Tuesday, 13 June 2017

'REST IN PEACE'


🔴Soalan :





Assalamualaikum. 





Bolehkah kita menggunakan sebutan ataupun istilah 'Rest In Peace' bagi orang Islam yang sudah meninggal dunia?





🔴Jawapan :





Waalaikumussalam.





🔸Keharusan sebutan 'Rest in Peace' dalam Islam bergantung kepada niat pengucap.






Kita tahu bahawa dalam akidah ahl al-sunnah wa al-jamaah, seseorang itu tidak dapat dijamin oleh sesiapa bahawa dia benar-benar aman daripada siksaan kubur dan siksaan api neraka setelah meninggal dunia, melainkan jika ada nas ataupun jaminan daripada Allah swt yang disampaikan melalui Nabi Muhammad saw.





Oleh yang demikian, jika disebut 'Rest In Peace' dengan maksud doa dan harapan, ia dibenarkan.





Sama seperti kita sebut al-Marhum dan al-Marhumah bagi si mati. Ia termasuk dalam kategori doa dan harapan kita selaku orang yang masih hidup, agar insan yang telah meninggal dunia itu dirahmati dan mendapat belas kasihan Allah swt. 





Orang beriman yang meninggal dunia juga terlepas daripada hiruk pikuk masalah dunia dan diharapkan kembali kepada rahmat Allah, berdasarkan hadith Nabi saw :








عَنْ أَبِي قَتَادَةَ بْنِ رِبْعِيٍّ الأَنْصَارِيِّ، أَنَّهُ كَانَ يُحَدِّثُ أَنَّ رَسُولَ الله صلى الله عليه وسلم مُرَّ عَلَيْهِ بِجِنَازَةٍ 

فَقَالَ : مُسْتَرِيحٌ، وَمُسْتَرَاحٌ مِنْهُ





 قَالُوا : يَا رَسُولَ اللهِ مَا الْمُسْتَرِيحُ وَالْمُسْتَرَاحُ مِنْهُ 




قَالَ : الْعَبْدُ الْمُؤْمِنُ يَسْتَرِيحُ مِنْ نَصَبِ الدُّنْيَا وَأَذَاهَا إِلَى رَحْمَةِ اللهِ 


وَالْعَبْدُ الْفَاجِرُ يَسْتَرِيحُ مِنْهُ الْعِبَادُ وَالْبِلاَدُ وَالشَّجَرُ وَالدَّوَابُّ 






Maksudnya :






Pada suatu hari, ada jenazah diusung lalu di hadapan Nabi Muhammad. Beliau pun berkata, “Orang yang bebas, ataupun orang yang dibebaskan sesuatu daripadanya.”





Sahabat-sahabat beliau bertanya, “Wahai utusan Allah, apa makna orang yang bebas, ataupun orang yang dibebaskan sesuatu daripadanya?”





Jawab Nabi Muhammad, “Seorang hamba Allah yang beriman (apabila dia meninggal dunia) bebas daripada susah payah dan penderitaan hidup di dunia, lalu pergi kepada rahmat belas kasihan Allah. Seorang hamba Allah yang kafir dan berdosa pula dibebaskan daripadanya manusia, negeri, pokok dan haiwan-haiwan yang melata di bumi.”





(Sahih Bukhari, Kitab al-Riqaq, Bab Sakarat al-Maut)





Maknanya, apabila ada orang jahat meninggal dunia, orang lain akan aman.  Orang jahat itu tidak dapat lagi berbuat zalim, menipu, mengugut, memaksa, merampas ataupun mencuri barang mereka. Begitu juga dengan negeri ataupun negara, tumbuh-tumbuhan dan haiwan. Semuanya terselamat daripada perbuatan jahatnya sebab dia sudah meninggal dunia. 





Orang baik pula, apabila dia meninggal dunia, bermakna dia aman daripada pelbagai jenis kesusahan yang ada dalam kehidupan di dunia, dan diharapkan berada dalam limpahan rahmat Allah swt.






🔸Namun jika disebut 'Rest In Peace' dengan keyakinan total seperti apa yang disebut, iaitu benar-benar selamat daripada sebarang azab kubur dan azab neraka, ia tidak dibenarkan, kerana sebab yang telah disebutkan di atas.





🔸Hal yang berbeza apabila kita sebut para sahabat Rasulullah saw sebagai رَضِيّ الله عنه/ رضي الله عنهم kerana  golongan sahabat memang diiktiraf iman dan amalan mereka di sisi Allah, juga sebagai generasi terbaik umat Nabi Muhammad saw. 





Para sahabat daripada kaum Muhajirin dan Ansar dipuji secara khusus dalam al-Quran, bacalah ayat 100 Surah al-Tawbah.











والله أعلم




0 comments:

Post a Comment

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Powerade Coupons