Assalamualaikum.
Ada satu kes, seorang ibu mertua telah bersumpah dengan al-Quran untuk tidak mmbenarkan anak menantunya pulang menjejaki rumah. Dan si mertua akhirnya menyesal. Apakah kafarah yang dikenakan terhdap sumpah yang dibuat oleh ibu mertua tersebut.?
Mohon pencerahan.
📝📝📝📝📝📝📝
Waalaikumussalam.
Dalam Islam, sumpah dan nazar ada hukumnya tersendiri, ada dalil daripada ayat-ayat al-Quran dan hadith-hadith Nabi Muhammad saw.
Sebelum kita berbincang lebih lanjut tentang masalah ini, elok kita memperingati antara sesama kita, agar tidak membiasakan diri dengan suka bersumpah. Ia dibimbangi kelak akan menyusahkan orang yang bersumpah, dan jika sudah terbiasa lidah dengan bersumpah, dibimbangi pula terjebak pula dengan sumpah palsu.
Bersumpah boleh dilakukan, tetapi buatlah pada masa yang benar-benar diperlukan sahaja.
🍀Ta'rif Sumpah
Penting kita mengetahui ta'rif sesuatu permasalahan dalam istilah syara', supaya kita dapat meneliti dan menentukan hukumnya.
Sumpah dalam istilah syara' ialah :
"Menegaskan sesuatu perkara (cthnya untuk melakukan ataupun tidak melakukan sesuatu) dengan NAMA ataupun SIFAT ALLAH."
🍀Bersumpah dengan al-Quran?
Ta'rif di atas akan membawa kita memperincikan masalah ini pula.
Apa itu al-Quran? Al-Quran bukan nama Allah, tetapi penting kita mengetahui, adakah al-Quran itu SIFAT ALLAH, ataupun makhluk Allah?
Para ulama' bersepakat mengatakan Al-Quran adalah KALAMULLAH, bukan makhluk. Kefahaman bahawa al-Quran itu makhluk, barangkali, meresapi dalam masyarakat kita melalui fahaman dalam firqah/firaq/kumpulan yang menyeleweng daripada ajaran yang sebenar.
Firman Allah swt :
( وَإِنْ أَحَدٌ مِنَ الْمُشْرِكِينَ اسْتَجَارَكَ فَأَجِرْهُ حَتَّى يَسْمَعَ كَلَامَ اللَّهِ ثُمَّ أَبْلِغْهُ مَأْمَنَهُ ذَلِكَ بِأَنَّهُمْ قَوْمٌ لَا يَعْلَمُونَ ( 6 )
سورة التوبة
Oleh yang demikian, dalam kes bersumpah dengan al-Quran, jumhur ulama' mengatakan ia valid, kerana bersumpah dengan al-Quran termasuk dalam sumpah dengan sifat Allah, kerana al-Quran adalah KALAMULLAH.
(Kita akan perincikan lagi, in syaa Allah, apabila ada kesempatan yang sesuai)
🍀Jenis Sumpah
Secara ringkasnya, jenis sumpah yang berkaitan dengan sumpah dalam kes ini ialah sumpah qasamiyyah yang ketiga, iaitu al-yamiin al-mun'aqidah, iaitu sumpah yang sah, valid.
Oleh yang demikian, orang yang bersumpah, bila ingin keluar dari sumpahnya, iaitu melanggar perkara yang dia sendiri tetapkan dalam sumpah atas nama/sifat Allah itu, wajib membayar/
menunaikan kaffarah.
🍀Kaffarah Sumpah
Sumpah ada kaffarahnya sendiri. Ia umpama mengambus/menutup dosa melanggar sumpah yang telah dilafazkan atas nama/sifat Allah itu, maka ia tidak lagi diambil kira pada hari kiamat kelak.
Firman Allah swt :
لاَ يُؤَاخِذُكُمُ اللّهُ بِاللَّغْوِ فِي أَيْمَانِكُمْ وَلَكِن يُؤَاخِذُكُم بِمَا عَقَّدتُّمُ الأَيْمَانَ فَكَفَّارَتُهُ إِطْعَامُ عَشَرَةِ مَسَاكِينَ مِنْ أَوْسَطِ مَا تُطْعِمُونَ أَهْلِيكُمْ أَوْ كِسْوَتُهُمْ أَوْ تَحْرِيرُ رَقَبَةٍ فَمَن لَّمْ يَجِدْ فَصِيَامُ ثَلاَثَةِ أَيَّامٍ ذَلِكَ كَفَّارَةُ أَيْمَانِكُمْ إِذَا حَلَفْتُمْ وَاحْفَظُواْ أَيْمَانَكُمْ. كَذَلِكَ يُبَيِّنُ اللَّهُ لَكُمْ آيَاتِهِ لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ )(89) سورة المائدة.
Daripada ayat 89 Surah al-Maidah ini, ulama' membuat kesimpulan bahawa :
Kaffarah sumpah melibatkan 2 perkara, iaitu takhyir dan tartib.
Langkah pertama, pilih antara 3 di bawah :
1. Memberi makan 10 orang miskin (kita ringkaskan - boleh beri beras lebih kurang 1 1/2 kilo setiap orang)
2. Memberi pakaian yang menutup aurat kpd 10 orang miskin
3. Membebaskan hamba.
Langkah kedua, jika TIDAK MAMPU kesemua di atas, barulah boleh :
4. Berpuasa 3 hari.
Ulama' berselisih pendapat, adakah wajib berturut-turut ataupun tidak. Yang lebih kuat ialah tidak wajib berturut-turut.
Terdapat persoalan lanjut yang diutarakan, adakah memberi makan 10 orang fakir miskin itu perlu diberi dalam bentuk beras? Bolehkah kita beli sahaja makanan untuk diberikan kepada 10 orang penerima itu?
Jawapannya boleh. Memberi makan 10 orang miskin boleh dilaksanakan sama ada dengan memberikan makanan asasi yang mentah seperti beras, ataupun dengan membeli makanan yang siap dimasak untuk diagihkan, ataupun memasak makanan lengkap di rumah lalu dijamu 10 orang fakir miskin.
Cara mana sekalipun dipilih, berilah makanan yang terbaik kerana Allah, mudah-mudahan denda kaffarah sumpah atas nama Allah itu diterimaNya. Semoga ia menjadi penutup kepada kesalahan itu, dimaafkan dan tiada lagi hukuman di akhirat kelak.
والله أعلم
اللهم علمنا ما ينفعنا،
وانفعنا بما علمتنا،
وزدنا علما.
اللهم اهدنا وسددنا.
0 comments:
Post a Comment