🔴SOALAN
Benarkah puasa Hari ‘Arafah boleh menghapuskan dosa selama 2 tahun?
🔴JAWAPAN RINGKAS
📌Dimaklumi bahawa ada sedikit polemik di kalangan para ulama’ dalam membicarakan hadith kelebihan puasa ‘Arafah.
📌Ringkasnya, langgam bahasa Nabi Muhammad saw dalam hadith kelebihan puasa Hari Arafah tidak sama dengan langgam bahasa baginda saw dalam hadith kelebihan puasa Ramadhan.
Perhatikan nada pasti dalam hadith kelebihan puasa Ramadhan :
من صام رمضان إيمانا واحتسابا غفر له ما تقدم من ذنبه.
Makaudnya :
“Sesiapa yang berpuasa dalam bulan Ramadhan dengan penuh iman dan mengharapkan pahala, diampunkan dosanya yang telah lalu.”
(Sahih Bukhari, Kitab Iman, Bab Sawm Ramadan Ihtisaban min al-Iman)
Manakala dalam hadith tentang kelebihan puasa ‘Arafah, nada baginda saw berbeza apabila menyebut fadilatnya :
صيامُ يومِ عرفةَ ، أَحتسبُ على اللهِ أن يُكفِّرَ السنةَ التي قبلَه والسنةَ التي بعده
Maksudnya :
'Puasa pada hari Arafah, aku harapkan agar Allah mengampunkan dosa setahun sebelum dan setahun selepasnya.'
(Sahih Muslim, Kitab Puasa, Bab Sunat Berpuasa 3 hari Dalam Sebulan, Puasa Hari Arafah, Hari 'Asyura dan Isnin dan Khamis)
Nada dalam hadith kelebihan puasa wajib bulan Ramadhan lebih tegas dan jitu berbanding nada dalam hadith kelebihan puasa sunat Hari ‘Arafah.
Dari sudut ketinggian nilai sahihnya juga tidak sama, walaupun keduanya sahih.
📌Apapun kelebihan yang terdapat dalam amalan sunat, ia tidak akan menandingi kelebihan amalan yang wajib. Dari sudut keutamaan ataupun awlawiyyat, mengerjakan yang wajib adalah lebih utama daripada yang sunat. Hal ini banyak disentuh oleh Dr Yusuf al-Qaradawi dalam Fiqh al-Awlawiyyat.
Tidak ada erti membanyakkan amalan sunat dan dalam masa yang sama, meninggalkan yang wajib.
Kita kembali kepada prinsip asal dalam agama, iaitu amalan sunat itu fungsinya ialah menampung kekurangan dalam amalan wajib.
Memperbanyakkan amalan sunat dikasihi Allah swt.
📌Imam Nawawi mengatakan bahawa hadith kelebihan puasa Arafah iaitu dihapuskan dosa dua tahun (tahun sebelum dan tahun selepas) itu ada 2 kemungkinan maksud :
1. Allah ampunkan dosa-dosa kecilnya dalam tempoh tersebut.
(Jika melakukan dosa besar, tidak memadai dengan puasa Hari ‘Arafah. Dosa besar perlu kepada taubat dan istighfar secara khusus.)
2. Allah memeliharanya (daripada melakukan dosa besar) selama tempoh tersebut.
📌Puasa ‘Arafah hanya disunatkan kepada orang yang tidak mengerjakan haji.
Sementelah kita berada dalam keadaan tenang, tidak susah, dan berkemampuan untuk berpuasa, alangkah baiknya kita mengambil peluang yang dikurniakan Allah swt ini.
Puasa adalah amalan yang tidak menuntut kita melakukan apa-apa. Puasa menuntut kita supaya menahan diri daripada melakukan sesuatu yang membatalkannya, ataupun mengurangkan pahalanya.Tiada wang perlu dikeluarkan, tiada juga peluh perlu dititikkan.
Amalan yang mudah, dalam waktu yang disukai Allah, sangat digalakkan kita tunaikan puasa sunat Hari ‘Arafah.
Amalan soleh di sisi Allah, dengan cara yang diajarkan oleh Utusan Allah, mudah-mudahan menjadi sebab kepada kita mudah mendapat keampunan dan rahmatNya, sehingga tahun akan datang.
والله أعلم
0 comments:
Post a Comment