Wednesday, 10 May 2017

SOALAN EVERGREEN : ADAKAH DISYARIATKAN SAMBUTAN NISFU SYA'BAN?



Assalamualaikum.









Soalan :









Adakah terdapat amalan khusus yang perlu dilakukan sempena Nisfu Sya'ban?









Benarkah Nabi Muhammad saw menganjurkan kita menyambut Nisfu Sya'ban, seperti membaca Yasin 3 kali selepas Maghrib, qiyamullail pada malamnya, dan berpuasa pada siangnya? 









Mohon pencerahan Ustazah. 









Jawapan :







بسم الله الرحمن الرحيم







Fakta 1 : Tiada amalan khusus yang disyariatkan sempena Nisfu Sya'ban











a. Puasa dan Qiyamullail









Hadith-hadith yang disebarkan bahawa Nabi saw menyuruh qiyamullail pada  malam nisfu Sya'ban dan puasa pada siangnya adalah hadith PALSU, ataupun SANGAT DAIF.









Jadi, para ulama' TIDAK memasukkan puasa sempena Nisfu Sya'ban ke dalam senarai puasa-puasa sunat. 









Sesiapa yang belajar Fiqh Ibadah dengan disiplin yang betul akan memahami perkara ini.









b. Membaca Yasin 3 kali









Tidak disyariatkan membaca Yasin 3 kali pada Malam Nisfu Sya'ban









Bagi mereka yang belajar Fiqh Ibadat lengkap dengan dalil al-Quran dan al-Hadith, mereka akan memahami perkara ini dengan mudah. 









Tidak pernah Rasulullah saw menganjurkan membaca Yasin 3 kali sempena Malam Nisfu Sya'ban. 









Sebagaimana tidak pernah Rasulullah saw menganjurkan Solat Hadiah bagi jenazah. 









Malam Nisfu Sya'ban sama seperti malam lainnya, boleh dibaca apa-apa surah dalam al-Quran. 









Jikalau malam itu jatuh kepada malam Jumaat, lebih elok dibaca Surah al-Kahfi seperti biasa.









Fakta 2 : Sunat berpuasa pada hari-hari putih, termasuk 15 Syaaban









Disunatkan berpuasa pada 15 Syaaban kerana ia termasuk dalam puasa sunat hari-hari putih, iaitu 13,14 dan 15 setiap bulan. BUKAN puasa kerana Nisfu Sya'ban.









Jadi, sebenarnya tiada istilah puasa Nisfu Sya'ban seperti yang disangka, sebaliknya yang disunatkan ialah puasa hari-hari putih. 









Para ulama tidak menetapkan perkara yang wajib dan sunat sembarangan. Ia mesti datang daripada dalil-dalil yang jelas. 









Satu perkara lagi yang mesti difahami ialah perbezaan antara puasa sunat mutlak dengan sunat muqayyad.   









Fakta 3 : Sunat qiyamullail setiap malam








Bagi tujuan beramal pada setiap malam, termasuklah pada malam-malam bulan Sya'ban, terdapat hadith-hadith yang lebih sahih untuk memotivasikan kita melakukan qiyamullail.








Antaranya :










a. Sabda Nabi Muhammad saw :








"من تَعارَّ من الليل فقال : لا إله إلا الله وحده لا شريك له، له الملك، وله الحمد، وهو على كل شيء قدير، الحمد لله، وسبحان الله، ولا إله إلا الله، والله أكبر، ولا حول ولا قوة إلا بالله، ثم قال: اللهم اغفر لي أو دعا استجيب له، فإن توضأ وصلى قبلت صلاته"


Maksudnya :


"Sesiapa yang terjaga pada waktu malam kemudian membaca : 


لا إله إلا الله وحده لا شريك له، 


له الملك، وله الحمد، وهو على كل شيء قدير، 


الحمد لله، وسبحان الله، ولا إله إلا الله، والله أكبر، 


ولا حول ولا قوة إلا بالله.








Kemudian dia berdoa : اللهم اغفرلي dan doa-doa lain lagi, doanya mustajab. Sekiranya dia berwudhu' dan solat, solatnya diterima. "









(Sahih Bukhari, Kitab al-Tahajjud, Bab Orang Yang Terjaga Waktu Malam Lalu Bersembahyang)









b. Sabda Nabi Muhammad saw :








"ينزل ربنا تبارك وتعالى كل ليلة إلى السماء الدنيا حين يبقى ثلث الليل الآخر يقول : 

من يدعوني فأستجيب له،


 من يسألني فأعطيه، من يستغفرني فأغفر له"




Maksudnya :



"Tuhan kita yang Maha Mulia dan Maha Tinggi turun setiap malam ke langit dunia, ketika malam tinggal 1/3 terakhir. Tuhan berkata : Sesiapa berdoa kepadaKu, akan Aku perkenankan doanya. Sesiapa meminta kepadaKu, akan Aku berikan permintaannya. Sesiapa memohon keampunan dariKu, akan Aku ampunkan dia."









(Sahih al-Bukhari, Kitab al-Tahajjud, Bab Berdoa Dan Solat Pada Akhir Malam)











Seruan ini ada pada setiap malam sepanjang tahun, termasuk malam 15 Syaaban dan 10 terakhir Ramadhan. 









Bagi mereka yang belajar ilmu hadith, cukuplah istiqamah dengan amalan daripada hadith yang sahih ini untuk mendapatkan ganjaran yang dijanjikan pada setiap malam.











Fakta 4 : Ulama' berbeza pandangan tentang hadith 'Allah melihat hamba-hambaNya pada malam Nisfu Sya'ban.









Hadith ini :








إنَّ الله ليطَّلعُ في ليلةِ النِّصفِ منشعبانَ فيغفرُ لجميعِ خلقِه 

إلَّا لمشرِك أو مشاحنٍ







Maksudnya : Allah melihat kepada hamba-hamba-Nya pada malam Nisfu Sya’ban, maka Dia ampuni semua hamba-hambaNya kecuali musyrik (orang yang syirik) dan yang bermusuh (orang benci membenci).




(Sunan Ibn Majah)









Sebahagian ulama' mengatakan daif, dan sebahagian mengatakannya sahih kerana banyak jalur riwayatnya. Bagi yang mengatakan ia daif, mereka mengatakan jalan-jalan itu tidak cukup syarat untuk menjadikan ia sahih.









Jika kita perhatikan, hadith ini maksudnya umum. Keampunan memang ada pada setiap malam, dan orang yang syirik memang tidak terampun dengan istighfar seperti dosa kecil yang lain, kerana syirik adalah dosa besar yang memerlukan taubat nasuha.










Manakala orang yang bermusuhan dan benci membenci tidak boleh bantu membantu dalam perkara ma'ruf dan tidak dapat bantu membantu dalam mencegah kemungkaran. Mereka juga tidak dapat berlaku adil terhadap satu sama lain, bahkan cenderung untuk saling menzalimi antara satu sama lain.









Hadith ini kalaupun sahih, ia tidak menjadi dalil kepada umat Islam untuk menyambut Nisfu Syaaban dengan amalan-amalan tertentu. Ia sekadar menjadi penyokong kepada hadith-hadith sahih yang lain tentang bahaya syirik dan bahaya permusuhan, serta menyokong hadith bahawa Allah 'turun' ke langit dunia pada setiap malam. 




Hadith ini bukan dalil menyambut Nisfu Sya'ban!









Apa yang jelas nyata, tidak pernah Nabi Muhammad saw dan para sahabatnya menyambut malam Nisfu Sya'ban dengan amalan dan bacaan tertentu.










Fakta 5 : Sangkaan Lailatul Qadar Ada Dalam Nisfu Sya'ban.









Nisfu Syaaban dianggap besar oleh sesetengah golongan, kerana mereka menyangka Lailatul Qadar berlaku pada Nisfu Syaaban. Faktor ini menyebabkan mereka menyambut Nisfu Syaaban secara besar-besaran dengan pelbagai jenis amalan.









Adapun kita Ahlu Sunnah wa al-Jamaah, kita tertunggu- tunggu untuk menghidupkan malam-malam 10 terakhir Ramadhan, kerana al-Quran dan hadith-hadith Nabi Muhammad saw yang sahih jelas mengisyaratkan Lailatul Qadar ada di sana.










6. Penutup 









Adalah silap jika kita bergantung kepada hadith yang sangat lemah apatah lagi palsu, tetapi meninggalkan hadith sahih yang memang menganjurkan kita melakukan qiyamullail setiap malam, sentiasa bermaafan, tidak menyimpan dendam, dan menjauhi syirik serta bid'ah.









Amalan yang paling baik ialah amalan yang jelas datang daripada ajaran sunnah Rasulullah saw. Biarpun sedikit, asalkan berterusan.










Di ambang Ramadan ini, elok kita biasakan melatih diri supaya :









a. Melakukan qiyamullail pada (walaupun hanya dengan solat witir) setiap malam






b. Membiasakan doa-doa dan zikir-zikir yang diajar Nabi saw dalam hadith-hadith sahih setiap hari






c. Memohon keampunan dan istighfar setiap hari






d. Meninggalkan perbuatan dosa seperti mengumpat, hasad dengki, membuang masa dan sebagainya.






e. Membaca dan mempelajari al-Quran dengan disiplin yang betul.






f. Menambah ilmu daripada sumber yang berautoriti









Semoga nanti kita lebih mudah beramal apabila tiba Ramadan al-Mubarak. Semoga Ramadan kali ini lebih baik daripada yang sebelumnya.










والله أعلم









Disusun pada :


Khamis




14 Syaaban 1438H




11 Mei 2017









Bacaan Ringkas Lanjut :









1. Al-Bida' al-Hawliyyah




2. Laataif al-Ma'arif




3. Husn Al-Bayan fi ma Wurida fi Lailah al-Nisf min Sya'ban




4. https://islamqa.info/ar/140084


5. Al-Wad'u fi al-Hadith.





0 comments:

Post a Comment

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Powerade Coupons