Thursday 12 September 2019

KHURAFAT SURAT BERANTAI

SOALAN : 



Assalamualaikum. 



Maaf ustazah, harap dapat kiranya ustazah beri ulasan tentang sebaran ini. Saya dahului dengan ucapan terima kasih.



























JAWAPAN :





Waalaikumussalam.








📌1. Tulisan tersebut bercampur baur antara kebenaran dengan kebatilan.





📌2. Tulisan tersebut mengandungi pendustaan terhadap Nabi Muhammad saw yang dilarang dan diancam dengan neraka, sebagaimana sabda baginda saw dalam hadith yang sahih :





ومن كذب علي متعمدا فليتبوأ مقعده من النار





Maksudnya : "Dan sesiapa yang berdusta atas namaku dengan sengaja, bersedialah mengambil tempatnya dalam neraka."





(Sahih al-Bukhari, Kitab Ahadith al-Anbiya', Bab Ma Dhukira min Bani Israil.)





📌3. Tulisan tersebut sebenarnya mengandungi 2 bahagian, menggabungkan 2 tulisan yang pernah dikemukakan persoalannya sebelum ini. Tulisan bahagian pertama iaitu wasiat dalam surat berantai yang kononnya daripada penjaga makam itu telah berusia hampir 100 tahun, disebarkan di seluruh dunia, termasuk di negara-negara Arab.





Terdapat pelbagai versi yang disebarkan seperti dari sudut bilangan salinan yang perlu disebarkan. Ada yang menyuruh membuat 20 salinan, 25 salinan, ada juga 30 salinan. Ada juga versi yang menyuruh hadiahkan al-Fatihah kepada Nabi Muhammad saw apabila menerima surat berantai tersebut. (Kepalsuan mudah dikesan daripada versi ini kerana menghadiahkan al-Fatihah kepada baginda saw tidak disyariatkan dalam Islam. Tidak ada mana-mana nas yang menyuruh berbuat demikian maka tiada sebarang riwayat pula mana-mana sahabat melakukannya sedangkan merekalah yang paling sayang kepada baginda saw.)





Para ulama’ mu’tabar telah memberi komentar tentang KEPALSUAN surat berantai tersebut. Ada di antara mereka yang mengatakan kepalsuan wujudnya penjaga makam bernama Syeikh Ahmad pada tempoh surat berantai ini dikeluarkan. Ada juga yang mengatakan Syeikh Ahmad yang dimaksudkan itu (bukan hidup dalam tempoh surat tersebut disebarkan dan beliau) tidak menyebarkan kisah ini.





📌4. Kedua-duanya mengandungi janji dan ancaman yang DUSTA  dari sudut agama. 





Secara terperinci dijanjikan balasan buruk bagi orang yang tidak menyebarkannya dan balasan baik bagi orang yang menyebarkannya. 





Tiada sumber yang layak menjanjikan balasan baik dan buruk yang pasti seumpama itu melainkan sumber wahyu, sama ada al-Quran ataupun hadith yang thabit. 





Tulisan tersebut juga membesarkan pesanan yang kecil daripada mimpi yang tidak pasti kebenarannya berbanding al-Quran kalamullah. Tiada pula ancaman sedemikian dalam nas agama bagi sesiapa yang tidak membuat salinan al-Quran sekian banyak apabila menerima al-Quran.





Sudah berapa ramai yang takut dan membesarkan surat berantai begini namun meninggalkan al-Quran dan mengabaikan hadith-hadith yang sahih.





📌5. Menyebarkan tulisan tersebut kerana takut menerima nasib buruk ataupun kerana hendak mendapatkan kebaikan seperti yang dijanjikan boleh menjejaskan akidah seorang muslim. 





Mempercayai  surat berantai ada  kuasa memberi manfaat dan mudarat sama seperti percaya kepada Safar adalah bulan sial, ataupun percaya kalau keluar bermusafir hari Rabu akan mendapat malang.





📌6. Jangan sebarkan perkara khurafat. 





Tiada apa-apa kebaikan jika kita menyebarkan tulisan surat berantai seperti ini, malah mengundang dosa.





Apabila sampai ke ‘group’ kita, nyatakan kepalsuannya dan minta kepada semua ahli group agar tidak menyebarkannya.





📌7. Sebarkan ilmu yang sahih sahaja.





اللهم إنا نسألك علما نافعا


ورزقا طيبا


وعملا متقبلا













Saturday 15 June 2019

TINDANAN PUASA GANTI, PUASA 6 SYAWWAL, PUASA ISNIN DAN PUASA HARI PUTIH






Soalan Lanjutan :





Assalamualaikum Ustazah, 





Sekiranya kita mahu berpuasa sunat 6 hari dalam Syawwal, pada hari Isnin ini 17 Jun 2019, yang juga jatuh pada hari Bidh 13 Syawwal 1440 H, bagaimana niat yang perlu kita buat?











Jawapan Ringkas :





Berdasarkan perbincangan yang panjang dalam kuliah yang lalu, yang kita ringkaskan daripada pelbagai sumber dan pandangan, termasuk syarat-syarat tadakhul, maka kesimpulannya :





1. Jika puan ada puasa ganti, puan perlu niat puasa ganti qadha’ Ramadhan SAHAJA, dengan niat dan harapan Allah sudi kurniakan pahala juga untuk kelebihan 3 perkara/hari tersebut, kerana kita tinggalkan puasa dalam bulan Ramadhan kerana mematuhi perintah Allah. 



Amalan yang disukai Allah swt ialah amalan wajib, barulah amalan sunat. Tunaikan kewajipan perlu kita dahulukan berdasarkan awlawiyyat (keutamaan) dalam Islam. Puan boleh baca tulisan terdahulu yang berkaitan di link ini  : http://nabilahasan.blogspot.com/2018/06/puasa-ganti-ramadhan-dan-puasa-6-syawwal.html#more



Puasa ganti Ramadhan yang kita lakukan dalam bulan Syawal tidak boleh kita niatkan sekali dengan puasa sunat 6 hari di dalam Syawwal. Sama seperti tidak boleh kita niat solat sunat Subuh sekali dengan solat fardhu Subuh, kerana kedua-duanya adalah ibadah yang perlu dibuat secara berasingan.




2. Jika puan sudah habis puasa ganti, ataupun tiada puasa ganti, boleh niat puasa sunat 6 hari dalam Syawwal sahaja, dan puan akan mendapat kelebihan berpuasa pada hari Isnin dan puasa hari putih, kerana puan sengaja memilih untuk berpuasa 6 pada hari yang baik itu.





Kita telah bincang sebabnya dalam kuliah sebelum ini, iaitu puasa sunat 6 hari Syawwal adalah puasa المقصود لذاته manakala puasa hari Isnin dan hari putih bukan المقصود لذاته.












والله الموفق




Thursday 25 April 2019

BERSUMPAH DENGAN AL-QURAN




Assalamualaikum.





Ada satu kes, seorang ibu mertua telah bersumpah dengan al-Quran untuk tidak mmbenarkan anak menantunya pulang menjejaki rumah. Dan si mertua akhirnya menyesal. Apakah kafarah yang dikenakan terhdap sumpah yang dibuat oleh ibu mertua tersebut.?




Mohon pencerahan.








📝📝📝📝📝📝📝



Waalaikumussalam.





Dalam Islam, sumpah dan nazar ada hukumnya tersendiri, ada dalil daripada ayat-ayat al-Quran dan hadith-hadith Nabi Muhammad saw.





Sebelum kita berbincang lebih lanjut tentang masalah ini, elok kita memperingati antara sesama kita, agar tidak membiasakan diri dengan suka bersumpah. Ia dibimbangi kelak akan menyusahkan orang yang bersumpah, dan jika sudah terbiasa lidah dengan bersumpah, dibimbangi pula terjebak pula dengan sumpah palsu. 





Bersumpah boleh dilakukan, tetapi buatlah pada masa yang benar-benar diperlukan sahaja.





🍀Ta'rif Sumpah





Penting kita mengetahui ta'rif sesuatu permasalahan dalam istilah syara', supaya kita dapat meneliti dan menentukan hukumnya.





Sumpah dalam istilah syara' ialah :





"Menegaskan sesuatu perkara (cthnya untuk melakukan ataupun tidak melakukan sesuatu) dengan NAMA ataupun SIFAT ALLAH."





🍀Bersumpah dengan al-Quran?





Ta'rif di atas akan membawa kita memperincikan masalah ini pula.





Apa itu al-Quran? Al-Quran bukan nama Allah, tetapi penting kita mengetahui, adakah al-Quran itu SIFAT ALLAH, ataupun makhluk Allah?





Para ulama' bersepakat mengatakan Al-Quran adalah KALAMULLAH, bukan makhluk. Kefahaman bahawa al-Quran itu makhluk, barangkali, meresapi dalam masyarakat kita melalui fahaman dalam firqah/firaq/kumpulan yang menyeleweng daripada ajaran yang sebenar.





Firman Allah swt :


( وَإِنْ أَحَدٌ مِنَ الْمُشْرِكِينَ اسْتَجَارَكَ فَأَجِرْهُ حَتَّى يَسْمَعَ كَلَامَ اللَّهِ ثُمَّ أَبْلِغْهُ مَأْمَنَهُ ذَلِكَ بِأَنَّهُمْ قَوْمٌ لَا يَعْلَمُونَ ( 6 )


سورة التوبة





Oleh yang demikian, dalam kes bersumpah dengan al-Quran, jumhur ulama' mengatakan ia valid, kerana bersumpah dengan al-Quran termasuk dalam sumpah dengan sifat Allah, kerana al-Quran adalah KALAMULLAH.





(Kita akan perincikan lagi, in syaa Allah, apabila ada kesempatan yang sesuai)





🍀Jenis Sumpah





Secara ringkasnya, jenis sumpah yang berkaitan dengan sumpah dalam kes ini ialah sumpah qasamiyyah yang ketiga, iaitu al-yamiin al-mun'aqidah, iaitu sumpah yang sah, valid.





Oleh yang demikian, orang yang bersumpah, bila ingin keluar dari sumpahnya, iaitu melanggar perkara yang dia sendiri tetapkan dalam sumpah atas nama/sifat Allah itu, wajib membayar/


menunaikan kaffarah.





🍀Kaffarah Sumpah





Sumpah ada kaffarahnya sendiri. Ia umpama mengambus/menutup dosa melanggar sumpah yang telah dilafazkan atas nama/sifat Allah itu, maka ia tidak lagi diambil kira pada hari kiamat kelak.





Firman Allah swt : 





لاَ يُؤَاخِذُكُمُ اللّهُ بِاللَّغْوِ فِي أَيْمَانِكُمْ وَلَكِن يُؤَاخِذُكُم بِمَا عَقَّدتُّمُ الأَيْمَانَ فَكَفَّارَتُهُ إِطْعَامُ عَشَرَةِ مَسَاكِينَ مِنْ أَوْسَطِ مَا تُطْعِمُونَ أَهْلِيكُمْ أَوْ كِسْوَتُهُمْ أَوْ تَحْرِيرُ رَقَبَةٍ فَمَن لَّمْ يَجِدْ فَصِيَامُ ثَلاَثَةِ أَيَّامٍ ذَلِكَ كَفَّارَةُ أَيْمَانِكُمْ إِذَا حَلَفْتُمْ وَاحْفَظُواْ أَيْمَانَكُمْ. كَذَلِكَ يُبَيِّنُ اللَّهُ لَكُمْ آيَاتِهِ لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ )(89) سورة المائدة. 





Daripada ayat 89 Surah al-Maidah ini, ulama' membuat kesimpulan bahawa :





Kaffarah sumpah melibatkan 2 perkara, iaitu takhyir dan tartib.





Langkah pertama, pilih antara 3 di bawah :





1. Memberi makan 10 orang miskin (kita ringkaskan - boleh beri beras lebih kurang 1 1/2 kilo setiap orang)


2. Memberi pakaian yang menutup aurat kpd 10 orang miskin


3. Membebaskan hamba.





Langkah kedua, jika TIDAK MAMPU kesemua di atas, barulah boleh :





4. Berpuasa 3 hari. 





Ulama' berselisih pendapat, adakah wajib berturut-turut ataupun tidak. Yang lebih kuat ialah tidak wajib berturut-turut.

Terdapat persoalan lanjut yang diutarakan, adakah memberi makan 10 orang fakir miskin itu perlu diberi dalam bentuk beras? Bolehkah kita beli sahaja makanan untuk diberikan kepada 10 orang penerima itu? 

Jawapannya boleh. Memberi makan 10 orang miskin boleh dilaksanakan sama ada dengan memberikan makanan asasi yang mentah seperti beras, ataupun dengan membeli makanan yang siap dimasak untuk diagihkan, ataupun memasak makanan lengkap di rumah lalu dijamu 10 orang fakir miskin.

Cara mana sekalipun dipilih, berilah makanan yang terbaik kerana Allah, mudah-mudahan denda kaffarah sumpah atas nama Allah itu diterimaNya. Semoga ia menjadi penutup kepada kesalahan itu, dimaafkan dan tiada lagi hukuman di akhirat kelak.




والله أعلم





اللهم علمنا ما ينفعنا،


 وانفعنا بما علمتنا،


وزدنا علما. 





اللهم اهدنا وسددنا.







Friday 1 March 2019

BOLEHKAH BERMAIN CATUR



Assalamualaikum.





Mohon pandangan ustazah tentang permainan chess.










Jawapan





Jawapan bagi persoalan bermain chess ataupun catur dirasakan sudah banyak diberikan oleh mereka yang lebih berautoriti. 





Ringkasnya ulama’ terbahagi kepada 3 golongan, mereka mengatakan bermain catur hukumnya :


1. Haram


2. Makruh


3. Harus





Pada kita, permainan chess apabila tidak melibatkan sebarang perkara yang dilarang seperti perjudian dan melalaikan pemain daripada kewajipan, hukumnya harus.





Tidak ada sebarang hadith yang thabit ataupun sahih yang boleh menjadi dalil bagi larangan bermain chess.



Ramai para ulama dahulu mengharamkannya, berdasarkan hadith mawquf dan kias kepada hukum bermain dadu. Kemungkinan pada zaman mereka chess melibatkan perkara berikut :




a. unsur taruhan


b. mencetuskan perbalahan  


c. melalaikan pemain daripada kewajipan harian sama ada ibadah ataupun tanggungjawab lain. 





Hal ini mungkin menjadi faktor mengapa dikiaskan chess dengan  permainan dadu ataupun judi yang jelas diharamkan.





Pada zaman kita ini, situasi permainan chess dalam masyarakat sama seperti permainan lain, melibatkan pemikiran dan strategi, tanpa melibatkan taruhan dan tidak juga menimbulkan perbalahan. Sejauh mana chess melalaikan seseorang individu daripada tanggungjawab terhadap agama, keluarga dan sebagainya, ia bergantung pada prinsip dan disiplin diri seseorang. Permainan lain sekalipun banyak melalaikan jika tiada disiplin diri, termasuklah bermain ataupun menonton perlawanan bola sepak yang melibatkan berjaga sampai ke dinihari. Dari sudut bentuk buah chess ataupun catur itu umpama haiwan, pada kita ia bukanlah bentuk yang lengkap sebagai patung.





Suka kita sebut satu hadith yang menjadi salah satu hadith usul dalam agama. Polemik dalam isu chess boleh diselesaikan apabila kita memahami hadith ini.  





Sabda Rasulullah saw :



من حسن إسلام المرء تركه ما لا يعنيه






“Antara tanda kebaikan Islam seseorang ialah meninggalkan perkara yang tidak penting baginya.”


(Sunan al-Tirmidhi, Kitab al-Zuhd. Hadith ini dinilai sahih oleh al-Albani)





Dalam hal ini, jika dirasakan permainan chess hanya menghabiskan masa tanpa menambahkan apa-apa nilai positif, adalah lebih baik ia ditinggalkan. Keadaan menghabiskan masa dan melalaikan pemain daripada tanggungjawab dapat kita lihat apabila orang dewasa bermain chess di warung-warung kopi, melibatkan masa yang begitu lama seolah-olah tidak ada tanggungjawab dan kerja yang lebih utama didahulukan.











Jika ia dirasakan dapat menajamkan pemikiran serta merapatkan hubungan kekeluargaan dan sahabat handai, tidaklah salah bermain sekadar memenuhi sedikit masa lapang, sama seperti anak-anak  bermain batu selambut ataupun carrom.



والله أعلم







Bacaan ringkas lanjut :



http://www.jameataleman.org/main/articles.aspx?article_no=1448

https://ar.islamway.net/fatwa/40069/حكم-لعبة-الشطرنج

https://fatwa.islamonline.net/254


Friday 15 February 2019

Ustazah, Bumi Ini Bulat Ataupun Mendatar?


🔴 Kita beberapa kali menerima persoalan ini khususnya daripada mereka yang percaya bumi ini mendatar. Kita merasakan bahawa tidak perlu berbahas kerana mempelajari al-Quran dan al-Hadith secara berdisiplin itu lebih penting dan membuka ruang untuk kita memahami perkara ini dari perspektif al-Quran dan al-Hadith. 










Apabila ditanya berulangkali, maknanya mereka yang mengatakan bahawa bumi itu mendatar juga sebenarnya tidak begitu yakin dengan teori tersebut. 



Ini berbeza bagi mereka yang sentiasa mengikuti pengajian secara berkala dan berdisiplin serta memiliki teks rujukan pengajian. Hal ini jelas kerana ilmu wahyu sering membincangkan persoalan kejadian alam yang membuktikan kebesaran Allah. Kita akan menelusuri dari ayat ke ayat, dari hadith ke hadith, dan merasai kebesaran Allah serta kebenaran Nabi Muhammad saw.






🔴 Tidaklah pernah, kita, orang yang ditanya, ke angkasa untuk melihat dari atas, apakah bumi ini bulat ataupun mendatar. Ke kutub utara dan ke kutub selatan pun kita tidak pernah sampai, apatah lagi ke angkasa.





Walaupun bagaimanapun, pengalaman kita memerhatikan alam, meneliti ayat-ayat al-Quran dan hadith, tafsir dan huraian para ulama’ serta teori para saintis, kita berpuashati dengan kenyataan bahawa bumi ini bulat. 





🔴 Menyatakan bumi leper dan mendatar, pada kita tidak menepati ayat al-Quran dan hadith Nabi saw.










Antaranya ialah ayat 5 Surah al-Zumar.





Perkataanيُكَوّر bermakna melingkari, maknanya malam melingkari siang dan siang melingkari malam. Ayat ini menunjukkan bumi ini bulat, kerana kejadian siang dan malam tidak akan digambarkan begini jika bumi itu leper. 





Teori sains secara umumnya tidak bertentangan dengan ayat ini, malahan kita semua telah lama menerima fakta bumi ini bulat.





🔴 Ayat-ayat yang menggambarkan bumi sebagai ‘hamparan’ tidak menafikan ayat 5 Surah al-Zumar di atas. Oleh kerana besarnya saiz bumi, dan besarnya nikmat serta kekuasaan Allah, maka kita yang berada di atasnya merasakan bumi yang kita duduki seperti hamparan yang rata. Tidak merasakan bulatnya bumi, tidak merasakan putaran bumi dan tidak merasakan peredaran bumi.





Menyatakan bumi mendatar, terfikir juga kita, di mana dan apa maknanya lagi garisan ‘Khatulistiwa’ misalnya?






🔴Teori sains menyatakan bahawa 3 planet utama bagi kita iaitu matahari, bumi dan bulan berputar pada paksi masing-masing.





Bumi mengambil masa 24 jam untuk membuat putaran lengkap.





Matahari mengambil masa 25 jam untuk membuat putaran lengkap.





Manakala bulan ambil masa paling lama untuk membuat putaran lengkap pada paksinya, iaitu 27 hari.


(Maknanya, jikalau dinisbahkan kepada hari seperti di bumi, hari di bulan sangat panjang. Panjang sehari umpama 27 hari di bumi.)





Perbezaan cepat lambat putaran di kalangan planet-planet ini membantu kita memahami sedikit sebanyak apa yang akan berlaku ketika hampir kiamat nanti. Fenomena  yang tidak mustahil langsung bagi Allah dan masih boleh difahami dengan memerhatikan sunnatullah.





🔴 Dalam hadith Sahih Muslim, Nabi Muhammad saw menceritakan bahawa dekat kiamat nanti, Dajjal akan turun. Dajjal akan berada di bumi selama 40 hari. Tapi 40 hari itu tidak akan sama dengan tempoh 40 hari sekarang. Sebab apa? Sebab kata Nabi saw, sehari pertama itu seperti 1 tahun, sehari berikutnya seperti 1 bulan, sehari berikutnya seperti 1 minggu, dan 37 hari selebihnya sama seperti hari-hari biasa. 





Hadith ini akan kita pelajari dengan lebih detail dalam bab-bab terakhir kitab Riyad al-Solihin. 





🔴Apa kaitannya dengan perbincangan kita tentang putaran bumi, bulan, dan matahari tadi?





Ada kemungkinan fenomena yang berlaku ketika itu ialah, bumi pada masa tersebut jadi lambat berputar. Hari pertama mungkin mengambil masa berganda lebih lama daripada tempoh putaran bulan. Bulan dikatakan berputar lengkap satu pusingan dalam masa 27 hari,  sedangkan bumi pada hari pertama turunnya Dajjal (kalau ikut fenomena ini) mungkin mengambil masa 365 hari untuk melengkapkan satu putaran.







Hari berikutnya mengambil masa 30 hari, lama sedikit daripada tempoh putaran lengkap bulan sekarang. Dan hari ketiga mengambil masa 7 hari. Hari-hari seterusnya mungkin kembali normal, bumi berputar dalam rempoh 24 jam seperti biasa. 






Kita cuba memahami fenomena yang digambarkan dalam hadith tersebut, sekadar kemampuan kita setakat ini, dengan menerima teori bahawa bumi ini bulat. 










🔴Teori dan fenomena yang ada, serta fenomena yang digambarkan akan berlaku, menyebabkan kita merasai keagungan dan kebesaran Allah swt, Tuhan Semesta Alam. 





Luasnya alam Allah, besarnya kuasa Allah, Maha Agung dan Maha Suci Allah. 





Adapun kita makhluk bernama insan, bagaikan atom terkecil dalam gandaan besarnya makhluk-makhluk Allah yang lain. Sujud kita kepadaNya tidak pernah dan tidak akan sia-sia.










Al-Quran mendidik insan supaya memerhatikan alam kerana ia sepatutnya memberi keinsafan dan merasakan kehambaan diri. 





Al-Quran juga mengajar kita supaya memastikan masa terisi dengan perkara bermanfaat, serta memilih pandangan terbaik dalam apa jua urusan, lebih-lebih lagi dalam urusan yang berkaitan dengan agama kita.










والله أعلم

Wednesday 16 January 2019

Adakah Wanita Mendapat Pahala Berjemaah Apabila Ke Masjid?


🔴Assalamualaikum.





Mohon pencerahan ustazah tentang kelebihan wanita ke masjid. Adakah wanita akan mendapat kelebihan seperti lelaki, ataupun kelebihannya tidak akan diperolehi oleh wanita, walaupun dia ke masjid?












🔴Waalaikumussalam.



Ulama’ berbeza pandangan dalam soal ini.





📌Pahala berjemaah





Yang nyata, hadith sahih solat berjemaah lebih afdal 27 ataupun 25 darjat adalah UMUM untuk lelaki dan wanita, kerana tidak ada dalil jelas menunjukkan ia hanya diperolehi oleh lelaki, jika kedua-dua hadir solat berjemaah di masjid.





Kedua-dua hadith, dengan lafaz 27 darjat dan 25 darjat, diriwayatkan dalam Sahih al-Bukhari.













Perbezaan 27 dan 25 darjat itu dijelaskan oleh para ulama', bergantung kepada kualiti solat, ramainya jemaah dan kualiti jemaah solat itu.





Hadith ini tidak dikhususkan kepada lelaki sahaja. Apabila wanita solat secara berjamaah, kelebihan solat berjamaah juga akan diperolehi.





📌Hukum Berjemaah Di Masjid





Hal ini berbeza dengan hukum menghadiri solat berjamaah di masjid. 





Para ulama’ berbeza pandangan tentang hukum orang lelaki solat berjamaah di masjid. 





Pertama, wajib, fardhu ain. Ini pandangan mazhab Ahmad, Ibn Hazm dan Ibn Taymiyyah.





Kedua, fardhu kifayah.





Ketiga, sunnah mu’akkadah.





Keempat, sunat.





Berdasarkan dalil-dalil, ramai ulama’ mentarjihkan pandangan yang mengatakan solat berjamaah di masjid bagi lelaki hukumnya fardhu kifayah.





Bagi yang mengetahui kelebihan solat berjemaah, mengetahui bagaimana Nabi saw menekankan kepentingan solat berjamaah, mengetahui kelebihan masjid sebagai rumah Allah, ingin mendapat naungan Allah pada hari kiamat dan mendapat pahala i’tikaf semasa di masjid, mereka akan berusaha sedaya menghadiri solat berjamaah di masjid pada setiap waktu solat. Mereka tidak akan menjadikan alasan ‘hukumnya hanya fardhu kifayah’ ataupun ‘sunat sahaja’ untuk selalu tidak hadir!





📌Bagaimana dengan wanita?





Hukum solat berjamaah di masjid di atas tidak dikenakan ke atas wanita. Tidak menjadi fardhu kifayah apatah lagi wajib. Terdapat hukum khusus untuk wanita, iaitu ‘diizinkan.’









Apabila menepati syarat, wanita diizinkan keluar solat berjamaah di masjid, dan mudah-mudahan mendapat  kelebihan yang disebutkan tentang solat di masjid. Langkah yang di atur ke masjid, solat tahiyyatul masjid, solat berjamaah di masjid, sehinggalah duduk di dalam masjid.










Apabila syarat tidak dipenuhi, menimbulkan fitnah ataupun menjejaskan kewajipan lain, maka tentulah lebih baik solat sahaja di rumah.





📌Dalam suasana aman di tempat kita ini, masjid yang dihadiri pula terbuka, bukan ruang yang tertutup mengundang bahaya, dan wanita itu sendiri selamat daripada fitnah kerana tidak berhias dan tidak berwangian, mendapat izin suami dan keluarnya ke masjid tidak menjejaskan tanggungjawab asas kepada keluarga, maka wanita elok ke masjid untuk mendapatkan fadilat yang disebutkan bagi solat berjemaah, dan juga mendapatkan fadilat solat di masjid. 





Apatah lagi jika masjid mengadakan majlis ilmu yang sahih, kerana menuntut ilmu agama adalah satu kewajipan.







Ilmu menghayati ajaran al-Quran kalamullah, mengenal hadith sahih untuk diamalkan dan mengenal hadith palsu untuk dijauhi. Mengingati Allah dengan cara yang diajarkan dengan jelas oleh Nabi Muhammad s.a.w. tanpa perlu ditambah ataupun dikurangi, baik dalam kalangan lelaki mahupun wanita.





والله أعلم





اللهم إني أعوذ بك من شر ما عملت،




وشر ما لم أعمل.




 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Powerade Coupons