Sunday 21 May 2017

WAJIB BERMAAFAN SEBELUM RAMADHAN?


Soalan : 





Adakah benar kita wajib bermaafan sebelum tibanya Ramadhan? 





Terdapat hadith yang disebarkan iaitu malaikat berdoa agar Allah abaikan puasa orang yang tidak bermaafan sebelum tibanya bulan Ramadhan. 





Jawapan :





🔸Tidak benar.





Bunyi 'hadith' tersebut seperti hadith 'Melayu', bukan hadith Nabi Muhammad saw.






Entah siapa pengarang asalnya. 





🔸Memohon maaf itu baik, boleh dilakukan sepanjang masa. Malah, jika kita melakukan kezaliman terhadap seseorang, memohon maaf wajib dilakukan dengan segera tanpa menunggu menjelang Ramadhan.





Manakala mencipta sendiri 'hadith' lalu menyandarkan perkataan rekaan itu atas nama Rasulullah saw adalah dosa besar, menempah neraka.





Diletakkan pula 'sahih', disertakan pula nama ulama' dan nama sahabat perawinya!





Al-Imam al-Dhahabi meletakkan dosa berdusta atas nama Nabi Muhammad saw sebagai dosa besar yang ke-9, dalam kitabnya al-Kabair (Dosa-Dosa Besar).





🔸Kita tidak tahu siapakah penulis asal tazkirah ini. Berdasarkan panduan ulama' hadith dalam menjelaskan faktor perkembangan hadith PALSU, ada 3 kemungkinan sebab kemunculan 'tazkirah' ini iaitu :





1. Dilakukan oleh orang yang ingin membuat kebaikan tetapi tidak cukup ilmu.





Gara-gara 'ingin berfatwa' dan 'memberi tazkirah' tanpa menjalankan kewajipan menuntut ilmu yang benar terlebih dahulu bagi melayakkan dirinya  menjadi penyampai, sama ada dalam bentuk perkataan mahupun tulisan.





Lebih-lebih lagi zaman sekarang, sesiapa sahaja boleh berfatwa dan bertazkirah online. 





Bercampur aduk antara yang benar dengan yang batil. Diambil dari aneka sumber, atas nama ingin membuat kebaikan. 





2. Dilakukan oleh orang yang berniat serong terhadap Islam dan umatnya. 





3. Dilakukan oleh pelajar sekolah yang nakal, dengan niat bergurau dan bermain-main. Tidak tahu bahawa ilmu agama bukan bahan mainan, juga tidak tahu bahawa perbuatannya adalah dosa besar di sisi agama.





🔸Bagi ahli masyarakat yang telah didedahkan kepada sedikit disiplin ilmu hadith, mereka memahami kepentingan mengambil ilmu dan tazkirah daripada sumber yang diyakini. 





Bagi sumber bentuk tulisan, pastikan siapakah penulisnya, apa latar belakangnya. 





Bagi sumber hukum fiqh, dapatkan maklumat siapakah orang yang memberikan jawapan itu, ambilannya dari kitab mana, siapa pengarangnya.





Bagi hadith, dapatkan sumber kitabnya, hadith riwayat siapa, dan hukum yang diberikan ulama' bagi hadith tersebut.





Majoriti sebaran dan tazkirah memang sukar disemak sendiri oleh orang awam, jadi setiap orang yang tidak mampu mesti mencari pembimbing yang berilmu dan amanah dalam menyampaikan ilmu. 





🔸Dalam zaman teknologi maklumat ini, kian terasa pentingnya pesanan Ibn Sirin :


إن هذا العلم دين فانظروا عمن تأخذون دينكم





"Sesungguhnya ilmu ini adalah AGAMA, maka perhatikan dari siapa kamu mengambil agama kamu."





🔸Tidak dinafikan bahawa tulisan dalam whatsapp diambil oleh sesetengah 'pentazkirah' untuk bertazkirah pula dalam majlis ilmu! 





Sekali lagi, berharga pesanan Ibn Sirin. 





Ilmu yang tidak sahih manakan mendapat reda Allah, manakan dapat menenangkan jiwa dan memperbaiki amalan kita?





Dalam Pengajian Tafsir Surah al-Jinn, telah kita pelajari bagaimana Allah swt menjaga 'wahyu' semasa diturunkan kepada Nabi Muhammad saw, agar terpelihara ketulinan ajaran agama Islam. Dalam ayat 9 Surah al-Hijr pula, dapat kita fahami bahawa Allah tetap akan memelihara ilmu agama ini selepas ia selesai diturunkan.










Para ulama' membahagikan wahyu yang terpelihara  kepada dua iaitu :





1. Wahyu Matlu  متلو





Wahyu matlu adalah al-Quran, kalamullah. Al-Quran adalah sumber agama yang paling tinggi, dipelihara oleh Allah swt dengan jaminan dalam ayat 9 Surah al-Hijr tersebut.





2. Wahyu Ghair Matlu غير متلو 





Wahyu ghair matlu ialah hadith nabi saw yang thabit. Hadith adalah sumber agama yang kedua selepas al-Quran. Jaminan terhadap al-Hadith juga dinyatakan oleh Allah swt menerusi ayat 17 hingga 19 Surah al-Qiyamah :










Hadith dipelihara oleh Allah swt kerana ia adalah penjelas kepada al-Quran. Dalam ayat 19 di atas, Allah swt dengan terang menyatakan bahawa Allah akan memelihara urusan menjelaskan kandungan al-Quran. Para ulama tafsir mengatakan bahawa maksud (بيانه) dalam ayat ini ialah Allah menjelaskan al-Quran melalui lisan Nabi Muhammad saw.





Allah swt memelihara hadith melalui para sahabat dan para ulama' (khususnya ulama' hadith) yang berjihad menjaga ketulenan sumber agama ini. Mereka mengumpulkan, menyusun dan mengarang kitab hadith, membina disiplin ilmu hadith, menapis hadith palsu, mengumpulkan biodata perawi, menyenarai hitamkan para pemalsu hadith malah merekalah yang mengumpulkan hadith-hadith palsu yang pernah direka dalam sejarah dan tersebar dalam kalangan umat Islam. Dikumpulkan bukan supaya diamalkan, sebaliknya supaya dijauhi kerana hadith palsu mengandungi bahaya terhadap agama. 





Dengan diisplin ilmu hadith inilah juga para ilmuwan dapat mengenalpasti hadith-hadith palsu versi baru, seumpama yang wujud dalam tazkirah kewajipan memohon maaf menjelang Ramadhan.





🔸Fiqh Keutamaan mengajar kita agar mengutamakan kualiti berbanding kuantiti, termasuklah dalam bab tazkirah. 





Tazkirah yang berkualiti hanya datang daripada sumber yang terpelihara, dengan disiplin yang terpelihara. 





والله أعلم





24 Sya'ban 1438H


21 Mei 2017




Wednesday 10 May 2017

SOALAN EVERGREEN : ADAKAH DISYARIATKAN SAMBUTAN NISFU SYA'BAN?



Assalamualaikum.









Soalan :









Adakah terdapat amalan khusus yang perlu dilakukan sempena Nisfu Sya'ban?









Benarkah Nabi Muhammad saw menganjurkan kita menyambut Nisfu Sya'ban, seperti membaca Yasin 3 kali selepas Maghrib, qiyamullail pada malamnya, dan berpuasa pada siangnya? 









Mohon pencerahan Ustazah. 









Jawapan :







بسم الله الرحمن الرحيم







Fakta 1 : Tiada amalan khusus yang disyariatkan sempena Nisfu Sya'ban











a. Puasa dan Qiyamullail









Hadith-hadith yang disebarkan bahawa Nabi saw menyuruh qiyamullail pada  malam nisfu Sya'ban dan puasa pada siangnya adalah hadith PALSU, ataupun SANGAT DAIF.









Jadi, para ulama' TIDAK memasukkan puasa sempena Nisfu Sya'ban ke dalam senarai puasa-puasa sunat. 









Sesiapa yang belajar Fiqh Ibadah dengan disiplin yang betul akan memahami perkara ini.









b. Membaca Yasin 3 kali









Tidak disyariatkan membaca Yasin 3 kali pada Malam Nisfu Sya'ban









Bagi mereka yang belajar Fiqh Ibadat lengkap dengan dalil al-Quran dan al-Hadith, mereka akan memahami perkara ini dengan mudah. 









Tidak pernah Rasulullah saw menganjurkan membaca Yasin 3 kali sempena Malam Nisfu Sya'ban. 









Sebagaimana tidak pernah Rasulullah saw menganjurkan Solat Hadiah bagi jenazah. 









Malam Nisfu Sya'ban sama seperti malam lainnya, boleh dibaca apa-apa surah dalam al-Quran. 









Jikalau malam itu jatuh kepada malam Jumaat, lebih elok dibaca Surah al-Kahfi seperti biasa.









Fakta 2 : Sunat berpuasa pada hari-hari putih, termasuk 15 Syaaban









Disunatkan berpuasa pada 15 Syaaban kerana ia termasuk dalam puasa sunat hari-hari putih, iaitu 13,14 dan 15 setiap bulan. BUKAN puasa kerana Nisfu Sya'ban.









Jadi, sebenarnya tiada istilah puasa Nisfu Sya'ban seperti yang disangka, sebaliknya yang disunatkan ialah puasa hari-hari putih. 









Para ulama tidak menetapkan perkara yang wajib dan sunat sembarangan. Ia mesti datang daripada dalil-dalil yang jelas. 









Satu perkara lagi yang mesti difahami ialah perbezaan antara puasa sunat mutlak dengan sunat muqayyad.   









Fakta 3 : Sunat qiyamullail setiap malam








Bagi tujuan beramal pada setiap malam, termasuklah pada malam-malam bulan Sya'ban, terdapat hadith-hadith yang lebih sahih untuk memotivasikan kita melakukan qiyamullail.








Antaranya :










a. Sabda Nabi Muhammad saw :








"من تَعارَّ من الليل فقال : لا إله إلا الله وحده لا شريك له، له الملك، وله الحمد، وهو على كل شيء قدير، الحمد لله، وسبحان الله، ولا إله إلا الله، والله أكبر، ولا حول ولا قوة إلا بالله، ثم قال: اللهم اغفر لي أو دعا استجيب له، فإن توضأ وصلى قبلت صلاته"


Maksudnya :


"Sesiapa yang terjaga pada waktu malam kemudian membaca : 


لا إله إلا الله وحده لا شريك له، 


له الملك، وله الحمد، وهو على كل شيء قدير، 


الحمد لله، وسبحان الله، ولا إله إلا الله، والله أكبر، 


ولا حول ولا قوة إلا بالله.








Kemudian dia berdoa : اللهم اغفرلي dan doa-doa lain lagi, doanya mustajab. Sekiranya dia berwudhu' dan solat, solatnya diterima. "









(Sahih Bukhari, Kitab al-Tahajjud, Bab Orang Yang Terjaga Waktu Malam Lalu Bersembahyang)









b. Sabda Nabi Muhammad saw :








"ينزل ربنا تبارك وتعالى كل ليلة إلى السماء الدنيا حين يبقى ثلث الليل الآخر يقول : 

من يدعوني فأستجيب له،


 من يسألني فأعطيه، من يستغفرني فأغفر له"




Maksudnya :



"Tuhan kita yang Maha Mulia dan Maha Tinggi turun setiap malam ke langit dunia, ketika malam tinggal 1/3 terakhir. Tuhan berkata : Sesiapa berdoa kepadaKu, akan Aku perkenankan doanya. Sesiapa meminta kepadaKu, akan Aku berikan permintaannya. Sesiapa memohon keampunan dariKu, akan Aku ampunkan dia."









(Sahih al-Bukhari, Kitab al-Tahajjud, Bab Berdoa Dan Solat Pada Akhir Malam)











Seruan ini ada pada setiap malam sepanjang tahun, termasuk malam 15 Syaaban dan 10 terakhir Ramadhan. 









Bagi mereka yang belajar ilmu hadith, cukuplah istiqamah dengan amalan daripada hadith yang sahih ini untuk mendapatkan ganjaran yang dijanjikan pada setiap malam.











Fakta 4 : Ulama' berbeza pandangan tentang hadith 'Allah melihat hamba-hambaNya pada malam Nisfu Sya'ban.









Hadith ini :








إنَّ الله ليطَّلعُ في ليلةِ النِّصفِ منشعبانَ فيغفرُ لجميعِ خلقِه 

إلَّا لمشرِك أو مشاحنٍ







Maksudnya : Allah melihat kepada hamba-hamba-Nya pada malam Nisfu Sya’ban, maka Dia ampuni semua hamba-hambaNya kecuali musyrik (orang yang syirik) dan yang bermusuh (orang benci membenci).




(Sunan Ibn Majah)









Sebahagian ulama' mengatakan daif, dan sebahagian mengatakannya sahih kerana banyak jalur riwayatnya. Bagi yang mengatakan ia daif, mereka mengatakan jalan-jalan itu tidak cukup syarat untuk menjadikan ia sahih.









Jika kita perhatikan, hadith ini maksudnya umum. Keampunan memang ada pada setiap malam, dan orang yang syirik memang tidak terampun dengan istighfar seperti dosa kecil yang lain, kerana syirik adalah dosa besar yang memerlukan taubat nasuha.










Manakala orang yang bermusuhan dan benci membenci tidak boleh bantu membantu dalam perkara ma'ruf dan tidak dapat bantu membantu dalam mencegah kemungkaran. Mereka juga tidak dapat berlaku adil terhadap satu sama lain, bahkan cenderung untuk saling menzalimi antara satu sama lain.









Hadith ini kalaupun sahih, ia tidak menjadi dalil kepada umat Islam untuk menyambut Nisfu Syaaban dengan amalan-amalan tertentu. Ia sekadar menjadi penyokong kepada hadith-hadith sahih yang lain tentang bahaya syirik dan bahaya permusuhan, serta menyokong hadith bahawa Allah 'turun' ke langit dunia pada setiap malam. 




Hadith ini bukan dalil menyambut Nisfu Sya'ban!









Apa yang jelas nyata, tidak pernah Nabi Muhammad saw dan para sahabatnya menyambut malam Nisfu Sya'ban dengan amalan dan bacaan tertentu.










Fakta 5 : Sangkaan Lailatul Qadar Ada Dalam Nisfu Sya'ban.









Nisfu Syaaban dianggap besar oleh sesetengah golongan, kerana mereka menyangka Lailatul Qadar berlaku pada Nisfu Syaaban. Faktor ini menyebabkan mereka menyambut Nisfu Syaaban secara besar-besaran dengan pelbagai jenis amalan.









Adapun kita Ahlu Sunnah wa al-Jamaah, kita tertunggu- tunggu untuk menghidupkan malam-malam 10 terakhir Ramadhan, kerana al-Quran dan hadith-hadith Nabi Muhammad saw yang sahih jelas mengisyaratkan Lailatul Qadar ada di sana.










6. Penutup 









Adalah silap jika kita bergantung kepada hadith yang sangat lemah apatah lagi palsu, tetapi meninggalkan hadith sahih yang memang menganjurkan kita melakukan qiyamullail setiap malam, sentiasa bermaafan, tidak menyimpan dendam, dan menjauhi syirik serta bid'ah.









Amalan yang paling baik ialah amalan yang jelas datang daripada ajaran sunnah Rasulullah saw. Biarpun sedikit, asalkan berterusan.










Di ambang Ramadan ini, elok kita biasakan melatih diri supaya :









a. Melakukan qiyamullail pada (walaupun hanya dengan solat witir) setiap malam






b. Membiasakan doa-doa dan zikir-zikir yang diajar Nabi saw dalam hadith-hadith sahih setiap hari






c. Memohon keampunan dan istighfar setiap hari






d. Meninggalkan perbuatan dosa seperti mengumpat, hasad dengki, membuang masa dan sebagainya.






e. Membaca dan mempelajari al-Quran dengan disiplin yang betul.






f. Menambah ilmu daripada sumber yang berautoriti









Semoga nanti kita lebih mudah beramal apabila tiba Ramadan al-Mubarak. Semoga Ramadan kali ini lebih baik daripada yang sebelumnya.










والله أعلم









Disusun pada :


Khamis




14 Syaaban 1438H




11 Mei 2017









Bacaan Ringkas Lanjut :









1. Al-Bida' al-Hawliyyah




2. Laataif al-Ma'arif




3. Husn Al-Bayan fi ma Wurida fi Lailah al-Nisf min Sya'ban




4. https://islamqa.info/ar/140084


5. Al-Wad'u fi al-Hadith.





Sunday 7 May 2017

BOLEHKAH PELAKU DOSA BESAR MENJADI IMAM?


Assalamualaikum. 





🔴Soalan :





1. Bolehkah orang yang munafiq, yang melakukan dosa besar menjadi imam solat di masjid.


2. Kalau katakan makmum yang melantik imam tersebut tidak tahu, apakah yang perlu dilakukan oleh orang yang tahu.










🔴Jawapan Ringkas :





Waalaikumussalam. 





1. Orang yang melakukan dosa besar seperti berzina, makan riba dan lain-lain ialah orang yang fasiq. Orang fasiq biasanya memiliki sifat-sifat orang munafiq, seperti selalu berbohong.





2. Jika imam itu telah bertaubat daripada dosanya yang lalu, tidak mengapa dia terus menjadi imam. Taubat nasuha yang diterima Allah membersihkan semua dosa-dosanya yang telah lalu.





3. Jika imam itu masih melakukan maksiat, hendaklah dinasihati. Sebahagian ulama' mengatakan solat di belakang orang fasiq adalah sah.





Asalkan dia tidak melakukan perkara yang mensyirikkan Allah seperti memohon pertolongan dengan orang yang sudah mati (istighathah yang diberi nama tawassul), beribadah kepada jin, menghina agama dan lain-lain.





4. Jika dinasihati namun masih meneruskan perbuatannya, hendaklah digantikan dengan imam lain. 





Imam adalah pemimpin, dan pemimpin orang beriman hendaklah orang yang bertaqwa, lebih-lebih lagi dalam memimpin solat yang merupakan ibadat teras dalam agama.





5. Menjawab persoalan kedua, jika imam tersebut masih meneruskan perbuatan setelah dinasihati, usahakan sedaya upaya agar digantikan dengan imam yang lebih baik.





Cadangkan imam lebih baik bacaannya, lebih hafaz al-Quran, yang lebih berpendidikan, lebih bertaqwa, lebih berakhlak dan sebagainya.





Firman Allah swt :





أَفَمَن كَانَ مُؤْمِنًا كَمَن كَانَ فَاسِقًا ۚ لَّا يَسْتَوُونَ 





والله أعلم

KEWAJIPAN MENDENGAR BACAAN AL-QURAN







Assalamualaikum.





🔴Soalan :





Adakah memasang rakaman bacaan al-Quran di sekolah pada waktu pagi sebelum para pelajar masuk kelas bercanggah dengan perintah ayat 204 Surah al-A'raf?



🔴Jawapan :





Perintah diam dan perhatikan bacaan al-Quran ini khusus kepada ma'mum agar diam dan teliti semasa imam membaca al-Quran dalam solat.





Manakala di luar solat, sebahagian ulama' mengatakan ia fardhu ain. Sebahagian lagi mengatakan fardhu kifayah. 




Jumhur mengatakan hukumnya sunat. Sebab yang wajib itu ialah semasa solat.





Walaupun sunat, tidak boleh perkecilkan bacaan al-Quran yang sedang berkumandang. Ayat 26 Surah Fussilat menceritakan orang kafir sengaja membuat bising semasa al-Quran diperdengarkan.





Ringkasnya, bagi yang mendengar, cuba sedaya upaya untuk diam dan beri perhatian, walaupun di luar solat.





Bagi yang memasang, elakkan pasang  dalam situasi yang dimaklumi bahawa sukar orang berikan perhatian kepada bacaan yang dipasang. 





Pada kebiasaannya, situasi sebelum masuk kelas sesuai kerana suasana masih tenang dan akan ada yang mendengar. Berbeza dengan masa rehat, kurang sesuai, melainkan pada bulan puasa.





والله أعلم





Bacaan lanjut :





Tafsir al-Tahrir wa al-Tanwir


 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Powerade Coupons