Nostalgia
Lebih kurang 10 tahun yang lalu, setiap kali lalu di hadapan bangunan yang menempatkan premis Kelas Bimbingan Saudara Kita, hati saya terdetik, bagusnya kalau saya dapat mengajar ‘di sini.’ Namun ketika itu saya sibuk menyiapkan tugasan pengajian, sibuk dengan keluarga dan sibuk dengan pelbagai urusan remeh temeh dan saya juga bukan orang tempatan untuk bertanyakan sesuatu yang berkaitan.
Maka detik hati kekal sebagai detikan setiap kali saya lalu di hadapan premis itu.
Sehinggalah pada suatu hari, ketika mengajar tafsir Surah al-Kautsar di sebuah surau, sahabat penyantun yang hadir ke kuliah membawa kenalannya bersama. Katanya, beliau adalah ‘saudara kita.’
Seusai kuliah, kekanda saudara kita tersebut datang berjumpa saya, lalu bertanyakan, “Bolehkah ustazah datang mengajar kami di kelas saudara kita?”
Ketika itu (malah sehingga kini, masih) saya merasakan limpahan kebaikan yang banyak - al-kautsar - yang Allah kurniakan kepada Nabi Muhammad saw itu memang sangat banyak dan melimpah-limpah, mengalir sampai ke sanubari orang beriman, dan menautkan hati sesama mereka.
Sunnatullah سنة الله Dan Syariatullah شريعة الله
Kita guru hanya menyampaikan ‘sunnah Allah - sunnatullah’ dan ‘syariat Allah-syariatullah’.
Apabila kita menyampaikan ilmu sains, sejarah, geografi, perubatan, matematik, fizik, kimia dan sebagainya maka bererti kita mendalami dan menyampaikan ilmu ‘sunnatullah’ yang Dia tentukan pada kejadian ciptaanNya.
Sesiapa yang cuba menyalahi sunnatullah, maka banyaklah kekacauan yang akan berlaku. Penebangan hutan, penggondolan tanah tinggi dan pelanggaran SOP dalam musim waba’ menular pasti akan mendatangkan mudarat kepada kita semua.
Apabila kita menyampaikan ilmu agama baik akidah, syariat, muamalat, akhlak, dan sebagainya maka bererti kita mendalami dan menyampaikan ilmu ‘syariatullah’ yang Dia tentukan sebagai panduan dan amalan kita.
Sesiapa yang cuba menyalahi syariatullah, maka banyaklah kepincangan yang akan berlaku. Mensyirikkan Allah, berzina, menyebarkan hadith palsu dan mencipta ibadah yang tidak pernah diajarkan oleh Nabi Muhammad saw pasti akan mendatangkan mudarat kepada jiwa dan kehidupan kita sendiri.
Jauh bezanya
Kita guru kecil-kecil yang menyambut hari guru hari ini tidak sama langsung dengan ‘guru’ yang dinamakan sebagai utusan Allah terakhir. Baginda Nabi Muhammad saw menyampaikan dengan sepenuh jiwa raga, menanggung risiko dikejar dan dihambat, difitnah dan diperangi, demi menyampaikan iman dan ilmu yang tiada sebarang kesalahan dan kesilapan padanya. Tiada sebarang upah dan ganjaran daripada mana-mana insan, melainkan daripada Allah Tuhan yang Satu.
Tiada kezaliman yang paling besar insan lakukan, melainkan mensyirikkan Tuhan yang mencipta dirinya dan segala keperluannya di dunia ini.
اللهم اهدني وسددني
اللهم اهدنا وسددنا
Selamat Hari Guru buat semua kenalanku.
16 Mei 2021
4 Syawal 1442H
0 comments:
Post a Comment