🔴Assalamualaikum.
Mohon pencerahan ustazah tentang kelebihan wanita ke masjid. Adakah wanita akan mendapat kelebihan seperti lelaki, ataupun kelebihannya tidak akan diperolehi oleh wanita, walaupun dia ke masjid?
🔴Waalaikumussalam.
Ulama’ berbeza pandangan dalam soal ini.
📌Pahala berjemaah
Yang nyata, hadith sahih solat berjemaah lebih afdal 27 ataupun 25 darjat adalah UMUM untuk lelaki dan wanita, kerana tidak ada dalil jelas menunjukkan ia hanya diperolehi oleh lelaki, jika kedua-dua hadir solat berjemaah di masjid.
Kedua-dua hadith, dengan lafaz 27 darjat dan 25 darjat, diriwayatkan dalam Sahih al-Bukhari.
Perbezaan 27 dan 25 darjat itu dijelaskan oleh para ulama', bergantung kepada kualiti solat, ramainya jemaah dan kualiti jemaah solat itu.
Hadith ini tidak dikhususkan kepada lelaki sahaja. Apabila wanita solat secara berjamaah, kelebihan solat berjamaah juga akan diperolehi.
📌Hukum Berjemaah Di Masjid
Hal ini berbeza dengan hukum menghadiri solat berjamaah di masjid.
Para ulama’ berbeza pandangan tentang hukum orang lelaki solat berjamaah di masjid.
Pertama, wajib, fardhu ain. Ini pandangan mazhab Ahmad, Ibn Hazm dan Ibn Taymiyyah.
Kedua, fardhu kifayah.
Ketiga, sunnah mu’akkadah.
Keempat, sunat.
Berdasarkan dalil-dalil, ramai ulama’ mentarjihkan pandangan yang mengatakan solat berjamaah di masjid bagi lelaki hukumnya fardhu kifayah.
Bagi yang mengetahui kelebihan solat berjemaah, mengetahui bagaimana Nabi saw menekankan kepentingan solat berjamaah, mengetahui kelebihan masjid sebagai rumah Allah, ingin mendapat naungan Allah pada hari kiamat dan mendapat pahala i’tikaf semasa di masjid, mereka akan berusaha sedaya menghadiri solat berjamaah di masjid pada setiap waktu solat. Mereka tidak akan menjadikan alasan ‘hukumnya hanya fardhu kifayah’ ataupun ‘sunat sahaja’ untuk selalu tidak hadir!
📌Bagaimana dengan wanita?
Hukum solat berjamaah di masjid di atas tidak dikenakan ke atas wanita. Tidak menjadi fardhu kifayah apatah lagi wajib. Terdapat hukum khusus untuk wanita, iaitu ‘diizinkan.’
Apabila menepati syarat, wanita diizinkan keluar solat berjamaah di masjid, dan mudah-mudahan mendapat kelebihan yang disebutkan tentang solat di masjid. Langkah yang di atur ke masjid, solat tahiyyatul masjid, solat berjamaah di masjid, sehinggalah duduk di dalam masjid.
Apabila syarat tidak dipenuhi, menimbulkan fitnah ataupun menjejaskan kewajipan lain, maka tentulah lebih baik solat sahaja di rumah.
📌Dalam suasana aman di tempat kita ini, masjid yang dihadiri pula terbuka, bukan ruang yang tertutup mengundang bahaya, dan wanita itu sendiri selamat daripada fitnah kerana tidak berhias dan tidak berwangian, mendapat izin suami dan keluarnya ke masjid tidak menjejaskan tanggungjawab asas kepada keluarga, maka wanita elok ke masjid untuk mendapatkan fadilat yang disebutkan bagi solat berjemaah, dan juga mendapatkan fadilat solat di masjid.
Apatah lagi jika masjid mengadakan majlis ilmu yang sahih, kerana menuntut ilmu agama adalah satu kewajipan.
Ilmu menghayati ajaran al-Quran kalamullah, mengenal hadith sahih untuk diamalkan dan mengenal hadith palsu untuk dijauhi. Mengingati Allah dengan cara yang diajarkan dengan jelas oleh Nabi Muhammad s.a.w. tanpa perlu ditambah ataupun dikurangi, baik dalam kalangan lelaki mahupun wanita.
والله أعلم
اللهم إني أعوذ بك من شر ما عملت،
وشر ما لم أعمل.
0 comments:
Post a Comment