🔴 Islam, wajah asalnya jernih dan indah. Allah swt memelihara dua sumber agama, iaitu al-Quran dan al-Sunnah, supaya kita sentiasa dapat melihat dan menghayati wajah asal agama yang kita cintai.
🔴Kefahaman tentang Islam sering muncul dalam wajah yang ditempel, dicacatkan, digelapkan ataupun diwarnakan dengan warna yang kita inginkan.
Sedangkan Islam ada warna dan cahayanya sendiri. Lebih indah dan gemerlap tanpa perlu digilap, tanpa perlu ditambah apatah lagi dikurangkan.
Oleh itu, banyak disiplin yang telah digariskan oleh para ulama’ dalam memelihara keaslian dan ketulinannya. Disiplin yang digarap bagi mengawal tingkahlaku insan agar tidak melakukan sesuatu yang merosakkan kefahaman agama.
Kefahaman Islam yang tidak dirujuk kepada sumber asalnya secara berdisiplin ada potensi dicemari dengan amalan dan kepercayaan khurafat, tempelan hadith palsu, salah guna istilah sunnah, kecelaruan salah faham nas semasa berinteraksi dengannya, dan salah guna nas untuk kepentingan tertentu.
Jikalau kefahaman Islam boleh dicemari dengan disiplin ilmu, apatah lagi perkara-perkara lain.
Politik umpamanya, ada banyak kebarangkalian ia disalah guna bukan untuk rakyat tetapi untuk kemenangan sendiri. Ada banyak ruang untuk menimbulkan salah faham dan salah guna.
🔴 Pentas politik sering berbeza pendekatannya dengan pentas ilmu. Politik sering berubah-ubah pendekatannya, malah adakalanya bekerjasama pula dengan pihak yang sama sekali bertentangan dengan intipati dan roh ilmu.
Justeru itu acapkali benar ilmu menjadi korban di pentas politik. Berapa banyak pentas politik memenangkan fahaman Syiah, berapa banyak orang politik memenangkan fahaman quburiyyah.
Pentas politik sepatutnya menjadi pentas dakwah dan membantu menerangkan kebenaran. Malang jika pentas itu mengaburi sinar kebenaran.
🔴 Faktor ini menyebabkan orang yang berjihad di medan ilmu bersikap tegas supaya kebenaran ilmu tetap terpelihara tanpa campurtangan dan kepentingan orang politik.
Apatah lagi mereka yang berpengalaman disekat dan difitnah majlis ilmunya oleh mereka yang terlalu obses dengan politik, yang bimbang kedudukan tergugat dengan kebenaran hujah.
Ditambah unsur hasad dengki dari sudut mendapatkan polulariti, yang sepatutnya digantikan dengan الإغتباط في العلم.
Hasad dengki adalah amalan al-nafs, jauh tersembunyi di dalam jiwa. Namun ia mampu menjelma dalam bentuk tingkahlaku. Sikap orang yang menyimpan ghibtah di dalam jiwa jauh bezanya dengan sikap yang ditunjukkan oleh orang yang bergelumang dengan hasad. Hasad selalu membawa kepada dosa besar yang seringkali dilihat kecil, naminah.
🔴Di pentas ilmu, politik mesti dibicarakan secara ilmiah, bukan dengan cara menyebarkan berita dan gambar yang tidak diketahui sumbernya.
Tiada ulasan yang wajar diberikan kepada sebaran provokatif, kerana ia hanya menambahkan kecelaruan pemahaman dan menyalakan api kemarahan. Tidak diketahui akan pangkalnya dan tidak akan ditemukan hujung jalan keluarnya!
Apabila disuakan dengan fakta secara sopan dan berhemah, ulasan yang diberi hendaklah menepati konsep dan konteks yang sedang dibincangkan.
Mengambil contoh perjalanan ilmu yang berdisiplin di dalam kuliah, soalan provokatif biasanya sukar ditangani kerana penyoal tidak berminat menambah ilmu tetapi ingin menguji seterusnya mengganggu proses pembelajaran.
🔴Berpolitik dengan penuh sentimen dan syak wasangka menjadi punca pergaduhan yang menular menjadi wabak tanpa ubat. Kita menjadi saksi akan penularan wabak ini.
Setiap masalah dan isu dikaitkan dengan musuh politik, malah dihumbankan pula kepada mereka yang telah membuat teguran ikhlas.
Berdasarkan pengalaman kita selama 20 tahun, politik juga berpotensi memusnahkan usaha dan harapan menghidupkan ilmu yang sahih.
Sedangkan ilmu itu akan menjelmakan imej Islam dalam wajahnya yang sebenar. Seperti kata Syeikh Muhammad bin Ibrahim al-Tuwaijri :
فالدعاة إلى الله يدعون البشرية إلى عبادة الله وحده لا شريك له
والعلماء يعلمون الناس كيف يعبدون الله وحده لا شريك له
🔴Dalam konteks penyebaran ilmu, perbalahan politik telah menyebabkan konsentrasi terganggu, teks ilmu tidak berupaya dihabiskan, menyemai benih buruk sangka terhadap guru, ilmu tidak bertambah seiring dengan masa, al-Quran tidak dibaca dan dihayati, hadith palsu terus disebarkan, manakala perbalahan terus menerus menerbitkan kebencian dan salah faham.
Pembaziran masa dan tenaga jelas telah berlaku. Kebenaran semakin kelabu dalam asakan ingin menang dan justeru itu, kefahaman Islam semakin bercelaru.
Konsep munafasah (berlumba-lumba) dalam kebaikan telah digantikan dengan sikap ingin menang sendiri dan dengki mendengki.
Menyedihkan apabila majlis ilmu difitnah oleh kenalan yang sangat obses dengan politik tanpa berfikir secara mendalam, matang dan sejahtera.
🔴Dituduh sebagai pemecah belah oleh non-muslim hanya kerana rakannya memeluk Islam atas kehendak sendiri langsung tidak melukakan, langsung tidak meninggalkan bekas. Kita tahu dia tidak tahu akan hakikat dirinya sebagai hamba Allah dan tidak kenal akan Allah, apatah lagi memahami ajaran Islam yang diturunkan Allah.
Justeru, kita masih sanggup mendoakan dia!
Namun dituduh dan diganggu oleh kenalan yang ‘memahami Islam’ malah ‘memperjuangkan Islam’ telah menumbuhkan tanda tanya yang besar.
Meninggalkan kesan yang sangat mendalam bersama persoalan yang belum terjawab, apa sebenarnya yang mereka mahu daripada sikap seumpama itu?
🔴 Politik cara Nabi Muhammad saw jauh bezanya dengan cara kita. Politik zaman kita banyak bergantung kepada ijtihad dan perubahan semasa.
Politik dalam kendalian mana-mana pihak sekalipun sentiasa ada kebarangkalian silap dan salah. Rakyat yang matang sentiasa akan membuat perubahan atas dasar kefahaman, bukan sekadar ikut-ikutan, apatah lagi paksaan.
🔴Mereka yang berkecimpung dalam politik menggalas tanggungjawab terhadap rakyat, dan akan ditanya tentang amanah yang digalas, kerana mereka telah meminta dipikulkan tanggungjawab itu ke bahu mereka menerusi pilihanraya. Oleh kerana itu, tugas perlu dilaksanakan kerana menunaikan amanah, bukan kerana ingin menagih undi 5 tahun lagi.
Antara amanah yang dipikul ialah mewujudkan suasana kondusif dan harmoni bagi masyarakat mengikuti pembelajaran ilmu yang sahih.
Kita ingin sekali melihat pentas politik menjadi medan berlumba-lumba dari sudut kualiti dalam mengerjakan amalan soleh, menepati disiplin ilmu, kerana Allah.
Sehingga akhirnya wajah Islam yang asal indah itu terserlah.
Barangkali, ia termasuk dalam kategori 'angan-angan' yang baik.
اللهم اهدنا وسددنا
0 comments:
Post a Comment