Sunday 20 May 2018

GANDAAN PAHALA DALAM RAMADHAN


🔴SOALAN :





Assalamualaikum Ustazah,





Benarkah dalam bulan Ramadhan, pahala amalan sunat digandakan menjadi pahala amalan wajib?





Ramai penceramah menyebutkan tentang gandaan ini sempena Ramadhan kali ini. 





Mohon pencerahan.








🔴JAWAPAN :





Waalaikumussalam.








🔴 Ramadhan adalah bulan yang mulia dalam Islam. Al-Quran mula diturunkan dalam bulan Ramadhan iaitu ayat 1-5 Surah al-'Alaq. Menurut Safiy al-Al-Rahman al-Mubarakfuri dalam al-Rahiq al-Makhtum, peristiwa penurunan wahyu pertama di Gua Hira' jatuh kepada 21 Ramadhan.





🔴 Secara umumnya, terdapat 2 jenis gandaan pahala. 





Pertama gandaan dari sudut bilangan. 


Kedua, gandaan dari sudut besarnya pahala.





🔴 Dalam bulan Ramadhan, ada amalan yang digandakan dalam bentuk bilangan, dan ada yang digandakan dari sudut besarnya pahala kerana ia dilakukan dalam bulan Ramadhan.





Amalan yang digandakan dari sudut bilangan dinyatakan dengan jelas bagi masa tertentu dan amalan yang tertentu, sebagaimana yang disebutkan dalam ayat al-Quran dan hadith-hadith yang sahih.





Malam lailatul qadar yang ada pada mana-mana satu dalam 10 terakhir Ramadhan, istimewa kerana apa sahaja ibadah yang dilakukan pada malam tersebut adalah lebih baik daripada seribu bulan. 










Mengerjakan umrah dalam bulan Ramadhan diganjarkan pahala seperti mengerjakan haji bersama Nabi Muhammad s.a.w. Ini dinyatakan dalam hadith yang sahih :





عُمْرَة فِي رَمَضَانَ تَقْضِي حَجَّةً أَوْ حَجَّةً مَعِي





Maksudnya : Umrah dalam bulan Ramadhan menyamai pahala mengerjakan haji bersamaku.





(Sahih al-Bukhari, Kitab al-'Umrah, Bab 'Umrah fi Ramadhan)





Amalan-amalan lain yang tidak dinyatakan secara khusus bentuk gandaannya, tetap lebih baik dan digandakan apabila dilakukan dalam bulan Ramadhan, kerana besarnya fadilat bulan Ramadhan itu.





🔴 Adapun riwayat yang mengatakan amalan sunat dalam bulan Ramadhan secara umumnya digandakan menjadi pahala wajib adalah riwayat yang tidak sahih.





والله أعلم

DOA MEMOHON DIKEMBALIKAN BARANG YANG HILANG


🔴 Soalan





Assalamualaikum Ustazah.





Mohon pencerahan tentang doa kehilangan barang ini. 






















🔴Jawapan





Waalaikumussalam wrt. wbt.





Kedua-dua doa ini bukan doa ma'thur daripada hadith yang sahih.





Namun kerana ia adalah doa, kita boleh berdoa dengan doa itu. Tidak salah kita berdoa dengan doa tersebut, kerana ia tidak mengandungi apa-apa jenis kesalahan.





🔴Doa yang kita karangkan sendiri  pun banyak yang sudah Allah kabulkan. Kita semua tentu mengakuinya berdasarkan  pengalaman dalam sepanjang kehidupan kita.





🔴Perbezaan ketara yang terdapat dalam doa kita dengan doa ma’thur yang diajar oleh Nabi Muhammad saw ialah doa ma’thur mengandungi :


  1. Adab yang tinggi

  2. Falsafah kehidupan yang mendalam

  3. Perkara penting yang perlu diminta dalam kehidupan seorang insan, tetapi tidak diketahui melainkan melalui al-Quran dan al-Hadith.






Apabila kita membaca ataupun berdoa dengan doa yang ma’thur, kita akan mendapat ‘sense’ yang berbeza dan mendapat pahala ittiba’ (mengikut sunnah Nabi Muhammad saw) dalam berdoa.





🔴Berkaitan dengan doa memohon agar dikembalikan barang yang hilang, kita boleh berdoa dengan doa ma’thur yang diajarkan oleh Nabi Muhammad saw, seperti yang dinukilkan dalam Sahih al-Bukhari, seperti berikut :










Orang yang kehilangan sesuatu adalah orang yang berada dalam kesusahan. Kita mohon kepada Allah agar Dia meleraikan kesusahan yang menimpa kita, sebagaimana yang diajarkan oleh Nabi Muhammad saw.





Pengalaman menunjukkan doa ma’thur ini mustajab bagi mendapatkan semula barang yang hilang. Ada kalanya, ia didapati semula dengan cara yang tidak disangka-sangka.





Apabila kita ditimpa kesusahan, ikhtiarlah dengan sedaya upaya mengikut syariat, dan berdoalah kepada Allah. 





Doa ma’thur adalah yang terbaik.





Allah Maha Mendengar doa yang kita panjatkan kepadaNya. 







والله أعلم




PALSU : KISAH MIMPI GADIS BUKAN HADITH


🔴SOALAN :





Assalamualaikum Ustazah,




Mohon pencerahan tentang kisah berikut. Adakah kisah ini daripada hadith yang sahih. Viral tanpa diketahui statusnya :





Mimpi Seorang Gadis


Seorang gadis datang menemui Rasulullah dengan tangan kanannya disorokkan ke dalam poket bajunya.. Dari raut wajahnya, anak gadis ini sedang menanggung kesakitan yang amat sangat. Lalu Rasulullah menegurnya. "Wahai anakku, kenapa wajahmu menampakkan kamu sedang kesakitan dan apa yang kamu sorokkan di tanganmu?" Lalu gadis malang inipun menceritakan hal yang berlaku padanya. "Ya, Rasulullah, sesungguhnya aku adalah anak yatim piatu. Malam tadi aku telah bermimpi dan mimpiku itu telah membuatkan aku menanggung kesakitan ini." Balas gadis tadi.  "Jika tidak jadi keberatan, ceritakanlah mimpimu itu wahai anakku." Rasulullah mula tertarik dengan penjelasan gadis tersebut. "Aku bermimpi berjumpa ibuku di dalam neraka. Keadaannya amat menyedihkan. Ibuku meminta diberikan air kerana dia amat dahaga kerana kepanasan api neraka itu hingga peluh tidak sempat keluar kerana kekeringan sekelip mata." Gadis itu berhenti seketika menahan sebak.  "Kemudian ku lihat di tangan kirinya ada seketul keju dan di tangan kanannya ada sehelai tuala kecil. Beliau mengibas-ngibaskan kedua-dua benda tersebut untuk menghalang api dari membakar tubuhnya. Lantas aku bertanya ibuku, kenapa dia menerima balasan sebegitu rupa sedangkan ketika hidupnya ibuku adalah seorang hamba yang patuh dengan ajaran islam dan isteri yang taat kepada suaminya? Lalu ibuku memberitahu bahawa ketika hidupnya dia amat bakhil..Hanya dua benda itu sahaja iaitu seketul keju dan sehelai tuala kecil pernah disedekahkan kepada fakir... Yang lainnya hanya untuk bermuka-muka dan menunjukkan kelebihan hartanya sahaja. Lalu aku terus mencari ayahku. Rupanya beliau ....”





🔴 JAWAPAN




Waalaikumussalam wrt. wbt.



- Ini antara persoalan yang selalu dikemukakan.






- Tidak diketahui asal usul cerita ini. Ada beberapa tanda yang menunjukkan ini adalah kisah palsu yang disandarkan kepada Rasulullah s.a.w. Antaranya ialah suruhan 'berzikir dan menghadiahkan pahala' untuk ibunya.





- Terdapat satu lagi hadith yang jelas PALSU dalam tulisan tersebut, iaitu  suruhan mengingatkan kisah tersebut kepada orang lain. Menyebar hadith palsu bukan mendapat pahala berganda, tetapi dosa berganda-ganda.

















Syarat hendak menyebarkan sesuatu hadith ialah meastikan dahulu akan kesahihannya. Apabila kita kurang pasti, tidak tahu sama ada betul ataupun tidak, jangan sebarkan. Disiplin ini jelas dinyatakan dalam hadith Nabi Muhammad s.a.w. yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dalam Muqaddimah kitab Sahihnya : 





"من حدث عني بحديث يرى انه كذب فهو من الكاذبين."






"Sesiapa yang menyampaikan daripadaku hadith yang dirasakan seperti bohong, maka dia adalah salah seorang daripada pembohong."





Hadith ini mengajar kita bahawa sesuatu hadith hanya boleh disampaikan apabila kita benar-benar pasti. Jika seseorang itu ragu-ragu, sama ada sesuatu hadith itu betul ataupun tidak, namun dia sampaikan juga, dia termasuk dalam golongan yang disebut oleh Nabi saw itu.





- Ada banyak hadith-hadith sahih yang menggalakkan agar bersedekah,  hadith yang boleh dan perlu kita jadikan bahan tazkirah, namun bukan begini sifatnya. 



Bagi mengenal sifat hadith-hadith yang sahih, selalulah mengikuti pengajian hadith sahih secara berkala dan berdisiplin, dengan silibus yang terpilih,  dihuraikan oleh tenaga pengajar yang mempunyai autoriti dan kredibiliti dalam menyampaikan ilmu yang sahih.









والله أعلم 



Isnin

 6Ramadhan 1439H























 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Powerade Coupons