Soalan :
Adakah benar kita wajib bermaafan sebelum tibanya Ramadhan?
Terdapat hadith yang disebarkan iaitu malaikat berdoa agar Allah abaikan puasa orang yang tidak bermaafan sebelum tibanya bulan Ramadhan.
Jawapan :
🔸Tidak benar.
Bunyi 'hadith' tersebut seperti hadith 'Melayu', bukan hadith Nabi Muhammad saw.
Entah siapa pengarang asalnya.
🔸Memohon maaf itu baik, boleh dilakukan sepanjang masa. Malah, jika kita melakukan kezaliman terhadap seseorang, memohon maaf wajib dilakukan dengan segera tanpa menunggu menjelang Ramadhan.
Manakala mencipta sendiri 'hadith' lalu menyandarkan perkataan rekaan itu atas nama Rasulullah saw adalah dosa besar, menempah neraka.
Diletakkan pula 'sahih', disertakan pula nama ulama' dan nama sahabat perawinya!
Al-Imam al-Dhahabi meletakkan dosa berdusta atas nama Nabi Muhammad saw sebagai dosa besar yang ke-9, dalam kitabnya al-Kabair (Dosa-Dosa Besar).
🔸Kita tidak tahu siapakah penulis asal tazkirah ini. Berdasarkan panduan ulama' hadith dalam menjelaskan faktor perkembangan hadith PALSU, ada 3 kemungkinan sebab kemunculan 'tazkirah' ini iaitu :
1. Dilakukan oleh orang yang ingin membuat kebaikan tetapi tidak cukup ilmu.
Gara-gara 'ingin berfatwa' dan 'memberi tazkirah' tanpa menjalankan kewajipan menuntut ilmu yang benar terlebih dahulu bagi melayakkan dirinya menjadi penyampai, sama ada dalam bentuk perkataan mahupun tulisan.
Lebih-lebih lagi zaman sekarang, sesiapa sahaja boleh berfatwa dan bertazkirah online.
Bercampur aduk antara yang benar dengan yang batil. Diambil dari aneka sumber, atas nama ingin membuat kebaikan.
2. Dilakukan oleh orang yang berniat serong terhadap Islam dan umatnya.
3. Dilakukan oleh pelajar sekolah yang nakal, dengan niat bergurau dan bermain-main. Tidak tahu bahawa ilmu agama bukan bahan mainan, juga tidak tahu bahawa perbuatannya adalah dosa besar di sisi agama.
🔸Bagi ahli masyarakat yang telah didedahkan kepada sedikit disiplin ilmu hadith, mereka memahami kepentingan mengambil ilmu dan tazkirah daripada sumber yang diyakini.
Bagi sumber bentuk tulisan, pastikan siapakah penulisnya, apa latar belakangnya.
Bagi sumber hukum fiqh, dapatkan maklumat siapakah orang yang memberikan jawapan itu, ambilannya dari kitab mana, siapa pengarangnya.
Bagi hadith, dapatkan sumber kitabnya, hadith riwayat siapa, dan hukum yang diberikan ulama' bagi hadith tersebut.
Majoriti sebaran dan tazkirah memang sukar disemak sendiri oleh orang awam, jadi setiap orang yang tidak mampu mesti mencari pembimbing yang berilmu dan amanah dalam menyampaikan ilmu.
🔸Dalam zaman teknologi maklumat ini, kian terasa pentingnya pesanan Ibn Sirin :
إن هذا العلم دين فانظروا عمن تأخذون دينكم
"Sesungguhnya ilmu ini adalah AGAMA, maka perhatikan dari siapa kamu mengambil agama kamu."
🔸Tidak dinafikan bahawa tulisan dalam whatsapp diambil oleh sesetengah 'pentazkirah' untuk bertazkirah pula dalam majlis ilmu!
Sekali lagi, berharga pesanan Ibn Sirin.
Ilmu yang tidak sahih manakan mendapat reda Allah, manakan dapat menenangkan jiwa dan memperbaiki amalan kita?
Dalam Pengajian Tafsir Surah al-Jinn, telah kita pelajari bagaimana Allah swt menjaga 'wahyu' semasa diturunkan kepada Nabi Muhammad saw, agar terpelihara ketulinan ajaran agama Islam. Dalam ayat 9 Surah al-Hijr pula, dapat kita fahami bahawa Allah tetap akan memelihara ilmu agama ini selepas ia selesai diturunkan.
Para ulama' membahagikan wahyu yang terpelihara kepada dua iaitu :
1. Wahyu Matlu متلو
Wahyu matlu adalah al-Quran, kalamullah. Al-Quran adalah sumber agama yang paling tinggi, dipelihara oleh Allah swt dengan jaminan dalam ayat 9 Surah al-Hijr tersebut.
2. Wahyu Ghair Matlu غير متلو
Wahyu ghair matlu ialah hadith nabi saw yang thabit. Hadith adalah sumber agama yang kedua selepas al-Quran. Jaminan terhadap al-Hadith juga dinyatakan oleh Allah swt menerusi ayat 17 hingga 19 Surah al-Qiyamah :
Hadith dipelihara oleh Allah swt kerana ia adalah penjelas kepada al-Quran. Dalam ayat 19 di atas, Allah swt dengan terang menyatakan bahawa Allah akan memelihara urusan menjelaskan kandungan al-Quran. Para ulama tafsir mengatakan bahawa maksud (بيانه) dalam ayat ini ialah Allah menjelaskan al-Quran melalui lisan Nabi Muhammad saw.
Allah swt memelihara hadith melalui para sahabat dan para ulama' (khususnya ulama' hadith) yang berjihad menjaga ketulenan sumber agama ini. Mereka mengumpulkan, menyusun dan mengarang kitab hadith, membina disiplin ilmu hadith, menapis hadith palsu, mengumpulkan biodata perawi, menyenarai hitamkan para pemalsu hadith malah merekalah yang mengumpulkan hadith-hadith palsu yang pernah direka dalam sejarah dan tersebar dalam kalangan umat Islam. Dikumpulkan bukan supaya diamalkan, sebaliknya supaya dijauhi kerana hadith palsu mengandungi bahaya terhadap agama.
Dengan diisplin ilmu hadith inilah juga para ilmuwan dapat mengenalpasti hadith-hadith palsu versi baru, seumpama yang wujud dalam tazkirah kewajipan memohon maaf menjelang Ramadhan.
🔸Fiqh Keutamaan mengajar kita agar mengutamakan kualiti berbanding kuantiti, termasuklah dalam bab tazkirah.
Tazkirah yang berkualiti hanya datang daripada sumber yang terpelihara, dengan disiplin yang terpelihara.
والله أعلم
24 Sya'ban 1438H
21 Mei 2017
0 comments:
Post a Comment