Sunday 28 February 2016

SOP UNTUK PELAJAR AGAMA DEWASA



ULASAN SUB TAJUK : PENTINGNYA ILMU BAGI PENDAKWAH DAN GURU
















Ulasan 1.  Sepatutnya pengajian ilmu agama kelas dewasa juga ada SOP.









Berdasarkan pengalaman, peringkat pengajian dewasalah paling sukar untuk kita tentukan SOP, melainkan jika pengajian dibuat secara rasmi ataupun tertutup. Dalam pengajian secara rasmi, tapisan boleh dibuat sebelum kemasukan. Pelajar juga boleh diasingkan pelajar mengikut tahap kefahaman dan pencapaian.









Dalam kuliah agama yang umum, sukar untuk kita raikan kedua pihak - advanced dan beginners. Kemampuan dan kesediaan memang berbeza. (Inilah sebabnya nyata perbezaan hasil di antara ceramah dengan kelas pengajian secara khusus) Maka, kefahaman yang diterima juga sudah tentu berbeza, bergantung kepada ilmu asas yang sedia ada.









Pelajar sekolah umumnya mendapat sukatan daripada satu sumber. Namun pelajar dewasa biasanya mendapat maklumat daripada pelbagai sumber, khususnya daripada ceramah dan cerita, ataupun tulisan yang dilihat menarik, yang belum pasti kesahihannya. Apatah lagi pada zaman internet seperti sekarang, pelajar mungkin akan bertanya perkara yang lebih daripada kemampuan akibat daripada lambakan maklumat yang diterima.









Mengapa ustaz ini kata begini, mengapa ustaz itu kata begitu.









Menerangkannya tidak mudah dan memahaminya pula memerlukan masa. 









Contohnya, masih ramai tertanya-tanya mengapa wujud hadith palsu. Mengapa tidak boleh sebarkan sedangkan bunyinya elok. Apa bahayanya hadith palsu. 









Umumnya, perlu pengorbanan dan 'tahan susah' daripada pelajar yang ingin belajar. Kalau tak dipecahkan ruyung, bagaimana hendak dapatkan sagunya? Pepatah ini sesuai dengan semua pelajar, termasuk pelajar dewasa.





Ya, untuk poin pertama kita ringkaskan bahawa SOP sangat penting untuk pelajar agama dewasa, namun ia sukar dilaksanakan melainkan dalam pengajian tertutup dan berkala.












Contoh Pengajian Agama Dewasa Tertutup Dan Berkala











Ulasan 2. Sebelum menentukan SOP, paling utama dan asas dalam memastikan ilmu agama yang baik ialah :









a. Sukatan yang menepati disiplin ilmu wahyu




b. Guru yang berkelayakan dan amanah terhadap ilmu




c. Pelajar yang ikhlas kerana Allah dan berusaha bersungguh-sungguh









A. Sukatan 





Jika sukatan banyak mengandungi hadith palsu dan perkara khurafat contohnya, SOP akan menjadi kacau keseluruhannya. Bayangkan jika guru bergantung penuh kepada silibus itu, dan ada SOP sendiri!









Kerja menerangkan tentang akidah, syariat dan akhlak mengikut sukatan yang betul berdasarkan al-Quran dan al-Hadith juga biasanya menjadi sukar jika masyarakat ataupun pelajar meletakkan 'adat kebiasaan' yang telah diwarisi sebagai sukatan (lebih susah lagi jika dijadikan penapis) dalam menilai ajaran yang disampaikan. Apabila adat tersebut bertentangan dengan sukatan sebenar, dan adat lebih dipertahankan berbanding sukatan, maka ketika itulah ajaran Islam sebenar tertutup dan terhijab.









Inilah hikmahnya Allah swt memelihara kedua-dua sumber sukatan agama, iaitu al-Quran dan al-Hadith, daripada sebarang penyelewengan dan penambahan. Dengan ini, apabila ada pertikaian dalam sukatan yang sedia ada, umat Islam diperintahkan supaya kembali melihat SUKATAN ASAL iaitu al-Quran dan sunnah nabi saw. 









B. Guru  





Jika guru berfahaman Syiah, ataupun menerima fahaman Wahdatul Wujud dan Nur Muhammad misalnya, sukatan yang paling tinggi iaitu al-Quran sekalipun tidak akan membuahkan hasil yang baik, kerana akan wujud penyelewengan dalam memahami ayat al-Quran apatah lagi dalam pengajaran.









Ataupun jika misalnya ada dua pelajar dalam satu pengajian. Seorang lulus cemerlang dengan kefahaman yang baik, tetapi seorang lagi lulus cukup makan dengan wujud salah faham. (Peperiksaan hanya salah satu bentuk penilaian, semua kita tahu itu). Logiknya, tidak akan sama mutu dan hasilnya, jika mereka berdua kelak mengajar subjek yang sama. 









Adalah lebih baik kita bergelar pelajar yang sentiasa berusaha mendampingi sumber rujukan ilmu yang mu'tabar, daripada mengaku menjadi guru tanpa persediaan yang cukup.









C. Pelajar 





Jika pelajar belajar agama tanpa keikhlasan, ingin mendapat kedudukan misalnya, ataupun ingin bersaing dengan orang yang pandai, ia boleh menjejaskan kualiti ilmu yang diperolehi. Niat yang ikhlas, doa dan usaha bersungguh-sungguh melorongkan seseorang untuk mendapatkan ilmu yang baik, seterusnya membentuk jiwa dalaman dan syaksiyyah luarannya. Insan boleh menipu orang lain, tetapi insan tidak boleh menipu Allah, Tuhan yang menciptanya.









Jika silibus sudah elok, guru pula berkelayakan dan sanggup berkorban masa, jiwa dan raga, namun jika pelajar tidak melaksanakan tugasan yang diberi, tidak mahu berusaha, maka SOP yang baik pun tidak berkesan. 









Nabi saw umpama guru yang terbaik, menyampaikan silibus paling sempurna daripada Tuhan semesta alam, dan semestinya dengan Standard Operating Procedure yang paling baik. Namun ada insan yang beriman, dan ada juga yang menolak.









Dengan kata lain, SOP dalam menyampaikan ilmu agama ataupun dakwah sangat penting, namun ia juga berkait rapat dengan ketiga-tiga faktor di atas. 









Ulasan 3. Tentang perkara 'pelik' dalam agama, ia perlu difahami secara benar.









Sebenarnya ilmu agama sangat terpelihara dan berada dalam sistem yang sangat kemas. Tidak ada sebenarnya istilah ilmu yang pelik dan rahsia. Cuma kita belajar mengikut tahap dan kemampuan. Daripada senang kepada yang lebih susah. Di peringkat yang lebih tinggi, kita akan belajar dan mengkaji mengikut pengkhususan.









(Contohnya tentang ilmu tentang khilaf dalam fiqh. Ia tidak sesuai diberitahu kepada pelajar sekolah kerana akan dianggap pelik. Tetapi untuk pelajar dewasa, kita perlu menerangkan kerana mereka bertanya 'betulkah sekian sekian'. )









Nabi Muhammad saw telah menyampaikan ilmu syariat dengan sempurna, complete, tiada yang tertinggal dan tiada ilmu syariat yang menjadi rahsia. Setiap perintah mesti dipatuhi dengan penghayatan, kerana ia bukan sekadar amalan fizikal, namun dapat membersihkan jiwa dalaman manusia. Setiap larangan mesti dijauhi, kerana selain ia membawa kerosakan pada kehidupan lahiriah, perkara yang dilarang juga merosak dan mengotorkan jiwa manusia.









Firman Allah swt :







اليوم اكملت لكم دينكم وأتممت عليكم نعمتي ورضيت لكم الإسلام دينا










Ada sesetengah orang mendakwa tasawwuf dan tariqat mengandungi ilmu yang pelik-pelik. Guru tariqat didakwa memiliki ilmu yang terus didapati daripada Allah melalui mimpi dan sebagainya. Mereka mendakwa ada guru yang berhati suci mendapat bimbingan terus daripada Allah, ataupun mendapat ajaran nabi dalam mimpi. Mereka membawa cara zikir yang pelik dan selawat baru. Mereka juga dikatakan memiliki keajaiban-keajaiban seperti berjalan atas air, menukar daun menjadi duit dll kerana ada 'ilmu ladunni.'









Ini sangat bahaya dan membuka pintu kerosakan kepada agama.









Sesiapa sahaja boleh mendakwa menerima ilmu terus daripada mimpi ataupun ilham. Bila-bila masa sahaja syariat Islam boleh diselewengkan dengan adanya dakwaan seperti ini.









Inilah sebabnya Allah memelihara wahyu iaitu al-Quran (dan hadith).










Al-Quran menjelaskan perkara ini kepada kita : 







إنا نحن نزلنا الذكر وإنا له لحافظون.











Kita disuruh berpegang teguh kepada al-Quran dan al-Hadith yang terpelihara ini dengan pemahaman generasi terbaik, iaitu para sahabat nabi saw. Dengan cara kemas dan bersistem seperti ini, agama terselamat daripada tokok tambah dan penyelewengan. Tanpa disiplin, kita terdedah dengan pelbagai dakwaan dan perkara pelik yang disandarkan kepada agama. 









Antara contohnya ialah seperti zikir menari dan lakaran capal yang telah kita ulaskan sebelum ini.









Tiada siapa pun boleh menokok tambah ajaran agama yang telah sempurna disampaikan oleh nabi saw. Inilah maksudnya baginda saw penutup segala nabi. Dan inilah hikmah haramnya melakukan bid'ah dalam agama. 









Bagi tujuan membersihkan jiwa, tiada tariqat lain yang boleh menandingi tariqat nabi, iaitu mengikut sunnah baginda saw. Al-sunnah maknanya al-tariqah. 









Zikir-zikir dan doa-doa daripada hadith-hadith yang sahih, ada yang ditetapkan bilangan dan masanya, ada yang diluaskan pelaksanaannya. Kita ikut ketetapan bilangan dan masa jika ditetapkan dalam sunnah, manakala yang diluaskan maka kita amalkan pada bila-bila masa yang sesuai, tanpa ketetapan khusus.









Jiwa menjadi tenang jika kita berzikir dan berdoa mengikut sunnah nabi saw. Sebelum berzikir dan berdoa, kita pelajari zikir dan doa mengikut sunnah nabi saw dalam hadith-hadith yang sahih. Semasa berzikir dan berdoa, paling kurang mudah-mudahan kita mendapat dua pahala. Pertama, pahala beribadah dan mengingati Allah swt. Kedua, pahala menurut tunjuk ajar utusan-Nya dalam berzikir.





















والله أعلم


اللهم إني أعوذ بك من شر ما عملت وشر ما لم أعمل



Friday 12 February 2016

FADHILAT SANDAL NABI : KHURAFAT SEKITAR LAKARAN SANDAL YANG DIDAKWA SANDAL NABI SAW


Assalamualaikum.





Soalan : BENARKAH ADA FADHILAT LAKARAN SANDAL NABI SAW?





Akhir-akhir ini banyak logo capal ataupun sandal yang dikatakan sandal nabi saw. Orang yang memakai dan mempamerkannya mendakwa, apabila memakai (misalnya kopiah) berlogo sandal itu, pemakai akan mendapat banyak kelebihan seperti terkabul semua hajat, dapat mimpi bertemu nabi saw dan lain-lain.

















Mohon pencerahan, bolehkah bertawassul dengan lakaran ini? Benarkah lakaran itu sandal nabi dan benarkah ia ada kelebihan?








Jawapan : TIDAK BENAR





✳️ HADITH IALAH APA SAHAJA YANG DISANDARKAN KEPADA NABI SAW





Soalan ini soalan 'evergreen,' sama seperti soalan-soalan tentang hadith palsu, dan juga tentang salah guna hadith.





Akan sentiasa ada golongan yang tidak berdisiplin memalsukan sesuatu untuk disandarkan kepada Rasulullah saw, dan menyalahgunakan hadith untuk membenarkan perbuatan mereka yang tidak selari dengan syariat yang dibawa oleh Nabi Muhammad saw.





Dan selagi bumi ini berputar, dunia belum sampai ke penghujungnya, akan ada pula para ulama' yang berkelayakan menjelaskan dan membela ketulenan agama, ataupun apa sahaja yang disandarkan kepada Rasulullah saw. 





Sabda Nabi Muhammad saw :





يَحْمِلُ هَذَا الْعِلْمَ مِنْ كُلِّ خَلَفٍ عُدُولُهُ، يَنْفُونَ عَنْهُ تَحْرِيفَ الْغَالِينَ ، وَانْتِحَالِ الْمُبْطِلِينَ ، وَتَأْوِيلِ الْجَاهِلِينَ  





Maksudnya : "Ilmu ini akan dibawa bagi setiap generasi oleh orang-orang yang amanah, mereka membersihkan ilmu daripada penyelewengan orang-orang yang melampau, daripada tokok tambah golongan ahli batil, dan ta'wil huraian golongan orang-orang yang jahil."





✳️ JANGAN BERDUSTA ATAS NAMA NABI SAW





Sabda Nabi saw : 





مَنْ كَذَبَ عَلَىَّ مُتَعَمِّدًا فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنَ النَّارِ. ‏"‏‏"





Nabi saw bersabda, maksudnya, "Dan sesiapa yang berdusta atas namaku dengan sengaja maka biar dia sediakan tempatnya dalam neraka."





(Sahih Bukhari, Kitab Ahadith al-Anbiya, Bab Ma Dhukira Bani Israil.)





Jika benar kita kasih kepada Nabi saw, kita mesti mengambil berat terhadap pesanan baginda di atas. 





Di kalangan para sahabat nabi saw sendiri, bukan semua sahabat meriwayatkan hadith, antara lain kerana mereka bimbang tersilap dalam meriwayatkan hadith-hadith junjungan besar Nabi Muhammad saw. Sedangkan kita tahu, merekalah yang paling kasih kepada nabi saw. Sahabat yang banyak meriwayatkan hadith ialah para sahabat yang terkemuka dalam bidang ilmu, demi untuk menjaga amanah agama.





Para ulama' hadith sejak zaman berzaman pula menghabiskan usia, tenaga, masa dan harta untuk memelihara hadith-hadith nabi saw. Mereka menjaganya daripada tangan-tangan dan lisan yang tidak bertanggungjawab. Itulah bentuk jihad mereka.





Namun tidak ada seorang pun ulama' hadith yang berani melakar capal  nabi saw apatah lagi hendak bertawassul dengan bentuk lakaran itu!





Lakaran bentuk capal seperti bermata dua itu dikatakan dilakar oleh pemimpin agama Barelvi/Brelwi di India. Diajarkan kepada pengikutnya supaya memuliakan lakaran itu dengan janji pelbagai khasiat dan mendakwa bahawa memuliakan lakaran capal adalah tanda benarnya iman seseorang. 





Agama Brelwi banyak terlibat dengan kepercayaan dan amalan berdasarkan hadith-hadith palsu, malah mencipta hadith-hadith palsu, memuja kubur-kubur  dengan memohon hajat kepada roh-roh, serta membina bangunan di atas kubur, yang jelas bertentangan dengan pesanan nabi saw. 













Antara doktrin yang ditanam kepada pengikut mereka ialah : 'Sesungguhnya wali-wali Allah adalah pintu rahmat Allah, dan memohon rahmat mestilah melalui pintu-pintunya. Maka kubur wali mesti dikunjungi untuk memohon rahmat.' Ini salah satu ajaran pelik yang di ada-adakan dalam agama. Mereka juga mencipta perayaan di atas kubur dan mendakwanya sebagai 'sunnah' dan 'syiar Islam.'  Malah mereka bernazar di kubur dengan membawa pelbagai jenis makanan, serta tawaf di kubur dengan alasan mengambil berkat.





Banyak pengaruh syiah yang ada dalam amalan dan kepercayaan Barelvi. Selain bertawassul dengan lakaran capal, pemimpin Barelvi juga juga mengatakan boleh menggantung lakaran kubur Husain di rumah mereka untuk mengambil berkat.





Para ulama' ahl sunnah wal jamaah memperingatkan tentang bahaya akidah Brelwi. 





Umat Islam pula, ada yang terpedaya kerana Barelvis/Brelwi mendakwa 'mereka adalah ahl sunnah waljamaah yang bermazhab Hanafi.' Mereka juga mendakwa bahawa mereka sangat cinta kepada nabi.





Apakah kita hendak menggunapakai lakaran yang datang daripada golongan yang memalsukan hadith nabi saw dan memalsukan ajaran nabi saw?





Apatah lagi, sudah jelas lagi bersuluh bahawa bertawassul dengan objek tertentu bukanlah ajaran nabi kita, Muhammad saw.






✳️ BERHATI-HATI, IKUTLAH JALAN YANG LURUS DAN TERANG










Didapati ada NGO dan pusat pengajian atas pelbagai nama yang mempromosikan sandal/capal ini dan menjual kopiah serta pakaian lain berlambangkan capal ini. 





Apakah tujuannya ialah untuk mempromosikan kepercayaan tawassul dengan capal? Nyata sekali ia bukan sekadar logo semata-mata seperti logo lain, tetapi dipakai dan diedarkan kerana ada kepercayaan di sebaliknya.





Ini bukan soal khilaf seperti yang didakwa. Bertawassul dengan lakaran capal melibatkan akidah, dan akidah mesti berasaskan al-Quran dan hadith yang sahih. Ia bukan termasuk dalam kategori fadail al-a'mal seperti yang didakwa.





Jika capal boleh dilakar lalu lambangnya dibuat objek untuk bertawassul, apakah akan ada objek-objek lain lagi yang akan dilakar dan dibuat objek untuk bertawassul?  Antara hikmah terbesar Nabi Muhammad saw melarang bid'ah dalam agama, ialah kerana bid'ah boleh merosakkan agama, dan ia biasanya bermula dengan perkara yang kecil-kecil, akhirnya menjadi besar dan menular, sehingga perkara khurafat dianggap amalan agama!





Inilah juga antara sebabnya para ulama' mengatakan bid'ah lebih disukai syaitan berbanding maksiat, kerana maksiat boleh merosakkan pelakunya, manakala bid'ah boleh merosakkan agama.





✳️ BERPEGANG KEPADA AL-QURAN DAN HADITH YANG THABIT





Kembalilah kita kepada al-Quran, mu'jizat terbesar Nabi Muhammad saw yang masih ada di tangan kita. Jika kita mempunyai hajat, banyakkan sabar, solat serta sujud, itulah cara kita mendekatkan diri kepada Allah dan memohon pertolongan daripada-Nya. 





Firman Allah swt :





وَاسْتَعِينُواْ بِالصَّبْرِ وَالصَّلاَةِ وَإِنَّهَا لَكَبِيرَةٌ إِلاَّ عَلَى الْخَاشِعِينَ (45





Maksudnya :





"Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan solat, sesungguhnya solat itu amatlah berat, kecuali kepada orang-orang yang khusyu'."





Ikutlah bimbingan hadith-hadith yang sahih, yang dihuraikan dengan cara berdisiplin, daripada guru-guru yang betul, amanah dan mempunyai kelayakan yang sepatutnya.





Jika membina bangunan pencakar langit kita tidak serahkan kepada yang bukan ahli kerana bimbang bencana yang mendatang, apatah lagi dalam soal agama. Menjadi ahli memerlukan banyak ilmu alat seperti nahu, saraf, balaghah, ilmu asas seperti usul tafsir, usul hadith, mengenali hadith palsu, mengenali ulama' dan kitab mu'tabar, mengenali firqah-firqah yang lari dari landasan Islam dan banyak lagi.





Berselawatlah dengan selawat yang diajarkan sendiri oleh baginda saw kepada para sahabatnya. 





اللّهُمَّ صَلّ علىٰ مُحَمّد، وَعَلى اٰلِ محمد


كَمَا صَلَّيْتَ عَلٰى إبراهيم، وعَلٰى اٰلِ إبْراهيم


إنَّكَ حَمِيْدٌ مَجِيْد.





اللّهُمَّ بَارِكْ عَلٰى مُحَمّد، وَعَلٰى اٰلِ مُحَمّد


كَمَا بَارَكْتَ عَلٰى إبْراهِيم، وَعَلى اٰلِ إبراهيم


إنَّكَ حَمِيْدٌ مَجِيْد. 





(Sahih Bukhari, Kitab Ahadith al-Anbiya' & Kitab Doa-Doa, Bab Berselawat Ke Atas Nabi saw)





Perkara-perkara di atas adalah pegangan orang yang benar-benar mencintai Nabi Muhammad saw dan mencintai kemurnian ajaran baginda saw.








✳️ AKIDAH ASASNYA ILMU YANG BENAR








Akidah bukan perkara mainan. Subjek utama dakwah kita ialah 'mentauhidkan Allah dengan cara dan jalan yang diajarkan oleh nabi saw.'





Jalan yang lain tidak dapat menyampaikan kita kepada destinasi yang diredaiNya.





Ajaklah sahabat handai kita dengan baik, terangkan bahawa akidah Islam terang dan mudah, jangan terpedaya dengan tipuan syaitan yang bijak mencari jalan menggelincirkan insan dari jalan yang lurus.





Umar al-Khattab berpesan : 


تفقهوا قبل أن تسودوا





dan Imam al-Bukhari menambah  :


وبعد أن تسودوا ، وقد تعلم أصحاب النبي صلى الله عليه وسلم في كبر سنهم





Dalami ilmu agama dengan disiplin yang benar mengikut fahaman para salafussoleh, supaya kita selamat daripada fitnah dan tetap berjalan di atas jalan nabi saw dan para sahabatnya.





Dr Yusuf al-Qaradawi dalam Fiqh al-Awlawiyyat menyatakan keutamaan KEFAHAMAN berbanding hafalan dan keutamaan ILMU sebelum beramal. 





Pelajari ilmu secara berdisiplin, diawali dengan niat yang ikhlas. Setulus mungkin, hanya kerana Allah, kerana ilmu yang benar adalah anugerah Allah yang tidak ternilai harganya. 





Ilmu bukan untuk diperagakan ataupun untuk mendapat gelaran dan penghormatan manusia tertentu. Ilmu yang benar hendaklah dihargai, ilmu yang salah hendaklah dijauhi.





Berdoalah kepada Allah yang Maha Mendengar. Pohonkan hidayah ke jalan yang lurus, jalan yang dilalui oleh para sahabat dan orang-orang yang mengikuti jejak langkah mereka. 





اهدنا الصراط المستقيم


اللهم اهدنا وسددنا


اللهم انا نعوذ بك من شر ما عملنا، وشر ما لم نعمل








والله أعلم


 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Powerade Coupons