Friday 30 June 2017

MEMULIAKAN TETAMU : ANTARA SAHIH DAN PALSU

🔴 Soalan :




Assalamualaikum




Mohon penjelasan ustazah tentang kesahihan kisah kelebihan tetamu ini :






1📌Seorang perempuan mengadu kepada Rasulullah s.a.w. tentang perihal suaminya yang suka menjemput tetamu ke rumah. Si isteri sangat penat menghidangkan makanan dan melayan tetamu.






Perempuan tadi pun pulang ke rumah tanpa sebarang jawapan daripada Rasulullah s.a.w.


   


Tidak berapa lama kemudian Rasulullah s.a.w. memberitahu kepada suami perempuan tadi bahawa dia akan ziarah ke rumahnya. Lalu suami tadi pun memberitahu kepada isterinya bahawa pada hari ini kita ada tetamu istimewa yang akan datang. Isterinya bertanya:





"Siapakah tetamu itu?"





Maka dijawab olehnya bahawa tetamu itu adalah Rasulullah s.a.w.. Isteri tadi sangat gembira mendengar berita tersebut. Lalu dia pun menyediakan makanan yang lazat dan sedap-sedap untuk Rasulullah s.a.w.. 





Ketika Rasulullah s.a.w. hendak pulang. Baginda memberitahu kepada suami tadi supaya memberitahu isterinya supaya melihat dipintu ketika baginda keluar.





Kemudian isterinya pun melihat ke pintu semasa Rasulullah s.a.w. keluar.





Dilihatnya binatang-binatang seperti lipan, kala jengking dan segala yang memudaratkan ikut keluar bersama Rasulullah s.a.w.. Beliau sangat terkejut lalu Rasulullah Sallallah 'Alaihi Wasallam berkata kepadanya:





"Demikianlah yang berlaku setiap kali tetamu menziarahi rumah seseorang."





Apabila tetamu kita pulang, akan keluar dari rumah kita segala bentuk bala, kemudaratan, binatang-binatang yang menyakitkan dan penyakit dari rumah kita. 





Rumah yang sentiasa diziarahi tetamu ialah rumah yang disukai oleh Allah s.w.t.. Turunnya rahmat dan barakah dari langit.





قال رسول الله صلى الله عليه وسلم:




📌2" إذا أراد الله بقوم خيراً أهدى لهم هدية. قالوا: وما تلك الهدية؟ قال: الضيف ينزل برزقه، ويرتحل بذنوب أهل البيت "





📌3. فيااحبتي " الضيف دليل الجنة ".





 وقال رسول الله صلى الله عليه وسلم :


📌4. من كان يؤمن بالله واليوم الآخر فليكرم ضيفه ...





Terima kasih.








🔴 Jawapan :




Waalaikumussalam.




1. Menerima dan memuliakan tetamu adalah kebiasaan baik orang Arab, dan ia diteruskan sebagai akhlak mulia dalam Islam setelah kedatangan Nabi Muhammad saw.





2. Malahan, memuliakan tetamu adalah amalan nabi-nabi as terdahulu.





Al-Quran menceritakan dengan jelas bagaimana Nabi Ibrahim as menerima kedatangan tetamu (sebenarnya malaikat yang menyamar berupa manusia). 





Nabi Ibrahim as menghidangkan daging bagi menghormati mereka selaku tetamu. 
















3. Hadith yang sahih juga memberikan panduan kepada kita tentang keutamaan memuliakan tetamu.





Sabda Nabi Muhammad saw :





وَمَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ فَلْيُكْرِمْ ضَيْفَهُ 




Maksudnya :



"Dan sesiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, hendaklah dia muliakan tetamunya."



(Sahih Bukhari, Kitab al-Adab)





4. Dalam banyak perkara agama, kewujudan hadith palsu memberikan impak yang besar kepada umat Islam.





Antara lain, hadith palsu boleh menyebabkan umat Islam :





a. Melakukan amalan yang langsung tidak pernah disyariatkan dalam agama





b. Menyebabkan umat Islam mengharapkan sesuatu yang tidak dijanjikan oleh Allah dan Rasulullah saw, semasa mereka melakukan amalan yang dianjurkan dalam agama. 





c. Menghina dan merendahkan martabat Nabi Muhammad saw dan juga pelaku kebaikan





d. Mengheret umat Islam kepada perbuatan menyebarkan fakta palsu tentang agama, pendustaan terhadap Rasulullah saw yang menyebabkan kemurkaan Allah swt.





e. Meninggalkan pengajian al-Quran dan sunnah dengan disiplin yang benar kerana menganggap 'tiada tawaran menarik' berbanding hadith palsu.





5. Menjawab persoalan yang dikemukakan, kisah yang bertanda 📌1 di atas adalah riwayat palsu disandarkan atas nama Rasulullah saw.





Jika kita perhatikan, walaupun menghormati dan memuliakan tetamu itu adalah amalan yang dianjurkan dalam Islam, namun hadith palsu ini tetap membawa keburukan lain seperti yang dinyatakan dalam perkara 4b - 4e. 





Pembaca hadith palsu tersebut barangkali mengharapkan perkara bahaya dan mudarat dapat keluar bersama tetamu.





Hadith palsu tersebut juga berpotensi merendahkan martabat Nabi Muhammad saw kerana segala perkara yang ditakuti dan tidak elok digambarkan keluar bersama baginda saw!





Malang jika umat Islam bukan sekadar membaca, namun percaya, malah menyebar luaskan riwayat yang disangka hadith nabi ini. 





Paling dibimbangi, riwayat seumpama ini lebih diminati, dianggap lebih menarik, berbanding mengaji al-Quran dan tadabbur maknanya, serta belajar hadith-hadith yang sahih dengan disiplin yang betul.





6. Hadith-hadith yang bertanda 📌2 dan 📌3 juga tidak sahih. Maka, dirasakan tidak perlu kita menterjemahkannya.



Manakala hadith bertanda 📌4 adalah hadith sahih, sepertimana yang telah dinyatakan salam perkara 3 di atas.




Kesimpulan.





Menerima dan memuliakan tetamu besar ertinya dalam agama kita. Melakukannya bererti meneruskan akhlak para nabi, memenuhi tuntutan sunnah Nabi Muhammad saw, melakukan perintah Allah swt dan meraih pahala dan kebaikan yang banyak.





Amalan baik bersumberkan nas al-Quran dan hadith yang sahih ini tidak wajar dicemari dengan kepercayaan dan sebaran hadith palsu. Hadith palsu tidak diperlukan untuk menyokong amalan yang baik, malah perlu dibanteras kerana penyebarannya adalah satu bentuk pendustaan terhadap Rasulullah saw dan agama yang murni.





والله أعلم




Saturday 24 June 2017

Nota 1 Syawwal Buat Keluarga Bahagia : Muslimah Membangunkan Ummah




🔸1. Sejarah para sahabiyyat dan sejarah Islam umumnya menunjukkan bahawa wanita muslimah berperanan besar dalam membangunkan ummah.





Bukan sahaja berada dalam tugas-tugas rumahtangga bersama suami dan anak.






Jutaan wanita muslimah dalam sejarah insan sudah terbukti berbakti dalam bidang perubatan, dakwah, pendidikan, pentadbiran, perniagaan dan selainnya. 





Berbakti dengan penuh adab sopan, menepati sunnatullah pada kejadian alam dan mematuhi syariat Allah yang ditentukan dalam mematuhi suruhan dan meninggalkan larangan.





🔸2. Di sisi mereka, ada para suami gagah bertuah, berkongsi pahala kerana membantu dan memberi sokongan buat isteri mereka dalam membangunkan ummah. 





Titik bengik dan perkara kecil tetap kecil, selesaikan secara kecil, jangan diperbesarkan. Jangan persiakan jiwa dan bakat besar hanya kerana bisikan syaitan yang meragu-ragukan.  Ataupun kerana salah faham tentang kedudukan wanita, berpunca daripada hadith palsu yang disandarkan kepada Rasulullah saw. 





Keluarga muslim berbahagia dalam  realiti, tidak derita kerana mengejar fantasi.





Saling membantu dalam urusan rumahtangga. 





Saling memelihara maruah, kehormatan diri dan kehormatan keluarga.





🔸3. Bangunkan diri dengan ilmu dan kefahaman Islam yang benar.   


Bangun perbaiki diri dengan amalan sahih ajaran Rasulullah saw. 





Bangunkan keluarga dengan komunikasi penuh rahmah kasih sayang, toleransi penuh kelembutan. Kerana seorang insan sedang berkomunikasi dengan jiwa insan lain yang seni, bukan dengan besi!





Sabda Rasulullah saw :





" خَيْرُكُمْ خَيْرُكُمْ لِأَهْلِهِ ، وَأَنَا خَيْرُكُمْ لِأَهْلِي "





"Orang yang terbaik di kalangan kamu ialah yang paling baik akhlaknya kepada isteri dan anak-anaknya. Dan aku adalah orang yang terbaik di kalangan kamu terhadap ahli keluargaku."


(Sunan al-Tirmidhi)




Rasulullah saw tidak pernah mengasari ataupun memukul isteri, dan juga khadam. Apatah lagi anak-anak kecil yang masih tidak tahu apa-apa!





Bangunlah, jika lemah mengendalikan diri sendiri, mengendalikan keluarga, siapa yang akan bangunkan ummah ini ?





🔸4. Daripada individu muslim, dibina keluarga muslim. Daripada keluarga muslim, dibina masyarakat muslim. 





Individu dan keluarga yang bahagia   akan mampu membina masyarakat dan ummah. 





Kejayaan suami, kejayaan isteri dan kejayaan anak-anak, sambutlah dengan kesyukuran, sebagai penyeri kehidupan rumahtangga. 





Tiada istilah kejayaan individu bila kita sudah berkeluarga, kerana setiap ahli ada sumbangan tersendiri dalam membangunkan kejayaan ahli keluarga yang lain.





Anggota keluarga muslim seharusnya menghargai antara satu sama lain, terus cemerlang sebagai hamba Allah dan khalifah Allah yang memakmurkan bumi.





Bukan berundur dan mengalah, lalu kembali ke belakang!





Berlumba-lumbalah ke arah kebaikan!





فاستبقوا الخيرات!





🔸5. Bersama-sama menunaikan sunat tarawih, solat wajib berjemaah, memelihara kesempurnaan puasa, berbuka dan bersahur, serta memohon keampunan dan rahmat...dapat merapatkan hubungan ahli keluarga.  







Semoga mujahadah sepanjang Ramadhan membawa kemenangan hakiki pada 1 Syawwal, serta membawa kebaikan berpanjangan buat individu dan  keluarga muslim.





Hari raya itu bukanlah bagi orang yang sekadar mengenakan baju baru, tetapi hari raya itu bagi orang-orang yang bertambah ketaatannya KEPADA ALLAH.





Hari raya bukanlah bagi orang yang sekadar berhias dengan baju cantik dan berkenderaan, tetapi hari raya adalah bagi orang-orang yang menang kerana DIAMPUNI DOSA-DOSANYA YANG TELAH LALU.





Semoga apa sahaja yang diusahakan di dunia, dapat dibawa pulang hasilnya ke akhirat sana.





تقبل الله منا ومنكم صالح الأعمال





الله أكبر ، الله أكبر ، الله أكبر 


لا إله إلا الله ، والله أكبر 


الله أكبر ولله الحمد





🖌AHAD


🖌1 Syawwal 1438 H

Friday 23 June 2017

PALSU - SOLAT QADHA' FARDHU 5 WAKTU OADA JUMAAT TERAKHIR RAMADHAN



🔴Soalan :





Assalamualaikum.





Benarkah wujud anjuran solat qadha' 5 waktu pada hari Jumaat terakhir dalam bulan Ramadhan?





Saya tidak pernah mendengarnya sebelum ini.





🔴Jawapan :





Waalaikumussalam. 





1. Tidak benar.





2. Anjuran ini sebenarnya berasal dari RIWAYAT PALSU, yang disandarkan atas nama Rasulullah saw.





3. Amalan ini biasa dilakukan oleh golongan Syiah.





4. Jika seseorang itu meninggalkan solat tanpa disengajakan, sepatutnya dia qadha' sebaik sahaja dia teringat. 





Jika seseorang itu pernah meninggalkan solat dengan sengaja, lebih-lebih lagilah dia perlu segera taubat nasuha, tidak boleh menunggu Jumaat terakhir Ramadhan, malah tidak memadai jika dia hanya qadha' tanpa bertaubat dengan bersungguh-sungguh.





5. Ada tiga perkara kesalahan besar dalam anjuran ini. 





Pertama, kerana menggunakan riwayat palsu yang tidak diketahui rekaan siapa. Sekaligus berdusta atas nama nabi saw. (Dan para sahabat)





Kedua, menggalakkan orang melakukan perkara bid'ah dalam agama. 





Ketiga, menimbulkan salah faham terhadap konsep menunaikan solat, seolah-olah ringan sehingga boleh digantikan yang berlalu itu dengan 'sekali harung sahaja.' 





Sedangkan solat sebenarnya mesti dibuat dengan sedaya upaya dan DALAM WAKTUNYA, sehinggakan sakit terbaring tidak boleh bergerak sekalipun kita masih wajib menunaikan solat, mesti hanya dengan isyarat mata sekalipun.





Solat asalnya tidak boleh dilakukan, kecuali apabila ada dalil yang thabit daripada nabi saw. Justeru, umat Islam tidak boleh mereka-reka solat itu dan solat ini pada waktu sekian-sekian, kerana ia mengancam syariat Islam yang telah sempurna disampaikan oleh Nabi Muhammad saw. 





Oleh yang demikian, didapati bahawa tiada pun ulama' fiqh dalam mana-mana mazhab menyebut tentang solat qadha' pada Jumaat terakhir ini.





والله أعلم






Sebaran asal :






Harap sahabat sekelian dapat lakukan Jumaat ni ye...kalau ada pekerjaan...harap di tinggal sekejap.


Salam semua sahabat sekelian....ni adalah pesanan guru ust iaitu beliau suruh kita semua qadha solat 5 waktu, buat selepas solat Jumaat (Jumaat akhir Ramadan) hingga sebelum masuk waktu Asar. Seolah2 qadha solat selama 400 tahun kita telah tinggal.


Qadha 5 waktu aje slps jumaat sebelum masuk waktu Asar...yakni qadha Subuh, Zohor, Asar, Maghrib dan Isya'


Dalil nya:





 Mengenai shalat kafarat (mengqodha sholat lima waktu) adalah kebiasaan yang dilakukan oleh beberapa sahabat, diantaranya oleh Ali bin Abi Thalib kw, dan terdapat sanad yang muttashil dan tsiqah kepada Ali bin Abi Thalib kw bahwa beliau melakukannya di Kufah. Dan yang memproklamirkan kembali hal ini adalah AL Imam Al Hafidh Al Musnid Abubakar bin Salim rahimahullah, yaitu dilakukan pada setelah shalat jumat, pada hari jumat terakhir di bulan ramadhan, mengQadha shalat lima waktu, Tujuannya adalah barangkali ada dalam hari hari kita shalat yang tertinggal, dan belum di Qadha, atau ada hal hal yang membuat batalnya shalat kita dan kita lupa akannya maka dilakukan shalat tersebut.


 Sayidina Abu Bakar ra. berkata:


"Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda, "Sholat tersebut sebagai kafaroh (pengganti) sholat 400 tahun dan menurut Sayidina Ali ra. sholat tersebut sebagai kafaroh 1000 tahun. Maka bertanyalah sahabat : umur manusia itu hanya 60 tahun atau 100 tahun, lalu untuk siapa kelebihannya ?". Rasulullah SAW menjawab, "Untuk kedua orang tuanya, untuk istrinya, untuk anaknya dan untuk sanak familinya serta orang-orang yang didekatnya/lingkungannya."





Jumaat ni adalah jumaat terakhir bulan Ramadhan..





Tuesday 20 June 2017

AYAM JALLALAH DAN HUKUMNYA


Soalan :





Ayam A dipatuk ayam B. Ayam A cedera dan berdarah lalu ayam-ayam lain mengerumuni dan mematuk ayam A sampai mati, dan habis organ dalaman dimakan oleh ayam-ayam itu.





Bolehkah kita makan ayam-ayam yang makan daging ayam A itu?






Jawapan :





🔸Binatang yang makan kotoran dinamakan sebagai al-Jallalah





Al-Jallalah ialah binatang yang makan makanan yang kotor, sama ada unta, lembu, kambing, itik, ayam dan lain-lain binatang yang dijadikan makanan oleh manusia.





Hukumnya haram ataupun makruh dimakan (sebahagian ulama' mengatakan haram, sebahagian mengatakan makruh), berdasarkan hadith, antaranya :





 ( أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَهَى عَن المجثمة ولَبَنِ الْجَلَّالَةِ ) 




Susan Al-Tirmidhi, Kitab Makanan.




( نَهَى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ أَكْلِ الْجَلَّالَةِ ، وَأَلْبَانِهَا )





Susan al-Tirmidhi, Kitab Makanan.






🔸Jika haiwan itu memang dipelihara dan diberi makan bijirin contohnya, cuma sekali sekala makanannya bercampur dengan kotoran, ia tidak dinamakan sebagai jallalah, maka hukumnya tidak haram.





🔸Jika haiwan itu memang makan kotoran, dan sampai berubah bau haiwan itu, daging, susu ataupun telurnya, maka ia adalah jallalah, haram dagingnya, haram susunya, haram juga telurnya.





🔸Haiwan al-Jallalah ini boleh menjadi halal apabila mereka ditahan dan diberi makanan yang baik-baik dalam tempoh yang tertentu, sehingga pulih keadaan mereka, iaitu hilang bau busuk (tanda kotornya jallalah).





Tempoh pemulihan dengan beri makanan yang baik-baik ini bergantung kepada adat kebiasaan 'pulihnya' haiwan itu. Ada ulama' yang mengatakan bahawa tempoh 'pemulihan' bagi unta dan lembu selama 40 hari, manakala bagi ayam ialah selama 3 hari.





Menjawab pertanyaan, jika ayam tersebut selalu mematuk ayam lain, dan tuan ayam ingin makan ayam tersebut, bolehlah melakukan  pemulihan bagi ayam-ayam tersebut dengan memberi makanan yang baik-baik sahaja kepada mereka, sekurang-kurangnya 3 hari, sebelum disembelih.





والله أعلم




Bacaan ringkas lanjut :






https://islamqa.info/ar/149059

http://www.ahlalhdeeth.com/vb/showthread.php?t=214492

BENARKAH MEMILIKI LEBIH 3 BILIK MENGUNDANG SYAITAN



SOALAN :









Assalamualaikum ustazah. 









Adakah benar rumah yang memiliki bilik ke-4 (melebihi 3 bilik) mengundang syaitan ke rumah tersebut?  Adakah hadith yang sahih menyatakannya?














JAWAPAN :









Waalaikumussalam.









Hadith yang dimaksudkan ialah :










 : عَنْ جَابِرِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ  أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لَهُ 




فِرَاشٌ لِلرَّجُلِ وَفِرَاشٌ لِامْرَأَتِهِ وَالثَّالِثُ لِلضَّيْفِ وَالرَّابِعُ لِلشَّيْطَانِ










Maksudnya :






Jabir bin Abdillah ra. meriwayatkan bahawa Rasululullah saw berkata kepada beliau :





"Tempat tidur pertama untuk tuan rumah, tempat tidur kedua untuk isterinya, ketiga untuk tetamu dan keempat untuk syaitan."





(Sahih Muslim, Kitab Perhiasan Dan Pakaian.)







Para ulama' membahaskan maksud hadith riwayat Jabir as ini. Hadith, walaupun thabit, ada sifat yang tersendiri pula. Ada yang riwayat dengan lafaz, ada riwayat dengan makna. Ada yang ringkas dan ada yang penuh. Ada yang perlu dijelaskan dan disokong oleh hadith-hadith lain bagi memahaminya.









Semuanya ada perbahasan dan kedudukan tersendiri, dan ia menyumbang kepada maksudnya.









Kita ringkaskan penjelasan bagi hadith tersebut seperti berikut :









🔸1. Memiliki lebih 3 bilik kerana keperluan dibenarkan dalam Islam. Begitu juga memiliki lebih katil. Contohnya bagi keperluan untuk anak yang jumlahnya memang ramai, untuk anak yang pulang, tempat tidur untuk digunakan semasa sakit dan sebagainya.









🔸2. Kata Ibn al-Jauzi, maksud tempat tidur keempat untuk syaitan ialah jika bilik ataupun tempat tidur itu menjadi suatu bentuk pembaziran, tidak diperlukan.









🔸3. Kata Imam Nawawi dalam Syarh Sahih Muslim, para ulama' mengatakan maksud hadith ini ialah tempat tidur (ataupun bilik) tambahan yang melebihi keperluan, dibuat dengan tujuan bermegah dan berlumba-lumba mencapai kemuncak perhiasan dunia. Sifat ini sifat tercela, dan ia dinisbahkan kepada syaitan kerana syaitan suka kepada sifat tercela ini.





Berawas jika bilik ataupun tempat tidur lebih daripada keperluan dibina atas dasar ini.





🔸4. Ada juga pandangan yang mengatakan bahawa memang bilik yang tidak dihuni itu akan diambil tempat oleh syaitan. Namun ia bukan kerana semata-mata bilik lebih, tetapi kerana ia seperti rumah kosong yang tiada siapapun berzikir kepada Allah di dalamnya, sama ada dengan solat, membaca al-Quran dan lain-lain.



Jika bilik berpenghuni, tetapi dihuni oleh insan yang tidak mengingati Allah, maka ia juga mengundang syaitan.






🔸5. Oleh itu, semata-mata memiliki bilik ke-4 bilik bukan secara mutlak mengundang syaitan. 









Potensi memiliki bilik berlebihan terbuka apabila anak-anak sudah dewasa, mula belajar jauh ataupun mula membina rumahtangga sendiri. Kebanyakan bilik dalam masyarakat kita dibina atas dasar keperluan, agar lebih terjaga aurat antara adik beradik, anak menantu, menjaga kehormatan tetamu dan lain-lain.









Maksud yang dicela dalam hadith ini ialah pembaziran dan lambang kemewahan serta kemegahan, bukan bilangan bilik semata-mata. 









Hadith-hadith yang sahih memberitahu kita bahawa dalam tandas ada syaitan, syaitan masuk bersama ke dalam rumah apabila ketika masuk kita tidak mengingati Allah, syaitan suka rumah yang ada gambar dan patung, syaitan lari ketika azan dan datang dekat ketika kita hendak solat, dan lain-lain. 









Meskipun sesebuah rumah itu ada hanya satu bilik, ia masih berpotensi besar untuk mengundang syaitan ke dalamnya. 









Azan, iqamah, solat, membaca al-Quran dan melazimi zikir-zikir yang ma'thur, dapat melindungi kita daripada gangguan syaitan di rumah, menghalau syaitan yang ada dan menghalang syaitan masuk ke dalam rumah.









Amalan ini perlu dilakukan dalam semua rumah, berbilik ataupun tidak, termasuk rumah yang ada bilik lebih kerana  ada keperluan, memang tidak digunakan sepanjang masa, sebaliknya menanti masa untuk dihuni apabila tetamu bertandang ataupun anak-anak pulang.


Tuesday 13 June 2017

'REST IN PEACE'


🔴Soalan :





Assalamualaikum. 





Bolehkah kita menggunakan sebutan ataupun istilah 'Rest In Peace' bagi orang Islam yang sudah meninggal dunia?





🔴Jawapan :





Waalaikumussalam.





🔸Keharusan sebutan 'Rest in Peace' dalam Islam bergantung kepada niat pengucap.






Kita tahu bahawa dalam akidah ahl al-sunnah wa al-jamaah, seseorang itu tidak dapat dijamin oleh sesiapa bahawa dia benar-benar aman daripada siksaan kubur dan siksaan api neraka setelah meninggal dunia, melainkan jika ada nas ataupun jaminan daripada Allah swt yang disampaikan melalui Nabi Muhammad saw.





Oleh yang demikian, jika disebut 'Rest In Peace' dengan maksud doa dan harapan, ia dibenarkan.





Sama seperti kita sebut al-Marhum dan al-Marhumah bagi si mati. Ia termasuk dalam kategori doa dan harapan kita selaku orang yang masih hidup, agar insan yang telah meninggal dunia itu dirahmati dan mendapat belas kasihan Allah swt. 





Orang beriman yang meninggal dunia juga terlepas daripada hiruk pikuk masalah dunia dan diharapkan kembali kepada rahmat Allah, berdasarkan hadith Nabi saw :








عَنْ أَبِي قَتَادَةَ بْنِ رِبْعِيٍّ الأَنْصَارِيِّ، أَنَّهُ كَانَ يُحَدِّثُ أَنَّ رَسُولَ الله صلى الله عليه وسلم مُرَّ عَلَيْهِ بِجِنَازَةٍ 

فَقَالَ : مُسْتَرِيحٌ، وَمُسْتَرَاحٌ مِنْهُ





 قَالُوا : يَا رَسُولَ اللهِ مَا الْمُسْتَرِيحُ وَالْمُسْتَرَاحُ مِنْهُ 




قَالَ : الْعَبْدُ الْمُؤْمِنُ يَسْتَرِيحُ مِنْ نَصَبِ الدُّنْيَا وَأَذَاهَا إِلَى رَحْمَةِ اللهِ 


وَالْعَبْدُ الْفَاجِرُ يَسْتَرِيحُ مِنْهُ الْعِبَادُ وَالْبِلاَدُ وَالشَّجَرُ وَالدَّوَابُّ 






Maksudnya :






Pada suatu hari, ada jenazah diusung lalu di hadapan Nabi Muhammad. Beliau pun berkata, “Orang yang bebas, ataupun orang yang dibebaskan sesuatu daripadanya.”





Sahabat-sahabat beliau bertanya, “Wahai utusan Allah, apa makna orang yang bebas, ataupun orang yang dibebaskan sesuatu daripadanya?”





Jawab Nabi Muhammad, “Seorang hamba Allah yang beriman (apabila dia meninggal dunia) bebas daripada susah payah dan penderitaan hidup di dunia, lalu pergi kepada rahmat belas kasihan Allah. Seorang hamba Allah yang kafir dan berdosa pula dibebaskan daripadanya manusia, negeri, pokok dan haiwan-haiwan yang melata di bumi.”





(Sahih Bukhari, Kitab al-Riqaq, Bab Sakarat al-Maut)





Maknanya, apabila ada orang jahat meninggal dunia, orang lain akan aman.  Orang jahat itu tidak dapat lagi berbuat zalim, menipu, mengugut, memaksa, merampas ataupun mencuri barang mereka. Begitu juga dengan negeri ataupun negara, tumbuh-tumbuhan dan haiwan. Semuanya terselamat daripada perbuatan jahatnya sebab dia sudah meninggal dunia. 





Orang baik pula, apabila dia meninggal dunia, bermakna dia aman daripada pelbagai jenis kesusahan yang ada dalam kehidupan di dunia, dan diharapkan berada dalam limpahan rahmat Allah swt.






🔸Namun jika disebut 'Rest In Peace' dengan keyakinan total seperti apa yang disebut, iaitu benar-benar selamat daripada sebarang azab kubur dan azab neraka, ia tidak dibenarkan, kerana sebab yang telah disebutkan di atas.





🔸Hal yang berbeza apabila kita sebut para sahabat Rasulullah saw sebagai رَضِيّ الله عنه/ رضي الله عنهم kerana  golongan sahabat memang diiktiraf iman dan amalan mereka di sisi Allah, juga sebagai generasi terbaik umat Nabi Muhammad saw. 





Para sahabat daripada kaum Muhajirin dan Ansar dipuji secara khusus dalam al-Quran, bacalah ayat 100 Surah al-Tawbah.











والله أعلم




 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Powerade Coupons