Monday, 13 April 2020

BERTAQWA DALAM MENYEBARKAN ‘ISU SEMASA’ !


Assalamualaikum.





Semoga kita semua masih komited dengan zikir pagi dan petang yang datang daripada hadith-hadith yang thabit. Kita sebagai hamba Allah memang sangat memerlukannya.







Pagi tadi whatsapp dibuka dengan tujuan masuk ke beberapa group dan berkongsi sesuatu. Tiba-tiba terbaca sepintas lalu satu perkataan negatif ‘berimpak tinggi’ dari group yang sudah lama tidak diacuhkan. Jarang menjenguk kerana dalam group tersebut selalu dihantar berita yang tidak pasti yang menyerabutkan, bercampur baur antara sikap yang benar dan salah dalam politik, dan acap juga dihantar tazkirah yang mengandungi hadith-hadith palsu. 







Namun perasaan ingin tahu mendorong kita masuk dan baca juga selanjutnya. 






Kesannya?





Kesan negatif selepas membaca membawa kepada perasaan tidak enak sepanjang hari. Malah mengganggu perancangan asal awal pagi tadi!





Pengajaran :






  1. Kita perlu tegas dengan to-do-list bila berurusan online ataupun offline.

  2. Jika semua muslim-muslimah komited ‘post’ perkara positif (al-amr bi al-ma’ruf wa al-nahy ‘an al-munkar dengan niat yang benar dan piawaian benar, bukan sentimen), semua pembaca akan mendapat input yang baik. 

  3. Teguran yang baik dengan hujah bagus dan berfakta umumnya diterima dengan baik kerana setiap muslim dan muslimah sukakan peringatan, melainkan orang yang ada kepentingan, memang tidak dapat menerima teguran. Namun kritikan bercampur baur antara benar dan salah serta tuduhan secara telahan dan sangkaan akan menimbulkan perasaan bercelaru dan cuak. 

  4. Musim Covid -19 ini semua kita berada dalam kesusahan. Ingatlah bahawa kita semua ini hamba-hamba Allah walau apapun kedudukan kita, maka berhentilah menyebarkan perkara telahan dan tuduhan yang tidak berasaskan fakta kepada hamba-hamba Allah yang lain.

  5. Ingatlah kepada Allah, ingatlah kepada kiamat kecil yang boleh datang kepada sesiapa sahaja pada bila-bila masa, atas sebab apa sahaja.  Dan ingatlah bahawa kebaikan tidak mungkin dilakukan oleh pihak kita sahaja, tetapi dilakukan juga oleh orang lain.

  6. Ramai kenalan yang keberatan menjadi pendokong kepada mana-mana pertubuhan besar yang selalu berebut ahli, berebut populariti malah berebut undi. Menjadi anggota kata mereka, memaksa kita menerima apa sahaja tanpa kecuali dan menolak apa sahaja tanpa kecuali demi ‘kekitaan’, sedangkan al-Quran dan al-Sunnah mengajar kita supaya menapis dengan piawaian yang jauh lebih adil dan konkrit.

  7. Apabila kita menyebarkan sesuatu status yang dikatakan sebagai ‘isu semasa’, perlu diingat bahawa doa orang yang dizalimi itu mustajab, tidak kira mereka di pihak mana. Maka semaklah dulu kebenaran sesuatu isu, jangan didorong sentimen.

  8. Meletakkan piawaian al-Quran dan al-Sunnah sebagai piawaian penilaian menjadikan kita lebih rasional dan bijaksana, kerana Allah swt itu Maha Bijaksana. Apa yang salah pada piawaian itu maka salahlah di sisi Allah dan apa yang menepati piawaian itu maka benarlah di sisi Allah. Kita ada ideal-self yang jelas untuk dicapai.

  9. Ada satu pesanan Nabi Muhammad saw yang sangat tinggi nilainya dalam memandu kita berkomunikasi dan bersosial, namun selalu diabaikan :






 من كان يؤمن بالله واليوم الآخر  فليقل خيرا أو ليصمت.




“Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari Akhirat, ucaplah perkara-perkara yang baik ataupun diam sahaja.”


(Sahih al-Bukhari, Kitab al-Adab.)





Dr Nabilah Hasan


Isnin 19 Syaaban 1441H


اللهم إنا نعوذ بك من سيء الأسقام










0 comments:

Post a Comment

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Powerade Coupons