si mati, kerana 2 perkara ini sangat bermanfaat untuknya.

1️⃣ Pertama mohonkan rahmat Allah untuknya.
2️⃣ Kedua mohonkan keampunan Allah untuknya.

🔴 Pandemik ini banyak mengajar kita perkara yang lebih utama dan meninggalkan perkara yang kurang utama, apatah lagi yang tiada asal usulnya namun dimasukkan sebagai syariat dalam agama.

Agama Islam ini datang daripada Allah, dijelaskan sempurna oleh RasulNya.

🔴 Hari ini 10 Muharram, bagi orang yang berpuasa, adalah mustajab doanya. 

Bersama kita berdoa untuk datuk nenek dan ibubapa kita yang sudah pergi meninggalkan kita. 

Hari ini, sepanjang bulan bahkan sepanjang tahun ini jika ada wang, hulurkan sepuluh dua untuk golongan fakir miskin, orang kurang upaya dan orang hilang kerja sempena pandemik ini,  ataupun hulurkan bungkusan makanan buat petugas barisan hadapan perkhidmatan kesihatan dan keselamatan kita. Boleh niatkan sedekah untuk datuk nenek dan ibubapa kita, tanpa perlu diketahui sesiapa.

Itu lebih manis dan sempurna dari sudut akidah, syariat dan akhlak, berbanding majlis tahlil yang memang tiada panduan daripada Nabi Muhammad saw, apatah lagi mahu dibuat secara bersembunyi dalam musim pandemik yang masih mencatatkan belasan ribu kes setiap hari.

اللهم أعنا على ذكرك 
وشكرك وحسن عبادتك.

Saturday 24 July 2021

CATATAN : RIYAD AL-SALIHIN, BAB IKHLAS, HADITH 2


RIYAD AL-SALIHIN - BAB IKHLAS - HADITH 2


 Sedikit perkongsian dan kesimpulan hari ini. Dikongsikan juga slides yang di’skip’ kerana faktor masa yang terhad.


MUQADDIMAH



  1. Kita bersama pagi ini untuk memenuhi tuntutan ukhuwwah Islamiyyah. Semakin berusia semakin kita mencari erti di sebalik tindakan, pilihan dan keputusan yang kita buat, maka cara terbaik ialah mencari erti dalam ajaran al-Quran dan al-Sunnah.


  1. Ukhuwwah Islamiyyah ada tuntutannya. Dalil yang kita ambil hari ini ialah satu ayat dan 1 hadith. Ayat yang memberitahu kita tentang tuntutan ukhuwwah ialah ayat 71 Surah al-Taubah. 


Manakala hadith yang memberitahu perkara yang sama ialah sabda Nabi Muhammad saw : 


انصر أخاك ظالمًا أو مظلومًا

 (Sahih al-Bukhari)


IMAM NAWAWI



  1. Selain menekankan soal tazkiyah al-nafs, Imam Nawawi juga antara ulama’ mazhab Shafi’i yang terbuka dalam bab fiqh. Beliau mengutamakan dalil yang sahih. Contohnya, beliau antara ulama’ yang tidak menerima solat Tasbih kerana hadith yang menjadi dalilnya tidak thabit. Ibn al-Jawzi mengatakan hadith yang manjadi dalil solat Tasbih adalah hadith palsu.



  1. Terdapat himpunan zikir/wirid yang TIDAK datang daripada hadith2 thabit, tetapi disandarkan himpunan itu kepada Imam Nawawi.                                                 Para ulama’ mengatakan himpunan yang dinamakan sebagai ‘hizib Imam Nawawi’ itu BUKAN susunan Imam Nawawi berdasarkan pendiriannya dalam karya2 nya yang lain. (Boleh lihat kelebihan yang berlebihan yg didakwa jika amalkan hizib ini, antara tanda kepalsuan dakwaan dan sandaran ke atas nama Imam Nawawi.)


HADITH 2 BAB IKHLAS




  1. Hadith 1 Bab ikhlas diriwayatkan oleh Umar ra manakala hadith 2 diriwayatkan oleh ‘Aisyah ra. Umar tokoh sahabat yang dimaklumi paling banyak ilmu dan Aisyah ra adalah tokoh sahabiyyah yang paling banyak ilmu.

  1. Ilmu di kalangan sahabat dan sahabiyyat adalah ilmu yang bermanfaat, diasaskan oleh ikhlas. Kita diajar  supaya memohon ilmu yang bermanfaat dan meminta perlindungan Allah daripada ilmu yang tidak bermanfaat.  



 



  1. Bergaul dan bersama dengan orang2 yang zalim, fasiq, fajir, boleh menyebabkan kita terkena bala bencana atas sebab kemurkaan Allah kepada mereka. Walau bagaimanapun, setiap orang akan dibangkitkan dengan niat terakhir masing2, iaitu apakah sebenarnya niat seseorang sehingga dia berada di lokasi yang sama dengan golongan yang berniat jahat itu. 
  2. Kaabah pernah diserang oleh tentera Abrahah dan Syiah Qaramitah. Akhir zaman nanti akan ada lagi tentera besar yang mahu menyerang Kaabah. Inilah yang diberitahu oleh Nabi Muhammad saw dalam hadith yang kita pelajari hari ini. Fitnah-fitnah terhadap kawasan Kaabah dan terhadap pihak yang menjaga Kaabah masa kini hendaklah disemak dengan berhati-hati.
  3. Hadith-hadith akhir zaman tidak boleh dijadikan peramal tempoh kiamat berdasarkan situasi semasa. (Cth soalan yang pernah ditanya, benarkah ramalan bahawa selepas pandemik Covid 19 ini akan muncul tanda2 besar kiamat. Dajjal dll. Benarkah ramalan tok guru tertentu yang mengatakan usia umat ketika itu hanya berbaki 1500 tahun. Bermakna sekarang ini umur dunia berbaki 58 tahun.) Para ulama’ sejak zaman berzaman menegur perbuatan meramal seperti ini.
  4. Dalam bab memahami hadith akhir zaman, perlukan diketahui bahawa initipatinya ialah membuat persediaan iman dan amal soleh. Tiada guna meramal.
  5. Karya baik dibaca dalam memahami akidah dan hadith-hadith akhir zaman antaranya ialah karya Dr Umar Sulayman al-Asyqar. Ada yang telah diterjemahkan ke bahawa Indonesia : Ensiklopedia Kiamat.
  6. Syarat diterima amalan yang kita pelajari hari ini ialah Ikhlas dan menepati sunnah Nabi Muhammad saw.

  1. Syarat mendapatkan kek yang menjadi sedapnya ialah rajin dan menepati sukatan resepi. Jangan menambah telur sesuka hati. Telur A yang besar tidak sesuai untuk resepi yang memerlukan telur B. Kek yang terlebih cecair akan menyebabkannya bantat. Kek span perlu dikeluarkan daripada loyang segera sejurus dikeluarkan daripada oven supaya ia tidak turun semula.



  1. Demikianlah amalan tidak boleh ditokok tambah dan dilanggar kaifiyyat yang telah ditetapkan kerana ia menyebabkan tidak diterima di sisi Allah swt. 



  1. Sebagaimana silap menambah telur sesuka hati dengan sangkaan kek akan lebih sedap, demikianlah silapnya menambah amalan agama sesuka hati dengan anggapan yang lebih banyak itu lebih baik. 


  1. Syarat amalan diterima iaitu, ikhlas dan menepati sunnah itu termaktub dalam ilmu syariat Allah. Manakala syarat mendapat kek yang menjadi, iaitu rajin dan menepati sukatan resepi itu termaktub dalam ilmu sunnatullah. 



14 Zulhijjah 1442H



 

Sunday 18 July 2021

Adakah haram memasak daging korban untuk dibahagikan kepada fakir miskin?

 Assalamualaikum Ustazah,


Benarkah daging korban haram dimasak untuk diagihkan sebagai hadiah dan sedekah kepada fakir miskin?


Jawapan Ringkas :


Para ulama’ berbeza pendapat dalam hal ini.

Namun tiada dalil yang jelas menyatakan begitu.


Sedekah daging korban itu boleh diberikan dalam bentuk daging mentah ataupun yang telah dimasak. Pastikan sekurang-kurang 1/3 diperolehi oleh faqir miskin.


Daging korban lebih afdal dibahagikan dalam bentuk daging mentah. Namun tiada masalah jika ada keperluan mendesak untuk membahagikan daging korban itu dalam bentuk yang telah dimasak.


Daging aqiqah lebih afdal dibahagikan dalalm bentuk yang telah dimasak. Namun tiada masalah jika ada keperluan membahagikan untuk daging aqiqah dalam bentuk mentah.


والله أعلم

Isnin

9 Zulhijjah 1442H

19 Julai 2021

Monday 5 July 2021

Monday 21 June 2021

SALAH FAHAM DAN SALAH GUNA ‘SANAD’

 Assalamualaikum.

📌 Didapati berlaku banyak salah faham dalam pengajian yang dinamakan sebagai pengajian bersanad. Pernah ditemui pengajian bersanad yang menggunakan kitab jawi yang terdapat banyak hadith palsu di dalamnya.

📌 Ada juga yang memalsukan ‘sanad’ untuk meramaikan pengikut ajaran dan fahaman tertentu. Sangat malang apabila para pengikut menyangka ‘sanad’ yang palsu itu sampai kepada Nabi Muhammad saw.

📌 Malah lebih jauh dari itu, sanad pernah ditawarkan secara online oleh guru yang dikatakan memiliki sanad dan dikatakan menghafaz ribuan hadith! 

Malangnya didapati banyak hadith-hadith palsu disebarkan malah diamalkan, menandakan terlalu banyak perkara yang perlu disemak dalam dakwaan-dakwaan tersebut.

📌Sanad  tujuannya ialah memelihara ketulinan ajaran Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad saw. Apabila sanad disalah guna dan disalah fahami, maka tujuan ini tidak terpelihara lagi.

📌 Hadith Nabi Muhammad saw termasuk hadith dalam Sahih Bukhari hendaklah dipelajari dengan guru yang benar-benar menjaga sunnah Nabi Muhammad saw secara amanah dan berdisiplin. Jika tidak, ada banyak penyelewengan dalam agama boleh berlaku semasa menghuraikan hadith yang sahih.

Zikir-zikir daripada hadith Nabi Muhammad saw yang sahih misalnya didiamkan, dibawa pula zikir-zikir yang tiada asal.

Sama seperti ayat-ayat al-Quran, perlu dipelajari dengan guru yang betul dan disiplin yang betul. Berapa ramai yang salah guna ayat al-Quran sehingga sanggup menyokong amalan zikir menari yang tiada asalnya dalam ajaran Islam.

اللهم إنا نسألك علما نافعا 

Dr Nabilah Hasan
21/6/21
Isnin
10 Zulqa’dah 2021

Sunday 16 May 2021

SELAMAT HARI GURU

Nostalgia

Lebih kurang 10 tahun yang lalu, setiap kali lalu di hadapan bangunan yang menempatkan premis Kelas Bimbingan Saudara Kita, hati saya terdetik, bagusnya kalau saya dapat mengajar ‘di sini.’ Namun ketika itu saya sibuk menyiapkan tugasan pengajian, sibuk dengan keluarga dan sibuk dengan pelbagai urusan remeh temeh dan saya juga bukan orang tempatan untuk bertanyakan sesuatu yang berkaitan. 


Maka detik hati kekal sebagai detikan setiap kali saya lalu di hadapan premis itu.
Sehinggalah pada suatu hari, ketika mengajar tafsir Surah al-Kautsar di sebuah surau, sahabat penyantun yang hadir ke kuliah membawa kenalannya bersama. Katanya, beliau adalah  ‘saudara kita.’

Seusai kuliah, kekanda saudara kita tersebut datang berjumpa saya, lalu bertanyakan, “Bolehkah ustazah datang mengajar kami di kelas saudara kita?”

Ketika itu (malah sehingga kini, masih) saya merasakan limpahan kebaikan yang banyak - al-kautsar - yang Allah kurniakan kepada Nabi Muhammad saw itu memang sangat banyak dan melimpah-limpah, mengalir sampai ke sanubari orang beriman, dan menautkan hati sesama mereka. 


Kenangan kembali di minda hari ini apabila menerima ucapan hari guru daripada pelajar ‘pelbagai bangsa’ namun satu agama. Nikmatnya dalam kelas dapat membuka al-Quran terjemahan pelbagai bahasa, sukar digambarkan, walaupun saya hanyalah guru kecil yang menyimpan bergunung-gunung harapan yang besar-besar, di hadapan para pelajar dan persoalan terlalu rencam dan istimewa untuk digambarkan. 

Sunnatullah سنة الله Dan Syariatullah شريعة الله

Kita guru hanya menyampaikan ‘sunnah Allah - sunnatullah’ dan ‘syariat Allah-syariatullah’. 

Apabila kita menyampaikan ilmu sains, sejarah, geografi, perubatan, matematik, fizik, kimia dan sebagainya maka bererti kita mendalami dan menyampaikan ilmu ‘sunnatullah’ yang Dia tentukan pada kejadian ciptaanNya.

Sesiapa yang cuba menyalahi sunnatullah, maka banyaklah kekacauan yang akan berlaku. Penebangan hutan, penggondolan tanah tinggi dan pelanggaran SOP dalam musim waba’ menular pasti akan mendatangkan mudarat kepada kita semua.

Apabila kita menyampaikan ilmu agama baik akidah, syariat, muamalat, akhlak, dan sebagainya maka bererti kita mendalami dan menyampaikan ilmu ‘syariatullah’ yang Dia tentukan sebagai panduan dan amalan kita.

Sesiapa yang cuba menyalahi syariatullah, maka banyaklah kepincangan yang akan berlaku. Mensyirikkan Allah, berzina, menyebarkan hadith palsu dan mencipta ibadah yang tidak pernah diajarkan oleh Nabi Muhammad saw pasti akan mendatangkan mudarat kepada jiwa dan kehidupan kita sendiri.

Jauh bezanya

Kita guru kecil-kecil yang menyambut hari guru hari ini tidak sama langsung dengan ‘guru’ yang dinamakan sebagai utusan Allah terakhir. Baginda Nabi Muhammad saw menyampaikan dengan sepenuh jiwa raga, menanggung risiko dikejar dan dihambat, difitnah dan diperangi, demi menyampaikan iman dan ilmu yang tiada sebarang kesalahan dan kesilapan padanya. Tiada sebarang upah dan ganjaran daripada mana-mana insan, melainkan daripada Allah Tuhan yang Satu.


Adalah suatu kesilapan yang besar jika kita menyangka bahawa mengajarkan insan supaya tidak mensyirikkan Allah itu sebagai tugas yang mudah. Itulah tugas utama para nabi dan rasul, yang membuka pelbagai kisah perjuangan di zaman silam, untuk iktibar kita pada hari ini.

Tiada kezaliman yang paling besar insan lakukan, melainkan mensyirikkan Tuhan yang mencipta dirinya dan segala keperluannya di dunia ini.
اللهم اهدني وسددني
اللهم اهدنا وسددنا

Selamat Hari Guru buat semua kenalanku.

16 Mei 2021
4 Syawal 1442H  

Tuesday 27 April 2021

KERJAKAN SOLAT DENGAN KHUSYU’, JANGAN ZIKIR MENARI!

🔴 SOALAN :

Mohon pencerahan ustazah tentang zikir menari dalam video ini. Adakah benar amalan ini berasaskan amalan para sahabat? 

🔴 Amalan dan tulisan dalam video ini menyalahi sebahagian besar ayat al-Quran, hadith sahih dan prinsip dalam agama Islam.

📌1. Riwayat dalam video ini adalah riwayat PALSU yang disandarkan kepada Ali bin Abi Talib ra. 

Ada beberapa riwayat PALSU yang disandarkan kepada sahabat2 utama untuk mengabui mata umat Islam, selain daripada disandarkan kepada Nabi Muhammad saw.

Poin no 1 : Video ini menyebarkan RIWAYAT PALSU. Bahaya hadith palsu jelas dapat merosakkan umat Islam. 

Amalan sebenar ditinggalkan, mahu pula mengamalkan perkara yang dilarang oleh Nabi Muhammad saw.

Kalau benar mahu mengingati Allah, kerjakan solat dengan khusyu’, sempurnakan qiyam,  ruku’ dan sujud sebagaimana yang diajarkan oleh baginda. Jangan zikir menari!

📌2. Zikir beramai2 dengan suara lantang, keras ataupun kuat adalah DILARANG oleh Nabi Muhammad saw dalam hadith yang sahih. 

Kedudukan zikir kuat beramai-ramai tidak sama dengan perbuatan imam seorang yang menguatkan sedikit zikir selepas solat kerana ia disebut dalam hadith yang sahih. Antara hikmahnya ialah  sebagai tanda solat sudah selesai.

Zikir beramai-ramai denfan suara yang seperti dalam video tersebut dilarang oleh Nabi Muhammad saw. Apabila para sahabat berzikir dengan suara kuat dalam satu peristiwa, baginda saw bersabda :

 يَا أَيُّهَا النَّاسُ ، ارْبَعُوا عَلَى أَنْفُسِكُمْ ؛ فَإِنَّكُمْ لَا تَدْعُونَ أَصَمَّ وَلَا غَائِبًا ؛ إِنَّهُ مَعَكُمْ إِنَّهُ سَمِيعٌ قَرِيبٌ ، تَبَارَكَ اسْمُهُ وَتَعَالَى جَدُّهُ 

“Wahai sekalian manusia. Kasihani dan berlembutlah terhadap diri kalian sendiri. Kalian bukan menyeru kepada sesuatu yang pekak dan tidak wujud. Sesungguhnya Dia, Allah yang kalian seru itu adalah Maha Mendengar dan Maha Dekat. Maha berkat, melimpah kebaikan pada namaNya dan Maha Tinggi kemuliaanNya.”

Poin 2. Video ini mempromosikan amalan yang DILARANG oleh Nabi Muhammad saw. 

Tidak bagus tujuannya dan memang buruk kesannya jika disebarkan.

📌3. Nabi Muhammad saw melarang bid’ah, iaitu memcipta sendiri dan melakukan amalan agama yang tidak pernah diajarkan oleh baginda saw.

Berzikirlah dengan lafaz dan cara yang diajarkan oleh Nabi Muhammad saw iaitu dengan khusyu’, merendah diri dan suara perlahan.
BUKAN dengan menari, melompat dan berpusing2 seperti ini.

Zikir menari begini disukai syaitan kerana mereka berjaya menjauhkan pelakunya daripada ajaran sebenar Utusan Allah.

Zikir menari seperti ini tidak diredai Allah kerana Allah menyuruh kita mengingati Allah dengan cara yang telah diajarkan oleh Nabi Muhammad saw.



Monday 26 April 2021

20 KESILAPAN SEBAHAGIAN ORANG YANG BERPUASA


Ramadhan 1421H  sebahagiannya sudah berlalu, mankala sebahagian lagi masih berbaki. 

Masih belum terlambat untuk menyemak 20 kesilapann yang biasa dilakukan oleh sebahagian orang yang berpuasa, agar kita dapat berusaha mengelakkan diri daripada melakukannya.

Kesilapan 1 : Tidak Mendalami Hukum Hakam Tentang Siyaam & Qiyam

Kesilapan 2 : Tidak Malu Kepada Allah

Kesilapan 3 : Melampau & Membazir

Kesilapan 4 : Melampau Dalam Berdoa

Kesilapan 5 : Memberatkan Ahli Keluarga Dengan Penyediaan Makan Dan Minum

Kesilapan 6 : Tidur Pada Waktu Sahur

Kesilapan 7 : Meringan-ringankan Solat Subuh

Kesilapaan 8 : Tidur Sepanjang Hari

Kesilapan 9 : Tidak Membaca al-Quran

Kesilapan 10 : Tidak Berdoa Semasa Berpuasa Dan Ketika Berbuka

Kesilapan 11 : Tidak Solat Maghrib Berjamaah

Kesilapan 12 :Tidak Solat Tarawih Langsung, Sama Ada Secara Berjamaah Ataupun Sendirian

Kesilapan 13 : Tidur Lewat Pada Malam Ramadhan

Kesilapan 14 : Mengambil Mudah Dalam Menghimpunkan 2 Jenis Jihad - Siyam & Qiyam Ramadhan

Kesilapan 15 : Solat Tarawih Terlalu Cepat Dan Ringan

Kesilapan 16 : Bersahur Terlalu Awal

Kesilapan 17 : Wanita Suci Daripada Haid Sejurus Sebelum Subuh Namun Tidak Berpuasa

Kesilapan 18 : Melarang Anak Kecil 7-8 Tahun Berpuasa

Kesilapan 19 : Mimpi Basah Tanpa Disengajakan Disangka Batal Puasa Lalu Makan Dan Minum 

Kesilapan 20 : Sakit Tidak Tertanggung Namun Tidak Mengambil Rukhsah Berbuka Puasa


Catatan :
Selasa
15 Ramadhan 1442H
PKPP
Kemaman


Friday 26 March 2021

ADAKAH DISYARIATKAN SAMBUTAN NISFU SYAABAN?

 Assalamualaikum.


🔴Soalan : 

Adakah terdapat amalan khusus yang perlu dilakukan sempena Nisfu Syaaban?

Benarkah Nabi Muhammad saw menganjurkan kita menyambut Nisfu Syaaban, qiyamullail pada malamnya, dan berpuasa pada siangnya? 

Mohon pencerahan. 

🔴Jawapan :

🔸1. TIADA amalan khusus yang disyariatkan sempena Nisfu Syaaban

a. Puasa dan Qiyamullail

Hadith-hadith yang disebarkan bahawa Nabi saw menyuruh qiyamullail pada  malam nisfu Syaaban dan puasa pada siangnya adalah hadith PALSU, ataupun SANGAT DAIF.

Jadi, para ulama' TIDAK memasukkan puasa sempena nisfu Syaaban ke dalam senarai puasa-puasa sunat. 

b. Membaca Yasin 3 kali

Tidak disyariatkan membaca Yasin 3 kali pada Malam Nisfu Syaaban

Bagi mereka yang belajar Fiqh Ibadat lengkap dengan dalil al-Quran dan al-Hadith, mereka akan memahami perkara ini dengan mudah. 

Tidak pernah Rasulullah saw menganjurkan membaca Yasin 3 kali sempena Malam Nisfu Syaaban. 

Sebagaimana tidak pernah Rasulullah saw menganjurkan Solat Hadiah bagi jenazah. 

Malam Nisfu Syaaban sama seperti malam lainnya, boleh dibaca apa-apa surah dalam al-Quran. 

🔸2. Sunat berpuasa pada hari-hari putih, termasuk 15 Syaaban

Disunatkan berpuasa pada 15 Syaaban kerana ia termasuk dalam puasa sunat hari-hari putih, iaitu 13,14 dan 15 setiap bulan. BUKAN puasa kerana nisfu Syaaban.

Jadi, sebenarnya tiada istilah puasa nisfu Syaaban seperti yang disangka, sebaliknya yang disunatkan ialah puasa hari-hari putih. 

Para ulama tidak menetapkan perkara yang wajib dan sunat sembarangan. Ia mesti datang daripada dalil-dalil yang jelas. 

Satu perkara lagi yang mesti difahami ialah perbezaan antara puasa sunat mutlak dengan sunat muqayyad.   

🔸3. Sunat qiyamullail setiap malam

Untuk beramal pada setiap malam, termasuklah pada malam-malam bulan Syaaban, terdapat hadith-hadith yang lebih sahih untuk memotivasikan kita melakukan qiyamullail.

Antaranya :

a. Sabda Nabi Muhammad saw :

"من تَعارَّ من الليل فقال : لا إله إلا الله وحده لا شريك له، له الملك، وله الحمد، وهو على كل شيء قدير، سبحان الله، والحمد لله، ولا إله إلا الله، والله أكبر، ولا حول ولا قوة إلا بالله، ثم قال: اللهم اغفر لي أو دعا استجيب له، فإن توضأ وصلى قبلت صلاته"

Maksudnya :
"Sesiapa yang terjaga pada waktu malam kemudian membaca : 

لا إله إلا الله وحده لا شريك له، 
له الملك، وله الحمد، وهو على كل شيء قدير، 
سبحان الله، والحمد لله، ولا إله إلا الله، والله أكبر، 
ولا حول ولا قوة إلا بالله.

Kemudian dia berdoa : اللهم اغفرلي dan doa-doa lain lagi, doanya mustajab. Sekiranya dia berwudhu' dan solat, solatnya diterima. "

(Sahih Bukhari, Kitab al-Tahajjud, Bab Orang Yang Terjaga Waktu Malam Lalu Bersembahyang)

b. Sabda Nabi Muhammad saw :

"ينزل ربنا تبارك وتعالى كل ليلة إلى السماء الدنيا حين يبقى ثلث الليل الآخر يقول: من يدعوني فأستجيب له،
 من يسألني فأعطيه، من يستغفرني فأغفر له"
 
Maksudnya :
"Tuhan kita yang Maha Mulia dan Maha Tinggi turun setiap malam ke langit dunia, ketika malam tinggal 1/3 terakhir. Tuhan berkata : Sesiapa berdoa kepadaKu, akan Aku perkenankan doanya. Sesiapa meminta kepadaKu, akan Aku berikan permintaannya. Sesiapa memohon keampunan dariKu, akan Aku ampunkan dia."

(Sahih al-Bukhari, Kitab al-Tahajjud, Bab Berdoa Dan Solat Pada Akhir Malam)

Seruan ini ada pada setiap malam sepanjang tahun, termasuk malam 15 Syaaban dan 10 terakhir Ramadhan. 

Bagi mereka yang belajar ilmu hadith, cukuplah dengan hadith yang sahih ini untuk mendapatkan ganjaran yang dijanjikan.


🔸4. Adapun hadith ini :

إنَّ اللَّهَ ليطَّلعُ في ليلةِ النِّصفِ منشعبانَ 

فيغفرُ لجميعِ خلقِه إلَّالمشرِك أو مشاحنٍ


Allah melihat kepada hamba-hamba-Nya pada malam Nisfu Sya’ban, maka Dia ampuni semua hamba-hambaNya kecuali musyrik (orang yang syirik) dan yang bermusuh (orang benci membenci).

Sebahagian ulama' mengatakan daif, dan ada yang mengatakannya sahih kerana banyak jalur riwayatnya.

Namun jika kita perhatikan, hadith ini sifatnya umum. Keampunan memang ada pada setiap malam, dan orang yang syirik memang tidak terampun dengan istighfar seperti dosa kecil yang lain, kerana syirik adalah dosa besar yang memerlukan taubat nasuha.

Manakala orang yang bermusuhan dan benci membenci tidak boleh bantu membantu dalam perkara ma’ruf dan bantu membantu dalam mencegah kemungkaran. Mereka juga tidak dapat berlaku adil terhadap satu sama lain, bahkan cenderung untuk saling menzalimi antara satu sama lain.

Hadith ini tidak menjadi dalil kepada umat Islam untuk menyambut Nisfu Syaaban dengan amalan-amalan khusus. 

Tidak pernah Nabi Muhammad saw dan para sahabatnya menyambut malam Nisfu Syaaban dengan amalan dan bacaan tertentu.

🔸5. Nisfu Syaaban ni dianggap besar oleh sesetengah golongan, kerana mereka sangka Lailatul Qadar berlaku pada Nisfu Syaaban. Faktor ini menyebabkan mereka menyambut Nisfu Syaaban secara besar-besaran. 

Kepercayaan ini juga dikatakan berpunca daripada ‘hadith palsu’ yang disebarkan oleh Ziyad al-Numayri berbunyi :
 ❌ Sesungguhnya pahala beramal pada malam nisfu Syaaban seperti pahala Laylatul Qadar. ❌

Apabila sampai kata-kata ini kepada Abdullah ibn Abi Mulaykah, beliau marah dan berkata, “Kalau saya dengar dia berkata begitu dan ketika itu tangan saya ada tongkat, saya akan pukul dia.” 

Terdapat pelbagai hadith palsu yang tersebar dalam golongan Syiah dalam bab kelebihan nisfu Syaaban. Antaranya hadith palsu yang mendakwa bahawa :
❌Sesiapa yang menziarahi kubur Husain ra pada hari nisfu Syaaban, diampunkan dosanya yang telah lalu dan yang akan datang.❌ 

Demikianlah parah kesan hadith palsu kepada agama Islam, sehingga merosakkan ajaran murni Nabi Muhammad saw. 

Kita ahlu sunnah wal jamaah, kita tertunggu- tunggu untuk hidupkan malam 10 terakhir Ramadhan, kerana Nabi Muhammad saw jelas mengisyaratkan Lailatul Qadar ada di sana melalui hadith-hadith yang sahih.

🔸6. Penutup 

Adalah silap jika kita bergantung kepada hadith yang sangat lemah apatah lagi palsu, tetapi meninggalkan hadith sahih yang memang menganjurkan kita melakukan qiyamullail setiap malam.

Biar sedikit, asalkan berterusan.

Di ambang Ramadan ini, elok kita biasakan melatih diri supaya :

a. Melakukan qiyamullail pada (walaupun hanya dengan solat witir) SETIAP MALAM
b. Membiasakan doa-doa dan zikir-zikir yang diajar Nabi saw dalam hadith-hadith sahih SETIAP HARI
c. Memohon keampunan dan istighfar SETIAP HARI
d. Meninggalkan perbuatan dosa
e. Menambah ilmu daripada sumber yang berautoriti
f. Bersedia untuk membaca al-Quran dan membanyakkan tadabbur al-Quran.

...dan lain-lain lagi, semoga nanti kita lebih mudah beramal apabila tiba Ramadan al-Mubarak.
والله أعلم

❤️Selamat Datang Ramadan.❤️

26/3/2021
Dr. Nabilah Hasan

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Powerade Coupons