Ini merupakan beberapa perkara-perkara yang boleh merosakkan akidah  yang sering dilakukan oleh golongan remaja atau yang sering mereka lihat
Tangkal
Ia  wujud dalam pelbagai bentuk. Ada yang menggunakan benang, tulang, kayu  dan sebagainya. Ada yang diletakkan di pintu rumah, meletak gunting  bawah bantal, digantung di leher, meletak surah yasin di sebelah ketika  tidur dan sebagainya.
إِنَّ الرُّقَى وَالتَّمَائِمَ وَالتِّوَلَةَ شِرْكٌ
"Sesungguhnya  jampi-jampi (yang syirik), tangkal, dan guna-guna (sihir yang selalu  isteri kenakan pada suami) adalah syirik". [HR. Ahmad dalam Al-Musnad  (1/381), Abu Daud dan lain-lain]
Termasuk tangkal ialah  apabila kita menggantung ayat al-Quran seperti ayat Kursi, surah 3 kul  dengan mempercayai ia akan menghalang syaitan. Adapun menggantung untuk  memudahkan ia dibaca tidaklah menjadi masalah. Hendaklah adik-adik  memerhatikan keadaan di rumah adik-adik. Wujudkah tangkal atau yang  seumpama dengannya. Jika ada? Buang segera..
Horoskop-  Horoscopes ialah bintang seseorang yang dengan itu dapat diramal  kebaikan atau keburukannya. Bintang ini ditentukan berdasarkan tarikh  lahir. Sebagai contoh, orang yang lahir antara 21 Mac hingga 19 April  memiliki bintang Aries, orang yang lahir antara 20 April hingga 20 Mei  memiliki bintang Taurus dan demikianlah seterusnya.
Asal usul horoscopes ialah menggunakan kedudukan bintang, planet dan matahari untuk meramalkan kebaikan atau keburukan
Rasulullah  menolak amalan sedemikian kerana ia adalah satu bentuk kekafiran. Zaid  bin Khalid al-Juhani radhiallahu 'anh menerangkan:
صَلَّى  لَنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ صَلاَةَ  الصُّبْحِ بِالْحُدَيْبِيَةِ عَلَى إِثْرِ سَمَاءٍ كَانَتْ مِنْ  اللَّيْلَةِ. فَلَمَّا انْصَرَفَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ  وَسَلَّمَ أَقْبَلَ عَلَى النَّاسِ فَقَالَ: هَلْ تَدْرُونَ مَاذَا قَالَ  رَبُّكُمْ؟ قَالُوا: اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَعْلَمُ. قَالَ: أَصْبَحَ مِنْ  عِبَادِي مُؤْمِنٌ بِي وَكَافِرٌ فَأَمَّا مَنْ قَالَ مُطِرْنَا بِفَضْلِ  اللَّهِ وَرَحْمَتِهِ فَذَلِكَ مُؤْمِنٌ بِي كَافِرٌ بِالْكَوْكَبِ  وَأَمَّا مَنْ قَالَ بِنَوْءِ كَذَا وَكَذَا فَذَلِكَ كَافِرٌ بِي مُؤْمِنٌ  بِالْكَوْكَبِ.
Kami bersolat subuh bersama Rasulullah sallallahu  'alaihi wasallam di Hudaibiyah setelah semalamnya turun hujan. Tatkala  selesai, Nabi shallallahu 'alaihi wasallam menghadap orang ramai dan  bersabda:“Tahukah kalian apa yang difirmankan oleh Tuhan kalian?” Mereka  menjawab: “Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui.” Rasulullah  shallallahu 'alaihi wasallammenjawab (Allah berfirman): “Pada pagi ini  ada di antara hamba-Ku yang beriman kepada-Ku dan ada yang kafir. Adapun  orang yang berkata hujan turun kepada kami kerana kurnia Allah dan  rahmat-Nya, maka dia beriman kepada-Ku dan kafir kepada bintang.  Sedangkan orang yang berkata hujan turun kepada kami kerana bintang itu  dan ini, maka dia kafir kepada-Ku dan beriman kepada bintang.” [Sahih  al-Bukhari:846].
Bermain-main dengan horoskop sekadar  suka-suka tetap berdosa walau tidak merosakkan akidah. Ia sama dengan  pergi berjumpa bomoh walau tidak mempercayainya.
Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam:
مَنْ أَتَى عَرَّافًا فَسَأَلَهُ عَنْ شَيْءٍ لَمْ تُقْبَلْ لَهُ صَلاَةٌ أَرْبَعِينَ لَيْلَةً.
Sesiapa  yang mengunjungi orang yang mendakwa mengetahui ilmu ghaib dan bertanya  kepada dia sesuatu maka tidak akan diterima solatnya selama empat puluh  malam [Sahih Muslim:2230].
Maka adik-adik hendaklah  menjauhi daripada mengambil tahu tentang horoskop adik-adik dan  rakan-rakan. Hendaklah menjauhkan diri daripada membaca horoskop atau  apa-apa tilikan yang ada di majalah, facebook dan sebagainya. Ditakuti  ia sedang mengancam akidah adik-adik.
Merasakan hukum hakam Islam tidak sempurna
Allah Ta’ala berfirman :
أَفَحُكْمَ الْجَاهِلِيَّةِ يَبْغُونَ وَمَنْ أَحْسَنُ مِنَ اللَّهِ حُكْمًا لِقَوْمٍ يُوقِنُونَ(50)
“Apakah  hukum Jahiliyah yang mereka kehendaki, dan (hukum) siapakah yang lebih  baik daripada (hukum) Allah bagi orang-orang yang yakin?” (Al-Maidah :  50)
Pernah seorang pelajar perempuan tingkatan tiga  menyatakan kenapa perempuan kena pakai tudung, lelaki tidak, dan dia  menyatakan bahawa ia tidak adil. Perkataan seumpama ini boleh merosakkan  akidah kerana ia menunjukkan kita tidak yakin dengan kesempurnaan hukum  hakam Allah.
Hendaklah adik-adik yakin bahawa Islam agama  yang sempurna. Segala peraturan yang ada di dalamnya adalah sempurna.  Jika kita benar-benar beriman Allah Maha Bijaksana, kenapa perlu kita  meragui keputusannya?
Menghina hukum hakam
إِنَّ  الَّذِينَ أَجْرَمُوا كَانُوا مِنَ الَّذِينَ ءَامَنُوا  يَضْحَكُونَ(29)وَإِذَا مَرُّوا بِهِمْ يَتَغَامَزُونَ(30)وَإِذَا  انْقَلَبُوا إِلَى أَهْلِهِمُ انْقَلَبُوا فَكِهِينَ(31)وَإِذَا رَأَوْهُمْ  قَالُوا إِنَّ هَؤُلَاءِ لَضَالُّونَ(32)وَمَا أُرْسِلُوا عَلَيْهِمْ  حَافِظِينَ(33)فَالْيَوْمَ الَّذِينَ ءَامَنُوا مِنَ الْكُفَّارِ  يَضْحَكُونَ(34)عَلَى الْأَرَائِكِ يَنْظُرُونَ(35)هَلْ ثُوِّبَ  الْكُفَّارُ مَا كَانُوا يَفْعَلُونَ(36)
“Sesungguhnya  orang-orang yang berdosa, adalah mereka yang dahulunya (di dunia)  mentertawakan orang-orang yang beriman. Dan apabila orang-orang yang  beriman lalu di hadapan mereka, mereka saling mengedip-ngedipkan  matanya. Dan apabila orang-orang berdosa itu kembali kepada kaumnya,  mereka kembali dengan gembira. Dan apabila mereka melihat orang-orang  mu'min, mereka mengatakan: "Sesungguhnya mereka itu benar-benar  orang-orang yang sesat", padahal orang-orang yang berdosa itu tidak  dikirim untuk penjaga bagi orang-orang mu'min. Maka pada hari ini,  orang-orang yang beriman mentertawakan orang-orang kafir, mereka (duduk)  di atas di tempat duduk sambil memandang. Sesungguhnya orang-orang  kafir telah diberi ganjaran terhadap apa yang dahulu mereka kerjakan.”  (al-Muthaffifin:29-36)
Ia adalah lanjutan kepada  ketidakyakinan dengan kesempurnaan Islam. Dosa ini termasuklah menghina  orang yang melaksanakan Islam. Contohnya, kerana kita tidak mahu  bersolat, kita menyatakan bahawa orang yang solat pun ada yang melakukan  maksiat, atau kita tidak mahu menutup aurat, lalu kita menghina orang  yang menutup aurat.
Sewajarnya, jika adik-adik masih belum  sempurna mempraktiskan Islam, contohnya, tidak menutup aurat. Adik-adik  hendaklah menghindarkan diri daripada mempertahankan maksiat yang  adik-adik lakukan, sebaliknya ucaplah terima kasih kepada yang  menasihati, dan berdoa serta berusahalah agar adik-adik diberi hidayah.
Bermain-main dengan agama
وَلَئِنْ  سَأَلْتَهُمْ لَيَقُولُنَّ إِنَّمَا كُنَّا نَخُوضُ وَنَلْعَبُ قُلْ  أَبِاللَّهِ وَءَايَاتِهِ وَرَسُولِهِ كُنْتُمْ تَسْتَهْزِئُونَ(65)لَا  تَعْتَذِرُوا قَدْ كَفَرْتُمْ بَعْدَ إِيمَانِكُمْ إِنْ نَعْفُ عَنْ  طَائِفَةٍ مِنْكُمْ نُعَذِّبْ طَائِفَةً بِأَنَّهُمْ كَانُوا  مُجْرِمِينَ(66)
“Dan jika kamu tanyakan kepada mereka  (tentang apa yang mereka lakukan itu), tentulah mereka akan menjawab:  "Sesungguhnya kami hanyalah bersenda gurau dan bermain-main saja".  Katakanlah: "Apakah dengan Allah, ayat-ayat-Nya dan Rasul-Nya kamu  selalu berolok-olok?" Tidak usah kamu minta ma`af, kerana kamu kafir  sesudah beriman. Jika Kami memaafkan segolongan daripada kamu (lantaran  mereka taubat), nescaya Kami akan mengazab golongan (yang lain)  disebabkan mereka adalah orang-orang yang selalu berbuat dosa.”  (At-Taubah :65,66)
Ayat ini diturunkan ketika sebahagian  umat Islam bersenda gurau dengan perkataan yang menghina Islam dan umat  Islam. Oleh itu bergurau dengan hal-hal yang merendahkan Islam walau  tanpa niat menghina, tetap merosakkan akidah. Ini sering berlaku  walaupun sebenarnya gurauan itu tiada niat menghina Islam. Contohnya,  adik melihat seorang kawan memakai tudung, lalu adik menggelarnya  sebagai ‘mak nenek’, atau melihat seorang kawan berjanggut (membela  janggut adalah sunnah), lalu adik mengejeknya sebagai kambing. Ia lumrah  berlaku apabila kita sering bergurau-gurau tanpa mengetahui ia sudah  melampaui batas.
Meniru amalan orang bukan Islam
Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda,
مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ
“Barangsiapa yang menyerupai suatu kaum, maka dia termasuk sebahagian daripada mereka.”[ HR. Ahmad dan Abu Daud. Syaikh Al Albani mengatakan hadis ini sahih Irwa’ul Gholil no. 1269]
Ini  termasuklah merayakan sambutan atau budaya orang bukan Islam seperti  Krisma, Hallowen. Termasuk juga meniru pakaian yang menjadi ciri khusus  orang kafir, dan cirri khusus ajaran sesat seperti black metal, skinhead  dan lain-lain. Apa sahaja yang melambangkan orang kafir atau golongan  fasiq hendaklah dijauhi.
Cinta Melebihi Cinta Kepada Allah
Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
وَمِنَ  النَّاسِ مَن يَتَّخِذُ مِن دُونِ اللّهِ أَندَاداً يُحِبُّونَهُمْ  كَحُبِّ اللّهِ وَالَّذِينَ آمَنُواْ أَشَدُّ حُبًّا لِّلّهِ وَلَوْ يَرَى  الَّذِينَ ظَلَمُواْ إِذْ يَرَوْنَ الْعَذَابَ أَنَّ الْقُوَّةَ لِلّهِ  جَمِيعاً وَأَنَّ اللّهَ شَدِيدُ الْعَذَابِ
Dan di antara manusia  ada yang mengambil selain dari Allah (untuk menjadi) sekutu-sekutu  (Allah): mereka mencintainya sebagaiman mereka mencintai Allah; sedang  orang-orang yang beriman itu lebih mencintai Allah (berbanding  selainnya). [al-Baqarah 2:165]
Fenomena cinta di kalangan  remaja, hingga sanggup menggadai maruah, adalah ditakuti kesan rosaknya  akidah, akibat mencintai kekasi melebihi Allah. Bahkan ada kekasih  pernah menyebutkan: my boyfriend is like my GOD to me. Nauzubillahi min  dzalik
Percaya kepada sial
Rasulullah  shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:
لا َعَدْوَى وَلاَ طِيَرَةَ، وَلاَ هَامَةَ وَلاَ صَفَرَ، وَفِرَّ مِنْ اَلْمَجْذُوْمِ كَمَا تَفِرُّ مِنْ الأَسَدِ.
Tidak  boleh menjangkitkan penyakit, tidak boleh mempercayai nasib yang baik  atau buruk pada burung, tidak boleh mempercayai Hama dan tidak boleh  (mempercayai kecelakaan) pada bulan Safar, dan larilah kamu dari  penyakit Kusta sebagaimana kamu lari dari seekor singa [Sahih al-Bukhari  secara ta’liq]
Ini termasuk mempercayai jika ada biawak  melintas ada nasib buruk, jika pinggan pecah ada sesuatu tidak elok  berlaku dan sebagainya. Termasuk juga apa yang disebarkan melalui  drama-drama mahupun movie tentang pen yang membawa tuah dan sebagainya.
Berjumpa bomoh
   مَنْ أَتَى كَاهِنًا فَصَدَّقَهُ بِمَا يَقُولُ أَوْ أَتَى امْرَأَتَهُ  حَائِضًا أَوْ أَتَى امْرَأَتَهُ فِي دُبُرِهَا فَقَدْ بَرِئَ مِمَّا  أُنْزِلَ عَلَى مُحَمَّدٍ.
Sesiapa yang mengunjungi orang yang  mendakwa mengetahui ilmu ghaib lalu membenarkannya atau menyetubuhi  isterinya yang sedang haid atau menyetubuhi isterinya dari duburnya,  maka dia telah lepas (keluar) daripada apa yang diturunkan ke atas  Muhammad (yakni Islam) [Sunan Abu Daud:3904]
Jika tidak mempercayainya, maka solat tidak diterima empat puluh hari.
Mungkin  adik-adik tidak pernah berjumpa bomoh, tetapi boleh jadi ibu bapa kita  melakukannya. Peringatkanlah mereka, berikan mereka risalah ini.  Sesungguhnya hal-hal ghaib hanya diketahui Allah!
“Tuhanlah sahaja  yang mengetahui segala yang ghaib, maka Dia tidak memberitahu perkara  ghaib yang diketahui-Nya itu kepada sesiapapun; melainkan kepada  mana-mana Rasul yang diredhai-Nya(untuk mengetahui sebahagian dari  perkara ghaib yang berkaitan dengan tugasnya). [al-Jin 72:26-27]
Sumber : Mohd Masri 
20:18
 Posted in:  
0 comments:
Post a Comment