Friday 8 November 2013

BENARKAH CATATAN AMALAN DITUTUP PADA AKHIR TAHUN,DIBUKA BUKU BARU PADA AWAL MUHARRAM















         بسم الله الرحمن الرحيم









SOALAN :









Benarkah sebaran mengenai catatan amalan ditutup pada akhir tahun, dibuka pada awal Muharram, dan ganjaran orang memperingatkan tentang Muharram? Apakah fadilat kita membaca Doa Awal Tahun dan Doa Akhir Tahun?




JAWAPAN :







Ada beberapa perkara yang agak keliru dikaitkan dengan bulan Muharram.







Antaranya, hijrah Nabi saw dikatakan berlaku pada 1 Muharram, doa awal tahun dan buku catatan amalan ditutup dan dibuka buku catatan baru.







HIJRAH









Hijrah Nabi saw ke Madinah bermula pada bulan Safar. Manakala para sahabat lain ramai yang berhijrah beberapa bulan sebelum baginda.Baginda sampai di Madinah pada bulan Rabi'ul Awwal. (Lihat al-Rahiq al-Makhtum, kitab sirah karangan Safiy al-Rahman al-Mubarakfuri) .Bukan bulan Muharram.










Terdapat salah faham terbit daripada lirik nasyid yang kita dendangkan semenjak kecil dahulu..."Satu Muharram detik permulaan....perpindahan nabi dan umat Islam..." Ramai yang menganggap 1 Muharram adalah titik permulaan Nabi saw berhijrah ke Madinah, walhal, hakikatnya bukan begitu.








Agak pahit untuk menyampaikan, apatah lagi hendak ditelan, namun kebenaran bukan untuk terus disimpan.








Muharram adalah bulan pertama dari 12 bulan dalam perkiraan orang-orang Arab sejak zaman jahiliyyah. Namun mereka tidak ada sistem tahun seperti sekarang. Maka khalifah Umar al-Khattab ra memutuskan, selepas perbincangan dengan para sahabat yang lain, perkiraan tahun bagi umat Islam ialah bermula pada tahun hijrah nabi saw. Pada tahun nabi berhijrah itu, nabi berhijrah dari tempoh Safar hingga Rabiul Awwal, bukan dalam 1 Muharram.






Tahun berlaku peristiwa hijrah Nabi Muhammad saw dan para sahabatnya itu dijadikan sebagai perkiraan tahun pertama bagi 'Tahun Hijrah' umat Islam. Tidak bermakna 1 Muharram tarikh mula hijrah baginda s.a.w.







DOA AWAL TAHUN (DAN BERANGKAI DENGAN DOA AKHIR TAHUN)







Doa itu ibadah, begitu juga memohon ampun, boleh dilakukan pada bila-bila masa yang sesuai. 







Termasuklah doa kita contohnya, "Ya  Allah, semoga bermula tahun baru hijrah ini, bertambah iman dan ilmuku, dan semakin baik amalanku."







Namun doa awal tahun dan akhir tahun, yang dibaca dengan kaifiyyat (cara) tertentu dikritik oleh para ulama, kerana ia disandarkan kepada sebuah riwayat 'yang antaranya menganjurkan dibaca doa itu 3 kali, dan syaitan pun dikatakan kecewa tidak dapat menggoda pembacanya pada tahun itu.'







Riwayat ini adalah RIWAYAT PALSU. Tidak ditemui asal usulnya oleh para ulama. Ia dikemukakan dalam buku tertentu tanpa dinyatakan sanad dan sumber.







Tiada dalam kitab-kitab hadith mu'tabarah, dan diputuskan sebagai riwayat yang batil (palsu).







Jadi, tidak boleh kita yakini bahawa ia adalah anjuran dalam syariat Islam.



Pengalaman kita merakamkan, ada di kalangan kita yang sampai menangis kesedihan apabila tidak sempat membaca doa awal tahun dan akhir tahun tersebut, kerana percaya syaitan bergembira dan akan berjaya menggodanya pada tahun itu!




Inilah antara kesan hadith palsu, menyebabkan kita tidak mendahulukan apa yang patut didahulukan, dan memandang kecil doa-doa daripada hadith-hadith sahih kerana menganggap 'ganjarannya tidak mengujakan.' 




Faktor ini antara sebab mengapa kita sering mengemukakan doa daripada hadith-hadith yang sahih dan menerangkan falsafah di sebaliknya, supaya kita semua mencintai apa yang benar-benar datang daripada ajaran Nabi Muhammad saw, seterusnya meninggalkan amalan-amalan yang bersumberkan hadith palsu dan riwayat yang batil.







CATATAN AMALAN







Dakwaan yg mengatakan catatan amalan ditutup pada akhir Zulhijjah, dan dibuka pada awal Muharram tidak didasari dengan dalil al-Quran, tidak juga daripada hadith nabi saw.







Hadith-hadith yang sahih/thabit menyebut bahawa amalan kita dibentangkan pada :











1. Setiap hari (setiap pagi dan petang.)






2. Dua kali setiap minggu (setiap Isnin dan Khamis)








3. Setiap tahun, iaitu pada bulan Syaaban. (Bukan Nisfu Syaaban. -Hadith palsu juga banyak berkisar tentang Nisfu Syaaban-)












Hadith-hadith sahih/thabit bagi setiap kategori adalah seperti berikut :







✅1. Amalan diangkat/dibentang 2 kali setiap hari :













عن أَبِي هُرَيْرَةَ، أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم قَالَ ‏"‏ يَتَعَاقَبُونَ فِيكُمْ مَلاَئِكَةٌ بِاللَّيْلِ وَمَلاَئِكَةٌ بِالنَّهَارِ، وَيَجْتَمِعُونَ فِي صَلاَةِ الْفَجْرِ وَصَلاَةِ الْعَصْرِ، ثُمَّ يَعْرُجُ الَّذِينَ بَاتُوا فِيكُمْ، فَيَسْأَلُهُمْ وَهْوَ أَعْلَمُ بِهِمْ كَيْفَ تَرَكْتُمْ عِبَادِي فَيَقُولُونَ تَرَكْنَاهُمْ وَهُمْ يُصَلُّونَ، وَأَتَيْنَاهُمْ وَهُمْ يُصَلُّونَ. ‏"‏‏












Nabi saw bersabda, maksudnya :













"Para malaikat (syif) malam dan malaikat (syif) siang silih berganti turun kepada kalian. Mereka berkumpul pada setiap waktu Subuh dan setiap waktu Asar. Kemudian, malaikat yg menjaga kalian (jika waktu Subuh, malaikat malam, jika waktu Asar, malaikat siang) naik ke atas. Allah pun bertanya kepada malaikat2 itu - walhal Dia lebih mengetahui tentang hamba2Nya :








'Dalam keadaan bagaimana kamu semua tinggalkan hamba-hambaKu itu?'








Jawab para malaikat : 'Kami tinggalkan mereka dalam keadaan mereka sedang solat. Begitu juga ketika kami datang kepada mereka, mereka sedang solat.'"








(Sahih Bukhari, Kitab Waktu-Waktu Sembahyang,Bab Fadilat Sembahyang Asar)✅





-Hadith Sahih-







Berbahagialah bagi mereka yang menunaikan solat Subuh dan solat Asar, lebih-lebih lagi di awal waktu.







✅2. Amalan juga diangkat setiap Isnin dan Khamis, dua kali seminggu :












:عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم قَالَ ‏





‏" تُفْتَحُ أَبْوَابُ الْجَنَّةِ يَوْمَ الاِثْنَيْنِ وَيَوْمَ الْخَمِيسِ فَيُغْفَرُ لِكُلِّ عَبْدٍ لاَ يُشْرِكُ بِاللَّهِ شَيْئًا إِلاَّ رَجُلاً كَانَتْ بَيْنَهُ وَبَيْنَ أَخِيهِ شَحْنَاءُ فَيُقَالُ أَنْظِرُوا هذَيْنِ حَتَّى يَصْطَلِحَا أَنْظِرُوا هذَيْنِ حَتَّى يَصْطَلِحَا أَنْظِرُوا هَذَيْنِ حَتَّى يَصْطَلِحَا ‏"‏ ‏.‏










Nabi saw bersabda, maksudnya :








"Dibuka pintu-pintu syurga (setiap minggu) pada hari Isnin dan Khamis. Allah pun mengampunkan dosa setiap hambaNya tidak mensyirikkanNya (hambaNya yang beriman), kecuali hamba yang saling bermusuhan. Lalu dikatakan kepada para malaikat, 'Tinggalkan dahulu mereka berdua ini, sehinggalah mereka berdamai."








(Sahih Muslim, Kitab al-Birr wa al-Silah wa al-Adab, Bab Larangan Saling Bermusuhan Dan Saling Tidak Mempedulikan.) ✅    





-Hadith Sahih.-







✅3. Amalan dibentangkan setiap tahun, pada bulan Syaaban. 

(Bukan Nisfu Syaaban)









عن زيد بن أسامة رضي الله عنهما قال: قلت: يا رسول الله لم أرك تصوم من شهر من الشهور ما تصوم في شعبان؟


 قال: ذلك شهر يغفل الناس عنه بين رجب ورمضان، وهو شهر ترفع فيه الأعمال إلى رب العالمين، فأحب أن يرفع عملي وأنا صائم.









Usamah bin Zaid ra melaporkan, katanya, "Saya pernah bertanya, 'Wahai Rasulullah, mengapa saya tidak pernah lihat tuan berpuasa dalam bulan lain, sebanyak puasa tuan dalam bulan Syaaban?'








Jawab Rasulullah saw, "Itulah bulan yang ramai manusia lalai, antara bulan Rejab dan Ramadan. Ia adalah bulan yangg diangkatkan amalan kepada Tuhan sekelian alam, dan saya suka amalan saya diangkat dalam keadaan saya sedang berpuasa.'"








(Al-Sunan al-Sughra, Kitab Puasa.)✅






-Hadith Hasan-








BENARKAH ANJURAN MEMPERINGATKAN?







Tentang hadith anjuran supaya memperingatkan bulan muharram, dengan ganjaran tidak dibakar api neraka, tidak dapat dikesan dari mana datangnya hadith itu.







Agak pelik apabila lafaz yang sama juga disebarkan untuk bulan-bulan lain.







"Barangsiapa yg memperingatkan bulan syaaban...."




"Barangsiapa yg memperingatkan bulan zulhijjah...."




"Barangsiapa yg  memperingatkan bulan rejab..."







Berdasarkan panduan para ulama dalam mengenali hadith palsu, dan jika kita biasa dengan hadith-hadith yang sahih, hadith ini perlu kita tawaqquf (jangan sebar, jangan beramal kerana hadith itu).






Sebarkanlah penjelasan tentangnya.













INILAH DOA AWAL BULAN YANG THABIT DARIPADA NABI SAW




Berikut adalah doa yang boleh diamalkan. Doa ini adalah doa ketika melihat anak bulan pada setiap awal bulan.





اللهُ أَكْبَرُ، اَللَّهُمَّ أَهِلَّهُ عَلَيْنَا بِاْلأَمْنِ وَاْلإِيْمَانِ، وَالسَّلاَمَةِ وَاْلإِسْلاَمِ، وَالتَّوْفِيْقِ لِمَا تُحِبُّ رَبَّنَا وَتَرْضَى، رَبُّنَا وَرَبُّكَ اللهُ



“Allah Maha Besar. Ya Allah! Datangkanlah bulan sabit ini kepada kami dengan membawa keamanan dan keimanan, keselamatan dan Islam serta mendapat taufiq untuk menjalankan apa yang Engkau senang dan reda. Tuhan kami dan Tuhanmu (wahai bulan sabit) adalah Allah.”




Doa ini berasal daripada hadith riwayat Talhah bin Ubaidillah, yang menukilkan bahawa baginda saw selalu membaca doa ini apabila melihat anak bulan pada awal bulan. 




[Jami' At-Tirmidzi, Kitab al-Da'awaat. Hadith hasan)




Doa ini tidak khusus untuk bulan Muharram sahaja, sebaliknya boleh dibaca setiapkali melihat anak bulan pada awal bulan kalendar Hijrah, sesuai dengan hadith ini. 











KESIMPULAN :







Sedaya upaya yang mungkin, kita cuba pastikan sebaran yang dibuat menepati saranan hadith sahih :






عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو، أَنَّ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم قَالَ ‏"‏ بَلِّغُوا عَنِّي وَلَوْ آيَةً، وَحَدِّثُوا عَنْ بَنِي إِسْرَائِيلَ وَلاَ حَرَجَ، وَمَنْ كَذَبَ عَلَىَّ مُتَعَمِّدًا فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنَ النَّارِ











Nabi saw bersabda, maksudnya, "Sampaikanlah daripadaku walau satu ayat. Ceritakanlah tentang Bani Israel dan tidak mengapa (jika kamu tidak menyampaikannya atau jika kamu menyampaikannya). Dan sesiapa yang berdusta atas namaku dengan sengaja maka bersedia mengambil tempatnya dalam neraka."

(Sahih Bukhari, Kitab Ahadith al-Anbiya, Bab Ma Dhukira Bani Israil.)


Bersama kita menghayati doa-doa yang ma'thur, yang boleh kita amalkan sepanjang masa termasuk di hujung hari dan di awal hari, ataupun di awal tahun dan di hujung tahun. 




Sebahagiannya ada dinyatakan fadilat secara langsung dan terang, dan sebahagiannya pula tidak dinyatakan. Doa-doa sahih ajaran Nabi Muhammad saw mengandungi hikmah yang tidak sama dengan doa lain. Doa titipan kekasih Allah, rasul terakhir, mengandungi falsafah yang tinggi tentang kehidupan sementara dan kehidupan kekal, merakamkan kehambaan seorang hamba dan keagungan Allah sebagai Rabb dan Ilaah. Antaranya doa dari Sahih Muslim :






















 والله اعلم












Tulisan ini mula ditulis pada 27 Dhulhijjah 1434H bersamaan dengan 1 November 2013. Mula 'diterbitkan' untuk bacaan pada jam 2.07 pada hari tersebut : Jumaat.



Ditambahbaik kali pertama oleh penulis asal pada 29 Dhulhijjah 1439H bersamaan dengan 10/9/2018, hari Isnin.




Di atas penambahbaikan versi dan sebaran lain, diucapkan - جزاكم الله خيرا






27 Dhulhijjah 1434H






1 November 2013






2.07 petang






Tuesday 10 September 2013

FAHAMAN WAHABI?


Fahaman Wahabi?





بسم الله













Sebelum ini kita menyangka isu-isu wahabi hanya berlegar di
kalangan kaum lelaki.





Maka, kita sentiasa mengelak daripada menulis dan
menyentuh topik itu, malah mengelak daripada menyebut kalimah itu. Sementelah
tulisan tentang perkara ini pun dirasakan sudah banyak.





Kita juga menyangka ramai umat Islam menerima Syeikh
Muhammad bin Abdul Wahab sebagai tokoh reformis yang memberi sumbangan besar
kepada agama Islam, kerana itulah yang diungkapkan oleh para ulama, dahulu dan juga yang semasa. Itulah yang kita pelajari dan kita fahami selama ini.





Rupa-rupanya tidak.





Keburukan tentang wahabi lebih banyak tersebar dalam
masyarakat. Kaum wanita juga ramai yang mengadu tentang kekeliruan mereka
tentang wahabi. Mereka ditakut-takutkan dengan ajaran wahabi.





Umpamanya, "Jangan pergi ke Madinah, kerana di sana
ramai wahabi!" Saranan yang sangat merugikan, pada pandangan kita.





Apabila kita bertanya kembali, apakah ajaran wahabi itu,
mereka menjawab, "Entahlah, saya pun tidak tahu!"





Soalan-soalan yang dikemukakan adakalanya menyebabkan kita
tersentak dan kemudiannya termenung memikirkan asal usulnya, seperti,
"Harun Yahya itu wahabi kah?"





Barangkali ada hikmahnya. Kerana dari situ mereka mula
mengenali siapa Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab. Apa latarbelakangnya,
bagaimana situasi umat Islam pada zamannya, apa yang diajarnya, dan mengapa
pelbagai tuduhan dilemparkan kepadanya.





Berdisiplin Memilih Bahan
Rujukan





Kita umat Islam diajar supaya mendapatkan maklumat daripada
sumber yang berautoriti, lebih-lebih lagi dalam soal kefahaman agama. Maka, apabila kita diminta menjawab apa sebenarnya 'Fahaman Wahabi', kita sedaya upaya mencari rujukan-rujukan yang menepati disiplin ilmu.





Meskipun tidaklah seketat disiplin menerima dan meriwayatkan
hadith yang diamalkan oleh para ahli hadith dahulu, namun disiplin itu banyak
mengajar kita, agar berhati-hati dalam menerima dan memilih maklumat, apatah
lagi maklumat itu akan menjadi pegangan dan kefahaman kita terhadap agama.





Bimbang kalau-kalau orang yang kita tuduh sebagai buruk
itu, rupa-rupanya dialah yang berjuang mempertahankan kesucian agama yang telah
dicemari dengan pelbagai fahaman yang salah.





Beberapa Rujukan Ringkas





Soalan dan kekeliruan tentang wahabi memang banyak, bukan
baru timbul sekarang, malah sejak dahulu lagi. Bukan di nusantara sahaja, malah
di seluruh dunia. Maka jawapan-jawapan juga telah lama dijawab oleh para ulama
kita, di mana mereka cuba merungkaikan kekeliruan umat Islam tentang wahabi.





Kita lihat apa yang dinyatakan oleh Dr Yusuf al-Qaradawi
tentang wahabi menerusi sumber internet :









Baca artikel lain, dalam bahasa Inggeris. (Klik
English untuk baca dalam bahasa Inggeris. Belum ada terjemahan dalam bahasa
Indonesia.)









Satu lagi, di sini.









Jika kita peminat buku "La Tahzan!", kita pun
patut tahu apa pandangan Dr. 'Aid al-Qarni tentang Syeikh Muhammad bin 'Abd
al-Wahhab.










Antara bacaan yang menarik dan agak lengkap tentang Syeikh
Abd al-Wahab dan ajarannya, dalam bahasa kita, ialah sebuah artikel yang
ditulis oleh Dr. Zakaria@Mahmud Daud dan Dr Ahmad Zaki Hj Ibrahim yang berjudul








"Pemikiran Muhammad Bin 'Abd al-Wahab Dan Pengaruhnya Kepada Dunia Islam
Dalam Bidang Akidah Dan Politik." 








Artikel ini diterbitkan dalam buku
Tokoh-Tokoh Pemikir Islam. Sayangnya menurut maklumat
yang diterima daripada penulisnya, sehingga kini ia belum lagi diulangcetak.






















Dr Zakaria@Mahmud Daud (beliau sekarang adalah pensyarah
KIAS) dan Dr Ahmad Zaki Ibrahim dalam artikel mereka menulis :





'Kedudukan 
Masyarakat Najd dan sekitar Sebelum Dakwah Syeikh Muhammad 'Abd al-Wahab





Sebelum
diterangkan mengenai gerakan Muhammad 'Abd al-Wahab, perlu diterangkan dahulu
kedudukan masyarakat Najd pada zamannya. Penduduk di negeri Najd (kawasan
negeri Arab Saudi sekarang) iaitu kawasan tempat beliau tinggal, juga kawasan
berhampiran dengannya, pada keseluruhannya terdiri daripada mereka yang rosak
akhlak, akidah, politik dan sosial. Kezaliman dan pembunuhan selalu berlaku.
Segolongan besar umat Islam tidak faham agama Islam. Mereka mengamalkan
perkara-perkara khurafat, syirik dan bid'ah, yang berlawanan dengan akidah
tauhid yang sebenar. Mereka melakukan pemujaan kepada kubur-kubur wali dan kubur
para sahabat.





Ramai umat Islam
mengunjungi kubur para sahabat dan wali-wali untuk meminta sesuatu, meminta
supaya memberi sesuatu kebaikan dan mengelak sesuatu bala dan bahaya. Contohnya
ramai mereka yang datang ke kubur Zaid bin al-Khattab (seorang sahabat) untuk
meminta sesuatu. Ramai kaum lelaki dan perempuan yang datang meminta hajat
kepada sepohon tamar jantan yang dinamakan (Fahhal) sehingga perempuan yang
lambat mendapat suami atau jodoh, datang meminta kepadanya supaya diberikan
jodoh dengan melafazkan permohonan, "Wahai pokok tamar jantan! Aku mahu
seorang bakal suami sebelum berakhirnya tahun ini."





Di samping itu
tidak kurang juga yang datang untuk meminta berkat supaya dimurahkan rezeki dan
sebagainya.





Di Dar'iyyah
terdapat sebuah gua, kononnya dipercayai seorang puteri raja lari menyelamatkan
diri........Banyak lagi perkara khurafat dan syirik lain yang diamalkan oleh
masyarakat Najd pada zaman itu. (Halaman 114)





Artikel tersebut turut mendedahkan tentang kedudukan dunia
Islam sebelum tercetusnya gerakan dakwah Syeikh Muhammad bin 'Abd al-Wahhab.
Kerosakan dalam bidang akidah, politik dan masyarakat turut menimpa seluruh
Semenanjung Tanah Arab, Basrah, Iraq, Mesir dan lain-lain.





Di Mesir, antara kubur yang dikunjungi untuk meminta hajat
dan menolak bala ialah kubur Ahmad al-Badawi dan Ahmad al-Rafi'i.





Di Iraq, kubur Sayyidina Hussin menjadi tumpuan orang Syiah
Imamiyyah, manakala yang bukan syiah juga meminta hajat di kubur Imam Abu
Hanifah dan 'Abd al-Qadir al-Jilani (yang disebut di tempat kita - Abdul Qadir
Jailani, yang juga dianggap mempunyai keramat itu - penyusun)





Dalam waktu umat Islam dilanda krisis akidah itu, kerajaan
Turki Uthmaniyyah melemah dan dunia Islam berhadapan dengan kemaraan kuasa
penjajah Eropah. Pemikiran yang terbentuk ketika itu tidak mampu membangunkan
ummah, kerana telah banyak terpengaruh dengan aliran tasawwuf yang bukan
membentuk nilai murni dalam masyarakat seperti yang sepatutnya, tetapi lebih
kepada perbahasan falsafah seperti konsep hulul
dan wahdatul wujud yang mengelirukan.
Impak lain ialah, masyarakat menjadi bersifat reda menerima kezaliman, kerana
mereka percaya kononnya kezaliman yang dialami hanya kerana dosa dan
kemungkaran.





Dalam halaman 116, artikel ini menyatakan :





"Ramai
orang mempertikaikan ajaran dan pemikiran tokoh ini. Ada yang mengatakan beliau
membawa ajaran baru yang menyeleweng daripada ajaran Islam. Akan tetapi yang
sebenarnya, ajaran Islam yang ingin dihidupkan kembali oleh tokoh ini ialah
akidah Islam sejati berasaskan al-Quran dan hadith Rasulullah saw....





...Antara
pemikiran beliau yang penting ialah :





1.    Mengajak umat supaya kembali kepada Islam sebagaimana yang
dipegangi oleh generasi permulaan 
(sahabat, tabi'in dan tabi' al-tabi'in)





2.    Membersihkan akidah tauhid daripada sebarang bentuk syirik.





3.    Menegah daripada bertawassul dengan perkara yang ditegah oleh
syara' seperti bertawassul dengan wali-wali dan orang-orang saleh yang telah
mati.





4.    Menolak sebarang bentuk bid'ah dan khurafat dalam agama.





Tuduhan Terhadapnya





Adalah lumrah jika kebenaran mendapat tentangan. Namun
Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab difitnah dengan fitnah besar oleh mereka yang
membenci ajaran murninya. Beliau difitnah telah merendah-rendahkan martabat
nabi saw, dituduh melarang orang ramai berselawat kepada baginda saw, malah
dituduh membunuh!





Fitnah terhadap beliau bukan sahaja dicanang dalam pidato,
bahkan disebarkan melalui tulisan-tulisan.





Pada halaman 124, artikel tersebut menyatakan. :





"...Ibn
Dahlan pula di dalam kitabnya, Fitnah al-Wahhabiyyah menyebut, "Mereka
itu, pengikut Muhammad 'Abd al-Wahhab, menegah orang ramai berselawat kepada
nabi saw di atas mimbar selepas azan sehingga seorang lelaki saleh yang buta
melakukan azan kemudian berselawat kepadanya, lalu orang buta itu dibawa oleh
pengikut al-syeikh berjumpa beliau. Beliau memerintahkan supaya lelaki itu dibunuhnya,
dan akhirnya dibunuh."





 Tuduhan ini adalah tidak benar dan tidak
berasas. Bagaimana beliau dapat melakukan hal sedemikian sedangkan beliau
berpegang kepada al-Quran dan sunnah nabi saw. Allah dan rasulNya menyuruh
orang membanyakkan selawat kepadanya.....





Al-Syeikh
sendiri menolak tuduhan ini dengan katanya, "Jawapan kami terhadap masalah
tersebut : Maha Suci Allah, adalah satu tuduhan karut yang sangat besar.
Sesiapa yang mengatakan perkara itu datang dari kami atau disandarkan kepada
kami, sesungguhnya itu adalah satu pembohongan dan tuduhan yang dilemparkan
kepada kami. Sesiapa sahaja yang melihat keadaan tingkah laku kami dan sesiapa
yang hadir datang ke majlis-majlis kami (di tempat kami mengajar) akan tahulah
bahawa semuanya itu satu tuduhan, sesuatu yang diada-adakan oleh musuh agama
dan saudara-saudara syaitan dengan harapan supaya orang ramai menyeleweng dari
ikhlaskan akidah kepada Allah dan supaya tetap melakukan syirik. Apa yang kami
i'tiqad dan kami pegang ialah bahawa Nabi kita Muhammad saw adalah makluk Allah
yang paling tinggi martabatnya. Baginda hidup di alam barzakh, yang lebih
tinggi daripada hidup para syuhada', dan Nabi Muhammad saw mendengar ucapan
salam yang diucapkan kepada baginda (oleh orang yang memberi salam kepadanya)
dan nabi mensunnahkan kepada umatnya supaya menziarahi kuburnya."





Tersingkap rahsia mengapa ajaran Syeikh Muhammad Abd
al-Wahab begitu ditakuti, iaitu kerana umat Islam mendapat maklumat daripada satu sumber, iaitu sumber yang menentang usaha-usaha beliau.





Jikalau boleh, ingin sahaja penyusun menyalin balik semula
keseluruhan artikel tersebut yang berjumlah 32 halaman. Namun kita tertakluk
kepada undang-undang hakcipta. Menghormati akan hal ini, dan seiring dengan
keperluan umat Islam kepada tulisan-tulisan ilmiah dan berdisiplin seperti ini,
apatah lagi ramai umat Islam tidak dapat membaca dalam rujukan asal yang
berbahasa Arab, maka kita mengharapkan suatu hari nanti artikel ini akan dapat
diakses sepenuhnya di internet, dalam bentuk pdf misalnya.





(Ada satu lagi rujukan yang menarik, yang sedang diusahakan. Tulisan yang membincangkan secara ilmiah para sarjana yang menyokong dan menentang Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab. Apabila membacanya, kita akan mendapat gambaran yang lebih jelas mengapa fitnah berlaku dan menjejakinya sumber-sumbernya. In sya Allah, suatu masa akan kita kongsikan nanti.)





Sebaris
Dengan Tokoh Reformis Islam





Setelah mendapat informasi yang benar tentang sejarah 'fahaman wahabi',
barangkali kita mendapat gambaran sifat golongan yang menyebarkan fitnah
terhadap Syeikh Muhammad bin 'Abd al-Wahab, dan mengapa fitnah itu masih terus
berlegar dalam masyarakat, sehingga ke hari ini.





Terbaru, beberapa bulan yang lepas penyusun mendapati
bahawa ada pihak yang mengajak para wanita di tempat kita ini agar memohon hajat kepada roh para
nabi dan orang-orang soleh yang telah mati, kerana  pada mereka, roh-roh itu tetap hidup DALAM
HATI mereka!













Berdasarkan prinsip perjuangan beliau, wajarlah Dr Yusuf
al-Qaradawi meletakkan peribadi Syeikh Muhammad Abdul Wahab, dalam bukunya yang terkenal, Fiqh
al-Awlawiyyat (Fiqh Keutamaan) - Sebagai tokoh para pejuang pembaharuan di era
moden, sebaris dengan Sayyid Jamaluddin al-Afghani, Muhammad 'Abduh dan Hasan
al-Banna!





Sebuah buku yang patut dimiliki oleh semua pencinta agama
Islam. Namun, berapa ramai di antara kita yang berazam ingin memiliki, dan jika
sudah memilki, berapa ramai pula yang sudi membacanya?













Kita sedaya upaya berdisiplin dalam memilih sumber-sumber
di atas. Supaya seandainya tersebar, pembaca mendapat maklumat yang benar, dan
penyusun juga dapat bertanggungjawab apabila ditanya tentang apa yang
disusunnya.





Tidaklah bermakna kita mengatakan beliau, Syeikh Muhammad
bin Abdul Wahhab itu maksum. Seperti manusia dan tokoh lain,
beliau tentu ada salah silapnya. Tetapi menyebarkan fitnah terhadap beliau dan
ajarannya tanpa usul periksa bukankah menempah dosa, meskipun beliau sendiri sudah
lama kembali kepadaNya?





Meskipun sangat sedikit, dan mungkin kurang disenangi, barangkali ada manfaatnya.







Wallahu a'lam.








Tulisan ini dibuat bagi memenuhi permintaan supaya penyusun meringkaskan apa itu Fahaman Wahabi untuk bacaan umum. Penyusun, bila ditanya, hanya memetik di sana-sini, memetik rujukan boleh dibaca oleh semua dalam bahasa kita, yang dirasakan memenuhi pra syarat disiplin ilmu Islam. Permintaan tersebut telah merempuh niat asal penyusun sebelum ini...tidak mahu menulis tentang 'fahaman wahabi.'




Wednesday 28 August 2013

YANG BESAR-BESAR, YANG KECIL-KECIL


ikhlaskan niatmu setiap hari




Orang besar-besar biasanya 'dilihat' bahagia, mudah mendapat apa yang mereka hajatkan.




Mendapat apa yang orang kecil-kecil kempunan.



Penghormatan.



Nama.



Kedudukan.



Pengaruh.



Pengikut.



Peminat.



Pasangan, mungkin.



Dan banyak lagi.



Maka ramai orang ingin sekali menjadi orang yang besar-besar, orang terkenal. Anak-anak, kebanyakannya dipesan, jadilah orang besar-besar, kelak hidup senang!



PANDANGAN



Pandangan Allah kepada kita, tidak pun dipengaruhi oleh pandangan orang kepada kita.



Sedikitpun.



Manusia menerima, belum tentu Allah menerima.



Allah menerima, manusia belum tentu menerima.



Malu kepada Allah.






luasnya rahmatMU





Hanya Dia yang tahu betapa kerdilnya kita, di tengah-tengah melaut sangkaan baik manusia.



Dialah yang tahu apa yang bersarang di dalam minda, apa yang terbungkam di dalam dada.



Dia, berulangkali memberitahu kita di dalam kitabNya yang mulia, bahawa kita-kita ini, baik kita yang besar-besar, ataupun kita yang kecil-kecil, berasal dari air yang hina, dan akan berpulang kepadaNya.



Hakikat yang selalu kita lupakan, kerana ia sukar ditelan.



Memanglah patut kita sujud dan sujud kepadaNya.






ANGGAPAN





Ada orang dianggap besar, tetapi kecil di sisiNya.



Ada orang dianggap kecil, walhal, dia besar di sisiNya.



Bukan pula tidak ada orang besar yang memang besar di sisiNya, dan orang kecil yang memang kecil di sisiNya.






Orang besar dan orang kecil






Sukarnya kerana, keputusan muktamad tidak dapat kita cari di sini. 





Yang muktamad hanya diberi setelah kita semua pulang kepadaNya.



Di tempat kita tidak dapat lagi membaiki kesilapan amalan, malahan kesilapan niat kita. Di suatu tempat yang tidak dapat dinyatakan lokasinya, di mana kita tidak dapat lari lagi ke mana-mana.





Kita yang besar, ataupun kita yang kecil, senang menyebutnya, sukar melakukannya :





Ikhlaslah kepada Allah, patuhi syariatNya. 





Tegaslah pada yang usul, dan pilihlah pada yang furu'.



Dengan takut dan harap.



Hanya kepadaNya.






Syiah Malaysia
Yang usul






Poligami
Yang furu'

بَشّروا ولا تُنَفروا



Amalan Kecil, Amalan Besar





"Berapa banyak amalan kecil menjadi besar kerana niat. Berapa banyak pula amalan besar menjadi kecil kerana niat."




Jiwa yang bersih






debu yang berterbangan

Kebenaran, Walaupun Dianggap Kecil



Yang sudah terang lagi bersuluh, adalah kebenaran, walau sekecil mana sekalipun.



Kebenaran tetap terserlah di sebalik kisah-kisah peribadi, mahupun kisah-kisah organisasi.



Manakan boleh disembunyi di sebalik kenyataan-kenyataan rasmi orang-orang besar, ataupun kenyataan-kenyataan tidak rasmi orang-orang kecil.



Memandang ke kanan dan ke kiri, mengamati keputusan saudara-saudara yang dekat dan ujian saudara-saudara seIslam yang jauh, kembali teringat kita akan kata-kata hikmat Abdullah bin al-Mubarak, rahimahullah.(Ataupun mungkin kata-kata yang disandarkan kepadanya?)






الدنيا سجن المؤمن، واعظم اعماله في السجن الصبر وكظم الغيظ


 وليس للمؤمن في الدنيا دولة، وانما دولته في الاخرة




Menyatakan kebenaran, rupa-rupanya tidak semudah yang disangka. Orang memilih-milih siapa yang menyatakan kebenaran itu. Orang besar-besar selalunya dipandang lebih benar daripada orang kecil-kecil, barangkali itu sebahagian daripada lumrah kehidupan.




Kebenaran sering diukur dengan ramainya kehadiran yang mengelilingi, dan banyaknya audiens yang mengerumuni. Ia adakalanya benar, walaupun seringkali juga tidak.




Kita sendiri pula, banyak memilih-milih kebenaran yang ingin kita sampaikan. Barangkali bukan kerana bimbang penerimaan orang, tetapi bimbang akan pudarnya pengaruh kita.





Yang pasti, kebenaran bukan milik orang besar-besar, ataupun orang kecil-kecil.





Bukan milik keluarga besar, ataupun keluarga kecil.



Bukan milik orang lelaki, ataupun orang perempuan.





Bukan milik organisasi besar, ataupun organisasi kecil.



Kebenaran hak mutlak, milik Allah semata-mata.



Kita, hanya manusia yang bernama HAMBANYA. Akan dihisab tentang sebesar-besar perkara, hingga sekecil-kecil perkara.



Paling ditakuti, penat lelah selama ini, yang kita anggap usaha-usaha besar sepanjang hidup yang sebentar, menjadi debu-debu paling kecil, tidak ada sebarang nilai.



Lalu, ketika itu, apa lagi yang hendak kita harapkan?




debu yang berterbangan



Kata Ibn Kathir :










Tuesday 27 August 2013

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Powerade Coupons