Assalamualaikum.
Soalan :
Benarkah kita ada hutang solat Dhuha yang perlu dibayar? Saya acapkali meninggalkan solat Dhuha, adakah saya dikira berhutang dengan Allah swt?
Adakah saya dikira terlepas daripada hutang Dhuha dengan melakukan amar ma'ruf, iaitu dengan mengingatkan orang lain tentang hutang Solat Dhuha?
JAWAPAN :
Adalah sunat mengerjakan solat Dhuha, dan menggalakkan orang melakukannya termasuk dalam perkara الأمر بالمعروف. Amar ma'ruf pula dikira sebagai salah satu bentuk sedekah.
Namun, orang yang tidak menunaikan Solat Sunat Dhuha tidaklah dikira berhutang dengan Allah swt.
Kita perlu merujuk syarah hadith yang mu'tabar untuk memahami hadith dengan betul. Dalam bab ini, ada beberapa hadith yang berkaitan antara satu sama lain. Antaranya ialah :
Pertama :
.فِى الإِنْسَانِ ثَلاَثُمِائَةٍ وَسِتُّونَ مَفْصِلاً فَعَلَيْهِ أَنْ يَتَصَدَّقَ عَنْ كُلِّ مَفْصِلٍ مِنْهُ بِصَدَقَةٍ
قَالُوا وَمَنْ يُطِيقُ ذَلِكَ يَا نَبِىَّ اللَّهِ قَالَ : النُّخَاعَةُ فِى الْمَسْجِدِ تَدْفِنُهَا وَالشَّىْءُ تُنَحِّيهِ عَنِ الطَّرِيقِ فَإِنْ لَمْ تَجِدْ فَرَكْعَتَا الضُّحَى تُجْزِئُكَ
Maksudnya :
"Pada seorang insan ada 360 ruas tulang. Setiap orang perlu bersedekah bagi setiap ruas tulangnya.” Para sahabat bertanya: “Siapakah yang mampu melakukan hal itu, wahai Nabi Allah?” Beliau bersabda: “Dengan menutup ludah kahak di masjid dengan tanah, dan membuang sesuatu dari jalan. Jika saudara tidak mampu melakukannya, maka dua rakaat Dhuha cukup bagi saudara.”
(Sunan Abi Daud, Abwab al-Naum, Bab Membuang Gangguan Di Jalanan)
Kedua :
: وعن أبي ذر -رضي الله عنه- عن النبي صلى الله عليه وسلم أنه قال
يصبح على كل سلامى من أحدكم صدقة، فكل تسبيحة صدقة، وكل تحميدة صدقة، وكل تهليلة صدقة، وأمر بالمعروف صدقة، ونهي عن المنكر صدقة. يجزئ من ذلك ركعتان يركعهما من الضحى
Maksudnya :
"Setiap pagi kalian perlu bersedekah bagi setiap sendi tulang. Setiap tasbih adalah sedekah, setiap tahmid adalah sedekah, setiap tahlil adalah sedekah, amar ma'ruf adalah sedekah, dan nahi munkar juga adalah sedekah. Solat Dhuha dua rakaat menyamai semuanya itu."
(Sahih Muslim, Kitab Solah al-Musafirin wa Qasriha, Bab Sunat Solat Dhuha Dan Galakan Supaya Selalu Mengamalkannya)
Ketiga :
: عن عائشة رضي الله عنها- قالت : قال رسول الله صلى الله عليه وسلم
خلق كل إنسان من بني آدم على ستين وثلاثمائة مفصل، فمن كبر الله وحمد الله وهلل الله وسبح الله واستغفر الله وعزل حجراً عن طريق الناس أو شوكة أو عظماً عن طريق الناس، وأمر بمعروف أو نهى عن منكر عدد تلك الستين وثلاثمائة مفصل فإنه يمشي يومئذ وقد زحزح نفسه عن النار
Maksudnya :
"Setiap insan dicipta dengan memiliki 360 sendi tulang. Sesiapa yang membesarkan Allah, memuji Allah, menyatakan tiara Tuhan yang laka disembah melainkan Allah, mensucikan Allah, memohon keampunan Allah, membuang batu, duri atau tulang yang mengganggu jalan orang ramai, amar ma'ruf dan nahi munkar sebanyak bilangan 360 sendi tulang itu, maka dia berjalan pada hari itu dalam keadaan dijauhkan daripada ancaman api neraka. "
(Sahih Muslim, Kitab Zakat, Bab Keterangan Tentang Terma Sedekah Merujuk Kepada Semua Jenis Perbuatan Baik)
Dalam pengajian hadith, hadith-hadith dengan satu tema dikumpulkan oleh para ulama' untuk pemahaman yang menyeluruh tentang sesuatu konsep secara benar dan jelas. Selain itu, ulama' juga memadankan hadith-hadith yang zahirnya kelihatan bertentangan antara satu dengan yang lain.
Mulla 'Ali al-Qari, dalam kitabnya Mirqah al-Mafatih mengatakan bahawa perintah supaya bersedekah bagi setiap ruas tulang (dalam hadith pertama) itu mengandungi makna penekanan dan perlu, bukan perintah wajib syar'i.
Ringkasnya :
1. Nikmat tulang dan sendi yang Allah berikan kepada kita perlu kita syukuri. Caranya ialah dengan melakukan amalan soleh, termasuklah membuang gangguan di jalanan, berzikir dengan tasbih, tahmid, tahlil dan takbir, membaca al-Quran, menuntut ilmu, melakukan amar ma'ruf dan nahi munkar. Jika tidak mampu melakukan amalan-amalan lain, solat Dhuha boleh menampung kekurangan itu.
2. Orang yang tidak menunaikan solat Dhuha tidak dikira berhutang dengan Allah, sebab solat Dhuha adalah solat sunat, bukan solat wajib.
3. Sangat wajar kita selalu menunaikan solat Dhuha (sendirian) kerana ia disebut khusus oleh Nabi saw, sebagai salah satu cara untuk menyatakan terima kasih kita kepada Allah di atas kurniaan 360 ruas tulang. Kerana tulang dan sendi kurniaan Allah itulah kita dapat bergerak dan terus hidup di dunia dengan baik.
Ramai ulama' yang mengatakan solat Dhuha adalah sunat muakkadah. Maknanya, kedudukannya menyamai solat Witir dan solat Rawatib (solat sunat sebelum dan selepas solat fardhu yang tertentu).
4. Amar ma'ruf dan nahi mungkar pula berada pada konsep yang tersendiri pula secara khusus. Melalukan amar ma'ruf dan nahi munkar perlu di awali dengan ilmu.
5. Jelas daripada hadith, solat Dhuha adalah amalan sunat tanda kesyukuran dan terhutang budi kepada Allah atas nikmat yang tidak terkira. Ia bukan amalan khusus untuk meluaskan rezeki ataupun mengurangkan hutang. Walau bagaimanapun, tidak salah memohon kedua perkara itu selepas solat Dhuha.
6. Dalam usaha mengelakkan daripada bebanan hutang, sebaiknya kita mengamalkan doa ma'thur yang diajarkan oleh Nabi Muhammad saw.
ِاللّهُمّ إني أعوذ بك من الهَمِّ والحَزَن والعَجْزِ والكَسَلِ والجُبن والبُخْلِ، وضَلَعِ الدَيْنِ وَقَهْرِ الرِجَال
Maksudnya :
"Ya Allah, aku mohon perlindunganMu daripada bimbang dan sedih, lemah dan malas, pengecut dan bakhil, belitan hutang dan tekanan manusia."
(Sahih Bukhari, Kitab Doa-Doa)
والله أعلم
0 comments:
Post a Comment